Tan Sri Yang Dipertua, 1. Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2020 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua. PENDAHULUAN 2. Salam Sejahtera, Salam Harapan dan Salam Sayangi Malaysiaku diucapkan kepada Tan Sri Yang Dipertua, Ahli-ahli Yang Berhormat di pihak Kerajaan mahupun Pembangkang, Tuan-tuan dan Puan-puan serta seluruh rakyat Malaysia yang dikasihi. Marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kerana berkat rahmat Tuhan, Malaysia kekal aman, stabil dan makmur. 3. Terlebih dahulu, izinkan saya menzahirkan kesetiaan yang tidak berbelah bagi dan mengucapkan tahniah atas Pemasyhuran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah. 4. Saya dengan rendah hati berdiri di sini untuk membentangkan Belanjawan 2020 yang merupakan belanjawan kedua di bawah Kerajaan Pakatan Harapan. Sesungguhnya, tahun 2020 merupakan tahun yang istimewa di mana Perdana Menteri Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir bin Mohamad telah mengilhamkan Wawasan 2020 hampir tiga dekad yang lalu pada tahun 1991, bagi meraikan kejayaan negara berada di landasan yang tepat untuk menjadi negara maju. Wawasan 2020 akan berjaya jika tidak disebabkan oleh skandal kewangan, rasuah dan salah tadbir urus oleh Kerajaan terdahulu. 5. Belanjawan Pakatan Harapan pertama yang dibentangkan pada tahun 2018 menumpukan kepada konsolidasi dan rasionalisasi fiskal, reformasi institusi dan dasar berjiwa rakyat bagi memperbetulkan penyelewengan kewangan dan salah guna kuasa yang berleluasa di bawah pentadbiran terdahulu. Belanjawan 2020 dirangka bertemakan “Memacu Pertumbuhan Dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama”. Kerajaan komited untuk menstabilkan semula kedudukan kewangan Kerajaan, dan meneruskan matlamat Wawasan 2020 dengan trajektori pertumbuhan baharu berasaskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir bin Mohamad. PRESTASI EKONOMI DAN CABARAN Tan Sri Yang Dipertua, 6. Mutakhir ini, ekonomi dunia berada dalam situasi tidak menentu, diakibatkan oleh perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan negara lain terutamanya Republik Rakyat China. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi dunia pada tahun 2019 daripada 3.9 peratus pada Julai 2018 kepada 3.2 peratus pada Julai 2019. Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) juga telah menurunkan unjuran pertumbuhan perdagangan barangan dunia bagi tahun 2019 daripada 2.6 peratus pada April 2019 kepada 1.2 peratus pada Oktober 2019, iaitu kadar terendah sejak tahun 2009. 7. Dalam iklim ekonomi sedemikian, sebagai sebuah negara perdagangan, tidak dapat tidak ekonomi Malaysia akan terkesan. Walau bagaimanapun, melalui dasar ekonomi dan pembaharuan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Harapan, ekonomi negara akan kekal berdaya tahan. Dalam separuh pertama 2019, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) adalah 4.7 peratus, dengan kadar pertumbuhan suku kedua pada 4.9 peratus. Malah, Malaysia adalah salah satu daripada sebilangan kecil ekonomi di dunia yang mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi pada suku kedua berbanding suku sebelumnya. 8. Kerajaan juga telah berjaya mengawal inflasi pada 0.2 peratus dalam separuh pertama 2019, berbanding 1 peratus pada 2018 dan 3.7 peratus pada 2017. Angka-angka ini membuktikan bahawa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan di bawah pentadbiran sebelum ini telah menyumbang dengan ketara kepada harga yang lebih tinggi. Dengan menghapuskan GST pada kadar 6 peratus pada Jun 2018 dan digantikan dengan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada September 2018, kadar inflasi negara telah berkurang ke tahap terendah sejak 2007. Bagi tahun 2019, kadar inflasi dijangka pada 0.9 peratus. Sebagai menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat pada pilihanraya umum tahun lalu, Kerajaan tidak berhasrat melaksanakan semula GST. 9. Walaupun dalam situasi perang perdagangan, eksport Malaysia hanya menguncup secara marginal pada 0.4 peratus dalam lapan bulan pertama 2019 berbanding tahun lalu. Eksport negara dijangka akan terus mencatatkan pertumbuhan positif pada 2019. Dalam tempoh yang sama, Malaysia merekodkan imbangan perdagangan berjumlah RM92.5 bilion iaitu 28.7 peratus lebih tinggi daripada RM71.9 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya. 10. Imbangan perdagangan yang kukuh tersebut akan memastikan akaun semasa negara terus mencatatkan lebihan pada tahun ini. Keseluruhannya, imbangan pembayaran Malaysia kekal positif, dengan lebihan akaun semasa bagi 2019 dijangka berjumlah RM43.4 bilion atau 2.9 peratus daripada Pendapatan Negara Kasar (GNI). Sementara itu, sehingga 30 September 2019, rizab antarabangsa negara kekal teguh pada RM431.3 bilion atau USD103 bilion, mencukupi untuk membiayai 7.6 bulan import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar negeri jangka pendek. 11. Sistem kewangan Malaysia kekal kukuh dan stabil, meskipun sepanjang tahun berdepan persekitaran global yang mencabar serta volatiliti yang tinggi dalam pasaran kewangan antarabangsa. TEMA BELANJAWAN 2020 – MEMACU PERTUMBUHAN DAN KEBERHASILAN SAKSAMA KE ARAH KEMAKMURAN BERSAMA Tan Sri Yang Dipertua, 12. Sebagai rakyat Malaysia, kita berkongsi tanggungjawab untuk membangunkan semula negara. Bagi maksud itu, sesi libat urus yang menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan telah dilaksanakan. Selain sesi konsultasi belanjawan yang dianjurkan oleh Kementerian Kewangan, sebanyak 12 sesi Kumpulan Fokus telah dianjurkan secara bersama dengan Kementerian dan Kerajaan Negeri di seluruh negara yang disertai oleh 2,500 orang yang mewakili lebih 1,200 organisasi. 13. Empat teras yang menunjangi Belanjawan 2020 adalah: PERTAMA : Memacu Pertumbuhan Ekonomi dalam Ekonomi Baharu dan Era Digital KEDUA : Pelaburan Ke Atas Rakyat: Meningkatkan Keupayaan Modal Insan KETIGA : Mewujudkan Masyarakat yang Bersatu, Inklusif dan Saksama KEEMPAT : Memulihkan Institusi dan Kewangan Awam TERAS PERTAMA: MEMACU PERTUMBUHAN EKONOMI DALAM EKONOMI BAHARU DAN ERA DIGITAL Strategi 1: Menjadikan Malaysia sebagai Pilihan Utama Destinasi Pelaburan Tan Sri Yang Dipertua, 14. Semasa Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir bin Mohamad pertama kali menjadi Perdana Menteri, beliau telah membawa Malaysia mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang paling pesat dalam tempoh sedekad dari tahun 1988 hingga 1997 dengan kadar purata pertumbuhan KDNK tahunan sebanyak 9.3 peratus. Ini sekaligus mengangkat Malaysia sebagai Harimau Asia dalam ekonomi dunia. Kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) bukan sahaja mewujudkan pekerjaan baharu dengan gaji yang lebih baik, menjana perniagaan baharu ke dalam pasaran dan peluang ekonomi baharu, malah turut menaik taraf struktur ekonomi Malaysia daripada ekonomi domestik berasaskan pertanian kepada ekonomi perindustrian berorientasikan eksport. 15. Namun, pada awal abad ini, pertumbuhan ekonomi Malaysia beransur perlahan kepada purata 5.1 peratus semenjak tahun 2000. Penguncupan pramatang industri (premature deindustrialisation) dalam ekonomi Malaysia menyebabkan struktur ekonomi semakin bergantung kepada tenaga buruh, pekerja kurang mahir dan struktur kos yang rendah. Akibatnya, kita terus terperangkap dalam status berpendapatan sederhana dan terhindar daripada menjadi ekonomi maju berasaskan produktiviti, inovasi dan kemakmuran bersama. Peluang daripada Perang Perdagangan 16. Perang perdagangan yang berlarutan mewujudkan peluang yang unik untuk Malaysia kembali menjadi destinasi pilihan utama bagi FDI yang mempunyai nilai tambah tinggi. Peralihan pelaburan dalam rantaian bekalan dunia telah menyaksikan FDI yang diluluskan meningkat 47 peratus kepada RM80.1 bilion pada 2018 daripada RM54.4 bilion pada 2017. 17. Bagi separuh pertama tahun ini, FDI yang diluluskan meningkat 97 peratus kepada RM49.5 bilion daripada RM25.1 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas. FDI dalam sektor pembuatan yang diluluskan daripada Amerika Syarikat mencatatkan nilai tertinggi pada RM11.7 bilion, diikuti oleh Republik Rakyat China sebanyak RM4.8 bilion. Memandangkan China merupakan rakan dagangan terbesar negara, FDI dari China sepatutnya setara dengan Amerika Syarikat. Oleh yang demikian, ‘Saluran Khas’ bagi menarik pelaburan dari China akan ditubuhkan di bawah InvestKL. 18. Untuk mengatasi kelewatan dalam meluluskan pelaburan asing dan tempatan, Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan ( NCI), yang dipengerusikan bersama oleh YB Menteri Kewangan dan YB Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Semasa mesyuarat pertama NCI pada 28 Ogos lalu, tiga pelaburan bernilai RM2.2 bilion telah diluluskan. 19. Tahun ini, Kerajaan telah memulakan langkah untuk mengkaji secara menyeluruh dan merombak kerangka insentif sedia ada yang merangkumi Akta Penggalakan Pelaburan 1986, Pakej Galakan Istimewa dan insentif di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967. Kerangka baharu ini dijangka akan siap pada 1 Januari 2021. 20. Kerajaan juga akan menyediakan pakej galakan pelaburan istimewa (customised) bernilai sehingga RM1 bilion setahun untuk tempoh lima tahun. Ini merupakan sebahagian daripada langkah strategik untuk menarik syarikat Fortune 500 dan global unicorns dalam sektor berteknologi tinggi, pembuatan, kreatif dan ekonomi baharu. Sebagai syarat kelayakan, setiap syarikat perlu melabur sekurang-kurangnya RM5 bilion di Malaysia untuk menjana aktiviti ekonomi tambahan, seterusnya menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), mewujudkan 150 ribu pekerjaan berkualiti tinggi dalam tempoh lima tahun serta mengukuhkan ekosistem pembuatan dan perkhidmatan. 21. Bagi mentransformasikan perniagaan tempatan yang terunggul dan berpotensi untuk bersaing dalam pasaran eksport global, Kerajaan juga akan menawarkan pakej galakan pelaburan istimewa bernilai sehingga RM1 bilion setahun untuk tempoh lima tahun kepada syarikat tempatan yang layak. Insentif ini adalah bersyarat dan tertakluk kepada syarikat yang dapat membuktikan keupayaan untuk berkembang dan mengeksport produk dan perkhidmatan ke seluruh dunia. Kerajaan menjangkakan langkah ini akan memperkukuh ekosistem rantaian bekalan tempatan dan mewujudkan 100 ribu pekerjaan berkualiti tinggi untuk rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang. 22. Di samping mempercepatkan kelulusan pelaburan, Kerajaan juga akan menyediakan peruntukan tambahan RM10 juta kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) khususnya untuk meningkatkan pemantauan dan memastikan pelaburan direalisasikan selepas diluluskan. 23. Kerajaan juga akan memperkenalkan insentif cukai untuk menggalakkan lagi aktiviti bernilai tambah tinggi dalam industri Elektrikal dan Elektronik (E&E) untuk beralih ke ekonomi digital berasaskan 5G dan Industri 4.0. Antaranya: Pertama : Pengecualian cukai pendapatan sehingga 10 tahun kepada syarikat E&E yang melabur dalam perkhidmatan berasaskan pengetahuan yang layak; dan Kedua : Elaun Cukai Pelaburan Khas untuk menggalakkan syarikat E&E sedia ada yang telah tamat tempoh Elaun Pelaburan Semula untuk terus kekal melabur di Malaysia. 24. Selain itu, bagi menggalakkan automasi sekaligus meningkat produktiviti syarikat, adalah dicadangkan: Pertama : Elaun Modal Dipercepatkan dan Elaun Modal Kelengkapan Automasi bagi sektor pembuatan untuk syarikat yang membuat perbelanjaan ke atas RM2 juta dan RM4 juta pertama perbelanjaan modal yang layak dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2023; dan Kedua : Galakan ini turut diperluaskan kepada sektor perkhidmatan bagi syarikat yang membuat perbelanjaan ke atas RM2 juta pertama bagi perbelanjaan modal yang layak untuk tempoh mulai tahun taksiran 2020 sehingga tahun taksiran 2023. Meningkatkan Daya Saing Tan Sri Yang Dipertua, 25. Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk terus menambah baik persekitaran perniagaan di Malaysia. Salah satu pembaharuan utama yang akan dilaksanakan ialah memudahkan urusan menjalankan perniagaan (ease of doing business) dengan mengurangkan bilangan langkah yang diperlukan untuk mendaftarkan perniagaan di Malaysia. 26. Tidak dapat dinafikan bahawa pelabuhan dan sistem logistik yang berfungsi dengan baik adalah penting untuk sebuah negara perdagangan seperti Malaysia. Laporan Daya Saing Global oleh World Economic Forum (WEF) 2018 menunjukkan bahawa infrastruktur pengangkutan laut Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia. 27. Pelabuhan Klang kini menduduki tangga ke-12 pelabuhan kontena yang paling sibuk di dunia dan dijangka mencapai kapasiti penuh dalam tempoh lima tahun yang akan datang. Oleh itu, Kerajaan sedang melaksanakan kajian kebolehlaksanaan untuk pembangunan Pulau Carey bagi fasa pertumbuhan seterusnya. Ini adalah untuk menjadikan Pelabuhan Klang sebagai pusat maritim serantau dan hab logistik kargo yang menggabungkan aktiviti pembuatan, pengedaran, penyatuan kargo, bunkering dan pembaikan kapal. 28. Bagi mencapai matlamat ini, Kerajaan akan memperuntukkan RM50 juta untuk pembaikan dan penyelenggaraan jalan raya ke Pelabuhan Klang. Kementerian Pengangkutan akan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan projek Serendah-Port Klang Rail Bypass serta kajian kebolehlaksanaan Koridor Logistik Klang iaitu lebuh raya logistik baru yang akan dibangunkan khusus untuk menghubungkan Northport, Westport dan rangkaian lebuh raya yang sedia ada dengan lebih cekap. Kedua-dua projek ini dianggarkan bernilai RM8.3 bilion. 29. Pada masa yang sama, untuk memudahkan aktiviti perdagangan melalui pelabuhan negara, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) akan memperkenalkan kemudahan pembayaran tertunda (deferred payment facility) bagi mempercepat proses pelepasan dagangan rentas sempadan. Ini akan mengurangkan secara ketara masa dan kos untuk perdagangan. 30. Selain pelabuhan laut, Kerajaan juga ingin mengukuhkan hubungan perdagangan dengan Thailand melalui pembangunan hab logistik di kawasan Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Kota Perdana di Bukit Kayu Hitam seluas 100 ekar. Sebagai lanjutan kepada pembangunan Depoh Trak yang diumumkan dalam Belanjawan 2019, Kerajaan akan memperuntukkan RM50 juta untuk menggalakkan projek kerjasama awam swasta. Kerajaan akan menyediakan infrastruktur utama, sementara sektor swasta akan melabur dalam aset perniagaan yang diperlukan untuk memangkin pelaburan domestik berpotensi yang bernilai RM800 juta, sekaligus menyediakan lebih 600 peluang pekerjaan. 31. RM1.1 bilion akan diperuntukkan untuk menyokong aktiviti di bawah koridor seperti berikut: Pertama : RM50 juta untuk pembangunan Taman Industri Lembah Chuping di Perlis oleh NCIA; Kedua : RM69.5 juta untuk projek berkaitan Pelabuhan Kuantan oleh ECERDC; Ketiga : RM42 juta bagi pembinaan Pusat Rawatan Kumbahan Sungai Segget di Johor oleh IRDA; Keempat : RM55 juta untuk menyokong infrastruktur Taman Industri Samalaju di Sarawak oleh RECODA; dan Kelima : RM20 juta untuk Presint Industri-Agro di Sabah oleh SEDIA. Strategi 2: Mempercepat Ekonomi Digital Tan Sri Yang Dipertua, Membina Infrastruktur Digital 32. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah melonjakkan Malaysia ke era teknologi maklumat dan komunikasi melalui penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC) pada tahun 1996. Kini, kita sedang memasuki era digital. Kerajaan komited ke arah transformasi digital. 33. Dalam tempoh setahun ini, reformasi kawal selia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) telah berjaya mengurangkan harga jalur lebar sebanyak 49 peratus dan mencetuskan anjakan permintaan pengguna untuk rangkaian internet yang lebih pantas. Bank Dunia telah memuji kejayaan Kerajaan dalam mempercepatkan purata kelajuan jalur lebar kepada tiga kali ganda dalam tempoh hanya setahun. 34. Pada masa ini, Kerajaan akan membangunkan infrastruktur yang diperlukan bagi membentuk Digital Malaysia melalui pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) sepanjang tempoh lima tahun yang akan menyediakan liputan berkelajuan tinggi yang komprehensif dan jaringan digital yang berkualiti di seluruh negara termasuk kawasan luar bandar. Pelan ini akan melibatkan jumlah pelaburan sebanyak RM21.6 bilion melalui kerjasama awam swasta. Kerajaan melalui SKMM akan membiayai lebih separuh daripada pelaburan yang diperlukan dengan pelaburan oleh sektor swasta dalam bidang telekomunikasi melalui geran padanan. 35. Sebagai sebahagian daripada NFCP, Kerajaan akan meningkatkan kesalinghubungan di kawasan pedalaman Malaysia, khususnya di Sabah dan Sarawak, bagi memastikan tiada pihak yang terpinggir dalam agenda digital negara. SKMM akan memperuntukkan RM250 juta untuk menyediakan akses jalur lebar melalui teknologi satelit. 36. Selain itu, Kerajaan akan memperuntukkan RM210 juta untuk mempercepatkan infrastruktur digital di bangunan awam terutamanya sekolah dan kawasan berimpak tinggi seperti taman perindustrian. Keutamaan akan diberikan kepada lokasi di negeri yang dapat memudahkan dan mempercepat pelaksanaan NFCP. Membina Aplikasi Digital 37. Kesungguhan melaksanakan NFCP adalah penting dalam memperkenalkan teknologi dan perkhidmatan 5G kepada rakyat. Bagi menggalakkan pembangunan teknologi oleh syarikat Malaysia untuk menghadapi gelombang perubahan 5G di seluruh dunia, yang 100 kali lebih pantas berbanding 4G, Kerajaan akan memperkenalkan Geran Pembangunan Ekosistem 5G bernilai RM50 juta. 38. Selain itu, Kerajaan akan memperuntukkan RM25 juta untuk menyediakan dana geran padanan secara bidaan untuk menggalakkan lebih banyak projek perintis aplikasi digital bagi dron penghantar, kenderaan pandu sendiri, teknologi blockchain serta produk dan perkhidmatan lain yang memanfaatkan pelaburan dalam infrastruktur gentian optik dan 5G. 39. Kandungan digital boleh menjana nilai ekonomi. Misalnya, pendapatan industri permainan video dunia melebihi USD150 bilion pada masa ini adalah lebih tinggi berbanding gabungan hasil industri muzik dan filem. Oleh itu, Kerajaan akan memperuntukkan RM20 juta kepada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk memupuk jaguh tempatan dalam menghasilkan kandungan digital khususnya dalam bidang yang sedang berkembang pesat seperti e-Permainan, animasi dan seni digital. Membangunkan Syarikat Digital 40. Bagi membangunkan Digital Malaysia, Kerajaan memerlukan penyertaan pihak swasta. Untuk tujuan ini, lebih banyak PKS Malaysia perlu menerima pakai langkah pendigitalan untuk operasi syarikat, termasuk Sistem Jualan Elektronik (e-POS), Perencanaan Sumber Daya Perusahaan (ERP) dan Sistem Pembayaran Gaji Elektronik. Oleh itu, Kerajaan akan menyediakan 50 peratus geran padanan dengan jumlah sehingga RM5 ribu untuk melanggan perkhidmatan tersebut. Geran padanan ini berjumlah RM500 juta untuk tempoh selama lima tahun, dan dihadkan kepada 100 ribu PKS pertama yang memohon untuk menaik taraf sistem mereka. 41. Bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran produk, Kerajaan akan memperuntukkan RM550 juta bagi menyediakan geran padanan Automasi Pintar kepada seribu syarikat pembuatan dan seribu syarikat perkhidmatan untuk mengautomasikan proses perniagaan. Geran ini diberikan secara padanan sehingga RM2 juta bagi setiap syarikat. 42. Kerajaan bercadang untuk menubuhkan 14 Pusat Peningkatan Digital Sehenti di semua negeri untuk memudahkan akses kepada pembiayaan dan pembangunan kapasiti perniagaan, terutamanya PKS sejajar dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0). Sejumlah RM70 juta akan diperuntukkan kepada MDEC untuk menubuhkan pusat-pusat ini sebagai tambahan kepada program ‘100 Go Digital’. Kerajaan bercadang untuk mewujudkan 3 perpustakaan digital baharu di Kedah, Perak dan Johor bertujuan menggalakkan perkongsian pengetahuan dan pendidikan melalui kandungan digital. 43. Cradle Fund melalui Program Bimbing dan Pupuk (Coach and Grow Programme) telah melahirkan ramai usahawan teknologi berimpak tinggi melibatkan 469 syarikat dengan penjanaan hasil sebanyak RM2.3 bilion, termasuk RM300 juta yang telahpun dieksport. Oleh itu, sebagai komitmen berterusan Kerajaan untuk menggalakkan inovasi di peringkat awal, Kerajaan akan menyediakan RM20 juta untuk Cradle Fund bagi tujuan latihan dan geran untuk program ini. Membina Masyarakat Digital 44. Bagi memastikan syarikat digital yang berjaya menyumbang kepada kemakmuran bersama, Kerajaan akan memperkenalkan konsep Tanggungjawab Sosial Digital (DSR). DSR adalah komitmen oleh sektor perniagaan untuk meningkatkan keupayaan tenaga kerja masa depan dengan kemahiran digital untuk masyarakat yang memerlukan. Untuk tujuan ini, sumbangan sektor swasta dalam aktiviti DSR akan diberikan potongan cukai. 45. Di samping itu, sebanyak RM10 juta akan disediakan kepada MDEC untuk melatih usahawan mikro-digital dan pakar teknologi bagi memanfaatkan e-Marketplaces dan platform media sosial. Seramai 100 daripada usahawan mikro-digital ini, yang majoritinya terdiri daripada wanita dan belia, telah berjaya menjana pendapatan sebanyak RM23 juta dalam tempoh hanya enam bulan sekaligus mengubah kehidupan mereka. 46. Kerajaan Pakatan Harapan mengiktiraf potensi tinggi e-Sukan dan akan meningkatkan peruntukan sebanyak RM20 juta pada tahun 2020. Kerajaan mengucapkan selamat berjaya kepada pasukan Malaysia dan semoga memenangi sebanyak mungkin pingat emas Sukan SEA di Manila pada bulan Disember 2019. Tan Sri Yang Dipertua, 47. Transformasi Malaysia kepada Ekonomi Digital hanya boleh direalisasikan sekiranya rakyat mengamalkan budaya digital dan mengambil bahagian dalam urus niaga digital menjurus ke arah masyarakat tanpa tunai. Berdasarkan Pelan Sektor Kewangan Bank Negara Malaysia (BNM) 2011 hingga 2020, Malaysia boleh menjimatkan kira-kira 1 peratus daripada KDNK setiap tahun dengan beralih sepenuhnya kepada e-Bayaran. Pada tahun 2018, jumlah urus niaga pembayaran mudah alih meningkat 20 kali ganda kepada lebih 34 juta transaksi berbanding kurang daripada 2 juta transaksi pada tahun 2017. Akan tetapi, laporan kajian Nielsen pada Januari tahun ini mendapati penerimaan keseluruhan e-Dompet masih rendah pada hanya 8 peratus. 48. Bagi mempercepat transformasi ke arah peningkatan penggunaan e-Dompet dalam masyarakat dan peniaga, terutamanya perusahaan perniagaan kecil dan runcit untuk menerima bayaran digital, Kerajaan akan menawarkan rangsangan digital secara one-off bernilai RM30 kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dengan pendapatan tahunan kurang daripada RM100 ribu. Apa yang diperlukan hanyalah akaun e-Dompet dengan identiti yang disahkan melalui penyedia perkhidmatan yang terpilih. Rangsangan digital secara one-off bagi setiap orang boleh ditebus dan digunakan untuk tempoh dua bulan bermula 1 Januari 2020 dan akan tamat pada 29 Februari 2020. Kerajaan akan memperuntukkan sehingga RM450 juta kepada Khazanah Nasional untuk melaksanakan insentif ini yang akan memberi manfaat kepada 15 juta rakyat Malaysia. Strategi 3: Memperkukuh Akses kepada Pembiayaan Perniagaan Tan Sri Yang Dipertua, 49. Untuk memudahkan akses kepada pembiayaan untuk PKS dalam segmen utama, Kerajaan akan membuat penambahbaikan terhadap Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP). Bagi PKS Bumiputera, PKS yang berorientasikan eksport serta PKS yang melabur dalam automasi dan digital, jaminan Kerajaan akan dinaikkan daripada 70 peratus kepada 80 peratus. Sebagai tambahan, yuran jaminan turut dikurangkan kepada hanya 0.75 peratus. SJPP juga menyediakan kemudahan jaminan baharu sebanyak RM500 juta untuk usahawan wanita. 50. Bagi terus menyokong usahawan baharu, SME Bank akan memperkenalkan dua dana baharu di mana Kerajaan akan menyediakan subsidi kadar faedah 2 peratus setahun bagi mengurangkan kos pinjaman seperti berikut: Pertama : Peruntukan dana RM200 juta khusus untuk usahawan wanita dengan tawaran pembiayaan sehingga RM1 juta bagi setiap PKS; dan Kedua : Peruntukan dana RM300 juta untuk menyokong PKS Bumiputera yang berpotensi menjadi jaguh serantau. Untuk tujuan ini, keutamaan akan diberikan kepada pengeluar produk halal serta pengeluar produk dengan kandungan tempatan yang tinggi. 51. Peruntukan sebanyak RM10 juta akan disediakan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan bagi memberi tumpuan kepada khidmat nasihat dan kesedaran untuk pensijilan halal, pembangunan produk halal dan menyediakan platform untuk industri tempatan bersaing di pasaran halal antarabangsa yang kini dianggarkan bernilai USD3 trilion. 52. Bagi membolehkan PKS kekal berdaya saing, mereka perlu terus meningkatkan eksport. Kerajaan Pakatan Harapan akan menaikkan siling setiap syarikat bagi inisiatif Geran Pembangunan Pasaran (MDG) oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dari RM200 ribu kepada RM300 ribu setiap tahun. Pada masa yang sama, siling untuk penyertaan dalam setiap pameran eksport juga akan ditingkatkan dari RM15 ribu kepada RM25 ribu. Kerajaan akan memperuntukkan RM50 juta untuk menggalakkan PKS menyertai lebih banyak aktiviti promosi. 53. Dalam era fintech , Bank Negara Malaysia sedang memuktamadkan rangka kerja pelesenan untuk bank digital yang akan diterbitkan menjelang akhir tahun ini untuk konsultasi awam. Rangka kerja akhir akan dimuktamadkan dan dibuka untuk permohonan pada separuh pertama 2020. 54. Kerajaan akan terus menyokong dan menggalakkan inovasi kewangan digital baharu seperti platform Equity Crowdfunding (ECF) dan Peer-to-Peer (P2P). Secara kolektif, lebih RM430 juta telah dijana sehingga Jun tahun ini yang memberi manfaat kepada lebih 1,200 PKS. Atas kejayaan awal ini, Kerajaan memperuntukkan tambahan RM50 juta kepada My Co-Investment Fund (MyCIF) di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk memanfaatkan platform sebegini kepada PKS yang sukar mendapat akses pembiayaan. 55. Bagi terus menggalakkan penyediaan sumber dana alternatif kepada syarikat baharu serta menarik lebih banyak pelaburan asing ke Malaysia, galakan cukai bagi modal teroka dan pelabur mangkin (angel investor) dilanjutkan sehingga tahun 2023. 56. Bagi memangkin dan menggalakkan pembiayaan kepada konsortium pembinaan yang membida projek dan konsesi di luar negara, Kerajaan akan menyediakan RM1 bilion dalam bentuk jaminan padanan dengan nisbah 1 kepada 5 untuk dana ekuiti swasta khusus untuk melabur dalam konsortium Malaysia tersebut. 57. Untuk menyokong pembangunan usahawan Bumiputera, geran sebanyak RM445 juta akan diberikan dari segi akses kepada pembiayaan, penyediaan premis perniagaan dan latihan keusahawanan. Ini termasuklah: Pertama : RM150 juta untuk semua program pembangunan dan peningkatan kemahiran keusahawanan oleh Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB); Kedua : RM75 juta untuk membina kapasiti PKS Bumiputera oleh SMECorp, yang merangkumi program untuk meningkatkan pemasaran, pembungkusan dan celik kewangan; Ketiga : RM170 juta untuk akses pembiayaan melalui TEKUN Nasional, SME Bank dan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB); dan Keempat : RM50 juta untuk program keusahawanan di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi. 58. Kerajaan akan terus menyokong projek strategik menerusi program pembiayaan di bawah Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), yang menawarkan subsidi faedah 2 peratus setahun melalui: Pertama: Dana Pembiayaan Pembangunan Mampan yang ditingkatkan daripada RM1 bilion kepada RM2 bilion; Kedua: Dana Maritim & Logistik bernilai RM1 bilion; dan Ketiga: Dana Transformasi Pendigitalan Industri bernilai RM2 bilion yang kini akan menyokong pelaksanaan projek kesalinghubungan digital. 59. Berbanding pentadbiran dahulu yang memberikan pinjaman kepada peniaga kecil melalui koperasi yang berunsurkan politik, pentadbiran Pakatan Harapan mengasingkan unsur politik daripada pembiayaan, dengan menyediakan pinjaman sebanyak RM100 juta di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Perusahaan Kecil Komuniti Cina. Pembiayaan ini akan diuruskan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) yang mempunyai lebih 380 cawangan di seluruh negara dengan kadar faedah 4 peratus setahun. 60. Bagi usahawan etnik India, Kerajaan akan menyediakan pinjaman sebanyak RM20 juta di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India, TEKUN Nasional yang dijangka memberi manfaat kepada 1,300 usahawan India juga dengan kadar faedah 4 peratus setahun. Penstrukturan Semula Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) 61. Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) memainkan peranan penting sebagai institusi awam dalam menyokong matlamat pembangunan negara untuk memenuhi keperluan ekonomi baharu. Untuk mengukuhkan ekosistem ini, Kerajaan melalui Bank Negara Malaysia mencadangkan pelan penstrukturan semula DFI dengan menubuhkan institusi kewangan baharu dalam dua fasa melalui penggabungan BPMB, Danajamin Nasional, SME Bank dan Bank Eksport-Import Malaysia. Mengembangkan Kewangan Islam 62. Untuk tahun ini, Kementerian Kewangan telah mewujudkan Jawatankuasa Khas Kewangan Islam yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri Kewangan dengan objektif utama untuk menggalak dan membangunkan ekosistem kewangan Islam. Dalam meletakkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan kewangan Islam, Jawatankuasa ini akan: Pertama : Merangka Blueprint Ekonomi Islam yang melibatkan semua agensi berkaitan; dan Kedua : Menganjurkan inisiatif outreach dan kursus profesional untuk meningkatkan kefahaman mengenai Kewangan Islam di seluruh negara. 63. Selain itu, potongan cukai bagi kos penerbitan dan potongan cukai tambahan bagi kos tambahan penerbitan sukuk di bawah prinsip Wakalah akan dilanjutkan untuk tempoh lima tahun sehingga tahun taksiran 2025. 64. Bagi terus mempromosikan aktiviti pengurusan dana Islam serta dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (Sustainable and Responsible Investment atau SRI), pengecualian cukai kepada syarikat pengurusan dana yang menguruskan dana patuh Syariah dan dana SRI serta potongan cukai ke atas kos penerbitan Sukuk SRI dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun lagi sehingga tahun taksiran 2023. Strategi 4: Mengukuhkan Kepelbagaian Ekonomi Tan Sri Yang Dipertua, 65. Demi mencapai kepelbagaian ekonomi (economic diversity) untuk memperluaskan asas pertumbuhan, langkah spesifik akan dilaksanakan dalam empat bidang iaitu ekonomi hijau, pertanian, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pelancongan. Pertumbuhan Hijau dan Tenaga untuk Masa Depan 66. Sebagai salah satu langkah untuk pembukaan pasaran bekalan elektrik, Kerajaan akan melaksanakan peralihan daripada sistem berasaskan mekanisme Power Purchase Agreement (PPA) kepada sistem pasaran terbuka. Penjana elektrik berasaskan tenaga boleh baharu dapat bersaing secara langsung di pasaran runcit. Pasaran elektrik yang lebih telus dan terbuka akan dapat memastikan kos elektrik yang lebih kompetitif untuk pengguna Malaysia. 67. Kerajaan berhasrat untuk merangka dasar yang berkaitan untuk mencapai sasaran negara bagi menjana 20 peratus penggunaan tenaga daripada tenaga boleh baharu menjelang tahun 2025. Pada Belanjawan 2019, Kerajaan telah memperluaskan senarai aset hijau yang layak untuk Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) di bawah direktori MyHijau. Untuk Belanjawan 2020, Kerajaan akan melanjutkan galakan GITA dan Pengecualian Cukai Pendapatan bagi Perkhidmatan Teknologi Hijau (GITE) sehingga 2023. Di samping itu, galakan cukai akan turut diperkenalkan kepada syarikat yang melaksanakan aktiviti pajakan tenaga suria (solar leasing) dengan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus untuk tempoh sehingga 10 tahun. 68. Melalui Kontrak Prestasi Tenaga (EPC), pelaburan modal awal bagi peralatan penjimatan tenaga untuk bangunan Kerajaan akan dibayar balik melalui penjimatan kos utiliti yang dicapai. Pada tahun 2020, Kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan EPC untuk bangunan Kerajaan, dengan mengutamakan hospital dan institusi pendidikan. Memajukan Komoditi 69. Kerajaan amat prihatin terhadap kesan harga komoditi yang rendah ke atas mata pencarian rakyat, khususnya pekebun kecil. Dalam masa yang sama, Kerajaan kecewa dan hampa dengan kempen anti-minyak sawit yang dilancarkan oleh Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat. Kerajaan berhasrat untuk menyokong industri ini dengan langkah-langkah berikut: Pertama : Kerajaan telah melancarkan dana pinjaman penanaman semula kelapa sawit berjumlah RM550 juta untuk pekebun kecil tanpa cagaran pada kadar faedah 2 peratus setahun. Tempoh pinjaman adalah selama 12 tahun termasuk tempoh moratorium selama empat tahun ke atas pembayaran balik. Penanaman semula akan dijalankan menggunakan teknik semaian terkini serta mematuhi piawaian Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) untuk memastikan produktiviti dan kebolehpasaran yang lebih baik; Kedua : Kerajaan akan memperuntukkan RM27 juta untuk menyokong usaha Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam meluaskan pasaran minyak sawit di peringkat antarabangsa dan menangani kempen anti-minyak sawit; dan Ketiga : Untuk meningkatkan penggunaan biodiesel, penggunaan Biodiesel B20 untuk sektor pengangkutan akan dilaksanakan menjelang akhir tahun 2020. Ini dijangka meningkatkan permintaan minyak sawit sebanyak 500 ribu tan setahun. 70. Kerajaan memahami akan kesukaran yang disebabkan oleh harga getah rendah dan penurunan hasil pada musim tengkujuh. Oleh itu, Kerajaan akan memperuntukkan RM200 juta untuk Bantuan Musim Tengkujuh kepada pekebun kecil getah yang layak di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS). Kerajaan juga akan menyediakan RM100 juta untuk Insentif Pengeluaran Getah pada tahun 2020 bertujuan meningkatkan pendapatan pekebun kecil yang terjejas akibat kejatuhan harga getah. 71. Di samping itu, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM810 juta khususnya untuk kebajikan masyarakat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), seperti berikut: Pertama : RM250 juta untuk program bagi meningkatkan pendapatan 11,600 orang peneroka; Kedua : RM300 juta untuk hapus kira faedah pinjaman peneroka; Ketiga : RM100 juta bagi bekalan air FELDA; Keempat : RM70 juta untuk perumahan generasi baru peneroka FELDA; dan Kelima : RM90 juta untuk menaik taraf jalan dan infrastruktur asas di kawasan FELDA. 72. Belanjawan 2020 juga akan menyediakan RM738 juta untuk RISDA dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) untuk melaksanakan pelbagai program penjanaan pendapatan yang akan memberi manfaat kepada lebih 300 ribu pekebun kecil RISDA dan 100 ribu peserta FELCRA. Meningkatkan Pendapatan Petani 73. Kerajaan telah meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani daripada RM4.4 bilion untuk 2019 kepada RM4.9 bilion untuk 2020, dengan memberi fokus khusus kepada meningkatkan pendapatan bagi pengusaha pertanian. 74. Elaun Sara Hidup Nelayan akan ditingkatkan daripada RM200 kepada RM250 sebulan, menjadikan peruntukan keseluruhan sebanyak RM152 juta pada tahun 2020. Tan Sri Yang Dipertua, 75. Dalam usaha membantu petani, nelayan dan pekebun kecil mempelbagaikan sumber pendapatan, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM150 juta sebagai galakan program integrasi tanaman seperti cili, nanas, kelapa, tembikai dan buluh. 76. Kerajaan juga berhasrat menjadikan padi pulut sebagai produk perdana Pulau Langkawi bagi meningkatkan pendapatan petani. Bagi menyokong inisiatif ini, Kerajaan akan memperuntukkan RM30 juta untuk penghasilan beras pulut di Pulau Langkawi yang dijangka memberi manfaat kepada 1,200 petani. 77. Bagi meningkatkan hasil padi, Kerajaan akan meningkatkan peruntukan input padi sebanyak RM855 juta bagi tahun 2020 berbanding RM796 juta pada 2019 di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP). Di samping itu, Kerajaan juga akan meneruskan subsidi padi bukit atau padi huma. 78. Akhir sekali, Kerajaan juga akan memperuntukkan sebanyak RM43 juta ke arah pembangunan Industri Pertanian 4.0 bagi membangunkan baka yang berkualiti dan berproduktiviti tinggi. Tan Sri Yang Dipertua, Menambah Baik Kerangka Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) 79. Kedudukan global Malaysia telah meningkat daripada kedudukan ke-37 di dunia pada tahun 2017 kepada kedudukan ke-35 pada tahun 2019 dalam Indeks Inovasi Global (GII) yang diterbitkan oleh World Intellectual Property Organization (WIPO). Namun, usaha kita akan diteruskan dengan meningkatkan rangka kerja R&D Malaysia, melalui: Pertama : Menggiatkan R&D dalam sektor awam dengan peruntukan sejumlah RM524 juta kepada pelbagai Kementerian dan Agensi; Kedua : Kerajaan juga akan memperuntukkan RM30 juta geran padanan R&D untuk menggalakkan kerjasama di antara industri dan ahli akademik bagi meningkatkan nilai tambah dalam penggunaan minyak sawit di sektor hiliran terutamanya tocotrienol dalam produk farmaseutikal dan bahan api bio-jet; Ketiga : Menyelaras R&D dengan menubuhkan Agensi Pengurusan Penyelidikan dengan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk menguruskan sumber penyelidikan awam secara berpusat; Keempat : Mengkomersialkan R& D dengan menubuhkan Pejabat Inovasi Sehenti di dalam sektor awam untuk memanfaatkan harta intelek secara komersial bagi menggalakkan aktiviti R&D dan universiti penyelidikan, bermula dengan Universiti Malaya; dan Kelima : Pendapatan harta intelek daripada paten dan hak cipta perisian bagi aktiviti yang layak yang dibangunkan di Malaysia akan diberi pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh sehingga 10 tahun berdasarkan konsep Modified Nexus Approach. 80. Kerajaan akan memperuntukkan RM11 juta melalui inisiatif yang digerakkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan untuk menggalakkan lebih ramai pelajar ke bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Tahun Melawat Malaysia 2020 Tan Sri Yang Dipertua, 81. Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY2020) merupakan usaha utama Kerajaan untuk menjenamakan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan, dengan sasaran 30 juta pelancong. Kerajaan akan meneruskan pemberian 50 peratus hasil cukai pelancongan kepada setiap Kerajaan Negeri untuk menyokong usaha mereka bersempena dengan VMY2020. Bagi memenuhi hasrat VMY2020, sebanyak RM1.1 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di mana RM90 juta dikhaskan untuk meningkatkan kesedaran, promosi dan program sempena kempen VMY2020. Dalam pada itu, sebahagian besar daripada levi pelepasan yang dikenakan kepada penumpang yang ke luar negara menggunakan pengangkutan udara mulai 1 September 2019 akan diperuntukkan kepada projek infrastruktur pelancongan. 82. Untuk meningkatkan manfaat ekonomi VMY2020, Kerajaan akan mencadangkan insentif cukai yang disasarkan ke atas sektor kesenian dan pelancongan seperti berikut: Pertama : Pengecualian cukai pendapatan kepada penganjur aktiviti kesenian dan kebudayaan serta pertandingan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa yang diluluskan dan penganjur persidangan; Kedua : Pelaburan baharu bagi taman tema antarabangsa diberikan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus daripada pendapatan berkanun atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus ditolak sehingga 70 peratus untuk lima tahun; Ketiga : Meningkatkan potongan cukai yang diberi kepada syarikat yang menaja aktiviti kesenian, kebudayaan dan warisan di Malaysia daripada RM700 ribu sehingga RM1 juta setahun; Keempat : Elaun Modal Dipercepatkan ke atas perbelanjaan bagi pembelian bas persiaran baharu jenis pemasangan tempatan dituntut sepenuhnya dalam tempoh dua tahun; dan Kelima : Pengecualian duti eksais sebanyak 50 peratus bagi kenderaan pemasangan tempatan diberikan kepada pengendali pelancongan bagi pembelian kenderaan pelancongan baharu yang layak. 83. Perkhidmatan kereta api funikular ke Bukit Bendera Pulau Pinang dijangka mencecah dua juta penumpang setahun dan melebihi kapasiti. Kerajaan akan menyumbang kepada pembinaan sistem kereta kabel baharu ke Bukit Bendera dengan peruntukan sebanyak RM100 juta, di mana kos tambahan akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri. 84. Kerajaan akan memperuntukkan RM5 juta kepada Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (CENDANA) untuk menyokong galeri seni visual dan penganjur pameran seni. Selain itu, RM10 juta akan diperuntukkan kepada Think City untuk memelihara budaya dan warisan bandar. 85. Kerajaan juga akan menganjurkan Tahun Pelancongan Kesihatan Malaysia 2020 sebagai mengisi program VMY2020 untuk memperkukuh kedudukan utama Malaysia sebagai destinasi pelancongan perubatan di rantau ini. Pelancongan perubatan adalah sektor yang berkembang pesat di Malaysia, di mana ia telah meningkat 17 peratus setiap tahun dari 2015 hingga 2018. Pada tahun 2018, sektor ini telah menjana pendapatan RM1.5 bilion daripada 1.2 juta pelancong kesihatan. Untuk mempromosikan lagi pelancongan kesihatan, Kerajaan akan memperuntukkan RM25 juta kepada Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pelancongan kesihatan di ASEAN untuk onkologi, kardiologi dan rawatan kesuburan. 86. Sehingga kini, permohonan e-visa telah pun diperkenalkan kepada 10 buah negara, termasuk China dan India. Bagi memudahcara proses pengeluaran visa, ejen pelancongan berlesen di bawah MOTAC dibenarkan untuk menghantar permohonan secara berkelompok sehingga 100 orang setiap transaksi melalui sistem eNTRI dan eVISA. TERAS KEDUA: PELABURAN KE ATAS RAKYAT: MENINGKATKAN KEUPAYAAN MODAL INSAN Tan Sri Yang Dipertua, 87. Pertumbuhan ekonomi yang baik sahaja tidak memadai untuk memastikan kemakmuran bersama dapat dikecapi. Malah, ianya memerlukan penyertaan semua lapisan masyarakat supaya hasilnya dapat dikongsi secara saksama. Terdapat tiga cabaran yang berkait rapat dengan pasaran buruh yang memerlukan perhatian daripada Kerajaan. 88. Pertama, Kerajaan amat bimbang dengan peningkatan lebih daripada setengah juta rakyat Malaysia menganggur pada tahun 2018 yang mana 140 ribu merupakan graduan. Dari segi usia, sekitar 290 ribu penganggur merupakan belia berumur sehingga 24 tahun. 89. Kedua, jurang antara jantina dalam pekerjaan masih besar sungguhpun Malaysia telah mencapai kemajuan yang ketara dengan pelantikan wanita yang pertama sebagai Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kadar penyertaan tenaga buruh wanita tidak berubah sekitar 55 peratus, jauh daripada sasaran 60 peratus. Kajian terkini Bank Dunia merumuskan bahawa sekiranya semua halangan terhadap wanita dihapuskan, pendapatan per kapita negara akan meningkat sebanyak 26.2 peratus. 90. Ketiga, Malaysia terlalu bergantung kepada buruh berkemahiran rendah terutamanya pekerja asing. Tenaga buruh asing yang murah tidak menggalakkan syarikat tempatan untuk melabur dalam modal dan teknologi yang produktif. Secara rasminya, sehingga akhir tahun 2018, terdapat 2.2 juta pekerja asing atau 15 peratus daripada 15 juta tenaga buruh di Malaysia. Oleh itu, semua pihak perlu berusaha mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing berkemahiran rendah serta mengenal pasti cabaran-cabaran yang dihadapi oleh industri dalam memperolehi pekerja yang mencukupi dalam pasaran buruh. Strategi 5: Meningkatkan Peluang Pekerjaan untuk Rakyat Malaysia Tan Sri Yang Dipertua, #MalaysiaKerja (Malaysians@Work) 91. Menyedari cabaran-cabaran yang dihadapi, Kerajaan akan melancarkan inisiatif #MalaysiaKerja (Malaysians@Work) bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik untuk belia dan wanita sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah. Secara ringkasnya, #MalaysiaKerja dibahagikan kepada empat program yang disasarkan kepada pekerja dan majikan dengan menyediakan pelbagai insentif seperti berikut: Pertama : #GraduanKerja (Graduates@Work) direka khusus untuk pengambilan graduan yang menganggur melebihi 12 bulan. Graduan yang menerima tawaran kerja akan menerima insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan sebagai tambahan kepada gaji yang diterima. Manakala majikan pula akan menerima insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan juga bagi tempoh yang sama; Kedua : #WanitaKerja (Women@Work) bertujuan mewujudkan 33 ribu peluang pekerjaan setahun untuk wanita berusia di antara 30 hingga 50 tahun yang telah berhenti bekerja selama setahun atau lebih. Wanita yang kembali bekerja akan diberi insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM500 sebulan, manakala majikan pula akan diberi insentif pengambilan pekerja sebanyak RM300 sebulan bagi tempoh yang sama. Sebagai tambahan, pengecualian cukai pendapatan bagi wanita yang kembali bekerja akan dilanjutkan empat tahun lagi sehingga tahun 2023; Ketiga : # WatanKerja (Locals@Work) adalah program kesamarataan kos pengambilan pekerja yang bertujuan mengalihkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah. Warganegara yang menggantikan pekerja asing akan diberikan insentif gaji selama dua tahun sebanyak RM350 atau RM500 sebulan mengikut sektor. Manakala, majikan pula akan menerima insentif pengambilan sebanyak RM250 sebulan dalam tempoh yang sama; dan Keempat : #PerantisKerja (Apprentice@Work) adalah program insentif Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bentuk elaun tambahan sebanyak RM100 sebulan untuk pelajar semasa menjalani latihan industri dalam kursus TVET bertujuan menggalakkan lebih ramai belia menyertai kursus TVET. Justeru, Kerajaan juga akan melanjutkan potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan yang dilakukan oleh syarikat yang menyertai Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) bagi tempoh dua tahun lagi. Sebagai tambahan, potongan cukai dua kali yang telah diberikan kepada syarikat yang melaksanakan Program Internship Berstruktur (SIP) yang diluluskan oleh TalentCorp bagi pelajar yang mengikuti bidang kejuruteraan dan teknologi akan diperluaskan kepada semua bidang akademik yang lain. 92. Kerajaan percaya menerusi program #MalaysiaKerja, warga Malaysia yang menganggur akan menguasai kemahiran dan kecekapan yang diperlukan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan dengan syarikat yang relevan serta peratusan pengekalan pekerja selepas tempoh dua tahun insentif tamat adalah melebihi 90 peratus. Ini akan membina modal insan dari kalangan penganggur untuk menjadi pekerja yang berdikari dan menyumbang secara produktif kepada pasaran buruh. 93. Inisiatif #MalaysiaKerja akan disediakan oleh Kerajaan dan diuruskan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), di mana insentif gaji tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun KWSP kecuali bagi program #PerantisKerja. Inisiatif ini juga akan diintegrasikan dengan Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) serta program pasaran buruh aktif yang lain. Kerajaan menjangkakan program #MalaysiaKerja akan mewujudkan tambahan peluang pekerjaan sebanyak 350 ribu untuk rakyat Malaysia dalam masa lima tahun. Program ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada seramai 130 ribu orang pekerja asing. #MalaysiaKerja dijangka melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM6.5 bilion dalam tempoh lima tahun yang akan datang. 94. Kerajaan juga akan melaksanakan langkah-langkah selanjutnya untuk menambah baik persekitaran kerja bagi para wanita dan ibu bapa secara amnya. Sejajar dengan usaha ini, Kerajaan pada tahun 2019 telah berjaya menyediakan 66 Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) baharu di bangunan Kerajaan dengan peruntukan RM10 juta berbanding sasaran awal 50 TASKA. Bagi tahun hadapan, Kerajaan akan meningkatkan peruntukan kepada RM30 juta untuk menyediakan lebih banyak lagi TASKA terutamanya di hospital dan sekolah. Sebagai tambahan, bagi meringankan beban kewangan ibu bapa yang menghantar anak untuk pendidikan awal ke TASKA dan Taman Didikan Kanak- Kanak (TADIKA) berdaftar, pelepasan cukai individu bagi yuran yang dibayar akan dinaikkan daripada RM1 ribu kepada RM2 ribu. Strategi 6: Memodenkan Pasaran Buruh 95. Selain daripada mewujudkan peluang pekerjaan baharu, Kerajaan juga akan meneruskan usaha untuk memodenkan pasaran buruh negara dengan menambah baik syarat-syarat pekerjaan untuk pekerja. 96. Kerajaan akan meneliti semula Akta Kerja 1955 bagi memastikan akta tersebut kekal relevan dengan keperluan pasaran tenaga kerja semasa. Oleh itu, kajian semula Akta Kerja 1955 meliputi perkara berikut: Pertama : Meningkatkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari berkuat kuasa mulai tahun 2021; Kedua : Memanjangkan kelayakan bayaran lebih masa bagi golongan yang berpendapatan kurang daripada RM2 ribu kepada RM4 ribu sebulan; Ketiga : Menambah baik pengendalian aduan gangguan seksual dari segi perlindungan dan prosedur; dan Keempat : Memantapkan peruntukan berkaitan larangan diskriminasi dalam pekerjaan contohnya agama, kaum atau jantina. 97. Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk menambah baik kehidupan rakyat, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah. Pada bulan Januari 2019, Kerajaan telah meningkatkan gaji minimum kepada RM1,100 sebulan. Justeru, bagi mengimbangi keperluan pekerja dan majikan dengan mengambil kira kenaikan kos sara hidup di bandar-bandar utama, Kerajaan mencadangkan supaya gaji minimum ditingkatkan pada kadar RM1,200 sebulan hanya di wilayah bandar-bandar utama berkuat kuasa pada tahun 2020. Meningkatkan Perlindungan Sosial Tan Sri Yang Dipertua, 98. Seiring dengan persekitaran kerja yang sering berubah, mekanisme perlindungan sosial pekerja juga harus ditambah baik. Dalam konteks ini: Pertama : KWSP akan memperluaskan perlindungan kepada pekerja kontrak di bawah kontrak untuk perkhidmatan (contract for service) dan Profesional. Sebagai permulaan, skim ini akan dijalankan secara sukarela bagi pekerja dalam industri seni dan hiburan melalui kerjasama antara KWSP dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) sebelum diperluaskan kepada sektor lain; dan Kedua : Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan diperluaskan bagi membolehkan caruman oleh 18 kumpulan yang bekerja sendiri mulai tahun 2020, seperti nelayan, petani, pemilik tunggal dan perkongsian. 99. PERKESO juga akan membina sebuah pusat rehabilitasi baharu dengan kos sebanyak RM500 juta di Perak, selepas kejayaan Pusat Rehabilitasi PERKESO di Melaka. Pusat baharu ini akan dilengkapi dengan teknologi terkini termasuk robotik, rawatan trauma dan pusat kecemerlangan bagi mencegah kemalangan, dengan kerjasama agensi berkaitan. i-Suri untuk Pasangan 100. Pada 2019, program i-Suri telah mendapat peruntukan sebanyak RM45 juta sebagai tambahan ke atas sumbangan yang diberikan oleh suami kepada isteri yang tidak bekerja. Pada tahun 2020, program ini akan ditambah baik bagi membolehkan suami memilih untuk menyumbang secara sukarela sebanyak 2 peratus daripada 11 peratus carumannya ke dalam akaun KWSP isterinya. 101. Kerajaan juga bercadang untuk memanjangkan manfaat di bawah i-Suri melalui perlindungan keselamatan sosial di bawah PERKESO. Peruntukan sebanyak RM20 juta akan disediakan pada tahun hadapan kepada PERKESO bagi tujuan ini. Strategi 7: Pelaburan dalam Pendidikan dan Bakat Tan Sri Yang Dipertua, 102. Kerajaan komited untuk menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada segenap lapisan masyarakat. Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan terus menjadi penerima peruntukan terbesar sebanyak RM60.2 bilion pada tahun 2019 kepada RM64.1 bilion pada tahun 2020. Ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk melabur demi masa depan anak kita. Menaik taraf Sekolah 103. Kerajaan akan terus melabur dalam membina sekolah- sekolah baharu selaras dengan peningkatan populasi penduduk. Walau bagaimanapun, pada masa lalu keadaan sekolah sedia ada sering diabaikan. Bagi memastikan sekolah-sekolah sedia ada menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif untuk anak-anak kita, Kerajaan akan menambah peruntukan penyelenggaraan dan menaik taraf sekolah daripada RM652 juta seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019 kepada RM735 juta pada tahun 2020 seperti berikut: • Sekolah Kebangsaan RM300 juta • Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) RM50 juta • Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) RM50 juta • Sekolah Berasrama Penuh RM50 juta • Maktab Rendah Sains MARA RM50 juta • Sekolah Agama Bantuan Kerajaan RM50 juta • Sekolah Mubaligh RM50 juta • Sekolah Tahfiz RM50 juta • Sekolah Agama Rakyat dan RM25 juta Sekolah Agama Persendirian • Sekolah Pondok yang berdaftar RM25 juta • Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan RM20 juta • Sekolah Menengah Persendirian RM15 juta Cina (SMPC) 104. Kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada membaik pulih sekolah daif dengan peruntukan sebanyak RM783 juta pada tahun 2020, terutamanya di Sabah dan Sarawak. Tahun hadapan, Kerajaan akan membina beberapa sekolah baharu di Langkawi, Kulai, Hulu Langat, Putrajaya, Pasir Gudang, Tumpat, Marang dan Johor Bahru. 105. Bagi sekolah kebangsaan, peruntukan sebanyak RM23 juta akan disediakan untuk memastikan sekolah mempunyai kemudahan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU). Ini selari dengan dasar penolakan sifar (zero-reject) yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan di mana tiada kanak- kanak OKU dinafikan hak pendidikan disebabkan kelainan upaya mereka. 106. Kerajaan juga akan meningkatkan jumlah bantuan bayaran utiliti tambahan yang juga merangkumi pembetungan sebanyak RM12 juta sekaligus memberi manfaat kepada dua ribu sekolah bantuan kerajaan. Mengarus perdana TVET 107. Salah satu bidang fokus utama dasar pembangunan modal insan adalah dengan mengarus perdana Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). Justeru, Kerajaan akan meningkatkan peruntukan daripada RM5.7 bilion pada tahun 2019 kepada RM5.9 bilion pada tahun 2020 bagi program TVET. Ini termasuklah: Pertama : Memperkukuhkan lagi sinergi di antara sektor awam dan swasta menerusi peningkatan pembiayaan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri (SSDC). Oleh itu, Kerajaan akan memperuntukkan RM50 juta melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi membiayai kursus TVET yang dilaksanakan oleh SSDC; Kedua : Menggalakkan kerjasama industri yang lebih oleh Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dengan: • Membenarkan ILKA menggunakan lebihan hasil yang dijana daripada kursus TVET yang disediakan kepada industri untuk perbelanjaan seperti menaik taraf peralatan dan melantik tenaga pengajar daripada industri; dan • Menyediakan geran padanan berjumlah RM20 juta untuk menyokong kursus TVET yang direka khas untuk dilaksanakan dengan kerjasama industri. Ketiga : Kerajaan akan memperluaskan laluan kerjaya graduan TVET untuk melanjutkan pengajian dan mendapatkan pekerjaan. Justeru, Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) akan mula menawarkan kursus ijazah sarjana muda untuk pelatih yang telah menamatkan pengajian dari Kolej Vokasional pada tahun hadapan; dan Keempat : Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) akan bekerjasama dengan industri untuk menyediakan latihan TVET yang dipadankan dengan pekerjaan yang bersesuaian. Bagi tujuan ini, Kerajaan akan menyediakan RM30 juta untuk melatih lebih tiga ribu belia daripada keluarga berpendapatan rendah. Pensijilan Profesional 108. Sebagai usaha untuk menggalakkan pembelajaran dewasa, KWSP akan memperluaskan skop pengeluaran bagi tujuan membiayai pendidikan di peringkat sijil khususnya bagi program yang diakreditasikan selari dengan aspirasi IR4.0 negara. KWSP juga sedang mengkaji untuk memperluaskan pengeluaran ini kepada ibu bapa dan pasangan pencarum. Di samping itu, Kerajaan akan menyediakan geran RM20 juta yang akan dipadankan dengan peruntukan RM20 juta daripada PSMB untuk menggalakkan golongan dewasa yang bekerja menduduki peperiksaan pensijilan profesional dalam bidang kursus berkaitan IR4.0. MARA dan Yayasan Peneraju 109. Kerajaan akan terus memberi penekanan terhadap peluang pembelajaran di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju). Sasaran MARA tertumpu kepada Bumiputera berpendapatan rendah dan tinggal di luar bandar dengan menyediakan pendidikan melalui institusi seperti Maktab Rendah Sains MARA, Kolej Giat MARA dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL). Justeru, pada tahun 2020, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM1.3 bilion bagi institusi pendidikan di bawah MARA, dan sebanyak RM2 bilion bagi membiayai pinjaman untuk 50 ribu pelajar. Di samping itu, sebanyak RM192 juta juga diperuntukkan untuk program pensijilan profesional di bawah Yayasan Peneraju. TERAS KETIGA: MEWUJUDKAN MASYARAKAT YANG BERSATU, INKLUSIF DAN SAKSAMA Tan Sri Yang Dipertua, 110. Kesaksamaan ekonomi antara kaum, agama, geografi dan latar belakang merupakan tonggak sebuah negara yang bersatu. Untuk itu, Kerajaan berusaha membela dan memperkuasakan semua secara inklusif dan bukannya satu kelompok sahaja. Strategi 8: Pembangunan Inklusif - Peruntukan RM10.9 bilion untuk Pembangunan Luar Bandar 111. Meskipun terdapat penambahbaikan dalam jurang pendapatan di Malaysia, Kerajaan akan terus meningkatkan usaha untuk merapatkan jurang pendapatan rakyat terutamanya di antara bandar dan luar bandar. Kerajaan akan meningkatkan peruntukan bagi pembangunan luar bandar daripada RM9.7 bilion dalam tahun 2019 kepada RM10.9 bilion dalam tahun 2020. Merapatkan Jurang Pendapatan di antara Bandar dan Luar Bandar 112. Strategi di bawah pembangunan inklusif adalah untuk merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar dengan memperluaskan liputan infrastruktur asas bagi kawasan luar bandar, terutamanya untuk Sabah dan Sarawak. 113. Untuk 2020, kira-kira RM587 juta akan diperuntukkan untuk Projek Bekalan Air Luar Bandar, di mana RM470 juta untuk Sabah dan Sarawak bagi memenuhi sasaran 99 peratus akses kepada air bersih. 114. Kerajaan juga akan membelanjakan RM500 juta untuk Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar yang memberi manfaat kepada lebih 30 ribu isi rumah luar bandar di mana majoriti penerima faedah tinggal di Sabah dan Sarawak. 115. Satu lagi keutamaan pembangunan ialah jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa, dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion di seluruh Malaysia di mana tumpuan diberikan untuk membina jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak. Projek-projek di Sabah sebanyak RM326 juta dan Sarawak sebanyak RM224 juta akan memberi faedah kepada 145 ribu penduduk. 116. Kerajaan tetap komited untuk menyiapkan projek Lebuh Raya Pan Borneo, yang merupakan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di Sabah dan Sarawak. Proses rasionalisasi kos setakat ini telah menghasilkan penjimatan sebanyak RM1.2 bilion, mengurangkan kos projek kepada RM29 bilion. Penjimatan ini membolehkan perancangan Kerajaan untuk projek lain bagi memacu pertumbuhan ekonomi termasuk di Sabah dan Sarawak seperti Lebuh Raya Trans Borneo sepanjang 165 km yang menghubungkan Sabah dan Sarawak ke Kalimantan Timur. Antara komponen penting projek ini adalah pakej bernilai RM600 juta untuk 40 km Jalan Kalabakan-Serudong dan pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) dan kuarters perumahan kerajaan. 117. Di samping itu, pada tahun 2018, Sabah dan Sarawak merupakan penerima tertinggi Pemberian Kerajaan Persekutuan masing-masing sebanyak RM1.14 bilion dan RM1.3 bilion. Bagi tahun 2020, Sabah dan Sarawak kekal sebagai negeri yang menerima Perbelanjaan Pembangunan tertinggi dengan peruntukan masing-masing sebanyak RM5.2 bilion dan RM4.4 bilion. Peruntukan tersebut membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Harapan mengutamakan keperluan Sabah dan Sarawak. Dalam semangat yang sama, Kerajaan Persekutuan berhasrat untuk meningkatkan geran kewangan kepada Sabah dan Sarawak seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963. 118. Pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan merupakan sebahagian daripada geran persekutuan. Sejak tahun 1969, kadar Pemberian Khas tahunan ini iaitu sebanyak RM26.7 juta untuk Sabah dan RM16 juta untuk Sarawak belum pernah disemak semula. Oleh itu, buat pertama kalinya bermula tahun 2020, Kerajaan Pakatan Harapan bercadang untuk menggandakan kadar tersebut kepada RM53.4 juta untuk Sabah dan RM32 juta untuk Sarawak. Bagi menunjukkan keperihatinan terhadap rakyat di Sabah dan Sarawak, Kerajaan akan menggandakan lagi kadar Pemberian Khas sehingga RM106.8 juta untuk Sabah dan RM64 juta untuk Sarawak dalam tempoh lima tahun. 119. Selain itu, sejumlah RM4.85 bilion juga akan disediakan di bawah MARRIS kepada semua Kerajaan Negeri untuk penyelenggaraan jalan raya negeri. Garis panduan sedia ada tidak membenarkan dana MARRIS digunakan untuk kerja-kerja membaiki dan menaik taraf jalan. Justeru, untuk memberi lebih kelonggaran, Kerajaan Negeri dibenarkan menaik taraf jalan, jambatan, parit, longkang dan cerun dengan menggunakan dana MARRIS sehingga 15 peratus atau RM20 juta, yang mana lebih rendah. 120. Bagi memastikan pembangunan luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak mendapat barangan keperluan asas seperti LPG dan petrol pada harga yang berpatutan, Kerajaan akan memperuntukkan RM170 juta untuk membiayai kos pengangkutan dan pengedaran barang asas ke kawasan luar bandar. Subsidi Dinaikkan kepada RM24.2 bilion Tan Sri Yang Dipertua, 121. Peruntukan untuk subsidi dan bantuan sosial akan ditingkatkan daripada RM22.3 bilion untuk tahun 2019 kepada RM24.2 bilion, termasuk bantuan kebajikan seperti Bantuan Sara Hidup (BSH) dan subsidi yang berkaitan dengan pertanian, bahan api dan kadar faedah. Bantuan Sara Hidup 122. Pada tahun 2019, Skim Bantuan Sara Hidup (BSH) telah memberikan manfaat kepada 3.9 juta isi rumah. Mulai tahun depan, Kerajaan akan memperuntukkan RM5 bilion untuk BSH dan memperluaskan skim ini meliputi 1.1 juta individu bujang berumur melebihi 40 tahun yang berpendapatan kurang daripada RM2 ribu sebulan. Sebagai tambahan, OKU berumur 18 tahun dan ke atas dengan pendapatan kurang daripada RM2 ribu sebulan juga layak menerima bayaran BSH. Individu bujang berumur 40 tahun ke atas dan OKU layak menerima sebanyak RM300 dan secara automatik menjadi penerima Skim Takaful mySalam secara percuma. Perusahaan Sosial dan Pembangunan Komuniti 123. Kerajaan akan terus menyokong agensi kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam aktiviti mereka, tetapi tidak terhad kepada: Pertama : Sebanyak RM575 juta akan disediakan untuk bantuan sosioekonomi yang memanfaatkan 137 ribu warga emas dengan pendapatan isi rumah di bawah garis kemiskinan. Selain itu, Kerajaan juga akan memperuntukkan sebanyak RM4.6 juta kepada Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) untuk menampung perbelanjaan 129 pusat di seluruh Malaysia yang memberi manfaat kepada 37 ribu warga emas; Kedua : Peruntukan RM80 juta untuk menaik taraf, membaiki dan menyelenggara 67 pelbagai institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk pusat jagaan kanak-kanak, OKU dan warga emas; Ketiga : Sejumlah RM25 juta diperuntukkan untuk mengurus, mentadbir dan memperluaskan program Food Bank ke seluruh negara, iaitu satu inisiatif bagi mengagihkan semula sebanyak 3 ribu tan metrik makanan berlebihan yang diderma setiap hari kepada kumpulan sasaran yang memerlukan, terutamanya golongan B40; Keempat : Sebanyak RM20 juta diperuntukkan untuk lima Pusat Latihan Berdikari (Independent Learning Centre) baharu, program latihan bagi Sindrom Down dan TASKA OKU. Dalam masa yang sama, perkhidmatan latihan dan tunjuk ajar yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan latihan kepada golongan OKU akan dikecualikan cukai perkhidmatan; Kelima : Sebanyak RM15 juta diperuntukkan kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan bagi melaksanakan program RINTIS bersama NGO dan komuniti tempatan bagi meningkatkan keberkesanan program pemulihan dadah; dan Keenam : Kerajaan mengambil berat akan kebajikan golongan gelandangan. Oleh itu, pada tahun 2020, sebanyak RM4.5 juta diperuntukkan untuk Anjung Singgah yang memanfaatkan tujuh ribu gelandangan. 124. Semasa Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah memperagakan Kain Tenun Pahang Diraja yang ditenun oleh penghuni Penjara Penor dan Bentong. Sehubungan itu, bagi mengembangkan latihan kemahiran dan program banduan untuk memenuhi standard TVET kebangsaan, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM20 juta khusus bagi program perkhidmatan makanan (F&B), pertukangan, perkhidmatan dobi dan kimpalan. 125. Bagi menyokong pertumbuhan perusahaan sosial untuk membantu meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi dalam membina komuniti, Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC) juga akan diperuntukkan sebanyak RM10 juta. 126. Kerajaan juga akan memperuntukkan tambahan RM10 juta kepada Malaysia Co-Investment Fund Scheme (MyCIF). Ini adalah khusus untuk perusahaan sosial bagi mengumpul dana menerusi platform pembiayaan P2P di mana MyCIF akan melabur dengan pelabur swasta secara sepadan (one-to-one) dengan menyediakan pembiayaan pada kadar yang berpatutan. 127. Selanjutnya, bagi menggalakkan sektor swasta menderma untuk meningkatkan tanggungjawab sosial, berkuat kuasa 5 September 2019 Kerajaan telah meningkatkan nilai ambang pelaporan derma dari RM5 ribu kepada RM10 ribu di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967. Mulai 2020, amaun ini akan dinaikkan kepada RM20 ribu. 128. Bagi terus memupuk budaya menderma di kalangan rakyat Malaysia, potongan cukai ke atas sumbangan tunai kepada aktiviti kebajikan, sukan serta projek berkepentingan nasional yang pada masa ini dihadkan kepada 7 peratus daripada pendapatan agregat bagi pembayar cukai selain syarikat dinaikkan dan diselaraskan dengan had 10 peratus seperti yang dinikmati oleh syarikat. Potongan cukai juga diperluaskan kepada: Pertama : Sumbangan wakaf tunai kepada pihak berkuasa agama negeri atau badan yang ditubuhkan oleh pihak berkuasa agama negeri untuk mentadbir wakaf; Kedua : Sumbangan wakaf tunai kepada universiti awam yang diluluskan untuk menerima wakaf oleh pihak berkuasa agama negeri; dan Ketiga : Sumbangan endowmen dalam bentuk tunai kepada universiti awam. 129. Pada masa ini, pengecualian cukai pendapatan diberikan ke atas semua pendapatan yang diterima oleh institusi atau organisasi keagamaan yang ditubuhkan bagi tujuan penyembahan dan pengembangan agama dan berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia. Bermula tahun 2020, layanan cukai ini akan diperluaskan kepada institusi dan organisasi keagamaan yang berdaftar sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG) dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. 130. Peruntukan sebanyak RM57 juta akan diberikan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi menyediakan kebajikan dan bantuan kepada masyarakat Orang Asli. Selain itu, tambahan RM83 juta disediakan bagi pembangunan ekonomi, pendidikan dan infrastruktur masyarakat Orang Asli. 131. Kerajaan peka dan prihatin terhadap kesukaran dan cabaran khusus yang dihadapi oleh masyarakat India. Oleh itu, Kerajaan sekali lagi akan memperuntukkan geran sebanyak RM100 juta kepada Unit Transformasi India Malaysia (MITRA), di mana 80 peratus dikhususkan kepada program yang dilaksanakan dan bukannya kepada organisasi tertentu. Ia bertujuan menambah baik keadaan sosioekonomi, kesihatan, pendidikan dan pemerkasaan wanita serta pembangunan kemahiran masyarakat India. 132. Bagi menyokong pembangunan dan pembaikan infrastruktur asas di kampung-kampung baru, Kerajaan akan menyediakan RM85 juta pada tahun 2020. Agenda Bumiputera Tan Sri Yang Dipertua, 133. Dalam Belanjawan 2019, sebanyak RM7.6 bilion telah diperuntukkan untuk membantu institusi dan usahawan Bumiputera. Jumlah ini akan ditambah kepada RM8 bilion dalam Belanjawan 2020 seperti berikut: Pertama : RM6.6 bilion diperuntukkan kepada institusi Bumiputera yang fokus dalam pendidikan seperti MARA, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Yayasan Peneraju; Kedua : RM1 bilion bagi membantu pembiayaan PKS Bumiputera melalui SJPP dan SME Bank; dan Ketiga : RM445 juta diperuntukkan untuk program keusahawanan di bawah TEKUN Nasional, SMECorp, PUNB, PHB dan TERAJU. 134. Bagi tahun ini sehingga Ogos, syarikat Bumiputera telah berjaya memperoleh kontrak projek baharu Kerajaan melalui tender bernilai lebih daripada RM3.6 bilion. Pada tahun 2020, Kerajaan juga akan terus memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus tender setiap kementerian dikhaskan untuk kontraktor Bumiputera. Menegakkan Syiar Islam Tan Sri Yang Dipertua, 135. Kerajaan akan terus menegakkan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, dalam Belanjawan 2020, peruntukan bagi hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri akan ditingkatkan kepada RM1.3 bilion berbanding RM1.2 bilion pada tahun ini. 136. Kerajaan juga akan menaikkan elaun Guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) sebanyak RM100 sebulan kepada 33,200 guru KAFA sedia ada dengan peruntukan tambahan sebanyak RM46 juta. 137. Sebagai penghargaan terhadap peranan mereka dalam masyarakat, Kerajaan mencadangkan bantuan khas secara one-off sebanyak RM500 kepada setiap Imam, Bilal (Muazzin), Tok Siak/Noja/Merbot (penjaga masjid) dan Guru Takmir. 138. Kerajaan akan memperuntukkan RM10 juta kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk inisiatif Rahmatan Lil-Alamin bertujuan membangunkan pemahaman Maqasid Syariah melalui beberapa program pemerkasaan dan perbincangan. Strategi 9: Ke Arah Perkhidmatan Kesihatan Yang Lebih Baik Tan Sri Yang Dipertua, 139. Kerajaan tetap komited bagi memastikan akses kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti untuk semua selaras dengan aspirasi masyarakat yang inklusif. Untuk itu, Kerajaan akan menyediakan peruntukan bagi meningkatkan langkah pencegahan bertujuan mengurangkan beban perbelanjaan penjagaan kesihatan awam. Pada tahun 2020, sejumlah R M 30 . 6 b i l i o n b e r b an d i n g R M 28 . 7 b i l i o n d i b awah Belanjawan 2019 akan diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan merangkumi: Pertama : RM1.6 bilion untuk membina hospital baharu dan menaik taraf serta membesarkan hospital sedia ada. Ini termasuk di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Hospital Kampar, Hospital Labuan dan Pusat Kardiologi Hospital Queen Elizabeth II di Sabah; Kedua : Sebanyak RM319 juta untuk membina dan menaik taraf klinik kesihatan dan pergigian serta kemudahan kuarters. Untuk itu, klinik baharu akan dibina di Setiu, Sungai Petani dan Cameron Highlands serta Kudat dan Tawau di Sabah, dan Long San dan Simpang Simunjan di Sarawak; Ketiga : Sejajar dengan prinsip budaya Memperbaiki, Mengganti dan Memulihkan (3R - Repair, Replace and Restore) sebanyak RM227 juta disediakan untuk menaik taraf peralatan perubatan, manakala RM95 juta untuk pengubahsuaian infrastruktur dan kemudahan perubatan seperti di Hospital Pontian; Keempat : Sebagai memenuhi salah satu janji manifesto Pakatan Harapan, peruntukan permulaan sebanyak RM60 juta akan disediakan untuk menyediakan vaksin pneumococcal kepada semua kanak-kanak; Kelima : Bagi memastikan perkhidmatan kecemasan dan trauma lebih responsif, RM59 juta akan diperuntukkan untuk menambah bilangan ambulans melalui kerjasama dengan perkhidmatan ambulans NGO; Keenam : Sejumlah RM31 juta diperuntukkan bagi menaik taraf dan menyelenggara perkhidmatan ICT, antara lain melaksanakan projek rintis bagi sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di hospital; dan Ketujuh : Sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan untuk mencapai liputan kesihatan sejagat, sejumlah RM5 juta diperuntukkan bagi menyediakan perkhidmatan Klinik Bergerak untuk memudahkan penduduk di kawasan luar bandar terutamanya Orang Asli mendapatkan rawatan perubatan. Perluasan mySalam & PeKa B40 Tan Sri Yang Dipertua, 140. MySalam merupakan skim perlindungan kesihatan takaful percuma yang diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk 4.3 juta individu sekiranya menghidapi penyakit kritikal atau dimasukkan ke hospital. Bagi mereka yang disahkan menghidap penyakit kritikal, mereka akan menerima bayaran tunai sebanyak RM8 ribu. Manakala, bagi mereka yang dimasukkan ke hospital kerajaan, boleh menuntut bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari. Semua penerima isi rumah BSH yang berumur antara 18 hingga 55 tahun dilindungi secara automatik dan percuma. 141. Mulai 1 Januari 2020, perlindungan mySalam akan dipanjangkan kepada: Pertama : Perlindungan ke atas 45 penyakit kritikal termasuk penyakit terminal dan polio berbanding 36 penyakit sedia ada; Kedua : Individu yang berumur sehingga 65 tahun berbanding dengan 55 tahun sekarang, yang akan memberi manfaat tambahan kepada 1.5 juta individu; dan Ketiga : Individu yang mempunyai pendapatan kasar tahunan sehingga RM100 ribu. Mereka akan menerima bayaran penyakit kritikal sebanyak RM4 ribu dan bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari apabila didiagnos dan dimasukkan ke hospital kerajaan. Ini akan memberi manfaat kepada 5 juta individu. 142. Skim Peduli Kesihatan (PeKa B40) telah dilancarkan untuk menyediakan pemeriksaan dan intervensi awal bagi mengesan penyakit tidak berjangkit seperti kesihatan mental dan kanser untuk mereka yang berusia antara 50 tahun hingga 60 tahun. Setakat ini, 100 ribu individu telah memperoleh manfaat daripada inisiatif ini. Mulai tahun hadapan, Kerajaan akan memperluaskan liputan PeKa B40 kepada individu yang berumur 40 tahun dan ke atas. Insentif Kesuburan 143. Hari ini, kadar kesuburan di Malaysia telah menurun dengan ketara daripada 4.9 bayi pada tahun 70an kepada 1.9 bayi bagi setiap wanita, iaitu di bawah paras penggantian. Oleh itu, bagi membantu pasangan mendapatkan rawatan kesuburan, KWSP akan memperkenalkan kategori pengeluaran baharu kepada pasangan yang menjalani rawatan kesuburan seperti in-vitro fertilisation (IVF). Selain itu, pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6 ribu yang diberikan ke atas perbelanjaan rawatan perubatan untuk penyakit serius akan diperluaskan untuk merangkumi kos rawatan kesuburan. Pelan Persaraan Swasta 144. Pelan Persaraan Swasta (PRS) menawarkan alternatif bagi rakyat menabung terutamanya bagi mereka yang tidak tertakluk kepada Skim Simpanan Persaraan wajib. Kerajaan bercadang untuk membenarkan pengeluaran sebelum persaraan bagi kos rawatan kesihatan dan kos perumahan selaras dengan syarat KWSP serta tidak dikenakan penalti cukai bagi pengeluaran awal. Strategi 10: Meningkatkan Ekosistem Pengangkutan Tan Sri Yang Dipertua, 145. Kerajaan komited untuk meningkatkan mobiliti rakyat dengan mengurangkan kos serta menambah baik infrastruktur pengangkutan. Mengutamakan Pengangkutan Awam 146. Pada Januari 2019, Kerajaan telah memperkenalkan pas bulanan tanpa had My50 dan My100 untuk semua perkhidmatan rel dan bas RapidKL. Skim ini telah memberi manfaat kepada lebih 120 ribu pengguna pengangkutan awam. Kerajaan juga telah melancarkan Pas Mutiara di Pulau Pinang yang menyediakan perjalanan tanpa had selama sebulan dengan harga RM50 bagi perkhidmatan Rapid Bus dan Rapid Ferry. 147. Bagi menunjukkan komitmen Kerajaan untuk menambah baik pengangkutan awam serta mewujudkan bandar bersih dan hijau, Kerajaan berhasrat menyediakan sehingga 500 bas elektrik pelbagai saiz dengan kos RM450 juta untuk pengangkutan awam di bandar-bandar terpilih seluruh negara. 148. Untuk kemudahan penduduk luar bandar pula, Kerajaan akan terus menyokong sambungan last-mile di kawasan luar bandar dan bandar dengan memberi subsidi kepada pengusaha bas dengan peruntukan sebanyak RM146 juta pada tahun 2020. 149. Selain itu, Kerajaan akan menaik taraf landasan keretapi di kawasan Gorge Line antara Stesen Halogilat ke Stesen Tenom di Sabah dengan kos sebanyak RM50 juta. Ini akan meningkatkan keselamatan perjalanan penduduk tempatan di samping menjadi tarikan pelancong. Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh 150. Kerajaan juga bercadang untuk menaik taraf lapangan terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh termasuk memanjangkan landasan. Untuk tujuan tersebut, Kerajaan akan mempelawa cadangan kerjasama awam swasta bagi merealisasikan projek ini. Mengurangkan kesesakan Tambak Johor 151. Saban hari, lebih 300 ribu rakyat Malaysia berulang alik ke Singapura. Bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor dan Linkedua, Kerajaan akan melabur sebanyak RM85 juta bermula tahun 2020 untuk melancarkan aliran trafik kenderaan khususnya yang melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ). Melalui peruntukan tersebut, 50 kaunter tambahan akan dibuka untuk penunggang motosikal serta kaunter imigresen dan Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) juga akan ditambah baik. Sebagai sebahagian daripada langkah jangka panjang untuk menangani masalah kesesakan lalu lintas, Kerajaan berhasrat untuk meneruskan projek Sistem Rapid Transit (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura. Mengurangkan Beban Tol Lebuh Raya Tan Sri Yang Dipertua, 152. Dalam Manifesto Pakatan Harapan, adalah dinyatakan bahawa rundingan akan dilaksanakan untuk mendapatkan harga yang terbaik untuk mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat. 153. Jemaah Menteri sedang menimbangkan kesemua cadangan, termasuk daripada Khazanah Nasional Berhad, untuk mengambil alih atau melupuskan semua saham PLUS Malaysia Berhad. Selaras dengan Manifesto Pakatan Harapan, rakyat boleh menikmati diskaun sebanyak 18 peratus secara purata di semua lebuh raya milik PLUS. Cadangan yang diterima hendaklah memberi impak positif fiskal dan tidak meningkatkan beban hutang dan bayaran khidmat hutang Kerajaan. Diskaun tol sebanyak 18 peratus ini akan memberikan penjimatan kepada pengguna lebuh raya tersebut sehingga RM1,130 juta pada tahun 2020, dan untuk sepanjang baki tempoh konsesi sehingga 2038, penjimatan kepada pengguna dan rakyat sebanyak RM43 bilion. 154. Selain itu, Jemaah Menteri juga telah meluluskan pengambilalihan empat lebuh raya Lembah Klang iaitu Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Lebuh Raya Sprint (SPRINT) dan Terowong SMART (SMART). Pengenalan caj kesesakan di mana caj kesesakan pada waktu sekitar puncak dan waktu biasa diturunkan sehingga 30 peratus berbanding dengan kadar tol semasa serta percuma semasa waktu bukan puncak, akan menjimatkan pengguna lebuh raya sehingga RM180 juta setahun, atau RM2 bilion sehingga akhir hayat konsesi. Konsesi sedia ada tidak akan dilanjutkan dan akan tamat mengikut perjanjian konsesi sedia ada. 155. Pengambilalihan lebuh raya ini tidak akan membebankan Kerajaan kerana kos pembiayaan, operasi dan penyelenggaraan akan dibiayai sepenuhnya melalui kutipan tol dan caj kesesakan tanpa memerlukan peruntukan daripada Kerajaan pada masa hadapan. Jelas sekali, Kerajaan menolak dasar Kerajaan terdahulu yang “menswastakan keuntungan dan merakyatkan kerugian”. 156. Semasa Belanjawan 2019, Kerajaan telah menghapuskan tol motosikal di Jambatan Pertama dan Kedua Pulau Pinang. Mulai 1 Januari 2020, bagi menyeragamkan kadar tol di antara Jambatan Pertama dan Kedua, kadar tol untuk kategori kereta persendirian di Jambatan Kedua Pulau Pinang akan disamakan dengan Jambatan Pertama iaitu dikurangkan daripada RM8.50 kepada RM7.00. Program Subsidi Petrol Bersasar 157. Program Subsidi Petrol (PSP) bersasar merupakan sebahagian daripada janji Pakatan Harapan. Setiap rakyat yang memiliki tidak melebihi dua kereta dan dua motosikal yang layak, akan berhak menerima PSP untuk satu kenderaan sahaja. 158. Kenderaan yang layak untuk subsidi ini adalah seperti berikut: • Kereta dengan kapasiti enjin 1,600cc dan ke bawah; atau • Kereta dengan kapasiti enjin melebihi 1,600cc yang berusia lebih 10 tahun; atau • Motosikal dengan kapasiti enjin sehingga 150cc dan ke bawah; atau • Motosikal dengan kapasiti enjin melebihi 150cc yang berusia lebih tujuh tahun. Kenderaan mewah tidak layak menikmati subsidi bersasar ini. 159. Bermula Januari 2020, PSP akan dilancarkan di Semenanjung Malaysia dengan dua kategori kelayakan seperti berikut: Pertama : Bagi penerima BSH (B40) yang layak, subsidi petrol yang diberikan untuk setiap penerima adalah sebanyak RM30 sebulan untuk pemilik kereta atau RM12 sebulan untuk pemilik motosikal. Subsidi ini akan diberi dalam bentuk pemindahan tunai dan akan dikreditkan terus ke akaun bank penerima setiap empat bulan. Pembayaran pertama akan dibuat pada bulan April 2020 bagi tempoh Januari hingga April 2020; dan Kedua : Bagi semua pemandu lain yang layak dan bukan penerima BSH, mereka akan menerima Kad95 yang membolehkan mereka menikmati subsidi petrol 30 sen per liter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter sebulan bagi motosikal. Kad95 akan dilaksanakan secara berperingkat pada suku pertama 2020. 160. Apabila skim subsidi bahan api ini dilaksanakan, harga runcit RON95 dan diesel akan diapungkan secara beransur-ansur. Ini akan mengurangkan ketirisan dan penyeludupan bahan api bersubsidi rentas sempadan yang menyebabkan kerugian besar kepada pihak Kerajaan. Subsidi layak diberikan sekiranya harga pasaran RON95 yang ditentukan oleh Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM) melebihi RM2.08 seliter dan tiada subsidi akan diberikan sekiranya harga berada di bawah RM2.08 seliter. 161. Untuk itu, Kerajaan akan memperuntukkan RM2.2 bilion bagi skim PSP yang akan memberi manfaat kepada kira-kira lapan juta pemandu. Pemandu kenderaan di Sabah dan Sarawak akan terus menikmati siling harga petrol bersubsidi pada RM2.08 seliter untuk RON95 dan RM2.18 untuk diesel. Sekiranya Kerajaan Sabah dan Sarawak ingin menyertai PSP ini, maka Kerajaan bersedia menerima permintaan mereka. Strategi 11: Meningkatkan Akses kepada Perumahan Tan Sri Yang Dipertua, Skim Rumah Mampu Milik 162. Pada Januari 2019, BNM telah melancarkan Dana Rumah Mampu Milik bagi membantu pembeli rumah golongan berpendapatan rendah untuk membeli rumah pertama mereka, dengan nilai hartanah sehingga RM150 ribu pada kadar faedah konsesi sehingga 3.5 peratus. Sejak 1 September 2019, kriteria kelayakan ini telah diperluaskan dengan menetapkan nilai hartanah sehingga RM300 ribu bagi isi rumah berpendapatan maksimum RM4,360 sebulan, yang merupakan pendapatan ambang untuk B40. Sehingga September 2019, sebanyak 2,840 permohonan berjumlah RM472.7 juta telah diterima. Kadar kelulusan adalah sebanyak 77.9 peratus dengan 982 jumlah permohonan bernilai RM156.2 juta diluluskan. 163. Melalui kerjasama sektor swasta, Kerajaan juga telah melancarkan Kempen Pemilikan Rumah di mana pemaju menawarkan sekurang-kurangnya diskaun 10 peratus untuk hartanah yang layak dan akan dipadankan dengan pengecualian duti setem. Setakat ini, sebanyak kira-kira 21 ribu unit rumah bernilai RM13.44 bilion telah berjaya dijual di bawah kempen ini yang melebihi sasaran jualan awal sebanyak RM3 bilion. Oleh itu, Kerajaan juga telah melanjutkan tarikh akhir kempen ini selama enam bulan lagi daripada 30 Jun 2019 kepada 31 Disember 2019. 164. Bagi membantu mereka yang tidak mampu membayar deposit 10 peratus dan sukar mendapatkan akses pembiayaan pembelian rumah, Kerajaan akan mengadakan usahasama dengan institusi kewangan untuk memperkenalkan Skim Pembiayaan Sewa untuk Memiliki ( Rent To Own - RTO). Melalui skim ini, pembiayaan sebanyak RM10 bilion akan disediakan oleh institusi kewangan dengan sokongan Kerajaan melalui penyediaan jaminan sebanyak 30 peratus atau RM3 bilion. Skim RTO ini adalah untuk pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM500 ribu. Di bawah skim ini, pemohon akan menyewa rumah bagi tempoh sehingga lima tahun dan selepas setahun, diberi pilihan untuk membeli rumah kediaman berkenaan pada harga yang ditetapkan semasa perjanjian penyewaan ditandatangani. Kerajaan juga akan memberi pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas instrumen pindah milik di antara pemaju dan institusi kewangan, serta di antara institusi kewangan dan bakal pembeli. 165. Bagi mengurangkan lambakan kondominium dan pangsapuri yang tidak terjual yang dianggarkan berjumlah RM8.3 bilion pada suku kedua tahun 2019, Kerajaan bercadang menurunkan nilai ambang bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar daripada RM1 juta kepada RM600 ribu pada tahun 2020 untuk pemilikan asing. 166. Bagi membantu belia untuk memiliki rumah pertama, Kerajaan akan melanjutkan Skim Perumahan Belia yang dikendalikan oleh BSN mulai 1 Januari 2020 sehingga 31 Disember 2021. Skim ini juga menawarkan jaminan pinjaman sebanyak 10 peratus melalui Cagamas untuk membolehkan peminjam mendapatkan pembiayaan penuh dan bantuan ansuran bulanan sebanyak RM200 sebulan untuk dua tahun pertama terhad kepada 10 ribu unit rumah. 167. Sebagai respon kepada pandangan rakyat berhubung dengan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) yang dikenakan ke atas pelupusan harta tanah oleh individu warganegara dan pemastautin tetap selepas tempoh lima tahun, Kerajaan akan menambah baik layanan CKHT tersebut dengan menetapkan nilai pasaran pada 1 Januari 2013 sebagai harga pemerolehan harta tanah bagi harta tanah yang diperolehi sebelum 1 Januari 2013 berbanding 1 Januari 2000 yang ditetapkan sebelum ini. Penyelenggaraan Perumahan Berstrata Bagi Kos Rendah dan Sederhana 168. Kerajaan mengambil berat mengenai keadaan perumahan berstrata kos rendah dan sederhana yang tidak diselenggara dengan baik. Pada tahun 2020, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM100 juta untuk membaik pulih perumahan tersebut bagi memastikan perkhidmatan lif, pendawaian elektrik, paip pembetungan dan bumbung adalah selamat dan berada dalam keadaan baik. 169. Kerajaan akan memperuntukkan RM15 juta untuk inisiatif Bandar Selamat dan akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan untuk menyediakan lampu jalan, kawasan parkir motosikal dengan ciri keselamatan dan pagar antipanjat serta program keselamatan lain. Strategi 12: Perpaduan melalui Sukan Tan Sri Yang Dipertua, 170. Sukan boleh menyatupadukan rakyat. Oleh itu, Kerajaan akan menyediakan peruntukan untuk sukan seperti berikut: Pertama : RM299 juta untuk pelaksanaan Program Sukan Untuk Semua termasuk memulih dan menaik taraf kemudahan sukan, termasuk Kompleks Belia dan Sukan dan Kompleks Sukan Komuniti seluruh negara; Kedua : RM179 juta akan diperuntukkan untuk persiapan kejohanan antarabangsa seperti Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Sukan SEA Hanoi 2021 serta pembangunan atlet paralimpik; dan Ketiga : RM45 juta diperuntukkan untuk Program Pembangunan Bola Sepak Negara berbanding dengan RM15 juta pada Belanjawan 2019. 171. Kejayaan atlet wanita negara seperti Datuk Nicol Ann David, Pandelela Rinong dan Farah Ann Abdul Hadi ke peringkat tertinggi telah membanggakan rakyat dan negara. Bagi melahirkan lebih ramai lagi atlet wanita bertaraf dunia pada masa akan datang, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk pembangunan atlet wanita. 172. Kerajaan akan terus mempergiatkan program pembangunan belia dengan memperuntukkan sebanyak RM138 juta untuk Kelab Pemuda Belia (YPC), Malaysia Future Leaders School (MFLS) dan inisiatif sukarelawan. Strategi 13: Mempromosikan Kelestarian Alam Sekitar Tan Sri Yang Dipertua, 173. Baru-baru ini negara telah dikejutkan dengan insiden pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim dan Pasir Gudang serta masalah jerebu rentas sempadan. Sebanyak RM30 juta akan diperuntukkan untuk meningkatkan keupayaan dan kapasiti Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kimia bagi menangani masalah ini. 174. Bagi mengurangkan kejadian banjir kilat, Kerajaan akan memperuntukkan RM443.9 juta untuk Rancangan Tebatan Banjir dan RM150 juta untuk menyelenggara pengurusan kolam takungan banjir sedia ada. 175. Selain itu, untuk membantu petani yang terkesan akibat bencana alam, Kerajaan akan mewujudkan Dana Bantuan Bencana sebanyak RM100 juta untuk menyediakan pinjaman pada kadar faedah 4 peratus. Memulihara Hutan Kita 176. Bagi memulihara keaslian hutan dan biodiversiti semulajadi Malaysia, Kerajaan akan memperuntukkan RM48 juta bagi tujuan tersebut di mana RM10 juta akan dikhususkan kepada sektor swasta melalui geran padanan. Usaha ini termasuklah menyokong inisiatif Central Forest Spine dan Heart of Borneo selain memulihara hutan terosot. 177. Dianggarkan terdapat kurang daripada 200 harimau Malaya dan 11 ribu orang utan yang menghuni hutan. Bagi menyokong usaha untuk melindungi haiwan terancam ini, Kerajaan akan menyediakan RM15 juta kepada Malaysian Conservation Alliance for Tigers (MYCAT), Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok dan NGO lain. 178. Sejumlah RM20 juta disediakan untuk melantik renjer dari kalangan askar yang telah bersara dan masyarakat Orang Asli setempat bagi melindungi flora dan fauna kita dengan lebih baik. Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 179. Kerajaan akan memperuntukkan RM10 juta untuk dana padanan bersama Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) antara Kerajaan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membiayai inisiatif SDG di Malaysia. Sebagai tambahan, Kerajaan akan memperuntukkan RM5 juta untuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan juga aktiviti berkaitan SDG di peringkat akar umbi yang melibatkan Ahli Parlimen dan masyarakat setempat. Pertahanan dan Keselamatan Awam 180. Bagi memastikan keselamatan negara terpelihara, peruntukan kepada Kementerian Dalam Negeri akan diperkukuhkan daripada RM15.6 bilion untuk 2019 kepada RM16.9 bilion untuk 2020. 181. Bagi mempertahankan kedaulatan negara, Kerajaan akan meningkatkan peruntukan Kementerian Pertahanan daripada RM13.9 bilion dalam tahun 2019 kepada RM15.6 bilion untuk tahun 2020. Fokus utama akan bertumpu bagi menambah baik kesiapsiagaan pertahanan, termasuk meningkatkan mobiliti Angkatan Tentera Malaysia. Di samping itu, kesiapsiagaan melibatkan keperluan untuk menangani ancaman baru, seperti mempertahankan perairan di Sabah yang memerlukan peralatan atau aset seperti Bot Pemintas Laju (Fast Interceptor Crafts). TERAS KEEMPAT: MEMULIHKAN INSTITUSI DAN KEWANGAN KERAJAAN Tan Sri yang Dipertua, 182. Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dari Langkawi untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi telah terjejas akibat skandal kleptokrasi global yang amat memalukan negara dan membabitkan jumlah melebihi RM150 bilion. 183. Kerajaan tetap komited untuk membayar semua obligasi pinjaman yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu. Bagi 1MDB dan SRC International, sejumlah RM2.4 bilion perlu disediakan oleh Kerajaan untuk melunaskan bayaran khidmat hutang bagi tahun 2019 dan ini akan meningkat kepada RM2.7 bilion untuk tahun 2020. Dalam hal ini, Kerajaan ingin merakamkan setinggi- tinggi penghargaan dan tahniah kepada rakyat Malaysia yang seikhlas hati telah menyumbang sebanyak RM203 juta kepada Tabung Harapan Malaysia. Sumbangan ini digunakan untuk membiayai sebahagian bayaran balik pinjaman tersebut. 184. Sehingga Julai 2019, kira-kira RM1.45 bilion telah dikembalikan oleh pihak berkuasa antarabangsa, termasuk hasil dari penjualan kapal layar mega, Equanimity. Kerajaan akan terus berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan semula setiap dana yang dicuri dan aset yang berada di seluruh dunia. Ini termasuk tindakan undang-undang ke atas Goldman Sachs serta 17 pengarahnya. 185. Kerajaan telah berjaya mengurangkan kadar nisbah hutang dan liabiliti negara berbanding KDNK iaitu 79.3 peratus KDNK pada tahun 2017 kepada 75.4 peratus pada tahun 2018. Namun, jumlah ini meningkat kepada 77.1 peratus pada akhir Jun 2019. Antara sebabnya adalah komitmen jaminan yang meningkat untuk membiayai projek infrastruktur seperti Mass Rapid Transit 2 (MRT2) dan Lebuh Raya Pan Borneo serta menyokong pelan pemulihan Lembaga Tabung Haji (LTH) dengan menanggung liabiliti sebanyak RM20 bilion, atau 1.3 peratus daripada KDNK negara. 186. Jumlah hutang dan liabiliti Kerajaan akan terus meningkat dengan mendadak sekiranya Kerajaan tidak merasionalisasikan pelbagai projek mega seperti Light Rapid Transit 3 (LRT3), MRT2 dan East Coast Rail Link (ECRL). Kerajaan menjimatkan sekurang- kurangnya RM46 bilion dalam perbelanjaan modal. 187. Di atas kepercayaan yang telah dibina antara Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dari Langkawi dengan Kerajaan Jepun, melalui Japan Bank for International Cooperation (JBIC), sekali lagi telah menawarkan jaminan tambahan bon Samurai dengan kadar kupon kurang daripada 0.5 peratus berbanding kadar terdahulu sebanyak 0.63 peratus. Kerajaan Persekutuan bercadang untuk menerbitkan bon Samurai pada awal tahun depan, di mana saiznya akan ditentukan selepas perbincangan lanjut dengan JBIC. Strategi 14: Komitmen Terhadap Konsolidasi Fiskal Tan Sri Yang Dipertua, 188. Walaupun mewarisi bebanan hutang dan liabiliti melebihi RM1.1 trilion, namun Kerajaan tetap komited untuk melaksanakan langkah konsolidasi fiskal secara berperingkat. Pada tahun 2018, Kerajaan telah mencatatkan defisit fiskal sebanyak 3.7 peratus dan berada di landasan yang betul bagi mencapai sasaran defisit 3.4 peratus pada tahun 2019. 189. Semasa pembentangan Belanjawan tahun lalu, Kerajaan telah mengumumkan sasaran defisit 3 peratus untuk tahun 2020. Walau bagaimanapun, berikutan peningkatan risiko kelembapan ekonomi dunia dan perbelanjaan luar jangka untuk menyelamatkan institusi bermasalah yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu memerlukan langkah tindakan fiskal awal. Demi memastikan ekonomi terus bertumbuh, Kerajaan kini menyasarkan defisit sebanyak 3.2 peratus pada tahun 2020. Kerajaan menjangkakan defisit fiskal akan menguncup secara purata kepada 2.8 peratus KDNK dalam jangka masa sederhana. 190. Belanjawan 2020 akan memperuntukkan sejumlah RM297 bilion, tidak termasuk simpanan luar jangka RM2 bilion. Ini merupakan peningkatan RM19.5 bilion berbanding RM277.5 bilion pada tahun 2019 tanpa mengambil kira peruntukan secara one-off bagi bayaran balik GST dan cukai pendapatan tertunggak. Belanjawan ini merangkumi RM241 bilion yang diperuntukkan untuk Perbelanjaan Mengurus manakala bakinya RM56 bilion untuk Perbelanjaan Pembangunan. Meningkatkan Hasil Kerajaan 191. Hasil Kerajaan dijangka mencecah RM244.5 bilion pada tahun 2020 iaitu peningkatan sebanyak RM11.2 bilion berbanding tahun 2019, tanpa mengambil kira dividen khas Petronas sebanyak RM30 bilion. 192. Walaupun hasil meningkat dengan menggalakkan, Malaysia masih mengutip cukai yang jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Bagi 2017, Malaysia hanya mencatatkan hasil kutipan cukai 13.1 peratus berbanding KDNK. Namun, negara-negara seperti Viet Nam, Chile, Poland dan Republik Korea Selatan masing-masing mencatat kutipan cukai sebanyak 19 peratus, 17.4 peratus, 16.8 peratus dan 15.4 peratus. 193. Bagi memastikan struktur cukai pendapatan yang lebih progresif, banjaran baharu bagi pendapatan bercukai melebihi RM2 juta akan diperkenalkan dan dikenakan cukai pada 30 peratus iaitu kenaikan 2 peratus daripada kadar 28 peratus sedia ada. Kenaikan ini akan hanya memberi kesan ke atas kira-kira dua ribu orang berpendapatan tinggi di negara ini. 194. Ker ajaan telah mengur angkan kadar cukai pendapatan PKS sebanyak 1 peratus kepada 17 peratus pada tahun 2019. Bagi terus menyokong pertumbuhan PKS, had pendapatan bercukai yang tertakluk kepada kadar 17 peratus akan dinaikkan daripada RM500 ribu kepada RM600 ribu, tertakluk kepada PKS dengan modal berbayar tidak melebihi RM2.5 juta dan jualan tahunan tidak melebihi RM50 juta. 195. Sehingga akhir September 2019, Kerajaan telah berjaya memulangkan bayaran balik GST sebanyak RM15.9 bilion kepada lebih 78 ribu syarikat dan bayaran balik cukai pendapatan sebanyak RM13.6 bilion kepada 448 ribu syarikat serta 184 ribu individu pembayar cukai. Kerajaan Pakatan Harapan telah menepati janji untuk mengembalikan wang kepada rakyat sebahagian besar RM37 bilion yang tidak dipulangkan sejak lima tahun lalu oleh Kerajaan terdahulu. 196. Bagi meningkatkan kecekapan dalam pengurusan rayuan pembayar cukai, Kerajaan akan menggabungkan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan dan Tribunal Rayuan Kastam menjadi Tribunal Rayuan Cukai. Melalui penggabungan ini, pembayar cukai yang tidak berpuas hati dengan keputusan Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri atau Ketua Pengarah Kastam boleh mengemukakan rayuan berkaitan cukai di bawah mana-mana undang-undang cukai yang berkenaan kepada tribunal tersebut bermula 2021. 197. Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan sebelum ini, Cukai Perkhidmatan Digital akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2020 yang melibatkan perkhidmatan seperti muat turun perisian, muzik, video atau pengiklanan digital. Pembekal perkhidmatan asing boleh mendaftar dengan Kastam bermula 1 Oktober 2019. 198. Kerajaan akan memperkenalkan inisiatif Nombor Pengenalan Cukai atau Tax Identification Number (TIN) untuk semua perniagaan atau individu yang berumur 18 tahun ke atas yang mempunyai hasil pendapatan. Untuk memastikan inisiatif ini dapat dilaksanakan dengan lancar, sesi libat urus akan diadakan dengan pihak berkepentingan pada tahun hadapan. Ini akan diperkenalkan pada tahun 2021. 199. Bagi memperkukuhkan lagi penguatkuasaan dan mengurangkan ketirisan daripada penyeludupan melalui kargo dalam kontena serta penipuan pengisytiharan duti kastam, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM235 juta untuk membeli tambahan 20 mesin pengimbas kargo untuk ditempatkan di semua pintu masuk pelabuhan yang strategik. 200. Bagi membendung aktiviti perjudian haram, Kerajaan akan mencadangkan penalti mandatori minimum sebanyak RM100 ribu untuk penjudi haram, dan hukuman penjara mandatori minimum enam bulan. Bagi pengendali perjudian haram, hukuman mandatori minimum RM1 juta dan hukuman penjara minimum 12 bulan akan dikenakan. Mulai tahun 2020, jumlah Cabutan Khas yang dibuat oleh Operator Nombor Ramalan akan dikurangkan daripada 11 kepada lapan kali cabutan setahun. 201. Kerajaan akan melupuskan aset yang telahpun diluluskan sebelum ini tetapi menerusi tender terbuka dan bukan rundingan terus seperti yang diamalkan sebelum ini. Langkah ini dijangka akan menjana hasil kepada negara melebihi RM3 bilion pada tahun 2020. 202. Kerajaan telah memutuskan untuk meneruskan Projek Bandar Malaysia dengan keluasan 486 ekar di Sungai Besi, Kuala Lumpur setelah berunding untuk mendapatkan terma yang lebih baik kepada Kerajaan. Projek ini akan merangkumi Taman Rakyat, dengan pertambahan lima ribu unit rumah mampu milik dan peningkatan penglibatan kontraktor Bumiputera dalam projek ini. Perolehan daripada projek ini akan dinilai dan diumumkan kelak, dan akan digunakan untuk mengurangkan hutang 1MDB. Merasionalisasi Perbelanjaan Kerajaan Tan Sri Yang Dipertua, 203. Kerajaan akan terus berinovasi untuk mengoptimumkan perbelanjaan dengan memusatkan dan menggabungkan tender dan perolehan ubat bernilai RM500 juta di Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan dan hospital universiti agar menjana penjimatan dari pembelian secara pukal. 204. Sudah menjadi lumrah pentadbiran terdahulu menumpukan pembinaan bangunan baharu tanpa menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk penyelenggaraan bangunan sedia ada. Ini menyebabkan bangunan sedia ada uzur dan usang. Sungguhpun pengabaian sebegini tidak dapat dipulihkan dalam masa yang singkat, Kerajaan sekarang akan memberikan perhatian kepada falsafah 3R (Repair, Replace, Restore). Justeru, peruntukan Perbelanjaan Mengurus untuk membaiki dan menyelenggara aset awam sedia ada akan ditingkatkan kepada RM10.5 bilion pada 2020 berbanding hanya RM6.3 bilion pada tahun 2019. Dasar Perolehan Tempatan Tan Sri Yang Dipertua, 205. Kempen beli barangan Malaysia akan dipertingkatkan. Bagi menyokong industri peranti perubatan tempatan, Kerajaan akan memperkenalkan inisiatif bagi menggalakkan pengeluar tempatan untuk menaik taraf peralatan yang digunakan di klinik dan hospital Kerajaan, berdasarkan kepada sekurang- kurangnya 30 peratus daripada jumlah peruntukan. 206. Kerajaan sedang menambahkan peluang kepada lebih ramai kontraktor Bumiputera untuk menyertai perolehan Kerajaan. Lantaran itu, Kerajaan telah membuka semula pendaftaran bagi Kontraktor Bumiputera Gred 1 (G1) mulai 1 September 2019. Sehingga akhir September 2019, sejumlah 946 permohonan telah diterima. Kontraktor sedia ada dan baharu yang berdaftar akan layak membida projek-projek Kerajaan bernilai RM1.3 bilion yang dikhususkan untuk kontraktor Bumiputera. Strategi 15: Memperkukuh Institusi, Tadbir Urus dan Integriti Tan Sri Yang Dipertua, 207. Kerajaan telah melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) pada 29 Januari 2019 dan sehingga kini, 115 inisiatif telah diperkenalkan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 15 peratus telah berjaya dilaksanakan, manakala 78 peratus dalam pelaksanaan. Antara inisiatif yang telah dilaksanakan termasuklah pengisytiharan harta oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri serta Ahli Parlimen. 208. Kerajaan komited untuk meningkatkan tahap tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan selaras dengan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT). Kerajaan akan menambah 100 orang kakitangan SPRM pada tahun 2020. Selain itu, Kerajaan akan mengukuhkan Unit Integriti di semua kementerian dan agensi dengan memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi menjalankan Ujian Penilaian Risiko di semua Kementerian, Jabatan dan Agensi. 209. Kerajaan akan melaksanakan pembaharuan melalui penggubalan undang-undang dan penubuhan institusi seperti: Pertama : Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bagi meningkatkan keyakinan orang awam terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM); dan Kedua : Ombudsman Malaysia bagi menggantikan Biro Pengaduan Awam untuk meningkatkan tadbir urus dan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan. 210. Acapkali kita mendengar berkenaan isu kematian dan penganiayaan tahanan lokap. Atas keprihatinan Kerajaan terhadap isu ini, sebanyak RM50 juta diperuntukkan kepada Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) bagi menambah baik prosedur dan kemudahan tahanan, khususnya pemasangan 11,500 kamera litar tertutup (CCTV) di pusat tahanan polis dan pintu masuk imigresen. Meningkatkan Perkhidmatan Awam Tan Sri Yang Dipertua, 211. Perkhidmatan awam merupakan tonggak pentadbiran Kerajaan dalam mendokong kemajuan negara. Penjawat awam yang kini berjumlah 1.6 juta telah mendedikasikan kerjaya mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara. Justeru, bagi menghargai sumbangan dan khidmat bakti penjawat awam, Kerajaan akan menambah baik saraan penjawat awam, antaranya: Pertama : Menaikkan Kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) sebanyak RM50 sebulan bagi kumpulan pelaksana dengan peruntukan tambahan sebanyak RM350 juta setahun; Kedua : Membenarkan penebusan awal Gantian Cuti Rehat (GCR) sebanyak 75 hari untuk ganjaran wang tunai. Bayaran gantian ini adalah bagi penjawat awam yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun; dan Ketiga : Menawarkan Perlindungan Kemalangan Diri Berkelompok bernilai RM100 ribu secara percuma selama dua tahun kepada peminjam baharu kemudahan pinjaman perumahan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA). 212. Sebagai tambahan, bagi membantu meringankan beban waris penjawat awam yang meninggal dunia dalam perkhidmatan, Kerajaan akan memperkenalkan: Pertama : Faedah Ex-Gratia Kematian yang akan diberikan kepada waris penjawat awam yang meninggal dunia dalam perkhidmatan bernilai sehingga RM150 ribu; dan Kedua : Pemberian Pergerakan Gaji Tahunan (PGT) diawalkan sebelum Tarikh Pergerakan Gaji (TPG) kepada penjawat awam yang meninggal dunia dalam perkhidmatan. 213. Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan menikmati kenaikan elaun sebanyak RM2 sejam mulai 1 Januari 2020 dengan jumlah peruntukan tambahan sebanyak RM26 juta. 214. Sebagai penghargaan kepada perkhidmatan yang telah mendapat perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, semua anggota Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan menerima Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba sebanyak RM200 sebulan dengan peruntukan sebanyak RM35 juta bagi tahun 2020. Ini akan memberi manfaat kepada 14,400 anggota bomba. 215. Kerajaan menghargai pengorbanan dan keperwiraan anggota tentera, khususnya pemegang Pingat Jasa Malaysia. Oleh itu, bayaran secara one-off sebanyak RM500 akan diberikan kepada hampir 70 ribu pemegang Pingat Jasa Malaysia yang melibatkan peruntukan sebanyak RM35 juta. 216. Selaras dengan falsafah 3R (Repair, Replace, Restore), Kerajaan akan memperuntukkan RM330 juta kepada Bahagian Pengurusan Hartanah di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk membaiki dan menyelenggara kuarters penjawat awam. Sebagai tambahan, RM150 juta untuk Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan RM250 juta untuk kuarters PDRM juga akan diperuntukkan bagi tujuan yang sama. 217. Kerajaan ingin merakamkan penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, doktor, jururawat, guru dan semua penjawat awam atas bakti perkhidmatan mereka. Kerajaan ingin mengumumkan Bantuan Khas Kewangan RM500 untuk kakitangan awam Gred 56 dan ke bawah. Bagi pesara kerajaan, Bantuan Khas Kewangan RM250 akan diberikan. Ia juga turut dipanjangkan kepada veteran tidak berpencen. Kedua-dua bantuan ini akan dibayar sebelum akhir tahun 2019. PENUTUP Tan Sri Yang Dipertua dan Ahli-ahli Dewan yang mulia ini, 218. Terdapat keperluan untuk mengadakan libat urus yang membina bersama dengan dialog terbuka. Multilateralisme masih merupakan formula terbaik untuk menyelesaikan sebarang pertikaian. Sebarang kepincangan terhadap sistem ekonomi dan perdagangan dunia akan menyebabkan pertumbuhan merudum di mana tiada pihak yang menang, malah merugikan semua pihak. 219. Oleh yang demikian, Belanjawan yang dibentangkan pada hari ini telah mengambil kira kesemua cabaran tersebut. Untuk meningkatkan kemampanan pertumbuhan ekonomi, negara memerlukan dasar perindustrian yang lebih komprehensif. Intervensi Kerajaan melalui dasar tertentu amat diperlukan untuk meningkatkan daya saing dan produktiviti negara, mengutamakan pelaburan dalam sektor strategik, menyemarakkan semula industri berasaskan eksport dan menggalakkan keusahawanan. Tidak syak lagi, Belanjawan ini adalah belanjawan yang berorientasikan pertumbuhan, dengan langkah-langkah terancang yang dirangka bagi mengoptimumkan impak ke atas pertumbuhan ekonomi, penjanaan peluang pekerjaan dan perubahan struktur tanpa menjejaskan komitmen Kerajaan untuk memulihkan keadaan fiskal dalam jangka sederhana. 220. Ekoran daripada langkah-langkah Belanjawan, ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan KDNK diunjur berkembang 4.7 peratus pada tahun ini dan meningkat 4.8 peratus pada tahun 2020. Manakala kadar inflasi dijangka terus terkawal pada dua peratus pada tahun 2020. Sekiranya persekitaran luar kekal tidak memberangsangkan, Kerajaan bersedia menimbang untuk mengambil langkah-langkah kontigensi yang diperlukan bagi menyokong atau memangkin semula pertumbuhan ekonomi negara. 221. Belanjawan ini dirangka berasaskan pembaharuan institusi yang bermula sejak tahun lepas. Kerja keras Kerajaan telah membuahkan hasil di mana Malaysia merupakan antara negara terbaik dalam laporan Bank Dunia Worldwide Governance Indicators (WGI). Ini adalah bukti yang kukuh untuk menggambarkan kesan daripada kancah kleptokrasi yang diamalkan sebelum ini berbanding dengan amalan demokrasi sekarang. 222. Dengan penganjuran APEC 2020, Malaysia telah diberi peluang yang unik untuk memperkenalkan semula negara tercinta ke persada dunia. Ini adalah peluang bagi kita untuk membuktikan bahawa kita berada di landasan yang betul, sebuah negara yang berbangga kerana bersih, hijau, selamat dan sejahtera. Kini kita bermatlamatkan satu harapan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dari Langkawi yang mengilhamkan pelbagai inisiatif dalam Belanjawan ini. 223. Wawasan Kemakmuran Bersama meneruskan kesinambungan Wawasan 2020, yang disulami dengan idea, idealisme, inovasi, pembaharuan institusi dan integriti untuk membentuk Malaysia baharu. Malaysia Baharu yang menawarkan hak mutlak setiap warganegara Malaysia dengan penjagaan kesihatan sejagat; pendidikan yang berasaskan pengetahuan dan nilai murni; pekerjaan yang bermakna dengan gaji yang setimpal; rumah yang selesa; kebebasan dari monopoli dan pencatutan; maruah diri yang dilengkapi dengan hak asasi dan penghormatan; masyarakat majmuk yang menyanjung prinsip keharmonian, saling bertolak ansur antara kaum dan agama, di mana anak cucu kita akan mendewasa bebas daripada keresahan sebaliknya dipenuhi dengan harapan dan peluang kejayaan. 224. Malaysia baharu adalah milik semua tanpa mengira umur, kaum, agama, latar belakang atau geografi. Dari Perlis hingga ke Sabah, marilah kita bersatu dan berganding bahu, meningkatkan usaha agar hasil dapat dikecapi bersama dengan sikap penyayang dan saling hormat-menghormati. Harapan inilah amanah kita. Bersama-samalah kita kukuhkan perpaduan dan integrasi nasional demi membina kehidupan yang lebih baik dan masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak kita. 225. Tan Sri Yang Dipertua, saya mohon mencadangkan. 1. Sesungguhnya Kami Bernaik Saksi Bahawa, Tiada Tuhan yang Selayaknya Disembah Melainkan Allah yakni Dia, serta para MalaikatNya, yang berSelawat ke atas Nabi Junjungan. Seraya,… diseru ke atas orang-orang yang beriman mengucapkan; Allahumma Solli Ala Saidina Muhammad, Wa a’la A-li Saidina Muhammad. 2. Begitu juga kepada Tuan Yang Dipertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Tuan-Tuan dan Puan-Puan serta seluruh Rakyat Malaysia Sekalian, dari penjuru Utara Perlis, hingga ke Penghujung Benua Asia di Tanjung Piai, membawa nun jauh di Sabah, Negeri di Bawah Bayu dan di Sarawak, Bumi Kenyalang, diucapkan Salam Sejahtera,… Salam Negaraku,… dan Salam 1Malaysia. Tuan Yang Dipertua, 3. Pastinya pada tahun lalu, kita maklum tentang ramai yang telah meneka-neka bahawa,… Bajet 2017 itu adalah Bajet Pilihanraya. 4. Memanglah,… tidak dinafikan,… kerana sekian banyak inisiatif dan sekian banyak peruntukan, telah diumumkan demi keperluan rakyat serta kepentingan negara. Namun nampaknya,… ramalan itu setakat tahun lepas,… menjadi hampa dan tidak benar belaka. 5. Lalunya,… Tuan Yang Dipertua, kalau minggu lalu, kawan- kawan daripada masyarakat India baru saja menyambut perayaan cahaya Deepavali,… kita ucapkan sekali lagi bersama-sama Deepavali Val-thu-kal,… Maka,… pada Jumaat penghulu segala hari ini, seperti para cerdik pandai juga menyatakan boleh disambut sebagai Hari Lebaran yang riang dan ceria. 6. Jadinya,… saya mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama- sama untuk merayakan imbuhan-imbuhan, buah-buah tangan dan pemberian-pemberian yang akan dibentang- bentang dan dihidang-hidang sepanjang persembahan Bajet ini. Dengan satu syarat,… Syaratnya apa?... aaa… syaratnya, saya nak khabor pada semua,… bak kata orang tempat saya di Pekan,… maaf cakaplah, kalau boleh, moleklah mendengor,… bukannya berdengkor,… dari mula, sampeilah ke penghujung ucapan. 7. Maksud saya,… berdiri saya pada petang Jumaat yang mulia bertarikh 27 Oktober ini, bersamaan dengan 7 haribulan Safar 1439 Hijriah, adalah, tidak lain dan tidak bukan, untuk membawa khabar-khabar yang lebih riang dan gembira, yang bakal menguntum serta menyimpul senyum- senyuman di wajah semua. 8. Yang ter-paling mustahak adalah untuk dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia tercinta, tidak kira apa jua kaum,… apa jua bangsa,… dan apa jua latar keturunan. 9. Tuan Yang Dipertua, ternyata, yang ditunggu-tunggu, buahnya pun baru saja masak dan baru saja meranum,… hatta, kalau tidak dipetik pun pada petang yang berbahagia ini, ia akan tetap gugur, dan akan tetap luruh, satu persatu, sebagai sebahagian rezeki yang dilimpahi rendang dan merimbunnya Pepohon Malaysia. 10. Jadinya, marilah kita sama-sama menghayati dan meneliti dahulu,… apa yang akan saya, bagi pihak Kerajaan ingin sajikan, jika tidak,… bagi mereka yang terburu-buru, sebagai memetik kata ulamak dan cerdik pandai,… sesungguhnya tergolonglah dalam kumpulan orang-orang yang merugi. Tuan Yang Dipertua, 11. Sayang seribu kali sayang,… dalam pada kita ingin membina peradaban santun susila di antara satu sama lain, sampai hati,… dan,… tergamak sungguh ‘Orang Itu’ memaki,… mencerca,… etnik bangsa dari keturunan Bugis. Tapi,… tak mengapalah,... apa yang penting,… kita wajar terus Berjiwa Besar, bak kata seloka dalam loghat Utara: Orang Kedah semua baik-baik dan ramah-ramah, Cuma, sorang dua sajaa, yang mudah lupa diri, Kerajaan BN ini ikhlas, kerja untuk negara dan ummah, Ni dia Bajet yang kita semua dok nanti-nanti. PRESTASI DAN CABARAN EKONOMI Tuan Yang Dipertua serta Rakyat Malaysia sekalian, 12. Pertama-tamanya, kita wajib merafakkan rasa syukur setinggi-tingginya ke hadrat Allah S.W.T kerana ekonomi negara terus berkembang dengan PO-SI-TIF. 13. Pada separuh tahun pertama 2017, ia mencatatkan satu pertumbuhan yang sungguh memberangsangkan pada kadar 5.7 peratus. 14. Makanya, janganlah mudah termakan dengan tipu daya serta dakyah yang tidak henti-henti terutamanya di media sosial,… oleh pelbagai pihak yang tidak bertanggungjawab bahawa kononnya,… Bank Dunia telah mengeluarkan laporan-laporan negatif tertentu terhadap ekonomi negara kita. 15. Hakikatnya, perkara itu adalah tidak benar sama sekali,… kerana realitinya baru saja tiga minggu lepas, pihak Bank Dunia telah membuat semakan yang lazim, merangkumi Asia Timur dan Pasifik. 16. Hasil daripada semakan itu,… sekali lagi,… yang ter-paling mustahak,… Badan Kewangan Antarabangsa Tertinggi dunia itu telah menzahirkan keyakinan terhadap prestasi ekonomi kita, dengan memberi puji-pujian kepada dasar-dasar negara, seraya menaikkan unjuran KDNK Malaysia,… daripada 4.9 kepada 5.2 peratus bagi tahun 2017. Ada bersama kita hadirin sekalian, pada petang ini, beberapa wakil daripada Bank Negara Malaysia dan World Bank. 17. Selanjutnya, Kerajaan pula mengunjurkan ekonomi Malaysia bakal mencapai kadar pertumbuhan tahunan antara 5.2 hingga 5.7 peratus pada 2017, yakni lebih tinggi daripada unjuran pada bulan Mac lalu iaitu 4.3 hingga 4.8 peratus. Tuan Yang Dipertua, 18. Sesungguhnya lagi, selama 60 tahun negara ini mencapai kemerdekaan, pada Bajet yang ke-59 dan kali ke-9 saya bentangkan bagi pihak Kerajaan ini, dengan penuh rasa syukur serta tawadhuk, ingin dinyatakan bahawa, sepanjang tempoh lapan tahun yang lalu, di sebalik pelbagai kerencaman dan cabaran ekonomi,… Malaysia telah mampu membuktikan, dua aspek yang amat penting dan dapatlah disimpulkan sebagai: Pertamanya: Kita telah mencapai prestasi hubungan dagang dan diplomasi pada tahap pa-ling baik dan pa-ling matang dalam lingkungan masa serentak dengan kuasa-kuasa besar ekonomi dunia seperti China, India, Arab Saudi dan Amerika Syarikat. Sesungguhnya, tidak pernah seumpamanya seperti ini dalam sejarah, sehinggakan the actual private investment untuk 2016 sahaja, melebihi 211 bilion ringgit. Dibandingkan pada tahun 2009, jumlah pelaburan swasta sebenar hanyalah 81 bilion ringgit. Oleh sebab itu,… seandainya saya dan rakan-rakan anggota kabinet mengadakan lawatan rasmi ke luar negara,… janganlah sewenang-wenangnya sesiapa pun menuduh bahawa, kita hendak menggadaikan kedaulatan Tanah Air. Hah…!!! Baru-baru ini, saya mendapat khabar berita,… katanya,… YAB Menteri Besar Selangor, merangkap Ahli Parlimen Gombak sendiri, telah pun berkunjung ke Tanah Besar China. Kita nak tanya,… YB Gombak,… Nak jual Selangor ke? Demikianlah kata orang,… Berhati-hatilah kalau mahu meludah ke langit, takut-takut nanti,… ia jatuh setepek,… terpalit ke muka sendiri. Tuan Yang Dipertua, Itu belum lagi dikira lawatan-lawatan ke luar negara yang dibuat oleh YB Bagan, juga YAB Ketua Menteri Pulau Pinang. Itupun kira macam mana,… kita kira macam mana, nak jual negeri juga ke..? Keduanya: Tuan Yang Dipertua, sejak tahun 2009, meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran yang kebanyakannya di luar kawalan kita, seperti harga minyak dunia yang jatuh merudum, faktor geopolitik antarabangsa yang bergolak dan masih tidak menentu, akan tetapi,… Alhamdulillah, kita terus kekal mampu menguruskan kewangan negara, dengan mengamalkan tadbir urus yang cekap serta disiplin fiskal yang begitu berhemah. Menoleh ke tahun 2009, defisit fiskal kita berada pada kadar 6.7 peratus daripada KDNK. Dengan perancangan dan perencanaan serta inisiatif yang teratur lagi sistematik, syukur kepada Allah S.W.T., defisit fiskal negara dianggar terus berkurang kepada 3 peratus pada 2017, dan kita yakin pada tahun 2018 akan menurun lagi kepada 2.8 peratus. Impaknya sungguh jelas,… baru-baru ini, tiga agensi penarafan kredit antarabangsa yang berwibawa, telah mengekalkan kredit Malaysia pada penarafan ‘A-’ dengan prospek yang stabil. Bayangkan,… bayangkanlah,… seandainya Kerajaan ini, tidak mengambil langkah-langkah bijak lagi proaktif untuk menguruskan perbelanjaan negara, terutamanya ketika harga minyak dunia jatuh mendadak, paras defisit fiskal dan hutang akan meningkat sekaligus menjejaskan penarafan kredit negara, kemungkinan besar kita boleh terjerumus ke kancah kegawatan ekonomi. Sekiranya itu berlaku, ia boleh mengakibatkan kenaikan kos pinjaman peribadi dan komersial, keyakinan pelabur pun terjejas, serta mengundang ketidakstabilan pasaran kewangan. Tuan Yang Dipertua, 19. Makanya, bagai disyair orang dulu-dulu, kalau buruk yang kita minta, maka buruklah jadinya; kerana itu,… kalau elok kita usaha dan minta, maka moleklah hasilnya. 20. Justeru,… walau sekali apa pun cabaran, halangan dan pancaroba yang datang merintang, kita perlu terus mengekalkan momentum dan dinamika kepesatan ekonomi negara. 21. Kerana itulah, pegangan pentadbiran Kerajaan ini sejak mula-mula saya mengambil alih tampuk kepimpinan, telah diperkenalkan Program Transformasi Negara yang inklusif, di bawah lembayung Dasar Transformasi Nasional atau DTN, yang amat menitikberatkan tentang aspek kualiti, sistem penyampaian perkhidmatan yang berkesan, khususnya, dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi. 22. Di bawah DTN ini juga, terkandung antara lain, Model Ekonomi Baru, yang selaras dengan Rancangan Malaysia Ke- 10 dan Rancangan Malaysia Ke-11. Tuan yang Dipertua, 23. Maka, tidak salah lagi sejak 2009, ketika mana melihatkan keadaan sosioekonomi negara ketika itu, saya selaku Perdana Menteri telah membuat keputusan yang amat sukar, dengan meletakkan inisiatif ekonomi sebagai Fokus Utama kepada Kerajaan yang saya pimpini, sehinggakan agenda dan program Transformasi yang lain disusunatur menurut keutamaan dan dikemudiankan dahulu, termasuklah Program Transformasi Politik. 24. Justeru, mana mungkin orang mempertikai bahawa kita tidak mempunyai polisi ekonomi yang kukuh? Ternyata, kesemua usaha yang telah diambil oleh Kerajaan sepanjang lapan tahun yang lalu, telah membuahkan hasil-hasil, antaranya: Pertama: Sasaran 3.3 juta peluang pekerjaan baharu menjelang 2020 setakat ini, sudahpun mencapai angka 69 peratus dengan 2.26 juta pekerjaan diwujudkan; Kedua: Pada bulan Ogos ini sahaja, eksport negara buat pertama kalinya telah mencapai antara paras tertinggi, dengan nilaian melebihi 80 bilion ringgit, dan merekodkan double digit growth; dan Ketiga: Rizab antarabangsa terkini pula, telah mencatat 101.4 bilion dolar Amerika atau 428.7 bilion ringgit yang mampu menampung 7.5 bulan import tertangguh. Sedangkan pada tahun 1997, ketika berlakunya kegawatan ekonomi Asia, rizab negara hanyalah 21.7 bilion dolar Amerika atau bersamaan 59.1 bilion ringgit,... Nah,... kalau rizab serendah 21.7 bilion dolar Amerika pun tidak bankrap, Itu pun, kita belum tolak 31 bilion ringgit yang entah ke mana.... apatah lagi rizab sekarang setinggi 101.4 bilion dolar Amerika. Tuan Yang Dipertua, 25. Bukan setakat itu sahaja, melalui Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Keperluan Asas 2016, menyaksikan, kita telah meraih sekian banyak pencapaian, antaranya: Pertama: Pendapatan per kapita rakyat daripada 27,819 ringgit pada tahun 2010, kini telah meningkat kepada 40,713 ringgit, dan dijangka mencapai 42,777 ringgit menjelang 2018; Kedua: Pendapatan median bulanan pula, telah meningkat daripada 4,585 ringgit, pada tahun 2014 kepada 5,288 ringgit pada tahun 2016; Ketiga: Bagi pendapatan isi rumah B40 pula, daripada tempoh 2014 hingga 2016, telah meningkat daripada 2,629 ringgit kepada 3,000 ringgit sebulan; dan Keempat: Agihan pendapatan dalam kalangan isi rumah Malaysia terus bertambah baik dengan penurunan Pekali Gini daripada 0.441 pada tahun 2009, kepada 0.399 pada tahun 2016, the lowest in the history of Malaysia. Ini bermakna jurang pendapatan semakin dirapatkan, dan kita menuju masyarakat yang pengagihannya lebih saksama. PERUNTUKAN BAJET 2018 Tuan Yang Dipertua, 26. Demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat, maka Bajet 2018 akan memperuntukkan sejumlah 280.25 bilion ringgit, menyaksikan pertambahan peruntukan, berbanding 260.8 bilion ringgit peruntukan Bajet 2017 yang dibentangkan. 27. Daripada jumlah tersebut, 234.25 bilion ringgit adalah bagi perbelanjaan mengurus, dan 46 bilion ringgit lagi bagi perbelanjaan pembangunan. Ini tidak termasuk simpanan luar jangka 2 bilion ringgit. 28. Di bawah peruntukan mengurus, 79.15 bilion ringgit adalah untuk Emolumen dan 33.62 bilion ringgit untuk Perkhidmatan dan Bekalan. 29. Manakala, sebanyak 119.82 bilion ringgit lagi, adalah untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Perbelanjaan lain pula, diperuntukkan 1.08 bilion ringgit, dan 577 juta ringgit untuk pembelian aset. 30. Di bawah peruntukan pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan tertinggi sebanyak 26.34 bilion ringgit. Sektor sosial menerima sejumlah 11.72 bilion ringgit. Manakala, sektor keselamatan diperuntukkan 5.22 bilion ringgit, dan sektor pentadbiran am sebanyak 2.72 bilion ringgit. 31. Bagi tahun 2018, dengan izin Allah, kita menjangkakan, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan mencecah 239.86 bilion ringgit. 32. Apa yang penting, Kerajaan tetap komited untuk melaksanakan langkah konsolidasi fiskal dan mempastikan kedudukan kewangan Kerajaan terus kukuh serta paras hutang kekal rendah bagi tempoh jangka sederhana dan panjang. Tuan Yang Dipertua, 33. Pastinya semua dapat mengagak, bajet yang digubal ini adalah yang paling penting kerana, ia merupakan satu rumusan kepada prakarsa-prakarsa yang telah memacu ekonomi negara semenjak saya menjadi Perdana Menteri sebermulanya tahun 2009. 34. Ia sebetulnya juga, menjadi antara report card utama kepada rakyat dan Kerajaan pimpinan saya, sepanjang dua penggal tempoh pentadbiran Kerajaan ini. 35. Bahkan, ia disusun sebagai satu dokumen pelonjak kepada pembikinan sebuah negara Bangsa Malaysia untuk tempoh 30 tahun mendatang yang akan dicorakkan semula di atas kanvas yang lebih baharu berasaskan KERANGKA MAQASID SYARIAH. 36. Dalam memperkatakan hal ini, sesungguhnya secara sedar atau tidak, sejak meraih kemerdekaan, kita begitu bertuah kerana bapa-bapa pendahulu telah menyulam manik-manik azimat Maqasid Syariah, yang mementingkan pemeliharaan 5 aspek, yakni Agama, Nyawa, Akal, Keturunan dan Harta di dalam setiap dasar dan setiap perancangan Kerajaan. 37. Kerangka Maqasid Syariah ini, dengan jelas difirmankan oleh Allah S.W.T dalam surah Al-Mum-ta-ha-nah ayat ke-12 yang mafhumnya menyebut, tentang kepentingan menjaga kemaslahatan Ad-Dho’-ru-riyat yakni, keperluan asas yang paling utama, sesuatu yang tidak boleh tidak tanpanya, untuk kita, atau rakyat, meneruskan hidup. 38. Manakala menerusi pengertian Surah Al-Hajj dan Hadis antaranya riwayat Ahmad,… Haa-Ji-Yat pula, berkaitan perkara yang diperlukan oleh manusia bagi memberi kemudahan kepada mereka supaya tidak berlaku kesempitan yang membawa kepada kesulitan dan kesukaran hidup serta,… Ketiganya, keperluan kepada Tah-si-niyat hanyalah sekadar menjadi penghias, pencantik dan bersifat pengindah semata- mata, untuk kesempurnaan hidup. 39. Makanya,… semenjak enam dekad lalu, segala usaha pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional secara lumrahnya diilhamkan oleh Tuhan Yang Maha Mengetahui kepada pimpinan-pimpinan negara,… agar sentiasa ‘terpandu’ dengan kerangka Maqasid Syariah ini, dan dari masa hingga masa,… Diperkuatkan lagi oleh falsafah-falsafah seperti Perlembagaan Persekutuan, Ideologi Kebangsaan Rukun Negara, prinsip Wasatiyah atau moderation, Falsafah 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, dan terkini, aspirasi TN50 sebagai kesinambungan gagasan- gagasan pucuk kepimpinan Kerajaan, zaman-berzaman, yang sekaligus menolak fahaman ekstremisme, tidak berfikiran terlalu liberal, apatah lagi mengamalkan sistem ala-Taliban State. 40. Jadinya, dari masa ke semasa, kepimpinan yang silih berganti ini, telah menyusun segala dasar dan strategi negara berlandaskan roh serta semangat kerangka dan pedoman Maqasid Syariah. Tuan Yang Dipertua, 41. Memang benar, sekalipun kerangka Maqasid ini tidak tertulis atau termaktub secara rasmi dalam mana-mana dokumen Kerajaan, akan tetapi secara berhemah, amalan dan praktis-nya terzahir menerusi sekian-sekian falsafah dan sekian-sekian dasar negara, yang bersambung-sambung dan bertali-temali. 42. Sebenarnya lagi, manhaj Maqasid Syariah yang dipegang oleh Kerajaan mensasarkan kepada kepentingan umum, yang mendatangi kebaikan kepada rakyat terbanyak, dengan mengambil kira tahap kemampuan Kerajaan mengikut tiga keutamaan, iaitu Dho’-ru-riyat, Haa-Ji-Yat dan Tah-si- niyat, seperti yang saya sebutkan tadi. 43. Jadinya, terbuktilah pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional yang sudah menempa satu tempoh panjang yang sarat menggendong-gendong bersamanya, begitu banyak selok belok pengalaman, mahupun pengetahuan sepanjang 60 tahun, telah menjadi asas kepada Evolusi Pembangunan serta pembikinan jatidiri sebuah negara bangsa yang boleh diperbanggakan. 44. Makanya, berbekalkan semua prinsip dan garis-garis besar haluan bernegara itu, pada petang yang berbahagia ini, dengan Kehendak dan Kurnia Allah Yang Maha Kaya, saya membingkiskan sebuah lagi Dokumen Besar demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara, yakni Bajet 2018. Tuan Yang Dipertua, Saudara dan Saudari, 45. Bajet 2018 digubal selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-11, dan ini merupakan Bajet yang ketiga di bawahnya. Lalu, untuk mempastikan kemakmuran dan kekayaan negara dapat dinikmati secara saksama dan inklusif, melalui pertumbuhan ekonomi domestik yang kukuh serta berdaya saing, dengan izin Allah terhasil-lah Bajet ini dengan bertemakan “MEMAKMUR EKONOMI YANG INKLUSIF, MENGIMBANG KEUNGGULAN DUNIAWI DAN UKHRAWI DEMI MENSEJAHTERA KEHIDUPAN RAKYAT, MENUJU ASPIRASI TN50” berasaskan kepada Lapan Pe- Tunjang. Tuan Yang Dipertua, 46. PE-TUNJANG PERTAMA BAJET 2018 ADALAH MERANCAK PELABURAN, PERDAGANGAN DAN INDUSTRI. Jumlah pelaburan dalam negara dijangka meningkat 6.7 peratus atau menyumbang 25.5 peratus kepada KDNK pada tahun 2018. 47. Dalam hal ini, Kerajaan akan terus menekankan pelaburan berimpak tinggi, seperti petroleum, logistik, rel, automasi dan robotik, serta industri berasaskan eksport. 48. Sumbangan pelaburan swasta terus mengatasi pelaburan awam dengan nisbah 70:30. Pelaburan swasta dijangka mencecah 260 bilion ringgit pada 2018. 49. Manakala pelaburan sektor awam dijangka mencecah 109 bilion ringgit, berbanding hanya 75 bilion ringgit pada 2009. Ini sejajar matlamat ETP untuk menjadikan sektor swasta sebagai engine of growth. 50. Ini termasuk, satu bilion ringgit kepada Lima Koridor Utama. Kerajaan akan membangunkan Wilayah Selatan Perak, merangkumi pembangunan Proton City, Educity dan Youth City, Tanjung Malim serta Zon Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam; pembinaan pelabuhan dan kawasan perindustrian Tok Bali, Kelantan serta jalan akses ke Empangan Baleh, Sarawak. 51. Serentak itu, bagi terus meletakkan Malaysia sebagai lokasi pelaburan langsung asing, galakan cukai bagi Principal Hub akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020. Bagi MIDA pula, kita akan memperuntukkan 200 juta ringgit untuk dana strategik berimpak tinggi. 52. Malaysia komited untuk perkongsian maklumat ekonomi yang diperkenalkan oleh OECD. Ini termasuklah menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Base Erosion And Profit Shifting serta Pertukaran Maklumat Secara Automatik mulai September 2018. Tuan Yang Dipertua, 53. Pembangunan Malaysia akan dilaksanakan melalui penglibatan inklusif PKS. Buat masa ini, di Malaysia, kita ada antaranya, perusahaan Jeruk Pak Ali, Sydney Cake House, Telekung Siti Khadijah dan Satay Haji Samuri, yang telah bertapak kukuh dengan jenama sendiri, malah ada yang telah menembusi pasaran antarabangsa. 54. Wakil-wakil PKS yang kita banggakan, turut memeriahkan Pembentangan Bajet ini. Ucapkan selamat datang kepada mereka ke Dewan Parlimen, serta marilah kita beri tepukan tahniah kepada kejayaan mereka! 55. Sehubungan itu, Tuan Yang Dipertua, Bajet ini mensasarkan supaya syarikat-syarikat PKS akan menyumbang 41 peratus kepada KDNK menjelang tahun 2020, melalui langkah berikut: Pertama: Tujuh bilion ringgit di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan atau SJPP, iaitu lima bilion ringgit untuk modal kerja dan dua bilion ringgit, pinjaman dengan 70 peratus jaminan Kerajaan untuk sektor perkhidmatan termasuk Industrial Revolution 4.0; Kedua: Dalam komitmen Kerajaan untuk mengautomasikan proses pengeluaran dan mengurangkan peng-gajian pekerja asing, satu jumlah besar diberi buat julung kalinya, sebanyak satu bilion ringgit, dengan pinjaman 70 peratus jaminan Kerajaan di bawah SJPP; Ketiga: Saiz Dana Skim Pembiayaan PKS Patuh Syariah ditambah 1 bilion ringgit, menjadikan saiz dana 2.5 bilion ringgit. Kemudahan ini diberi subsidi dua peratus ke atas kadar keuntungannya; Keempat: Sejumlah 200 juta ringgit bagi program latihan, geran dan pinjaman mudah PKS di bawah SME Corp; dan Kelima: Hampir 82 juta ringgit bagi pembangunan industri dan produk halal di pelbagai agensi. 56. Bukan itu sahaja, Kerajaan tidak melupakan usahawan- usahawan mikro, seperti peniaga coconut shake di Klebang, Melaka yang popular itu. 57. Seiring ini juga, sukacita saya memperuntukkan Bajet paling tinggi pernah diberi kepada TEKUN, iaitu setengah bilion ringgit. Tuan Yang Dipertua, 58. Selanjutnya, bagi menghargai sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia atau AIM yang majoritinya wanita serta merupakan pembayar balik hutang paling berdisiplin,… bagi mereka terus berusaha gigih, mengubah nasib dan memajukan diri serta keluarga masing-masing,… Maka,… bagi Bajet ini, apalah salahnya kita tambah- tambahkan lagi dana AIM, sebanyak 200 juta ringgit. Ini menjadikan jumlah pembiayaan keseluruhan AIM mencecah 2.7 bilion ringgit, memanfaatkan hampir 400 ribu peminjam. Lagipun, telah tercipta pelbagai kisah kejayaan di kalangan peminjam. Tuan Yang Dipertua, 59. Menyentuh hal ini,… kita sesungguhnya berasa simpati dan berbaur kagum dengan ketabahan seorang insan bernama Wan Azizah,… atau lebih dikenali dengan nama Kak Wan,… dalam menempuh liku-liku hidup beliau yang begitu mencabar….. namun, berkat kesabaran,… Kak Wan terus cekal berjuang,…. Nampaknya, Kak Wan ada bersama-sama kita pada hari ini,… Justeru, marilah kita sama-sama memberi tepukan kepada Kak Wan Azizah binti Wan Salleh, yang berada di atas sana,… contoh Sahabat AIM yang telah berjaya menjadi jutawan di bidang ternakan dan pemprosesan ayam, dengan modal permulaan hanya sebanyak 500 ringgit daripada AIM sejak 1993. 60. Selanjutnya, 80 juta ringgit disediakan di bawah Skim Pembiayaan Ekonomi Desa melalui Bank Rakyat dan Bank SME, bagi menyediakan kemudahan pembiayaan kepada usahawan Bumiputera luar bandar. 61. Eksport negara pula, akan terus dipergiat, terutama kepada sektor eksport yang bernilai tinggi menerusi langkah berikut: Pertama: 150 juta ringgit kepada MATRADE, MIDA dan SME Corp bagi melaksanakan promosi dan peluasan pasaran eksport termasuk Market Development Grant; Kedua: Satu bilion ringgit disediakan oleh EXIM Bank bagi kemudahan kredit perlindungan insurans, dan dua ratus juta ringgit untuk kemudahan kredit pembiayaan kepada pengeksport PKS; dan Ketiga: 100 juta ringgit disediakan sebagai pinjaman dengan 70 peratus jaminan Kerajaan bagi meng-automasi pengeluaran perabot tempatan untuk tujuan eksport. 62. Tuan Yang Dipertua, para pesawah,… para petani,… para pekebun kecil,… para nelayan,… para penternak,… serta mana-mana rakyat Malaysia yang terlibat dalam sektor pertanian. Sesungguhnya, tuan-tuan dan puan-puan lah antara kelompok masyarakat yang sangat dekat di hati saya dan Kerajaan. 63. Justeru, buat pertama kali dalam sejarah Bajet negara, saya dengan penuh prihatin mengumumkan, peruntukan pa-ling besar kepada kelompok pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak, dan penoreh getah sebanyak 6.5 bilion ringgit, antaranya: Pertama: 2.3 bilion ringgit bagi bantuan dan insentif seperti baja dan input pengeluaran kepada pesawah, pekebun kecil getah dan nelayan; Kedua: Hampir 500 juta ringgit bagi menambah baik infrastruktur pengairan di kawasan pertanian dan menaik taraf jalan ladang; Ketiga: Hampir 200 juta ringgit bagi program penanaman semula getah dan menyediakan kemudahan infrastruktur dengan meningkatkan pengeluaran latex berbanding cup lump, sekali gus meningkatkan pendapatan para pekebun kecil; Keempat: Hampir 140 juta ringgit bagi program pembangunan dan penanaman semula kelapa sawit termasuk promosi; Kelima: Dalam memperkasakan sektor pertanian, 200 juta ringgit disediakan bagi inisiatif Sumber Kekayaan Baharu, khususnya untuk penanaman jagung bijian, kelapa, durian, dan sektor kulinari serta industri tenusu dengan menubuhkan Lembaga Tenusu dan Ruminan. Contohnya, di Hong Kong, harga durian Mawsang King dikhabarkan telah mencecah lapan ratus ringgit sebiji. Keenam: Buat pertama kalinya, skim khas, untuk program peningkatan pengeluaran kelapa melalui pendekatan penanaman semula kelapa variasi baru dari jenis CARECA dan MATAG akan diperkenalkan dengan peruntukan 50 juta ringgit, memanfaatkan 10 ribu pekebun kecil. Pengurusan industri kelapa akan digabungkan di bawah satu lembaga baru bersama-sama industri nenas dan buah-buahan; dan Ketujuh: Selain penoreh getah dan nelayan yang dikekalkan bantuan-bantuannya, pada Bajet kali ini, buat pertama kalinya, saya juga ingin mengumumkan bantuan sebanyak 200 ringgit sebulan bagi tempoh 3 bulan sementara menunggu hasil tuaian padi, dengan peruntukan hampir 150 juta ringgit kepada pesawah padi. Tuan Yang Dipertua, 64. Ternyata, kini sektor pelancongan merupakan antara penjana pendapatan utama kepada ekonomi negara. 65. Buktinya World Tourism Organisation melaporkan bahawa pada 2016, Malaysia adalah negara ke-12 yang paling ramai dikunjungi oleh pelancong dari seluruh dunia. Bak kata orang, Dari Melaka ke Negeri Pahang, Tumpang Berteduh di Bandar Pekan; Negara Tersohor Pelancong Pun Datang, Itulah Tandanya Malaysia Aman. 66. Seterusnya, bagi tahun 2018, dijangka 28 juta pelancong melawat Malaysia. Sehubungan itu: Pertama: Sukacita diisytiharkan dalam Bajet ini, tahun 2020 sebagai Tahun Melawat Malaysia atau Visit Malaysia Year 2020 di mana Malaysia akan menjadi tuan rumah antaranya kepada APEC, WCIT dan CHOGM; Kedua: Dua bilion ringgit diperuntukkan kepada Tabung Pelancongan PKS sebagai pinjaman kepada pengusaha pelancongan dengan memberi insentif subsidi kadar faedah dua peratus; Ketiga: Menambah satu bilion ringgit kepada Tabung Pembangunan Infrastruktur Pelancongan sebagai pinjaman mudah; Keempat: Menyediakan 500 juta ringgit bagi program pembangunan dan promosi pelancongan melalui kemudahan infrastruktur pelancongan, homestay dan program eko-pelancongan; Kelima: Memperluas hab serantau eVisa bagi memudahkan permohonan visa di seluruh dunia, terutama kepada ekspatriat, pelajar asing dan program Malaysia My Second Home; Keenam: Galakan cukai bagi pelaburan hotel baharu bertaraf 4 dan 5 bintang dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020; dan Ketujuh: Galakan pengecualian cukai pendapatan bagi syarikat pengendali pelancongan dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2020. Tuan Yang Dipertua, 67. Selain itu, industri pelancongan kesihatan turut diperkukuh menjadi sumber pendapatan negara, termasuklah menyediakan ‘end-to-end service’ kepada pelancong kesihatan ke Malaysia. 68. Bagi hasrat ini, 30 juta ringgit disediakan kepada Malaysian Healthcare Travel Council untuk melaksanakan: Pertama: Mempromosi Malaysia sebagai “Hab Rawatan Kesuburan, Termasuk IVF, dan Kardiologi Asia”, yang akan diperluaskan dengan kemudahan eVisa dan pakej perkhidmatan kesihatan bernilai tinggi; Kedua: Memperkenalkan Program Flagship Medical Tourism Hospital yang menawarkan insentif khusus kepada hospital swasta bagi menarik pelancong kesihatan; Ketiga: Galakan elaun cukai pelaburan sebanyak seratus peratus bagi pelancongan kesihatan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020; Keempat: Potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan mendapatkan pensijilan kualiti daripada Badan pensijilan akreditasi kualiti perkhidmatan kesihatan, bagi perkhidmatan pergigian dan ambulatori yang berdaftar dengan MHTC; dan Kelima: Insentif khas pengecualian cukai dinaikkan daripada 50 peratus ke 100 peratus dari nilai peningkatan eksport, bagi perkhidmatan jagaan kesihatan swasta sahaja, mulai tahun taksiran 2018 hingga 2020. Tuan yang Dipertua, 69. Dalam mempastikan limpahan ekonomi yang lebih seimbang di antara bandar dan luar bandar, Kerajaan akan memperkemas infrastruktur logistik dan pengangkutan, melalui langkah berikut: Pertama: Pembinaan projek East Coast Rail Link atau ECRL yang menghubungkan Pelabuhan Klang ke Pengkalan Kubor, Kelantan yang dapat membawa muatan kargo dan penumpang dalam tempoh empat jam. Kerja-kerja pembinaan fizikal akan bermula Januari 2018. Selain itu, 110 juta ringgit diperuntukkan untuk menyedia jalan alternatif ke Pelabuhan Klang bagi melengkap dan melancarkan jaringan pengangkutan; Kedua: Projek MRT2 jajaran Sungai Buloh-Serdang- Putrajaya dengan jarak 52 kilometer meliputi 37 stesen dengan anggaran kos 32 bilion ringgit. Selain itu, Kerajaan akan mempercepatkan pembinaan MRT3 atau Circle Line, dijangka siap pada 2025, lebih awal berbanding 2027. Selanjutnya, bagi projek LRT3 yang bakal menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia, Klang, dijangka siap pada Februari 2021; Ketiga: Projek High Speed Rail menghubungkan Kuala Lumpur - Singapura sejauh 350 kilometer dalam masa 90 minit, dijangka memanfaatkan rakyat menjelang 2026; Keempat: Berita gembira buat rakyat Selangor dan Perak, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat dari Banting ke Taiping sedang dibina dengan kos lima bilion ringgit; Kelima: Untuk Projek Central Spine Road, 230 juta ringgit diperuntukkan untuk tahun 2018 bagi meneruskan pembinaan, antaranya pakej jajaran Raub ke Bentong, dan jajaran Gua Musang, Kelantan ke Kampung Relong, Pahang; Keenam: Bajet ini juga mengisytiharkan bahawa,… Pulau Pangkor di Perak sebagai Pulau Bebas Cukai. Walau bagaimanapun, ini tidak termasuk barang- barang seperti minuman keras, rokok dan kenderaan bermotor; dan Ketujuh: Untuk merancakkan ekonomi di bahagian Utara, Special Border Economic Zone di Bukit Kayu Hitam akan dibangunkan. Pembangunan ini turut merangkumi Zon Perindustrian Bebas yang akan menjadi tarikan baharu kepada pelabur dari dalam dan luar negara. Tuan Yang Dipertua, 70. Di samping itu juga, Kerajaan melihat secara holistik keperluan rakyat untuk menikmati sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan selamat dengan langkah berikut: Pertama: Tiga bilion ringgit disediakan kepada Dana Pembangunan Pengangkutan bagi pembelian aset kapal, pembangunan industri teknologi aeroangkasa dan rel. Seterusnya, satu bilion ringgit diperuntukkan kepada Tabung Pengangkutan Awam bagi modal kerja dan pembelian aset seperti bas dan teksi; Kedua: 95 juta ringgit bagi pembaikan dan pembinaan jeti serta pengerukan kuala sungai; Ketiga: Berikutan kejadian-kejadian kemalangan bas penumpang, 45 juta ringgit dibelanjakan bagi mewujudkan satu sistem kawalan biometric untuk memantau pemanduan perkhidmatan bas ekspres; dan Keempat: 55 juta ringgit sebagai subsidi pengangkutan perkhidmatan keretapi luar bandar, dari Tumpat ke Gua Musang. Tuan Yang Dipertua, 71. Saya membentangkan Bajet ini sebagai Perdana Menteri untuk kesejahteraan rakyat, tanpa mengira perbezaan fahaman politik dan kedudukan geografi, demi kepentingan ekonomi negara secara keseluruhannya,… maka saya mengumumkan,… Pertama: Kerajaan akan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi; Kedua: Membina baharu lapangan terbang Mukah dan pembesaran Lapangan terbang Kota Bharu dan Sandakan; Ketiga: Sementara itu, satu kajian mengenai lapangan terbang baru di Pulau Tioman sedang dijalankan oleh Kerajaan; dan Keempat:Untuk merancakkan pembangunan di Labuan, Kerajaan akan membuat feasibility study bagi membina jambatan menghubungkan Labuan dengan tanah besar di Sabah. Tuan Yang Dipertua, 72. Sesungguhnya, kita berbangga Malaysia dikenali sebagai peneraju sistem kewangan Islam dunia. Justeru, bagi memperkukuhkan potensi Malaysia sebagai pusat kewangan yang lebih komprehensif, Kerajaan akan meneruskan langkah berikut: Pertama: 1.5 bilion ringgit untuk pinjaman perniagaan yang dikendalikan oleh SJPP, menggunakan harta intelek sebagai instrumen cagaran dengan memberi jaminan pembiayaan sehingga 80 peratus; dan Kedua: Memberi pengecualian duti setem ke atas nota kontrak bagi transaksi jual beli Exchange-Traded Fund dan Structured Warrants bagi tempoh tiga tahun mulai Januari 2018. 73. Untuk merancakkan pasaran modal dan menyediakan akses pelaburan, Alternative Trading System akan diperkenalkan, tertakluk kepada pematuhan kesemua syarat dan piawaian regulatori yang ditetapkan. Ini akan membolehkan padanan tawaran jual-beli yang lebih efisien dan ketara. Tuan Yang Dipertua, 74. Selanjutnya juga, Kerajaan ini turut mendengar rintihan dan keluhan banyak syarikat kecil seperti start-ups yang sukar mendapat akses kepada modal, bagi membawa mereka ke pasaran yang lebih luas. 75. Untuk itu, Bajet ini akan menggalakkan aktiviti venture capital dengan melaksanakan langkah seperti berikut: Pertama: Satu bilion ringgit disediakan oleh pelabur institusi utama untuk pelaburan venture capital dalam sektor keutamaan terpilih yang diselaras oleh Suruhanjaya Sekuriti; Kedua: Meluaskan pengecualian cukai pendapatan, meliputi fi pengurusan dan fi prestasi yang diterima oleh syarikat pengurus venture capital mulai tahun taksiran 2018 hingga 2022; Ketiga: Bagi memberi kemudahan kepada syarikat venture capital untuk melabur di dalam syarikat teroka, adalah dicadangkan had minima pelaburan dalam syarikat teroka dikurangkan daripada 70 peratus kepada 50 peratus, mulai tahun taksiran 2018 hingga 2022; Keempat: Syarikat atau individu yang melabur dalam syarikat venture capital, diberi potongan cukai bersamaan amaun pelaburan yang dibuat di dalam syarikat teroka, terhad kepada maksima 20 juta ringgit setahun; dan Kelima: Galakan pengecualian cukai pendapatan yang bersamaan jumlah pelaburan oleh angel investor dalam syarikat teroka dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020. 76. Seterusnya, Kerajaan akan terus merancakkan pasaran Sustainable and Responsible Investment dengan langkah berikut: Pertama: Pengecualian cukai pendapatan ke atas penerima geran khas Sukuk Green SRI berjumlah enam juta ringgit; dan Kedua: Pengecualian cukai pendapatan ke atas pendapatan fi pengurusan diperluaskan kepada pengurus dana SRI konvensional yang diluluskan mulai tahun taksiran 2018 hingga 2020. Tuan Yang Dipertua, 77. Kerajaan akan menggalakkan ekonomi cashless society melalui peningkatan keberkesanan penggajian pekerja asing. Mulai 2018, Bank Negara Malaysia akan memantau pembayaran gaji kepada semua pekerja asing, kecuali pembantu rumah, dibuat melalui akaun bank tempatan Tuan Yang Dipertua, 78. PE-TUNJANG KEDUA: MENUJU ASPIRASI TN50. Pada pembentangan Bajet 2017 lalu, saya memperkenalkan Transformasi Nasional 2050 atau TN50 bagi melakar sebuah negara bangsa yang unggul, agar Malaysia terjulang dalam 20 negara terbaik di dunia. 79. Dilaksanakan secara bottom-up, saya sendiri telah turun padang, mengadakan siri-siri wacana dan dialog TN50, dengan pelbagai segmen masyarakat seperti belia, mahasiswa, penjawat awam, penggiat seni, pendidik, dan pihak swasta, bagi mendapatkan aspirasi, pandangan dan idea. Setakat ini, lebih daripada 80 ribu aspirasi telah diterima, menglibatkan 1.8 juta rakyat, mewakili pelbagai golongan dari seluruh negara. Tuan Yang Dipertua, 80. Menuju TN50, bagi mencapai kualiti kerja dan kehidupan keluarga yang seimbang, Pihak Berkuasa Tempatan hendaklah mewajibkan semua bangunan pejabat yang baharu supaya menyediakan kemudahan pusat jagaan kanak-kanak, bermula di Kuala Lumpur. 81. Selain itu, TN50 juga menekankan aspek pembelaan nasib semua golongan, termasuklah kebajikan Orang Kurang Upaya atau OKU. Justeru, potongan cukai tambahan bagi majikan menggaji OKU diperluaskan kepada majikan yang menggaji pekerja yang mengalami kemalangan atau penyakit kritikal, yang disahkan oleh Lembaga Perubatan PERKESO bahawa mereka masih layak bekerja. Tuan Yang Dipertua, 82. Seterusnya,… demi menjamin masa depan generasi TN50 yang lebih cerah, Kerajaan bersama-sama PNB telah bersetuju supaya,… setiap anak Malaysia yang dilahirkan bermula 1 Januari 2018 sehingga 2022, dihadiahkan Dana Tabungan Permulaan sebanyak 200 ringgit melalui unit Amanah Saham di PNB. 83. Skim yang pertama kali diperkenalkan di negara ini akan dinamakan sebagai Amanah Dana Anak Malaysia 2050, atau sesudahnya ini dikenali sebagai ADAM50. Tuan Yang Dipertua, 84. Menyentuh tentang pendidikan untuk generasi TN50 lagi, sebanyak 250 juta ringgit disediakan untuk: Pertama: Menubuhkan pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau STEM, bertujuan membentuk kaedah pembelajaran terkini, bagi melatih guru pakar STEM mengguna pakai fasiliti institut pendidikan guru sedia ada, dengan kerjasama Akademi Sains Malaysia; Kedua: Mempertingkatkan modul Computer Science yang termasuk program Coding dalam kurikulum sekolah rendah dan menengah, yang kini telah pun wujud di Tingkatan Satu dan Tingkatan Tiga; Ketiga: Memperuntukkan 190 juta ringgit bagi menaiktaraf dua ribu kelas menjadi Bilik Darjah Pintar Pembelajaran Abad Ke-21, bagi meningkatkan pembelajaran berasaskan pemikiran kreatif dan inovatif; dan Keempat: Menuju TN50, Kerajaan juga melihat peranan penggiat seni untuk mengangkat mutu budaya ke tahap yang lebih tinggi. Untuk itu, hampir 20 juta ringgit disediakan kepada Cultural Economy Development Agency. Tuan Yang Dipertua, 85. Mutakhir ini, Kerajaan amat berbangga dengan pencapaian terbaik pendidikan tinggi negara kita: Pertama: Menurut Laporan QS University Ranking 2017/2018, kelima-lima Research Universities di negara ini telah meningkat naik tergolong kumpulan 300 universiti terbaik global, yakni tersenarai antara satu peratus terbaik dunia; Kedua: Malah, ranking Universiti Malaya telah meningkat sebanyak 19 anak tangga, ke kedudukan 114, menghampiri 100 universiti terbaik dunia; Ketiga: Mengikut ranking Universitas 21, yang menilai sistem pendidikan tinggi, Malaysia ditempatkan pada kedudukan ke-25 terbaik dunia, kita telah mendaki sebanyak 11 anak tangga dalam tempoh 6 tahun; dan Keempat: Dengan jumlah 134 ribu pelajar asing di IPT tempatan, kita menghampiri matlamat menjadi Hab Pendidikan Tinggi Serantau. Tuan Yang Dipertua, 86. Sejak tahun 2009 hinggalah sekarang, peruntukan untuk biasiswa yang disediakan oleh Kerajaan berjumlah 44 bilion ringgit. Bagi tahun 2018: Pertamanya: 2.2 bilion ringgit bagi pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kesihatan; Kedua: 400 juta ringgit untuk geran penyelidikan dan pembangunan kepada IPTA, berbanding 235 juta ringgit yang diperuntukkan dalam Bajet yang lalu, termasuk satu peruntukan khas kepada Universiti Malaya untuk mencapai status Top 100 Universities in the World dalam masa terdekat; Ketiga: 90 juta ringgit diperuntukkan bagi Program MyBrain untuk 10,600 orang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dan kedoktoran; dan Keempat: Setiap penuntut di IPT dan tingkatan enam pula akan terus diberi Bantuan Baucar Buku bernilai 250 ringgit, memanfaatkan seramai 1.2 juta pelajar. Di kesempatan ini juga, saya mengucapkan sekalung tahniah kepada barisan kepimpinan baharu Majlis Perwakilan Pelajar di semua Universiti Awam, yang nampak kali ini, majoritinya dimenangi oleh pimpinan Mahasiswa Pro-Aspirasi, generasi pewaris TN50. Sebahagian wakil mereka turut bersama kita. Syabas dan tahniah diucapkan! Tuan Yang Dipertua, 87. Rakyat Malaysia perlu mempersiap siaga diri, peka dan pantas, melalui latihan dan latihan semula, dalam memenuhi kehendak pasaran kerja. Kerajaan akan terus memberi sokongan melalui,… 88. Contohnya, Skim Latihan 1Malaysia atau SL1M, yang telah melatih lebih 138 ribu graduan, akan diteruskan dengan peningkatan sebanyak 5 ribu graduan kepada 25 ribu perantis pada tahun hadapan. Manakala, program temuduga terbuka oleh unit SL1M juga diteruskan dengan peruntukan sebanyak 40 juta ringgit. 89. Bagi memperluaskan SL1M, syarikat swasta yang mendapat kontrak Kerajaan diwajibkan memperuntukkan satu peratus daripada nilai projek kepada SL1M. 90. Selain itu, Kerajaan akan mewujudkan pusat sehenti menggabungkan agensi seperti JobsMalaysia, SL1M, PERKESO, HRDF dan TERAJU di UTC untuk menyediakan khidmat nasihat profesional bagi mendapatkan pekerjaan serta latihan. 91. Bagi mencungkil bakat-bakat terbaik negara, Kerajaan akan mencipta ‘talent file’ program National Leaders Circle di bawah Talentcorp bagi mengenalpasti dan menyenaraipendekkan bakat-bakat pimpinan yang sesuai dan tepat, untuk mengisi jawatan-jawatan penting dan tertinggi. 92. Kerajaan memandang serius gejala sosial yang membarah dalam masyarakat. Untuk menanganinya, geran sepadan sebanyak 50 juta ringgit bagi membiayai social enterprise dan NGO-NGO untuk menyelesaikan masalah kemasyarakatan harian serta cabaran sosial secara inovatif yang membantu rakyat. Tuan Yang Dipertua, 93. Pada Ogos dan September yang lalu, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur menyaksikan bahawa, Malaysia telah diisytiharkan sebagai Juara Keseluruhan Temasya Sukan SEA Ke-29, dan mendapat tempat Kedua Sukan Para ASEAN Ke-9. 94. Justeru, bagi pihak Kerajaan, marilah kita beri tepukan paling gemuruh kepada semua ‘wira’ dan ‘wirawati’ kita di atas sana! Tuan Yang Dipertua, 95. Bagi mengekalkan momentum bidang sukan dalam menjadi sports powerhouse, Kerajaan memperuntukkan satu bilion ringgit bagi melaksanakan inisiatif meliputi FitMalaysia, Hari Sukan Negara, latihan atlit, program akar umbi dan program pembangunan bola sepak negara. 96. Kerajaan juga mengumumkan pembinaan 14 kompleks sukan baharu di seluruh negara, dengan kos 112 juta ringgit. 97. Di samping itu, sukacita diumumkan peruntukan 20 juta ringgit kepada Sekolah Sukan Bukit Jalil, untuk menambah baik kemudahannya sebagai sekolah sukan premier. Tuan Yang Dipertua, 98. PE-TUNJANG KETIGA: MENG-UNGGULI PEMBANGUNAN PENDIDIKAN, LATIHAN, KEMAHIRAN DAN BAKAT. Untuk pengetahuan, perbelanjaan pendidikan Malaysia adalah lebih dua kali ganda daripada perbelanjaan negara ASEAN lain secara purata. Bagi tahun 2018, 61.6 bilion ringgit disediakan untuk sektor ini. Ini termasuk 654 juta ringgit bagi pembinaan empat pra sekolah, sembilan pusat PERMATA termasuk dua pusat baharu untuk kanak-kanak autisme; 48 buah sekolah rendah, menengah dan kolej vokasional, serta sebuah pusat matrikulasi. 99. Saban tahun, Bajet ini sentiasa memberi keutamaan kepada Tabung Khas Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah. Di sudut ini, 550 juta ringgit diperuntukkan, dengan pecahan berikut: • Kepada Sekolah Kebangsaan - 250 juta ringgit; • Kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina - 50 juta ringgit; • Kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil - 50 juta ringgit; • Kepada Sekolah Mubaligh - 50 juta ringgit; • Kepada Sekolah Berasrama Penuh - 50 juta ringgit; • Kepada Maktab Rendah Sains MARA - 50 juta ringgit; dan • Kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan - 50 juta ringgit. Tuan Yang Dipertua, 100. Menyedari dan menginsafi hakikat bahawa terdapat hampir 2 ribu sekolah di seluruh negara yang berada dalam keadaan daif, seperti bumbungnya bocor, lantai yang rosak, dinding berlubang dan peralatan yang sudah lama tidak berganti. 101. Untuk itu, melalui kaedah Industrial Building System, Kerajaan dengan penuh rasa tanggungjawab, mengumumkan,… peruntukan ter-besar sejumlah 2.5 bilion ringgit bagi tempoh dua tahun, dengan pecahan 500 juta ringgit buat sekolah-sekolah daif di Semenanjung Malaysia, 1 bilion ringgit di Sabah dan 1 bilion ringgit di Sarawak. 102. Sejumlah 2.9 bilion ringgit pula, diperuntukkan untuk bantuan makanan, buku teks, geran kapita dan biasiswa kecil persekutuan. 103. Manakala, Bantuan Persekolahan seratus ringgit seorang kepada murid sekolah berpendapatan rendah diteruskan, dengan peruntukan 328 juta ringgit, memanfaatkan 3.2 juta murid. Tuan Yang Dipertua, 104. Menyentuh hal pendidikan, teringat saya intisari sajak Guru Oh Guru yang sering disesuaikan dengan karya Sasterawan Negara, Allahyarham Dato’ Usman Awang atau nama pena-nya Tongkat Warrant, berbunyi: Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa,… Menjadi seorang Perdana Menteri,… menjadi doktor,… menjadi peguam,… Menjadi ahli politik,… menjadi akauntan,… Hakikat,… sejarahnya dimula oleh seorang guru biasa,… Dengan lembut dan sabar,… Gurulah yang mengajar kita menulis dan membaca. 105. Begitulah mulianya pengorbanan para guru, bagai lilin yang membakar diri. Maka diucapkan syabas kepada semua guru di seluruh negara, yang telah bertungkus- lumus membangunkan anak-anak bangsa! Tuan Yang Dipertua, 106. Seperti semua maklum, PTPTN ditubuhkan bagi menguruskan pinjaman untuk anak-anak Malaysia melanjutkan pengajian pendidikan tinggi. 107. Dalam bab PTPTN ini, semua kena faham,… seperti mafhum dalam hadis, hutang tetap hutang dan wajib dibayar. 108. Maka hal PTPTN ini usahlah dipolitikkan, tapi peminjam perlu bertanggungjawab membayar balik, kerana generasi kini dan akan datang turut memerlukannya, sebagai mana anda semua. 109. Kepada semua peminjam PTPTN, Kerajaan bersetuju melanjutkan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 31 Disember 2018 seperti berikut: 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman; 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau direct debit mengikut jadual. 110. Bukan itu sahaja, sukacita saya mengumumkan kelonggaran tambahan PTPTN seperti berikut: Pertama: Bagi pelajar dari keluarga B40 yang mengikuti kursus ber-boleh-pasaran tinggi, 200 juta ringgit ditambah untuk menaikkan jumlah pinjaman maksimum mereka; dan Kedua: Tempoh grace period pembayaran balik pinjaman dilanjutkan kepada 12 bulan setelah tamat pengajian, berbanding enam bulan pada masa ini. 111. Seterusnya, kepada para peminjam yang ingin menyambung pengajian ke peringkat seterusnya, sebagai contoh diploma ke ijazah sarjana muda, mereka boleh meng-gabungkan pinjaman diploma dan ijazah sebagai satu pinjaman, dan hanya perlu membuat bayaran balik selepas tamat pengajian di peringkat ijazah itu. 112. Jelas sekali,… pelbagai ruang telah Kerajaan berikan,… kalau tak bayar juga, tak tahu lah apa yang kita nak ucapkan lagi,… Tuan Yang Dipertua, 113. Selain itu, bagi menggalakkan budaya menabung untuk pendidikan, 250 juta ringgit disediakan kepada 500 ribu pencarum berumur 7 hingga 12 tahun dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional yang dijenamakan semula sebagai Skim Simpanan Pendidikan 1Malaysia atau SSP1M, kelolaan PTPTN. Geran sepadan lima ratus ringgit akan diberikan kepada mereka yang mempunyai jumlah caruman sekurang- kurangnya lima ratus ringgit, dan hanya boleh dikeluarkan apabila mencapai usia 18 tahun. 114. Tambahannya, tempoh pelepasan cukai pendapatan individu dilanjutkan, terhad kepada enam ribu ringgit, bagi simpanan bersih yang dibuat ke dalam SSP1M selama tiga tahun mulai tahun taksiran 2018. Tuan Yang Dipertua, 115. Sebetulnya lagi, menyedari kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing, kesemua institusi TVET di bawah tujuh Kementerian, dijenamakan sebagai “TVET Malaysia”, di bawah koordinasi Kementerian Sumber Manusia. 116. Selain itu, Kerajaan memperuntukkan 4.9 bilion ringgit untuk melaksanakan Pelan Induk TVET Malaysia. 117. Bagi menggalakkan lepasan TVET melanjutkan pengajian, Kerajaan menyediakan seratus Biasiswa Pelajar Cemerlang TVET dengan peruntukan 4.5 juta ringgit. 118. Bagi menyokong perkembangan industri pekerja mahir dalam bidang rel, Kerajaan akan menubuhkan National Rail Centre of Excellence, berperanan menyelia dan menyelaras jaminan kualiti serta akreditasi pendidikan dan latihan rel negara. Sebagai tambahan, syarikat Malaysia Rail Link Sdn. Bhd., dengan kerjasama IPTA, akan melatih tiga ribu profesional dalam industri ini. Tuan Yang Dipertua, 119. PE-TUNJANG KEEMPAT ADALAH MEMACU PEMBANGUNAN INKLUSIF. Sesungguhnya, kualiti infrastruktur dan interconnectivity negara akan terus dipermodenkan. 120. Justeru, Kerajaan terus bertumpu kepada Projek-Projek Infra-Rakyat bertaraf dunia. Contohnya, MRT jajaran Sungai Buloh-Kajang berjaya kita siapkan, berkeupayaan menampung 400 ribu pengguna sehari. 121. Menariknya, MRT ini merupakan ‘success story’ di mana kita bukan sahaja dapat menyiapkan projek itu lebih awal daripada jadual, malah, telah berjaya menjimatkan kos sebanyak 2 bilion ringgit daripada jumlah asal pembinaan. Tuan Yang Dipertua, 122. Menjengah kemudahan prasarana di Sabah dan Sarawak pula, Kerajaan telah mengotakan janjinya melalui pembinaan LEBUHRAYA PAN-BORNEO. 123. Mudah-mudahan, projek ini akan terus mengukir senyuman lebar kepada “urang-urang” Sabah dan Sarawak kerana kemajuan telah sampai di kaki-kaki halaman masing-masing, sehingga kawasan terpencil di Kapit-Ulu Song, yang sebelum ini terputus hubungan dengan dunia luar. Tuan Yang Dipertua, 124. Untuk infrastruktur asas terutama di luar bandar, 6.5 bilion ringgit disediakan, antaranya: Pertama: 2 bilion ringgit untuk projek Lebuhraya Pan-Borneo. Bagi negeri Sarawak, kesemua 11 pakej pembinaan telah diagihkan, manakala lima daripada 35 pakej Fasa Pertama di Sabah sudahpun dianugerahkan, dan 12 lagi dalam proses tender; Kedua: 1.1 bilion ringgit untuk projek mesra rakyat seperti menaik taraf jambatan, lampu jalan kampung, surau serta pasar; Ketiga: Satu bilion ringgit diperuntukkan melalui SKMM, bagi membangunkan infrastruktur komunikasi serta kemudahan jalur lebar di Sabah dan Sarawak; Keempat: 934 juta ringgit untuk projek jalan luar bandar, termasuk hampir 500 juta ringgit untuk Sabah dan Sarawak; Kelima: 672 juta ringgit untuk bekalan elektrik, termasuk 620 juta ringgit untuk Sabah dan Sarawak melibatkan 10 ribu rumah luar bandar. Secara keseluruhannya, sejak 2009, lebih 100 bilion ringgit subsidi telah dibelanjakan termasuk subsidi gas bahan api, untuk membolehkan rakyat Malaysia mendapatkan bekalan elektrik yang murah, berkualiti dan realiable; Keenam: 420 juta ringgit termasuk hampir 300 juta ringgit untuk Sabah dan Sarawak, disediakan bagi bekalan air bersih meliputi 3 ribu rumah; Ketujuh: 500 juta ringgit disediakan untuk Program Penyelenggaraan Infrastruktur Awam, dan Projek Infrastruktur Asas, untuk memenuhi keperluan dan wishlist rakyat di peringkat akar umbi; dan Kelapan: 50 juta ringgit diperuntukkan untuk pemetaan dan pengukuran tanah-tanah adat, iaitu 30 juta ringgit untuk Sarawak dan 20 juta ringgit untuk Sabah. Sebahagian daripada projek rakyat-centric ini akan dilaksanakan melalui inisiatif pembiayaan swasta. 125. National Blue Ocean Shift atau NBOS juga terus dilaksanakan secara pantas dan bersepadu, dengan kos yang minima serta berimpak tinggi. 126. Bagi 2018, sebanyak 300 juta ringgit diperuntukkan untuk program NBOS termasuk pembinaan UTC baharu, Blue Ocean Entrepreneur Township, Mobile CTC, program keusahawanan, Global Entrepreneurship Community serta Usahawan Sosial yang inklusif dan vibrant. Tuan Yang Dipertua, 127. Kebajikan para peneroka FELDA terus dibela. Lebih 112 ribu peneroka FELDA telah menerima ‘durian runtuh’ melalui enam insentif utama, antaranya bayaran Insentif Khas Peneroka bernilai 5 ribu ringgit. 128. Saya juga ingin mengumumkan, Kerajaan akan mengembalikan semula wang ses yang telah dibayar oleh peneroka getah yang telah membuat tanaman semula kelapa sawit, dari tahun 2010 hingga 2016. Ini akan memanfaatkan 8,925 peneroka FELDA dengan peruntukan 43 juta ringgit. Bukan itu sahaja, 60 juta ringgit juga disediakan untuk program tanaman semula sawit. 129. Selanjutnya, 164 juta ringgit diperuntukkan bagi membina 5 ribu unit Rumah Generasi Kedua FELDA, dengan kerjasama SPNB. 130. Sebagai tambahan, hampir 200 juta ringgit lagi diperuntukkan kepada FELDA, bagi sistem bekalan air dan menaik taraf jalan serta lampu jalan. Mustahaknya, Kerajaan kini, dulu dan selamanya akan memperjuangkan nasib para peneroka FELDA. Tuan Yang Dipertua, 131. Bagi mengekang ancaman ideologi ekstremisme seperti IS dan DAESH, Kerajaan telah menubuhkan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej Melalui Komunikasi. 132. Di samping itu, Kerajaan akan Mempertingkatkan Keselamatan Sempadan Dan Ketenteraman Awam dengan memperuntukkan lebih 14 bilion ringgit untuk Angkatan Tentera Malaysia, hampir 9 bilion ringgit untuk Polis DiRaja Malaysia dan lebih 900 juta ringgit kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia. 133. Program utama yang akan dilaksanakan merangkumi: Pertama: Tiga bilion ringgit untuk pembelian dan penyelenggaraan aset pertahanan; Kedua: 720 juta ringgit bagi pembinaan sebelas ibu pejabat dan enam balai polis, serta pembelian kelengkapan senjata api dan kenderaan operasi. Manakala 170 juta ringgit untuk menaik taraf peralatan ICT termasuk sistem 1PDRMnet, serta 100 juta ringgit bagi menaik taraf sistem komunikasi. Selanjutnya, bagi menjaga kebajikan anggota polis, saya dengan sukacitanya mengumumkan,… 10 ribu unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia-PDRM atau PPA1M-PDRM akan dibina, yang harganya sesuai dengan tangga gaji anggota polis; Ketiga: 490 juta ringgit kepada APMM untuk baik pulih dan selenggara kapal serta bot, menaiktaraf jeti, juga pembelian tiga kapal peronda; Keempat: 250 juta ringgit kepada ESSCOM bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan sempadan Sabah dan Sarawak, termasuk 50 juta ringgit untuk coastal surveillance radar; Kelima: 50 juta ringgit bagi meningkatkan keupayaan aset pesenjataan pasukan gerak khas menangani kegiatan anti-keganasan; dan Keenam: Selain itu, dalam menghargai peranan RELA membantu masyarakat selama ini, Kerajaan menyediakan peruntukan yang paling tinggi, iaitu hampir 250 juta ringgit bagi kelengkapan keperluan, termasuk pakaian seragam. 134. Dalam menjaga kebajikan para tentera, Kerajaan akan: Pertama: Menyediakan blueprint Perumahan Keluarga Angkatan Tentera untuk membina lebih 40 ribu unit secara berfasa, menjelang tahun 2030. Bagi 2018, sebanyak hampir 6 ribu unit akan dibina; dan Kedua: 40 juta ringgit untuk menaik taraf lima hospital, membina empat poliklinik dan hospital veteran angkatan tentera. 135. Untuk itu, marilah kita bersama-sama memberikan setinggi-tinggi penghargaan dan tepukan kepada semua anggota keselamatan negara, merangkumi pasukan polis, anggota tentera, dan APMM, yang telah berkorban jiwa dan raga, demi menjaga keamanan serta kedaulatan pertiwi tercinta ini! Tuan Yang Dipertua, 136. Seperti mana kita maklum, Masyarakat Bumiputera kini menghampiri 70 peratus daripada keseluruhan 32 juta rakyat Malaysia. 137. Oleh yang demikian, adalah wajar Kerajaan melalui dasar Transformasi Kesejahteraan Bumiputera atau TKB, untuk terus mempastikan Agenda Pemerkasaan Bumiputera menjadi Agenda Nasional. 138. Semenjak tahun 2009, pelbagai inisiatif besar bagi memperkasakan ekonomi Bumiputera telah dan sedang dilaksanakan. 139. Contohnya, inisiatif Carve Out and Compete bagi Bumiputera, telah mencapai nilai kontrak lebih 61 bilion ringgit. Juga, 1.7 bilion ringgit Dana Mudahcara telah diluluskan kepada 515 projek, menyediakan lebih 44 ribu peluang pekerjaan. 140. Apa yang membanggakan, program ini telah membuktikan bahawa, kontraktor-kontraktor Bumiputera semakin berdaya saing dan berkeupayaan, malah mampu menyiapkan projek lebih awal dari jadual, tanpa menjejaskan kualiti. 141. Di sudut lain, melalui Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, hampir 17 ribu bakat-bakat profesional bumiputera telah berjaya dilahirkan seperti di bidang perakaunan dan kejuruteraan. 142. Selain itu, 2.4 bilion ringgit diperuntukkan kepada UiTM. Dalam pada ini, Kerajaan telah menambah bilangan kemasukan pelajar di UiTM kepada lebih 165 ribu orang dengan sasaran mencapai 250 ribu pelajar menjelang 2020. 143. Lebih membanggakan, UiTM sebagai institusi Bumiputera, telah berjaya melahirkan lebih 700 ribu graduan Melayu dan Bumiputera. 144. Laginya, untuk 2018, Kerajaan memperuntukkan lebih 3.5 bilion ringgit bagi inisiatif: Pertamanya: 2.5 bilion ringgit, yakni tertinggi pernah diberikan, untuk biasiswa pengajian tinggi dan latihan di bawah MARA, memanfaatkan hampir 90 ribu pelajar, termasuk 1,500 dalam bidang kritikal seperti Artificial Intelligence, signalling dan Rel; Kedua: 90 juta ringgit, bagi Program Peneraju Profesional, Skil dan Tunas, memanfaatkan hampir 8 ribu orang; Ketiga: 200 juta ringgit untuk MARA Graduate Employability Training Scheme atau GETS; Keempat: 555 juta ringgit untuk Program Peningkatan Keusahawanan Bumiputera, terdiri daripada: • 200 juta ringgit bagi Program Keusahawanan dan Premis Perniagaan PUNB; • 200 juta ringgit untuk Program Pembangunan Keusahawan MARA; serta • 155 juta ringgit untuk program pembangunan kapasiti vendor, Tunas Usahawan Belia Bumiputera atau TUBE, Skim Usahawan Permulaan Bumiputera atau SUPERB dan Skim Anjakan Usahawan; dan Kelima: Bagi meningkatkan pegangan ekuiti dan pelaburan dalam sektor strategik, 150 juta ringgit diperuntukkan kepada Pelaburan Hartanah Berhad dan 150 juta ringgit kepada EKUINAS. Tuan Yang Dipertua, 145. Sebagai suatu Bajet yang inklusif, untuk komuniti Cina pula, Kerajaan turut menyediakan 50 juta ringgit untuk pinjaman PKS melalui KOJADI. 146. Sebagai tambahan, 30 juta ringgit juga disalurkan kepada Yayasan Peniaga dan Penjaja Kecil 1Malaysia untuk memberi pinjaman kepada penjaja komuniti Cina. 147. Sementara itu, kepada pembangunan Kampung- kampung Baru Cina, sebanyak 65 juta ringgit diperuntukkan, dan 10 juta ringgit lagi untuk program membaik pulih rumah. Tuan Yang Dipertua, 148. Menyentuh kebajikan kaum India pula, purata pendapatan bulanan isi rumah menunjukkan kadar pertumbuhan yang tinggi, iaitu 6.8 peratus setahun. Laginya baru-baru ini, saya telah melancarkan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia. 149. Untuk itu, melalui TEKUN, 50 juta ringgit diperuntukkan untuk Skim Pinjaman Usahawan Masyarakat India, memanfaatkan lebih 35 ribu usahawan. Sebagai tambahan, 50 juta ringgit lagi diperuntukkan untuk program pembangunan sosio ekonomi masyarakat India. 150. Pada masa yang sama, melalui MIB juga, pengambilan kaum India ke institusi pengajian tinggi awam dan perkhidmatan awam akan Kerajaan tingkatkan, dengan sasaran pengambilan baharu tujuh peratus. 151. Di bawah Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India atau SEDIC pula, lebih 230 juta ringgit telah diagihkan sejak 2014, memanfaatkan lebih 500 ribu peserta kaum India. 152. Bajet 2018 juga akan memperkenalkan satu inisiatif baharu untuk masyarakat India. Sukacita saya maklumkan bahawa PNB akan membuat pengagihan khas sejumlah 1.5 bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia untuk masyarakat India, terhad kepada 30 ribu unit setiap pelabur. 153. Bagi menyokong inisiatif ini juga, dana sebanyak 500 juta ringgit diperuntukkan untuk tempoh lima tahun bagi satu skim pinjaman pelaburan khas yang akan ditawarkan kepada 100 ribu isi rumah daripada golongan B40 masyarakat India, terhad kepada 5 ribu unit setiap peserta. 154. MIB membuktikan kepada masyarakat India bahawa, dalam pembangunan negara, tidak ada kelompok yang ketinggalan,… ‘indeed, the future belongs to all of us’ atau dalam bahasa Tamilnya disebut sebagai, ‘NAA-LEY NAMA-THEY’. Tuan Yang Dipertua, 155. Bagi meningkatkan taraf hidup dan pembangunan ekonomi masyarakat Orang Asli, 50 juta ringgit disediakan, meliputi program bantuan makanan komuniti, memanfaatkan hampir 5 ribu pelajar Orang Asli. 156. Selain itu, sebagai insentif kepada anak Orang Asli yang berjaya, Kerajaan juga akan memberi bantuan sebanyak 3 ribu ringgit kepada ibu bapa, sebagai perbelanjaan persediaan anak-anak mereka memasuki institusi pengajian tinggi. 157. Selanjutnya, Program Pembangunan Bersepadu Perkampungan Orang Asli juga diteruskan dengan peruntukan sebanyak 60 juta ringgit. Tuan Yang Dipertua, 158. Sememangnya wanita adalah tulang belakang kepada kesejahteraan keluarga dan pembangunan negara. Maka, sebagai menghargai sumbangan mereka, sukacitanya Kerajaan mengumumkan, 2018 sebagai Tahun Memperkasa Wanita. 159. Ke arah itu, antara langkah yang akan dilaksanakan: Pertama: Mewajibkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam keahlian lembaga pengarah GLC dan GLIC serta badan berkanun, sebelum akhir tahun 2018; Kedua: Mencadangkan tempoh cuti bersalin mandatori untuk sektor swasta dinaikkan daripada 60 hari ke 90 hari, seperti yang telah dilaksanakan oleh perkhidmatan awam; Ketiga: 20 juta ringgit untuk program latihan dan keusahawanan wanita antaranya PEAK Entrepreneur Programme di bawah MyWin Academy; dan Keempat: Bagi menggalakkan golongan wanita kembali bekerja, Kerajaan mencadangkan layanan pengecualian cukai pendapatan individu disediakan ke atas pendapatan yang diperolehi dalam tempoh 12 bulan berturut-turut, kepada mereka selepas tempoh sekurang-kurangnya dua tahun berhenti daripada pekerjaan. Pengecualian ini layak dituntut bagi tahun taksiran 2018 hingga 2020. Tuan Yang Dipertua, 160. PE-TUNJANG KELIMA: MENGUTAMAKAN KESEJAHTERAAN RAKYAT DAN PELUANG MENJANA PENDAPATAN. 161. Kerajaan terus komited dan berikhtiar gigih dalam mewujudkan peluang pekerjaan serta menjana pendapatan, melalui langkah-langkah berikut: Pertama: 100 juta ringgit untuk memperluas Program eRezeki, eUsahawan dan eLadang di bawah MDEC; Kedua: Menyediakan pinjaman mudah sebanyak 120 juta ringgit kepada seribu usahawan Food Truck 1Malaysia dan Mobile Food Kiosk 1Malaysia melalui Bank Rakyat dan Bank Simpanan Nasional, dengan Kerajaan memberi subsidi kadar faedah empat peratus; Ketiga: 60 juta ringgit untuk program 1AZAM, termasuk 10 juta ringgit untuk Sabah dan 10 juta ringgit untuk Sarawak; dan Keempat: 25 juta ringgit untuk Program Motosikal Tiga Roda di bawah FAMA, program mobilepreneur GiatMara, dan program MyAGROSIS. 162. Di sudut lain, selaras dengan IR 4.0, kepada semua pemandu teksi berdaftar sedia ada, bahawa Kerajaan mendengar pandangan tuan-tuan, yang berhasrat untuk bertukar ke penggunaan aplikasi e-hailing. Untuk itu, saya umumkan,… geran 5 ribu ringgit disediakan kepada setiap pemandu teksi yang terlibat untuk membeli kereta baharu. Kita berasa gembira kerana beberapa wakil pemandu teksi turut hadir mendengar pembentangan Bajet pada petang ini. Kita ucapkan terima kasih,… terima kasih! Tuan Yang Dipertua, 163. Sejak BR1M diperkenalkan, terbukti rakyat teramai menerimanya dengan senang hati dan rasa syukur. Jelas sekali, BR1M merupakan suatu bentuk subsidi bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukannya, terbukti keberkesanannya. 164. Hatta, pihak pembangkang yang begitu negatif terhadap inisiatif ini dan menuduh sebagai “dedak” itu dan “umpan” ini, tapi kini tanpa segan silu membuat “u-turn”, dan khabarnya Kerajaan Pulau Pinang sendiri telah akur akan benarnya program BR1M oleh Kerajaan ini. 165. Sehubungan itu, jika BR1M tahun ini telah memanfaatkan 7 juta penerima dengan peruntukan 6.8 bilion ringgit, maka bagi tahun 2018, 7 juta penerima itu akan terus menikmati pemberian ini, dengan kadar maksimum sehingga 1,200 ringgit. Tuan Yang Dipertua, 166. Kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah serta merapatkan jurang pendapatan di Malaysia. 167. Dengan ini, saya mengumumkan satu lagi khabar gembira kepada setiap 2.3 juta pembayar cukai, yang akan dinikmati terutamanya oleh golongan pendapatan pertengahan yakni M40, atau lebih khusus, isi rumah berpendapatan 9 ribu ringgit ke bawah. 168. Ingin saya umumkan,…. kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan dua mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai antara 20 ribu hingga 70 ribu ringgit, iaitu: Pertama: Banjaran Pendapatan Bercukai daripada 20,001 ringgit sehingga 35,000 ringgit, kadarnya diturunkan daripada 5 peratus kepada 3 peratus; Kedua: Banjaran Pendapatan Bercukai daripada 35,001 ringgit sehingga 50,000 ringgit pula, kadarnya diturunkan daripada 10 peratus kepada 8 peratus; dan Ketiga: Banjaran Pendapatan Bercukai daripada 50,001 ringgit sehingga 70,000 ringgit kadarnya diturunkan daripada 16 peratus kepada 14 peratus. Langkah ini akan meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat antara 300 ringgit sehingga seribu ringgit. Ini bermakna, dianggarkan sejumlah 1.5 bilion ringgit lebihan pendapatan boleh guna, dapat dibelanjakan oleh rakyat. Dengan langkah ini juga, semua pembayar cukai akan mendapat faedah di samping lebih 261 ribu orang kini tidak perlu lagi membayar cukai pendapatan. Tuan Yang Dipertua, 169. Seperkara lagi, demi kemaslahatan rakyat seharian, Bajet ini masih memperuntukkan 3.9 bilion ringgit subsidi barangan dan pengangkutan, termasuk gas memasak, tepung, minyak masak, subsidi elektrik dan tol. 170. Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, Kedai Rakyat 1Malaysia akan distruktur semula sebagai KR1M 2.0. Sebagai permulaan pada 2018, 50 kedai akan dijadikan KR1M 2.0 dan diperluaskan kepada tiga ribu KR1M 2.0 dalam tempoh tiga tahun. 171. KR1M 2.0 akan menyediakan lima barang keperluan asas dengan harga rendah iaitu beras, gula, minyak masak, tepung dan LPG. Di samping itu, 50 jenis barangan pengguna berjenama dijual pada harga lebih rendah daripada pasaran. 172. Bagi Program Penyeragaman Harga Barang Keperluan Asas di Sabah dan Sarawak diteruskan dengan peruntukan 80 juta ringgit. 173. Di samping itu, Kerajaan akan membangunkan Agrobazaar Malaysia dengan peruntukan 20 juta ringgit, bagi menyediakan ruang pasaran dan pusat jualan agro makanan dengan harga yang lebih rendah, dimulakan di Putrajaya. 174. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan melaksanakan program melalui FAMA dan LKIM dengan peruntukan 50 juta ringgit, bertujuan agar pengguna memperolehi stok barang makanan dengan harga berpatutan, seperti ikan, sayur, ayam dan telur. Tuan Yang Dipertua, 175. Seterusnya, berita gembira buat pengguna lebuhraya di Selangor, Kedah dan Johor. Mulai 1 Januari 2018, Kerajaan telah bersetuju untuk:- Pertama: Memansuhkan kutipan tol di Batu Tiga, Shah Alam dan Sungai Rasau di Selangor; Kedua: Memansuhkan kutipan tol di Bukit Kayu Hitam, Kedah; dan Ketiganya: Memansuhkan kutipan tol di Eastern Dispersal Link, Johor. Tuan Yang Dipertua, 176. Bagi mereka yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap, Kerajaan akan meningkatkan sumbangan terhadap caruman kepada 15 peratus tertakluk kepada maksimum 250 ringgit setahun di dalam Skim Persaraan 1Malaysia, di bawah KWSP. Sumbangan ini bermula dari 2018 hingga 2022. Tuan yang Dipertua, 177. Kerajaan sedar akan beban kos yang ditanggung oleh isi rumah, bagi penggajian pembantu rumah asing. Pada masa ini, kos keseluruhan membawa masuk setiap pembantu rumah boleh mencecah setinggi 12 hingga 18 ribu ringgit. 178. Bagi mengatasi isu ini, Kerajaan akan mengkaji semula kos pengambilan pembantu rumah asing supaya dapat dikurangkan pada masa hadapan. 179. Sebagai permulaan, Kerajaan memberi pilihan kepada majikan untuk mengambil pembantu rumah asing secara langsung daripada sembilan negara sumber, tanpa melalui ejen. 180. Seterusnya, majikan boleh memohon visa pembantu rumah daripada Jabatan Imigresen Malaysia secara online dengan bayaran levi dan fi pemprosesan seperti kadar sedia ada. Tuan Yang Dipertua, 181. Dalam hal perumahan dan kediaman, Kerajaan akan merancakkan lagi usaha pemilikan rumah untuk rakyat dengan peruntukan 2.2 bilion ringgit seperti berikut: Pertama: 17,300 unit rumah Projek Perumahan Rakyat; Kedua: 3,000 unit rumah program Rumah Mesra Rakyat di bawah SPNB; Ketiga: 210 ribu unit rumah di bawah program PR1MA yang berharga 250 ribu ringgit ke bawah. Untuk ini, 1.5 bilion ringgit diperuntukkan bagi tempoh dua tahun; Keempat: 25 ribu unit rumah akan disiapkan pada tahun hadapan di bawah PPA1M, dan 128 ribu unit lagi di bawah pelbagai peringkat pelaksanaan; Kelima: 600 unit rumah di bawah program My Beautiful New Homes atau MyBNHomes untuk isi rumah B40 antaranya di Terengganu, Pahang, Melaka, Johor, Sabah, Sarawak dan kawasan orang asli; Keenam: 2 ribu unit rumah di bawah program MyDeposit untuk membantu pembayaran deposit, dan program MyHomes untuk pemaju menyediakan lebih banyak rumah mampu milik; serta Ketujuh: 200 juta ringgit untuk penyelenggaraan dan pembaikan rumah, termasuk Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia. 182. Bagi menggalakkan lebih banyak pembinaan rumah mampu milik, skim step-up financing yang diperkenalkan oleh PR1MA, dipanjangkan kepada pemaju perumahan swasta, berdasarkan kriteria yang akan ditetapkan. 183. Berkaitan rumah terbengkalai pula, dicadangkan pengecualian duti setem ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindahmilik, diberikan kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengkalai, berkuatkuasa 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2020. Tuan Yang Dipertua, 184. Bagi tujuan menggalakkan pasaran sewaan rumah kediaman pula, buat kali pertama dalam tempoh 60 tahun,… Kerajaan mengumumkan,… pengecualian cukai ke atas pendapatan sewaan rumah kediaman sebanyak 50 peratus bagi pendapatan sewa sehingga dua ribu ringgit sebulan kepada individu rakyat Malaysia yang bermastautin di Malaysia. 185. Pengecualian ini diberi bermula dari tahun taksiran 2018 hingga 2020. Kerajaan juga akan menggubal Akta Sewaan Rumah Kediaman untuk melindungi penyewa dan pemilik rumah. Tuan Yang Dipertua, 186. Bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, Kerajaan memperuntukkan hampir 27 bilion ringgit, meliputi: Pertama: 2.5 bilion ringgit bagi bekalan ubat-ubatan dan 1.6 bilion ringgit untuk barangan consumable dan sokongan perubatan; Kedua: 1.4 bilion ringgit bagi menaiktaraf dan menyelenggara fasiliti kesihatan, peralatan perubatan dan ambulan, termasuklah pembinaan dewan bedah secara modular di tiga hospital iaitu Hospital Muar, Banting dan Balik Pulau; Ketiga: Menaiktaraf perkhidmatan kardiologi dan kardiotorasik di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu dan Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar; Keempat: 100 juta ringgit untuk menaik taraf hospital dan klinik termasuk sistem pendawaian; Kelima: 50 juta ringgit untuk bantuan haemodialisis dengan subsidi 100 ringgit daripada keseluruhan kos 110 ringgit setiap sesi rawatan. Maknanya, mulai 2018, pesakit berdaftar hanya membayar sepuluh ringgit sahaja bagi setiap sesi rawatan. 40 juta ringgit lagi diperuntukan bagi Tabung Bantuan Perubatan. Kedua-dua insentif ini khusus untuk golongan kurang berkemampuan; Keenam: 10 juta ringgit untuk menampung kos perubatan bagi rawatan rare diseases yang kian meningkat, dan 30 juta ringgit disediakan bagi program Komuniti Sihat Perkasa Negara ke arah kesedaran terhadap kesan penyakit tidak berjangkit di 10 ribu kawasan seluruh negara; dan Ketujuh: Sejumlah 50 juta ringgit diperuntukkan kepada Voluntary Health Insurance Scheme untuk memperkasa sektor kesihatan. 187. Selanjutnya, Kerajaan akan membina hospital dan wad baharu meliputi: Pertama: Dua blok wad wanita dan kanak-kanak di Hospital Tengku Ampuan Afzan dan Hospital Putrajaya, dengan kapasiti 300 katil setiap satu, dengan kos satu bilion ringgit; Kedua: Pusat Kanser di Sungai Petani, dengan kos 500 juta ringgit, dengan kapasiti 200 buah katil; Ketiga: Blok klinik pakar dan wad baharu di Hospital Pulau Pinang, berkapasiti 300 buah katil, dengan kos 500 juta ringgit; dan Keempat: Pusat perkhidmatan perubatan forensik bertaraf antarabangsa di Hospital Kuala Lumpur, dengan kos 380 juta ringgit. Tuan Yang Dipertua, 188. Berkaitan GST pula, bagi terus menambah baik pelaksanaannya, Kerajaan mencadangkan: Pertama: Semua pembekalan perkhidmatan oleh PBT tidak dikenakan GST, berkuatkuasa mulai 1 April 2018 atau 1 Oktober 2018 berdasarkan pilihan PBT; Kedua: Layanan GST berkadar sifar ke atas bahan bacaan, diseragam dan diperluaskan meliputi semua jenis majalah, komik, journal dan terbitan berkala mulai 1 Januari 2018; Ketiga: Operator kapal persiaran diberi pelepasan GST ke atas perkhidmatan pengendalian yang dibekalkan oleh operator pelabuhan di Malaysia. Pelepasan ini bermula 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2020; dan Keempat: Pelepasan GST sepenuhnya diberi ke atas perkhidmatan pembinaan bangunan sekolah dan rumah ibadat, yang dibiayai melalui sumbangan derma yang diluluskan. Pelepasan ini berkuat kuasa bagi kontrak perkhidmatan pembinaan yang ditandatangani mulai 1 April 2017. Tuan Yang Dipertua, 189. Bercakap tentang GST lagi, pihak Kerajaan minta, agar sudah-sudahlah dipolemikkan sebagai isu politik,… kerana terbukti GST menjadi penyelamat kepada ekonomi kita tahun ini, kerana tanpa kutipan GST 41 bilion ringgit ini, kita tidak dapat bayangkan macam mana negara boleh menampung perbelanjaan yang diperlukan untuk rakyat. 190. Jelasnya, pihak pembangkang sampai hari ini tidak sepakat tentang keputusan menerima sistem GST, ada yang kata GST diterima tapi based on zero-rate,… dan yang terbaru dah nak kembali ke SST pula,… Tapi hakikatnya, apa yang telah Kerajaan lakukan itu, terakam dalam sejarah sebagai langkah berani yang terbukti kebenarannya. 191. Selanjutnya,… Kelima: Pelepasan GST diberi ke atas pengimportan peralatan berkaitan industri minyak dan gas di bawah satu perjanjian pajakan, dibekalkan oleh syarikat yang berada di Kawasan Ditetapkan iaitu Labuan, Langkawi dan Tioman kepada pelanggan di Malaysia, mulai 1 Januari 2018; Keenam: Pelepasan GST diberi ke atas pengimportan big ticket items, seperti kapal terbang dan kapal laut, oleh syarikat penerbangan dan perkapalan yang berdaftar di Malaysia. Pelepasan GST turut diberikan kepada syarikat di dalam industri minyak dan gas yang mengimport pelantar minyak atau struktur terapung. Langkah ini bermula 1 Januari 2018; dan Ketujuh: Perkhidmatan pengurusan dan penyelenggaraan bangunan kediaman berstrata yang dibekalkan oleh Badan Pengurusan Bersama dan perbadanan pengurusan yang kini tidak dikenakan GST, diperluas untuk meliputi perkhidmatan pengurusan dan penyelenggaraan yang dibekalkan oleh pemaju perumahan, mulai 1 Januari 2018. Tuan Yang Dipertua, 192. PE-TUNJANG KEENAM: MEMPERSIAGA REVOLUSI PERINDUSTRIAN KEEMPAT DAN EKONOMI DIGITAL. Dunia kini di ambang The Fourth Industrial Revolution dan era digital economy, sehingga Kerajaan berusaha melaksanakan Dasar Digital Malaysia. 193. Lantaran itu, sebagai menyokong aktiviti pelaburan dan perniagaan IR 4.0, Kerajaan akan menyediakan geran sepadan sebanyak 245 juta ringgit di bawah Dana Strategik Pelaburan Domestik bagi menaik taraf kemudahan Smart Manufacturing. 194. Selanjutnya, Futurise Centre di Cyberjaya akan diperkukuhkan sebagai pusat sehenti syarikat korporat dan universiti, untuk membangunkan prototype produk serta melonjakkan daya inovasi. 195. Berkait ini Tuan Yang Dipertua, Kerajaan akan memberi galakan cukai seperti berikut: Pertama: Melanjutkan tempoh insentif Elaun Modal Dipercepatkan sebanyak 200 peratus ke atas kelengkapan automasi dari tahun taksiran 2018 sehingga 2020; Kedua: Galakan Elaun Modal Dipercepatkan sebanyak 200 peratus, untuk sektor pengilangan dan perkhidmatan berkaitan pengilangan; dan Ketiga: Elaun Modal bagi peralatan ICT termasuk perbelanjaan pembangunan perisian komputer, layak dituntut sepenuhnya mulai tahun taksiran 2018 hingga 2020. Tuan Yang Dipertua, 196. Walau semaju mana kita mengejar arus kemodenan negara, kita tetap wajib memelihara kelestarian alam sekitar, sebagai khazanah warisan tanah air anak cucu kita. 197. Berkait ini, kita terkejut dengan tragedi tanah runtuh di Tanjung Bungah, Pulau Pinang pada Sabtu lepas, yang telah menimbus lebih 20 mangsa, dan 11 daripadanya disahkan meninggal dunia. Dengan tidak disangka-sangka, terbitnya serangkap keluhan, bagi meratapi peristiwa ngeri itu. 198. Yang terlebih syahdu, kerana ia dinukilkan sendiri oleh Ahli Parlimen DAP yang kita segani dari sebelah sana, Yang Berhormat Kepong, bertajuk, “Tanah Runtuh di Lereng Bukit” di ruangan Twitternya, yang berbunyi Ibu jaga anak kan sakit, Darah tubuh beban kesihatan, Pemaju bina leretan bukit, Tanah runtuh korban insan. 199. Sebetulnya, apa kias yang YB Kepong ingin sampaikan, hanya Tuhan sahaja yang tahu,… Tuan Yang Dipertua, 200. Jadinya, untuk mempastikan pembangunan lestari, langkah berikut akan dilaksanakan: Pertama: Lima bilion ringgit disediakan di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau, bagi menggalakkan pelaburan industri teknologi hijau; Kedua: Melaksanakan Program Non-Revenue Water, untuk mengurangkan kadar purata kehilangan air dengan kos 1.4 bilion ringgit; Ketiga: Membina Off-River Storage sebagai sumber air alternatif dengan kos 1.3 bilion ringgit; dan Keempat: 517 juta ringgit disediakan untuk rancangan tebatan banjir di seluruh negara. 201. Berbalik kepada hal ekonomi digital, Malaysia bakal memiliki Digital Free Trade Zone yang pertama di luar negara China. DFTZ ini merangkumi e-Fulfilment Hub, Satellite Services Hub dan e-Service Platform bagi melonjakkan negara dalam perdagangan elektronik, dengan menjadikan KLIA sebagai gateway serantau. 202. Fasa Pertama DFTZ mensasarkan penyertaan 1,500 PKS dalam ekonomi digital dan dijangka menarik pelaburan sebanyak 700 juta ringgit dengan mewujudkan 2,500 peluang pekerjaan. Untuk tujuan ini: Pertama: 83.5 juta ringgit diperuntukkan bagi membiayai penyediaan infrastruktur fasa satu DFTZ di Aeropolis, KLIA; dan Kedua: Nilai de minimis bagi import, dinaikkan dari 500 ke 800 ringgit, untuk mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab e-commerce serantau. Tuan Yang Dipertua, 203. Selanjutnya, Kerajaan akan mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk meraih manfaat inovasi, khususnya daripada cetusan idea start-up tempatan. 204. Sukacita diumumkan Kerajaan akan memperluaskan pendekatan ‘regulatory sandbox' bagi memudahkan syarikat menguji idea inovatif dan model perniagaan baharu, yang akan dilaksanakan oleh semua Regulator berkaitan. Tuan Yang Dipertua, 205. PE-TUNJANG KETUJUH: MENINGKATKAN KECEKAPAN DAN PENYAMPAIAN GLC DAN PERKHIDMATAN AWAM. 206. Selaras dengan falsafah pembangunan growth with equity, Malaysia berhasrat mencapai pertumbuhan ekonomi yang kukuh dengan pengagihan hasil ekonomi yang lebih saksama kepada rakyat. 207. Bagi tujuan ini, syarikat GLC akan merintis teladan kepada sektor korporat melalui KPI bagi meningkatkan nisbah pampasan pekerja, selaras dengan pertumbuhan produktiviti seperti berikut: Pertama: GLC akan meningkatkan pengagihan keuntungan kepada pekerjanya, seperti menerusi pembayaran gaji dan elaun, secara berperingkat; Kedua: Memperkenalkan flexible benefits, yakni pekerja diberi pilihan untuk meningkatkan pendapatan boleh guna, dengan menukar kelayakan cuti tahunan dan kesihatan kepada ganjaran tunai; Ketiga: Menambah baik flexible work arrangements, untuk menggalakkan work-life balance melalui pengubahsuaian waktu bekerja mingguan, waktu kerja anjal dan kerja separa masa; Keempat: Memperkenalkan kemudahan lepasan cuti untuk menunaikan umrah; Kelima: Bagi menyokong ibu bapa bekerja, GLC akan menyediakan taska di pejabat utama, dan kemudahan pengurangan waktu bekerja untuk pekerja wanita yang mengandung; dan Keenam: Meningkatkan pelaburan dalam latihan, khususnya melaksanakan kursus kemahiran digital untuk pekerja dan bantuan pendidikan untuk anak pekerja. Tuan Yang Dipertua, 208. Berhubung hal penyampaian dalam mengutamakan kebajikan semua pihak termasuk warga emas, OKU dan kanak-kanak, sukacita Kerajaan mengumumkan bantuan 1.7 bilion ringgit kepada mereka, dan juga: Pertamanya: Menaikkan elaun warga emas 50 ringgit menjadi 350 ringgit sebulan, memanfaatkan hampir 144 ribu orang, dengan peruntukan 603 juta ringgit; dan Keduanya: Menaikkan elaun OKU yang bekerja, tidak bekerja dan penjaga OKU sebanyak 50 ringgit sebulan, memanfaatkan lebih 163 ribu orang dengan peruntukan 100 juta ringgit. 209. Selain itu, bagi melindungi kanak-kanak dari jenayah seksual, Kerajaan telah menubuhkan sebuah Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak, yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara. Pada tahun hadapan, tiga lagi mahkamah akan ditubuhkan. Tuan Yang Dipertua, 210. Kepada penjawat awam,… bagi memudahkan mereka memiliki rumah idaman, mulai 1 Januari 2018, Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam akan melaksanakan: Pertama: Membenarkan pembiayaan LPPSA ke atas hartanah yang dibangunkan di atas tanah wakaf; Kedua: Memasukkan yuran guaman berkaitan penyediaan perjanjian pembiayaan perumahan sebagai sebahagian daripada skop pembiayaan LPPSA; Ketiga: Membenarkan pembiayaan perumahan bersama atau joint-loan daripada LPPSA, antara suami-isteri atau anak-anak, dengan syarat semua pemohon adalah anggota perkhidmatan awam; dan Keempat: Membenarkan pembiayaan perumahan bersama antara suami-isteri atau anak- anak, dengan syarat, sekurang-kurangnya seorang pemohon adalah anggota perkhidmatan awam,.... Manakala pemohon bersama bukan penjawat awam perlu menggunakan pembiayaan institusi kewangan atau agensi yang mempunyai skim pembiayaan perumahan sendiri, yang bersetuju menjadi pemegang gadaian kedua. Tuan Yang Dipertua, 211. PE-TUNJANG KELAPAN: MENGIMBANGI PAR EXCELLENCE DUNIAWI DAN PAR EXCELLENCE UKHRAWI. Sesungguhnya, tiada siapa yang tahu dan dapat meramalkan apakah rupa bentuk, wajah dunia pada masa mendatang. 212. Tapi pastinya, Allah Hu Ta’ala menyukai hamba-hambaNya yang terus berikhtiar dengan gigih, merancang masa depan demi kepentingan negara dan ummah seluruhnya. 213. Berbekalkan mafhum Surah Al-A’raf ayat 96, di mana Tuhan akan melimpahkan rezeki dan keberkatan-Nya dari langit serta bumi, selagi penduduk dan rakyatnya beriman lagi bertaqwa. 214. Sebab itulah dalam konteks negara ini, Kerajaan mensasarkan Malaysia akan menjadi sebuah negara yang: Pertamanya: High Income Advanced Economy pada tahun 2020; Kedua: Nilaian ekonomi dan dagangan semasa menjadi dua trillion ringgit pada tahun 2025; Ketiga: Menikmati impak dan manfaat IR 4.0 yang mula menampakkan kematangan signifikan pada tahun 2030; Keempat: Watan yang lebih kompetitif lagi bersifat hampir zero defects pada tahun 2040; dan Kelimanya: InsyaAllah,… kita akan mencapai sebuah ketamadunan unggul di mana negara ini, bakal tersenarai dalam gelanggang kelompok 20 negara termaju lagi terbaik di persada dunia. Tuan Yang Dipertua, 215. Hakikatnya, keluarga adalah institusi nukleus paling penting dalam membentuk nilai dan pengutuhan insan. Kerana, kesepaduan sosial lazimnya bermula daripada keharmonian dan kebahagiaan keluarga. 216. Untuk itu, Kerajaan akan mewujudkan satu entiti baru yang dinamakan Institut Penyelidikan Sosio-Ekonomi atau SERI di bawah JPM, dan juga menaik taraf KITA-UKM atau Institut Kajian Etnik UKM sebagai institusi kebangsaan. Peruntukan yang sewajarnya akan disediakan oleh Kerajaan. 217. SERI berperanan mengkaji dan menilai keberkesanan dasar serta pelaksanaan program juga projek pembangunan negara terhadap rakyat. Manakala KITA menyelaras pendidikan sosioekonomi peringkat negara dan mewujudkan indeks pembangunan sosial negara. 218. Sebagai analoginya, jika EPU berperanan seumpama the brain dalam menggubal dasar ekonomi, manakala, ICU sebagai hands and legs dalam pemantauan projek, maka KITA dan SERI akan berfungsi sebagai the soul or the heart. Ia mencakupi aspek kerohanian dan jiwa, nilai-nilai murni serta program berbudaya tinggi untuk membina jati diri generasi TN50 bagi menangani gejala sosial. 219. Sehubungan ini, Kerajaan sentiasa menghargai peranan NGO-NGO dan akan terus berkerjasama dengan mereka dalam menangani masalah sosial. Penekanan akan diberikan kepada institusi keluarga yang merupakan nukleus yang paling kecil, namun paling penting dalam pembangunan dan kesejahteraan masyarakat kita. Tuan Yang Dipertua, saudara dan saudari, 220. Saya tahu,… ramai yang ternanti-nanti pengumuman- pengumuman tertentu kepada 1.6 juta penjawat awam, sebagaimana yang saya war-warkan dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-15 pada awal bulan ini. 221. Lantas, demi menghargai sumbangan para penjawat awam, khabar gembira yang ditunggu-tunggu itu sudah pun tiba. Saya mengumumkan: Pertama: Kenaikan pangkat time-based kali kedua bagi kumpulan pelaksana untuk tempoh 13 tahun, selepas kenaikan kali pertama; Kedua: Penjawat awam yang dibersarakan atas sebab kesihatan, akan menerima faedah persaraan seolah-olah pegawai berkhidmat sehingga umur persaraan wajib; Ketiga: Membenarkan Gantian Cuti Rehat melebihi 150 hari digunakan sebagai cuti rehat pada tahun persaraan; Keempat: Menaikkan kadar Cuti Rehat Khas bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan daripada tujuh hari kepada 10 hari setahun; Kelima: Kerajaan buat pertama kalinya, bersetuju memberikan kemudahan tujuh hari cuti tanpa rekod sepanjang tempoh perkhidmatan bagi menunaikan umrah; Keenam: Untuk memberi fleksibiliti, Kerajaan akan menambah satu lagi Waktu Kerja Berperingkat iaitu bermula jam 9 pagi hingga 6 petang; Ketujuh: Pakar Perubatan Gred UD54 dan ke atas, yang telah diwartakan sekurang-kurangnya 4 tahun, serta memenuhi syarat tertentu, akan diberi kelonggaran satu hari seminggu untuk melaksanakan Waktu Kerja Fleksi; Kelapan: Penjawat awam wanita yang mengandung lima bulan ke atas, dibenarkan pulang lebih awal sejam. Bagi melengkapi hasrat ini, suami yang bekerja Kerajaan juga dibenarkan pulang lebih awal sejam,… syaratnya, suami dan isteri mestilah bekerja di lokasi yang berdekatan; Kesembilan: Meningkatkan kelayakan cuti bersalin daripada 300 hari kepada 360 hari sepanjang perkhidmatan, tertakluk kepada maksimum 90 hari setahun; Kesepuluh: Pembelajaran sepanjang hayat pegawai perkhidmatan awam dengan melaksanakan Kursus Sarjana dan PhD secara in-house; Kesebelas: Menaikkan kadar pencen terendah kepada 1,000 ringgit sebulan melibatkan lebih 50 ribu pesara awam, dengan sekurang- kurangnya 25 tahun tempoh perkhidmatan; dan Kedua belas: Pemanjangan kemudahan perubatan untuk ibu dan bapa kepada pesara Kerajaan. Kesemua langkah di atas berkuat kuasa mulai 1 Januari 2018. Tuan Yang Dipertua, 222. Sebagai negara Islam yang progresif dan dinamik, Kerajaan menghargai bakti Ketua Kampung serta Tok Batin. Untuk itu, Kerajaan mengumumkan bayaran khas one-off sebanyak 1,500 ringgit melibatkan 9,800 orang. Seribu ringgit akan dibayar pada Januari 2018 dan 500 ringgit menjelang Hari Raya Aidilfitri. 223. Bagi mempastikan kawasan kejiranan sentiasa selamat dan tenteram, 40 juta ringgit diperuntukkan untuk meneruskan pemberian geran Komuniti Penduduk 1Malaysia sehingga 10 ribu ringgit kepada persatuan penduduk yang berdaftar. 224. Selain itu, 40 juta ringgit diperuntukkan untuk GiatMara melaksanakan program latihan dalam komuniti, khususnya di 50 kawasan Projek Perumahan Rakyat untuk fasa pertama. CRESCENDO Tuan Yang Dipertua, 225. Baru-baru ini, seluruh negara dikejutkan dengan insiden menyayat hati,… tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Itti-fa-qiyah yang mengorbankan 23 nyawa. Setulus takziah kita ucapkan kepada keluarga yang terlibat. 226. Demi memartabatkan syiar Islam dan pengutuhan jati insan, khususnya pengurusan sekolah tahfiz, diperuntukkan 50 juta ringgit kepada GiatMara bagi membaik pulih dan menyelenggara sistem pendawaian di semua sekolah tahfiz yang berdaftar di seluruh negara. 227. Selain itu, bagi melatih pelajar sekolah tahfiz supaya lebih berkemahiran, Skim Latihan Kemahiran GiatMara akan diperkenalkan. 228. Di samping itu, selain peruntukan 588 juta ringgit bagi bayaran elaun bulanan kepada imam, bilal, guru KAFA dan guru takmir yang diterima selama ini, untuk lebih menghargai mereka termasuk ‘Tok Siak’, Kerajaan sukacita mengumumkan,… Bayaran khas one-off sebanyak 1,500 ringgit kepada mereka. Seribu ringgit dibayar pada Januari 2018 dan 500 ringgit lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri, memanfaatkan lebih 65 ribu orang dengan peruntukan hampir 100 juta ringgit. Tuan Yang Dipertua, 229. Demikianlah moga kita dapat berasakan, bak kata orang tua-tua, sejuk Dewan Parlimen Yang Mulia ini dek redup cuaca petang, agarnya Tuhan memayung-mayungi dan merahmat-rahmati pembentangan Bajet 2018 ini. 230. Mengambil iktibar daripada sirah perjuangan para Anbiya’, golongan solihin dan seluruh kehebatan sejarah bangsa kita sendiri, malah, turut dipesan oleh Imam Ghazali dan Bapak Hamka bahawa,… apalah guna kita hanya kaya harta, tetapi miskin jiwa. 231. Akan tetapi, apa yang Kerajaan mahukan adalah, sebuah bangsa yang bukan sahaja hebat fizikalnya, bahkan kaya jiwa dan kaya pekertinya, yakni Par Excellence Duniawi dan Par Excellence Ukhrawi. 232. Pucuk pangkalnya, sepanjang berbulan-bulan yang lalu, segala kerja keras dan titik peluh Kerajaan secara kolektif, melibatkan semua Kementerian dan agensi, pihak swasta, NGO, para belia, kumpulan profesional, dan,… ter-amat utama pelbagai lapisan rakyat yang turut menyumbang idea dan cadangan melalui pelbagai platform dan saluran, dalam merangka Naskhah Besar ini. 233. Kerana itulah, belanjawan ini mencipta tawarikh sebagai sebuah Bajet yang paling inklusif pernah dipersembahkan. 234. Semuanya, tidak lain dan tidak bukan telah dikarang dan disusun dalam memenuhi tuntutan DHO’-RU-RIYYAT, HAA-JI-YAT dan TAH-SI-NI-YAT, demi mensejahterakan kehidupan rakyat, sekaligus memakmurkan negara. 235. Maka, Tuan Yang Dipertua serta seluruh rakyat Malaysia, pada hemah saya, selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, inilah,….. belanjawan yang tidak pernah diperucapkan sedemikiannya semenjak saya mengambil alih tampuk kepimpinan negara ini, kerana ianya bersifat holistik dan sarat dengan falsafah,… dan secara peribadinya,… boleh ditanda sejarah sebagai “IBU - SEGALA BAJET”. 236. Sesungguhnya, bagi pihak Kerajaan, saya berani berkata demikian, kerana, pada Bajet kali ini, telah terhimpun dan terungkap dalamnya pelbagai premis yang menjadi asas kepada sebuah Bajet Komprehensif, mengambil hitung seawal kepentingan bayi yang masih dalam kandungan sehingga lahir ke dunia ini, sampailah urusan masa hadapan negara. Tuan Yang Dipertua, 237. Oleh semuanya itu, maka, ter-Nyahlah segala apapun bentuk Keraguan, yang cuba dipolemikkan oleh Pakatan pembangkang. 238. Realitinya, pakatan pembangkang-lah sebenarnya yang selama ini,… berada dalam Keraguan. Mereka ragu dengan kepimpinan mereka,… mereka curiga-mencurigai antara satu sama lain,… malah, mereka saling guna-memperguna sesama sendiri,… dengan izin Tuan Yang Dipertua dalam Bahasa Inggeris there is no certainty in political leadership, how can they be trusted to provide a sound economic leadership. Waima, kononnya mahu menghapuskan BR1M, kini menyokong pula,… nak meniadakan GST, tapi kini, nak mengekalkan pula dengan zero-rate dan tambah balik SST,… nak memotong cukai itu dan cukai ini,… nak menghapuskan pinjaman PTPTN, tapi kini ternyata nak diadakan kembali,… nak memperkenalkan subsidi minyak, tapi kini beralih kepada subsidi bersasar,… dengan izin sekali lagi bak kata orang putih, THE ONLY THING CONSISTENT WITH THE OPPOSITION IS THAT THEY ARE CONTINUOUSLY IN-CON-SIS-TENT. Apa yang kita sering dengar, asyik-asyik U-turn,… asyik- asyik u-turn,… and more u-turn,… sehingga segalanya membuat pemikiran rakyat dikeliru, didamak dan diracuni. Tuan Yang Dipertua, 239. Lalu, syukur setingginya dipanjatkan ke hadrat Allah Hu Taala, kerana berkat kegigihan usaha Kerajaan selama ini, dikurniakan hasil bagi dituai dan dinikmati oleh rakyat Malaysia sekalian. 240. Kepada Penjawat Awam, yang dinanti-nanti telah pun menjelma. Bagi menyanjung tinggi sifat wala’ dan kesetiaan Tuan-Tuan dan Puan-Puan, dalam mendokong kemajuan negara serta melaksanakan sistem penyampaian perkhidmatan dengan cekap lagi berkesan kepada rakyat,… maka sukacitanya saya mengumumkan,…. Bayaran khas sebanyak 1,500 ringgit kepada semua penjawat awam. Bayaran ini akan diberikan dua kali, iaitu seribu ringgit pada awal Januari 2018, dan 500 ringgit lagi menjelang Hari Raya Aidil Fitri tahun hadapan. Manakala tidak pernah dilupakan, kepada pesara Kerajaan, bayaran khas sebanyak 750 ringgit, iaitu 500 ringgit dibayar pada Januari 2018, dan 250 ringgit lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri. Saudara dan Saudari Sahabat Seperjuanganku Sekalian, 241. Oleh itu, biarpun kita diherdik-herdik dan ditikam-tikam,… tak sedikit pun kan goyah Barisan ini,… kerana kita yakin bahawa, rakyat kini semakin bijak menilai yang mana satu kaca dan yang mana satu intan. 242. Terlebih penting, pabila rakyat menghakimi dengan bijak nanti, dan terus bersatu hati dengan Kerajaan ini, barulah terbentang luas masa hadapan Malaysia yang cerah, saujana mata memandang. 243. Bagai disesuaikan dengan kalam Megat Terawis satu ketika dulu,… bila rakyat dan Kerajaan menjadi satu, barulah negara gagah perkasa kerana,… Pisau di tangan kita, mentimun pun di tangan kita,… kalau nipis dihiris,… maka nipislah jadinya,… kalau tebal dihiris,… maka teballah jadinya… Tuan Yang Dipertua, Saudara dan Saudari, Rakyat Malaysi Yang Dikasihi, 244. Menyudahi kalam, dalam melakar dan mencarta titian masa depan negara, seumpama membidak buah-buah catur. Kita harus membaca gerakan dengan cermat dan mengatur strategi dengan penuh berhati-hati. 245. Dan segalanya hanya mampu diperbuat dan boleh dicapai dengan adanya kerjasama ikhlas sepasukan. Bertuahlah saya kerana mempunyai, bukan sekadar seorang Timbalan Perdana Menteri, tapi jauh daripada itu, seorang sahabat yang setia,… Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. 246. Termustahak juga segala wala’ dan sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan kepada saya oleh Anggota-anggota Jemaah Menteri, Pimpinan-Pimpinan Parti Komponen dalam menakhoda bahtera Malaysia ini. 247. Lalunya, bersumpah dan berjanjilah,… bersumpah dan berjanjilah bahawa, kalaupun terpenggal putus tangan dari badan,… sekalipun lumpuh kaki tidak bermaya,… amanah dan harapan rakyat yang kita genggam jangan sekali-kali terlepas dan tergadai kepada pihak lawan. 248. Ayuhlah,… kita wajib tetap menggigit amanah yang diberikan itu, dengan taring-taring dan geraham- geraham masing-masing,… sampai ketitisan darah yang terakhir,… membawa Barisan Nasional,…. menuju kemenangan besar dalam Pilihanraya Umum Ke-14 nanti. InsyaAllah. 249. KepadaMu ya Allah, kami berdoa dan berserah. Selamat dan afiatkan tubuh Malaysia, zahir dan batin. Tuan Yang DiPertua, Saya mohon mencadangkan supaya suatu Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2006 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua. PENDAHULUAN 2. Syukur kita ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izin dan kurniaNya, dapat saya sekali lagi membentangkan Bajet Negara bagi tahun 2006 di Dewan yang mulia ini. Bajet 2006 ini merupakan bajet tahun pertama bagi Rancangan Malaysia Kesembilan dan fasa kedua Wawasan 2020. Kerajaan kini sedang merumus dan menentukan dasar dan strategi utama untuk memastikan matlamat Wawasan negara dicapai dengan jaya dan sepenuhnya. Insya Allah, saya akan membentangkan Rancangan Malaysia Kesembilan di Dewan ini pada awal tahun hadapan. 3. Bajet 2006 memberi tumpuan kepada beberapa langkah khusus untuk menjana pertumbuhan yang lebih berkualiti dalam tempoh terdekat yang boleh menyumbang kepada usaha menyediakan landasan yang lebih kukuh bagi pertumbuhan ekonomi jangka panjang. Bajet 2006 bertemakan ‘Membina Ketahanan, Menghadapi Cabaran’. Bajet ini memberi penekanan kepada langkah mengukuhkan daya tahan dan keberkesanan negara, dalam menghadapi perkembangan ekonomi dunia yang tidak menentu berikutan daripada peningkatan mendadak harga minyak, kadar faedah yang kian meningkat serta persaingan global yang semakin sengit. 4. Kerajaan akan mengambil langkah proaktif, termasuk membangunkan infrastruktur fizikal, terutamanya di kawasan kurang maju. Di samping itu, tumpuan khusus akan diberi kepada pembangunan ekonomi luar bandar untuk memperbaiki kualiti hidup di kawasan luar bandar melalui penyediaan jalan yang mencukupi, bekalan air dan elektrik serta kemudahan persekolahan yang baik. Fokus juga diberi untuk membangunkan soft infrastructure, termasuk membangunkan keupayaan modal insan dan sistem pengurusan dan organisasi. Keperluan untuk mewujudkan persekitaran yang lebih mesra perniagaan bagi meningkatkan daya saing negara juga akan dititikberatkan di dalam Bajet ini. Insya Allah, dengan langkah ini, kita yakin ekonomi negara akan kekal kukuh dan menjana pendapatan serta kekayaan untuk meningkatkan kesejahteraan semua rakyat dalam konteks membina sebuah negara yang aman, makmur dan bersatu padu. PERKEMBANGAN EKONOMI NEGARA 5. Ekonomi negara terus kekal mantap dalam tempoh separuh tahun pertama tahun ini, walaupun perkembangan ekonomi global lebih sederhana serta peningkatan paras harga minyak antarabangsa begitu ketara. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 4.9 peratus pada separuh pertama 2005, didorong sebahagian besarnya oleh aktiviti sektor swasta. Penggunaan sektor swasta terus meningkat, di samping pelaburan swasta yang juga kekal kukuh, berikutan keyakinan pelabur yang bertambah baik. Aliran masuk pelaburan asing kasar berjumlah 8 bilion ringgit pada separuh pertama tahun ini. 6. Kita sangat bertuah kerana dalam tempoh yang begitu singkat, iaitu tujuh tahun selepas krisis kewangan 1997, ekonomi negara telah pulih sepenuhnya dengan mencatat pertumbuhan yang lebih mapan. Pertumbuhan KDNK telah mencapai peningkatan purata sebanyak 5.4 peratus setahun dalam tempoh tersebut. Pada tahun ini, kita menganggarkan pertumbuhan sebanyak 5 peratus, sungguhpun dalam persekitaran luar yang kurang menggalakkan. 7. Pencapaian pertumbuhan ekonomi ini telah diiringi oleh pengukuhan dalam imbangan pembayaran negara serta kadar inflasi yang terkawal dan gunatenaga penuh. Lebihan semasa imbangan pembayaran kekal tinggi, secara purata 12 peratus setahun daripada Keluaran Negara Kasar (KNK) dalam tempoh enam tahun, dan dijangka meningkat kepada 15.7 peratus tahun ini, berikutan peningkatan eksport yang ketara. Prestasi dan asas ekonomi yang kukuh ini juga membolehkan rakyat mengecapi manfaat dari peningkatan pendapatan dan kuasa beli yang lebih tinggi. Pendapatan per kapita dianggar meningkat kepada 17,741 ringgit pada tahun 2005 berbanding 16,616 ringgit pada tahun 2004. Dari segi kuasa beli pariti, ianya meningkat daripada 9,630 dolar Amerika Syarikat kepada 10,323 dolar dalam tempoh yang sama. 8. Prospek ekonomi luar negara dijangka menjadi lebih mencabar. Ini disebabkan lonjakan harga minyak yang dijangka kekal tinggi serta dasar monetari negara maju, terutamanya Amerika Syarikat, yang menunjukkan tren peningkatan kadar faedah. Sudah tentunya perkembangan global ini akan mempunyai kesan terhadap ekonomi negara. Walau bagaimanapun, Kerajaan percaya, dengan langkah khusus yang diumumkan dalam Bajet ini, prospek pertumbuhan ekonomi negara dijangka terus kukuh pada kadar 5.5 peratus dalam tahun 2006. 9. Pembangunan negara bukan hanya merupakan tanggungjawab Kerajaan. Setiap rakyat mempunyai peranan dalam menyokong usaha memajukan negara. Pembangunan pesat yang dicapai selama ini telah memberi banyak faedah kepada semua pihak. Namun, dalam tahun-tahun yang seterusnya, kita hanya akan berjaya dalam persekitaran yang mencabar sekiranya rakyat bersedia membuat perubahan gaya hidup, berjimat cermat serta berusaha dengan tekun demi meninggikan produktiviti, kecekapan dan daya saing, serta meningkatkan kemampuan inovasi dan daya kreatif. STRATEGI BAJET 2006 10. Strategi Bajet 2006 akan ditumpukan kepada: Pertama: Melaksanakan langkah proaktif Kerajaan ke arah memesatkan kegiatan ekonomi; Kedua: Menyediakan persekitaran mesra perniagaan; Ketiga: Membangunkan modal insan; dan Keempat: Meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat. STRATEGI PERTAMA: MELAKSANAKAN LANGKAH PROAKTIF KERAJAAN KE ARAH MEMESATKAN KEGIATAN EKONOMI 11. Alhamdulillah, matlamat Kerajaan untuk terus mengurangkan defisit bajet telahpun dicapai. Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan telah dikurangkan daripada 5.6 peratus daripada KDNK pada tahun 2002 kepada 3.8 peratus yang dianggarkan pada tahun ini. Lebih penting lagi, pengurangan defisit ini telah dicapai tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara. Bagi tahun 2006, defisit fiskal akan dikurangkan kepada 3.5 peratus. Pada tahap defisit yang rendah ini, Kerajaan mempunyai lebih ruang untuk memberi tumpuan kepada usaha pembangunan demi mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi. 12. Dengan itu, saya mencadangkan sebanyak 136.8 bilion ringgit diperuntukkan bagi Bajet 2006, iaitu meningkat sebanyak 5 peratus berbanding dengan peruntukan tahun 2005. Daripada jumlah ini, sebanyak 101.3 bilion ringgit adalah bagi Peruntukan Mengurus. Sebanyak 35.5 bilion ringgit disediakan bagi Peruntukan Pembangunan, iaitu 13 peratus lebih tinggi dari peruntukan tahun ini. 13. Di bawah Peruntukan Mengurus, sebanyak 55 bilion ringgit atau 54.3 peratus adalah bagi Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, 23.6 bilion ringgit untuk Emolumen, 20.6 bilion ringgit bagi Perkhidmatan dan Bekalan, 1.6 bilion ringgit untuk Pembelian Aset dan 500 juta ringgit untuk perbelanjaan lain. 14. Bagi Peruntukan Pembangunan, bahagian terbesar sebanyak 14.4 bilion ringgit ialah untuk sektor ekonomi yang terdiri daripada sektor pertanian, perindustrian dan infrastruktur. Sebanyak 9.9 bilion ringgit diperuntukkan kepada sektor sosial iaitu pendidikan, kesihatan dan perumahan. Sektor keselamatan menerima 5.6 bilion ringgit sementara pentadbiran 3.6 bilion ringgit. Memesatkan Pembangunan Luar Bandar 15. Kerajaan berhasrat untuk membawa pembangunan yang seimbang dan komprehensif kepada rakyat di seluruh negara. Selaras dengan matlamat Kerajaan untuk memperbaiki lagi ekonomi dan infrastruktur di luar bandar, peruntukan sebanyak 5.7 bilion ringgit akan disediakan. Sebahagian besar daripada peruntukan ini, iaitu 2.7 bilion ringgit adalah untuk pelaksanaan projek pertanian, khususnya aktiviti menambah nilai yang boleh menjana pendapatan yang lebih tinggi kepada petani. Kerajaan juga bercadang memperuntukkan 1.2 bilion ringgit bagi program pelajaran, 581 juta ringgit bagi membina dan menaik taraf jalan serta 299 juta ringgit bagi menyediakan bekalan air dan elektrik. 16. Kerajaan prihatin terhadap keluhan orang ramai mengenai kemudahan infrastruktur asas yang tidak mencukupi dan kurang sempurna, terutamanya di kawasan luar bandar. Malahan, saya rasa sedih dengan peristiwa kemalangan maut yang dilapor melibatkan murid sekolah semasa menyeberangi jambatan usang. Pada saya, peristiwa sebegini tidak harus berlaku di sebuah negara yang memiliki infrastruktur kelas pertama. 17. Saya menggesa Ahli-ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini dan Pegawai Pembangunan Negeri serta Pegawai Daerah untuk mengenalpasti dan menyediakan senarai projek infrastruktur asas, seperti jambatan kecil, yang diperlukan segera di setiap kawasan Parlimen. Senarai ini hendaklah dikemukakan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri, sebelum akhir bulan November ini untuk dilaksanakan. Untuk memastikan projek ini disiapkan segera, kontraktor tempatan di kawasan masing-masing, terutamanya kontraktor kecil Bumiputera, akan dilantik untuk melaksanakannya. Mengoptimumkan Penggunaan Infrastruktur Sedia Ada 18. Negara telah mencapai tahap pembangunan yang tinggi, terutamanya dalam pembangunan infrastruktur fizikal. Kita mempunyai banyak kemudahan infrastruktur moden, termasuk jaringan lebuhraya, lapangan terbang antarabangsa serta pelabuhan bertaraf dunia. Sementara pembangunan infrastruktur fizikal diteruskan, kita perlu juga memberi tumpuan kepada usaha mengoptimumkan penggunaan kemudahan tersebut. Oleh itu, Kerajaan akan memberi penekanan kepada pembangunan soft infrastructure, termasuk membangun dan meningkatkan keupayaan modal insan, sistem pengurusan dan organisasi, dan menyemai budaya penyelenggaraan. 19. Budaya penyelenggaraan ini harus dipupuk dengan lebih tekun. Selain peruntukan kepada agensi Kerajaan untuk program penyelenggaraan berjumlah 4.3 bilion ringgit, Kerajaan akan menyediakan peruntukan khas yang merupakan tambahan sebanyak 1 bilion ringgit untuk program penyelenggaraan kemudahan awam pada tahun hadapan. Bagi tahun 2005, Kerajaan telah menyediakan peruntukan khas berjumlah 500 juta ringgit yang membolehkan hampir 9 ribu projek penyelenggaraan dilaksanakan oleh kontraktor kelas F, selain peruntukan kepada agensi Kerajaan berjumlah 4.1 bilion ringgit. 20. Usaha menambah baik modal insan akan dipergiatkan melalui pelajaran dan latihan supaya rakyat lebih cemerlang dalam penguasaan ilmu dan kemahiran, terutamanya penguasaan sains dan teknologi. Bagi tujuan ini, sebanyak 29 bilion ringgit atau satu perlima daripada peruntukan Bajet 2006 disediakan untuk memberi pendidikan dan latihan kepada 5.7 juta pelajar. Daripada jumlah ini, 24 bilion ringgit adalah untuk Perbelanjaan Mengurus dan baki 5 bilion ringgit untuk Perbelanjaan Pembangunan. Memperbaiki Lagi Sistem Penyampaian Perkhidmatan Awam 21. Perkhidmatan awam memainkan peranan penting dalam menyokong dan membantu inisiatif sektor swasta melalui penyediaan sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih efisyen dan mesra pelanggan. Satu aspek yang sering menyebabkan kelewatan dalam melaksanakan projek ialah lewatnya pengeluaran sub-waran oleh kementerian kepada agensi di bawahnya. Kelewatan pengeluaran sebegini mesti dielakkan. Sehubungan ini, semua kementerian dikehendaki mengeluarkan sub-waran yang memberi kuasa berbelanja kepada agensi pelaksana di bawah bidang kuasa mereka selewat-lewatnya sebelum penghujung bulan Mac setiap tahun. Jemaah Menteri akan memantau perkara ini dengan rapi. 22. Pengukuhan sistem penyampaian perkhidmatan awam akan terus menjadi agenda utama. Selain meningkatkan keupayaan, proses kerja juga akan ditambahbaik. Kapasiti pasukan flying squad di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan diperkukuhkan lagi dengan menambah sebanyak 600 anggota. Tumpuan akan diberi kepada urusan kutipan hasil, tukar syarat tanah, pecah sempadan dan pecah bahagian. Proses hakmilik strata akan dipermudahkan, antaranya bersandarkan kepada pengeluaran Sijil Penyiapan (Certificate of Completion). 23. Sebanyak 334 jawatan akan diwujudkan untuk menjayakan kerja di semua Pusat Sehenti PBT bagi mempercepatkan urusan pemprosesan lesen dan permit serta pembayaran cukai taksiran dan denda. Kapasiti Perbadanan Harta Intelek Malaysia akan ditingkatkan bagi mempercepatkan kelulusan permohonan pendaftaran pensijilan paten dan cop dagang. 24. Malaysia berhasrat untuk menjadi hub serantau, terutamanya untuk sektor perkhidmatan dan membangunkan lagi industri berasaskan pengetahuan. Oleh itu, adalah penting prosedur pemberian visa kepada pekerja berpengetahuan dan golongan peniaga asing dipermudahkan. Ke arah ini, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri sedang mengambil langkah untuk mempermudah dan mempercepatkan pemberian visa, terutamanya bagi pekerja berpengetahuan dan profesional dalam bidang ICT, perkhidmatan kewangan dan industri berteknologi tinggi. Selain itu, Unit Jawatankuasa Pegawai Dagang dan Unit Naziran di Jabatan Imigresen akan diperkukuhkan. 25. Unit Pelancongan Kesihatan akan ditubuhkan di bawah Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan kualiti bekalan perkhidmatan kesihatan bagi menarik lebih ramai warga asing mendapat khidmat kesihatan swasta di Malaysia. Selain itu, fokus akan diberi kepada usaha mendapatkan pengiktirafan antarabangsa dan mempromosi hospital swasta tempatan. 26. Selaras dengan usaha memperkukuhkan sistem penyampaian, badan berkanun bersumber kewangan sendiri akan dibenar menentukan skim perkhidmatan mereka. Fleksibiliti ini membolehkan badan berkanun berkenaan merancang dan mengurus tenaga kerjanya serta menambah produktiviti organisasi. Badan berkanun yang telah dikenalpasti adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Urusan dan Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, SOCSO dan Bank Simpanan Nasional. Sementara itu, Kumpulan Wang Amanah Pencen juga akan dijadikan badan berkanun dan diberi fleksibiliti yang sama. 27. Penggunaan ICT dalam urusan orang awam dengan agensi Kerajaan akan ditingkatkan. Untuk ini, urusan e-Payment menggunakan kad kredit di kaunter dan secara online akan dilaksanakan di Jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen dan KWSP serta hospital. Langkah ini akan mempercepat dan memudahkan bayaran dan penerimaan serta menggalakkan lagi penggunaan e-Payment ke seluruh negara. 28. Sistem perolehan Kerajaan akan diperbaiki dengan memperkenalkan kaedah baru dalam usaha mengurangkan kos, menjadi lebih telus dan memastikan nilai berpatutan (value for money). Ke arah ini, satu sistem e-Bidding atau reverse auction sedang dalam percubaan di beberapa agensi supaya kaedah baru ini boleh dilaksanakan di sektor awam dan beberapa Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). STRATEGI KEDUA: MENYEDIAKAN PERSEKITARAN MESRA PERNIAGAAN 29. Sektor swasta memainkan peranan penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara. Untuk terus menyokong peranan sektor swasta, Kerajaan akan memastikan pelaksanaan dasar dan langkah mesra perniagaan serta penyediaan persekitaran yang lebih kondusif. Mengurangkan Kos Kendalian Perniagaan 30. Kerajaan akan terus mengambil langkah untuk mengurangkan lagi kos kendalian perniagaan bagi membolehkan syarikat berdaya maju dan berdaya saing, terutamanya di pasaran serantau dan antarabangsa. Untuk tujuan ini, Kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah cukai dan bukan cukai sejak beberapa tahun yang lalu. Kerajaan komited untuk terus menambah dan memperbaiki lagi insentif yang diberikan untuk meningkatkan daya saing negara. 31. Sektor korporat negara kini mempunyai banyak kumpulan syarikat dengan anak syarikat masing-masing. Kerajaan sedar bahawa untuk menceburi projek berisiko tinggi memerlukan suntikan modal yang besar dan terdapat juga kemungkinan kerugian dalam tahun-tahun awal operasi. Potensi kerugian sedemikian boleh menjejaskan hasrat syarikat mengambil inisiatif pelaburan seperti ini, walaupun dalam jangka panjang pelaburan seumpama ini berfaedah kepada ekonomi. Oleh itu, Kerajaan bercadang memberi group relief kepada syarikat yang merupakan sebahagian daripada suatu kumpulan, dengan milikan minimum antara mereka sebanyak 70 peratus. Group relief ini membenarkan 50 peratus daripada kerugian tahun semasa suatu syarikat ditolak daripada keuntungan suatu syarikat lain dalam kumpulan yang sama. Selain mengurangkan kos menjalankan perniagaan, langkah ini juga akan meningkatkan daya saing negara dan menggalakkan lebih banyak pelaburan. 32. Galakan Taraf Perintis telah diberikan kepada banyak syarikat, termasuk multinasional, untuk menarik pelabur ke negara ini. Sektor utama yang telah diberi galakan ini, selain Koridor Raya Multimedia (MSC), termasuk sektor pembuatan dan pelancongan. Untuk meningkatkan lagi keberkesanan insentif ini, Kerajaan bercadang supaya kerugian terkumpul dan elaun modal yang tidak diserap dalam tempoh perintis dibenar dibawa ke hadapan dan ditolak daripada pendapatan post pioneer. 33. Sungguhpun banyak kawasan di Koridor Timur telah dibangunkan, masih terdapat lagi beberapa kawasan di Koridor tersebut yang masih belum dibangunkan sepenuhnya. Oleh itu, untuk menarik lebih banyak pelaburan di Koridor Timur, termasuk Sabah dan Sarawak, galakan cukai sedia ada bagi projek yang ditempatkan di Koridor tersebut dilanjutkan untuk tempoh 5 tahun lagi, sehingga 31 Disember 2010. 34. Seterusnya, Kerajaan mencadangkan langkah cukai berikut untuk membantu mengurangkan lagi kos kendalian perniagaan: Pertama: pendapatan yang diperolehi daripada aktiviti pelaburan oleh syarikat pemegang pelaburan yang tersenarai di Bursa Malaysia diberi layanan cukai sebagai pendapatan perniagaan dan oleh itu perbelanjaan syarikat tersebut tidak lagi dihadkan bagi tujuan potongan cukai. Walau bagaimanapun, kerugian dan elaun modal yang tidak diserap tidak dibenarkan dibawa ke hadapan; Kedua: memandangkan pentingnya pematuhan urustadbir korporat, yuran juruaudit dibenarkan sebagai potongan cukai; Ketiga: memandangkan hasil dan keuntungan tertakluk kepada ketidaktentuan disebabkan persekitaran perniagaan yang berbeza, Kerajaan bersetuju memberi fleksibiliti yang lebih dalam membuat anggaran cukai. Pada masa ini, syarikat dikehendaki mengemukakan anggaran cukai tahun semasa yang tidak kurang daripada anggaran disemak tahun sebelumnya. Dengan fleksibiliti ini, syarikat akan dibenar membuat anggaran cukai pada tahap tidak kurang 85 peratus daripada anggaran cukai tahun sebelumnya berbanding dengan 100 peratus pada masa ini. Keempat: memudahkan penyediaan akaun bagi asset bernilai kecil. Pada masa ini, elaun modal ke atas aset hanya boleh dituntut dalam tempoh masa tertentu. Dengan langkah ini, syarikat dibenar menuntut elaun modal sepenuhnya dalam tahun perolehan bagi sejumlah aset bernilai tidak melebihi 10 ribu ringgit. Walau bagaimanapun, bagi tujuan ini, nilai setiap aset tidak melebihi satu ribu ringgit;dan Kelima: bagi menggalakkan syarikat pembangunan hartanah membina rumah kos rendah, anggaran kerugian daripada projek rumah kos rendah dibenarkan ditolak daripada anggaran keuntungan dari projek pembangunan hartanah yang lain bagi tujuan perkiraan cukai. Memantapkan Pasaran Modal 35. Pasaran modal negara telah berkembang pesat dan telah memainkan peranan penting dalam menyediakan pembiayaan yang lebih rendah kos kepada sektor koporat. Ini telah dapat mengurangkan pergantungan sektor korporat kepada sumber kewangan daripada bank komersil untuk membiayai pelaburan. Kini, sektor koporat telah memperolehi manfaat daripada sumber pembiayaan modal melalui penerbitan ekuiti dan bon. Berikutan itu, saiz pasaran bon negara telah meningkat hampir tiga kali ganda daripada 137 bilion ringgit pada tahun 1997 kepada 363 bilion ringgit pada tahun 2004. Bon korporat merupakan 51 peratus daripada jumlah ini. Di samping itu, ekuiti yang telah diterbitkan berjumlah 66 bilion ringgit dalam tempoh yang sama. Perkembangan pesat dalam pasaran bon dan ekuiti ini telah merancakkan pasaran modal negara yang akan membantu dan memudahkan lagi sektor swasta untuk menerajui pertumbuhan ekonomi negara. 36. Kerajaan mengiktiraf keperluan meningkatkan lagi kualiti syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia. Dalam konteks ini, Kerajaan ingin menggalakkan pencantuman dan pengambilalihan atau merger and acquisition, dengan tujuan membolehkan syarikat memperluaskan operasi mereka, menambah kecairan, meningkatkan asas modal dan mencapai ekonomi bidangan yang lebih baik. Saya mencadangkan pengecualian duti setem dan cukai keuntungan hartanah diberikan ke atas pencantuman dan pengambilalihan syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia. Pengecualian ini akan diberi bagi pencantuman dan pengambilalihan yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) mulai 1 Oktober 2005 sehingga 31 Disember 2007. 37. Selain ini, Kerajaan juga bercadang untuk membatalkan seksyen 132G dalam Akta Syarikat 1965 untuk memudah dan memberi lebih fleksibiliti bagi syarikat untuk melaksanakan pencantuman dan pengambilalihan, serta untuk menstruktur semula perniagaan mereka. Seksyen 132G yang telah diperkenalkan pada tahun 1992, bertujuan menghindar asset shuffling di mana pemegang saham syarikat tersenarai menyuntik aset yang baru diambilalih ke dalam syarikat tersenarai pada nilai yang terlalu tinggi, yang sudah tentunya merugikan pemegang saham minoriti. 38. Walau bagaimanapun, semenjak penubuhan SC pada tahun 1993, beberapa langkah kawalselia telah digubal untuk menghindar asset shuffling. Ini termasuk memastikan nilai adil bagi aset dan imbalan urusniaga. Pada masa yang sama, beberapa peraturan berkenaan urusniaga pihak berkaitan yang memerlukan kelulusan pemegang saham, serta pengamalan Kod Urus Tadbir Korporat telahpun dilaksanakan. Oleh itu, Seksyen 132G tidak lagi diperlukan bagi tujuan melindungi kepentingan minoriti. 39. Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, SC telah mengambil banyak langkah untuk melicin dan mempercepatkan proses kelulusan untuk cadangan korporat. Untuk mempermudah dan mempercepatkan lagi proses kelulusan cadangan korporat, semua prospektus yang diterima oleh SC bermula 3 Oktober 2005 akan dikaji secara pasca penelitian (post-vetting). Ini akan membolehkan syarikat mengeluarkan prospektus dalam tempoh dua minggu setelah diserahkan kepada SC. Walau bagaimanapun, SC akan memastikan syarikat dan penasihat mereka menjalankan ketekunan wajar (due diligence) dan memberi maklumat yang tepat dalam prospektus. Di samping itu, untuk mengurangkan tempoh penyempurnaan, syarikat yang terlibat dalam pengambilalihan perlu mengeluarkan dokumen tawaran yang mengandungi syarat terperinci dalam tempoh 21 hari dari tarikh pemberitahuan pengambilalihan berbanding 35 hari pada masa ini. 40. Untuk mengimbangi kelonggaran yang diberikan ini, keupayaan dan keberkesanan penguatkuasaan SC akan dipertingkatkan untuk menangani dan menghindar salahlaku korporat. Bagi tujuan ini, SC akan terus menguatkuasakan undang-undang demi memelihara keyakinan pelabur dalam pasaran modal. Kesalahan di bawah undang- undang sedia ada, termasuk Akta Syarikat dan Kanun Keseksaan, berikutan penyiasatan SC, akan didakwa di mahkamah. 41. Untuk menyediakan barisan pengurus dan pengarah syarikat yang berkemahiran dan berwibawa, terutamanya untuk GLC, Akademi Kepimpinan Pengurusan dan Pengarah (Management Leadership and Directors Academy) akan ditubuhkan sebagai pusat kecemerlangan kepimpinan. Akademi ini bertujuan melahirkan pengarah dan pengurusan kanan yang kompeten dan mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang berkesan. Akademi ini akan bekerjasama dengan institusi pengurusan bertaraf dunia. 42. Penerbitan Amanah Pelaburan Hartanah atau REITs adalah satu kaedah yang boleh meningkatkan kecairan syarikat hartanah yang mempunyai aset tetap yang besar. Ia juga dapat menyumbang kepada usaha mempelbagaikan produk bagi pelabur. Bagi menggalakkan lebih banyak REITs, Kerajaan bercadang membenarkan potongan cukai ke atas perbelanjaan berkaitan bayaran guaman, penilaian dan perundingan. 43. Kerajaan ingin menggalakkan lagi pembangunan pasaran bon korporat. Kerajaan mencadangkan supaya syarikat korporat yang menerbitkan bon dibenarkan potongan cukai ke atas perbelanjaan diskaun secara terakru, iaitu sepanjang tempoh hingga tarikh matang bon tersebut. Pada masa ini, potongan cukai hanya dibenarkan apabila bon matang. Membangunkan Sumber Pertumbuhan Baru 44. Untuk memantap dan mempelbagaikan lagi sumber pertumbuhan ekonomi negara, Kerajaan akan mempergiatkan lagi usaha bagi menggalakkan sektor swasta menerokai bidang baru yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi dan kelebihan daya saing. Ini termasuk pertanian berkaedah termoden, bioteknologi, nanoteknologi, sektor pembuatan berteknologi tinggi serta bidang perkhidmatan, khususnya ICT, pendidikan dan pelancongan. Memodenkan Sektor Pertanian 45. Sebagaimana yang sering saya tekankan, sektor pertanian perlu menjadi lebih dinamik. Satu cara untuk mencapai hasrat tersebut adalah dengan meningkatkan produktiviti serta daya saing melalui kegiatan menambah nilai dan menggunakan teknologi moden. Bagi tujuan ini, sektor pertanian akan diperuntukkan sejumlah 2.8 bilion ringgit bagi Perbelanjaan Pembangunan, terutamanya bagi pembangunan pertanian, penternakan, perikanan dan perhutanan. Untuk meningkatkan lagi keberkesanan pelaksanaan program pertanian, Jabatan Pertanian akan disusun semula dan diberi penambahan 255 jawatan baru. Di samping itu, Pejabat Konsular Pertanian akan dibuka di luar negara untuk mempromosikan produk pertanian Malaysia. 46. Kita mempunyai potensi untuk membangunkan industri halal yang berdaya maju dan kompetitif di peringkat global. Dalam hal ini, institusi penyelidikan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan institusi pengajian tinggi perlu meneroka dan memajukan secara agresif R&D berkaitan produk halal serta mewujudkan usahasama dengan institusi penyelidikan luar negara. Makmal keselamatan dan kualiti makanan di Kementerian Kesihatan akan disusun semula dan diperkukuhkan supaya dapat memberi khidmat ujian yang lebih berkesan kepada pengeksport. 47. Kerajaan akan juga mengutamakan peningkatan produktiviti dan kualiti untuk memastikan bekalan makanan terjamin dan meningkatkan eksport makanan. Tabung Makanan (3F) akan ditambah sebanyak 300 juta ringgit lagi supaya pembiayaan yang mencukupi disediakan bagi industri pengeluaran makanan. Sebahagian besar dana Tabung ini akan terus diberikan kepada kegiatan pengkomersilan keluaran makanan, termasuk pemprosesan, pembungkusan dan pemasaran. 48. Kerajaan akan terus memoden dan mempelbagaikan aktiviti perikanan supaya dapat meningkatkan pendapatan nelayan dan pengusaha akuakultur. Peruntukan sebanyak 160 juta ringgit disediakan bagi program pembangunan perikanan, termasuk meningkatkan kemudahan perkhidmatan pengembangan, penyelidikan dan latihan, ternakan ikan dalam sangkar, penetasan benih ikan, ikan laut dalam dan ikan hiasan. 49. Penanaman semula hutan adalah penting untuk memastikan sumber perhutanan negara kekal mapan. Kerajaan akan menubuhkan sebuah syarikat baru dengan modal permulaan sebanyak 200 juta ringgit untuk melaksanakan aktiviti perladangan hutan secara komersil. Ini adalah selaras dengan strategi Kerajaan untuk menghasilkan sumber kayu-kayan secara mapan. 50. Kerajaan akan terus menggalakkan GLC, terutamanya yang terlibat dalam sektor perladangan, untuk menjadi pemangkin mengkomersilkan sektor pertanian negara termasuk aktiviti pekebun kecil. Keutamaan akan diberi kepada projek yang dilaksanakan untuk menjana ekonomi bidangan, meninggikan daya saing dan membangun teknologi baru. Untuk tujuan ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak 400 juta ringgit lagi bagi membiayai projek pertanian oleh GLC. 51. Khazanah Nasional akan menubuhkan Syarikat Pertanian dan Makanan Nasional dengan modal 500 juta ringgit untuk menjadi pusat kecemerlangan pengurusan rantaian bekalan pertanian. Fungsi syarikat ini termasuklah sebagai agen memadan dan mengurus pengeluaran, pemprosesan, pemasaran, pengagihan dan logistik berkaitan. Tumpuan akan diberi kepada aktiviti pengkomersilan, penjenamaan, R&D, penetapan piawaian pengeluaran dan logistik serta penubuhan perladangan berteknologi tinggi. Kemudahan yang akan disediakan adalah Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan serta rangkaian bilik sejuk. 52. Dalam pada itu, koperasi memainkan peranan penting untuk membangunkan pengusaha kecil. Kerajaan telah melancarkan Dasar Koperasi Negara untuk memacu pembangunan sektor ini. Seterusnya, langkah untuk memperkasakan lagi gerakan koperasi akan digubal dalam Rancangan Malaysia Kesembilan. Membangunkan Sektor Bioteknologi 53. Kerajaan telah melancarkan Dasar Bioteknologi Negara pada April 2005 bagi menggariskan strategi dan langkah bagi memajukan bioteknologi di dalam negara. Bidang bioteknologi yang dipilih sebagai bidang strategik, termasuk bioteknologi pertanian, bioteknologi kesihatan dan bioteknologi industri. Untuk menggalakkan penglibatan sektor swasta, pelbagai insentif fiskal telah disediakan. 54. Kerajaan telah menubuhkan Perbadanan Bioteknologi Malaysia bagi memacu pembangunan bioteknologi secara bersepadu dan melaksanakan Dasar Bioteknologi Negara. Perbadanan ini telah berjaya menganjurkan mesyuarat meja bulat bioteknologi 2005 di Amerika Syarikat baru-baru ini, yang dipengerusikan oleh saya sendiri dan turut dihadiri oleh tokoh saintis, akademik, usahawan dan pelabur modal teroka di peringkat antarabangsa. Mesyuarat tersebut telah mengutarakan pelbagai idea, pandangan dan saranan dalam usaha kita memajukan lagi teknologi kritikal ini. 55. Kerajaan komited untuk membangunkan bioteknologi negara dan sedang merangka pelbagai rancangan yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Pelbagai projek akan dibangunkan, termasuk memperkukuhkan keupayaan institusi negara seperti MARDI, MPOB dan Institut Penyelidikan Perubatan, serta melancarkan pusat kecemerlangan bioteknologi di dalam bidang pertanian, kesihatan dan genomik. Dalam pada itu, Bioproducts Validation Centre dengan nilai 30 juta ringgit akan dilancarkan di Johor Bahru. Kerajaan juga akan menubuhkan sebuah dana khas, Malaysian Life Sciences Capital Fund, di bawah pengurusan Malaysian Technology Development Corporation, untuk melabur dalam projek bioteknologi. Dana tersebut akan mengumpul pelaburan daripada pelbagai institusi seperti GLC. Untuk melancarkan Dana tersebut, Kerajaan akan menyumbang 100 juta ringgit. Selain itu, Perbadanan Bioteknologi Malaysia akan berkerjasama dengan pelbagai agensi dan kementerian untuk menarik lagi pelaburan dan usahasama di kalangan syarikat bioteknologi, sama ada dari dalam mahupun dari luar negara. Memperhebatkan Sektor ICT 56. MSC telah dibangunkan untuk menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi berasaskan pengetahuan dan harta intelek. Kita perlu menggunakan sepenuhnya kelebihan MSC yang telah dapat menarik industri outsourcing dan shared services. Untuk memajukan lagi potensi pembangunan Cyberjaya, yang merupakan komponen penting MSC, langkah berikut akan dilaksanakan: Pertama: garis panduan pembangunan Cyberjaya, termasuk plot ratio, akan dipinda untuk memudahkan pembinaan lebih banyak rumah yang mampu dimiliki; Kedua: kemudahan pengangkutan awam juga akan dipertingkatkan, terutamanya perkhidmatan bas bagi memenuhi keperluan syarikat shared services dan outsourcing yang beroperasi 24 jam; Ketiga: Kerajaan akan menggalakkan pembinaan bangunan untuk menyediakan lebih banyak ruang pejabat bagi syarikat berstatus MSC di Cyberjaya. Untuk ini, Kerajaan mencadangkan Elaun Bangunan Industri (IBA) bagi tempoh sepuluh tahun diberikan kepada pemilik bangunan baru yang diduduki oleh syarikat bertaraf MSC di Cyberjaya; dan Keempat: satu Institut Pembangunan ICT akan ditubuhkan untuk menambahkan lagi bekalan pekerja berpengetahuan (knowledge workers) dengan menyediakan kemahiran yang diperlukan oleh industri ICT, terutamanya syarikat shared services dan outsourcing. 57. Pada masa ini, syarikat multimedia yang beroperasi di luar Cybercities, iaitu di luar Cyberjaya, Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Technology Park, Bayan Lepas dan Kulim Hitech Park tidak layak mendapat galakan cukai yang diberikan kepada syarikat bertaraf MSC. Untuk menggalakkan lagi aktiviti ICT dan multimedia, termasuk Regional Shared Service Centres di seluruh negara, Kerajaan mencadangkan Taraf Perintis dengan pengecualian cukai pendapatan 50 peratus selama 5 tahun atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 50 peratus diberikan kepada syarikat terpilih yang menempatkan aktivitinya di luar Cybercities. Galakan ini tertakluk kepada perakuan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDC). 58. Kerajaan berhasrat menggalakkan syarikat ICT Malaysia berkembang dan menembusi pasaran global. MDC akan bekerjasama dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah untuk mengenalpasti dan memadankan syarikat bertaraf MSC yang berwibawa dengan yang bersesuaian bagi menguji produk mereka. GLC ini seterusnya akan menjadi pusat rujukan (reference site) untuk mempamerkan prestasi produk syarikat berstatus MSC ini ketika memasarkan produk berkenaan kepada pelanggan di peringkat global. Menggalakkan Penyelidikan Dan Pembangunan 59. Pembangunan sains dan teknologi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) akan terus digalakkan bagi menjana sumber pertumbuhan baru. Peruntukan sebanyak 868 juta ringgit disediakan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Skim Geran R&D akan memberi tumpuan kepada bioteknologi, advanced manufacturing, advanced materials, ICT, nanoteknologi dan sumber tenaga alternatif, termasuk solar, bagi menggalakkan inovasi di kalangan syarikat tempatan dan ciptaan produk baru. Memperkukuhkan Perusahaan Kecil dan Sederhana 60. Saya telah mengumumkan penubuhan SME Bank pada awal tahun ini. Berikutan ini, peranan dan fungsi Bank Industri dan Teknologi Malaysia Berhad (BITMB) dan Bank Pembangunan dan Infrastruktur Berhad (BPIMB) telah pun diselaraskan. Hasilnya, dua buah bank berasingan telah diwujudkan dalam satu kumpulan. Pertama, Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) yang menjadi syarikat induk, dengan fokus pembiayaan kepada industri intensif modal dan teknologi tinggi, maritim dan infrastruktur. Kedua, SME Bank telah ditubuhkan dan akan mula beroperasi pada 3 Oktober tahun ini. 61. Untuk membiayai perkembangan aktiviti Kumpulan BPMB, termasuk SME Bank, sebanyak 9 bilion ringgit akan diperolehi daripada pasaran modal. Sebahagian dari pinjaman ini akan digunakan untuk meningkatkan modal berbayar SME Bank kepada satu bilion ringgit. 62. SME Bank akan membantu menyediakan kemudahan kewangan dan khidmat nasihat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), di samping meningkatkan tahap saingan syarikat tempatan di pasaran dalam dan luar negara. 63. SME Bank juga akan menubuhkan dana modal teroka berjumlah satu bilion ringgit untuk membiayai PKS yang mempunyai rancangan dan berupaya meningkatkan perkembangan perniagaan. PKS yang menunjukkan pertumbuhan yang kukuh dan mempunyai lebihan daya saing akan diberi suntikan modal. 64. Berikutan pelarasan fungsi BITMB dan BPIMB, Export Import Bank Malaysia (EXIM Bank) yang menyerap fungsi Malaysia Export Credit Insurance Berhad, akan diperkukuhkan dan skopnya diperluaskan. EXIM Bank, yang akan diletakkan di bawah Kementerian Kewangan, akan memainkan peranan yang lebih penting untuk membantu dan menggalakkan pengusaha tempatan, terutamanya Bumiputera, untuk meneroka pasaran global. Kemudahan pembiayaan yang akan disediakan termasuklah pembiayaan perdagangan, pembiayaan projek luar negara dan jaminan kredit insurans. Bagi tujuan ini, dana sebanyak satu bilion ringgit akan diwujudkan. 65. Untuk mengurangkan lagi kos pembiayaan pinjaman kepada PKS, Kerajaan mencadangkan PKS diberi pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus ke atas surat cara pinjaman yang bernilai tidak melebihi satu juta ringgit. 66. PROSPER telah memainkan peranan penting dalam membangunkan syarikat PKS Bumiputera yang berdaya maju dalam sektor peruncitan. PROSPER telah meluluskan 770 permohonan melibatkan hampir 1,600 usahawan Bumiputera. Dalam tahun 2006, sebanyak 250 permohonan baru dijangka diluluskan. Selain itu, untuk meningkatkan bilangan PKS Bumiputera yang berdaya maju dalam industri yang strategik, skop PROSPER diperluaskan untuk merangkumi kegiatan secara pukal atau wholesale. Pembangunan usahawan Bumiputera dalam perniagaan pukal akan memudahkan kontraktor kecil Bumiputera mendapat bekalan dengan kos yang lebih rendah, terutamanya dalam industri binaan. Meningkatkan Penyertaan Bumiputera dalam Sektor Hartanah 67. Usaha untuk meningkatkan kekayaan Bumiputera dan penglibatan mereka dalam sektor korporat sehingga kini, lebih tertumpu kepada pegangan ekuiti, terutamanya dalam syarikat tersenarai. Walau bagaimanapun, langkah ini sahaja tidak memadai untuk meningkatkan pemilikan Bumiputera dalam kekayaan ekonomi negara. Adalah penting juga usaha diambil untuk meningkatkan hak milik hartanah Bumiputera, termasuk hartanah komersil. Pelaburan dalam hartanah, khasnya yang terletak di kawasan komersil utama, memerlukan jumlah pelaburan modal yang besar. Oleh itu, untuk mempertingkatkan lagi pegangan harta Bumiputera, satu mekanisme baru perlu diperkenalkan untuk membantu pemilikan hartanah Bumiputera, terutamanya hartanah komersil. Oleh itu, Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera akan ditubuhkan dengan modal sebanyak 2 bilion ringgit sebagai dana untuk membeli hartanah komersil, khususnya di kawasan bandar utama. Tujuan penubuhan Yayasan ini adalah untuk meningkatkan pemilikan hartanah komersil oleh Bumiputera dan menyediakan lebih banyak ruang perniagaan yang strategik bagi usahawan Bumiputera. Yayasan ini akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Maklumat terperinci mengenai hartanah Bumiputera akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan dalam tempoh terdekat. STRATEGI KETIGA: MEMBANGUNKAN MODAL INSAN 68. Pembangunan sumber manusia perlu digilap kerana ianya elemen terpenting dalam memastikan negara terus berdaya saing dan berdaya tahan, lebih-lebih lagi dalam zaman ekonomi sejagat yang berlandaskan pengetahuan, serta bertunjangkan sains dan teknologi. Oleh itu, kualiti pendidikan akan diutamakan supaya warga Malaysia dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai murni untuk menjadi tenaga kerja yang menghayati budaya kerja berprestasi tinggi. Pendidikan berkualiti akan juga memastikan mereka kekal relevan dengan kehendak pasaran semasa dan dengan itu, mampu berdepan dengan cabaran dan suasana persaingan antarabangsa yang kian meningkat. Sejumlah 5 bilion ringgit diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan pelajaran dan latihan, termasuk 1.3 bilion ringgit untuk pendidikan pra-sekolah, sekolah rendah, menengah dan matrikulasi, manakala 1.4 bilion ringgit untuk pendidikan tinggi, 1.1 bilion ringgit untuk latihan serta 1.2 bilion ringgit untuk ICT, pembangunan kurikulum, asrama dan rumah guru. 69. Tumpuan akan diberikan kepada latihan kemahiran dan kepakaran teknikal. Peruntukan sebanyak 493 juta ringgit disediakan bagi menampung enrolmen pelajar sekolah teknikal, vokasional dan latihan kemahiran yang akan ditingkatkan daripada 72 ribu pelajar pada tahun ini kepada 98 ribu pelajar pada tahun 2006. Selain itu, peruntukan sebanyak hampir satu bilion ringgit disediakan bagi latihan perdagangan dan industri yang dilaksanakan di Institut Kemahiran MARA, Pusat Giat MARA, Institut Kemahiran Belia Negara, Institut Latihan Perindustrian dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi. 70. Bagi memaksimumkan penggunaan pusat latihan, program dua syif yang telah diperkenalkan dalam tahun 2005 akan diperluaskan lagi. Peruntukan sebanyak 63 juta ringgit disediakan bagi membolehkan 47 pusat latihan sedia ada menyertai program ini, yang akan dapat menampung pertambahan seramai 9,300 pelatih. Program Pembangunan Kemahiran Teknikal yang dilaksanakan oleh Pusat Latihan Kemahiran di peringkat negeri dan Institut Kemahiran MARA akan ditingkatkan dengan peruntukan 175 juta ringgit untuk melatih 12 ribu pelajar. Enrolmen pelajar politeknik akan ditingkatkan daripada 78 ribu pelajar pada tahun ini kepada 80 ribu pelajar pada tahun 2006. Ini akan membolehkan lebih ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia berpeluang memperolehi latihan kemahiran. 71. Pada masa ini, Kerajaan memberi pelepasan cukai sehingga 4 ribu ringgit bagi setiap anak yang belajar di institusi pengajian tempatan berdasarkan perbelanjaan sebenar. Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai 4 ribu ringgit ini diberi secara automatik. Di samping itu, Kerajaan juga mencadangkan skop pelepasan cukai ini diperluaskan untuk: Pertama: anak yang belajar di institusi pengajian tinggi di luar negara yang diiktiraf; dan Kedua: anak kurang upaya yang belajar di institusi pengajian tinggi. Dengan mengambil kira pelepasan sedia ada sebanyak 5 ribu ringgit untuk anak kurang upaya, ibu bapa akan layak mendapat pelepasan cukai berjumlah 9 ribu ringgit. 72. Untuk menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat, skop pengajian yang layak mendapat pelepasan cukai sebanyak 5 ribu ringgit bagi pembayar cukai individu akan diperluaskan. Kini, pengajian tertiari dalam bidang teknikal, vokasional, industri, kemahiran sains dan teknologi diberi pelepasan cukai. Pelepasan ini akan diperluaskan kepada pengajian profesional dan dalam bidang perakaunan dan undang-undang. 73. Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) memainkan peranan penting dalam memberi peluang kepada lebih banyak pelajar untuk mengikuti pelajaran tinggi. Ia juga menyumbang kepada hasrat negara untuk menjadi hub pendidikan di rantau ini. Sehingga akhir 2004, terdapat hampir 6 ribu pelajar asing di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan 26 ribu pelajar asing di IPTS. Bagi meningkatkan lagi bilangan pelajar asing, Kementerian Pengajian Tinggi akan menubuhkan sebuah unit bagi membantu IPTS mendapat akreditasi dan pengiktirafan luar negara. 74. Bagi menggalakkan IPTS menambah kursus baru, adalah dicadangkan perbelanjaan IPTS bagi membangun dan mematuhi keperluan peraturan dalam memperkenalkan kursus baru diberikan potongan cukai untuk dituntut dalam tempoh 3 tahun. Di samping itu, untuk meningkatkan jumlah saintis tempatan, Kerajaan mencadangkan IPTS yang membuat pengkhususan dalam bidang sains diberi Insentif Elaun Cukai Pelaburan 100 peratus selama 10 tahun. 75. Untuk membantu siswazah menganggur menyertai aktiviti ekonomi, Kerajaan akan melaksanakan beberapa program seperti berikut: Pertama: Skim Usahawan Muda dilaksanakan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam bidang ICT, pelancongan, produk halal serta pemprosesan dan pembungkusan makanan; Kedua: Pusat Latihan Kemahiran Negeri menambah pengambilan pelatih dan memperkenalkan kursus baru di bawah Program Peningkatan Kemahiran Perindustrian. Sebanyak 100 juta ringgit diperuntukkan untuk melatih 4,800 pelatih; dan Ketiga: Program PROSPER Siswazah akan dilaksanakan untuk menggalakkan siswazah menceburi bidang keusahawanan. Sebagai permulaan, seramai 200 graduan akan dibantu memulakan perniagaan pada tahun 2006, dengan pembiayaan sehingga 50 ribu ringgit setiap usahawan. 76. Bagi menggalakkan syarikat swasta memberi peluang pekerjaan kepada siswazah menganggur, syarikat tersenarai yang membayar elaun kepada peserta di bawah program Latihan Graduan Menganggur diberi potongan cukai dua kali bagi tempoh 3 tahun. Program tersebut perlu diiktiraf oleh SC. Di bawah program ini, sekurang-kurangnya seribu siswazah menganggur dijangka akan dilatih oleh syarikat tersenarai dalam kumpulan PNB dan Khazanah. 77. Kerajaan mengiktiraf perlunya meningkatkan martabat profesion keguruan. Langkah telah diambil untuk memantapkan pemilihan bakal guru dan latihan serta menambah baik karier keguruan dan persekitaran kerja. Untuk memantapkan lagi langkah yang diambil, Kerajaan bercadang supaya maktab perguruan dinaikkan tarafnya kepada Institut Pendidikan Guru. Kerajaan akan meningkatkan tahap latihan dan kurikulum, termasuk menarik kerjasama dan kepakaran institusi asing. Saya yakin, dengan langkah ini, Institut Pendidikan Guru akan melahirkan guru siswazah yang benar-benar memahami keperluan dan cabaran di sekolah. Selain itu, sasaran untuk mengisi sekolah menengah dengan 100 peratus guru siswazah dan sekolah rendah dengan 50 peratus guru siswazah menjelang tahun 2010 akan dapat dicapai. STRATEGI KEEMPAT: MENINGKATKAN KESEJAHTERAAN DAN KUALITI HIDUP RAKYAT Meringankan Beban Kewangan Rakyat 78. Sejak pertengahan tahun 2004, harga minyak mentah telah meningkat secara mendadak di pasaran dunia. Harga antarabangsa telah mencecah 71 dolar Amerika Syarikat setong pada 29 Ogos 2005 berbanding 37 dolar Amerika Syarikat setong pada bulan Jun 2004, berikutan permintaan yang semakin meningkat, terutamanya daripada negara China, India dan Amerika Syarikat. Di samping itu, kebimbangan mengenai bekalan, ketegangan geopolitik di beberapa negara pengeluar utama dan cuaca buruk di Teluk Mexico turut menyebabkan peningkatan harga. 79. Kerajaan amat prihatin terhadap kesan lonjakan harga minyak mentah antarabangsa ke atas harga domestik. Kerajaan terus memberi pengecualian cukai jualan dan subsidi ke atas minyak petrol, diesel dan gas memasak untuk mengurangkan beban rakyat. Tanpa pengecualian cukai dan subsidi, harga minyak petrol tempatan akan melonjak sehingga 2 ringgit 80 sen seliter, diesel 2 ringgit 15 sen seliter dan gas memasak 2 ringgit 50 sen sekilogram. Harga ini adalah hampir 70 peratus lebih tinggi daripada harga runcit semasa. Kerajaan kehilangan hasil cukai dan menanggung subsidi berjumlah 16 bilion ringgit pada tahun ini. Tahap ini adalah lebih tiga kali ganda daripada 6.6 bilion ringgit pada tahun 2003 dan hampir satu setengah kali ganda daripada jumlah 11.9 bilion ringgit pada tahun 2004. 80. Selain pemberian subsidi harga petroleum oleh Kerajaan, Petronas juga memberi subsidi harga gas bagi penjanaan elektrik berjumlah 9 bilion ringgit. Oleh itu, jumlah subsidi Kerajaan pada tahun ini adalah sebanyak 25 bilion ringgit atau seribu ringgit bagi setiap warga Malaysia. 81. Adalah jelas Kerajaan telah melindungi pengguna daripada peningkatan tinggi harga petroleum. Bagi tempoh 2 tahun, iaitu 2004 dan 2005, Kerajaan telah menanggung bebanan sebanyak 80 peratus daripada kenaikan harga yang berlaku, berjumlah 15 bilion ringgit, melalui kehilangan hasil cukai dan pemberian subsidi. 82. Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan beban kewangan yang ditanggung oleh rakyat dapat diringankan, terutamanya golongan berpendapatan rendah. Pada 7 September lalu, saya telah mengumumkan bahawa Kerajaan tidak akan menaikkan harga petrol, diesel dan gas memasak dalam tahun 2005, tidak menaikkan bayaran tol sehingga penghujung 2006 dan mengurangkan cukai jalan berkuatkuasa 12 September 2005. 83. Cukai jalan ke atas kenderaan diesel adalah lebih tinggi daripada petrol, kecuali di Sarawak. Berkuatkuasa 12 September 2005, cukai jalan bagi kenderaan komersil, yang kebanyakannya adalah kenderaan diesel, serta kenderaan persendirian berkapasiti 1,600 cc dan ke bawah, telahpun dikurangkan. Sebagai tambahan, saya mencadangkan supaya cukai jalan ke atas kenderaan diesel persendirian yang melebihi 1,600 cc dikurangkan sebanyak 40 peratus, kecuali bagi Sarawak, berkuatkuasa 5 Oktober 2005. 84. Saya juga telah menyatakan bahawa Kerajaan akan menambah bantuan kepada golongan kurang bernasib baik. Sehubungan ini, saya ingin mengumumkan bahawa kadar bantuan untuk warga tua daif akan dinaikkan daripada 135 ringgit sebulan kepada 200 ringgit sebulan. Kadar bantuan kanak-kanak yatim dan miskin akan ditingkatkan daripada 80 ringgit sebulan bagi seorang kanak-kanak kepada 100 ringgit sebulan. Bantuan maksimum sekeluarga dinaikkan daripada 350 ringgit sebulan kepada 450 ringgit sebulan. Membasmi Kemiskinan 85. Kerajaan komited untuk membasmi kemiskinan di kalangan rakyat, dan memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan lagi taraf dan kualiti hidup golongan berpendapatan rendah. Ini termasuk program kemudahan perumahan kos rendah, kesihatan, pendidikan dan infrastruktur serta juga program khusus bagi mereka yang kurang upaya dan kurang bernasib baik. Peruntukan sebanyak 700 juta ringgit akan digunakan untuk tujuan berikut: Pertama: Skim Pembiayaan Ekonomi Desa, latihan dan bimbingan usahawan, pemasaran dan promosi serta khidmat sokongan perniagaan untuk membantu meningkatkan pendapatan rakyat luar bandar, termasuk golongan termiskin; Kedua: Program Bantuan Rumah untuk menyedia dan membaik pulih 4 ribu buah rumah kepada rakyat termiskin di luar bandar; Ketiga: menambahbaik Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) KEMAS; Keempat: menaik taraf dan ubahsuai sekolah luar bandar, terutamanya di Sabah dan Sarawak; Kelima: membekalkan elektrik kepada hampir 550 buah sekolah dan air kepada 260 buah sekolah. Apabila projek ini siap, kita akan mencapai liputan sepenuhnya bekalan elektrik dan air kepada semua sekolah; dan Keenam: program meningkatkan taraf hidup Orang Asli dengan peruntukan sebanyak 104 juta ringgit. 86. Dalam usaha meningkatkan kebajikan kanak-kanak di luar bandar melalui penyediaan makanan yang berkhasiat dan seimbang, bantuan kepada TABIKA di bawah KEMAS akan dinaikkan daripada 60 sen kepada satu ringgit lima puluh sen sehari bagi setiap murid. Selain itu, sebanyak 10 juta ringgit disediakan untuk Program Tambahan Makanan Seimbang yang akan dapat memanfaatkan 20 ribu isirumah miskin tegar di luar bandar. Kerajaan juga akan meneruskan usaha menambah kemudahan membaca bagi murid-murid sekolah di luar bandar. Program Khas Perpustakaan Desa yang telah diperuntukkan sebanyak 30 juta ringgit bagi penyediaan 200 perpustakaan pada tahun 2005, akan ditambah 85 juta ringgit untuk membina 400 perpustakaan desa dan tambahan bahan bacaan dalam tahun 2006. Rumah Selesa Keluarga Bahagia 87. Kerajaan akan terus meningkatkan usaha penyediaan rumah kepada golongan berpendapatan rendah. Untuk tujuan ini, sebanyak 2.1 bilion ringgit akan disediakan. Daripada jumlah ini, satu bilion ringgit ialah bagi menyediakan 21,600 unit rumah kos rendah, yang meliputi program Perumahan Rakyat Dimiliki, Program Perumahan Rakyat Disewa serta Program Perumahan Rakyat Bersepadu. 88. Kerajaan akan menyediakan lebih banyak kuarters untuk guru dan anggota beruniform, seperti tentera, polis, bomba dan kastam. Sebanyak 1.1 bilion ringgit akan diperuntukkan bagi penyediaan 26 ribu unit kuarters dalam tahun 2006. Selain itu, Kerajaan akan melaksanakan projek kuarters PDRM yang mempunyai 3 bilik di seluruh negara bernilai 2.5 bilion ringgit. Projek ini akan dibiayai mengikut kaedah build-lease- transfer. Pembinaan akan dilaksanakan oleh kontraktor Bumiputera, khasnya kontraktor kecil setempat. 89. Usaha menggalakkan penggunaan Industrialised Building System (IBS) akan diteruskan supaya objektif mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja kurang mahir serta pekerja asing dapat dicapai. Dalam Bajet ini, saya mencadangkan perbelanjaan modal ke atas pembelian acuan untuk pengeluar komponen IBS diberi elaun modal dipercepatkan untuk dituntut dalam tempoh 3 tahun. Langkah ini akan dapat mengurangkan kos komponen binaan seperti tiang, rasuk, dinding dan lantai. Kerajaan akan memastikan komponen IBS yang digunakan mematuhi Piawaian Malaysia MS 1064. Penggunaan piawaian ini akan memastikan kualiti dan mengawal kos pembinaan. Menerap Nilai Murni Kekeluargaan 90. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan diperuntukkan sebanyak 488 juta ringgit untuk meneruskan usaha membantu kaum wanita, institusi kekeluargaan, orang kurang upaya, warga emas dan ibu tunggal. 91. Pada masa ini, pilihan tuntutan pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah ke atas sebuah rumah diberikan kepada suami, walaupun rumah tersebut dimiliki oleh isteri. Bagi memastikan layanan cukai yang lebih saksama, Kerajaan mencadangkan pilihan tuntutan pengecualian cukai ini diberi kepada pemilik rumah, sama ada suami atau isteri. Berbanding hanya satu tuntutan yang dibenarkan dibuat oleh pasangan suami isteri pada masa ini, Kerajaan mencadangkan untuk membenarkan suami dan isteri masing-masing menuntut pengecualian cukai ini sekali dalam seumur hidup. Memartabatkan Kebudayaan Warisan Bangsa 92. Kerajaan menyedari pentingnya mengekalkan warisan seni dan budaya memandangkan negara mempunyai masyarakat yang berbilang kaum, tradisi dan adat istiadat. Bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia melibatkan diri dalam usaha penghasilan seni, Kerajaan mencadangkan: i. Pertama, pengecualian cukai ke atas royalti atau bayaran daripada penerbitan hasil karya seni atau rakaman disk dan pita dinaikkan daripada 6 ribu ringgit setahun kepada 10 ribu ringgit setahun; ii. Kedua, pengecualian duti import dan cukai jualan diperluaskan kepada peralatan yang digunakan dalam industri seni persembahan; dan iii. Ketiga, pendapatan yang diterima oleh tenaga pakar bukan pemastautin yang melatih rakyat Malaysia dalam seni persembahan dan penghasilan kraf serta bidang teknikal yang berkaitan dengannya, dikecualikan daripada cukai pegangan. 93. Skim Perantisan Warisan di bawah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia akan dipertingkatkan supaya lebih ramai generasi muda menjadi perantis kepada pengamal sesuatu kepakaran dalam kebudayaan dan kesenian, termasuk ukiran dan tenunan. Di samping itu, program Tunas Mekar yang menggandingkan mereka yang telah mempunyai pengetahuan dan pelajaran dalam bidang pengurusan, akaun dan perniagaan dengan pengamal kraf berkepakaran dan PKS akan dipertingkatkan. Gandingan tersebut dapat melahirkan produk yang menepati citarasa sezaman, menyuntik teknologi dan memodenkan industri kecil dan sederhana serta meningkatkan kebolehpasaran produk. Menggalakkan Gaya Hidup Sihat 94. Menggalakkan gaya hidup sihat akan terus menjadi fokus penting Kerajaan. Bagi tahun 2006, peruntukan pembangunan bagi Kementerian Kesihatan adalah sebanyak 1.3 bilion ringgit, yang antara lain meliputi 85 juta ringgit bagi menyiapkan pembinaan hospital di Alor Setar dan Cameron Highlands dan 229 juta ringgit bagi pembinaan dan naik taraf klinik di seluruh negara. Selain itu, makmal dan peralatan di hospital akan dipertingkatkan dengan peruntukan sebanyak 131 juta ringgit. 95. Untuk mendorong rakyat mengamalkan gaya hidup sihat, Kerajaan mencadangkan supaya cukai ke atas minuman keras dan rokok dinaikkan. Pada keseluruhannya, purata kenaikan cukai bagi minuman keras adalah sebanyak 9 peratus manakala bagi rokok adalah sebanyak 13 peratus. 96. Bagi membendung masalah sosial seperti penagihan dadah, AIDS dan jenayah, PEMADAM akan mengkaji semula kaedah pemulihan penagih dan memperkemaskan program di pusat pemulihan. Kempen yang lebih agresif akan dijalankan oleh kerajaan negeri, badan bukan Kerajaan (NGO) dan individu bagi memerangi penyalahgunaan dadah. 97. Bagi meneruskan program pencegahan, rawatan dan pemulihan serta pengurusan 29 pusat serenti, sebanyak 207 juta ringgit diperuntukkan bagi Agensi Antidadah Kebangsaan. 98. Jumlah kes positif HIV/AIDS telah meningkat kepada 65 ribu orang pada tahun ini. Untuk mengatasi masalah ini, satu panel penasihat akan ditubuhkan di Kementerian Kesihatan dengan anggota daripada NGO, termasuk Majlis AIDS Malaysia dan PENGASIH dan agensi Kerajaan. Panel ini akan, antara lain, membantu menggubal pelan tindakan bersepadu bagi menangani HIV/AIDS, termasuk menjalankan lebih banyak program kesedaran dan pencegahan serta menyediakan program bagi pesakit HIV/AIDS. 99. Untuk memastikan golongan muda mengisi masa lapang dengan lebih produktif, lebih banyak aktiviti pembangunan komuniti akan diadakan, termasuk menghidupkan semula Rukun Tetangga di semua kawasan perumahan bagi membendung jenayah. Di samping itu, peruntukan sebanyak 101 juta ringgit disediakan untuk program Rakan Muda dan 600 juta ringgit untuk program Latihan Khidmat Negara. Seramai 95 ribu remaja pelbagai kaum akan dilatih dalam program Khidmat Negara bagi tahun 2006 berbanding 65 ribu dalam tahun ini. 100. Kerajaan menghargai sumbangan NGO yang menjalankan banyak aktiviti untuk menjayakan dasar dan program Kerajaan. Untuk membantu meneruskan kegiatan mereka, Kerajaan memperuntukkan sebanyak 138 juta ringgit, termasuk bagi badan kebajikan warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya serta persatuan sukan dan belia. Meningkatkan Kualiti Alam Sekitar 101. Pembangunan fizikal negara akan diseimbangkan dengan pemeliharaan alam sekitar supaya pembangunan mapan dapat dipertahankan. Sebanyak 1.9 bilion ringgit diperuntukkan untuk melaksanakan projek pemuliharaan alam sekitar. Untuk memelihara pantai daripada hakisan teruk, sebanyak 40 juta ringgit telah disediakan, manakala 370 juta ringgit lagi untuk perparitan dan tebatan banjir di seluruh negara dan 114 juta ringgit untuk memperbaiki sungai dan kuala sungai. Sebanyak 991 juta ringgit pula disediakan bagi pembaikan loji pembetungan sedia ada dan pembinaan pembetungan baru. Program pengurusan sisa pepejal pula, diperuntukkan 363 juta ringgit. Memperbaiki Pengangkutan Awam di Lembah Kelang 102. Untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, Kerajaan telah mengambil langkah untuk meningkatkan kecekapan pengangkutan awam di Lembah Kelang. Bagi tujuan ini, RAPID KL telah mula beroperasi pada akhir tahun 2004. Kini, langkah sedang diambil untuk memperolehi lebih banyak bas baru untuk menggantikan bas yang lama. Sebanyak 250 bas baru akan dapat beroperasi pada penghujung tahun ini. Program penggantian bas yang ada akan diteruskan dengan tambahan sebanyak 600 bas lagi pada tahun 2006, termasuk bas yang menggunakan bahan api gas asli (NGV). Sementara itu, 120 buah bas sedia ada akan dibaikpulih. 103. Di samping itu, Touch n Go yang kini boleh digunakan di semua pengangkutan rel akan diperluaskan kepada perkhidmatan bas. Untuk menambahbaik sistem tiket, Kerajaan akan melaksanakan sistem satu tiket bersepadu yang boleh digunakan di semua jenis pengangkutan awam di Lembah Kelang. Sistem tiket yang akan diperkenalkan ini akan memudah dan menjimatkan para pengguna. 104. Untuk memperluaskan sistem pengangkutan awam di Lembah Kelang, kajian sedang dijalankan untuk mengenalpasti laluan rel baru di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi. Di samping itu, sebanyak 10 laluan baru bagi perjalanan bas telah pun dilaksanakan. Rangkaian bas dan rel akan diintegrasikan supaya penggunaannya lebih efisyen serta rendah kos bagi pengguna. Mempelbagaikan Sumber Tenaga 105. Memandangkan sumber minyak mentah akan pupus suatu hari nanti, kita perlu memberi tumpuan kepada langkah mengurangkan pergantungan negara kepada minyak, terutamanya dengan membangunkan sumber tenaga alternatif, seperti gas asli, biodiesel dan solar. Usaha ini juga akan menambahbaik usaha pemeliharaan alam sekitar di negara kita. 106. Malaysia mempunyai simpanan gas sebanyak 85 trilion kaki padu. Penggunaan sumber tenaga yang mesra alam ini mestilah digalakkan. Untuk memudahkan pengguna kenderaan menggunakan gas, pembinaan stesyen gas runcit yang kini berjumlah 51 buah, akan ditambah dua kali ganda menjelang 2007. Untuk menggalakkan penggunaan gas oleh lori dan bas, adalah dicadangkan pengecualian duti import dan cukai jualan diberi ke atas chasis dengan enjin monogas serta conversion kits. Selain itu, geran sebanyak 50 ribu ringgit akan diberi bagi setiap bas monogas yang diperolehi bagi tempoh sehingga akhir 2008. Galakan cukai akan diberi untuk pembangunan rangkaian retikulasi gas. 107. Biofuel berasaskan minyak sawit dapat mengurangkan pergantungan negara kepada petroleum dan mempunyai potensi tinggi untuk dieksport. Kerajaan kini sedang merangka dasar bagi menggalakkan pengeluaran dan penggunaan biofuel secara meluas. Dasar tersebut juga bertujuan untuk menggalakkan usaha pengkomersilan teknologi biofuel hasil penyelidikan tempatan. Sebagai permulaan kepada dasar biofuel tersebut, Kerajaan akan menetapkan adunan biofuel pada tahap 5 peratus minyak sawit diproses dan 95 peratus minyak diesel untuk digunakan secara percubaan. Piawaian ‘diesel baru’ ini akan dibangunkan oleh SIRIM. Kerajaan bersama sektor swasta akan mendirikan 3 loji komersil biodiesel minyak sawit dengan jumlah kapasiti 180 ribu tan terutamanya untuk eksport. Sebelum akhir tahun, Kerajaan akan merangka Dasar Biofuel Nasional, yang akan meliputi penggubalan akta industri biofuel negara serta pewujudan pelbagai insentif bagi menggalakkan penglibatan sektor swasta. Akta biofuel ini akan dibentangkan di Parlimen tahun hadapan. 108. Pada masa ini, syarikat yang menjana tenaga dengan menggunakan sumber tenaga yang boleh diperbaharui dan mesra alam seperti biomass, kuasa hidro yang tidak melebihi 10 megawatt dan kuasa solar layak mendapat galakan. Kerajaan mencadangkan supaya galakan semasa untuk penjanaan tenaga yang boleh diperbaharui ditambah baik dengan meningkatkan kadar pengecualian cukai pendapatan di bawah Taraf Perintis daripada 70 peratus kepada 100 peratus selama 10 tahun dan kadar Elaun Cukai Pelaburan daripada 60 peratus kepada 100 peratus selama 5 tahun. Tempoh permohonan bagi galakan ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2010. Di samping itu, pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas peralatan yang digunakan dalam aktiviti berkenaan yang akan tamat 31 Disember 2005 juga dilanjutkan sehingga 31 Disember 2010. Meningkatkan Kecekapan Penggunaan Tenaga 109. Kenaikan harga minyak mentah akan menyebabkan subsidi terhadap petroleum dan sumber tenaga lain seperti elektrik meningkat. Adalah penting untuk setiap individu berjimat cermat dalam menggunakan sumber tenaga. Sektor swasta juga tidak boleh bergantung kepada subsidi untuk kekal kompetitif, sebaliknya perlu lebih cekap dan bijak dalam menggunakan sumber tenaga, termasuk dalam proses pengeluaran. Dengan itu, langkah akan diambil untuk menggalakkan pengguna lebih cekap dan bijak dalam menggunakan tenaga serta mengelakkan pembaziran. Walau bagaimanapun, Kerajaan komited untuk memastikan bahawa pengguna berpendapatan rendah tidak akan menanggung beban. 110. Kerajaan akan menerajui usaha menjimat tenaga. Saya percaya masih ada banyak ruang untuk kita menjimatkan penggunaan tenaga. Semua agensi kerajaan diberi sasaran untuk mencapai 10 peratus penjimatan penggunaan tenaga pada tahun 2006. Amalan seperti membiarkan alat penghawa dingin berada pada suhu terlalu rendah atau membiarkan lampu terpasang apabila tiada orang di pejabat merupakan pembaziran semata-mata. 111. Selain penjimatan penggunaan tenaga, Kerajaan bercadang untuk terus menggalakkan pelaburan di dalam peralatan yang rendah penggunaan tenaganya. Kerajaan mencadangkan agar insentif yang diberikan kepada syarikat yang menawarkan perkhidmatan penjimatan tenaga, dilanjutkan tempohnya untuk lima tahun lagi sehingga tahun 2010. Selain itu, Kerajaan juga bercadang untuk memberikan Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 60 peratus kepada modal yang dibelanjakan bagi tujuan meningkatkan penjimatan tenaga, kepada pemilik bangunan. Di samping itu, garispanduan pembinaan bangunan perlu dikemaskini agar dapat menekankan aspek kecekapan penggunaan tenaga di bangunan baru. Pembangunan Wilayah 112. Dalam konteks pembangunan seimbang, saya ingin menyentuh mengenai pembangunan Sabah dan Sarawak. Kerajaan akan terus melaksanakan langkah khusus di kedua-dua negeri ini untuk menyediakan infrastruktur dan kemudahan awam serta pelbagai program bagi menjana pendapatan. Sabah telah diperuntukkan sebanyak 2.3 bilion ringgit dalam Bajet 2006 bagi pembinaan jalan, penyediaan bekalan air dan elektrik serta projek pendidikan dan kesihatan. Projek utama termasuk pembinaan jalan dari Sapulut ke Kalabakan dan Sipitang ke Tenom dan menaik taraf lapangan terbang Kota Kinabalu serta pembesaran Universiti Malaysia Sabah dan Hospital Queen Elizabeth. 113. Di Sarawak pula, sebanyak 2 bilion ringgit diperuntukkan bagi Bajet 2006. Antara projek utama yang akan dilaksanakan adalah pembinaan jalan Serdeng ke Bawang Assam, pembesaran Lapangan Terbang Kuching, pembangunan Pusat Pentabiran Persekutuan Sarawak dan pembesaran Universiti Malaysia Sarawak. Selain itu, 112 juta ringgit disediakan bagi projek bekalan air dan elektrik serta pembinaan jalan di kawasan luar bandar. Jumlah peruntukan 2 bilion ringgit tersebut tidak termasuk projek pembangunan hidroelektrik Bakun yang akan melibatkan kos sebanyak 6.1 bilion ringgit bagi tempoh 2006 hingga 2009. Memperkukuhkan Pasukan Polis 114. Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM telah diumumkan pada 16 Mei 2005. Laporan tersebut, antara lain, mengiktiraf keperluan meningkatkan keupayaan pasukan polis dalam konteks mengekalkan kedaulatan undang- undang dan keamanan. Kerajaan telah mula melaksanakan pelbagai perakuan Laporan ini, termasuk pembinaan lebih banyak balai polis dan kuarters serta penyediaan alat kelengkapan. Sehubungan dengan itu, sebanyak 3.5 bilion ringgit disediakan untuk Perbelanjaan Mengurus PDRM dan 493 juta ringgit untuk Perbelanjaan Pembangunan. Ini merupakan tambahan kepada 2.5 bilion ringgit yang disediakan bagi pembinaan kuarters melalui kaedah Build-Lease-Transfer. 115. Laporan tersebut juga memperakukan penambahbaikan beberapa elaun, yang sebahagiannya telahpun dilaksanakan, termasuk bayaran insentif detektif, elaun pakaian seragam pegawai kanan dan tuntutan bayaran balik bil telefon bimbit. Sebagai tambahan, saya ingin mengumumkan beberapa pemberian elaun berkuatkuasa mulai 1 Januari 2006, seperti berikut: Pertama: membayar balik upah jahit pakaian seragam bagi anggota polis pangkat rendah sehingga 100 ringgit sepasang untuk 3 pasang setahun; Kedua: menaikkan bayaran insentif pemusnah bom dari 50 ringgit satu operasi kepada 100 ringgit satu operasi; dan Ketiga: memanjangkan bayaran insentif menyelam yang kini dinikmati oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Perikanan dan Pusat Sains Negara kepada Anggota PDRM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Kadar bayaran insentif akan dinaikkan dari 50 ringgit sebulan kepada 100 ringgit sebulan bagi penyelam dan dari 150 ringgit kepada 250 ringgit sebulan bagi penyelam ranjau. Menyediakan Bantuan Kos Sara Hidup Kakitangan Perkhidmatan Awam 116. Memandangkan kos sara hidup yang meningkat, Kerajaan akan memberi bantuan sara hidup kepada anggota perkhidmatan awam dalam Gred 1 hingga Gred 54, kecuali mereka yang mendiami kuarters atau yang menerima elaun wilayah, seperti berikut: i. 150 ringgit sebulan bagi mereka yang berkhidmat di Kuala Lumpur, Putrajaya, Ampang Jaya, Kajang, Kelang, Selayang, Shah Alam, Subang Jaya, Petaling Jaya, Johor Bahru, Georgetown dan Butterworth; ii. 100 ringgit sebulan bagi mereka yang berkhidmat di 26 bandar lain; dan iii. 50 ringgit sebulan bagi mereka yang bertugas di kawasan lain. 117. Pelaksanaan bantuan ini akan bermula 1 Januari 2006. 118. Di samping pemberian bantuan di atas, beberapa elaun sedia ada juga diperbaiki dan diperluaskan lagi, seperti berikut: i. Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) diselaraskan. Dengan itu, ITKA gred 41 dan 42 serta pensyarah gred 45 ditetapkan pada 300 ringgit sebulan; ii. elaun penyelia Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) dinaikkan daripada 500 ringgit sebulan kepada 750 ringgit sebulan; iii. elaun guru KAFA ditetapkan sebanyak 500 ringgit sebulan. Sebelum ini, elaun maksimum bagi Semenanjung Malaysia ialah 288 ringgit sebulan dan bagi Sabah dan Sarawak, 336 ringgit sebulan; iv. bayaran insentif merawat pesakit tibi dan kusta sebanyak 60 ringgit sebulan akan dipanjangkan kepada juruteknologi makmal dan perubatan, pembantu makmal perubatan dan atendan kesihatan yang bertugas di makmal Pusat Tibi Negara dan makmal Pusat Kusta Negara; dan v. bayaran insentif 100 ringgit kepada petugas di bilik mayat yang telah diberi kepada atendan kesihatan akan dipanjangkan kepada petugas pembantu perubatan dan pembantu atendan kesihatan yang bekerja di bilik mayat. 119. Sebagai menghargai sumbangan anggota perkhidmatan awam dalam mencapai matlamat negara, Kerajaan akan memberi bonus bagi tahun 2005. Untuk anggota yang berpendapatan sehingga seribu ringgit sebulan, mereka akan diberi bonus bersamaan satu setengah bulan gaji. Anggota yang berpendapatan melebihi seribu ringgit sebulan, bonus bersamaan satu bulan gaji akan dibayar tertakluk kepada bonus minimum seribu lima ratus ringgit. Bagi membantu lagi anggota Kerajaan menampung perbelanjaan tambahan menjelang hari-hari perayaan pada penghujung tahun ini, serta perbelanjaan untuk anak-anak mula bersekolah pada awal tahun hadapan, bonus ini akan dibayar dalam dua bayaran, iaitu pada bulan Oktober dan November 2005. Di samping itu, pesara Kerajaan akan diberi bayaran khas sebanyak 200 ringgit dalam bulan Oktober 2005. 120. Saya tidak mahu peniaga mengambil kesempatan daripada pembayaran bonus dan kenaikan elaun anggota perkhidmatan awam dengan menaikkan harga untuk mengaut keuntungan berlebihan. Sebenarnya, peniaga dan pembekal boleh mendapat hasil jualan dan keuntungan yang lebih banyak walaupun harga tidak dinaikkan. Ini kerana anggota perkhidmatan awam telah dapat meningkatkan kemampuan mereka untuk membeli. Dengan itu, permintaan bagi barangan dan perkhidmatan akan bertambah dan pertambahan ini akan menguntungkan semua peniaga, pembekal dan juga pengilang. Oleh itu, jadilah peniaga, pembekal dan pengilang yang jujur dan bertanggungjawab. 121. Kerajaan akan mengambil langkah tambahan untuk mengawal kenaikan harga barangan keperluan semasa musim perayaan, iaitu dari bulan Oktober 2005 hingga Februari 2006. Maklumat lanjut mengenai perkara ini akan diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Keupayaan penguatkuasaan pemantauan harga akan dipertingkatkan lagi dengan penambahan seramai 745 anggota. Kerajaan akan mengambil tindakan tegas ke atas peniaga yang mengaut keuntungan berlebihan, termasuk membatalkan lesen. Tindakan penguatkuasaan antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, PBT, Kastam, PDRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan dilaksanakan secara bersepadu, termasuk mengadakan operasi bersama. Orang ramai juga perlu bekerjasama, memainkan peranan yang lebih aktif dengan membuat aduan kepada pihak berkuasa agar aktiviti mengaut keuntungan secara berlebihan ini dapat dihentikan. Kerajaan tetap terus berazam untuk menyediakan persekitaran ekonomi yang stabil, terutama dalam konteks melindungi rakyat daripada ketidaktentuan harga barang keperluan dalam jangka pendek dan menyediakan bantuan serta sokongan kepada golongan berpendapatan rendah. 122. Aktiviti penyeludupan telah mengakibatkan kebocoran diesel bersubsidi, kepada pihak yang tidak sepatutnya menerima dan juga ke negara jiran. Kerajaan akan memperketatkan langkah penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas ke atas penyeludup. Pemberian diesel bersubsidi akan dikawal dengan lebih teliti dan ditumpukan kepada kumpulan sasaran. 123. Negara tidak dapat mengelak sepenuhnya daripada menghadapi kesan negatif perkembangan ekonomi global. Walau bagaimanapun, Kerajaan akan sentiasa mengambil langkah untuk mengurangkan kesannya ke atas ekonomi negara. Namun, sebarang penyesuaian yang perlu dilakukan harus dipikul bersama oleh Kerajaan dan rakyat. Dalam konteks ini, kenaikan harga minyak dan barangan lain, misalnya, memerlukan semua rakyat membuat penyesuaian dan pengorbanan. Ini termasuk perubahan dalam corak perbelanjaan. Sebenarnya, ada hikmah di sebalik kenaikan harga minyak. Kita perlu mengambil iktibar daripada kenaikan harga minyak ini yang tinggi untuk mempelbagaikan sumber tenaga, meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan produktiviti serta menambah daya inovasi dan kreativiti. 124. Semua pihak - individu, keluarga, peniaga dan pengusaha- perlu mengamalkan sikap berjimat cermat. Sikap boros dan membazir perlu dikikis. Hasil dan pendapatan harus ditambah dan dipelbagaikan. Ilmu pengetahuan harus digunakan untuk menambahnilai pada diri dan pekerjaan supaya kerja lebih efektif dan menjimatkan, cekap dan meningkat maju. Kecergasan jasmani, rohani dan emosi perlu dipelihara, kerana antara lain, ianya dapat menjimatkan perbelanjaan untuk ubat dan rawatan. Jika semua ini dijadikan amalan, maka kita akan menjadi bangsa yang berjaya, berdaya tahan dan menang menghadapi cabaran. PENUTUP 125. Bersyukur kita sekali lagi kepada Allah s.w.t. kerana dengan limpah rahmatNya ekonomi negara terus kukuh dan dapat kita kekalkan kestabilan serta mengeratkan keharmonian dan perpaduan rakyat. Pencapaian ini adalah hasil usaha gigih semua rakyat yang telah memberikan sokongan padu kepada Kerajaan untuk melaksanakan dasar dan strategi membina negara dengan jayanya. Asas ekonomi yang kukuh akan membolehkan negara melangkah ke hadapan memasuki fasa kedua Wawasan 2020 dengan penuh keyakinan. Marilah kita bersama berikrar untuk melipatgandakan usaha ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju. 126. Ketika melangkah ke hadapan, kita sememangnya akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dari dalam dan luar negara. Dalam konteks persekitaran antarabangsa yang pantas berubah, kita tidak boleh leka dan senang berpuas hati. Sesungguhnya, kita mesti bertekad dan bersemangat cekal untuk terus menguruskan kejayaan yang telah kita kecapi dan sentiasa bercita-cita untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang. Kepada Mu Ya Allah kami berdoa semoga diberi taufik dan hidayah, serta mendapat nikmat dan perlindungan dari Mu jua. Tuan Yang DiPertua, Saya mohon mencadangkan. Tuan Yang DiPertua, Saya mohon mencadangkan supaya suatu Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2008 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua. PENDAHULUAN Bismillahir Rahmanir Rahim 2. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan izin dan kurniaNya, saya dapat membentangkan Bajet Negara bagi tahun 2008 di Dewan yang mulia ini. Tahun 2007 ini merupakan tahun yang amat besar ertinya kepada kita semua kerana kita sama-sama menyambut ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara. Bajet 2008 adalah Bajet pertama dalam kita melangkah masuk fasa 50 tahun kedua sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. 3. Dalam lima dekad pertama kemerdekaan, negara telah mencapai kemajuan yang membanggakan dalam suasana aman dan damai. Dalam kita menyusun langkah untuk 50 tahun seterusnya, adalah penting untuk kita memanfaatkan sepenuhnya kepelbagaian yang wujud di negara kita untuk terus dibina satu kekuatan agar kita teguh bersatu bergerak mencapai matlamat menjadi sebuah negara maju. 4. Kualiti hidup rakyat hari ini telah jauh bertambah baik berbanding dengan lima puluh tahun yang lalu. Pendapatan per kapita telah meningkat sebanyak 26 kali ganda daripada 790 ringgit pada tahun 1957 kepada 20,840 ringgit pada tahun 2006. Lima puluh tahun dahulu, lebih separuh rakyat di negara ini hidup dalam kedaifan dan kemiskinan, kini kadar kemiskinan telah berjaya dikurangkan di bawah enam peratus. 5. Dalam tempoh 50 tahun, negara berjaya mencapai pertumbuhan ekonomi yang amat membanggakan, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan peningkatan 6.3 peratus setahun. Pertumbuhan ini dicapai dalam suasana inflasi yang rendah dan guna tenaga penuh. Dalam tempoh lima dekad, negara telah menghadapi beberapa krisis. Namun, dengan gandingan padu antara kepimpinan dan rakyat, kita berjaya meletakkan semula ekonomi negara di atas landasan yang kukuh. Pertumbuhan ekonomi dijangka terus mantap, dengan pertumbuhan bagi tahun 2007 pada paras 6 peratus. 6. Asas ekonomi terus bertambah kukuh. Semenjak 1998, akaun semasa imbangan pembayaran negara telah mencatat lebihan selama sembilan tahun berturut-turut. Pada tahun 2006, lebihan akaun semasa adalah 16.8 peratus daripada Keluaran Negara Kasar. Kadar tabungan negara terus kekal tinggi pada tahap 37 peratus daripada KDNK. Kemasukan pelaburan langsung asing terus mapan. Kita telah berjaya membina kemudahan infrastruktur bertaraf dunia berupaya menampung pembangunan perindustrian negara. BAJET 2008 7. Tahun 2008 merupakan tahun ketiga pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan yang berteraskan Misi Nasional, seperti berikut: Pertama: Meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi; Kedua: Meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama; Ketiga: Menangani masalah ketidakseimbangan sosioekonomi secara membina dan produktif; Keempat: Meningkatkan tahap dan kemapanan kualiti hidup; dan Kelima: Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan. 8. Bajet 2008 bertemakan Bersama Membina Negara dan Menikmati Kemakmuran, mencerminkan hasrat Kerajaan untuk mempastikan kekayaan negara terus berkembang dan dapat dinikmati oleh semua rakyat. Hanya dengan ini, kemajuan negara akan menjadi lebih bermakna, dengan semua rakyat hidup dalam harmoni. 9. Dengan itu, Bajet ini akan memberi tumpuan kepada tiga strategi utama: Pertama - Mempertingkat daya saing negara; Kedua - Memperkasa pembangunan modal insan; dan Ketiga - Menjamin kesejahteraan rakyat. STRATEGI PERTAMA: MEMPERTINGKAT DAYA SAING NEGARA Menyediakan Persekitaran Kondusif Bagi Pelaburan Swasta 10. Pelaburan swasta terus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negara. Alhamdulillah, aktiviti pelaburan swasta dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan semakin rancak, dengan kadar pertumbuhan tujuh peratus pada tahun 2006, berbanding dengan kadar 1.2 peratus setahun sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kelapan. Pertumbuhan pelaburan swasta dijangka mencapai 7.1 peratus tahun ini, satu kadar yang memberangsangkan. Kerajaan yakin momentum pertumbuhan ini akan terus meningkat pada tahun-tahun akan datang. Dasar Cukai Yang Kompetitif 11. Kerajaan bertekad untuk menggalak pertumbuhan pelaburan swasta dengan menyediakan persekitaran kondusif. Satu langkah penting ke arah ini ialah dengan mempastikan cukai korporat terus kompetitif. Sistem cukai korporat masa ini berasaskan sistem imputasi. Di bawah sistem imputasi, cukai dikenakan ke atas keuntungan di peringkat syarikat dan sekali lagi ke atas dividen di peringkat pemegang saham, setelah mengambil kira cukai yang dibayar syarikat. Oleh itu, sistem ini melibatkan kos pentadbiran yang signifikan untuk mempastikan pematuhan terhadap cukai yang perlu dibayar di setiap peringkat. 12. Untuk menjadikan pentadbiran cukai korporat lebih cekap dan mudah, Kerajaan akan melaksanakan sistem cukai single-tier, berkuatkuasa mulai tahun taksiran 2008. Di bawah sistem single-tier, keuntungan hanya dikenakan cukai di peringkat syarikat, manakala dividen yang diterima dikecualikan daripada cukai. Dengan sistem single-tier, dividen dapat dibayar dengan lebih mudah. Tempoh peralihan bagi sistem baru ini ialah enam tahun untuk mempastikan kelicinan pelaksanaan. 13. Semasa pembentangan Bajet 2007 tahun lalu, saya telah mengumumkan pengurangan cukai korporat daripada 28 peratus kepada 27 peratus bagi tahun 2007 dan 26 peratus bagi tahun 2008. Bagi meningkatkan lagi daya saing negara dan mempercepatkan pertumbuhan pelaburan swasta, saya mencadangkan kadar cukai korporat terus dikurangkan kepada 25 peratus pada tahun 2009. Saya yakin langkah ini akan memberi kesan limpahan ke atas pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. Dengan kadar cukai korporat yang lebih rendah dan pengenalan sistem single tier, lebih banyak dividen dapat diagihkan kepada pemegang saham. Penambahbaikan Sistem Penyampaian Perkhidmatan Awam 14. Perkhidmatan awam yang efisien adalah kriteria penting dalam menyediakan persekitaran kondusif bagi menarik pelabur swasta. Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah bagi mempastikan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam, termasuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH). Pasukan ini, yang terdiri daripada wakil sektor awam dan sektor swasta, menumpu kepada aspek-aspek yang dapat meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam serta menambah baik daya saing negara. Saya gembira dalam enam bulan pertama penubuhan PEMUDAH, beberapa penambahbaikan telah pun dilaksanakan. Antaranya: Pertama: Memendekkan tempoh pembayaran balik cukai pendapatan dari enam bulan ke 14 hingga 30 hari bagi penghantaran menerusi sistem e-filing; Kedua: Meluluskan pendaftaran perniagaan baru dengan serta merta berbanding tiga hari sebelum ini; dan Ketiga: Mempercepatkan tempoh kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar dari tiga bulan ke lima minggu. 15. Penglibatan secara langsung sektor swasta dalam PEMUDAH telah membolehkan penyelesaian dan penambahbaikan sistem penyampaian yang lebih berkesan. Antara cadangan yang dikemukakan oleh PEMUDAH ialah langkah untuk mempercepatkan urusan pindah milik hartanah. Selaras dengan cadangan ini, saya ingin mengumumkan bahawa mulai 1 Januari 2008, taksiran duti setem boleh dibuat berdasarkan penilaian pihak swasta. Dengan ini, proses pindah milik boleh diteruskan sementara menunggu penilaian muktamad Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta. 16. PEMUDAH juga sedang mengkaji prosedur pengeluaran lesen dan permit perniagaan dengan tujuan untuk mengurangkan bilangannya dan memendekkan tempoh pemprosesan melalui ICT. Usaha ini akan bermula dengan lesen serta permit bagi sektor pembuatan dan perhotelan. Selain itu, bilangan borang yang digunakan oleh jabatan kerajaan akan dikurangkan. Sebagai langkah permulaan, Jabatan Kastam akan menggabungkan 16 borang kastam kepada empat borang berkuatkuasa 1 Januari 2008. 17. Penglibatan sektor swasta dalam pelaksanaan Sistem Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) telah menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan awam. Dalam perkara ini, Kerajaan telah menggunakan prinsip akauntabiliti dan saling mempercayai bagi mengiktiraf sijil pengesahan yang dikeluarkan oleh profesional swasta. Memandangkan tanggungjawab lebih besar golongan profesional, dan bagi melindungi kepentingan pengguna, Kerajaan mencadangkan potongan cukai diberikan ke atas premium insurans indemniti profesional. Selain itu, untuk meningkatkan akauntabiliti, Kerajaan mencadangkan semua perkhidmatan profesional dan juru perunding adalah tertakluk kepada cukai perkhidmatan. Memudahkan Kemasukan Pekerja Berkemahiran Tinggi 18. Mutu modal insan, terutamanya golongan profesional dan berkemahiran, adalah faktor kritikal bagi menarik pelaburan yang berkualiti. Dengan itu, di samping memperkasa modal insan tempatan, Kerajaan akan menggalak dan memudahkan kemasukan pekerja asing berkemahiran yang akan menambah nilai kepada ekonomi negara. Untuk ini, Jabatan Imigresen akan memendekkan tempoh memproses permit kerja kepada tujuh hari untuk pekerja berkemahiran berbanding dengan 14 hari sebelum ini. 19. Jabatan Imigresen juga akan memperkenalkan satu kategori visa baru bagi ahli perniagaan dan profesional asing yang mempunyai tempoh sah lebih panjang. Di samping itu, ciri-ciri lain bagi memudahkan proses kemasukan akan diperkenalkan. Semua langkah ini akan berkuatkuasa 1 Januari 2008. 20. Bilangan syarikat multinasional yang menubuhkan pejabat serantau di Malaysia kian meningkat. Mereka memerlukan kakitangan yang berkemahiran tinggi untuk kerap berulang alik ke negara ini. Adalah penting kemasukan mereka ke negara ini dipermudahkan. Oleh yang demikian, mulai 1 Januari 2008, proses mendapatkan pas lawatan profesional bagi pekerja berpengetahuan akan dipercepatkan dengan membolehkan permohonan dibuat di pejabat kedutaan dan konsulat Malaysia di luar negara. 21. Kerajaan telah pun memperkenalkan multiple entry visa (MEV) bagi warganegara China dan India. Pada masa ini, visa tersebut hanya boleh dipohon di negara asal mereka. Kerajaan telah membuat keputusan supaya warganegara China dan India dibenarkan memohon MEV dari mana-mana tempat mereka bermastautin atau bekerja. Sebagai permulaan, kemudahan ini akan diperkenalkan di pusat kewangan antarabangsa, seperti New York, London, Hong Kong dan Singapura, berkuatkuasa 1 Januari 2008. Meningkatkan Daya Saing Pasaran Modal 22. Pasaran modal negara telah berkembang pesat dan merupakan antara sumber modal yang penting bagi sektor korporat. Perkembangan pesat ini telah menyumbang kepada peningkatan keyakinan pelabur, terutamanya pelabur asing. Keyakinan ini jelas dicerminkan oleh prestasi Bursa Malaysia. Indeks Komposit Kuala Lumpur melonjak semenjak awal tahun ini, dan mencecah 1,299 mata pada 6 September 2007. Nilai pasaran modal juga telah mencapai satu trilion ringgit. Kini, pasaran modal negara merupakan antara pasaran modal yang terbesar dan aktif di Asia Tenggara. 23. Antara faktor yang menyumbang kepada prestasi pasaran saham ialah kejayaan Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). Modal pasaran 45 syarikat GLC telah meningkat sebanyak 129 bilion ringgit iaitu peningkatan sebanyak 61 peratus semenjak Program Transformasi GLC yang telah saya lancarkan pada Mei 2004. Transformasi GLC menghasilkan faedah kepada pelbagai pihak, termasuk pelanggan, pekerja, pembekal, komuniti perniagaan Bumiputera serta Kerajaan. Syarikat sektor swasta lain juga telah berjaya melalui proses transformasi masing-masing. Dalam melangkah ke tahun 2020, saya yakin beberapa syarikat swasta, termasuk GLC, akan muncul sebagai juara serantau, setanding dengan syarikat bertaraf dunia. Memperkukuh Tadbir Urus Korporat 24. Tadbir urus korporat yang baik merupakan asas keyakinan pelabur terhadap pasaran modal negara. Saya mengalu-alukan tindakan tegas Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam menangani beberapa kes penyelewengan perakaunan sektor korporat. Semua pihak perlu melipat gandakan usaha bagi memantapkan lagi tahap tadbir urus korporat. Ke arah ini, Kerajaan akan menubuhkan Lembaga Pengawasan Perakaunan Syarikat Awam di bawah kawal selia SC. Lembaga ini akan bertanggungjawab untuk mengawas juruaudit syarikat awam ke arah meningkatkan mutu dan kesahihan audit ke atas penyata kewangan syarikat awam. 25. Selain itu, Kod Tadbir Urus Korporat sedang dipinda untuk meningkatkan kualiti lembaga pengarah syarikat awam tersenarai dengan menetapkan kriteria kelayakan pengarah, jawatankuasa audit dan audit dalaman syarikat awam tersenarai. Pindaan ini akan berkuatkuasa pada 1 Oktober 2007. Untuk meningkatkan tadbir urus jawatankuasa audit, pengarah eksekutif tidak dibenar menganggotainya. Di samping itu, penubuhan fungsi audit dalaman yang efektif diwajibkan bagi semua syarikat tersenarai. Lembaga Pengarah perlu mempastikan skop tanggungjawab, seperti yang ditetapkan oleh SC, dilaksanakan oleh audit dalaman dengan berkesan. 26. Bagi syarikat dan syarikat perantara yang menunjukkan tahap tadbir urus yang tinggi, SC akan memberi status ‘laluan hijau’. Ini termasuk proses kelulusan yang lebih cepat bagi cadangan korporat mereka serta memanjangkan tempoh lesen daripada satu tahun kepada tiga tahun bagi perantara kewangan di peringkat syarikat dan dua tahun bagi individu. Menggalakkan Penggabungan dan Pengambilalihan 27. Kerajaan berhasrat untuk meningkatkan kualiti syarikat tersenarai di Bursa Malaysia. Untuk itu, pengecualian duti setem telah diberi ke atas surat cara penggabungan dan pengambilalihan (M&A) syarikat tersenarai yang diluluskan oleh SC sehingga 31 Disember 2007. Bagi menggalakkan lebih banyak syarikat tersenarai melaksanakan M&A, pengecualian ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2010. 28. Kini terdapat lebih daripada seribu vendor dalam sektor petroleum dan gas yang dilesenkan oleh PETRONAS. Walau bagaimanapun, kebanyakannya hanya tertumpu kepada pasaran domestik. Syarikat-syarikat tersebut perlu bergabung untuk menjadi lebih besar dan berdaya saing di peringkat global. Oleh itu, Kerajaan mencadangkan pengecualian duti setem diberi ke atas semua surat cara bagi penggabungan syarikat vendor PETRONAS yang dilaksanakan sebelum 31 Disember 2010. Syarikat Pengurusan Pelaburan 29. Bagi menggalakkan industri pengurusan pelaburan, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan: Pertama: Syarikat pengurusan dana dan syarikat pengurusan REITs dibenar mempunyai pegangan asing sehingga 70 peratus, dengan syarat pegangan Bumiputera tidak kurang daripada 30 peratus; dan Kedua: SC akan memudahkan proses pelesenan serta segala urusan di antara pemohon dengan jabatan kerajaan yang lain bagi mempercepatkan proses penubuhan operasi syarikat pengurusan dana di Malaysia. Struktur Komisen Yang Berdaya Saing 30. Untuk meningkatkan penyertaan pelabur runcit secara langsung dalam dagangan saham dan bagi menggalakkan penggunaan teknologi dalam pasaran modal, kadar komisen bagi dagangan internet dan transaksi tunai secara upfront boleh dirundingkan sepenuhnya. Langkah ini akan mengurangkan lagi kadar komisen. Di samping itu, yuran penjelasan akan dikurangkan daripada 0.04 peratus kepada 0.03 peratus, dengan yuran maksimum sebanyak seribu ringgit. Caj minima bagi transaksi pembrokeran ditetapkan pada kadar baru 40 ringgit bagi setiap transaksi. Langkah-langkah ini akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2008. Menjadikan Malaysia Pusat Kewangan Islam Antarabangsa 31. Selaras dengan objektif Malaysia International Islamic Financial Centre (MIFC) untuk menjadikan Malaysia sebuah pusat kewangan Islam antarabangsa, Kerajaan akan memperkenalkan beberapa langkah, seperti berikut: Pertama: Membenarkan syarikat pengurusan dana Islam memiliki sehingga 100 peratus pegangan asing; Kedua: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyalurkan dana sebanyak 7 bilion ringgit untuk diuruskan oleh syarikat pengurusan dana Islam; Ketiga: Membenarkan keseluruhan aset yang diuruskan oleh syarikat pengurusan dana Islam dilaburkan di luar negara; dan Keempat: Memberi pengecualian cukai pendapatan kepada syarikat pengurusan dana ke atas semua pendapatan fi yang diterima berkaitan aktiviti pengurusan dana Islam sehingga tahun taksiran 2016. 32. Dalam konteks membangunkan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa, penyertaan pakar terkemuka antarabangsa di semua bidang kewangan Islam adalah penting. Dengan itu, Kerajaan mencadangkan pengecualian cukai pendapatan diberi kepada juru perunding bukan pemastautin yang mempunyai kepakaran dalam kewangan Islam. Menggalakkan Pelaburan Dari Timur Tengah 33. Untuk menarik pelaburan dari Timur Tengah, Kerajaan telah menyediakan insentif cukai bagi syarikat broker saham sedia ada untuk mewujudkan anak syarikat pembrokeran Islam. Bagi meneruskan usaha menggalakkan aliran masuk pelaburan dari Timur Tengah ke Malaysia, tiga lesen baru broker saham akan ditawarkan kepada syarikat terkemuka yang boleh menarik dana dan menjadi perantara bagi aliran perniagaan dan urus niaga dari Timur Tengah. Industri Takaful 34. Industri takaful yang diwujudkan semenjak tahun 1985, telah berkembang dan kini mempunyai aset bernilai 7.6 bilion ringgit. Untuk meningkatkan lagi perniagaan Takaful, Kerajaan mencadangkan untuk menambah baik layanan cukai, termasuk membenarkan potongan cukai ke atas perkongsian keuntungan yang diagihkan. Meningkatkan Daya Saing Labuan Sebagai Pusat Kewangan Luar Pesisir 35. Dalam menghadapi persekitaran global yang lebih kompetitif, Kerajaan perlu mempastikan Pusat Kewangan Antarabangsa Luar Pesisir Labuan terus berdaya saing. Para pelabur di Labuan menjalankan pelbagai perkhidmatan kewangan dan memerlukan layanan cukai yang lebih fleksibel. Dengan ini, Kerajaan mencadangkan syarikat luar pesisir Labuan diberi pilihan untuk dikenakan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, sebagai tambahan kepada pilihan semasa. Merangsang Sektor Hartanah 36. Untuk menggalakkan sektor pembinaan hartanah, saya telah mengumumkan baru- baru ini pengecualian cukai keuntungan harta tanah. Bagi terus mempergiatkan sektor hartanah, terutamanya perumahan, Kerajaan mencadangkan pengecualian 50 peratus duti setem diberi ke atas surat cara pindah milik bagi sebuah rumah yang tidak melebihi 250,000 ringgit seunit. Langkah ini akan mengurangkan kos pembelian sebuah rumah sehingga 2,000 ringgit. 37. Kerajaan berusaha untuk terus meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam sektor hartanah. Untuk ini, Pelaburan Hartanah Bumiputera Berhad (PHBB) telah memperoleh beberapa hartanah di lokasi strategik untuk dibangunkan sebagai projek komersil bernilai tinggi. Antara projek komersil ialah Penang Sentral yang merupakan projek terminal pengangkutan dan logistik bersepadu di Wilayah Ekonomi Koridor Utara. Di samping itu, satu dana permulaan bernilai 400 juta ringgit telah diwujudkan oleh PHBB bagi meningkatkan pelaburan hartanah Bumiputera di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). 38. Dalam Bajet 2007, dana pelaburan strategik WPI telah ditubuhkan dengan peruntukan permulaan sebanyak 200 juta ringgit, sebagai pemangkin pelaburan baru dalam sektor keutamaan di WPI. Dana ini telah berjaya mendapat komitmen sektor swasta untuk melabur lebih satu bilion ringgit untuk projek pendidikan, seperti universiti swasta. Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak 100 juta ringgit, terutamanya untuk menarik pelaburan berkaitan perkhidmatan kesihatan. Sektor Pertanian 39. Teras utama pembangunan sektor pertanian ialah untuk menjadikan sektor ini salah satu sumber utama pertumbuhan ekonomi negara. Untuk tujuan ini, sebanyak 6.5 bilion ringgit diperuntukkan bagi sektor pertanian. Antara program yang akan dilaksanakan ialah meningkatkan pengeluaran padi, menggalakkan penanaman florikultur, herba dan rempah ratus. Bagi sub sektor perikanan, peruntukan disediakan untuk meningkatkan hasil tangkapan ikan dan pengeluaran produk industri perikanan serta membangunkan industri akuakultur di bawah 39 projek berimpak tinggi. Peruntukan juga disediakan untuk pembangunan industri ternakan haiwan. 40. Di samping itu, beberapa sumber pertumbuhan baru dalam sektor pertanian telah dikenal pasti untuk dimajukan, seperti projek perintis pemprosesan minyak kelapa dara (virgin coconut oil), pengkomersilan produk nira nipah dan penternakan baka Kambing Boer. Peruntukan juga akan disediakan bagi projek perintis penghasilan baja organik, penanaman menggunakan teknik penggabungan pembajaan dan pengairan serta pelaksanaan mekanisasi dan automasi untuk pekebun kecil. Sektor Bioteknologi 41. Bioteknologi akan terus dibangunkan melalui penyediaan infrastruktur dan kemudahan teknologi bagi memupuk keusahawanan dan penyertaan aktif sektor swasta. Bagi tujuan ini, sebanyak 236 juta ringgit disediakan dalam Bajet 2008. Antara projek yang akan dilaksanakan ialah perolehan teknologi, pembangunan pusat penyelidikan biodiversiti dan pusat komersialisasi bioteknologi, serta penyelidikan kompaun anti kanser. Dalam usaha terus menggalakkan kerjasama antara syarikat bioteknologi dan universiti tempatan, syarikat berstatus Bionexus dibenar menggunakan makmal dan kemudahan penyelidikan di pusat-pusat universiti tempatan. Dengan ini, keupayaan kemudahan dan makmal penyelidikan di universiti tempatan dapat dioptimumkan. Sektor ICT 42. Inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia telah masuk ke tahun kesebelas pelaksanaannya. Industri ICT tempatan semakin matang dan berjaya. Sebahagian besar syarikat ICT tempatan berstatus MSC Malaysia mempunyai produk dan perkhidmatan bertaraf dunia dan telah bersedia untuk memasarkannya di pasaran global. Kerajaan akan menyokong usaha ini dengan mempergiatkan aktiviti pemasaran antarabangsa untuk membolehkan syarikat MSC Malaysia tempatan memperoleh lebih banyak projek antarabangsa. 43. Dalam usaha memperhebatkan lagi promosi MSC Malaysia di persada antarabangsa, Kerajaan akan menganjurkan Minggu ICT Dunia di Kuala Lumpur pada Mei 2008. Pelbagai persidangan dan ekspo ICT bertaraf antarabangsa akan berlangsung, termasuk persidangan World Congress on IT 2008, persidangan United Nations Global Alliance on ICT for Development dan Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa MSC. Lebih lima ribu peserta antarabangsa dan tempatan dijangka mengambil bahagian dalam kesemua program tersebut. Adalah diharapkan lebih banyak syarikat ICT antarabangsa akan melabur dan bekerjasama dengan syarikat tempatan. 44. Pelbagai langkah akan diambil untuk menambah lagi daya tarikan Cyberjaya sebagai Bandar Siber utama yang dapat terus menarik syarikat teknologi bertaraf dunia. Ini termasuk pembinaan sekolah antarabangsa dan perumahan mampu milik serta mempertingkatkan tahap keselamatan di Cyberjaya. Sektor Pelancongan 45. Program Tahun Melawat Malaysia 2007 telah berjaya menarik lebih ramai pelancong. Sehingga Jun, seramai 10.7 juta pelancong telah melawat Malaysia berbanding dengan 8.6 juta pelancong dalam tempoh yang sama tahun 2006. Ini adalah pencapaian yang cemerlang. Untuk meningkatkan lagi daya tarikan negara sebagai destinasi pelancongan utama, Kerajaan memperuntukkan 858 juta ringgit bagi pelaksanaan pelbagai program, termasuk penyediaan dan peningkatan kemudahan pelancongan serta mempelbagaikan produk pelancongan. Peruntukan sebanyak 22 juta ringgit disediakan untuk meningkatkan aktiviti homestay bagi 47 buah kampung terpilih. Di samping itu, pembangunan projek ekopelancongan akan dilaksanakan untuk menjana pendapatan penduduk luar bandar dan masyarakat Orang Asli. Menggalakkan Perkembangan Perusahaan Kecil Dan Sederhana 46. Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dikenal pasti sebagai peneraju penting pertumbuhan ekonomi negara. Kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif untuk membangunkan sektor ini. Kerajaan sedar PKS mungkin menghadapi kesukaran aliran tunai pada peringkat awal penubuhan. Bagi mengurangkan beban ini, Kerajaan mencadangkan syarikat PKS diberi fleksibiliti membayar cukai pada akhir tahun kewangan dan bukannya secara ansuran bulanan. Kelonggaran ini adalah untuk tempoh dua tahun mulai tarikh syarikat memulakan operasi. STRATEGI KEDUA: MEMPERKASA PEMBANGUNAN MODAL INSAN Tuan Yang DiPertua, 47. Modal insan berkualiti adalah antara faktor terpenting dalam mempastikan Malaysia mencapai matlamat menjadi sebuah negara maju. Oleh itu, aspek kualiti pendidikan dan latihan terus diberi penekanan. Memperkasa Sekolah Rendah dan Menengah 48. Sejumlah 30 bilion ringgit disediakan bagi Kementerian Pelajaran. Peruntukan ini turut merangkumi pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, termasuk Program Sekolah Cemerlang, memartabat profesion keguruan dan merapatkan jurang pendidikan di antara bandar dan luar bandar. Untuk meningkatkan lagi kualiti dan prestasi sekolah, 60 buah sekolah kluster akan diwujudkan dalam tahun 2008. Peruntukan berjumlah 500 ribu ringgit akan diberi bagi setiap sekolah kluster untuk tujuan aktiviti ko- kurikulum, latihan dan pembelian peralatan pembelajaran. Pendidikan Percuma Untuk Semua 49. Kerajaan komited melaksanakan langkah progresif untuk meningkatkan akses dan mengurangkan kos pendidikan. Pada tahun lalu, saya telah mengumumkan pemansuhan yuran peperiksaan PMR, SPM dan STPM. Sebagai tambahan, saya ingin mengumumkan yuran peperiksaan bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia akan dimansuhkan. Dengan itu, yang tinggal hanya yuran tahunan sekolah rendah dan menengah. Saya juga sukacita mengumumkan, mulai tahun 2008, yuran sekolah ini turut dimansuhkan. 50. Saya juga ingin mengumumkan bahawa bermula sesi persekolahan tahun hadapan, Skim Pinjaman Buku Teks akan diperluaskan kepada semua pelajar tanpa mengira pendapatan isi rumah dan bilangan anak yang layak. Peluasan Skim ini akan memberi manfaat kepada 5.7 juta pelajar berbanding 4.5 juta pelajar pada masa ini. Dengan langkah-langkah ini, pendidikan di negara ini adalah seratus peratus percuma. 51. Penyertaan pelajar secara aktif dalam kegiatan ko-kurikulum, seperti badan beruniform, persatuan dan kelab serta sukan, adalah penting dalam membantu pembentukan sahsiah dan membina kualiti kepimpinan pelajar. Bagi mempastikan bahawa setiap pelajar mendapat peluang untuk melibatkan diri di dalam aktiviti ko- kurikulum beruniform, Kerajaan akan memberi sepasang pakaian seragam percuma bagi satu kegiatan kepada pelajar sekolah daripada keluarga yang berpendapatan isi rumah seribu ringgit sebulan dan ke bawah. Memartabatkan Profesion Keguruan 52. Untuk mengiktiraf peranan penting guru dan memartabatkan profesion keguruan, Kerajaan akan melaksanakan langkah-langkah berikut: Pertama: Meningkatkan elaun guru pendidikan khas daripada 100 ringgit kepada 250 ringgit sebulan; Kedua: Menaikkan kadar elaun guru ganti berkelulusan ijazah daripada 85 ringgit kepada 150 ringgit sehari; dan Ketiga: Menyediakan elaun sebanyak 60 ringgit sejam bagi lepasan ijazah dan 50 ringgit sejam bagi lepasan diploma kepada guru yang mengajar bahasa Cina dan Tamil di sekolah kebangsaan. 53. Guru-guru yang telah bersara masih berupaya menyumbang kepada bidang pendidikan. Pengetahuan dan pengalaman luas mereka harus dimanfaatkan sepenuhnya. Untuk ini, guru-guru pesara akan diambil untuk berkhidmat sebagai guru ganti dan tenaga pengajar untuk guru pelatih. Peranan Badan Amal Dalam Pendidikan 54. Kerajaan menghargai usaha badan amanah dan pertubuhan amal yang membiayai dan mengurus dengan baik sebilangan sekolah rendah dan menengah. Bagi menyokong usaha tersebut, Kerajaan mencadangkan sekolah-sekolah ini diberikan pengecualian cukai pendapatan. Pengecualian ini akan memberi manfaat, khususnya kepada sekolah Cina dan Tamil serta sekolah agama. Memantapkan Pengajian Tinggi 55. Pada 27 Ogos lalu, Pelan Strategik Pengajian Tinggi telah dilancarkan. Pelan tersebut bertujuan untuk mentransformasikan sektor pengajian tinggi negara bagi menghasilkan modal insan kelas pertama serta membangunkan institusi pengajian tinggi bertaraf dunia. 56. Sebanyak 12 bilion ringgit diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai projek dan program, antaranya: Pertama: Meningkatkan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan di empat buah Universiti Penyelidikan; Kedua: Meningkatkan peruntukan kepada Universiti Teknologi MARA bagi mencapai sasaran 200,000 mahasiswa menjelang tahun 2010; Ketiga: Menaik taraf serta memperluaskan Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Darul Iman dan Universiti Pertahanan; dan Keempat: Menjenamakan semula kolej komuniti melalui penyediaan kursus di peringkat diploma, menubuhkan kolej komuniti baru dan menggiatkan kolaborasi dengan syarikat swasta. 57. Pada masa ini, lebih 90,000 orang pelajar yang ditaja oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan MARA di universiti tempatan. Walaupun begitu, masih terdapat kekurangan pelajar dalam beberapa bidang khusus. Oleh itu, Kerajaan akan meningkatkan jumlah pelajar Ijazah Pertama yang ditaja oleh JPA di universiti tempatan daripada lima ribu setahun kepada sepuluh ribu orang pelajar mulai 2008. Kenaikan Kadar Biasiswa 58. Kerajaan sedar bahawa kos sara hidup pelajar telah meningkat. Oleh yang demikian, Kerajaan akan meningkatkan elaun sara hidup pelajar di semua peringkat pengajian tinggi tempatan, termasuk kursus persediaan dan kursus bahasa. Peningkatan elaun tersebut adalah di antara 23 peratus sehingga 84 peratus. Kadar baru ini berkuatkuasa mulai semester pertama sesi 2007. Lebih 90,000 pelajar akan mendapat manfaat daripada kenaikan ini. 59. Pada masa ini, Kerajaan menaja seramai 17,000 ribu pelajar di universiti luar negeri. Kerajaan telah pun meningkatkan elaun sara hidup di Australia, New Zealand, Mesir dan Korea Selatan pada tahun 2006. Kini, Kerajaan akan meningkatkan elaun sara hidup pelajar di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada sehingga 97 peratus, iaitu hampir dua kali ganda, berkuatkuasa September 2007. Mempertingkatkan Program Latihan dan Kemahiran 60. Sejumlah dua bilion ringgit telah diperuntukkan kepada pelbagai agensi latihan kerajaan untuk meningkatkan bilangan dan kualiti pekerja terlatih selaras dengan keperluan pasaran. Daripada jumlah tersebut, 480 juta ringgit diperuntukkan untuk program latihan GiatMARA dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) serta latihan kemahiran di Institut Kemahiran Belia Negara. 61. Bagi meningkatkan kapasiti institusi latihan, 550 juta ringgit diperuntukkan untuk menaik taraf politeknik dan kolej komuniti. Sejumlah 750 juta ringgit pula diperuntukkan untuk membina sebuah Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di Taiping dan sebuah ILP di Marang. Peruntukan ini juga akan digunakan untuk menaik taraf ILP dan ADTEC di seluruh negara dan untuk membina lapan buah MRSM, empat buah IKM dan 28 pusat GiatMARA. 62. Skop Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) akan diperluaskan. Kelonggaran akan diberikan kepada syarikat untuk memilih program latihan dan pendidikan lanjutan kepada kakitangan. Bagi tujuan ini, Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad, 2001 akan dipinda untuk membolehkan majikan: Pertama: Mendapat bantuan kewangan bagi melatih pekerjanya sehingga ke peringkat sarjana atau ijazah doktor falsafah, terutamanya dalam bidang teknologi baru dan teknologi tinggi; Kedua: Mendapat bantuan kewangan bagi melatih pekerja walaupun majikan itu mempunyai tunggakan levi atau tunggakan faedah atas levi; dan Ketiga: Menyediakan peluang latihan amali di premis mereka kepada pelajar universiti atau pelatih institusi latihan. 63. Bagi menampung kekurangan pekerja mahir dalam sektor pembinaan, penggunaan tabung Lembaga Kemajuan Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) akan dipertingkatkan. Untuk tujuan ini, CIDB akan melaksanakan Program Latihan Masterskills yang meliputi kemahiran dalam pengurusan dan pembinaan fizikal. Bagi tahun 2008, seramai 50 ribu pekerja dalam sektor pembinaan akan dilatih dalam program ini dengan kos berjumlah seratus juta ringgit. Pembelajaran Sepanjang Hayat 64. Saya sering menekankan peri pentingnya untuk kita sentiasa menambah nilai pada diri. Bagi menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat di kalangan rakyat Malaysia, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai sehingga 5,000 ringgit ke atas yuran pengajian diperluaskan kepada semua bidang di peringkat pasca ijazah. Penyelidikan, Pembangunan dan Pengkomersilan 65. Kerajaan akan mempergiatkan lagi aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan, terutamanya pengkomersilan penemuan R&D tempatan. Bagi tahun 2008, Dana Sains diperuntukkan 230 juta ringgit dan 300 juta ringgit disediakan untuk Dana Tekno. Selain itu, 546 juta ringgit disediakan bagi program R&D institusi penyelidikan. Untuk memudah dan mempercepatkan pengeluaran dana R&D pertanian, sejumlah 300 juta ringgit dipindahkan daripada baki siling Dana Sains dan Dana Tekno kepada Kementerian Pertanian. 66. Kerajaan akan terus menyokong aktiviti R&D dan pengkomersilan. Pada masa ini, pembahagian royalti pengkomersilan R&D adalah 50 peratus kepada institut penyelidikan dan baki 50 peratus dibahagi di antara institut penyelidikan dan penyelidik. Untuk menggalakkan lebih banyak aktiviti pengkomersilan serta untuk memberi insentif lebih baik kepada penyelidik, kadar pembayaran royalti kepada penyelidik ditingkatkan kepada 80 peratus dan baki 20 peratus kepada institut penyelidikan. 67. Pejabat Perlesenan Teknologi (TLO) telah ditubuhkan di institusi penyelidikan, seperti SIRIM dan Universiti Sains Malaysia. Pejabat ini didapati efektif dalam menyelaras kegiatan R&D serta perolehan paten. Oleh itu, lebih banyak pejabat TLO akan ditubuhkan di pusat penyelidikan dan universiti awam yang lain. Pembangunan Modal Insan ICT 68. Bagi mempastikan bekalan tenaga kerja berkemahiran tinggi menepati permintaan industri ICT, Knowledge Workers Development Institute akan dibangunkan di Cyberjaya. Sebuah Pusat Animasi Digital MSC Malaysia juga akan diwujudkan di Cyberjaya untuk menyokong pembangunan industri animasi digital serta meningkatkan kepakaran tempatan dalam bidang tersebut. Membangun Masyarakat Berpengetahuan 69. Selaras dengan usaha mewujudkan ekonomi berasaskan pengetahuan dan merapatkan jurang digital, satu sasaran utama Kerajaan adalah untuk mencapai kadar penembusan jalur lebar 50 peratus daripada isi rumah menjelang tahun 2010, berbanding dengan 12 peratus pada masa ini. Untuk itu, perkongsian awam dan swasta yang efektif adalah perlu untuk mempercepatkan pelaksanaan peluasan jalur lebar. Satu langkah yang akan dilaksanakan ialah menggalakkan pemaju menyediakan infrastruktur telekomunikasi di kawasan perumahan baru. Kerajaan juga akan meningkatkan pemantauan terhadap kemajuan penyedia perkhidmatan dalam memperluaskan aplikasi jalur lebar. 70. Kerajaan juga mencadangkan: Pertama: Penyedia kemudahan rangkaian sambungan terakhir diberi Elaun Pelaburan 100 peratus ke atas perbelanjaan modal infrastruktur bagi perkhidmatan jalur lebar sehingga 31 Disember 2010; Kedua: Pengecualian duti import dan cukai jualan diberikan ke atas peralatan jalur lebar dan peralatan capaian pengguna; dan Ketiga: Potongan cukai diberi kepada majikan yang menyediakan manfaat komputer baru dan pembayaran langganan jalur lebar bagi kakitangan. Manfaat yang diterima oleh kakitangan juga diberi pengecualian cukai. STRATEGI KETIGA : MENJAMIN KESEJAHTERAAN RAKYAT Program Perumahan untuk Rakyat 71. Satu langkah penting bagi membantu golongan berpendapatan rendah menikmati taraf hidup yang lebih selesa ialah dengan menyediakan perumahan mampu milik yang mencukupi. Selaras dengan hasrat tersebut, Kerajaan akan mempergiatkan lagi program pembinaan rumah kos rendah dan kos sederhana. 72. Sejumlah 381 juta ringgit disediakan bagi melaksanakan perumahan rakyat kos rendah. Dari jumlah tersebut, 191 juta ringgit diperuntukkan bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) Disewa dan 190 juta ringgit bagi PPR Bersepadu. Pada masa ini, 12 ribu unit PPR Disewa dan 25 ribu unit PPR Bersepadu sedang dalam peringkat pelaksanaan. 73. Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan juga mempergiatkan pembinaan rumah bagi golongan berpendapatan rendah, seperti berikut: Pertama: 6,000 unit di bawah Program Pemulihan Rumah Terbengkalai; Kedua: 36,000 unit di bawah Program Perumahan Mampu Milik; dan Ketiga: 4,000 unit di bawah Program Rumah Mesra Rakyat. 74. Kerajaan amat prihatin atas kesukaran golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap, seperti petani dan pengusaha kecil, mendapatkan pinjaman bank untuk membiayai pembelian rumah kos rendah dan sederhana. Ini termasuk mereka yang mempunyai keupayaan untuk membayar balik pinjaman perumahan tetapi tidak dapat menyediakan bukti pendapatan mereka. Dengan itu, Kerajaan akan menyediakan dana sebagai jaminan kepada bank untuk memberi pinjaman perumahan kepada golongan ini. Sebagai permulaan, 50 juta ringgit telah disediakan sebagai jaminan kepada Bank Simpanan Nasional dan Bank Islam Berhad, berkuatkuasa 1 Januari 2008. Kerajaan yakin kemudahan ini dapat membantu golongan berpendapatan rendah yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk memperoleh pinjaman perumahan. 75. Rumah merupakan aset terpenting. Lazimnya, nilai rumah bukan sahaja terus meningkat dalam jangka panjang, bahkan rumah merupakan jaminan kesejahteraan masa hadapan. Sebahagian besar daripada pendapatan bulanan rakyat dibelanjakan untuk bayaran bulanan pinjaman perumahan. Untuk meringankan beban ini, sukacita saya mengumumkan bahawa Kerajaan akan membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan baki dalam Akaun 2 setiap bulan untuk tujuan membantu pembayaran ansuran pinjaman perumahan. Setiap pencarum dibenarkan menggunakan kemudahan ini untuk membiayai pinjaman sebuah rumah, berkuatkuasa 1 Januari 2008. 76. Ini merupakan satu langkah penting yang akan memberi manfaat kepada kesemua lima juta pencarum aktif KWSP. Skim ini akan membolehkan pencarum memiliki rumah yang lebih selesa serta meringankan beban kewangan mereka. Skim ini akan membolehkan sebanyak 9.6 bilion ringgit setahun dikeluarkan oleh pencarum untuk membeli rumah. 77. Sebanyak 9,600 unit kuarters telah siap dibina di seluruh negara pada tahun 2007 untuk menyediakan perumahan yang mencukupi bagi kakitangan Kerajaan, manakala 13,000 unit lagi dijangka siap pada tahun 2008. Kerajaan memperuntukkan sebanyak 887 juta ringgit pada tahun 2008 untuk membina lebih banyak kuarters kakitangan awam di seluruh negara. Pengangkutan Awam Yang Cekap 78. Kerajaan sedar bahawa sistem pengangkutan awam yang efisien dan selesa adalah penting, khasnya untuk golongan berpendapatan rendah. Sistem pengangkutan yang cekap juga perlu untuk mengatasi masalah kesesakan jalan raya dan meningkatkan produktiviti. Untuk ini, Kerajaan telah pun mengambil beberapa langkah untuk mewujudkan sistem pengangkutan awam yang komprehensif, termasuk rel dan bas, khususnya di bandar-bandar utama. Dalam tempoh empat tahun yang akan datang, sebanyak 12 bilion ringgit akan dibelanjakan untuk meningkatkan pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Untuk mengurangkan kesesakan jalan raya di Pulau Pinang, Lebuh Raya Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) akan mula dilaksanakan secara tender dalam tempoh terdekat. Bandar-bandar utama lain akan turut disediakan dengan sistem pengangkutan awam yang selesa. Pembangunan Seimbang 79. Satu agenda terpenting Kerajaan adalah untuk mempastikan pembangunan tersebar luas ke seluruh negara. Ke arah ini, pembangunan koridor ekonomi terus dipergiatkan, bermula dengan Wilayah Pembangunan Iskandar dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara. Saya bersyukur kedua-dua rancangan besar ini telah diterima baik oleh rakyat. Seterusnya, Wilayah Ekonomi Pantai Timur serta Koridor Sabah dan Koridor Sarawak akan dilancarkan dalam masa terdekat. 80. Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada usaha membangunkan negeri Sabah dan Sarawak. Sejumlah empat bilion ringgit disediakan untuk melaksanakan pelbagai projek bagi meningkatkan kualiti hidup di Sabah. Di antara projek utama ialah pembinaan Jalan Kota Marudu-Ranau, Jalan Lingkaran Utara Sandakan, menaik taraf Jalan Kota Belud-Langkon, perkhidmatan kesihatan luar bandar, kemudahan hospital, perumahan kos rendah, bekalan elektrik dan air serta menaik taraf jalan dan rel kereta api. 81. Sejumlah empat bilion ringgit diperuntukkan bagi pelaksanaan projek pembangunan di Sarawak. Antara projek utama adalah pembinaan Jalan Kota Samarahan - Gumpeh, menaik taraf Jalan Kuching - Sibu, perkhidmatan kesihatan luar bandar, Universiti Putra Malaysia, IKM Bintulu, projek bekalan air dan elektrik serta projek pembetungan dan projek gantian Jambatan Batang Lupar, Samarahan. Saya yakin projek-projek ini akan meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat Sarawak. 82. Mulai tahun 2006, Kerajaan juga telah melaksanakan projek bekalan elektrik bagi sekolah-sekolah di negeri Sarawak dengan peruntukan satu bilion ringgit. Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun ini. Projek yang sama akan dilaksanakan di Sabah pada tahun 2008. 83. Bagi mempergiatkan aktiviti pelancongan di Sabah dan Sarawak, sejumlah 200 juta ringgit disediakan di bawah Tabung Infrastruktur Pelancongan yang diuruskan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad. Keutamaan akan diberi kepada projek pelancongan yang memanfaatkan kekayaan semula jadi Sabah dan Sarawak. 84. Usaha akan terus diambil untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup Bumiputera, termasuk kaum Iban, Bidayuh, Melanau dan Melayu di Sarawak serta kaum Kadazan-Dusun, Melayu, Bajau dan Murut di Sabah. Untuk tujuan ini, sebanyak 800 juta ringgit diperuntukkan bagi Sarawak dan Sabah. Di antara langkah yang akan dilaksanakan, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah, termasuk program perumahan, latihan kemahiran dan keusahawanan, projek bekalan elektrik dan air, jalan kampung dan pendidikan prasekolah. Membasmi Kemiskinan Tegar 85. Kerajaan komited untuk menghapuskan kemiskinan tegar menjelang 2010. Selaras dengan ini, sejumlah 214 juta ringgit diperuntukkan bagi pelaksanaan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat untuk tujuan pembasmian kemiskinan. Kerajaan akan menekankan, antara lain, langkah-langkah untuk meningkatkan pendapatan isi rumah, memperkukuh pembangunan modal insan serta memberi bantuan perumahan kepada golongan miskin tegar. Di samping itu, sejumlah 117 juta ringgit diperuntukkan bagi melaksanakan Program Pengurangan Kemiskinan dan Program Lonjakan Mega. Program ini adalah pembangunan bersepadu untuk menjana pendapatan penduduk di kawasan kurang maju dan terpencil. Kemiskinan Bandar 86. Langkah akan terus diambil untuk mengatasi kemiskinan bandar, termasuk pembinaan rumah kos rendah dengan bilangan yang mencukupi, penyediaan peluang pekerjaan serta pembaikan kemudahan dan pengangkutan awam. Bagi menggalakkan lebih ramai individu memulakan perniagaan sendiri, pelbagai program keusahawanan dan latihan kemahiran telah disediakan. Bagi tujuan ini, kemudahan sedia ada di kawasan bandar akan ditambah untuk menyediakan latihan bagi pelajar yang tercicir untuk membolehkan mereka mendapat pekerjaan, khasnya mereka yang tidak tamat persekolahan di peringkat PMR dan SPM. Dalam konteks ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan berjumlah 30 juta ringgit untuk NGO mengadakan program latihan yang bersesuaian bagi golongan pelajar tercicir, serta memperluaskan program Kolej Komuniti dan GiatMARA ke kawasan bandar. Pembangunan Luar Bandar 87. Kerajaan bertekad untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dengan luar bandar. Sehubungan ini, pelbagai program akan dilaksanakan untuk meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat desa melalui penyediaan prasarana asas, seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik. Di samping itu, usaha turut dilaksanakan untuk menyediakan kemudahan ICT di luar bandar. Pada tahun 2008, sebanyak 680 juta ringgit disediakan untuk pembinaan jalan luar bandar dan jalan kampung, 462 juta ringgit untuk projek bekalan air dan elektrik luar bandar, 70 juta ringgit untuk kemudahan sosial dan 15 juta ringgit bagi pendidikan ICT di luar bandar. Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memperuntukkan 45 juta ringgit bagi melaksanakan projek SchoolNet untuk menyediakan perkhidmatan internet di sekolah- sekolah. Meningkatkan Taraf Hidup Masyarakat Orang Asli 88. Kerajaan komited untuk meningkatkan taraf kehidupan masyarakat Orang Asli. Ke arah ini, 170 juta ringgit diperuntukkan kepada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli untuk melaksanakan pelbagai program dan projek. Sejumlah 50 juta ringgit daripada peruntukan tersebut disediakan bagi Program Bantuan Rumah dan kemudahan sosial di kawasan penempatan Orang Asli. Belia dan Sukan 89. Generasi muda harus dipupuk dengan kualiti kepimpinan dan sikap positif. Untuk tujuan ini, program belia dan sukan adalah penting dalam pembentukan peribadi. Sejumlah 984 juta ringgit diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan belia dan sukan, termasuk Program Rakan Muda. Sejumlah 677 juta ringgit disediakan bagi melatih seramai 110 ribu remaja di bawah Program Latihan Khidmat Negara. Untuk mempromosikan sukan di kalangan rakyat, sejumlah 217 juta ringgit disediakan untuk membiayai projek berkaitan sukan. Ini termasuk menaik taraf dan menyelenggarakan kompleks dan kemudahan sukan negeri serta kompleks sukan komuniti. Sebagai tambahan, untuk menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan rakyat, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai individu sehingga 300 ringgit setahun diberi ke atas pembelian peralatan sukan dan senaman. Wanita, Keluarga dan Masyarakat 90. Kekuatan Malaysia turut terbina atas penyertaan wanita dalam pembangunan negara. Kebolehan dan keupayaan wanita telah digilap sepenuhnya tanpa diskriminasi. Status wanita di Malaysia dapat dibanggakan berbanding banyak negara. Wanita terus diberi peluang yang sama untuk menjawat jawatan penting. Kerajaan akan mempastikan bahawa bakat dan potensi wanita terus dimanfaatkan sepenuhnya. 91. Bagi tahun 2008, Kerajaan memperuntukkan 782 juta ringgit untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Antara program dan projek yang akan dilaksanakan merangkumi program pembangunan kapasiti dan kemahiran wanita, khususnya ibu tunggal, serta usaha mengimarah Rumah Nur. 92. Kerajaan akan menggalakkan kaum ibu untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di rumah. Ini akan memberi peluang pekerjaan bagi suri rumah di samping membolehkan lebih ramai wanita untuk menyertai pasaran kerja. Untuk tujuan ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan permulaan sebanyak sepuluh juta ringgit bagi membolehkan NGO memberi latihan kepada suri rumah mengenai kaedah penjagaan bayi dan kanak-kanak. 93. Pendidikan awal adalah penting dalam usaha membentuk kanak-kanak menjadi insan cemerlang. Untuk tujuan ini, program pendidikan pra-sekolah akan diperluaskan dengan membina sebanyak 280 buah TABIKA baru di seluruh negara dengan peruntukan 105 juta ringgit. Dengan ini, bilangan TABIKA akan bertambah kepada lebih 7,600 buah bagi menampung hampir 300 ribu kanak-kanak berumur di antara empat hingga enam tahun. Sejumlah 270 juta ringgit disediakan bagi pembayaran elaun kakitangan kontrak KEMAS dan 134 juta ringgit untuk makanan tambahan, geran per kapita serta program peningkatan kelayakan akademik guru TASKA dan TABIKA. Pada tahun 2008, tiga Pusat Anak Permata Negara akan beroperasi, menjadikan jumlah keseluruhan 15 pusat bagi membantu dan memudah cara proses pendidikan awal anak. 94. Untuk mengeratkan lagi hubungan kasih sayang antara suami dan isteri, serta menjamin kesejahteraan keluarga, Kerajaan mencadangkan pengecualian duti setem sepenuhnya diberi ke atas pindah milik hartanah daripada suami kepada isteri. Dalam keadaan di mana isteri hendak memindahkan hartanah kepada suami, pengecualian ini juga akan terpakai. Menjamin Kebajikan Warga Emas 95. Ramai pesara bergantung kepada pendapatan daripada simpanan untuk keperluan kewangan mereka apabila tidak lagi bekerja. Untuk membantu golongan ini meningkatkan pulangan daripada simpanan mereka, bon bernilai dua bilion ringgit akan diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia untuk dilanggan oleh warga emas yang berumur 55 tahun dan ke atas yang tidak mempunyai pekerjaan tetap. Kadar maksimum bon yang boleh dilanggan adalah 50 ribu ringgit seorang dengan tempoh matang selama tiga tahun dengan kadar pulangan lima peratus. Penerbitan bon ini adalah lanjutan kepada bon-bon yang pernah diterbitkan bernilai 3.5 bilion ringgit. 96. Bagi mengurangkan beban kewangan warga emas yang miskin dan berkeperluan, Kerajaan akan menaikkan kadar bantuan mereka dari 200 ringgit sebulan kepada 300 ringgit sebulan berkuatkuasa 1 Januari 2008. 97. Jabatan Kebajikan Masyarakat mengendalikan sembilan buah Rumah Seri Kenangan di seluruh negara yang menyediakan kemudahan tempat tinggal untuk 2,000 warga emas. Di samping itu, terdapat 148 rumah warga emas yang dikendalikan oleh NGO menempatkan 3,700 warga emas. Untuk menambah kemudahan sedia ada, Kerajaan akan membantu NGO dengan memperuntukkan geran sepadan sejumlah 25 juta ringgit. Bantuan Kebajikan Untuk Orang Kurang Upaya 98. Kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan masyarakat OKU. Untuk membantu mereka, Kerajaan akan: Pertama: Menaikkan kadar elaun bulanan pekerja OKU kepada 300 ringgit daripada 200 ringgit; Kedua: Memberi bantuan khas sebanyak 300 ringgit sebulan kepada penjaga OKU yang terlantar dan pesakit yang mengidap penyakit kronik; dan Ketiga: Membenarkan potongan cukai kepada majikan ke atas kos pengubahsuaian tempat kerja bagi pekerja OKU untuk menggalakkan sektor swasta mengambil lebih ramai pekerja OKU. 99. Golongan OKU adalah sebahagian daripada tenaga kerja yang perlu turut digembleng supaya dapat sama-sama menyumbang kepada negara. Bagi sesetengah pekerjaan seperti pekerja di plaza tol, pemasang di kilang, telefonis dan beberapa jenis pekerjaan yang lain, golongan OKU seharusnya diberikan keutamaan untuk menyertainya. Oleh itu, saya menyeru pihak majikan agar memberi lebih banyak peluang kepada golongan ini. Kesihatan Kunci Kecemerlangan 100. Kerajaan akan terus melaksanakan langkah bagi mempastikan semua rakyat dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang memuaskan. Untuk ini, sejumlah 13 bilion ringgit diperuntukkan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan hospital, memperoleh bekalan ubat dan menyediakan kemudahan peralatan kesihatan. Antara projek utama yang akan dilaksanakan pada tahun 2008 adalah pembinaan Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Ulu Kinta, Kolej Kejururawatan Kuala Pilah, Hospital Kluang, Hospital Tampin, Hospital Rehabilitasi Cheras, serta Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur. 101. Peruntukan bernilai 76 juta ringgit disediakan untuk memperkukuhkan kawalan penyakit berjangkit, perkhidmatan di unit rawatan rapi dan perkhidmatan dialisis di hospital kerajaan. Untuk mengatasi kekurangan jururawat, Kerajaan akan melatih lebih ramai jururawat di pusat latihan swasta. 102. Untuk mengekalkan Pegawai Pakar Perubatan Kerajaan di hospital atau klinik Kerajaan, Skim Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh (FPP) akan dilaksanakan di hospital. Pakar perubatan dibolehkan menerima sebahagian daripada bayaran yang dikenakan ke atas pesakit FPP, berkuatkuasa 1 Januari 2008. 103. Untuk menggalakkan sektor swasta melabur dalam kemudahan makmal bertaraf antarabangsa bagi tujuan menguji peralatan perubatan, Kerajaan mencadangkan galakan Taraf Perintis 100 peratus atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 60 peratus selama 5 tahun diberi kepada syarikat yang melabur dalam aktiviti berkenaan. Menyemai Tanggungjawab Sosial Korporat 104. Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh semua syarikat swasta, terutamanya syarikat awam tersenarai (PLC). Kerajaan percaya bahawa syarikat yang terlibat dalam kegiatan CSR akan menikmati manfaat daripada usaha murni ini dalam jangka masa panjang, di samping memberi sumbangan ke arah kesejahteraan masyarakat. 105. Dalam Bajet 2007, Kerajaan telah mengumumkan bahawa semua syarikat PLC perlu menzahirkan aktiviti CSR sebagai sebahagian daripada laporan kewangan tahunan syarikat. Mulai tahun kewangan 2008, penzahiran penyata CSR perlu juga merangkumi komposisi guna tenaga syarikat dari segi kaum dan gender, serta program untuk membangunkan vendor tempatan dan Bumiputera. Kelebihan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum harus dimanfaatkan oleh syarikat swasta dengan mengambil kakitangan dari semua lapisan masyarakat. 106. Kerajaan sedar bahawa sektor swasta telah berjaya melaksanakan dengan berkesan beberapa projek CSR untuk meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah. Dengan itu, Kerajaan ingin menyokong usaha ini dengan menubuhkan satu dana CSR berjumlah 50 juta ringgit untuk membiayai bersama projek CSR yang wajar diberi bantuan pembiayaan Kerajaan. Ini termasuk membaik pulih rumah usang milik golongan miskin dan mewujudkan peluang pekerjaan. 107. Kerajaan menghargai usaha syarikat swasta yang kerap menyediakan kemudahan awam untuk memberi faedah besar kepada masyarakat setempat, seperti pembinaan jejantas dan taman permainan. Dengan itu, Kerajaan bercadang agar potongan cukai diberikan ke atas perbelanjaan bagi pelaburan sedemikian, sungguhpun kemudahan ini juga memberi faedah sampingan kepada syarikat berkenaan. 108. Program PINTAR telah dilancarkan bagi tujuan pengambilan sekolah angkat oleh GLC. Semasa melancarkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara di Perak, saya telah mengumumkan program PINTAR akan diperluaskan ke seluruh negara dengan melibatkan semua syarikat swasta. Bagi mempastikan kejayaan pelaksanaannya, Kementerian Kewangan akan menubuhkan urus setia tetap untuk menguruskan program PINTAR. Di antara inisiatif baru PINTAR yang akan dilaksanakan pada tahun 2008 ialah sumbangan komputer terpakai kepada sekolah angkat. Keselamatan Awam 109. Keselamatan awam adalah prasyarat untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan mempastikan kesejahteraan rakyat. Kerajaan komited untuk membanteras jenayah. Sejumlah enam bilion ringgit diperuntukkan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi tahun 2008. 110. Kerajaan akan meningkatkan pengawasan polis, terutamanya di kawasan berisiko tinggi berlaku jenayah. Selaras dengan ini, keupayaan dan kecekapan PDRM akan dipertingkatkan dengan pengambilan 60,000 anggota polis baru dalam tempoh lima tahun. Pegawai penyiasat dan penolong pegawai penyiasat akan dibekalkan dengan tambahan 2,000 unit kereta nasional dan 1,600 komputer. Manakala, 1,900 motosikal disediakan untuk meningkatkan aktiviti pengawasan dan rondaan polis. Unit Bergerak Forensik PDRM juga akan ditubuhkan di setiap kontinjen polis. 111. Kerajaan akan memasang lebih banyak CCTV yang dihubungkan ke pusat kawalan Polis. Saya juga menyarankan supaya rakyat membantu polis dalam membanteras jenayah dengan memberi maklumat yang perlu, dan mengambil langkah untuk mengurangkan risiko berlakunya jenayah. Bagi menyokong sektor swasta mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan mereka, terutamanya di premis kilang, Elaun Modal Dipercepatkan yang boleh dituntut dalam tempoh satu tahun akan diberi ke atas pembelian alat kawalan dan keselamatan. Memupuk Budaya Penyelenggaraan 112. Budaya penyelenggaraan yang baik perlu diamalkan sepenuhnya. Ini adalah penting bagi mengurangkan kos dan meningkatkan kecekapan penggunaan kemudahan awam. Untuk mencapai objektif ini, anjakan minda perlu di semua peringkat Kerajaan serta sektor swasta. Kita hanya akan mendapat manfaat sepenuhnya daripada kemudahan kelas pertama jika ia disertai dengan budaya penyelenggaraan yang juga kelas pertama. 113. Kerajaan akan terus mempastikan peruntukan penyelenggaraan awam digunakan dengan efisien dan efektif oleh agensi pelaksana. Peruntukan bagi penyelenggaraan terus ditambah. Untuk tahun 2008, sejumlah 9.7 bilion ringgit diperuntukkan bagi pelbagai jenis penyelenggaraan. Untuk mempastikan peruntukan ini dimanfaatkan sepenuhnya, Kementerian dan agensi tidak akan dibenarkan untuk membuat pindah peruntukan untuk membiayai aktiviti lain. Tindakan tegas akan diambil terhadap penjawat awam yang mengabaikan kerja-kerja penyelenggaraan. Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air 114. Bekalan air bersih merupakan keperluan asas rakyat. Kerajaan telah berjaya meningkatkan liputan bekalan air di dalam negara. Kini, sebanyak 95 peratus rakyat mempunyai akses kepada bekalan air bersih, meningkat dua kali ganda berbanding dengan 48 peratus pada tahun 1970. Sungguhpun demikian, keperluan untuk menambah kapasiti bekalan air bersih kian meningkat. Oleh itu, Kerajaan telah memulakan penstrukturan semula industri perkhidmatan air supaya lebih bermutu dan mapan. Penstrukturan semula ini melibatkan, antara lain, pengambilalihan hutang kerajaan negeri berjumlah 7.6 bilion ringgit oleh Pengurusan Aset Air Berhad, sebuah syarikat milik Kerajaan Persekutuan. Saya yakin semua kerajaan negeri akan bekerjasama dalam usaha penstrukturan ini untuk sama-sama mempastikan skim ini berjalan lancar. Pemeliharaan dan Pemuliharaan Alam Sekitar 115. Kerajaan komited untuk mempastikan keseimbangan antara pembangunan fizikal dan pemeliharaan alam sekitar. Fenomena perubahan iklim dan kejadian pencemaran menjadi cabaran besar di peringkat global dan serantau, baik bagi negara maju mahupun negara membangun. Perkara ini harus ditangani dengan tegas dan berani oleh setiap sektor dan setiap warga. 116. Sejumlah 1.1 bilion ringgit disediakan bagi projek tebatan banjir untuk mengurangkan kejadian banjir di seluruh negara. Ini termasuk projek tebatan banjir di Sungai Muda, Sungai Kelantan, Sungai Damansara, Sungai Prai dan Projek Mengatasi Banjir Kuala Lumpur. Peruntukan sebanyak 120 juta ringgit disediakan bagi program pemuliharaan dan pembersihan serta pengindahan sungai di seluruh negara. 117. Untuk terus menggalakkan penggunaan tenaga secara cekap dan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui, Kerajaan mencadangkan beberapa penambahbaikan ketara dari segi insentif cukai yang disediakan, termasuk Elaun Cukai Pelaburan ke atas perbelanjaan untuk penjimatan tenaga dan penjanaan sendiri tenaga boleh diperbaharui. 118. Malaysia mempunyai potensi untuk mendapat manfaat daripada pelaburan dalam projek pengurangan pelepasan gas green house yang menyumbang kepada pemanasan global. Di bawah Protokol Kyoto, syarikat yang berjaya mengurangkan pelepasan gas green house akan diberi sijil Certified Emission Reduction (CER) yang boleh diperdagangkan. Bagi menggalakkan syarikat menyertai projek ini, pendapatan yang diterima daripada perdagangan sijil CER diberi pengecualian cukai. Memperkaya Kebudayaan, Kesenian dan Warisan 119. Malaysia kaya dengan budaya, seni dan warisan yang harus dihayati semua rakyat. Sejumlah 733 juta ringgit diperuntukkan bagi melaksanakan program kebudayaan, kesenian dan warisan. Di antara program yang akan dilaksanakan adalah untuk menaik taraf Perpustakaan Negara, program latihan serta khidmat nasihat kesenian dan kebudayaan di bawah Skim Penajaan Seni Budaya. Selain itu, peruntukan juga disediakan kepada FINAS serta Muzium Tekstil Negara. Peranan Penting Perkhidmatan Awam 120. Kerajaan menghargai peranan penting anggota perkhidmatan awam dan akan terus memberi perhatian kepada prestasi dan kebajikan kakitangan awam. Saya telah mengumumkan kenaikan gaji kakitangan awam sebanyak 7.5 peratus hingga 42 peratus di samping penambahan COLA. Ini melibatkan tambahan perbelanjaan lapan bilion ringgit setahun. Saya yakin kenaikan gaji dan elaun ini akan mendorong kakitangan awam untuk mempertingkatkan produktiviti dan mutu kerja. 121. Dalam konteks globalisasi, usaha meningkatkan tahap prestasi perkhidmatan awam adalah kritikal untuk mengekalkan daya saing negara. Kerajaan telah berjaya dalam mentransformasikan GLC untuk mengamalkan budaya prestasi tinggi, termasuk penggunaan sistem indeks prestasi utama (KPI). Berikutan daripada kejayaan transformasi ini, sudah tiba masanya amalan terbaik dan budaya prestasi tinggi diguna pakai untuk meningkatkan lagi prestasi perkhidmatan awam. 122. Sebagai permulaan, Ketua Setiausaha semua kementerian dan Ketua Perkhidmatan akan ditawarkan skim kontrak selama tiga tahun, serta prestasi mereka akan diberi ganjaran berasaskan KPI. Kontrak ini ditawarkan kepada pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik dan pegawai perkhidmatan berkaitan yang sedang berkhidmat. Di samping mempastikan perkhidmatan cemerlang, tempoh kontrak selama tiga tahun akan memberi masa yang mencukupi untuk mereka merancang dan melaksanakan pelan dan projek dengan efektif. Skim ini akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2008. Saya yakin rakyat akan mendapat manfaat hasil daripada peningkatan keberkesanan perkhidmatan Kerajaan ini. 123. Untuk melicinkan urusan pentadbiran, Kerajaan telah melantik pegawai-pegawai Gred 41 secara kontrak untuk mengisi kekosongan jawatan. Adalah didapati bahawa ramai daripada pegawai ini menunjukkan prestasi kerja yang tinggi dan sesuai untuk dilantik secara tetap. Oleh itu, pegawai kontrak yang berprestasi tinggi yang diperakukan oleh ketua jabatan akan diberi keutamaan untuk diserap ke dalam perkhidmatan awam. PERUNTUKAN BAJET 2008 124. Perbelanjaan Kerajaan akan terus ditumpukan kepada membina kapasiti untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan melalui penyediaan infrastruktur, kemudahan awam, pendidikan, dan perkhidmatan sosial, termasuk kesihatan serta kebajikan rakyat. Dengan strategi dan program yang telah saya bentangkan, saya mencadangkan, sejumlah 176.9 bilion ringgit diperuntukkan bagi Bajet 2008, iaitu 10.9 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan tahun 2007. Daripada jumlah ini, 128.8 bilion ringgit adalah bagi Peruntukan Mengurus, manakala 48.1 bilion ringgit disediakan bagi Peruntukan Pembangunan. 125. Di bawah Peruntukan Mengurus, 64 bilion ringgit atau 49.6 peratus adalah bagi Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, 36.2 bilion ringgit untuk Emolumen, 25.5 bilion ringgit bagi Perkhidmatan dan Bekalan, 2.1 bilion ringgit untuk Pembelian Aset dan 1.13 bilion ringgit untuk perbelanjaan lain. 126. Bagi Peruntukan Pembangunan, bahagian terbesar 20.6 bilion ringgit ialah untuk sektor ekonomi yang terdiri daripada sektor pertanian, perindustrian dan infrastruktur. Sejumlah 15.6 bilion ringgit diperuntukkan kepada sektor sosial iaitu pendidikan, kesihatan dan perumahan. Sektor keselamatan menerima tujuh bilion ringgit sementara pentadbiran 2.9 bilion ringgit serta Simpanan Luar Jangka sebanyak dua bilion ringgit. 127. Matlamat Kerajaan adalah untuk mempastikan pertumbuhan ekonomi berterusan dan pada masa yang sama mengurangkan defisit fiskal secara progresif. Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan telah dapat dikurangkan dengan ketara daripada 5.5 peratus pada tahun 2000 kepada 3.3 peratus daripada KDNK pada tahun 2006. Pada tahun 2007, defisit dijangka terus dikurangkan kepada 3.2 peratus. Dalam hal ini, Kerajaan akan terus meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam pungutan hasil, dan pada masa yang sama, mempastikan pengurusan perbelanjaan secara berhemat. Kedudukan fiskal Kerajaan Persekutuan diunjurkan lebih baik dengan defisit dikurangkan lagi kepada paras 3.1 peratus pada tahun 2008. PROSPEK EKONOMI 128. Persekitaran ekonomi dunia dan serantau dijangka lebih mencabar dan tidak menentu. Walaupun demikian, dengan dasar dan strategi Bajet 2008, Kerajaan yakin pertumbuhan ekonomi negara akan terus kukuh, dengan kadar peningkatan di antara 6 hingga 6.5 peratus pada tahun 2008. Pertumbuhan ini didorong oleh pelaburan dan penggunaan swasta serta penggunaan awam. Pelaburan swasta dijangka berkembang 9.5 peratus manakala penggunaan swasta pada kadar 7.9 peratus. Sementara itu, pendapatan per kapita dijangka meningkat sebanyak 6.8 peratus kepada 23,864 ringgit dan dari segi pariti kuasa beli bersamaan 14,206 dolar Amerika. 129. Sektor perkhidmatan dijangka berkembang 8.6 peratus, dipacu oleh aktiviti pelancongan, pengangkutan, kewangan dan perbankan, hartanah, pendidikan, kesihatan serta ICT. Pemulihan permintaan bagi keluaran elektrik dan elektronik dijangka dapat memberi sumbangan kepada pertumbuhan sektor pembuatan pada kadar 3.8 peratus. Sektor pembinaan, termasuk pembangunan hartanah, akan berkembang lebih cergas pada kadar 6.3 peratus berikutan peningkatan aktiviti kejuruteraan awam, hasil pelaksanaan projek Rancangan Malaysia Kesembilan. Sektor pertanian dijangka meningkat 3.5 peratus berikutan penekanan yang diberi kepada pengkomersilan sektor perladangan dan ternakan. PENUTUP Tuan Yang Di Pertua, 130. Sesungguhnya, kita harus bersyukur dengan pencapaian pembangunan negara. Dengan usaha gigih dan permuafakatan pemimpin serta rakyat, Malaysia telah berjaya melangkah jauh, mencapai pembangunan pesat dan holistik dalam tempoh lima dekad. Pembangunan yang telah dicapai merangkumi pembinaan kapasiti melalui pelaburan dalam infrastruktur fizikal, pendidikan dan latihan serta kemudahan awam. Falsafah pembangunan kita yang menekankan pertumbuhan dengan pengagihan telah membolehkan semua rakyat bersama meraih manfaat daripada perkembangan pesat ekonomi negara. 131. Dengan landasan kukuh yang telah kita bina, kita yakin dapat mencipta kejayaan lebih besar ke arah mencapai Misi Nasional. Apabila Malaysia mencapai Wawasan 2020 dan menjadi sebuah negara maju, ianya akan merupakan satu lagi detik gemilang dalam sejarah pembangunan negara. 132. Marilah kita berdoa agar sentiasa diberi petunjuk dan hidayat oleh Allah S.W.T. dalam terus membina negara dan bersama menikmati kemakmuran di tahun-tahun akan datang. Tuan Yang DiPertua, Saya mohon mencadangkan. Tuan Yang di-Pertua, Saya mohon mencadangkan supaya suatu Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2009 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua. PENDAHULUAN Bismillahir Rahmanir Rahim 2. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dari-Nya jua, saya dapat membentangkan Bajet 2009 di Dewan yang mulia ini. 3. Sejak lima puluh satu tahun yang lalu, Kerajaan telah berjaya membawa kesejahteraan kepada rakyat, berlandaskan kepada prinsip perkongsian kuasa, mengutamakan kestabilan politik, berpegang kepada kesederhanaan dan mementingkan kemakmuran ekonomi. Sebenarnya, negara kita merupakan antara negara yang paling stabil dan makmur di rantau ini. Kejayaan ini telah dicapai sungguhpun negara telah menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran, terutamanya pada tahun 1969, 1972, 1986 dan 1997. Setiap krisis itu telah kita atasi. Hari ini kita berdepan dengan persekitaran harga global yang tinggi dan pertumbuhan ekonomi dunia yang perlahan. Namun, saya yakin, sekiranya kita kekal bersatu padu, kita akan sekali lagi berjaya mengatasi cabaran yang dihadapi sekarang. 4. Semangat setia kawan yang ikhlas teruji ketika kita menghadapi kesukaran dan kesusahan. Kawan di masa senang memang ramai, tetapi kawan sejati yang setia dan sanggup bersama di masa susah tidak mudah dicari. Semangat kesetiaan kepada negara dan bangsa adalah amat penting untuk membina sebuah negara yang aman dan makmur. Dalam negara berdemokrasi memang wujud perbezaan pendapat. Sungguhpun begitu, kita harus bersatu teguh apabila berdepan isu-isu bersabit kepentingan negara. 5. Persekitaran ekonomi dan pasaran kewangan global kini menghadapi cabaran dan perkembangan tidak menentu. Seluruh dunia terpaksa menanggung beban akibat dari harga minyak yang meningkat tinggi secara mendadak, di samping meningkatnya harga bahan makanan dan komoditi lain. Ketidakstabilan sektor kewangan di Amerika Syarikat menggugat pertumbuhan ekonomi di negara tersebut serta Eropah. Walaupun aktiviti ekonomi di rantau Asia, terutamanya India dan China, kekal menggalakkan, namun sokongan permintaan domestik di negara-negara tersebut mungkin terjejas sedikit akibat tekanan inflasi. Senario ekonomi ini pastinya mempengaruhi perkembangan ekonomi global dan ekonomi negara kita tidak terkecuali dari pengaruhnya. 6. Kita bersyukur kerana ekonomi negara terus kukuh dan berdaya tahan. Asas ekonomi dan pasaran eksport yang pelbagai, serta rizab antarabangsa yang tinggi, telah meletakkan ekonomi negara lebih fleksibel untuk menghadapi persekitaran luar negara yang mencabar. 7. Ekonomi negara terus mencatat pertumbuhan yang mantap. Asas ekonomi negara yang kekal kukuh serta peningkatan permintaan dalam negeri membolehkan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) bagi suku pertama mencatat pertumbuhan 7.1 peratus, dan 6.3 peratus bagi suku kedua, lalu meletakkan KDNK bagi setengah tahun pertama 2008 pada tahap 6.7 peratus. Berasaskan daya tahan ekonomi yang kukuh, pengalaman dan keupayaan negara, serta sokongan padu rakyat, kita berjaya mengatasi beberapa krisis ekonomi dan kewangan terdahulu. Meskipun negara tidak terkecuali daripada kesan negatif disebabkan harga minyak yang meningkat, Kerajaan yakin ekonomi negara akan terus stabil, dengan pertumbuhan KDNK dianggarkan 5.7 peratus pada tahun ini. BAJET 2009 8. Bajet 2009 menumpukan kepada langkah-langkah yang akan memastikan kesejahteraan yang telah kita bina selama ini terus terjamin. Untuk itu, adalah penting diperkukuhkan daya tahan ekonomi supaya kita berupaya menangani kesan persekitaran luar yang semakin sukar. 9. Bertemakan Kerajaan Prihatin dan selaras dengan lima teras Misi Nasional, Bajet 2009 akan menumpukan kepada tiga strategi khusus, iaitu: Pertama: Menjamin Kesejahteraan Rakyat; Kedua: Membangunkan Modal Insan Berkualiti; dan Ketiga: Memperkukuhkan Daya Tahan Negara. STRATEGI PERTAMA: MENJAMIN KESEJAHTERAAN RAKYAT 10. Kerajaan akan terus memastikan rakyat sama-sama menikmati kemakmuran, hasil daripada pertumbuhan ekonomi negara. Untuk ini, Kerajaan akan melaksanakan pelbagai langkah bertujuan meringankan beban kos sara hidup, terutamanya ke atas golongan berpendapatan rendah dan yang kurang bernasib baik. Jaringan Keselamatan Sosial 11. Kerajaan tidak pernah mengabaikan golongan miskin. Kesukaran yang dihadapi oleh golongan berpendapatan rendah, berikutan daripada kenaikan kos sara hidup, amat difahami oleh Kerajaan. Menyedari hakikat ini, Kerajaan telah menaikkan tahap kelayakan pendapatan isi rumah bagi pemberian bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kelayakan pendapatan isi rumah kini ditingkatkan daripada 400 ringgit sebulan kepada 720 ringgit sebulan untuk Semenanjung, 830 ringgit sebulan untuk Sarawak dan 960 ringgit sebulan untuk Sabah. Ini bermakna, bilangan penerima bantuan meningkat dua kali ganda daripada 54 ribu isi rumah kepada 110 ribu isi rumah. Ini termasuk bilangan warga emas yang layak meningkat daripada 14 ribu kepada 40 ribu penerima. Langkah ini melibatkan perbelanjaan tambahan sejumlah 500 juta ringgit. 12. Kerajaan menghargai jasa pesara yang telah menyumbang kepada kemajuan yang kita kecapi hari ini. Bagi membantu pesara berpendapatan rendah yang menghadapi kesukaran untuk menampung sara hidup harian, pesara Kerajaan yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun akan menerima pencen tidak kurang daripada 720 ringgit sebulan, mulai 1 Januari 2009. Peningkatan ini melibatkan seramai 75 ribu pesara wajib, termasuk penerima pencen terbitan, dengan peruntukan tambahan 140 juta ringgit pada 2009. 13. Kerajaan telah menyediakan tabung bantuan bagi mereka yang dilanda bencana, seperti banjir dan kebakaran. Untuk memperluaskan skop bantuan, Kerajaan akan menubuhkan satu tabung bantuan khas berjumlah 25 juta ringgit bagi menyalurkan pemberian kewangan kepada keluarga yang kehilangan punca pendapatan secara mengejut, seperti akibat kemalangan. 14. Kerajaan prihatin terhadap kanak-kanak yang memerlukan penjagaan dalam suasana kekeluargaan. Sebagai satu inisiatif, Kerajaan, dengan kerjasama sektor korporat, telah mewujudkan program Rumah Tunas Harapan, di mana sektor korporat menyediakan rumah, manakala Kerajaan membayar kos mengurus. Memandangkan tanggungjawab besar ibu pelihara di Rumah Tunas Harapan, Kerajaan akan menaikkan jumlah Elaun Ibu Pelihara daripada 600 ringgit kepada seribu ringgit sebulan. Kenaikan ini akan berkuat kuasa mulai 1 September 2008. Untuk memperluaskan lagi program ini, Kerajaan menyeru kerjasama sektor swasta untuk membina lebih banyak Rumah Tunas Harapan. Membasmi Kemiskinan 15. Pelbagai langkah yang diambil oleh Kerajaan telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan daripada 5.7 peratus pada tahun 2004 kepada 3.6 peratus pada tahun 2007. Bilangan isi rumah miskin tegar berkurangan 43 peratus daripada 67,300 isi rumah kepada 38,400 isi rumah pada tempoh yang sama. Kerajaan yakin matlamat menghapuskan kemiskinan tegar akan dapat dicapai pada 2010. 16. Kerajaan akan terus melaksanakan program meningkatkan pendapatan serta menyediakan latihan kemahiran dan kerjaya di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat. Selain itu, Program Lonjakan Mega Luar Bandar di Pulau Banggi, Sabah dan Tanjung Gahai, di Kuala Lipis, Pahang sedang dilaksanakan. Untuk tujuan ini, peruntukan 220 juta ringgit disediakan, yang akan memanfaatkan 13,300 isi rumah. 17. Bagi perumahan pula, dalam tempoh 2006 hingga 2008, sebanyak 3,500 rumah baru telah dibina dan dua ribu rumah dibaik pulih di bawah Program Bantuan Rumah untuk membantu keluarga miskin tegar memiliki rumah kediaman yang selesa. Pada tahun 2009, peruntukan lima puluh juta ringgit disediakan untuk membina 1,400 rumah baru dan membaik pulih seribu buah rumah. Keutamaan diberi kepada golongan tua, uzur, cacat dan ibu atau bapa tunggal yang mempunyai ramai tanggungan serta mangsa bencana alam. 18. Kemiskinan tegar di Sabah dan Sarawak juga telah dikurangkan dengan ketara. Di Sabah, jumlah isi rumah miskin tegar dikurangkan daripada 32,400 pada tahun 2004 kepada 18,100 pada tahun 2007. Di Sarawak, jumlah tersebut berkurangan daripada 5,200 kepada 3,600. Usaha akan terus diambil untuk meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup rakyat di kedua negeri tersebut, terutamanya mempertingkatkan kemudahan asas, seperti bekalan elektrik, air dan jalan luar bandar. Untuk ini, 580 juta ringgit disediakan bagi Sabah dan 420 juta ringgit bagi Sarawak. 19. Sebagai satu langkah Kerajaan meringankan lagi beban kewangan golongan berpendapatan rendah, isi rumah yang membayar bil elektrik dua puluh ringgit dan ke bawah sebulan tidak perlu membayar bil elektrik, berkuat kuasa 1 Oktober 2008 sehingga akhir 2009. Kerajaan akan menanggung kos bil tersebut yang berjumlah 170 juta ringgit. Seramai 1.1 juta isi rumah akan mendapat manfaat daripada langkah ini. Meningkatkan Pendapatan Boleh Guna Rakyat 20. Kerajaan sedar bahawa peningkatan kadar inflasi telah turut memberi kesan kepada kuasa beli golongan berpendapatan sederhana. Untuk membantu mereka, Kerajaan mencadangkan rebat cukai 350 ringgit seorang yang diberikan pada masa ini, dinaikkan kepada 400 ringgit bagi pendapatan bercukai 35 ribu ringgit dan ke bawah. Berikutan langkah ini, seramai 100 ribu pembayar cukai dalam golongan pendapatan sederhana tidak lagi dikenakan cukai. 21. Di samping itu, untuk mengurangkan beban cukai, terutamanya individu yang bergantung kepada pendapatan daripada simpanan, Kerajaan mencadangkan pendapatan faedah ke atas simpanan bagi individu dikecualikan cukai. 22. Bagi menangani kesan kenaikan harga barangan pengguna, Kerajaan mencadangkan duti import ke atas beberapa barangan pengguna dikurangkan daripada di antara sepuluh peratus dan 60 peratus kepada di antara lima peratus dan 30 peratus. Barangan terlibat termasuk pengisar makanan, periuk nasi, ketuhar gelombang mikro dan cerek elektrik. Di samping itu, Kerajaan mencadangkan duti import ke atas beberapa barang makanan di antara dua peratus dan 20 peratus dikecualikan sepenuhnya. Antara barang makanan terlibat adalah mihun, biskut, jus buah-buahan dan jagung manis dalam tin. 23. Pada masa ini, kenderaan penumpang persendirian berenjin diesel milik individu dan syarikat dikenakan cukai jalan yang lebih tinggi berbanding kenderaan sama berenjin petrol. Kerajaan akan mengurangkan kadar cukai jalan kenderaan penumpang persendirian berenjin diesel milik individu dan syarikat supaya sama dengan kadar cukai jalan kenderaan berenjin petrol, berkuat kuasa 1 September 2008. Menjamin Kebajikan Pekerja 24. Sektor swasta perlu mengutamakan kebajikan pekerja. Untuk menyokong usaha sedemikian, Kerajaan mencadangkan elaun perjalanan antara rumah dan tempat kerja yang diberikan oleh majikan kepada pekerja diberi potongan sepenuhnya, manakala pekerja yang menerima elaun perjalanan diberi pengecualian cukai sehingga 2,400 ringgit setahun. 25. Di samping itu, Kerajaan mencadangkan pengecualian cukai diberikan ke atas manfaat yang dinikmati pekerja, seperti berikut: Pertama: bantuan kadar faedah bagi pinjaman berjumlah sehingga 300 ribu ringgit untuk perumahan, kenderaan bermotor dan pendidikan; Kedua: telefon mudah alih serta bil telekomunikasi dan langganan internet yang dibayar oleh majikan; Ketiga: nilai diskaun sehingga seribu ringgit setahun ke atas barangan jualan syarikat yang ditawarkan kepada pekerjanya; Keempat: nilai diskaun ke atas perkhidmatan yang diniagakan oleh syarikat yang ditawarkan kepada pekerja, seperti sekolah swasta yang memberi pendidikan percuma kepada anak pekerjanya; dan Kelima: elaun penjagaan anak sehingga 2,400 ringgit setahun bagi anak-anak pekerja. 26. Pada masa ini, pengecualian cukai ke atas manfaat perubatan yang disediakan oleh majikan tidak merangkumi perbelanjaan materniti. Kerajaan mencadang memperluaskan pengecualian cukai kepada perbelanjaan materniti. Di samping itu, memandangkan terdapat rakyat yang menggunakan perubatan tradisional, seperti akupunktur dan ayurvedic, Kerajaan juga mencadangkan pengecualian cukai diberi ke atas manfaat perubatan tradisional yang diterima oleh pekerja. 27. Untuk membantu penjawat awam, Kerajaan akan meningkatkan tahap kelayakan untuk mendapat subsidi yuran TASKA bulanan 180 ringgit. Tahap kelayakan pendapatan isi rumah bulanan dinaikkan daripada dua ribu ringgit kepada tiga ribu ringgit, mulai 1 Januari 2009. 28. Pada masa ini, kakitangan Kerajaan diberi kemudahan tambang pergi balik percuma sekali dalam tempoh dua tahun untuk mengunjungi wilayah asal, iaitu di antara Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak. Bagi mengeratkan silaturahim keluarga, kemudahan ini akan diberikan setiap tahun, mulai 1 Januari 2009. Menambah Baik Pengangkutan Awam 29. Kerajaan akan terus menggalakkan lebih ramai warga menggunakan pengangkutan awam dalam konteks meningkatkan produktiviti dan kualiti hidup. Saya telah turun padang baru-baru ini untuk melihat sendiri keadaan pengangkutan awam di ibu kota kita. Saya percaya, pengangkutan awam yang lebih efisien dan bersepadu amat penting bagi menyediakan kemudahan perjalanan yang lancar serta meningkatkan kekerapan perkhidmatan. 30. RapidKL dan RapidPenang telah ditubuhkan untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam di Lembah Kelang dan di Pulau Pinang. Kini, RapidKL menyediakan perkhidmatan bas kepada 166 laluan merangkumi lebih 980 kawasan kediaman. Sejumlah 14 peratus merupakan laluan sosial yang tidak menguntungkan dan tidak diliputi oleh syarikat pengangkutan awam yang lain. Laluan sosial ini masih beroperasi untuk memenuhi hasrat Kerajaan untuk memastikan rakyat, terutamanya daripada kalangan berpendapatan rendah, mendapat manfaat daripada usaha penambahbaikan pengangkutan awam. Pada puratanya, seramai 400 ribu penumpang sehari menggunakan perkhidmatan bas dan 350 ribu menggunakan perkhidmatan rel RapidKL. Keseluruhannya, 44 peratus dari perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Kelang disediakan oleh RapidKL. 31. RapidPenang pula menyediakan perkhidmatan bas kepada 33 laluan di 106 kawasan perumahan dengan jumlah 46 ribu penumpang sehari. RapidPenang kini menyediakan 60 peratus daripada jumlah perkhidmatan bas di Pulau Pinang. Untuk memperluaskan lagi jaringan perkhidmatan, 200 bas akan ditambah, menjadikan jumlah 350 bas. Dengan ini, perkhidmatan bas RapidPenang dijangka dapat diperluaskan lagi dengan 14 jaringan laluan baru dan jumlah penumpang meningkat kepada 120 ribu penumpang sehari pada penghujung tahun 2009. 32. Untuk meningkatkan kecekapan pengangkutan awam, sebanyak 35 bilion ringgit akan dibelanjakan dalam tempoh 2009 hingga 2014. Ini termasuk projek-projek meningkatkan kapasiti perkhidmatan rel sedia ada, membina laluan rel baru, menambah bilangan bas serta menyediakan kemudahan infrastruktur berkaitan. 33. Sistem LRT sedia ada di Lembah Kelang akan dipanjangkan sejauh 30 kilometer, iaitu masing-masing sepanjang 15 kilometer bagi Aliran Kelana Jaya dan Aliran Ampang. Apabila siap pada tahun 2011, kedua-dua projek ini akan memanfaatkan 2.6 juta bilangan penduduk di sepanjang Koridor Subang Jaya-USJ dan Koridor Kinrara-Puchong, berbanding 1.9 juta pada masa ini. 34. Pada masa yang sama, perolehan 35 set tren bagi Aliran Kelana Jaya telah dilaksanakan dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada awal tahun 2010, dengan kos 1.3 bilion ringgit. 35. Dengan langkah-langkah ini, kapasiti Aliran Kelana Jaya akan meningkat lebih dua kali ganda, daripada 160 ribu penumpang sehari pada masa ini kepada 350 ribu penumpang sehari. Aliran Ampang pula akan mempunyai kapasiti 280 ribu penumpang sehari berbanding 150 ribu penumpang pada masa ini. 36. Untuk memperluaskan lagi jaringan perkhidmatan rel bandar di Lembah Kelang, satu laluan LRT baru sepanjang 42 km akan dibina dari Kota Damansara ke Cheras. Laluan baru ini, dengan kapasiti melebihi 300 ribu penumpang sehari, apabila siap pada tahun 2014, akan memberi perkhidmatan rel bagi kawasan kediaman, perdagangan dan kewangan Koridor Kota Damansara-Cheras yang mempunyai bilangan penduduk lebih sejuta orang. 37. Kerajaan telah mengambil alih aset dan operasi KL Monorail daripada operator swasta pada akhir tahun 2007. Beberapa langkah meningkatkan kecekapan operasi dan penyelenggaraan telah dilaksanakan. Berikutan langkah-langkah ini, kesemua 12 tren yang ada telah berjaya beroperasi semula sepenuhnya. Semenjak pengambilalihan, jumlah penumpang telah meningkat lebih sepuluh peratus daripada purata 51 ribu penumpang sehari kepada lebih 57 ribu penumpang sehari pada masa ini. Pengambilalihan ini akan menyumbang kepada usaha menjadikan perkhidmatan rel bandar di Lembah Kelang lebih berintegrasi. 38. Perkhidmatan rel komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad akan dipertingkatkan. Langkah sedang dilaksanakan untuk membaik pulih 20 set Electric Multiple Unit (EMU) sedia ada yang dijangka siap pada 2009. Sejumlah 13 EMU baru juga akan ditambah menjelang tahun 2011. Dengan ini, kapasiti KTM Komuter dijangka meningkat daripada 350 ribu penumpang sehari pada masa ini kepada 500 ribu sehari. Bagi memperluaskan jaringan perkhidmatan rel komuter, laluan Sentul-Batu Caves sepanjang 7.5 kilometer sedang dibina dan dijangka siap menjelang 2010. 39. Di samping itu, dua projek utama sedang dilaksanakan bagi meningkatkan perkhidmatan KTM, iaitu Projek Landasan Berkembar Elektrik Seremban-Gemas, yang dijangka siap pada tahun 2012 dan Ipoh-Padang Besar pada tahun 2013. 40. Kerajaan juga sedang membina terminal pengangkutan bersepadu di Bandar Tasik Selatan bertujuan menyediakan kemudahan kepada teksi dan bas antara bandar daripada kawasan selatan Semenanjung. Terminal moden lima tingkat ini mempunyai kapasiti menampung lebih 130 teksi dan seratus bas, kemudahan letak kereta dan ruang komersial, di samping mempunyai connectivity dengan rel Aliran Ampang, ERL dan KTM Komuter serta juga teksi dan bas bandar di Lembah Kelang. Terminal ini dijangka beroperasi pada tahun 2011. 41. Bagi menyediakan kemudahan kepada teksi dan bas antara bandar daripada kawasan utara Semenanjung, satu terminal pengangkutan bersepadu yang baru akan dibina. Terminal ini akan dapat mengurangkan lagi kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur. 42. Pengusaha-pengusaha pengangkutan awam berperanan penting memastikan jaringan perkhidmatan yang lebih luas serta efisien, selamat dan bermutu tinggi, di kawasan bandar dan luar bandar. Untuk membantu mengurangkan kos operasi pengusaha pengangkutan awam, Kerajaan telah pun meningkatkan kuota subsidi diesel bagi pengangkutan awam. Kerajaan akan turut mengambil langkah-langkah berikut: Pertama: menyediakan kemudahan pinjaman mudah melalui Dana Pengangkutan Awam tiga bilion ringgit di bawah Bank Pembangunan Malaysia Berhad untuk membiayai perolehan aset bas dan rel; dan Kedua: mengurangkan bayaran tol sebanyak 50 peratus bagi semua bas, kecuali di pintu masuk sempadan, iaitu Tambak Johor, Link Kedua dan Bukit Kayu Hitam, untuk tempoh dua tahun, bermula 15 September 2008. Kerajaan akan memberi pampasan kepada operator tol di atas kehilangan hasil berikutan pengurangan ini yang dianggarkan 45 juta ringgit setahun. 43. Di samping itu, pengusaha semua bas diberi pengecualian cukai jualan ke atas pembelian bas baru yang dipasang dalam negara dan perbelanjaannya diberi Elaun Modal Dipercepatkan. Selain itu, cukai jalan dikurangkan kepada 20 ringgit setahun bagi semua bas dan teksi, termasuk kereta sewa pandu dan limousin. 44. Untuk memastikan perhatian khusus diberikan kepada usaha memajukan sistem pengangkutan awam bandar secara menyeluruh, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat akan ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, untuk merancang, mengintegrasi, mengawal selia dan memajukan sistem perkhidmatan pengangkutan awam. Suruhanjaya ini dijangka mula beroperasi pada pertengahan tahun 2009. Dasar Jaminan Makanan 45. Kerajaan sedang melaksanakan pelbagai program pertanian bagi menjamin bekalan makanan yang mencukupi. Sebanyak 5.6 bilion ringgit disediakan di bawah Dasar Jaminan Makanan Negara bagi tempoh 2008 hingga 2010. Peruntukan ini antara lain adalah untuk pembayaran insentif kepada pengusaha pertanian bertujuan meringankan beban kenaikan kos pengeluaran dan bagi menggalakkan peningkatan pengeluaran hasil tani. Seramai 350 ribu petani yang mengusahakan sayur-sayuran, buah-buahan, akuakultur dan ternakan akan mendapat faedah daripada insentif ini. 46. Dalam usaha meningkatkan hasil tangkapan ikan, peruntukan tiga ratus juta ringgit telah disediakan. Daripada jumlah ini, 180 juta ringgit untuk menampung sara hidup nelayan dan pemilik bot perikanan serta 120 juta ringgit sebagai insentif tangkapan ikan. Seramai seratus ribu nelayan termasuk pemilik bot akan mendapat manfaat. 47. Di samping itu, untuk menggalakkan pengeluaran ayam dan itik, Kerajaan mencadangkan penternak ayam dan itik diberi Elaun Pelaburan Semula sebanyak 60 peratus bagi tempoh 15 tahun bagi pelaburan tambahan. 48. Kerajaan akan menyediakan insentif peningkatan pengeluaran hasil padi dengan peruntukan satu bilion ringgit yang akan memberi manfaat kepada 220 ribu pesawah di seluruh negara. Lebih 1,300 hektar tanah terbiar telah dikenal pasti bagi pengeluaran padi dan makanan lain, seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan ternakan. 49. Selain itu, peruntukan 475 juta ringgit disediakan bagi bantuan input pertanian, baja dan racun perosak bagi membantu golongan pesawah. Untuk meringankan beban petani, Kerajaan mencadang memansuhkan duti import ke atas baja dan racun perosak. Menjana Pendapatan Melalui Kredit Mikro 50. Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) ditubuhkan untuk membantu isi rumah miskin luar bandar meningkatkan pendapatan melalui pembiayaan kredit mikro. Sejak ditubuhkan pada tahun 1987, AIM telah mengeluarkan pinjaman kepada lebih 180 ribu isi rumah, dengan jumlah pembiayaan 2.5 bilion ringgit. Atas hasrat untuk menangani kemiskinan bandar, skop dan operasi AIM telah diperluaskan kepada golongan miskin bandar, bermula tahun ini. Untuk ini, Kerajaan telah menyediakan peruntukan dana modal pusingan 100 juta ringgit untuk membiayai program Kewangan Mikro Bandar. AIM telah mula beroperasi di Kuala Lumpur bagi membantu golongan sasaran isi rumah berpendapatan dua ribu ringgit sebulan dan ke bawah. Program ini akan diperluaskan ke bandar-bandar di seluruh negara mulai awal 2009. Meningkatkan Taraf Hidup Orang Asli 51. Peningkatan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli terus diberi perhatian bagi memastikan mereka sama-sama menikmati kemakmuran ekonomi negara. Selaras dengan matlamat tersebut, peruntukan 160 juta ringgit disediakan untuk mempergiatkan lagi usaha menyediakan peluang pendidikan, kesihatan dan kemudahan asas yang lebih baik kepada masyarakat Orang Asli. Program utama yang akan dijalankan termasuk pembukaan pusat transit Jabatan Hal Ehwal Orang Asli di Sungai Siput, Perak yang menyediakan kemudahan penginapan dan perubatan. Di samping itu, pembangunan infrastruktur sosial masyarakat Orang Asli akan diberi tumpuan, termasuk program bantuan rumah, penempatan tersusun, menjana pendapatan dan latihan. Lebih 32 ribu Orang Asli dijangka mendapat manfaat daripada program ini. Membantu Golongan Kurang Bernasib Baik 52. Pada masa ini, bagi menggalakkan orang kurang upaya (OKU) bekerja, Kerajaan menyediakan elaun bulanan tiga ratus ringgit kepada mereka. Menyedari ada di antara OKU yang tidak berupaya bekerja, Kerajaan akan memberi elaun 150 ringgit sebulan kepada mereka. Di samping itu, elaun murid OKU di sekolah pendidikan khas akan ditambah daripada 50 ringgit kepada 150 ringgit, sementara bayaran insentif dua ratus ringgit sebulan disediakan untuk pembantu guru di sekolah berkenaan. Meningkatkan Program Perumahan 53. Dalam tempoh 2004 hingga 2008, lebih 100 ribu unit rumah kos rendah telah dibina oleh pelbagai agensi Kerajaan di seluruh negara. Bagi tahun 2009, peruntukan 330 juta ringgit disediakan kepada Jabatan Perumahan Negara untuk menyiapkan hampir 4,400 unit Program Perumahan Rakyat (PPR) Disewa, 1,500 unit PPR Bersepadu dan 600 unit PPR Dimiliki. Di samping itu, Syarikat Perumahan Negara Berhad akan membina 33 ribu rumah kos rendah. Melonggarkan Syarat Pinjaman Perumahan Kerajaan 54. Untuk membolehkan anggota perkhidmatan awam memiliki rumah, Kerajaan bersetuju untuk menambah baik syarat pinjaman perumahan anggota perkhidmatan awam. Ke arah ini, Kerajaan akan: Pertama: melanjutkan tempoh pinjaman perumahan daripada 25 tahun kepada 30 tahun bagi pinjaman baru; Kedua: memberi kemudahan pinjaman perumahan bagi kerja ubah suai ke atas rumah yang tidak dibeli melalui pinjaman perumahan Kerajaan; dan Ketiga: membuka panel insurans pinjaman perumahan Kerajaan kepada semua syarikat insurans yang layak. Pada masa ini, panel insurans adalah terhad kepada lima syarikat. Mengurangkan Kos Memiliki Rumah 55. Pada masa ini, pembeli rumah kos rendah diberi pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas semua surat cara, termasuk surat cara perjanjian pinjaman. Manakala, pembeli rumah kos sederhana pada harga sehingga 250 ribu ringgit hanya diberi pengecualian duti setem 50 peratus ke atas surat cara pindah milik sahaja. Bagi mengurangkan kos membeli rumah kos sederhana, Kerajaan mencadangkan pengecualian duti setem 50 peratus diberikan juga ke atas surat cara perjanjian pinjaman kepada pembeli rumah kos sederhana. Memperluaskan Skim Jaminan Kredit Perumahan 56. Dalam Bajet 2008, saya telah mengumumkan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bagi membantu golongan tidak berpendapatan tetap untuk memiliki rumah mampu milik. Melalui Skim ini, peminjam boleh mendapatkan pinjaman perumahan daripada Bank Simpanan Nasional dan Bank Islam Malaysia Berhad untuk membeli rumah kos rendah dan sederhana rendah. Peruntukan dana 50 juta ringgit telah disediakan untuk menjayakan Skim ini. Sehingga kini, hampir 500 permohonan bernilai 20 juta ringgit telah diluluskan. Mulai Julai 2008, Kerajaan telah memperluaskan Skim ini kepada semua institusi kewangan tempatan. Di samping itu, dana Skim ini juga akan ditambah kepada seratus juta ringgit. Dengan tambahan ini, SJKP akan berupaya menjamin pinjaman bernilai dua bilion ringgit yang akan dapat memberi kemudahan pinjaman perumahan kepada 40 ribu peminjam. Menggalakkan Tanggungjawab Sosial Korporat 57. Dalam Bajet 2008, Kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan Program Amal Jariah dengan menyediakan dana 50 juta ringgit bagi membaik pulih rumah usang rakyat miskin tegar di seluruh negara. Sehingga kini, 4,600 buah rumah telah dibaik pulih dengan anggaran kos 24 juta ringgit. Bagi tahun 2008, bilangan rumah yang akan dibaik pulih dijangka sebanyak 8,400 buah. 58. Untuk meneruskan program ini, Kerajaan menyeru syarikat swasta untuk menyumbang kepada dana ini sebagai menyokong aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), supaya lebih ramai rakyat miskin mendapat manfaat daripada Program ini. Untuk ini, Kerajaan akan menyediakan geran sepadan satu ringgit bagi setiap satu ringgit yang dibelanjakan oleh sektor swasta untuk program ini. Sebagai permulaan, seratus juta ringgit disediakan untuk tujuan ini. Dianggarkan 30 ribu rumah usang akan dapat dibaik pulih melalui kaedah ini. 59. Pada masa ini, potongan cukai diberi kepada sumbangan syarikat bagi projek komuniti dalam bidang pendidikan, kesihatan, perumahan, infrastruktur serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Bagi memantapkan lagi budaya tanggungjawab sosial korporat, Kerajaan mencadangkan skop projek komuniti yang layak mendapat potongan cukai diperluaskan kepada projek berkaitan peningkatan pendapatan golongan miskin serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Di samping itu, bagi syarikat yang memberi sumbangan kepada badan amal, Kerajaan mencadangkan had potongan cukai ditingkatkan daripada tujuh peratus kepada sepuluh peratus daripada pendapatan. 60. Malaysia merupakan antara pengeluar minyak kelapa sawit terbesar dunia. Bagi meningkatkan penerimaan minyak kelapa sawit di peringkat global, kemantapan tanggungjawab sosial dan alam sekitar dalam amalan perniagaan perlu dibuktikan. Sehubungan itu, Kerajaan menyokong sepenuhnya inisiatif perladangan kelapa sawit untuk memperoleh pensijilan Roundtable for Sustainable Palm Oil (RSPO). Bagi membantu usaha ke arah pengeluaran minyak kelapa sawit yang lebih mapan, Kerajaan akan memperuntukkan 50 juta ringgit untuk menubuhkan Dana RSPO. Dana ini akan menyediakan geran untuk menyokong program komuniti seperti menambah baik sekolah di kawasan ladang dan program pemuliharaan seperti meningkatkan biodiversiti di kawasan ladang. Memantapkan Perkhidmatan Kesihatan 61. Perkhidmatan kesihatan secara percuma akan terus disediakan kepada rakyat. Peruntukan 13.7 bilion ringgit disediakan pada tahun 2009 untuk tujuan meningkatkan kemudahan dan peralatan kesihatan, menambah bekalan ubat, membangunkan sumber manusia, menggiatkan aktiviti penyelidikan dan meningkatkan penguatkuasaan, di samping pembinaan hospital, klinik dan kuarters. 62. Selaras dengan langkah Kerajaan untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan membendung gejala sosial akibat merokok, terutamanya di kalangan remaja dan pelajar, adalah dicadangkan duti eksais spesifik ke atas rokok dinaikkan sebanyak tiga sen sebatang daripada 15 sen sebatang kepada 18 sen sebatang. Dengan ini, cukai untuk sekotak rokok 20 batang kini meningkat sebanyak 60 sen. 63. Untuk mengekalkan perkhidmatan pakar perubatan sektor awam, kadar bayaran insentif pakar perubatan akan dinaikkan, yang melibatkan 3,800 orang pegawai dengan perbelanjaan tambahan 26 juta ringgit. 64. Kerajaan juga bersetuju untuk meningkatkan kadar bayaran insentif pasukan perubatan udara di Sabah dan Sarawak. Bagi pembantu perubatan, kadar bayaran dinaikkan daripada 20 ringgit kepada 30 ringgit satu penerbangan pergi balik dan bagi jururawat daripada 15 ringgit kepada 30 ringgit satu penerbangan pergi balik. Menambah Kemudahan Awam 65. Kemudahan prasarana dapat meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat desa dan luar bandar. Bajet 2009 menyediakan peruntukan 1.8 bilion ringgit untuk menambah kemudahan asas dan infrastruktur di luar bandar. Daripada jumlah ini, lebih satu bilion ringgit akan disalurkan untuk melaksanakan projek jalan luar bandar sepanjang 480 kilometer dan jalan kampung sepanjang 1,300 kilometer. Sebanyak 280 juta ringgit disediakan bagi bekalan air luar bandar dengan sasaran 30 ribu buah rumah, 350 juta ringgit untuk bekalan elektrik luar bandar dengan sasaran 3,600 buah rumah, dan 65 juta ringgit disediakan untuk melaksanakan 11,700 buah projek kemudahan awam di luar bandar. 66. Kerajaan akan mempergiatkan usaha untuk membangunkan Sabah dan Sarawak. Bagi negeri Sabah, peruntukan hampir tiga bilion ringgit disediakan untuk melaksanakan projek infrastruktur, termasuk 266 kilometer jalan persekutuan dan jalan luar bandar yang akan memanfaatkan lebih 550 ribu penduduk setempat. Antara projek utama, termasuk membina jalan dari Jeroco-Lahad Datu Fasa Dua, menaik taraf dan membaiki Jalan Sandakan ke Telupid, menaik taraf Jalan Ranau ke Tambunan Fasa Dua, membina Jambatan Semporna–Pulau Bum-Bum, mengganti jambatan usang di kawasan pendalaman Sabah, projek kemudahan pelancongan dan ekopelancongan, kemudahan hospital dan kesihatan luar bandar serta Program Perumahan Rakyat Disewa. 67. Bagi negeri Sarawak, peruntukan 3.3 bilion ringgit disediakan untuk pelbagai projek, termasuk pembinaan 230 kilometer jalan persekutuan dan jalan luar bandar yang akan memanfaatkan lebih 350 ribu penduduk setempat. Antara projek utama yang akan dilaksanakan adalah pembinaan Jalan Penghubung ke Pusat Pentadbiran Persekutuan Baru Sarawak, Jalan Nanga Buai ke Ulu Sepak, Betong, Jalan Awat-Awat ke Kuala Lawas, Jalan Tanjong Assam ke Saribas, Empangan Bengoh Kuching, Sistem Pengurusan Air Sisa secara bersepadu di Bandaraya Kuching, Program Perumahan Rakyat Disewa, projek kemudahan pelancongan dan ekopelancongan serta kemudahan hospital dan kesihatan luar bandar. STRATEGI KEDUA: MEMBANGUNKAN MODAL INSAN BERKUALITI Tuan Yang di-Pertua, 68. Program ke arah membangunkan modal insan berkualiti lagi seimbang dari segi jasmani, rohani dan intelek akan terus dilaksanakan. Adalah menjadi hasrat Kerajaan untuk melahirkan tenaga kerja terlatih lagi berdaya saing, baik di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa. Sejumlah 47.7 bilion ringgit, yang merupakan 23 peratus daripada Bajet 2009, diperuntukkan untuk pendidikan dan latihan. Mempertingkatkan Program Latihan dan Kemahiran 69. Sejumlah 2.4 bilion ringgit diperuntukkan bagi mempertingkatkan kemudahan serta menjalankan program latihan dan kemahiran. Daripada jumlah tersebut, 150 juta ringgit diperuntukkan bagi menaik taraf 13 buah politeknik sedia ada dan 15 buah kolej komuniti serta cawangan kolej komuniti. Jumlah enrolmen dijangka mencecah 120 ribu pelajar berbanding 112 ribu pada masa ini. 70. Sejumlah dua ratus juta ringgit diperuntukkan kepada Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) sedia ada serta bagi membina sebuah ILP di Marang dan sebuah ADTEC di Taiping. Sejumlah 360 juta ringgit disediakan bagi membiayai projek Institut Kemahiran MARA dan Institut Kemahiran Tinggi MARA, projek Kolej Pelajaran Mara dan projek Giat MARA. Bagi membantu pelatih Giat MARA, elaun bulanan akan dinaikkan daripada seratus ringgit kepada dua ratus ringgit. 71. Dalam usaha untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan, Kerajaan akan menambah bilangan jururawat di hospital Kerajaan. Peruntukan 70 juta ringgit disediakan pada tahun 2009 untuk melatih 5,600 jururawat di Institusi Latihan Kejururawatan Kementerian Kesihatan Malaysia, termasuk dua ribu pelatih di institusi latihan swasta yang diiktiraf. Selain itu, untuk menampung kekurangan jururawat, graduan dalam bidang sains yang berkaitan juga akan diberi peluang kerjaya untuk mengikuti latihan diploma kejururawatan selama satu setengah tahun, berbanding dengan biasanya tiga tahun. Di samping itu, untuk menambah baik kemahiran dan kualiti perkhidmatan jururawat, semua jawatan penolong jururawat akan dinaikkan taraf kepada jawatan jururawat masyarakat, selepas mengikuti kursus kejururawatan selama enam bulan. 72. Untuk menyokong pembangunan pusat pelancongan kesihatan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Kerajaan akan menyediakan geran pelancaran 30 juta ringgit untuk mewujudkan pusat latihan jururawat tidak bermotifkan keuntungan. Ini bertujuan mempertingkatkan kebolehan dan kemahiran jururawat dan perkhidmatan berkaitan untuk menampung permintaan pasaran yang semakin tinggi untuk jururawat berkepakaran khusus. 73. Lembaga Kemajuan Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) seharusnya mengambil langkah untuk melatih lebih ramai pekerja dalam bidang pembinaan. Untuk tujuan ini, saya telah mengarahkan CIDB untuk menyediakan sekurang-kurangnya 100 ribu peluang latihan industri pembinaan dalam bidang teknikal, termasuk pengimpalan, pengurusan dan keselamatan pada tahun 2009. Di samping itu, semua pekerja binaan digalakkan mendapat pengiktirafan kemahiran melalui kaedah akreditasi dan latihan kemahiran yang dikendalikan oleh CIDB. Kos akreditasi dan latihan kemahiran bagi pekerja tempatan akan ditanggung oleh CIDB. Meningkatkan Kualiti Pendidikan 74. Kementerian Pelajaran Malaysia diperuntukkan 31 bilion ringgit, untuk menyediakan pendidikan bagi manfaat 5.8 juta pelajar. Sejumlah 1.6 bilion ringgit disediakan bagi membiayai perluasan program sedia ada, iaitu pertambahan perjawatan berikutan pembukaan 26 buah sekolah rendah dan 41 buah sekolah menengah yang baru dan pertambahan perbelanjaan untuk penyelenggaraan, bantuan makanan, biasiswa, geran per kapita dan peralatan baru. 75. Sejumlah 110 buah sekolah rendah dan 181 buah sekolah menengah baru akan dibina bagi mengatasi masalah kekurangan sekolah dan menggantikan sekolah-sekolah yang telah usang. Di samping itu, 615 juta ringgit disediakan untuk penyelenggaraan sekolah dan asrama bagi memastikan semua sekolah berada dalam keadaan bersih dan selamat. Peruntukan penyelenggaraan ini tidak boleh dipindahkan bagi tujuan lain. 76. Bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di peringkat pengajian tinggi, peruntukan 14.1 bilion ringgit disediakan kepada Kementerian Pengajian Tinggi. Daripada jumlah ini, lapan bilion ringgit diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus institusi pengajian tinggi awam, 627 juta ringgit kepada Politeknik dan Kolej Komuniti serta 37 juta ringgit kepada Agensi Kelayakan Malaysia. Sebanyak 4.4 bilion ringgit diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan, termasuk pembinaan kemudahan klinikal dan bangunan fakulti perubatan serta menyediakan latihan penyelidikan. Memperluaskan Program PINTAR 77. Kerajaan mengalu-alukan sumbangan sektor swasta untuk membantu meningkatkan kualiti pendidikan. Dalam hubungan ini, program PINTAR yang melibatkan pengambilan sekolah angkat oleh syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) telah dilancarkan pada tahun 2006. Program ini merupakan salah satu daripada inisiatif di bawah program transformasi GLC yang telah berjaya melibatkan 23 syarikat GLC dan anak syarikatnya serta memberi manfaat kepada 152 buah sekolah di seluruh negara, termasuk Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil. Antara pencapaian PINTAR termasuklah peningkatan dalam kadar kelulusan purata murid sekolah serta penambahan bilangan pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan. 78. Program PINTAR akan diperluaskan kepada penyertaan syarikat swasta bukan GLC dengan sasaran 480 buah sekolah di seluruh negara menjelang tahun 2012. Keutamaan akan diberi kepada sekolah di Sabah dan Sarawak. Untuk melaksanakan program PINTAR secara bersepadu dan lebih meluas, Kerajaan akan menubuhkan Yayasan PINTAR dengan peruntukan 20 juta ringgit sebagai geran pelancaran. Memupuk Budaya Kecemerlangan 79. Untuk meningkatkan lagi daya tahan dan daya saing negara, adalah penting kita memupuk budaya kecemerlangan dan berprestasi tinggi di semua lapisan tenaga kerja di sektor awam dan swasta. Ke arah ini, pelaksanaan Petunjuk Prestasi Utama telah dimulakan di dalam sektor perkhidmatan awam dan juga di bawah Program Transformasi GLC, dengan memberi keutamaan kepada sistem ganjaran berasaskan prestasi bagi semua tenaga kerja. 80. Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk meneruskan agenda ekonomi berasaskan pengetahuan, adalah penting untuk memastikan lebih ramai tenaga pekerja mahir berkhidmat di negara ini dan untuk membendung brain drain rakyat Malaysia. Sebagai salah satu langkah untuk menjadikan kadar cukai individu kompetitif dan menarik kepada golongan ini, Kerajaan mencadangkan supaya kadar cukai individu maksimum diturunkan dari 28 peratus kepada 27 peratus, mulai tahun taksiran 2009. Di samping itu, kadar cukai marginal sebanyak 13 peratus akan dikurangkan kepada 12 peratus, yang akan memanfaatkan golongan berpendapatan sederhana. Pengurangan ini dan peningkatan dalam pemberian rebat yang saya umumkan tadi akan memanfaatkan semua pembayar cukai. 81. Kerajaan mengalu-alukan inisiatif pihak majikan swasta mengiktiraf sumbangan pekerja yang cemerlang dan berprestasi tinggi. Untuk ini, Kerajaan mencadangkan supaya pengecualian cukai ke atas anugerah perkhidmatan cemerlang diperluaskan kepada semua anugerah berkaitan dengan inovasi dan produktiviti. 82. Memandangkan modal insan merupakan penyumbang utama dalam meningkatkan daya saing syarikat, majikan seharusnya berusaha mendapatkan tenaga kerja terbaik. Oleh itu, Kerajaan mencadangkan bayaran kepada agensi pekerjaan dan penyertaan dalam ekspo kerjaya, dibenarkan sebagai potongan cukai. STRATEGI KETIGA: MEMPERKUKUHKAN DAYA TAHAN NEGARA 83. Sungguhpun ekonomi global dijangka berkembang sederhana, pertumbuhan di rantau ini kekal kukuh, terutamanya di China dan India. Daya tahan di rantau ini memberi peluang untuk pertumbuhan beberapa sektor dalam ekonomi negara, seperti berikut: Pertama: perkhidmatan serantau seperti kewangan Islam, proses perniagaan penyumberan luar, pelancongan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan berkaitan penerbangan; Kedua: industri berasaskan sumber, terutamanya petroleum dan minyak kelapa sawit; dan Ketiga: industri pembuatan nilai ditambah tinggi, seperti elektronik dan bioteknologi. 84. Malaysia telah membuktikan daya saing dalam sektor-sektor ini berasaskan keupayaan modal insannya. Kecemerlangan golongan profesional kita diiktiraf di peringkat antarabangsa sehingga ramai antara mereka kini bekerja di serata dunia. Kecemerlangan golongan profesional kita harus digilap lagi. Untuk ini, kita perlu melatih lebih ramai golongan profesional dan meningkatkan kemahiran mereka. Sehubungan itu, Kerajaan telah pun memberi potongan cukai dua kali bagi latihan terpilih yang dianjurkan oleh INCEIF di dalam Kewangan Islam. Kerajaan mencadangkan untuk memperluaskan potongan cukai dua kali kepada majikan yang menaja pekerja mereka mengikuti pengajian lepasan ijazah dalam bidang seperti ICT, elektronik dan sains hayat. Pengecualian cukai pegangan juga akan diberikan kepada pakar bukan pemastautin yang menyediakan perkhidmatan latihan teknikal dalam bidang tersebut. Persekitaran Kondusif Bagi Pelaburan Swasta 85. Kerajaan akan terus menggalakkan aktiviti sektor swasta dengan menyediakan persekitaran yang kondusif. Ini termasuk usaha memastikan pelabur asing terus memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan. Pada tahun 2007, kemasukan pelaburan langsung asing ialah 5.2 peratus daripada KDNK berbanding dua peratus bagi negara China dan 1.3 peratus bagi negara India. Malaysia masih mampu menarik pelaburan asing ke dalam pelbagai bidang, terutamanya dalam sektor minyak dan gas serta pembuatan. Untuk menggalakkan lagi sektor swasta melabur, Kerajaan mencadangkan group relief ditambah baik dengan membenarkan kadar kerugian yang boleh ditolak ditingkatkan daripada 50 peratus kepada 70 peratus. 86. Penggunaan ICT dalam perniagaan merupakan satu keperluan asas untuk kekal berdaya saing. Walau bagaimanapun, penggunaan ICT memerlukan perbelanjaan yang agak besar oleh syarikat, terutamanya PKS, untuk mengganti dan menaik taraf peralatan ICT. Oleh itu, bagi menggalakkan sektor swasta melabur dalam peralatan ICT yang terkini, Kerajaan mencadangkan perbelanjaan ke atas peralatan ICT yang kini diberikan Elaun Modal Dipercepatkan yang layak dituntut sepenuhnya dalam tempoh dua tahun dipercepatkan kepada satu tahun. 87. Untuk memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik di rantau ini, terutamanya di kalangan syarikat multinasional, rangka percukaian harus telus dan mesra perniagaan. Untuk memberi lebih kepastian mengenai transfer pricing, Kerajaan akan mewujudkan mekanisme Penentuan Harga Awal. Mekanisme ini telah banyak diamalkan oleh negara-negara maju dan didapati telah berjaya menangani isu transfer pricing dengan lebih cekap dan berkesan. 88. Peningkatan kecekapan operasi pelabuhan adalah penting bagi menyokong pertumbuhan perdagangan antarabangsa negara. Untuk ini, Kerajaan mencadang memansuhkan larangan import bagi kren di pelabuhan, manakala kadar duti import dikurangkan daripada 20 peratus kepada lima peratus. Mempergiatkan Pembangunan Koridor Pertumbuhan 89. Kerajaan komited kepada inisiatif koridor pertumbuhan wilayah ke arah pembangunan sosioekonomi yang lebih seimbang. Adalah menjadi hasrat Kerajaan untuk membuka lebih banyak peluang pelaburan, pekerjaan dan keusahawanan agar pendapatan rakyat dapat ditingkatkan secara mapan. Setakat ini, kelima-lima koridor pembangunan telah dilancarkan dan inisiatif sepertimana yang telah direncanakan di dalam Pelan Induk Pembangunan masing-masing telah mula dilaksanakan. Koridor tersebut adalah Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Wilayah Koridor Pantai Timur, Koridor Pembangunan Sabah dan Koridor Tenaga Diperbaharu Sarawak. Di dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan, siling tambahan sepuluh bilion ringgit telah diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan koridor-koridor tersebut. Sebanyak enam bilion ringgit diperuntukkan dalam Bajet 2009. 90. Untuk mengukuhkan pelaburan swasta di Iskandar Malaysia, peruntukan tambahan 300 juta ringgit di bawah Dana Pelaburan Strategik disediakan bagi melaksanakan projek perkongsian sektor awam dan swasta, seperti pengangkutan awam, perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan industri kreatif. Perkongsian ini merupakan satu kaedah di mana sektor swasta menanggung sepenuhnya risiko projek, sementara Kerajaan memberi bantuan untuk memastikan projek ini berdaya maju. Sebagai contoh, di dalam bidang kesihatan, sektor swasta membina hospital manakala Kerajaan membantu pengusaha tersebut dengan menaja pesakit yang layak dibiayai oleh Kerajaan ke hospital tersebut. 91. Bagi memenuhi permintaan yang akan wujud dari pertumbuhan perniagaan, Iskandar Malaysia akan membangunkan sistem pengangkutan awam bersepadu. Sebagai permulaan, usaha ini akan ditumpukan kepada menambah baik perkhidmatan bas melalui kerjasama dengan pengusaha bas sedia ada. Di bidang perkhidmatan kesihatan, pusat kecemerlangan pengajian dan penyelidikan pasca ijazah akan ditubuhkan dengan kerjasama hospital swasta. Iskandar Malaysia akan menubuhkan sekolah tidak bermotifkan keuntungan secara perintis. Pengambilan pelajar sekolah ini akan terdiri daripada pelajar tajaan Kerajaan dan persendirian. Selain itu, dana akan disediakan untuk membangunkan kluster industri kreatif di Iskandar Malaysia ke arah mengukuhkan bakat kreatif tempatan. 92. Antara program yang sedang dilaksanakan di Koridor Pantai Timur adalah projek Agropolitan di selatan Kelantan, Besut-Setiu dan Pekan, termasuk membangunkan produk kenaf. Bagi membolehkan penduduk tempatan mendapat manfaat daripada sumber petroleum di Terengganu, industri hiliran, seperti Kluster Industri Plastik Kertih akan dimajukan. Begitu juga, Koridor Sarawak akan memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga hidro dan arang batu, industri hiliran petroleum dan gas serta pertanian berskala besar. 93. Untuk mencapai sepenuhnya potensi sektor pertanian di dalam Koridor Utara, beberapa projek sedang dilaksanakan, termasuk projek ternakan lembu daging menggunakan sistem fidlot di Tobiar, Laka Temin dan Chuping serta program membangunkan tiga ribu hektar kawasan sawah. Di Koridor Sabah, projek kelompok industri berasaskan kelapa sawit di Lahad Datu dan pusat bersepadu ternakan Keningau sedang dilaksanakan. Mempromosikan Pelancongan 94. Dalam konteks pembangunan koridor di Sabah dan Sarawak, Kerajaan mencadangkan pelaburan baru oleh pengusaha hotel bertaraf empat dan lima bintang di Sabah dan Sarawak diberi galakan Taraf Perintis dengan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus atau Elaun Cukai Pelaburan 100 peratus bagi tempoh lima tahun. 95. Pada Julai 2008, UNESCO telah mengisytiharkan Melaka dan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia kerana gaya hidup, sejarah, seni bina dan kepelbagaian budayanya. Ini adalah satu pengiktirafan daripada masyarakat sedunia di atas kekayaan dan kepelbagaian warisan budaya kita. Untuk menyokong inisiatif pemuliharaan tapak warisan tersebut, Kerajaan akan menyediakan peruntukan 50 juta ringgit untuk kerja pemuliharaan di Pulau Pinang dan Melaka. Aktiviti ini akan dikendalikan oleh badan bukan Kerajaan dan sektor swasta. Galakan Untuk Syarikat Modal Teroka 96. Terdapat banyak projek sektor swasta yang berinovatif dan berpotensi tinggi yang boleh dilaksanakan tetapi menghadapi masalah mendapatkan sumber pembiayaan berikutan risiko yang tinggi. Sumber pembiayaan konvensional, seperti pinjaman bank dan sekuriti hutang swasta, mungkin tidak begitu sesuai membiayai projek ini. Bagi menggalakkan lebih banyak pelaburan oleh dana modal teroka dan ekuiti swasta, Kerajaan mencadangkan supaya syarikat modal teroka yang melaburkan dana sekurang-kurangnya 30 peratus dalam bentuk start up, early stage financing atau seed capital diberi pengecualian cukai selama lima tahun. Memajukan Sektor Maritim 97. Sebagai sebuah negara perdagangan, perkembangan industri perkapalan tempatan terus digalakkan bertujuan memastikan lebih banyak syarikat kapal tempatan terlibat dalam pengangkutan barangan perdagangan negara. Dua dana berjumlah 2.3 bilion ringgit telah ditubuhkan di bawah Bank Pembangunan Malaysia Berhad, iaitu Malaysian Shipping Finance Fund dan New Shipping Finance Facility bagi tujuan membiayai pembelian kapal. Dana-dana ini telah berjaya digunakan sepenuhnya di mana 68 buah syarikat perkapalan dan lapan limbungan kapal mendapat pembiayaan. Oleh itu, satu dana baru berjumlah dua bilion ringgit akan disediakan untuk membiayai pembelian kapal dan juga menaik taraf limbungan kapal. Mempergiatkan Perusahaan Kecil dan Sederhana 98. Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berperanan penting dalam pertumbuhan ekonomi. Untuk meningkatkan lagi peranan PKS, Kerajaan telah mengumumkan dua dana baru berjumlah 1.2 bilion ringgit yang dibiayai oleh Bank Negara Malaysia. Dana ini bertujuan untuk membantu PKS memodenkan operasi mereka, terutamanya bagi pembelian atau penambahbaikan mesin dan peralatan serta mengurangkan kesan kenaikan kos. Bagi terus memantapkan lagi sokongan kepada PKS, Kerajaan mencadangkan semua aset dalam bentuk loji dan mesin yang diperoleh dalam tahun taksiran 2009 dan 2010 diberikan Elaun Modal Dipercepatkan yang layak dituntut sepenuhnya dalam tempoh satu tahun. Di samping itu, PKS juga dibenarkan menuntut elaun modal sepenuhnya dalam tempoh satu tahun ke atas semua aset bernilai kecil mereka. Pelan Tenaga Negara 99. Kejayaan industri petroleum negara telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan sosioekonomi negara. PETRONAS telah memberi sumbangan kewangan yang besar kepada Kerajaan dalam bentuk royalti, cukai, duti dan dividen. Semua sumbangan ini telah membolehkan Kerajaan membangunkan infrastruktur dan menyediakan kemudahan pendidikan dan kesihatan yang lebih baik. 100. Walaupun industri petroleum negara telah mencapai kejayaan yang membanggakan, kita tidak seharusnya lupa bahawa sumber minyak dan gas negara adalah kecil, semakin berkurangan dan terhad. Walaupun usaha mencari sumber rizab baru sedang diteruskan dan telah menemui kejayaan yang amat baik, kita mesti menerima hakikat bahawa sumber ini bakal habis dan apabila berlaku, ia akan mendatangkan kesan yang besar ke atas ekonomi negara. 101. Kita mesti mencari penyelesaian baru untuk memastikan keperluan bekalan tenaga jangka panjang negara tetap terjamin. Oleh yang demikian, kita perlu melipatgandakan usaha mempertingkatkan keberkesanan penggunaan tenaga untuk memastikan penggunaan yang lebih produktif dan berhemah. Dalam usaha yang sama, kita perlu meningkatkan usaha menggalakkan penggunaan sumber tenaga alternatif seperti solar, angin dan biofuels, di samping menerokai sumber tenaga nuklear. Kerajaan kini merangka Pelan Tenaga Negara yang komprehensif untuk menangani cabaran-cabaran ini bagi memastikan bekalan tenaga negara yang mapan dan mampu diri (self sufficient, dengan izin). 102. Bagi menangani harga bahan api fosil yang tidak menentu, beberapa langkah telah diambil untuk mempelbagaikan sumber tenaga dan menjimatkan penggunaan tenaga. Pada masa ini, pelbagai galakan telah disediakan bagi meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan penjimatan tenaga. Ke arah ini, Kerajaan mencadangkan pengecualian cukai, seperti berikut: Pertama: duti import dan cukai jualan ke atas peralatan sistem solar photovoltaic; Kedua: duti import dan cukai jualan ke atas barangan perantaraan, seperti High Efficiency Motors dan insulation materials; Ketiga: cukai jualan ke atas peralatan sistem pemanasan solar keluaran tempatan; Keempat: cukai jualan ke atas barangan pengguna keluaran tempatan yang menjimatkan tenaga, seperti peti sejuk, alat penyaman udara, lampu, kipas angin dan televisyen; dan Kelima: duti import 100 peratus dan duti eksais 50 peratus kepada pemegang francais yang mengimport kereta hibrid CBU baru yang berkapasiti enjin di bawah 2,000 cc. Pengecualian ini adalah bagi tempoh dua tahun sebagai persediaan untuk mereka memasangnya dalam negara. Merancakkan Pasaran Modal 103. Pasaran modal negara telah mencapai pertumbuhan yang membanggakan, dan kini, merupakan antara pasaran modal terbesar di rantau ini. Kemajuan yang telah dicapai bukan sahaja dari segi meningkatkan lagi saiz pasaran, tetapi juga dari segi usaha untuk membangunkan produk baru dan berinovatif untuk memenuhi keperluan dan pilihan pelabur tempatan dan luar negara. 104. Untuk mengukuhkan lagi pasaran modal negara dan memudahkan syarikat perantara domestik, seperti penasihat korporat utama, mengembangkan perniagaan antarabangsa mereka, Kerajaan mencadangkan pengecualian cukai ke atas pendapatan fi yang diterima oleh syarikat perantara domestik yang berjaya menarik penyenaraian syarikat dan produk pelaburan asing di Bursa Malaysia. Langkah ini juga akan membolehkan pelabur tempatan memperoleh saham syarikat asing yang disenaraikan di bursa tempatan. 105. Untuk meningkatkan kedudukan negara sebagai satu hab pasaran modal Islam, Kerajaan mencadangkan pengecualian cukai diberi selama tiga tahun bagi pendapatan fi dan keuntungan yang diterima oleh institusi yang menjalankan urus niaga sukuk bukan ringgit yang diterbitkan di Malaysia dan diagihkan di luar Malaysia. 106. Selain itu, untuk menggalakkan usaha mempelbagaikan lagi produk dan menarik lebih ramai pelabur asing ke pasaran modal negara, kadar cukai ke atas dividen daripada Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) yang diterima oleh pelabur institusi asing yang kini dikenakan cukai pada kadar 20 peratus dikurangkan kepada sepuluh peratus. Menyedari bahawa REIT merupakan produk pelaburan yang menarik bagi individu, Kerajaan mencadangkan pengurangan cukai daripada 15 peratus kepada sepuluh peratus. Menjamin Keselamatan Awam 107. Negara yang aman dan harmoni membolehkan rakyat hidup dalam suasana selamat, membolehkan urusan harian berjalan lancar serta meningkatkan keyakinan peniaga dan pelabur. Ketenteraman awam dan keselamatan negara tidak boleh dikompromi. Bajet 2009 menyediakan peruntukan 5.4 bilion ringgit bagi meningkatkan keupayaan Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Daripada jumlah ini, 4.8 bilion ringgit bagi Belanja Mengurus dan 600 juta ringgit bagi Belanja Pembangunan. 108. Sebanyak 162 buah balai polis dan pondok polis telah diwujudkan dalam tahun 2008 di kawasan yang mencatatkan kejadian jenayah yang tinggi, iaitu di Selangor, Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan warga dan negara, 220 juta ringgit diperuntukkan dalam tahun 2009 bagi pembinaan ibu pejabat, balai dan pondok polis di seluruh negara. 109. Dalam tempoh 2008 hingga 2010, seramai 22,800 konstabel dan tiga ribu inspektor akan dilantik. Di samping itu, elaun bayaran insentif khas anggota PDRM ditingkatkan daripada seratus kepada dua ratus ringgit sebulan, mulai 1 Januari 2009. 110. Kerajaan telah pun memberi galakan cukai ke atas pemasangan alat kawalan keselamatan di premis kilang dan alat pengesan kenderaan bagi meningkatkan keselamatan barangan. Kerajaan mencadangkan supaya semua premis perniagaan yang memasang alat kawalan keselamatan diberi Elaun Modal Dipercepatkan yang boleh dituntut sepenuhnya dalam tempoh satu tahun. Menghargai Perkhidmatan Awam 111. Kerajaan menghargai peningkatan produktiviti dan sumbangan kakitangan sektor awam kepada pembangunan negara. Kerajaan bersetuju untuk memberi bonus bersamaan sebulan gaji dengan minimum seribu ringgit bagi tahun 2008. Bonus ini akan diberi dalam dua bayaran, iaitu pada bulan September dan Disember, 2008. PERUNTUKAN BAJET 2009 112. Kedudukan fiskal Kerajaan Persekutuan bertambah kukuh semenjak tujuh tahun yang lalu, dengan defisit keseluruhan berjaya dikurangkan daripada 5.5 peratus daripada KDNK pada tahun 2000 kepada 3.2 peratus pada tahun 2007. Kejayaan mengurangkan defisit ini telah memberi lebih fleksibiliti kepada dasar fiskal Kerajaan, terutamanya ketika negara menghadapi cabaran persekitaran ekonomi global yang tidak menentu serta peningkatan harga barangan. 113. Pengurangan tahap defisit sejak tujuh tahun lalu telah memberi ruang kepada Kerajaan untuk melaksanakan langkah tambahan bagi mengurangkan impak peningkatan harga ke atas rakyat. Langkah ini telah melibatkan perbelanjaan tambahan 22.1 bilion ringgit pada tahun ini, termasuk 17 bilion ringgit bagi subsidi minyak dan 3.6 bilion ringgit bagi subsidi makanan. Selain daripada ini, beberapa sektor utama telah diberi tambahan peruntukan sejumlah 1.5 bilion ringgit, terutamanya pendidikan, kesihatan, kebajikan dan keselamatan dalam negeri. 114. Setelah mengambil kira hasil sebanyak 161.6 bilion ringgit dan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan sebanyak 196.9 bilion ringgit, defisit fiskal dianggar meningkat kepada 4.8 peratus pada tahun 2008. Walau bagaimanapun, Kerajaan percaya defisit fiskal yang tinggi ini merupakan keperluan one-off dan Kerajaan komited untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 3.6 peratus pada tahun 2009. 115. Dengan strategi dan program yang telah saya bentangkan, saya mencadangkan, sejumlah 207.9 bilion ringgit diperuntukkan bagi Bajet 2009, iaitu 5.1 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan dipinda tahun 2008. Daripada jumlah ini, 154.2 bilion ringgit adalah bagi Peruntukan Mengurus, manakala 53.7 bilion ringgit disediakan bagi Peruntukan Pembangunan. 116. Di bawah Peruntukan Mengurus, 86.3 bilion ringgit atau 56.6 peratus adalah bagi Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, 38 bilion ringgit untuk Emolumen, 26.5 bilion ringgit bagi Perkhidmatan dan Bekalan, 2.4 bilion ringgit untuk Pembelian Aset dan satu bilion ringgit untuk perbelanjaan lain. 117. Bagi Peruntukan Pembangunan, bahagian terbesar 27.8 bilion ringgit ialah untuk sektor ekonomi yang terdiri daripada sektor pertanian, perindustrian dan infrastruktur. Sejumlah 17.8 bilion ringgit diperuntukkan kepada sektor sosial iaitu pendidikan, kesihatan dan perumahan. Sektor keselamatan menerima 4.1 bilion ringgit dan pentadbiran 2.1 bilion ringgit, manakala bakinya dua bilion ringgit adalah untuk simpanan luar jangka. PROSPEK EKONOMI TAHUN 2009 118. Pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2009 dijangka berkembang pada kadar 5.4 peratus. Pertumbuhan ini didorong oleh permintaan dalam negeri, dengan penggunaan dan pelaburan swasta meningkat sebanyak 6.5 peratus dan 5.8 peratus. Pertumbuhan juga dijangka lebih menyeluruh dengan sumbangan positif dari semua sektor ekonomi. Sumber pertumbuhan ekonomi dijangka masih diterajui oleh sektor perkhidmatan yang dijangka berkembang pada kadar 6.9 peratus. Pertumbuhan ini didorong oleh kerancakan industri pelancongan, pengangkutan, kewangan dan perbankan serta industri berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi. Perdagangan luar negara akan terus mantap dengan eksport berkembang 4.6 peratus. 119. Pendapatan per kapita diunjurkan meningkat 8.1 peratus kepada 27,900 ringgit dan dari segi pariti kuasa beli bersamaan 17,600 dolar Amerika. Kadar inflasi dijangka lebih sederhana, berikutan pelaksanaan pelbagai langkah Kerajaan untuk membendung kenaikan harga. PENUTUP Tuan Yang Di Pertua, 120. Pembentangan Bajet 2009 membuktikan sekali lagi bahawa Kerajaan Barisan Nasional sentiasa mendengar rintihan rakyat dan bertindak untuk meringankan beban setiap lapisan masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah. Pendekatan yang diambil menjurus kepada bantuan dan sokongan yang bukan sahaja memperbaiki kualiti hidup tetapi juga memperkasakan seluruh rakyat untuk meningkatkan produktiviti. Bajet ini juga selaras dengan perancangan jangka masa sederhana yang termaktub dalam Misi Nasional dan Rancangan Malaysia Kesembilan untuk terus membangunkan negara ke arah Wawasan 2020. 121. Kerajaan Barisan Nasional akan terus mentadbir ekonomi negara dengan penuh beramanah tanpa membuat janji-janji populis seperti yang dicanangkan oleh Pembangkang yang boleh memusnahkan kedudukan kewangan Kerajaan dan mewariskan negara yang muflis pada generasi muda. 122. Sesungguhnya, kestabilan politik negara wajib dipelihara secara bersama. Badan- badan politik, badan bukan Kerajaan, sektor swasta dan media mempunyai tanggungjawab bersama membina sebuah negara yang aman, damai, teguh lagi bersatu. Rakyat tidak akan dimakmurkan dan negara tidak dapat dibangunkan hanya dengan retorik politik. Budaya berpolitik yang keterlaluan merugikan setiap kita, malah menjejaskan kemakmuran negara. 123. Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Barisan Nasional yang diberi mandat oleh rakyat pada bulan Mac lalu akan terus memelihara kestabilan politik dan meningkatkan kemakmuran ekonomi negara. Usaha pihak tertentu yang cuba menggugat kestabilan ini, dengan merampas kuasa secara tidak sah tanpa mandat majoriti rakyat, perlu ditolak. Kita tidak boleh membenarkan ketidakpastian yang timbul untuk berterusan. Sedikit sebanyak ia akan memberi kesan negatif kepada pelabur asing, sentimen ekonomi dan juga pasaran modal. Saya tidak akan membenarkan gangguan ini diteruskan. Saya tidak akan membenarkan mandat rakyat dirampas daripada parti Barisan Nasional yang telah menang majoriti pilihan raya umum secara sah dan mengikut lunas demokrasi. Saya yakin rakyat akan terus memberi sokongan kepada Kerajaan Barisan Nasional untuk melaksanakan tugas-tugas mentadbir negara. We need to get on with the business of governing and not waste any more time with opportunistic threats to seize the people’s mandate through undemocratic means, dengan izin. 124. Keamanan dan kemakmuran negara adalah tanggungjawab bersama. Untuk ini, Kerajaan memerlukan persefahaman dan peranan konstruktif semua lapisan masyarakat, termasuk mereka yang berbeza fahaman politik. Marilah kita bersama, dalam semangat satu bangsa satu negara, membangunkan tanah air tercinta ini serta mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara. Marilah kita bersatu membina sebuah negara-bangsa yang terus gemilang. 125. Semoga Allah S.W.T. sentiasa memberikan petunjuk dan hidayah kepada kita. Semoga kebenaran mengatasi kepalsuan. Semoga negara kita dikekalkan aman sejahtera, dilimpahkan kemakmuran dan kebahagiaan. Semoga anak cucu kita dapat mewarisi sebuah negara yang aman lagi makmur. Semoga rakyat hidup bersatu dan maju. Tuan Yang di-Pertua, Saya mohon mencadangkan. Tuan Yang Dipertua, Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk "Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2017 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu" dibaca bagi kali kedua. Tuan Yang Dipertua, BismillahirRahmanirRahim, Alhamdulillahi Rabbil A'iamin, Wa bihi Nastai'n. 1. Segala puji dan puja serta kalimah tasbih dipanjatkan ke hadrat Allah Hu Ta'ala di atas limpah kurnianya yang menghimpunkan kita sekali lagi pada petang Jumaat 21 haribulan Oktober 2016, bersamaan 20 haribulan Muharram 1438 Hijriah yang mulia ini, bagi maksud pembentangan sebuah lagi dokumen besar negara yakni Bajet 2017. 2. Demikianlah, tentunya kita memohon limpahan rahmat ke atas penghulu kami Nabi Muhammad, dengan selawat sesempurna anugerah. 3. Wahai Tuhan Yang Maha Besar, sebaik-baik perancang, dipohon Taufik dan Hidayah serta nikmat bahagia yang berkekal-kekalan kepada hamba-hambaMu ini seluruh rakyat Malaysia. Tuan Yang Dipertua, 4. Pada kesempatan ini, kita mengalu-alukan kembalinya sejumlah lebih 23,000 orang jemaah Haji ke tanah air dengan selamatnya. Didoakan semoga semuanya telah memperoleh Haji yang mabrur. Insya-Allah. Tuan Yang Dipertua, 5. Saban tahun sejak kurang lebih enam dekad lalu, belanjawan¬belanjawan atau bajet-bajet telah dipersembahkan. 6. Jika kita mengimbas sejarah, bermula dengan belanjawan kali pertama pasca merdeka, di Parlimen pada tahun 1959, yang hanya berbekalkan peruntukan sebanyak RM888 juta, hinggalah Bajet 2017 ini, berperuntukkan sejumlah RM260.8 bilion. 7. Dengan izin dan kehendak Allah yang Maha Berkuasa jua, Kerajaan Perikatan, bertali-temali kini, sebagai Kerajaan Barisan Nasional, telah berjaya mempertahan dan memperkekalkan pertumbuhan KDNK, pada purata enam peratus setahun, selama hampir 60 tahun berturut-turut. Alhamdulillah, Alhamdulillah. Tuan Yang Dipertua, 8. Bajet kali ini dengan diperuntukkan RM260.8 bilion, merupakan peningkatan 3.4 peratus daripada pengubahsuaian Bajet 2016. 9. Daripada jumlah ini, RM214.8 bilion adalah Perbelanjaan Mengurus dan RM46 bilion pula, untuk Perbelanjaan Pembangunan. Ini tidak termasuk simpanan luar jangka sebanyak RM2 bilion. 10. Di bawah Peruntukan Mengurus, RM77.4 bilion adalah untuk Emolumen, serta RM32 bilion untuk Perkhidmatan dan Bekalan. 11. Manakala, RM103.9 bilion untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Pembelian Aset pula, diperuntukkan RM691 juta, dan RM816.6 juta lagi, untuk perbelanjaan lain. Tuan Yang Dipertua, 12. Di bawah Peruntukan Pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan tertinggi sebanyak RM25.9 bilion, diikuti oleh sektor sosial RM12.2 bilion. Sektor keselamatan mendapat RM5.3 bilion, dan sektor pentadbiran am lebih RM2.5 bilion. 13. Oleh itu, berdasarkan prestasi semasa, hasil 2017 dijangka berkembang sekitar tiga peratus iaitu kepada RM219.7 bilion. 14. Selain itu,...sasaran Kerajaan untuk defisit fiskal tiga peratus daripada KDNK pada 2017, mudah-mudahan dapat dicapai, berbanding,...3.1 peratus pada tahun ini. 15. Jadinya, Tuan Yang Dipertua, saudara dan saudari,...saya faham, angka dan nombor-nombor yang disebut barangkali tidak mudah difahami ramai. 16. Sebenarnya, apa yang hendak saya sampaikan adalah, Kerajaan sentiasa komited untuk melaksanakan bajet yang terbaik melalui perbelanjaan berhemah, sekalipun,... kita berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi dunia. Saudara dan saudari, 17. Maksud perbelanjaan berhemah oleh Kerajaan di sini, kalau hendak dipercontohkan dalam sesebuah keluarga, seorang bapa atau ketua keluarga harus bijak dalam menguruskan kewangan untuk keperluan seisi rumah. 18. Ertinya, jika dulu,...dapat dibelikan mainan yang agak mahal untuk anak-anak,...dalam keadaan sekarang,...beli tetap beli juga,...tetapi yang bersesuaian dengan kadar kemampuan. 19. Manakala, makan minum,...kalau sebelum ini boleh sedikit bermewah dan makan-makan di restoran mahal,...kini boleh bersederhana serta berjimat, barangkali di restoran-restoran berpatutan, namun tidak kurang enak makanannya. 20. Tambahan lagi, Malaysia dikenali sebagai 'Syurga Makanan'. 21. Misalnya, dalam Amanat Merdeka baru-baru ini, saya telah memberi contoh makanan yang sedap dan harga pun boleh tahan, namun masih enak seperti Nasi Kandar Vanggey di Ipoh. 22. Terkini pula, saya dapat tahu,...telah viral tentang 'Nasi Lemak Anak Dara' di Shah Alam yang diusahakan oleh seorang graduan wanita muda dari universiti tempatan... Kesiannnn katanya dah kena saman pulak. 23. Apa pun,...Kerajaan kini harap dan kita galakkan individu-individu terutamanya para graduan, yang ingin menjadi usahawan seperti ini didoakan agar terus berusaha dan berjaya. Tuan Yang Dipertua, 24. Berbalik kepada Bajet 2017 ini,...kita ingin mengambil ibarat dan teladan daripada kisah-kisah di zaman Nabi Allah Yusof Alaihi Salam, bersempena Kitab Suci al-Quran Surah 12, ayat-ayat 43 hingga 49, tentang perancangan tujuh tahun pertama dan persediaan, selanjutnya tujuh tahun cabaran mengekalkan keutuhan ekonomi negara. 25. Beriktibar daripada peristiwa bersejarah itu, merujuk kepada situasi yang berlaku kepada ekonomi negara kita, pada tahun 2008, yakni tujuh tahun lalu, Malaysia tidak terlepas daripada dilanda kelembapan ekonomi global. 26. Justeru, selepas dilantik sebagai Menteri Kewangan, di bawah pimpinan mantan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, kami telah melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama, berjumlah hampir RM7 bilion, bagi merangsang kembali pertumbuhan ekonomi negara. 27. Sebenarnya, pakej pertama itu, merupakan langkah interim sahaja. Kemudiannya, kira-kira sebulan sebelum saya dilantik menjadi Perdana Menteri pada Mac 2009, Pakej Rangsangan Kedua bernilai RM60 bilion telah digerakkan. 28. Ternyata, langkah proaktif ini berjaya memangkin ekonomi negara yang lembap pada masa tersebut. Hasilnya, ekonomi Malaysia kembali berkembang, dengan pertumbuhan KDNK mencecah 7.4 peratus pada tahun 2010. Tuan Yang Dipertua, 29. Alhamdulillah, rentetan daripada inisiatif-inisiatif pakej-pakej stimulus tersebut, dan tujuh bajet yang telah dilaksanakan, ekonomi kita stabil dan kekal berada di landasan positif. Tuan Yang Dipertua, 30. Sesungguhnya, keadaan ekonomi global atau external economy masa kini adalah tidak menentu dan berada di luar kawalan kita. 31. Pertumbuhan perlahan ekonomi antarabangsa berpunca daripada kelembapan kesemua Kuasa-Kuasa Besar Ekonomi Dunia secara serentak. 32. Sebab itulah, pertumbuhan KDNK dunia menurun daripada 3.2 peratus pada 2015, ke paras 3.1 peratus yang diunjurkan bagi tahun 2016. 33. Kendatipun begitu, kita amat bersyukur, pertumbuhan ekonomi kita masih kekal stabil dan sustainable bagi separuh pertama tahun ini. 34. Jelasnya, ekonomi negara terus berkembang pada 4.1 peratus dan kita yakin sasaran pertumbuhan empat hingga 4.5 peratus bagi tahun 2016 dan empat hingga lima peratus pada 2017 akan tercapai, Insya-Allah. 35. Sesungguhnya jua, we are now on the right track kerana berani membuat keputusan-keputusan yang tepat, sekalipun ia tidak popular. 36. Saya hendak nyatakan di sini, bahawa all those major and crucial decisions were deliberately done. 37. Bak kata pepatah Melayu, Menyediakan Payung Sebelum Hujan dengan mempasak dan memancang, foundation yang kukuh demi kedudukan jangka masa panjang kewangan dan ekonomi negara. Tuan Yang Dipertua, Saudara dan Saudari sekalian, 38. Segalanya ini dicapai berkat kegigihan dan perancangan Kerajaan dengan menumpukan kepada beberapa dasar strategik, sejak tahun 2010. 39. Pertamanya: Mempelbagaikan sumber hasil Kerajaan, terutamanya mengurangkan kebergantungan hasil negara daripada sektor minyak dan gas sebanyak 41.3 peratus pada tahun 2009 kepada 14.6 peratus pada tahun 2016. 40. Hasil daripada mempelbagaikan ekonomi secara lebih meluas ini, pertumbuhan ekonomi negara dapat dipertahankan dan masih terpelihara, sungguhpun harga minyak telah merosot hampir 50 peratus. 41. Keduanya: Langkah berani Kerajaan memperkenalkan GST untuk meluaskan sumber pendapatan Kerajaan. Perlu kita sedar, hasil cukai langsung dari individu hanyalah terdiri daripada 2.1 juta pembayar sahaja, daripada 14.6 juta jumlah warga kerja negara. 42. Tambahan pula, dengan kejatuhan harga minyak, dianggarkan Kerajaan kehilangan pendapatan kira-kira RM30 bilion setahun, daripada sumber cukai pendapatan, cukai korporat, royalti, dividen Petronas dan cukai petroleum. 43. Sedarilah, dengan adanya GST, Kerajaan berupaya menampung perbelanjaan di kala sumber yang lain berkurangan. Tuan Yang Dipertua, 44. Sukacita saya melaporkan, melalui GST sebanyak hampir RM30 bilion telah berjaya dikutip setakat 19 Oktober 2016. 45. Apa yang pastinya, ingin saya tegaskan di sini,...janganlah percaya gembar-gembur bahawa kadar GST akan dinaikkan. Itu cuma cakap-cakap kosong dan tidak benar sama sekali. 46. Langkah Ketiganya, Rasionalisasi Subsidi: Sebagai contoh, jika hendak dibandingkan bagi minyak, pada tahun 1995, masa itu subsidi hanyalah RM123 juta. Jumlah ini hanya mewakili 0.24 peratus daripada bajet keseluruhan negara. 47. Kemuncaknya, pada tahun 2012, mencecah jumlah subsidi RM24.8 bilion, atau 9.8 peratus daripada bajet keseluruhan negara. 48. Secara langsungnya, dasar subsidi pukal jelas membebankan kewangan negara dan menggalakkan ketirisan, dan kita telah ganti dengan subsidi bersasar, yang manfaatnya sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan bantuan. Tuan Yang Dipertua, 49. Terbukti, melalui segala inisiatif yang diambil oleh pihak Kerajaan ini, ekonomi kita berkembang secara mampan, dan kini, mengikut ukuran Purchasing Power Parity,...Malaysia telah menjadi sebuah negara upper middle income, mengatasi banyak negara bukan sahaja di Asia, namun di seantero dunia. 50. Maknanya, menurut KDNK PPP per kapita rakyat Malaysia, telah meningkat daripada US$23,100 pada tahun 2012, kepada US$26,891 pada tahun 2015. Tuan Yang Dipertua, 51. Pada sudut lain,...Kerajaan sedar tentang desas-desus bahawa, para pelabur sekarang kononnya tidak lagi berkeyakinan dengan ekonomi Malaysia. 52. Perlu difahami, ekonomi sesebuah negara sangat berkait rapat dengan persepsi, sebabnya, tanpa keyakinan mana mungkin datangnya pelaburan untuk ekonomi digerakkan. 53. But, if our own people,....undermine and sabotage our own economy, ibaratnya merudumkan rumah dan tanah air kita sendiri. 54. Justeru, perbuatan durjana oleh musuh-musuh luar apatah lagi tangan-tangan kotor dalam negara, yang tidak bertanggungjawab seperti ini,...mesti dihentikan!!! Tuan Yang Dipertua, 55. Bagi kita,...Kerajaan Barisan Nasional, bak kata orang, sekalipun seribu panah tersusuk di badan,...seandainya sejuta luka terbenam diserang, demi rakyat Malaysia yang tercinta, dari Semenanjung hingga Sabah dan Sarawak, kita akan terus mara menjulang Malaysia ke hadapan. 56. Syukur Alhamdulillah, fakta-fakta telah membuktikan hakikat sebenarnya. 57. Misalnya, jumlah pelaburan asing yang telah diluluskan bagi separuh pertama tahun 2016, adalah lebih RM28 bilion. Ini merupakan peningkatan sebanyak 32 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas. 58. Ini,...tidak termasuk pelaburan domestik lebih RM60 bilion. 59. Malah, semasa lawatan ke Jerman bulan lalu, pertemuan saya dengan komuniti perniagaan di sana, mereka menyatakan minat untuk terus kekal dengan pelaburan di sini, kerana yakin dengan dasar-dasar Kerajaan Malaysia yang jelas. 60. Contohnya, syarikat Osram telah mengumumkan pelaburan bernilai 1 bilion Euro, atau hampir RM5 bilion. 61. Pelaburan untuk kilang LED di Kulim, Kedah ini adalah yang terbesar dan terkini di seluruh dunia. 62. Insya-Allah, minggu hadapan, saya akan ke China pula. Doakanlah agar lawatan ini akan membawa kejayaan yang lumayan untuk negara kita. 63. Terkini, menurut Kaushik Basu, Chief Economist and Senior Vice President of the World Bank,...as many nations suffer because of falling global commodity prices, Malaysia stands out for having transformed itself from a poor, commodity-exporting nation to a modern diversified economy. Tuan Yang Dipertua, 64. Setiap kali bajet dibuat, ramai akan merujuk dan membahas kepada beberapa ayat penting dalam al-Quran, antaranya Surah Al-Hasyr ayat 7, bahawa, janganlah harta itu berlegar di kalangan orang-orang kaya di antara kamu sahaja. 65. Saya telah merujuk kepada pandangan pakar dan alim ulama tentang perkara ini dan difahamkan bahawa tafsiran ayat ini perlulah dilihat dalam konteks yang lebih luas dan holistik. 66. Memetik huraian Imam Al-Mawardi, sesuatu pemberian atau peruntukan seperti bajet ini, kepada masyarakat adalah bersifat subjektif dengan mengambil kira keperluan dan maslahah semasa rakyat terbanyak. 67. Sesungguhnya, untuk menggubal sebuah bajet yang kompleks, bukanlah perkara enteng. Sebagai Kerajaan yang merasa denyut nadi rakyat, sepanjang beberapa bulan yang lalu, Kerajaan juga telah menerima ribuan idea daripada rakyat pelbagai lapisan dan kategori. Tuan Yang Dipertua, 68. Bertapak dari itu, makanya Bajet 2017 digubal dengan berpegang kepada Lima Prinsip dan Falsafah Kerajaan. Satu: Kerajaan ini adalah Kerajaan yang mengutamakan kesepaduan nasional dalam pembinaan negara bangsa. Kepelbagaian etnik dan kemajmukan sebagai aset teras kemajuan dan pembangunan negara semenjak dulu, kini dan selamanya; Kedua: Kerajaan ini adalah Kerajaan yang mementing dan memelihara kedaulatan, keluhuran Perlembagaan dan undang-undang serta keselamatan negara; Ketiga: Kerajaan ini, adalah Kerajaan yang kohesif dan stabil serta bekerja sebagai satu pasukan yang jitu; Keempat: Kerajaan ini, adalah Kerajaan yang gigih berusaha, dengan arah tuju yang jelas, perancangan yang sistematik dan pelan pelaksanaan yang tersusun, efisyen lagi holistik. Indeed, this Government has delivered,...we are still delivering and most importantly, we will continue to deliver. dan,... Kelimanya: Kalau dalam bernegara, kita berpegang kepada ideologi kebangsaan yakni Rukun Negara. Maka dalam mentadbir Malaysia, Kerajaan ini akan terus berpandukan kepada falsafah Islami yang universal sifatnya yakni Wasatiyyah, merangkumi kesederhanaan, keseimbangan, keadilan sosial, kesaksamaan dan kecemerlangan. Ini bererti,...kita senantiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk memperoleh yang terbaik,...bukan sederhana, complacent atau berpuas hati dengan pencapaian ala kadar sahaja. Tuan Yang Dipertua, rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian, 69. Dalam melalui suka duka episod memacu kejayaan negara,...kita tidak lupa kepada tokoh-tokoh juga pimpinan-pimpinan yang menjadi sumber inspirasi dan teladan kepada semua. 70. Lalunya,...di kesempatan ini, kita menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga beberapa insan yang banyak berjasa kepada negara. Mereka yang akan saya sebutkan sememangnyalah bukan terdiri daripada ahli Parlimen namun, sekadar berkongsi cerita dan rasa. 71. Pertamanya, Allahyarham Tan Sri Haji Abdul Aziz Tapa yang menumpah taat setia kepada perjuangan bangsanya dan partinya hingga ke hujung usianya, 93 tahun. 72. Kedua, kepada seorang lagi sahabat peribadi saya dan keluarga, yakni Allahyarham Tuan Guru Ustaz Datuk Dr. Haron Din. 73. Sesungguhnya, kita rakyat Malaysia telah kehilangan dua tokoh yang sangat dihormati. 74. Jelas sekali, meskipun Allahyarham Tuan Guru berada di landasan politik berbeza, namun, kita tetap menyanjung tinggi perjuangan beliau untuk ummah, dan pihak Kerajaan telah menganugerahkan gelaran Tokoh Khas Maal Hijrah 2016 kepadanya. Tapi kita berasa sedih dan kecewa, kerana ada kalangan pihak pembangkang sendiri yang terang-terangan membenci dan menista beliau. Tuan Yang Dipertua, 75. Pernah, semasa saya melawat beliau di hospital, secara peribadi tokoh ilmuwan Islam ini, ada menyebut kepada saya bahawa, "jika kita suka kepada seseorang itu berpada-padalah,...mana tahu kelak kita akan membencinya. Kalau kita benci kepada seseorang itu pula, berpada-pada jugalah,... kerana mungkin orang yang dibenci itu kelak akan menjadi orang yang kita sayang" 76. Kepada kedua-duanya, yang telah dipanggil pulang ke ribaan Yang Maha Esa, kita sedekahkan - ummul kitab Al-Fatihah... Tuan Yang Dipertua, 77. Kita kini berada di ambang enam dekad kemerdekaan watan tercinta ini. Selama itulah penjawat awam yang kini jumlahnya mencecah 1.6 juta orang, menjadi tonggak pentadbiran dan jentera kemajuan negara. 78. Sebagai menghargai khidmat bakti dan jasa mereka, sukacitanya saya mengumumkan: Pertama: Kemudahan Cuti Belajar dengan gaji dibayar penuh bersama biasiswa yang sebelum ini hanya kepada Kumpulan Pengurusan dan Profesional, kini akan diberikan juga kepada Kumpulan Pelaksana; Kedua: Pemberian Cuti Kuarantin kepada penjawat awam yang anaknya sakit dan perlu dikuarantin menerusi cuti tanpa rekod sebanyak lima hari; Ketiga: Kalau seperti sedia ada kemudahan pembiayaan diberikan kepada pembelian komputer, bajet kali ini memutuskan agar kemudahan ini diperluaskan meliputi pembelian smartphone dengan had pinjaman sehingga RM5,000 bagi setiap tiga tahun; dan Keempat: Tidak cukup dengan itu,...tidak cukup...Kerajaan memutuskan bahawa had pinjaman pembelian motosikal akan dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000. Tuan Yang Dipertua, Kelima: Kerajaan tetap mengambil berat tentang perumahan penjawat awam, dan terus komited supaya mereka memiliki rumah sendiri. Maka dengan ini, sukacita Kerajaan bersetuju menaikkan kelayakan pinjaman perumahan penjawat awam daripada serendah-rendahnya RM120,000 kepada RM200,000, manakala pinjaman paling tinggi sebelumnya RM600,000, kini dinaikkan kepada RM750,000; Keenam: Sebanyak 30,000 unit lagi Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia akan disiapkan; dengan harga jualan sekurang-kurangnya 20 peratus di bawah harga pasaran; yakni berharga antara RM90,000 hingga ke RM300,000; Ketujuh: Kepada pegawai contract of service dan contract for service yang akan tamat pada penghujung tahun ini pula, usahlah bimbang, kontrak tuan-tuan dan puan-puan akan Kerajaan lanjutkan sekurang-kurangnya setahun lagi; Kelapan: Bagi mengatasi masalah para doktor pakar yang mahu meninggalkan perkhidmatan awam atas isu kelewatan naik pangkat,... Kerajaan memandang serius,...seraya kita umumkan satu lapisan gred baru, yakni gred 56 antara gred 54 dan JUSA C diwujudkan, bagi pegawai perubatan pakar dan pegawai pergigian pakar; dan Kesembilan: Kerana kekangan jawatan tetap, Kerajaan mengambil keputusan melantik secara kontrak kumpulan pertama graduan perubatan, pergigian dan farmasi selewat-lewatnya Disember 2016. Untuk makluman,...hampir 2,600 doktor yang sebelum ini tidak dapat penempatan housemanship di mana-mana hospital, kini boleh menjalani housemanship secara kontrak. Harapnya, berita ini akan membawa khabar gembira kepada mereka dan keluarga. Tuan Yang Dipertua, 79. Sebelum pembentangan diteruskan, saya ingin memperbetulkan beberapa tuduhan dan misconceptions yang dimomok oleh pihak tidak bertanggungjawab, sehingga mengeliru dan menimbulkan keresahan tidak menentu di kalangan masyarakat tentang ekonomi Malaysia. 80. Salah faham dan salah persepsi yang pertama,...dikatakan - Kerajaan Akan Bankrap atau Muflis. 81. Berkait perkara ini, saya ingin maklumkan bahawa, sesebuah Kerajaan hanya dikategorikan sebagai bankrap atau muflis, sekiranya Kerajaan tersebut tidak mampu membayar tanggungan hutang-hutangnya. 82. Letak duduk ini, dinilai melalui penarafan oleh antaranya tiga buah agensi antarabangsa yang sangat berwibawa yakni, Fitch, Moodys dan Standard & Poors. 83. Institusi-institusi inilah Badan-Badan Penarafan yang diterima pakai rating dan laporan keupayaan negara-negara dalam membayar balik hutang. 84. Sebagai perbandingan, menerusi agensi penarafan Fitch, terkini Malaysia diberi penarafan A- berbanding dengan Filipina BBB-, Thailand BBB+ dan Vietnam BB-. 85. Malah penarafan Malaysia, adalah sama dengan kelompok negara yang saiz ekonominya lebih besar dan maju daripada negara kita, seperti Korea AA-, China A+ , Taiwan A+, dan Jepun A. 86. Maknanya di sini,...istilah muflis atau bankrap itu jauh sekali daripada kamus ekonomi Malaysia!!! Tuan Yang Dipertua, 87. Salah faham dan salah persepsi kedua,... dikatakan bahawa Malaysia is a Failed State, atau Negara Yang Gagal. 88. Inipun fitnah semata-mata. Saya nak terangkan apa maknanya Failed State... Ia terjadi seandainya sesebuah negara itu gagal melaksanakan sebahagian besar tanggungjawab dan fungsi asas Kerajaan. 89. Ini termasuklah kegagalan anggota polis dan askar mengawal keamanan dan keselamatan negara, kegagalan Kerajaan untuk membayar gaji penjawat awam, kegagalan untuk membekalkan keperluan asas seperti air dan elektrik, kadar inflasi melambung tinggi atau hyper inflation, sehingga membawa kepada kehancuran ekonomi. 90. Ternyata ciri-ciri tersebut tidak wujud di Malaysia!!!...dan,... dengan pertolongan Allah, Kerajaan ini tidak sesekali akan membiarkan kita terjerumus ke kancah negara yang gagal. Tuan Yang Dipertua, 91. Bajet ini bukanlah digubal bagi kepentingan, atau berlegar kepada kumpulan rakyat tertentu sahaja. Namun direkayasa, bersifat inklusif demi kesejahteraan rakyat seluruhnya. 92. Justeru, jika digambarkan melalui piramid, dalam negara kita, terdapat tiga kategori utama rakyat berdasarkan kepada julat pendapatan isi rumah yakni T20, M40 dan B40. 93. Bagi golongan rakyat M40 secara umumnya, adalah kelompok isi rumah yang berpendapatan sekitar RM3,900 hingga RM8,300. 94. Golongan M40 termasuklah individu bujang, dan kebanyakannya merupakan suami isteri bekerja, berpendidikan dan berkemahiran tinggi. 95. Alhamdulillah, golongan ini tidak mempunyai masalah memenuhi keperluan asas mereka. Namun, menjadi hasrat Kerajaan untuk meningkatkan disposable income atau pendapatan boleh guna mereka. 96. Ini merangkumi aspek-aspek kerjaya yang terjamin, peluang peningkatan pendapatan dari masa ke semasa, perumahan, keselamatan, pendidikan, kesihatan dan keseimbangan antara kesibukan kerja, berekreasi serta masa yang berkualiti bersama keluarga masing-masing. Tuan Yang Dipertua, 97. Untuk kefahaman ramai, B40 pula ialah golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah, dengan pendapatan isi rumah sekitar RM3,900 ke bawah. Dan perspektif ekonomi makro, wujudnya golongan ini adalah lazim di mana-mana negara membangun. 98. Menurut Laporan Khazanah Research Institute, kadar pertumbuhan pendapatan isi rumah B40 ini meningkat lebih pantas, jika dibandingkan dengan pertumbuhan pendapatan golongan M40 dan T20. Tuan Yang Dipertua, saudara saudari dan rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian, 99. Sekiranya dalam Bajet 2015, saya telah mentafsirkan People Economy dan Capital Economy, kali ini, saya mahu menambah satu lagi konsep penting dalam kita menuju status negara maju yakni, public happiness. 100. Maksud saya, bajet ini bukan hanya tentang pendapatan semata-mata, tetapi ia berkait kualiti kesejahteraan hidup rakyat, seperti aman dari jenayah, menikmati alam sekitar yang bersih dengan pelbagai seni dan kebudayaan yang berwarna-warni. 101. Juga,...pencapaian pendidikan yang tinggi, mengangkat kesarjanaan dan keintelektualan, adanya khidmat kesihatan yang terjamin serta memiliki akses kepada pengangkutan awam yang efisyen. 102. Sehubungan dengan hal alam sekitar, kita perlu terus memelihara alam semula jadi terutama kawasan tadahan air dan mempastikan bahawa kawasan-kawasan yang telah diisytiharkan sebagai hutan simpanan dan taman-taman nasional dijaga serta sentiasa dipertahankan agar tidak dicerobohi. Ini hanya akan menjadi kenyataan seandai semua Kerajaan Negeri memberikan kerjasama sepenuhnya dengan gandingan sektor swasta dan rakyat jelata. Tuan Yang Dipertua, 103. Demi kesejahteraan rakyat, Kerajaan akan terus komited melaksanakan projek dan program Rakyat Centric di bandar dan luar bandar seperti berikut: Pertama: Melalui maklumat dan sesi turun padang, terdapat kampung-kampung yang masih berada dalam keadaan suram gelap tanpa kelengkapan tiang-tiang lampu jalan. Makanya, menjadikan kampung di waktu malam lebih terang, bercahaya lagi selamat, sebanyak 97,000 lampu jalan dan 3,000 lampu LED di persimpangan jalan akan dipasang. Ini melibatkan 7,500 kampung di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak; Kedua: Membina dan menaik taraf 616 kilometer jalan kampung dan jambatan bagi meningkatkan jaringan perhubungan kampung, pekan dan bandar, dengan peruntukan RM1.2 bilion; Ketiga: Bagi menyelenggara jalan negeri, RM4.6 bilion disediakan kepada semua negeri di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia atau MARRIS; Keempat: Membina dan membaik pulih 17,000 unit rumah usang dan daif di kampung terpencil dan penempatan Orang Asli dengan peruntukan RM350 juta. Setiap unit rumah diberi bantuan baik pulih antara RM1,000 hingga RM15,000 bergantung kepada usangnya keadaan rumah tersebut; 104. Terkini pula, terdapat pelbagai masalah bekalan air di beberapa negeri, antaranya kekurangan kapasiti bekalan, cuaca kemarau, pencemaran sisa industri dan pembalakan serta kebocoran paip. 106. Sebagai tambahan, untuk mengatasi masalah bekalan air di seluruh negara, Tabung Bekalan Air akan diwujudkan dengan segera, berperuntukkan RM500 juta. Keenam: Menyediakan bekalan elektrik luar bandar, mensasarkan hampir 10,000 buah rumah dengan peruntukan RM460 juta; dan Ketujuhnya: Kerajaan sentiasa mengambil berat kebajikan penduduk bandar khususnya yang tinggal di flat. Didapati rumah-rumah pangsa ini banyak berkeadaan luntur dan kusam kerana tidak dipulihara sebaiknya. Begitu juga keadaan lif-lif yang rosak dan bermasalah. Oleh itu, Kerajaan menyediakan RM300 juta di bawah Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia untuk membaik pulih kemudahan kawasan flat dan 113 Program Perumahan Rakyat di kawasan bandar dan pinggir bandar. 107. Kerajaan juga akan melaksanakan Projek Mesra Rakyat dengan peruntukan RM800 juta. Antaranya, menaik taraf dan membina surau, titi, parit, balai raya, pasar dan gerai perniagaan kecil. Keutamaan projek diberi kepada kontraktor kelas G1 dan G2 tempatan. 108. Selain itu, 69 projek Rancangan Tebatan Banjir akan diteruskan di seluruh negara dengan peruntukan RM495 juta. Tuan Yang Dipertua, 109. Sukacita saya mengumumkan satu lagi inisiatif baharu Strategi Lautan Biru Kebangsaan atau NBOS yakni, MyBeautiful New Home, khusus kepada golongan B40, dengan peruntukan RM200 juta. 110. Sebagai permulaan, 5,000 unit rumah akan dibina dengan harga RM40,000 hingga RM50,000 seunit. 111. Menariknya, Kerajaan akan membiaya RM20,000 dan bakinya dibayar secara ansuran oleh pemilik. Syaratnya, rumah ini akan dibina di tanah milik sendiri, tanah yang telah mendapat kebenaran tuan tanah dan tanah kurniaan Kerajaan Negeri. 112. KPKT pula akan membina 9,850 unit rumah di bawah PPR dan menyediakan sebanyak RM134 juta bagi tahun 2017. 113. Sementara itu, 11,250 unit rumah PPR sedang dalam pembinaan dan RM576 juta disediakan. Rumah ini dijual dengan harga antara RM35,000 sehingga RM42,000, walaupun kos pembinaannya menelan RM120,000 hingga RM160,000. Tuan Yang Dipertua, 114. Bagi membantu meningkatkan peluang pendapatan rakyat, terutamanya kelompok B40, RM275 juta diperuntukkan seperti berikut: Pertama: Memperluaskan Program MySuria dengan peruntukan RM45 juta. Panel solar akan dipasang di lebih 1,600 rumah. Setiap peserta program akan menerima RM250 sebulan; Kedua: Memperluas Program Mobilepreneur oleh GIATMARA, dengan peruntukan RM30 juta, yang mensasarkan 3,000 peserta bermotosikal; Ketiga: Melaksanakan program Agropreneur, dengan peruntukan RM100 juta bagi melahirkan 3,000 usahawan tani muda yang terlibat di dalam pengeluaran hasil tani bernilai tinggi; dan Keempat: Menggiatkan program eUsahawan dan eRezeki di bawah MDEC, merangkumi 300,000 peserta dengan peruntukan RM100 juta. Saudara dan saudari, 115. Bagi meringankan kos sara hidup rakyat, Kerajaan menyediakan peruntukan subsidi hampir RM10 bilion, merangkumi subsidi bahan api termasuk gas memasak, pampasan tol dan pengangkutan awam. 116. Untuk membantu golongan pesawah padi pula, Kerajaan memperuntukkan RM1.3 bilion untuk subsidi harga padi, benih padi dan baja padi, termasuk padi bukit. 117. Sebagai insentif kepada pekebun kecil getah yang berdaftar, Kerajaan memperuntukkan RM250 juta untuk pelaksanaan pembelian 'harga lantai'. 118. Sebagai langkah tambahan, bajet ini juga mengumumkan, Kerajaan akan memperkenalkan Bantuan Musim Tengkujuh sebanyak RM200 sebulan bagi tiga bulan pada November, Disember dan Januari memanfaatkan 440,000 pekebun kecil dan penoreh getah. 119. Selanjutnya, bagi meringankan beban sara hidup 57,000 nelayan, pemberian elaun RM200 hingga RM300 sebulan akan diteruskan. Tuan Yang Dipertua, 120. Sejak Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BRIM diperkenalkan, setiap tahun tanpa gagal, program ini terus mendapat sambutan dan maklum balas yang sangat positif daripada penerima. 121. Pada satu program yang saya hadiri, seorang penerima BR1M dari keturunan India, telah datang dan menggenggam erat tangan saya sambil berkata,... 'saya tarak kisah apa orang mau cakap pasal Kerajaan, yang penting Datuk Najib,...BR1M bantu saya dan keluarga'. 122. Jadinya, Tuan Yang Dipertua, saudara dan saudari rakyat Malaysia sekalian,...kata orang,... Dedak bukan,...umpan pun bukan, BR1M yang ikhlas satu pemberian, Keperluan rakyat kita dahulukan, Jumlah BR1M, kita tambah-tambahkan. 123. Sehubungan itu, untuk tahun hadapan, kadar BR1M dinaikkan seperti berikut: Pertama: BR1M kepada isi rumah dalam senarai e-Kasih dan berpendapatan bulanan di bawah RM3,000, akan dinaikkan daripada RM1,050 dan RM1,000 kepada RM1,200 ringgit; Kedua: BR1M kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000, akan dinaikkan daripada RM800 kepada RM900 ringgit, dan Ketiga: Bagi individu bujang berpendapatan di bawah RM2,000, BR1M akan dinaikkan daripada RM400 kepada RM450. 124. Tidak sekadar itu, Skim Khairat Kematian akan diteruskan dengan pampasan RM1,000 kepada waris penerima BR1M bagi kategori isi rumah dan warga emas. Keseluruhan Program BR1M ini akan memanfaatkan 7 juta penerima dengan peruntukan RM6.8 bilion. Tuan Yang Dipertua, 125. Bagi menghasilkan tenaga kerja tempatan yang memenuhi keperluan industri, kapasiti pendidikan TVET akan diperkasakan dengan peruntukan RM4.6 bilion kepada institusi-institusi TVET. 126. Menerusi NBOS, untuk mengoptimakan aset-aset Kerajaan, maka sembilan buah kampus Institut Pendidikan Guru, akan diubah suai untuk menjadi Politeknik dan Kolej Vokasional. 127. Akhirnya, empat buah akan menjadi Politeknik, empat lagi Kolej Vokasional, dan sebuah lagi sebagai pusat latihan jurulatih TVET. 128. Di atas inisiatif kreatif ini, hanya kira-kira RM400 juta diperuntukkan, berbanding RM250 juta, untuk membina hanya sebuah politeknik yang baharu. Ini menjimatkan wang Kerajaan kira-kira RM2 bilion. 129. Selanjutnya, RM270 juta disediakan untuk naik taraf peralatan pembelajaran di institusi TVET serta RM360 juta bagi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran. 130. Berhubung ini, potongan cukai sebanyak dua kali diberikan ke atas perbelanjaan syarikat swasta yang menyediakan Structured Internship Programme bagi pelajar di peringkat ijazah sarjana muda, diploma dan pelajar Tahap 3 dan ke atas di bawah Program TVET. Insentif ini dilanjutkan untuk tempoh tiga tahun mulai tahun taksiran 2017 hingga tahun taksiran 2019. 131. Selain itu, geran padanan latihan dan pembangunan kurikulum akan diberi kepada institusi TVET awam yang berjaya mendapatkan sumbangan dalam bentuk peralatan daripada industri. Tuan Yang Dipertua, 132. Bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan, RM50 juta disediakan untuk perluasan program Skim Latihan 1Malaysia oleh GLC kepada 20,000 graduan bagi tahun 2017, berbanding 15,000 graduan pada tahun 2016. Tuan Yang Dipertua, 133. Rumah tempat berteduh adalah soal yang amat dekat di hati saya. Mahu tidak mahu,...Kerajaan terus komited dalam ehwal perumahan rakyat di mana setiap keluarga mampu memiliki kediaman sendiri. 134. Untuk meningkatkan keupayaan pembeli rumah pertama, konsep berikut akan diperkenalkan: Konsep Pertama: Melalui NBOS lagi, kita akan menyediakan tanah Kerajaan yang tidak diguna pakai di lokasi strategik kepada GLC dan PR1MA, untuk membina lebih 30,000 unit rumah membolehkan harga jualan antara RM150,000 hingga RM300,000. Harga ini jauh lebih rendah dari pasaran iaitu RM250,000 hingga RM400,000; Konsep Kedua: Membina 10,000 unit rumah di bandar untuk disewa oleh golongan muda yang layak dengan pekerjaan yang tetap, termasuk graduan muda yang baru memasuki alam pekerjaan. Ketiganya: Membina 10,000 unit rumah di bandar untuk disewa oleh golongan muda yang layak dengan pekerjaan yang tetap, termasuk graduan muda yang baru memasuki alam pekerjaan. Mereka boleh menyewa dengan tempoh maksima lima tahun, pada kadar yang lebih rendah daripada kadar pasaran, sementara mereka membina kemampuan kewangan untuk membeli rumah sendiri; dan Ketiganya: Syarikat Perumahan Negara Berhad diperuntukkan RM200 juta untuk membina lebih 5,000 unit Rumah Mesra Rakyat dengan subsidi Kerajaan sehingga RM20,000 seunit. Tuan Yang Dipertua, 135. PR1MA telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan. Setakat ini, lebih 12,000 unit kediaman, berjumlah RM3.3 bilion telah ditempah. Manakala 85,000 lagi dalam pelbagai peringkat kelulusan. 136. Di kesempatan ini, saya ingin mengumumkan satu skim pembayaran akhir atau end-financing khas jenis step-up untuk program PR1MA. 137. Me1alui skim khas ini, pembiayaan lebih mudah dan accessible kepada pembeli, dengan jumlah pinjaman mencecah 90 hingga 100 peratus, dan kadar penolakan pinjaman akan berkurangan secara drastik. 138. Proses permohonan bagi skim ini akan mula dilaksanakan pada 1 Januari 2017. Skim ini merupakan basil kerjasama di antara pihak Kerajaan, Bank Negara Malaysia, KWSP dan juga empat bank tempatan iaitu Maybank, CIMB, RHB dan AmBank. 139. Contohnya, pemohon yang berpendapatan RM3,000 sebulan, hanya layak mendapat pinjaman lebih RM187,000. Melalui skim pembiayaan khas ini, pemohon boleh mendapatkan pinjaman sehingga lebih RM295,000. 140. Di samping itu diumumkan pengecualian duti setem dinaikkan kepada 100 peratus ke atas surat cara pindah milik dan surat cara pinjaman perumahan. Ini membantu mengurangkan kos pemilikan rumah pertama, berbanding 50 peratus pada masa ini. 141. Walau bagaimanapun, layanan pengecualian ini terhad kepada nilai rumah sehingga RM300,000 bagi pembelian kediaman pertama sahaja, antara tempoh 1 Januari 2017 sehingga 31 Disember 2018. Tuan Yang Dipertua, 142. Untuk pembangunan infrastruktur bagi Rumah Generasi Kedua, Felda, Felcra dan RISDA masing-masing diperuntukkan RM200 juta, RM100 juta dan RM100 juta lagi. Tuan Yang Dipertua, 143. Seterusnya berita gembira untuk pembayar cukai. Jika kini terdapat 21 kategori pelepasan cukai individu, terbaru, untuk pembelian bahan bacaan, komputer dan peralatan sukan digabungkan sebagai pelepasan cukai gaya hidup. 144. Ini diperluaskan meliputi pembelian akhbar-akhbar arus perdana, smartphone dan tablet, langganan internet serta bayaran keahlian gimnasium. Pelepasan ini diberi sehingga RM2,500 setiap tahun, berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2017. Tuan Yang Dipertua, 145.NBOS telah menjimatkan RM3.5 bilion perbelanjaan negara. 146. Oleh kerana sambutan hebat daripada rakyat, empat lagi UTC di Negeri Sembilan, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor, dan tiga lagi RTC di Selangor, Sabah dan Sarawak akan dibina dengan peruntukan RM100 juta. 147. Sebagai langkah baru, setiap UTC akan disediakan sebuah Job Centre untuk membantu memadankan antara pencari kerja dan bakal majikan. 148. Di sini saya ingin bertanya,...mana ada Kerajaan dalam dunia yang menyediakan pusat khidmat sehenti beroperasi tujuh hari seminggu, bermula 8 pagi hingga 10 malam? Mana ada,...melainkan Kerajaan Barisan Nasional. 149. Selain itu, inisiatif NBOS yang lain seperti program Bahasa Inggeris 1Malaysia, Coding di sekolah, Volunteering for International Professional dan Global Entrepreneurship Community 2 diperuntukkan RM40 juta. Tuan Yang Dipertua, 150. Tatkala Kerajaan melaksanakan pelbagai program Rakyat Centric, Kerajaan terus komited memampankan fiskal negara jangka panjang dengan antara lain menubuhkan Collection Intelligence Arrangement atau CIA di bawah Kementerian Kewangan. Ini akan melibatkan LHDN, Kastam dan SSM yang akan berkongsi data bagi menambah kecekapan mengutip cukai dan tax compliance. 151. Selain itu, kadar duti setem ke atas surat cara pindah milik hartanah bernilai melebihi RM1 juta, akan dinaikkan daripada tiga kepada empat peratus mulai 1 Januari 2018. 152. Juga, projek rakyat-centric akan diteruskan melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta berjumlah RM10 bilion. Tuan Yang Dipertua, 153. Profesor HAMKA ada menyebut,...jiwa yang bersih tumbuh daripada jasmani yang bersih dan sihat, manakala kesempurnaan jati diri membentuk budi, iaitu ilmu mengatur kesihatan, yakni riadah, ataupun bersukan. 154. Namun bersih di sini, bukan bererti menyertai Perhimpunan BERSIH...yang ternyata tidak bersih. 155. Berbicara lagi hal sukan, kita amat bangga atas pencapaian kontinjen Olimpik dan Paralimpik. Pertama kali Negaraku dikumandangkan di Rio De Janeiro. 156. Alhamdulillah, kontinjen negara telah menamatkan persaingan di Sukan Olimpik 2016 dengan pungutan empat pingat perak dan satu pingat gangsa. Kita ucapkan syabas dan tahniah setingginya kepada jaguh-jaguh sukan Olimpik negara! 157. Bagi pembangunan sukan negara, sebanyak RM1.2 bilion disediakan. Ini meliputi RM450 juta, khusus untuk penganjuran Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 pada tahun 2017. 158. Selain itu, beberapa program pembangunan sukan akan dilaksanakan: Pertama: RM50 juta bagi pembinaan Akademi Bola Sepak Fasa II di Gambang, Pahang; Kedua: RM122 juta bagi membina dan menaik taraf fasiliti sukan termasuk Kompleks Belia dan Sukan Negeri-negeri, Kompleks Futsal 1Malaysia dan Kompleks Sukan Komuniti; Ketiga: RM70 juta bagi Program Pembangunan Podium Sukan Elit untuk penyediaan atlet ke temasya sukan antarabangsa; dan Keempat: RM54 juta bagi Program Pembangunan Ahli Sukan termasuk Program Penyediaan Atlet dan Program Penyediaan Atlet Paralimpik. Tuan Yang Dipertua, 159. Kesihatan adalah segalanya. Lantaran itu, usaha bersepadu terus dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kesihatan rakyat dan kualiti penjagaan kesihatan di negara kita. Jadinya, RM25 bilion disediakan bagi program: Pertama: Membina dan menaik taraf hospital-hospital baharu serta Klinik Kesihatan di Perlis, Kuching, Mukah, Jempol, Muar dan Johor Bahru; Kedua: Menaik taraf kemudahan hospital dengan peruntukan RM536 juta. Ini termasuk penyediaan peralatan rawatan kardiologi di Hospital Serdang, Hospital Pulau Pinang dan Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, serta pembelian 100 buah ambulan; Ketiga: RM4.5 bilion untuk operasi 340 Klinik 1Malaysia, 11 Klinik Bergerak 1Malaysia, 959 Klinik Kesihatan, dan lebih 1,800 Klinik Desa sedia ada; dan Keempat: RM4 bilion untuk bekalan ubat, consumables, vaksin dan re-agen kepada semua hospital dan fasiliti kesihatan Kerajaan. Saudara dan saudari, 160. Merujuk ehwal kesihatan, saya ingin memperkenalkan Dr. Mohd Lutfi Fadil Lokman. Beliau adalah anak muda contoh yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, melalui Hospital Beyond Boundaries Project yang dimulakannya di Kemboja. Sekalung tahniah dan tepukan kepada Dr Lutfi yang saya anggap ikon golongan belia di bidang kesihatan. Tuan Yang Dipertua, 161. Selanjutnya, bagi mengurangkan kesesakan di hospital awam, Kerajaan akan bekerjasama dengan pihak swasta atau NGO, yang mengendalikan non-profit charitable hospital, mengikut kadar kos hospital Kerajaan. Pinjaman RM20 juta disediakan untuk membiayai pembelian peralatan hospital tersebut. 162. Seterusnya, RM110 juta diperuntukkan, di mana RM70 juta untuk bantuan perubatan kepada 10,000 pesakit kurang berkemampuan. 163. Sebagai menggalakkan lebih banyak pusat hemodialisis swasta dibuka, RM40 juta diperuntukkan sebagai geran one-off RM200,000 untuk pembelian peralatan. Tuan Yang Dipertua, 164. Kerajaan sememangnya memandang serius penularan wabak denggi dan Zika serta akan melaksanakan inisiatif pencegahan dan kawalan ke atasnya. Selain itu, Program Komuniti Sihat Perkasa Negara akan diperluaskan. Kesemua ini melibatkan peruntukan RM80 juta. Tuan Yang Dipertua, 165. Di sudut lain, Kerajaan mengambil berat keluhan rakyat tentang kenaikan harga makanan, serta jaminan bekalan makanan. 166. Justeru, RM1.3 bilion disediakan untuk meningkatkan pengeluaran bahan makanan dengan harga yang kompetitif. 167. Ia termasuk membangunkan infrastruktur pertanian seperti saliran dan pengairan, jalan ladang dan pemasaran produk pertanian. Program berimpak tinggi juga akan diteruskan termasuklah estet padi, zon bersepadu akuakultur dan penternakan ikan sangkar. 168. Seterusnya, program Pengedaran Barang Perlu, pembukaan empat lagi MyFarmOutlet dan penambahbaikan 150 premis Agrobazaar Rakyat 1Malaysia dengan peruntukan RM140 juta. 169. Selain itu, Kerajaan juga akan menggalakkan pembangunan industri tenusu serta pengeluaran madu kelulut dan kelapa, di samping mengurangkan kebergantungan import makanan haiwan ternakan menerusi pembangunan industri tanaman jagung bijirin, sebagai projek perintis di Terengganu dan di Kedah. Tuan Yang Dipertua, 170. Sememangnya, Kerajaan prihatin terhadap keluhan dan permintaan para pemandu teksi. 171. Bersama kita pada petang ini, dua orang wakil pemandu teksi yang menghargai usaha Kerajaan selama ini dalam membela nasib mereka. Terima kasih diucapkan dan tepukan kepada Encik Mohd Rais Hasan dan Encik Tan Woon Kong, kerana sudi hadir ke pembentangan bajet petang ini. 172. Sukacitalah, saya mengumumkan geran RM5,000 untuk membeli kenderaan baharu dan menawarkan permit teksi individu, dengan peruntukan RM60 juta. Ini akan memanfaatkan seramai 12,000 pemandu teksi yang layak dan telah tamat kontrak pajak dengan syarikat teksi mereka. Tuan Yang Dipertua, 173. Pada masa ini, sebahagian besar pemandu teksi tidak dilindungi oleh insurans. Atas keprihatinan Kerajaan, Skim PERKESO kepada pemandu teksi individu yang berpendapatan sehingga RM3,000 sebulan akan diperkenalkan dengan geran pelancaran RM60 juta. 174. Di bawah Skim ini, pemandu teksi perlu membuat caruman pada kadar RM157 hingga RM443 setahun, yakni, hanya RM13.08 sebulan. Sekiranya berlaku kemalangan sewaktu bekerja, mereka layak membuat tuntutan daripada PERKESO. 175. Contohnya, pemandu teksi yang hilang upaya kekal akan menerima bayaran pukal berjumlah RM43,000 hingga RM121,000 dan bayaran bulanan antara RM1,281 hingga RM2,624 sepanjang hayat. Sekiranya pemandu tersebut meninggal dunia, warisnya akan mendapat Faedah Orang Tanggungan pada kadar RM945 hingga RM2,655 sebulan. Tuan Yang Dipertua, 176. Bagi membantu B40 khususnya penerima BR1M menjana pendapatan tambahan, Kerajaan menggalakkan penyertaan mereka sebagai pemandu ride-sharing seperti pemandu UBER, terutama bagi pemilik kenderaan sendiri. 177. Pendapatan boleh mencecah RM1,500 sebulan sekiranya memandu separuh masa antara 10 hingga 40 jam seminggu dan RM4,300 sekiranya melebihi 40 jam seminggu. 178. Bagi mereka yang tidak memiliki kenderaan, bayaran pendahuluan boleh dibuat menggunakan BR1M dan rebat sebanyak RM4,000 ringgit bagi pembelian kereta Proton Iriz. Tuan Yang Dipertua, 179. Kerajaan juga akan menaik taraf sistem perparitan dan pembinaan dua Overhead Motorcycle Ramp di Lorong Motosikal Lebuhraya Persekutuan atau Federal Highway, bagi mengatasi masalah banjir di laluan motosikal serta menjamin keselamatan penunggang motosikal. Untuk ini, RM29 juta diperuntukkan. Tuan Yang Dipertua, 180. Di bawah capital economy, Kerajaan akan tetap melaksanakan strategi pro-perniagaan. 181. Selaras perkembangan pelaburan swasta yang dijangka pada 8.1 peratus kepada RM230 bilion pada 2017, lebih banyak inisiatif akan dijalankan. 182. Bagi merangsang pelaburan swasta, projek-projek infrastruktur akan dilaksanakan seperti menaik taraf Jalan Lok Kawi Pengalat-Papar, di Sabah; Jalan Kampung Keruak-Gua Musang-Kuala Berang; membina Jambatan Batang Lupar, Sri Aman; dan Projek Pembangunan Semula Stesen Janakuasa Sandakan. 183. Selain itu, pembangunan infrastruktur dan sosioekonomi di lima koridor iaitu Wilayah Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Koridor Pembangunan Sabah dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak, diperuntukkan keseluruhan RM2.1 bilion. 184. MIDA pula, disediakan dana RM522 juta untuk sektor tumpuan termasuk industri kimia, elektrik dan elektronik serta aktiviti R&D. Tuan Yang Dipertua, 185. Untuk mempergiatkan pasaran modal tempatan, Small and Mid-Cap PLC Research Scheme akan diperkenalkan bagi penyelidikan ke atas 300 buah syarikat. 186. Syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan akan memperuntukkan dana khas sehingga RM3 bilion kepada pengurus dana yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti untuk dilaburkan ke syarikat small and mid cap yang berpotensi. 187. Di samping itu, Institut Penyelidikan Pasaran Modal akan ditubuhkan dengan pembiayaan awal sebanyak RM75 juta melalui Capital Market Development Fund. 188. Pada sudut lain, dalam mengekalkan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa, tempoh pengecualian cukai pendapatan kepada entiti Perbankan Islam dan Takaful menjalankan aktiviti mata wang asing, melalui International Currency Business Unit dan pengecualian duti setem ke atas surat cara bagi aktiviti tersebut akan dilanjutkan ke tahun taksiran 2020. 189. Untuk menggalakkan golongan muda untuk membuat pelaburan jangka panjang, Kerajaan telah memperkenalkan Skim Persaraan Swasta atau PRS. 190. Bermula tahun 2017, Kerajaan mencadangkan insentif sedia ada RM500 ditingkatkan kepada RM1,000 secara one-off kepada pencarum skim PRS dengan pelaburan minimum terkumpul RM1,000 dalam tempoh dua tahun. Peruntukan RM165 juta akan disediakan. Tuan Yang Dipertua, 191. Bagi program galakan eksport kepada PKS tempatan oleh MATRADE, MIDA dan SME Corp, RM130 juta disediakan di bawah Tabung Promosi Eksport Negara. 192. Di samping itu, pembiayaan sebanyak RM200 juta dan kemudahan kredit insurans dengan nilai perlindungan sehingga RM1 bilion akan disediakan oleh EXIM Bank kepada PKS. 193. RM286 juta juga disediakan untuk pengeluaran eksport peladangan sawit, getah, koko dan lada. 194. Sebanyak RM50 juta diperuntukkan untuk kajian saintifik bagi meningkatkan kualiti produk sawit. 195. Sebagai tambahan, geran RM30 juta disediakan melalui MPOB untuk penanaman semula kelapa sawit oleh pekebun kecil. 196. Selain itu, RM20 juta juga disediakan bagi menaik taraf jalan ladang untuk kemudahan pekebun kecil komoditi. Tuan Yang Dipertua, 197. Merujuk sektor pelancongan pula, ia telah menyumbang kepada penjanaan pendapatan negara. Kerajaan akan terus memberi tumpuan ke atas promosi dan penambahbaikan kemudahan pelancongan. Sehubungan itu: Pertama: RM400 juta diperuntukkan, antaranya untuk inisiatif clean air dan ecotourism; Kedua: Tempoh permohonan Taraf Perintis dan Elaun Cukai Pelaburan bagi pelaburan hotel baharu bertaraf empat dan lima bintang, dilanjutkan sehingga 31 Disember 2018; dan Ketiga: Potongan cukai daripada RM500,000 dinaikkan kepada RM700,000, untuk sektor swasta yang menaja pertunjukan kesenian, kebudayaan, warisan tempatan dan luar negara. 198. Selain itu, program mempromosi Malaysia melalui Kempen Tahun Melawat ASEAN@50 sempena ulang tahun penubuhan ASEAN ke-50 dan sebagai tuan rumah bagi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2017 akan dijalankan. Tuan Yang Dipertua, 199. Bagi mencapai sasaran 32 juta pelancong pada tahun hadapan, Kerajaan akan meluaskan eVisa ke negara di rantau Balkan dan Asia Selatan. Tuan Yang Dipertua, 200. Digital connectivity merupakan revolusi aktiviti ekonomi masa kini dan menyumbang hampir 16 peratus daripada KDNK negara. 201. Sehubungan ini, RM162 juta diperuntukkan kepada MDEC bagi pelbagai program seperti ekosistem e-dagang, Digital Maker Movement, serta pengenalan kategori lokasi baharu sebagai Hab Digital Malaysia. 202. Kerajaan juga berhasrat untuk menubuhkan Digital Free Zone yang pertama di dunia. Ini menggabungkan zon fizikal dan maya, dengan penambahan perkhidmatan online dan digital bagi memudahkan e-dagang antarabangsa dan merangsang inovasi berteraskan internet. Tuan Yang Dipertua, 203. Pada petang yang mulia ini, saya ingin membawa perkhabaran gembira, khususnya buat anak-anak muda kita, berhubung online connectivity. Sebagai sebuah negara demokrasi yang bersikap terbuka, Kerajaan berhasrat supaya saluran maklumat online diperkasakan. 204. Sukacita diumumkan, bermula Januari 2017, penyedia perkhidmatan fixed line broadband bersetuju menawarkan perkhidmatan dengan kelajuan yang lebih tinggi pada harga yang sama. Sebagai contoh, pelanggan pakej 5 megabit sesaat pada harga RM149 akan menikmati pakej berkelajuan dua kali ganda iaitu 10 megabit sesaat. 205. Seterusnya, dalam tempoh dua tahun lagi, bagi pakej ini, kelajuan akan ditingkatkan dua kali ganda dengan penurunan harga sehingga 50 peratus. (double the speed, at half the price) 206. Selain itu, Kerajaan akan melancarkan inisiatif supaya perkhidmatan jalur lebar ethernet di universiti awam ditingkatkan kepada maksimum 100 gigabit sesaat. 207. Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan menyediakan RM1 bilion supaya liputan dan kualiti jalur lebar di seluruh negara mencapai 20 megabit sesaat. Saudara dan saudari, 208. Pada tahun hadapan, Kerajaan telah mengisytiharkan 2017 sebagai tahun Startup & SME Promotion Year, sesuai dengan peranan PKS yang menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi dan pasaran buruh negara. 209. Bagi menggalakkan pembangunan PKS, Kerajaan bersetuju menyediakan RM75 juta untuk program di bawah Pelan Induk PKS. 210. Selain itu, jaminan sehingga RM15 bilion yang diberikan melalui pelbagai Skim di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan atau SJPP akan dipanjangkan tempohnya sehingga tahun 2025. 211.Sebagai tambahan, untuk melonjakkan PKS berorientasi eksport, dua peratus rebat kadar faedah diberikan kepada peminjam PKS di bawah skim SJPP. 212.Rebat ini dihadkan kepada jumlah pembiayaan terkumpul RM1 bilion dan melibatkan peruntukan RM100 juta untuk tempoh lima tahun. Tuan Yang Dipertua, 213. Bagi mempergiatkan startups pula, sejumlah RM200 juta daripada dana Skim Jaminan Modal Kerja, akan dikhususkan kepada syarikat startups. 214. Untuk menggalakkan pelaburan startups berteknologi tinggi, satu kategori pas baru, yakni Usahawan Teknologi Asing Berpengetahuan Tinggi akan diperkenalkan. 215. Bagi merancakkan lagi industri kreatif dan penerbitan filem pula, Film in Malaysia Incentive, Arts and Culture Revitalisation Agenda serta Hab Content Creation Finas di Santubong, Sarawak dan di Kota Kinabalu, Sabah akan dilaksanakan. 216. Kerajaan juga akan mewujudkan satu jawatankuasa yang diwakili oleh para pengamal seni untuk merancakkan lagi sektor kesenian dan kebudayaan negara. Kesemua inisiatif ini melibatkan peruntukan RM80 juta. Tuan Yang Dipertua, 217. Sememangnya, usia dua hingga lima tahun merupakan fasa penting tumbesaran minda dan fizikal kanak-kanak. 218. Justeru, Kerajaan akan meneruskan Bantuan Makanan Tambahan dan Geran Per Kapita program Tabika dan Taska. 219. Kerajaan juga akan menambah baik pakej pemakanan bernutrisi harian yang lebih lengkap merangkumi susu bersukatan 250 mililiter, kismis dan telur. 220. Inisiatif ini memanfaatkan hampir 280,000 kanak-kanak dengan peruntukan RM200 juta. 221. Seterusnya, sebanyak RM132 juta lagi disediakan untuk meningkatkan akses kepada pendidikan prasekolah secara percuma di sekolah Kerajaan, memanfaatkan 200,000 orang kanak-kanak. Tuan Yang Dipertua, 222. Setiap rakyat di negara ini berhak untuk mendapatkan akses pendidikan yang sempurna. 223. Antara inisiatif yang akan dilaksanakan di sekolah rendah dan menengah termasuklah: Pertama: Membangunkan semula 120 buah sekolah daif, 60 di semenanjung, 30 di Sabah dan 30 lagi di Sarawak menggunakan Industrialised Building System serta menaik taraf 1,800 makmal sains dengan peruntukan RM570 juta; Kedua: Menyiapkan pembinaan 227 buah sekolah, termasuk lapan buah sekolah baharu dengan peruntukan RM478 juta; dan Ketiga: Memperluaskan program penguasaan Bahasa Inggeris melalui Cambridge English, Dual Language dan Highly Immersive dengan peruntukan RM90 juta. Tuan Yang Dipertua, 224. Satu lagi berita gembira...untuk 430,000 pendidik kita pula,... menerusi SKMM, RM340 juta diperuntukkan untuk tablet bantuan mengajar bagi memudahkan tugasan. Tuan Yang Dipertua, 225. Bagi membantu ibu bapa menampung kos perbelanjaan persekolahan anak-anak, Kerajaan akan meneruskan program berikut: Pertama: Pemberian Bantuan Persekolahan RM100 kepada setiap pelajar daripada keluarga berpendapatan sehingga RM3,000, yang memanfaatkan 3.5 juta murid; Kedua: RM1.1 bilion bagi Bantuan Makanan Asrama untuk 365,000 murid; Ketiga: RM300 juta bagi Rancangan Makanan Tambahan 1Malaysia kepada murid sekolah rendah; Keempat: RM1.1 bilion merangkumi Bantuan Bayaran Tambahan Persekolahan, Bantuan Buku Teks dan Bantuan Geran Per kapita; Kelima: Geran sepadan disediakan kepada pelajar Tahun 1 di sekolah bantuan penuh Kerajaan bagi simpanan terkumpul sehingga RM50 dalam akaun SSPN-i; Keenam: Menyediakan Elaun bulanan Murid Berkeperluan Khas sebanyak RM150 kepada 67,000 murid; serta mengganti bas bagi 21 sekolah berpendidikan khas; dan Ketujuh: RM600 juta diperuntukkan kepada Tabung Khas Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah. Daripada jumlah tersebut: * RM250 juta untuk Sekolah Kebangsaan; * RM50 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina; * RM50 juta bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil; * RM50 juta disalurkan untuk Sekolah Mubaligh; * RM50 juta untuk Sekolah Berasrama Penuh; * RM50 juta kepada Sekolah Agama Bantuan Kerajaan; * RM50 juta kepada Sekolah Pondok yang berdaftar; dan * RM50 juta kepada Maktab Rendah Sains Mara. 226. Bagi meningkatkan kualiti institusi pengajian tinggi ke taraf global, RM7.4 bilion disediakan kepada 20 universiti awam. 227. Daripada jumlah ini, RM1.4 bilion kepada empat hospital universiti, manakala RM300 juta untuk pemerkasaan lima universiti penyelidikan. 228. Tambahan lagi, RM100 juta untuk IPT bagi membudayakan penyelidikan serta meningkatkan bilangan penerbitan dan harta intelek. 229. Bagi meningkatkan keberkesanan pemberian bantuan pelajar pendidikan tinggi, Kerajaan akan menggantikan baucar buku dengan kad debit pelajar sejumlah RM250, yang boleh digunakan untuk pembelian buku, alat tulis, alatan komputer dan akses Internet. Ini akan memanfaatkan seramai 1.3 juta orang pelajar. 230. Pemberian biasiswa akan diteruskan dengan peruntukan berjumlah RM4.3 bilion pada tahun 2017 termasuk: RM1.6 bilion menerusi JPA; RM2 bilion menerusi MARA; RM250 juta menerusi Kementerian Pendidikan Tinggi; RM208 juta menerusi Kementerian Kesihatan; RM194 juta menerusi Kementerian Pendidikan; RM28 juta menerusi Kementerian Sumber Manusia; dan RM21 juta menerusi Kementerian Belia dan Sukan. Tuan Yang Dipertua, 231. Bagi usaha menggalakkan peminjam PTPTN membuat bayaran balik, insentif berikut akan diberikan: Pertama: Diskaun 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman; Kedua: Diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan Ketiga: Diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau direct debit mengikut jadual bayaran balik yang ditetapkan. Insentif ini berkuat kuasa pada besok hari, 22 Oktober 2016 sehingga Disember 2017. Tuan Yang Dipertua, 232. Kerajaan terus menumpukan usaha melindungi kumpulan mudah terjejas. Antara inisiatif yang disediakan: Pertama: Bantuan kepada keluarga miskin, meliputi Bantuan Am sehingga RM300 ringgit sebulan dan Bantuan Kanak-Kanak sehingga RM450 ringgit diteruskan, memanfaatkan 69,000 keluarga; Kedua: RM424 juta disediakan yang akan memanfaatkan 120,000 warga emas, termasuklah bantuan sosioekonomi warga emas berjumlah RM300 sebulan sebagai saraan hidup dan program wang saku. Selain itu, lapan buah Pusat Aktiviti Warga Emas baharu akan ditubuhkan; Ketiga: RM535 juta untuk memanfaatkan hampir 150,000 Orang Kurang Upaya. OKU, merangkumi elaun pekerja, bantuan latihan kanak-kanak OKU serta bantuan OKU tidak berupaya bekerja; dan Keempat: Pelepasan GST kepada OKU berdaftar untuk membeli peralatan bantuan tanpa melalui Entiti Kebajikan Swasta. Skop barang yang layak mendapat pelepasan juga akan diperluaskan. Tuan Yang Dipertua, 233. Sesungguhnya, pada kita OKU membawa erti yang lebih besar yakni, merekalah Orang Ber-Kehebatan Upaya dan Orang Ber-Luarkebiasaan Upaya kerana, telah mampu membuktikan kejaguhan mereka sebagai wira-wira sukan bertaraf dunia. 234. Maka, dengan penuh rasa gembira, dijemput bersama-sama kita di sini, empat orang atlet sukan Paralimpik Rio 2016 yang telah berjaya menghadiahkan tiga pingat emas dan satu pingat gangsa. Syabas dan tepukan kepada: Saudara Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi; Saudara Muhammad Ziyad Zolkefli; Saudara Abdul Latif Romly; dan Saudari Siti Noor Radiah Ismail Tuan Yang Dipertua, 235. Kerajaan memandang tinggi peranan golongan pemimpin masyarakat seperti ketua kampung dalam usaha membentuk masyarakat Malaysia yang makmur dan harmoni. 236. Maka, Kerajaan bersetuju menaikkan elaun ketua kampung, pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan Persekutuan, termasuk Ketua Kampung-Kampung Baru dan Orang Asli, daripada RM800 kepada RM900. Tuan Yang Dipertua, 237. Pengangkutan awam merupakan nadi kepada mobiliti rakyat seharian dalam negara menuju kemajuan. Jaringan pengangkutan awam yang lebih cekap, selamat dan selesa sangat dinanti-nantikan oleh rakyat. 238. Lantas, seperti dimaklumi, projek sambungan jajaran LRT laluan Kelana Jaya dan Ampang telah pun beroperasi pada bulan Jun yang lalu. 239. Manakala perkhidmatan MRT laluan Sungai Buloh-Kajang akan beroperasi pada Disember 2016, memanfaatkan 1.2 juta pengguna di Lembah Klang. 240. Kerajaan juga komited untuk menambah baik pengangkutan awam di luar bandar dengan langkah-langkah berikut: Pertama: Pelaksanaan projek rel baharu East Coast Rail Line, menghubungkan Lembah Klang ke Pantai Timur sepanjang 600 kilometer yang melalui Port Klang, ITT Gombak, Bentong, Mentakab, Kuantan, Kemaman, Kerteh, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan berakhir di Tumpat secara berfasa dengan anggaran kos RM55 bilion; Kedua: Menggiatkan pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak; Ketiga: RM100 juta bagi membaik pulih Landasan kereta api Pantai Timur, jajaran Gua Musang-Tumpat akibat kerosakan banjir; dan Keempat: Bagi meningkatkan kekerapan trip perkhidmatan ETS bagi laluan Johor Bahru-Padang Besar, Kerajaan telah memperoleh sembilan set tren sehingga tahun 2019. Sebagai tambahan, sebanyak 10 set tren baharu lagi akan diperoleh secara berperingkat sehingga tahun 2019, dengan peruntukan keseluruhan RM1.1 bilion ringgit. Tuan Yang Dipertua, 241. Saban tahun, setiap Bajet yang dibentangkan, golongan Orang Asli turut bersama menikmati manfaatnya. 242. Pada petang ini, kita undang beberapa Tok Batin yang tempat dan kampung mereka telah mendapat faedah serta manfaat hasil peruntukan bajet-bajet yang lalu. 243. Mari beri tepukan kepada Tok Batin Awang bin Lijon dari Kampung Orang Asli Jelebu, Negeri Sembilan dan Tok Batin Taha bin Ahir dari Kampung Bukit Bangkong, Sungai Pelek, Sepang, Selangor. 244. Bajet ini selanjutnya memperuntukkan RM222 juta untuk projek bekalan air terawat di 42 perkampungan Orang Asli, program pembangunan ekonomi dan keusahawanan serta Penempatan Semula Perkampungan antaranya di Sungai Ruil, Cameron Highlands, Pahang. 245. Bagi projek Native Customary Rights pula, RM20 juta disediakan untuk pemetaan tanah di Sabah dan RM30 juta di Sarawak. Tuan Yang Dipertua, 246. Kerajaan tetap prihatin terhadap keperluan komuniti Cina dan India. Sehubungan itu, RM50 juta bagi pembangunan Kampung Baru Cina, RM50 juta lagi untuk pinjaman PKS melalui KOJADI serta RM20 juta untuk pinjaman mikro kredit diseliakan oleh Malaysian Chinese Women Entrepreneurs Foundation. 247. Seterusnya, RM20 juta akan disalurkan kepada Yayasan Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia untuk memberi pinjaman kepada penjaja komuniti Cina. 248. Bagi masyarakat India pula, RM50 juta diperuntukkan bagi program peningkatan kapasiti dan pendapatan, serta RM150 juta lagi untuk program pembiayaan perniagaan melalui TEKUN dan Amanah Ikhtiar Malaysia. 249. Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, SJKT, Kerajaan akan memperluaskan program prasekolah kepada 50 buah sekolah dengan peruntukan RM10 juta. 250. Berhubung ini juga, I want to make a policy statement bahawa, Kerajaan komited untuk mengarus perdanakan program-program pembelaan ke atas masyarakat India terus diperkasakan dalam agenda pembangunan negara. Nambikei,... Nambikei!! dan sempena Deepavali yang akan tiba, saya mengucapkan Selamat Hari Deepavali. Tuan Yang Dipertua, 251. Menjunjung Agenda Bumiputera, pada minggu lepas, saya telah merasmikan sambutan ulang tahun enam dekad institusi keramat Bumiputera UiTM,... 252. Ternyata, UiTM telah berjaya mencapai objektif penubuhannya dengan melahirkan hampir 700,000 graduan setakat ini, hingga ada yang sudah berjaya sebagai ahli akademik, pentadbir-pentadbir, teknokrat dan ahli korporat serta menteri. Tuan Yang Dipertua, 253. Makanya, bertolak dari sini, demi terus memperkasa Bumiputera, Kerajaan akan perbuat dan peruntukan: Pertama: RM100 juta kepada SME Bank bagi meningkatkan peluang usahawan Bumiputera; Kedua: RM100 juta kepada Amanah Ikhtiar Malaysia bagi pelbagai program keusahawanan mereka; Ketiga: RM300 juta kepada TEKUN, bagi membantu usahawan kecil memajukan perniagaan, termasuk skim baharu TEMANITA, khusus untuk usahawan mikro wanita. Tuan Yang Dipertua, Turut dijemput hadir di Parlimen petang ini dua contoh kejayaan hasil inisiatif TEKUN oleh Kerajaan. Mari kita beri tepukan tahniah kepada Encik Denny Iskandar Bahtiar Afandi, yang telah berjaya dalam bidang jahitan pakaian, dan keduanya Encik Vijaya - Indran anak lelaki Ganesan, yang telah berjaya hasil TEKUN di bidang pembaikan alat-alat elektrik. Keempat: RM200 juta kepada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, bagi melaksanakan Program Pembiayaan Keusahawanan dan Premis Perniagaan; Kelima: RM120 juta kepada Mara, bagi pelbagai program keusahawanan, antaranya perusahaan industri halal, pembangunan usahawan belia, Program Latihan Bersepadu Keusahawanan; Keenam: Dana mudah cara berjumlah RM500 juta menerusi TERAJU untuk membantu syarikat-syarikat Bumiputera untuk mengembangkan perniagaan mereka atau memulakan perniagaan baharu; Ketujuh: RM100 juta untuk TERAJU bagi Tabung Eksport bagi syarikat-syarikat Bumiputera menembusi pasaran antarabangsa; dan Kelapan: RM100 juta menerusi Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, bagi program Peneraju Skil dan Iltizam, Peneraju Profesional serta Peneraju Tunas. Bersama kita, dalam dewan Parlimen ini dua orang penerima faedah dari Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera ini. Kini, mereka telah berjaya dalam bidang perhotelan yang bertaraf enam bintang dan bidang arkitek. Tahniah dan tepukan kita berikan kepada Cik Denilia dan Encik Syahmi. 254. Pokoknya, selagi hayat dikandung badan, agenda pemerkasaan Melayu serta Bumiputera akan terus kita perjuangkan. Tuan Yang Dipertua, 255. Baru-baru ini, kita mendengar ada pihak yang membuat tuduhan bahawa Bajet 2017 adalah satu bikinan sandiwara, kononnya tanpa substance, dan Kerajaan tidak mempunyai wang yang mencukupi. 256. Malah, ada seorang pemimpin pembangkang menyebut pula, 'Malaysia mengharungi ribut ekonomi yang sukar pada tahun ini'. Saudara dan Saudari Sekalian, 257. Sebenarnya di sini, siapa yang bermain sandiwara?,... Siapa yang tiada substance sebenarnya?,... Siapa yang menjadi pembelot dan perkhianat negara sebenarnya?,... Di mana pula timbulnya ribut ni?.... 258. Apa yang boleh saya simpulkan wahai rakan-rakan, terutamanya Ahli Parlimen Barisan Nasional adalah, Ribut-ribut di Kubang Pasu, Angin Sepoi dari Pekan, Demi negara Barisan Nasional Bersatu, Kepentingan rakyat kita utamakan. Tuan Yang Dipertua, 259. Sememangnya, Kerajaan amat menghargai sumbangan perusahaan kecil dan sederhana di dalam menjana pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan di negara ini. 260. Bahkan, 97 peratus daripada kesemua perniagaan di negara ini adalah dari sektor PKS. Perniagaan-perniagaan ini juga menyumbangkan 36 peratus dari KDNK negara pada tahun lepas, 65 peratus dari kesemua pekerjaan dan 18 peratus dari eksport negara. 261. Jadinya, Kerajaan yakin sektor PKS mempunyai keupayaan untuk melonjak ke hadapan, supaya dapat meningkatkan lagi sumbangan mereka kepada ekonomi negara. 262. Untuk Bajet 2017 ini, saya mahu mengumumkan beberapa perkara yang gembira dan sangat mustahak lagi berimpak besar kepada syarikat-syarikat termasuk PKS. Sila dengarkan baik-baik. 263. Bagi menghargai pencapaian syarikat-syarikat yang berjaya meningkatkan pendapatan mereka, Kerajaan telah mengambil keputusan untuk mengadakan satu skim baru khusus bagi tahun taksiran tahun 2017 dan 2018. 264. Skim ini akan memberi pengurangan kadar cukai berperingkat, berdasarkan kepada peratus kenaikan pendapatan berbanding tahun taksiran sebelumnya. Kadar pengurangan cukai pendapatan ini adalah seperti berikut: - Peratus kenaikan pendapatan bercukai antara lima dan bawah 10 peratus sebanyak satu mata peratusan; - Peratus kenaikan pendapatan bercukai antara 10 dan bawah 15 peratus sebanyak dua mata peratusan; - Peratus kenaikan pendapatan bercukai antara 15 dan bawah 20 peratus sebanyak tiga mata peratusan; dan - Peratus kenaikan pendapatan bercukai 20 peratus sebanyak empat mata peratusan. 265. Sebagai contoh, sekiranya pendapatan bercukai syarikat bagi tahun taksiran 2016 adalah sebanyak RM10 juta, dan meningkat kepada RM12 juta pada tahun 2017, maka jumlah cukai yang dikenakan pada RM10 juta pertama adalah sebanyak 24 peratus, bersamaan RM2.4 juta. Manakala, beza pendapatan RM2 juta pada tahun 2017 pula dikenakan cukai sebanyak 20 peratus, bersamaan RM400,000. Ini bermakna, kadar cukai efektif adalah 23.3 peratus dan jumlah cukai yang perlu dibayar adalah RM2.8 juta dengan penjimatan sebanyak RM80,000. 266. Selain daripada itu, bagi semua PKS pula, kadar cukai bagi pendapatan bercukai sehingga RM500,000 pertama, akan dikurangkan daripada 19 peratus kepada 18 peratus, bermula tahun taksiran 2017. 267. Juga, bagi merancakkan program pembangunan vendor tempatan dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan, galakan potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan operasi yang ditanggung oleh syarikat induk, akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020. Tuan Yang Dipertua, 268. Beriring-iring dengan perpaduan, Kerajaan ini tidak akan pernah berkompromi dengan keselamatan dan ketenteraman awam. 269. Sesungguhnya, jasa para perajurit negara sentiasa kekal disanjung tinggi. Ini termasuklah pengorbanan mereka mempertahankan negara ketika darurat. 270. Bersama-sama kita juga pada petang berbahagia ini, wakil-wakil para veteran, pasukan perajurit juga anggota keselamatan, yang merupakan wira-wira bangsa dalam mempertahankan kedaulatan pertiwi. Nampaknya hanya Abang Bomba saja yang tak ada,... 271. Sesungguhnya, jasa mereka tidak terbayar dengan wang ringgit, dan tidak ternilai dengan pangkat darjat. 272. Saya difahamkan bahawa, hadir dan berada di galeri atas sana adalah wakil-wakil daripada Angkatan Tentera Darat, Laut dan Udara, serta Polis Diraja Malaysia yang pernah berkhidmat semasa tragedi di Lahad Datu. 273. Sama-sama kita beri semangat dan tepukan patriotik yang meriah buat mereka! Tuan Yang Dipertua, 274. Maka, sukacitanya diumumkan, Kerajaan akan memberi Bayaran Insentif Khas Insurgensi kepada veteran ATM, sejumlah RM55 juta, yang masih belum menerima insentif khas ini. 275. Ini bagi membolehkan veteran yang hilang upaya ketika dalam perkhidmatan, dapat menerima insentif tersebut. Sebagai contoh, seorang Koperal yang mengalami hilang upaya sebanyak 80 peratus semasa berkhidmat layak menerima bayaran Insentif Pukal sehingga RM34,000 dan bayaran Insentif Bulanan sehingga RM590 bergantung kepada kaedah pengiraan semasa. Ini merupakan insentif baharu selain daripada Pencen Hilang Upaya sedia ada. 276. MINDEF pula diperuntukkan RM15.1 bilion, antaranya RM1.8 bilion untuk menyelenggara aset-aset utama seperti pesawat, kapal peronda, peralatan komunikasi, bangunan dan senjata. ATM juga diperlengkapkan dengan perolehan kapal rondaan dan kenderaan berperisai 8x8. 277. Di samping itu, RM1.3 bilion diperuntukkan antaranya untuk telekomunikasi, rangsum dan perolehan pakaian seragam. 278. Bagi meningkatkan keberkesanan operasi ESSZONE, RM323 juta diperuntukkan untuk penugasan anggota di sempadan kawasan Timur Sabah. Tuan Yang Dipertua, 279. Selain itu, Kerajaan akan mewujudkan Sea Basing di perairan Pantai Timur Sabah, dan Pangkalan Operasi Hadapan Helikopter. Seterusnya, menempatkan kenderaan Perisai AV8 GEMPITA 8x8, dan kenderaan perisai 4x4 di Lahad Datu, serta penempatan skuadron pesawat pejuang Hawk dan helikopter Eurocopter EC-725 di Pangkalan Udara Labuan. 280. Angkatan Tentera juga akan melaksanakan Program Jiwa Murni, dengan peruntukan RM114 juta, bagi membina dan menaik taraf jalan di pedalaman Sarawak. 281. Di samping itu, perkhidmatan Feri Sekolah Angkatan Tentera juga diteruskan melibatkan 15,000 anak-anak anggota ATM seluruh negara. 282. Manakala, KDN diperuntukkan RM12.8 bilion, termasuk RM8.7 bilion kepada Polis DiRaja Malaysia. Antara projek utama adalah, membina 12,000 pejabat polis daerah, pusat latihan Komando 69, dan perolehan kenderaan serta kelengkapan. 283. Selain itu, RM60 juta disediakan bagi meningkatkan keberkesanan usaha mencegah jenayah di bandar, termasuk omnipresence dan Unit Rondaan Bermotosikal. 284. Kerajaan juga mengiktiraf peranan anggota Rela dalam memelihara keharmonian masyarakat. Untuk ini, RM80 juta diperuntukkan, bagi membekalkan pakaian seragam kepada lebih 200,000 orang anggota Rela. 285. Dua wakil mereka ada bersama kita,...sila kita beri tepukan meriah kepada wakil anggota Rela yang banyak berjasa. 286. Bagi memastikan kawasan kejiranan berada dalam selamat dan tenteram, RM40 juta diperuntukkan untuk melaksanakan semula Geran Persatuan Penduduk kepada persatuan yang berdaftar. Geran sehingga RM10,000 bagi membiayai peralatan kawalan keselamatan, pembersihan dan penyelenggaraan kawasan kejiranan. Tuan Yang Dipertua, 287. Wanita sentiasa menjadi inspirasi dan tulang belakang kepada pembangunan negara. Sejak zaman dahulu kala pun, para pahlawan dan pendekar, bukan sahaja terdiri daripada kaum lelaki, tetapi juga kaum hawa. 288. Beberapa hari lepas, saya telah bertemu dengan seorang pejuang wanita. Beliau adalah wakil tunggal yang menjadi perlambangan wanita Malaysia yang berhati waja, berani dan kuat semangat. Bersama rakan-rakan, beliau membuat misi kemanusiaan ke Palestin, sehingga ditahan oleh rejim Israel. 289. Namun Alhamdulillah, telah kembali ke tanah air dengan selamat. Ayuhlah, kita berikan sambutan semangat dan tepukan kepada Dr. Fauziah Hassan. Tuan Yang Dipertua, 290. Sehubungan ehwal wanita dan mengarusperdanakan peranan mereka dalam pembangunan negara, sebanyak RM2 bilion disediakan untuk program-program seperti I-KIT, I-KeuNita dan program Women Career Comeback. 291. Kerajaan juga menyediakan RM30 juta untuk kaum wanita menjalani pemeriksaan mamogram dan mendapat suntikan imunisasi HPV secara percuma, untuk mencegah kanser. 292. Bercakap tentang kejayaan dan kehebatan golongan wanita lagi, marilah kita memberi tepuk tahniah kepada Cik Lam Shu Jie, yang telah berjaya dalam penyelidikan Structurally Nano-Engineered Anti-Microbial Peptide Polymers (SNAPPs) di peringkat global. Saya difahamkan beliau sedang menuntut di salah sebuah universiti di Australia. 293. Sebagai sokongan kepada wanita berkerjaya yang masih menyusukan anak, Kerajaan akan memperkenalkan pelepasan cukai baharu sehingga RM1,000 bagi pembelian peralatan penyusuan ibu. Pelepasan ini, diberi setiap dua tahun sekali, mulai tahun taksiran 2017. 294. Seterusnya, bagi meringankan beban ibu bapa yang bekerja, pelepasan cukai sehingga RM1,000 diberikan kepada pembayar cukai individu yang menghantar anak berumur enam tahun dan ke bawah, ke taman asuhan dan prasekolah berdaftar, mulai tahun taksiran 2017. Kerajaan menganggarkan 40,000 individu akan mendapat manfaat daripada pelepasan cukai ini. Tuan Yang Dipertua, 295. Sebagai sebuah negara Islam yang wasatiyyah, berasaskan fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah, Kerajaan dari masa ke semasa akan terus memperkembangkan syiar Islam di landasan betul. 296. Seraya itu, Kerajaan, menolak sekeras-kerasnya sebarang fahaman yang terlalu liberal mahupun terlalu ekstrem. 297. Di sudut ini, peranan para agamawan, khususnya golongan imam serta ahli jawatankuasa masjid dan surau-surau dipandang serius oleh pihak Kerajaan, terutamanya kebajikan mereka. 298. Makanya, pada hari ini, kita berbesar hati untuk menjemput beberapa imam dan bilal yang berjasa sejak sekian lama di surau-surau dan masjid-masjid seluruh negara. 299. Silalah kita mendongak ke galeri dan skrin, wajah-wajah antara ribuan imam, bilal dan siak, yang telah berjasa mengimarahkan masjid dan surau dalam ibadah jemaah. Berilah tepukan penghargaan kepada mereka. 300. Seiring dengan itu, dengan rasa tawaduknya, berasa bersyukur, kerana imam-imam ini adalah antara 4,611 jemaah yang telah dibiayai untuk mengerjakan ibadat haji oleh GLC. 301. Berkait ini, Kerajaan telah membuat keputusan untuk menaikkan elaun imam di bawah Jakim, daripada RM750 kepada RM850 sebulan. Ini memanfaatkan hampir 15,000 imam di seluruh negara. 302. Manakala sebanyak RM500, akan diberikan secara one-off kepada hampir 16,000 bilal dan siak di seluruh tanah air, sebagai menghargai jasa mereka dalam mengurus tadbir masjid. 303. Sukacitanya Kerajaan mengumumkan, elaun guru KAFA juga akan dinaikkan daripada RM800 kepada RM900 sebulan, sekaligus memanfaatkan hampir 33,000 guru. 304. Kerajaan menyedari permintaan yang tinggi oleh masyarakat terhadap pendidikan tahfiz. Oleh itu, buat pertama kalinya, Kerajaan memperuntukkan RM30 juta bagi menyelaraskan pendidikan tahfiz melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara. 305. Sekalung tahniah, mari kita beri tepukan kepada wakil guru-guru KAFA dan anak-anak Tahfiz tajaan Kerajaan. Tuan Yang Dipertua, 306. Ramai cendekiawan dan pejuang kemanusiaan dunia seperti Mahatma Ghandi menyarankan bahawa, If you want to reach real peace in this world, we should start educating the children. 307. Pada Jumaat penuh barakah ini, dibawakan sebahagian anak-anak masuk ke Dewan Parlimen sebagai memberi pengalaman kepada mereka, selaku pewaris bangsa. Anak-anak kita ini, adalah daripada kelas-kelas pendidikan awal Kemas, Tabika, Taska dan Permata. 308. Bagi menghargai khidmat jasa para pembantu Kemas, elaun mereka akan dinaikkan daripada RM400 kepada RM500, melibatkan hampir 11,000 orang. 309. Turut hadir dua wakil pembantu Kemas dan silalah beri tepukan kepada mereka. Tuan Yang Dipertua, 310. Bersama-sama kita pada petang ini juga, anak-anak Permata dan Kemas, yang merupakan pewaris masa depan negara. 311. Sebanyak 85 juta ringgit akan diperuntukkan bagi program PERMATA, yang melibatkan 50 ribu kanak-kanak, antaranya, untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Top STEM Talents di Akademi Sains Malaysia. Selain itu, Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar di Negeri Sembilan, dan Kampus Tuanku Bainun di Pulau Pinang akan diubahsuai menjadi pusat PERMATA Pintar dan Berbakat. Tuan Yang Dipertua, 312. Ingin disampaikan satu lagi khabar penting, Kerajaan akan mengambil langkah positif untuk meminda Akta Kebankrapan 1967 mulai awal tahun hadapan, berkait mereka yang telah diisytiharkan bankrap, terutamanya 'penjamin sosial' misalannya penjamin biasiswa,...dan antaranya lagi, mereka yang mengidap penyakit kronik setelah disahkan oleh hospital Kerajaan juga mereka yang telah berumur. Perinciannya sedang dilakukan dan butiran lanjut akan diumumkan dalam sedikit masa lagi. Tuan Yang Dipertua, 313. Demikianlah sekian banyaknya prakarsa, inisiatif, peruntukan dan ikhtiar murni Kerajaan Barisan Nasional dalam simfoni Bajet 2017 ini, untuk Rakyat, Kerana Rakyat. 314. Sebuah bajet yang sangat berkomited dan tidak mementingkan kepopularan politik, sebaliknya demi mempastikan kedudukan asasekonomi negara kekal berdaya tahan dan kuat, termasuk dasar tentang sasaran defisit, aktiviti ekonomi yang telah dirangsang, dan kesihatan jangka panjang sistem kewangan Malaysia. 315. Sesungguhnya,... sesungguhnya,... Kerajaan Barisan Nasional adalah Kerajaan anak jantan. Kita tidak akan sesekali lari dari masalah. 316. Kita tidak akan pernah belot dan takut kecundang, lari dari medan perjuangan. Tuan Yang Dipertua, 317. To us, Barisan Nasional, failure is not an option,... and,...success is what we strive for. 318. Lantas,...sukacitanya saya mengumumkan, sebaik sahaja bajet ini selesai, pihak Kerajaan akan melancarkan siri dialog nasional atau national discourse bagi memeta halatuju negara di atas sebuah kanvas yang baharu. Kalau lembayung gagasan negara yang saya perkenalkan sejak 2010 adalah, Dasar Transformasi Nasional atau DTN, maka wacana nasional ini pula saya namakan sebagai, Transformasi Nasional 2050 dan sesudah ini dijenamakan sebagai TN50. 319. Kalau Dasar Ekonomi Baru dulu, Allahyarham Tun Razak rencanakan untuk menyediakan Generasi Baharu yang berjaya dalam 62 tempoh 30 tahun, begitulah TN50 ini akan menjangkau 3 dekad proses dan gerak kerjanya, bagi membentuk satu negara bangsa yang benar-benar berwibawa serta berminda par excellence. 320. TN50 akan dimula-gerakkan dengan generasi muda pelbagai bangsa melalui wacana-wacana nasional atau national discourse seperti diputuskan oleh Kabinet, akan dikendalikan oleh Kementerian Belia dan Sukan serta pastinya akan dinaungi dan dipayungi oleh saya sendiri selaku Perdana Menteri. 321. Biarlah TN50 ini menjadi saksi dan berkalamlah tawarikh bahawa, Kita adalah Bapa-Bapa atau Nenek Moyang yang bertanggungjawab, mahu mewariskan yang terbaik dan terhebat...diperturunkan kepada generasi hari muka. 322. TN50, inilah azimat kita mulai kini. Biarlah legasi lama berlalu pergi. Harapan masa depan Malaysia kita baharui. Tuan Yang Dipertua, 323. Dari itu, walau kita terus diperhadapkan dengan beribu aral yang melintang,... tapi kita terima dengan jiwa yang besar dan roh bangsa merdeka. 324. Oleh itu, wahai rakan-rakan dalam Barisan Nasional, Ayuhlah,... kita rapatkan saf, kita satukan pemikiran, kita perkukuhkan pasukan,... 325. Sekaligus di kesempatan ini, saya mahu merakamkan rasa penghargaan yang tinggi kepada Timbalan saya, yakni Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, atas kesetiaan saudara yang tidak berbelah bahagi. 326. Begitu juga ketaatan yang diberikan kepada saya oleh Anggota-anggota Jemaah Menteri, Pimpinan-Pimpinan Parti Komponen dan tentunya juga kepada para Penjawat Awam, kepada negara selama puluhan tahun ini. Tuan Yang Dipertua, 327. Kepada Penjawat Awam, saya tahu tak tidur malam jika perkara ini tidak diumumkan. Bagai pucuk dicita, khabar gembira sudah pun mendatang. 328. Sebagai penghargaan atas khidmat terpuji para penjawat awam, sukacitanya saya mengumumkan bayaran khas sebanyak 500 ringgit kepada semua penjawat awam, manakala 250 ringgit kepada para pesara Kerajaan. Bayaran ini akan diberi pada awal Januari 2017. Saudara dan Saudari Rakan Seperjuangan Sekalian, 329. Biarlah hati kita luluh dan kalbu kita hancur menahan luka, asalkan masyarakat mendapat untung dan labanya. 330. Biarlah bahu-bahu kita yang menanggung caci dan cerca, asalkan,...rakyat tetap dibela. Tuan Yang Dipertua, 331. Jika dimadah orang dahulukala, Raja dan Rakyat berpisah tiada,...Begitulah juga,... Kerajaan dan Rakyat juga sehati sejiwa. 332. Ingin saya nyatakan betapa kasihnya Kerajaan ini untuk melihat rakyat bahagia dan sentosa. Seperti dipujangga dalam gurindam jiwa,....hendak mati di hujung kuku, hendak berkubur di tapak tangan. Tuan Yang Dipertua, Saudara Saudari, Rakyat Malaysia Yang Dikasihi, 333. Akhir kalam, Kerajaan Barisan Nasional dengan izin Allah jua, yakin dan percaya bahawa, angin kemenangan besar Pilihanraya Negeri Sarawak, yang telah berpuput-puput bayunya ke Pilihanraya Kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, akan mula meniup obor perjuangan yang kami yakin dan percaya, hari demi hari, InsyaAllah,.... dengan kehendak Yang Maha Berkuasa, akan membawa pula kemenangan besar di Pilihanraya Umum Ke-14 kepada Kerajaan Barisan Nasional, InsyaAllah. 334. Lalu,.... Lalu,.... sudah menjadi adat orang berjuang,....sekali layar sudah dikembang,... sekali bahtera sedang berkemudi,... pabila genderang ditabuh-tabuhkan,....apa pun badai datang menghentam,....pantang pendekar berbalik pulang!!! 335. Mudah-mudahan Allah Hu Ta'ala, Melimpah Kurnia serta Mencucur Rahmatnya kepada Malaysia dan Rakyatnya, Dunia Akhirat, Zahir dan Batin. Tuan Yang Dipertua, Saya mohon mencadangkan. Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamulaikum Warahmatulla Tuan Yang Dipertua, Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk "Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2016 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu" dibaca bagi kali kedua. MUKADIMAH Tuan Yang Dipertua, Saya mulai, dengan menyebut BismillahirRahmanirRahim, Alhamdulillahi Rabbil A'lamin, Wa bihi Nastai'n. Segala puji-puji bagi Allah Hu Ta'ala, yang telah menjadikan Tujuh Petala Langit dan Tujuh Petala Bumi,... juga,... yang telah mewujudkan keadaan gelap-gulita, ke alam terang benderang. Demikian juga, limpahan salawat, ke atas Nabi Muhammad, Rasul Pilihan,... Pembuka bagi sesuatu yang terkunci, Penutup bagi yang terdahulu, penolak yang batil, pembela hak dan kebenaran. Tuan Yang Dipertua, Sejak Mac tahun 2009, saya telah membentangkan lebih 11 dokumen besar berkait ekonomi negara. Termasuklah, Pakej Rangsangan Pertama, Pakej Rangsangan Kedua, Rancangan Malaysia Ke-10 dan Rancangan Malaysia Ke-11, seterusnya Bajet 2010, hinggalah pada hari ini, akan dipersembahkan pula Bajet 2016. InsyaAllah, jika diberi izin oleh Tuhan yang Maha Menyimpan segala Tahu dan rahsia setiap sesuatu, kita berdoa serta berharap agar terus berpeluang lagi, dapat membentangkan Bajet-Bajet pada tahun-tahun selanjutnya,... Amin. Sesungguhnya, Bajet yang diangkat kali ini,... merupakan bagian daripada terjemahan Rancangan Malaysia Ke-11. Bajet ini adalah yang pertama, dalam rantaian 5 Bajet, sampailah terjulangnya negara tercinta ini kelak, menjadi sebuah watan, High Income Advanced Economy. InsyaAllah. Sebelum itu, sebagai hamba-hambaNya yang beringat lagi bersyukur, marilah bersama, dengan rasa kerendahan hati, mengambil sempena dan iktibar daripada sejarah dan sirah, berasaskan Al-Quran, melalui mafhum pengertian surah An-Nisa' ayat 58, seperti yang ditafsir oleh antaranya Imam Qurtubi, pabila menjadi pemimpin dan pemerintah, maka terserulah kepada kita, bagi menjaga hak-hak dan menghukum dengan saksama terhadap keperluan rakyat. Tuan Yang Dipertua, Lantaran itu, sebelum diteruskan penyampaian ini, walau apa sekalipun diwajahkan di mana-mana, meski apa yang dilaporkan dalam media, berkait letak duduk dan keadaan Malaysia, kononnya, negara ini diambang muflis, berada dalam krisis ekonomi, nilai ringgit terjejas teruk, ekoran persepsi ketidakcekapan tadbir urus kewangan negara, serta pula dipertikai tentang tatacara perbelanjaan Kerajaan yang katanya tidak berhemah. Makanya, berdasarkan ehwal yang dihebah-hebahkan itu, moleklah kiranya saya mengambil kesempatan dalam Dewan yang mulia ini, untuk memperjelaskan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat khususnya, serta rakyat Malaysia, yang sedang menonton dan mendengar di luar sana, supaya mendapat gambaran yang benar serta tepat. Tuan Yang Dipertua, Semenjak tahun 2009, janganlah sesekali kita lupa, satu persatu datangnya dugaan terhadap ekonomi negara. Kita telah berdepan dengan pelbagai ketidakkeruan ekonomi global dan pastinya kemelut iktisad domestik. Alhamdulillah, meskipun telah ditantang dengan segala aral dan rintangan itu, Kerajaan terbukti mampu menangani dan mengatasinya dengan begitu berkesan. Tuan Yang Dipertua, Jika hendak disimpulkan, antaranya terdapat 6 pencapaian utama sebagai penanda kejayaan yang boleh diperbanggakan dalam mengangkat kembali kedudukan ekonomi negara, dari mana ia berada separuh dekad lalu. Tuan Yang Dipertua, Pencapaian pertama: Jika ditinjau situasi ekonomi semasa Malaysia, ia mampu berkembang sebanyak 5.3 peratus bagi separuh tahun pertama 2015, dan dianggarkan mencapai 4.5 hingga 5.5 peratus sepanjang tahun, meskipun, ekonomi dunia dijangka berkembang pada kadar yang perlahan iaitu 3.1 peratus pada tahun ini. Dalam perkara ini, perlu kita ingat baik-baik, keadaan ekonomi sekarang, bak kata dalam bahasa Inggeris, there is no comparison whatsoever, berbanding tahun 1998. Nyatanya, pada ketika itu, telah berlaku krisis kewangan peringkat Asia, sehinggakan ekonomi negara menguncup kepada negatif 7.4 peratus. Sungguhpun begitu, kita sedar, bahawa kita tidak dapat lari daripada menghadapi kelembapan ekonomi global, termasuklah dari segi penurunan harga komoditi terutamanya minyak, kelapa sawit dan getah, penyusutan nilai ringgit, pertumbuhan perlahan di negara-negara kuasa besar ekonomi dunia. Justeru, pertumbuhan KDNK negara dijangka dapat berkembang pada kadar 4 hingga 5 peratus pada tahun 2016. Pertumbuhan ini, akan dipacu oleh pelaburan dan penggunaan swasta pada kadar 6.7 dan 6.4 peratus. Eksport pula, tumbuh pada kadar 0.9 peratus dan import 1.5 peratus. Sektor pembinaan berkembang 8.4 peratus, perkhidmatan 5.4 peratus, manakala pembuatan sebanyak 4.3 peratus. Tuan Yang Dipertua, Pencapaian Kedua: Secara konsisten kita telah dapat mengurangkan defisit fiskal Kerajaan, daripada paras 6.7 peratus kepada 3.2 peratus yang dijangka pada tahun ini. Tuan Yang Dipertua, Pencapaian Ketiga: Melalui Dasar Transformasi Nasional atau DTN yang bermula pada tahun 2010, Kerajaan ini, telah meneruskan mujahadah pembasmian kemiskinan. Hasilnya, dalam tempoh 5 tahun, kadar kemiskinan berkurang daripada 3.8 peratus pada tahun 2009, kepada kini 0.6 peratus pada tahun 2014. Malah, sebenarnya kemiskinan tegar telah hampir disifarkan. Pencapaian Keempat: Kalau dikaji, statistik pengangguran pada tahun 1999 adalah 3.4 peratus. Dengan kehendak Allah jua, hasil daripada pengurusan ekonomi negara yang berkesan, kita telah mengurangkan kadar pengangguran kepada 2.9 peratus dan Kerajaan telah berjaya mewujudkan sebanyak 1.8 juta peluang pekerjaan. Tuan Yang Dipertua, Pencapaian Kelima: Seramai 5 juta rakyat di kawasan luar bandar telah berjaya mendapat manfaat kemudahan asas, seperti bekalan elektrik dan air bersih. Akhir sekali, Pencapaian Keenam: Rakyat telah mendapat pelbagai kemudahan seperti BR1M, Klinik 1Malaysia, UTC, RTC dan Kedai Rakyat 1Malaysia, demi meringankan kos sara hidup rakyat. Tuan Yang Dipertua, Pada sudut lain, kemasukan pelaburan asing pula terus kukuh pada 22.4 bilion ringgit pada separuh pertama tahun ini, manakala indeks Bursa Kuala Lumpur mencatat 1,705 mata bersamaan nilai pasaran 1.675 trilion ringgit menjelang penutup bursa pada 22 Oktober 2015. Walaupun ringgit menyusut nilai, rizab antarabangsa kekal tinggi sebanyak 418 bilion ringgit pada 15 Oktober 2015 yang mampu sebenarnya membiayai selama 8.8 bulan import tertangguh dan 1.2 kali hutang luar jangka pendek. Laginya, pada tahun hadapan, negara dijangka terus berada dalam inflasi terkawal, di antara 2 hingga 3 peratus. Tuan Yang Dipertua, Ini menunjukkan bahawa realitinya, Malaysia, negara kita yang tercinta bukanlah negara yang gagal atau bankrap, sebaliknya kita masih stabil,... masih kukuh dengan economic fundamental dan terus berdaya saing. Tuan Yang Dipertua, Sebelum bingkisan Bajet tahun ini diteruskan, terdapat dua perkara mustahak yang wajar diberi penjelasan. Perkara pertama, adalah Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau GST, yang hangat diperkatakan oleh orang ramai terutamanya sejak awal tahun ini. Dalam isu GST, Kerajaan berterima kasih kerana pematuhan dalam pendaftaran dan pengisytiharannya amat tinggi dan membanggakan. Suka saya memaklumkan kepada Dewan yang mulia, setakat ini, jumlah syarikat yang berdaftar dengan GST adalah hampir 400 ribu buah semuanya, dengan kadar patuh serahan atau submission mencapai lebih 90 peratus. Tuan Yang Dipertua, Alhamdulillah, sesungguhnya keputusan Kerajaan melaksanakan GST adalah tepat, lebih-lebih lagi berikutan kejatuhan harga minyak kepada lebih 50 peratus daripada paras 100 dolar Amerika sebelum ini. Faktanya, Petroliam Nasional Berhad atau PETRONAS menyumbang sejumlah dividen kepada Perbendaharaan pada setiap tahun. Jumlah sumbangan dividen ini, bergantung kepada naik turunnya harga minyak dunia. Misalannya, dalam tempoh setahun di mana harga minyak adalah pada purata 100 dolar Amerika setong, pendapatan daripada dividen PETRONAS serta hasil cukai petroliam kepada negara, berjumlah 62 bilion ringgit. Akan tetapi, senarionya berbeza, pabila harga minyak telah turun kepada paras sekitar 50 dolar Amerika setong. Pendapatan daripada dividen PETRONAS serta hasil cukai petroliam kepada negara, berjumlah 44 bilion ringgit pada 2015. Harga minyak ini pula, dijangka akan kekal rendah pada 2016, dan kutipan hasil daripada sumber berkaitan minyak dianggar 31.7 bilion ringgit, atau penyusutan pendapatan Kerajaan lebih 30 bilion ringgit. Tuan Yang Dipertua, Jadinya, jika sebelum ini, dalam beberapa pengumuman rasmi, saya, bagi pihak Kerajaan ada menyebut bahawa rakyat usahlah bimbang, kerana hasil kutipan GST dikembalikan semula demi manfaat ramai, malah, dimaklumkan pula bagaimana ia dibelanjakan. Ini adalah benar apa yang Kerajaan hasratkan dan tidak ada apa-apa agenda yang terselindung. Namun, keadaan telah berubah. Hasrat ini perlu diimbangi dengan realiti kedudukan kewangan negara, berdasarkan perkembangan harga minyak dunia yang tidak menentu seperti yang saya sampaikan tadi. Tetapi, disebabkan oleh kekurangan kutipan hasil petroliam, kutipan GST-lah yang terpaksa menjadi tampungan sebahagian besar daripadanya. Tuan Yang Dipertua, Sehubungan itu, pada tahun 2016, dalam perkiraan Kerajaan, sekira dan seandainya GST tidak dilaksanakan, dan kita masih dengan sistem SST seperti yang sebelumnya, hasil negara akan berkurangan sebanyak 21 bilion ringgit. Jika dihalusi lagi, kalaulah kita kekal dengan SST, kutipan hanyalah sekadar 18 bilion ringgit berbanding GST iaitu sebanyak 39 bilion ringgit. Akibatnya, defisit negara akan meningkat kepada 4.8 peratus, dan bukan lagi 3.1 peratus seperti yang disasarkan pada tahun 2016. Andai kata ini berlaku, Kerajaan terpaksa meminjam termasuk untuk membayar gaji penjawat awam, penarafan kredit negara pula akan diturunkan dan kos pinjaman untuk semua, seperti pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan dan pinjaman perumahan, pastinya meningkat. Tuan Yang Dipertua, Di atas segalanya, bersyukurlah kita kepada Allah, kerana Kerajaan yang ada tetap bertegas dengan pendirian, mempunyai dengan izin, political will atau keberanian serta iltizam politik untuk melaksanakan GST... sekalipun,...sekalipun... keputusan ini ternyata mendapat pelbagai cabaran dan tidak popular. Malah pihak seberang sana, yang mula-mula dulu menentang dengan begitu lantang dan keras, kini juga mula menerima GST, hatta telah memasukkannya pula dalam dokumen bajet mereka. Ini jelas menunjukkan, pendirian pembangkang yang sentiasa berubah-ubah dan tidak konsisten. Tuan Yang Dipertua, Oleh itu, berdiri atas pendirian sedemikian, Kerajaan yang bertanggungjawab ini, akan terus melakukan keputusan-keputusan yang betul, waima tidak bersifat populis, demi,... mendahulukan rakyat dan kepentingan negara. Tuan Yang Dipertua dan Rakyat Malaysia sekalian, Oleh yang demikian, ternyatalah, GST ini sebetulnya merupakan satu sistem percukaian yang efisien. Maka sebab itulah, telah dilaksanakan di lebih 160 buah negara. Tampaknya juga, meskipun keadaan kewangan negara terkekang, kita terus mendengar denyut nadi dan rintihan rakyat. Kerana itu, setelah menerima maklum balas daripada pelbagai golongan masyarakat, termasuklah pihak NGO, dengan ini, sukalah saya mengumumkan bahawa, Kerajaan bersedia, melepaskan lagi pendapatan cukai GST terhadap beberapa barangan asas kehidupan seharian rakyat. Tujuh langkah penambahbaikan layanan GST, berkuatkuasa menjelang 1 Januari 2016, adalah seperti berikut: Pertama, pengenaan GST pada kadar sifar ke atas semua jenis Ubat Terkawal di bawah senarai Racun Kumpulan A, B, C dan D, serta tambahan sebanyak 95 jenama ubat over the counter, meliputi ubat bagi 30 jenis penyakit seperti ubat kanser, kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung. Ini melibatkan peningkatan dua kali ganda, dari 4,215 kepada 8,630 jenama ubat. Kedua: pengenaan GST pada kadar sifar ke atas barangan makanan berikut : • Susu bayi dan kanak-kanak berasaskan kacang soya dan susu organik; • Dhal, atau kata orang utara kacang 'parpu', berasaskan kekacang daripada kacang kuda, kacang hijau dan kacang putih; • Akar teratai atau lotus root dan sengkuang air atau water chestnut; • Biji sawi; • Gula merah; dan • Untuk orang Sarawak,...mee kolok kering Ketiga: Bagi membolehkan petani berskala kecil mendapat manfaat dari Skim Kadar Rata di bawah GST, Kerajaan mencadangkan supaya, threshold jualan tahunan untuk tujuan pendaftaran di bawah skim ini diturunkan daripada 100 ribu ringgit kepada 50 ribu ringgit; Dengan penurunan threshold, ia bererti, lebih ramai petani kecil boleh mendaftar di bawah skim ini dan mengenakan tambahan 2 peratus ke atas nilai jualannya, dan amaunnya boleh disimpan untuk menampung sebarang GST yang telah dibayar ke atas inputnya. Keempat: Bagi syarikat-syarikat yang terlibat dalam aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baikpulih di dalam industri aeroangkasa pula akan dibenarkan menyertai Approved Trader Scheme dan diberi pelepasan GST ke atas pengimportan barang-barang; Kelima: Pelepasan GST juga diberikan ke atas pengimportan semula barangan yang telah dieksport secara sementara bagi tujuan promosi, penyelidikan atau pameran; Keenam: Kini, bagi industri minyak dan gas pula, pelepasan GST diberikan kepada pengimportan semula peralatan yang dieksport secara sementara, bagi tujuan sewaan dan pajakan seperti peralatan pelantar minyak juga platform terapung; serta Ketujuhnya: Pelepasan GST juga diberi untuk perolehan bahan dan peralatan mengajar, kepada penyedia latihan kemahiran dan vokasional yang menjalankan program diluluskan di bawah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006. Tuan Yang Dipertua, Kerajaan menyedari bahawa ramai pengguna telefon bimbit terutamanya daripada golongan belia, bergantung kepada perkhidmatan telekomunikasi prabayar atau prepaid card. Berhubung ini, para pengguna warga Malaysia, akan mendapat kembali rebat bersamaan dengan amaun GST yang dibayar, yang akan dikreditkan terus ke dalam akaun perkhidmatan prabayar mereka. Langkah ini, adalah mulai 1 Januari 2016 sehingga 31 Disember 2016. Tuan Yang Dipertua, Seterusnya, bagi memantapkan struktur cukai supaya lebih kompetitif dan progresif, banjaran pendapatan bercukai bagi kadar cukai tertinggi ditingkatkan daripada 25 peratus, kepada 26 peratus bagi mereka yang berpendapatan antara 600 ribu ringgit dan 1 juta ringgit. Sementara itu, mereka yang berpendapatan melebihi 1 juta ringgit, kadar cukai akan dinaikkan daripada 25 peratus kepada 28 peratus. Tuan Yang Dipertua, PERUNTUKAN BAJET 2016 Bajet 2016 memperuntukkan 267.2 bilion ringgit berbanding 260.7 bilion ringgit peruntukan dipinda 2015. Daripada jumlah tersebut, 215.2 bilion ringgit adalah untuk perbelanjaan mengurus dan 52 bilion ringgit bagi perbelanjaan pembangunan. Di bawah peruntukan mengurus, 70.5 bilion ringgit adalah untuk Emolumen dan 36.3 bilion ringgit bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala sebanyak 106.6 bilion ringgit adalah Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Pembelian Aset pula diperuntukkan sebanyak 761 juta ringgit dan 1 bilion ringgit kepada perbelanjaan lain. Di bawah peruntukan pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan tertinggi sebanyak 30.1 bilion ringgit, diikuti oleh sektor sosial 13.1 bilion ringgit merangkumi pendidikan dan latihan, kesihatan, perumahan serta kesejahteraan masyarakat. Manakala, sektor keselamatan pula diperuntukkan sebanyak 5.2 bilion ringgit. Selebihnya, diagihkan kepada sektor pentadbiran am iaitu sebanyak 1.6 bilion ringgit dan simpanan luar jangka sebanyak 2 bilion ringgit. Bagi tahun 2016, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan dianggarkan sebanyak 225.7 bilion ringgit, yakni peningkatan sebanyak 3.2 bilion ringgit berbanding 2015. Dengan mengambil kira unjuran hasil dan perbelanjaan Kerajaan, defisit fiskal Kerajaan dijangka menguncup kepada 3.1 peratus pada 2016. Tuan Yang Dipertua, Bajet ini dan bajet-bajet seterusnya akan berteraskan keseimbangan diantara Capital Economy dan People Economy. Disamping itu, kita perlu mencapai pertumbuhan yang bersifat inklusif, sustainable dan membina sebuah negara yang kompetitif, progresif, bersahsiah dan morally strong, dalam satu kehidupan masyarakat yang saling berpadu. Tuan Yang Dipertua, Lantaran demikian, saya pohon membentangkan sebuah Bajet yang bertemakan "Mensejahtera Kehidupan Rakyat", bertunjangkan 5 Keutamaan. Tuan Yang Dipertua, KEUTAMAAN PERTAMA: MEMPERTEGUH KETAHANAN EKONOMI NEGARA. Langkah satu: Aktiviti pelaburan domestik akan terus dirancakkan dengan jangkaan sumbangan kepada KDNK pada 26.7 peratus bagi 2016. Ini akan dipacu oleh pelaburan swasta yang meningkat sebanyak 218.6 bilion ringgit serta disokong oleh pelaburan awam sebanyak 112.2 bilion ringgit. Dalam langkah ini, terdapat sembilan projek dan inisiatif yang akan dilaksanakan: Pertama: Membangun Malaysian Vision Valley meliputi keluasan tanah seluas 108,000 hektar dari Nilai ke Port Dickson seperti yang telah dibentangkan pada RMK-11, dengan unjuran pelaburan permulaan 5 bilion ringgit pada tahun 2016; Kedua: Melaksana Cyber City Centre di Cyberjaya dengan nilai pembangunan hampir 11 bilion ringgit dalam tempoh 5 tahun; Ketiga: Membangun Bandar Lapangan Terbang atau Aeropolis KLIA di kawasan seluas 1,300 ekar dan dijangka menarik pelaburan sebanyak 7 bilion ringgit; Keempat: Pelaburan 6.7 bilion ringgit oleh Khazanah Nasional Berhad, dalam 9 projek domestik berimpak tinggi seperti dalam bidang penjagaan kesihatan, pendidikan, pelancongan, perisian dan infrastruktur komunikasi; Kelima: Khazanah Nasional juga memperuntukkan 500 juta ringgit untuk modal teroka dan dana ekuiti persendirian termasuk dana teroka modal pelancongan sebanyak 50 juta ringgit; Keenam: Pelaburan seterusnya dianggarkan 18 bilion ringgit untuk tahun 2016, bagi Projek RAPID Complex di Pengerang, Johor; Ketujuh: Untuk menarik lebih banyak pelaburan swasta, antara projek yang sedang dilaksanakan adalah pembangunan Rubber City di Kedah dengan peruntukan 320 juta ringgit, Taman Perindustrian Samalaju, Sarawak sebanyak 142 juta ringgit dan Jeti Minyak Kelapa Sawit di Sandakan, Sabah sebanyak 20 juta ringgit; dan Kelapan: Tumpuan turut diberi kepada pembangunan industri Kimia, Elektronik dan Elektrikal, Mesin dan Peralatan, Aeroangkasa, Peranti Perubatan dan Perkhidmatan. Untuk itu, 730 juta ringgit disediakan kepada dana-dana di bawah MIDA; dan Kesembilan: Bagi terus menggalakkan pelaburan semula oleh syarikat sedia ada dalam sektor pengilangan dan pertanian terpilih yang telah tamat tempoh Elaun Pelaburan Semula atau Reinvestment Allowance, insentif baharu Elaun Pelaburan Semula Khas akan diberikan. Kadar tuntutan adalah 60 peratus daripada perbelanjaan modal yang layak dan dibenarkan ditolak daripada 70 peratus daripada pendapatan berkanun untuk tahun taksiran 2016 hingga tahun taksiran 2018. Langkah 2: Dalam mempergiatkan pasaran modal pula, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan beberapa inisiatif termasuk potongan cukai diberi ke atas kos penerbitan sukuk Sustainable and Responsible Investments dan Pengecualian duti setem sebanyak 20 peratus ke atas surat cara pembiayaan patuh syariah untuk pembelian rumah. Langkah 3: Sememangnya, PKS memainkan peranan penting dalam membangunkan rantaian nilai perniagaan. Ia dijangka menyumbang kepada 41 peratus KDNK menjelang 2020. Untuk itu, lima tindakan berikut akan diambil: Pertama: Tambahan satu bilion ringgit bagi Skim Dana Pembiayaan PKS Patuh Syariah sehingga 31 Disember 2017, dengan Kerajaan menanggung dua peratus daripada kadar keuntungan pembiayaan; Kedua: 107 juta ringgit untuk Pelan Induk PKS bagi pemberian dana di pelbagai peringkat perniagaan; Ketiga: 60 juta ringgit untuk Skim Anjakan Usahawan dan Skim Peningkatan Kapasiti serta Keupayaan PKS; Keempat: Menubuhkan dana pinjaman mudah SME Technology Transformation Fund sejumlah 200 juta ringgit, di bawah SME Bank pada kadar faedah empat peratus; dan Kelima: 18 juta ringgit untuk memperluas Projek Transformasi Kedai Runcit atau TUKAR, dan Projek Automative Workshop Modernisation atau ATOM. Langkah 4: Seperti yang kita tahu, infrastruktur merupakan pemangkin kepada keseluruhan pembangunan ekonomi dan sosial negara. Terkini, ingin saya maklumkan, bahawa, Malaysia menduduki tangga ke-25 di antara 160 negara yang disenaraikan dalam Laporan Indeks Pencapaian Logistik Bank Dunia 2014. Sehubungan itu, Kerajaan akan terus menambahbaik infrastruktur logistik, termasuklah membina dan menambahbaik jaringan pengangkutan rel, serta lebuhraya pada 2016. Ini termasuk, Lebuhraya Damansara - Shah Alam, Lebuhraya Sungai Besi - Ulu Klang, Lebuhraya Pulau Indah dan Lebuhraya Central Spine Road. Untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di ibukota pula, 900 juta ringgit diperuntukkan untuk Projek Penyuraian Trafik Jalan Tun Razak, yang akan dilaksanakan secara kerjasama strategik awam-swasta. Kerajaan juga akan mengkaji pembinaan lebuhraya pesisiran pantai Masjid Tanah ke Klebang dan dari Klebang ke Jambatan Syed Abdul Aziz, di Melaka. Seterusnya, sebanyak 42 juta ringgit disediakan bagi pembinaan Lapangan Terbang Mukah, Sarawak dan menaik taraf lapangan terbang di Kuantan dan Kota Bharu. Kajian akan turut dilaksanakan, bagi pembesaran landasan di lapangan terbang di Batu Berendam, Melaka. Tuan Yang Dipertua, Demi keselesaan penduduk di kawasan bandar, sistem Pengangkutan Awam yang efisien sedang rancak dibangunkan. Ini semua dilaksanakan dengan peruntukan yang besar kerana kita mahu memudahkan kehidupan rakyat di kawasan bandar. Izinkan saya memberi sedikit status terkini, tentang antara projek terbesar dalam sejarah negara, iaitu projek pengangkutan awam bersepadu MRT-LRT. Bagi projek sambungan LRT Laluan Ampang, dengan jarak 18.1 kilometer, akan boleh kita naiki pada Mac 2016. Manakala, bagi projek sambungan LRT Laluan Kelana Jaya sehingga Putra Heights, dengan jarak 17.4 kilometer pula, akan boleh dinaiki pertengahan tahun 2016. Kedua-dua projek sambungan ini, bernilai 10 bilion ringgit. Projek MRT jajaran Sungai Buloh - Semantan pula, juga dapat digunakan pada tahun 2016, pada bulan Disember. Manakala, Fasa 2 Semantan - Kajang dijangka siap pertengahan 2017. Projek ini, dengan jarak 51 kilometer sedang dilaksanakan dengan kos 32 bilion ringgit. Tuan Yang Dipertua, Hasil daripada permintaan ramai, Kerajaan juga telah memulakan rangkaian perhubungan awam lain seperti berikut: Pertama: Projek MRT II dari Sungai Buloh - Serdang- Putrajaya dengan jarak 52 kilometer, akan memanfaatkan 2 juta penduduk dengan anggaran kos pembinaan 28 bilion ringgit. Kerja pembinaan direncana bermula dalam suku kedua 2016 dan dijangka siap menjelang 2022; Kedua: Projek LRT3 dari Bandar Utama, Damansara- Johan Setia, Klang dengan jarak 36 kilometer, akan memanfaatkan 2 juta penduduk dengan anggaran kos pembinaan 10 bilion ringgit. Ia mula dibina 2016 dan siap pada 2020. Disamping itu, Kerajaan juga akan meneruskan rundingan High Speed Rail dengan Kerajaan Singapura; dan Ketiga: Bagi perkhidmatan awam bas, projek Bus Rapid Transit atau BRT KL-Klang pada kos melebihi 1.5 bilion ringgit, dan BRT Kota Kinabalu pada kos hampir 1 bilion ringgit akan dilaksanakan. Tuan Yang Dipertua, Untuk menambahbaik infrastruktur telekomunikasi pula, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menyediakan 1.2 bilion ringgit, antara lain, untuk meningkatkan kelajuan internet luar bandar 4 kali ganda dari sehingga 5 Megabit sesaat, kepada 20 Megabit sesaat,. National Fiber Backbone Infrastructure, Jalur lebar berkelajuan tinggi dan sistem kabel dasar laut. Selain itu, 250 juta untuk projek pendigitalan penyiaran nasional bagi meningkatkan kualiti audio visual dan memberi nilai tambah kepada kandungan TV serta transaksi data interaktif. Tuan Yang Dipertua, Memang dari dahulu lagi, semenjak merdeka, kesejahteraan penduduk luar bandar, menjadi keutamaan kita. Mana mungkin kita meminggirkan mereka. Liputan jalan luar bandar telah meningkat daripada 46 ribu pada 2009 kepada 51 ribu kilometer, 98 peratus kawasan luar bandar telah mendapat bekalan elektrik, dan hampir 95 peratus mendapat bekalan air. Kerajaan akan terus melaksanakan usaha pembangunan infrastruktur kawasan luar bandar seperti berikut: Pertama: 1.4 bilion ringgit bagi membina serta menaik taraf jalan luar bandar sepanjang 700 kilometer di seluruh negara. Selain itu, 200 juta ringgit lagi disediakan bagi menaik taraf jalan di kawasan penempatan FELDA; Kedua: 878 juta ringgit untuk Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar, yang membabitkan 10 ribu buah rumah. 568 juta ringgit bagi Projek Bekalan Air Luar Bandar untuk 3 ribu buah rumah; Ketiga: 60 juta ringgit untuk Program Ameniti Sosial, terutamanya projek perparitan bagi mencegah berlakunya banjir. Tumpuan diberikan kepada negeri-negeri yang terlibat banjir seperti Kelantan, Kedah, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak; Keempat: Sebagai pemangkin keusahawanan di kawasan luar bandar dan komuniti desa, 70 juta ringgit untuk meneruskan Program Rural Business Challenge dan Program Desa Lestari; serta Kelima: 67 juta ringgit diperuntukkan bagi Projek Kenderaan Bas MARA, untuk pengendalian pengangkutan bas di laluan yang tidak ekonomik di luar bandar. Tuan Yang Dipertua, Langkah Kelima: Sektor pelancongan merupakan sektor yang paling berpotensi untuk menjana ekonomi negara dalam keadaan kini. Untuk 2016, Kerajaan mensasarkan 30.5 juta pelancong yang dijangka menyumbang sebanyak 103 bilion ringgit kepada ekonomi negara. 1.2 bilion ringgit pula diperuntukkan kepada Kementerian Pelancongan untuk tujuan ini. Tuan Yang Dipertua, Tambahan lagi, permohonan visa secara atas talian atau online application, akan dilaksanakan bermula dengan negara China, India, Myanmar, Nepal, Sri Lanka, Amerika Syarikat dan Kanada. Di samping itu, untuk memudahkan pelancong dan pelawat untuk berkunjung ke Malaysia, Kerajaan akan melaksanakan e-Visa menjelang pertengahan 2016. Seterusnya, bagi mengambil peluang atas kedudukan Ringgit, kini, dan usaha untuk menarik lebih ramai pelancong, pengecualian cukai pendapatan sedia ada sebanyak 100 peratus daripada pendapatan berkanun diberikan kepada pengusaha pelancongan dilanjutkan mulai tahun taksiran 2016 sehingga tahun taksiran 2018. Tuan Yang Dipertua, Seperti yang kita sedia maklum, aktiviti ekonomi dalam sektor pertanian, adalah sumber makanan negara dan merupakan tempat pergantungan pendapatan bagi petani, pesawah dan nelayan. Sehubungan ini, 5.3 bilion ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Antara program yang akan dilaksanakan: Pertama: 450 juta ringgit bagi pelbagai program berimpak tinggi seperti program penanaman buah-buahan dan sayur-sayuran serta geran pemadanan dan penyelidikan produk herba dan penternakan ikan dalam sangkar; Kedua: 180 juta ringgit bagi menaiktaraf infrastruktur saliran dan pengairan di kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu; Ketiga: 190 juta ringgit kepada FAMA, bagi tujuan Program Penurunan Harga, dengan menambah 50 buah lagi Pasar Tani dan mewujudkan 150 Agrobazaar Rakyat 1Malaysia atau ABR1M yang baru. 40 peratus daripada barang jualan ABR1M, adalah barang-barang basah seperti ikan dan sayur yang harganya, dianggarkan 5 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran; dan Keempat: 90 juta ringgit diperuntukkan untuk Program Pembangunan Agropreneur Muda dalam bentuk geran in-kind, Dana Pembiayaan Usahawan, penjenamaan semula MARDI, Jabatan Veterinar, Jabatan Pertanian dan Jabatan Perikanan; serta pelaksanaan Projek Ladang Pengganda untuk penternakan lembu dan ladang ayam kampung. Dalam mengolah dasar sesuai dengan keadaan ekonomi terkini, Kerajaan mencadangkan galakan cukai bagi aktiviti pengeluaran bahan makanan dilanjutkan sehingga 2020. Insentif yang disediakan adalah seperti berikut: Pertama: Syarikat yang melabur dalam syarikat subsidiari yang menjalankan projek pengeluaran bahan makanan, akan diberi potongan cukai bersamaan jumlah pelaburan yang dibuat; Kedua: Syarikat yang menjalankan projek baharu pengeluaran bahan makanan pula diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus selama 10 tahun; dan Ketiga: Syarikat sedia ada yang menjalankan projek pembesaran pula, juga diberikan insentif yang sama untuk tempoh 5 tahun. Skop insentif juga akan diperluas kepada ternakan rusa, tanaman cendawan, kelapa, rumpai laut, lebah madu dan kelulut serta tanaman makanan ternakan seperti ubi keledek dan ubi kayu. Tuan Yang Dipertua, Sehubungan dengan tindakan-tindakan tadi, Kerajaan akan melipat-gandakan sokongan untuk memperkukuhkan eksport negara. Dengan itu, 235 juta ringgit diperuntukkan kepada MATRADE, untuk Program Promosi 1Malaysia, Dana Eksport Perkhidmatan dan Dana Promosi Eksport. MATRADE dan SME Corp juga akan meningkatkan keupayaan PKS dan syarikat peringkat pertengahan atau mid-tier, untuk mengeksport barangan dan perkhidmatan ke luar negara. Seterusnya, bagi mempelbagaikan penggunaan matawang asing untuk urusan perdagangan pula, Bank Negara Malaysia menyediakan kemudahan credit swap Ringgit-Renminbi kepada bank tempatan. Pada masa ini, PKS boleh menuntut pengecualian cukai pendapatan sebanyak 10 atau 15 peratus daripada nilai peningkatan eksport. Untuk terus meningkatkan eksport, PKS diberi kelonggaran mematuhi syarat nilai tambah iaitu 30 peratus kepada 20 peratus, dan 50 peratus kepada 40 peratus bagi produk perkilangan. Kelonggaran ini akan diberikan bagi tahun taksiran 2016 hingga 2018. Bagi menggalakkan perkhidmatan penilaian dan pematuhan piawaian antarabangsa dilakukan di dalam negara, Kerajaan akan memberi galakan untuk penubuhan Independent Conformity Assessment Bodies atau ICAB. Tuan Yang Dipertua, Setakat hari ini, Malaysia telah menandatangani 13 perjanjian perdagangan bebas atau FTA iaitu 6 secara serantau melalui ASEAN dan 7 secara dua hala. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka, di mana jumlah dagangan adalah sekitar 150 peratus melebihi KDNK, Kerajaan telah menerima secara prinsipnya, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik atau TPP. Walaubagaimanapun, pertimbangan secara muktamad akan dibuat di Parlimen kelak. Tuan Yang Dipertua, KEUTAMAAN KEDUA: MENINGKATKAN PRODUKTIVITI, INOVASI DAN TEKNOLOGI HIJAU. Lonjakan inovasi dan kreativiti adalah kritikal untuk meningkatkan produktiviti kita. Penggunaan teknologi hijau akan turut membantu melestarikan sumber-sumber asli negara. Oleh yang demikian, Kerajaan mensasarkan pertumbuhan produktiviti buruh sebanyak 3.7 peratus setahun melalui: Langkah Satu: Bagi menjadikan negara sebagai hab teknologi yang kompetitif di rantau ini, 1.5 bilion ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Lantaran, 2016 akan diisytiharkan sebagai Tahun Pengkomersilan Malaysia, dalam melonjakkan hasil produk R&D oleh institusi penyelidikan tempatan. Maka, inisiatif- inisiatif berikut akan dilaksanakan: Pertama: PKS yang membuat perbelanjaan untuk projek R&D sehingga 50 ribu ringgit bagi setiap tahun taksiran, layak menuntut potongan cukai dua kali secara automatik. Kemudahan ini diberikan bagi tahun taksiran 2016 sehingga 2018; Kedua: 100 juta ringgit kepada Agensi Inovasi Malaysia; Ketiga: 200 juta ringgit di bawah Skim Dana Lonjakan Teknologi dan Inovasi oleh Malaysia Debt Ventures Bhd; Keempat: 35 juta ringgit kepada MaGIC, sebagai Peneraju Hab Keusahawanan dan Inovasi Serantau, termasuk 10 juta ringgit sebagai dana permulaan untuk Corporate Entrepreneurs Responsibility Fund; Kelima: 30 juta ringgit untuk pelbagai program keusahawanan generasi muda seperti Global Entrepreneurship Community, BAHTERA, GREAT, 1MET, National Innovation Competition serta Projek Perintis Coding di sekolah; dan Keenam: Bagi menggiatkan aktiviti demand driven innovation, pada tahun 2016, Kerajaan akan memperuntukkan 50 juta ringgit untuk Public-Private Research Network. Tuan Yang Dipertua, Langkah Dua: Bagi mempertingkatkan penggunaan teknologi dalam sektor pembinaan, Kerajaan akan menggalakkan lagi penggunaan teknologi Industrialised Building System atau IBS. Sehubungan itu, Kerajaan menggalakkan lebih banyak syarikat menggunapakai teknologi IBS. Bagi tujuan ini, dana khas IBS Promotion Fund sebanyak 500 juta ringgit disediakan melalui SME Bank, sebagai pinjaman mudah kepada pemaju dan kontraktor kategori G5 dan ke bawah. Langkah Tiga: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan melaksanakan pelbagai usaha teknologi hijau termasuk penyediaan bekalan air bersih, melalui pembinaan loji rawatan air, dengan peruntukan 877 juta ringgit. 515 juta ringgit pula, diperuntukkan bagi meningkatkan mutu bekalan elektrik di Sabah. Kerajaan turut mensasarkan pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau sehingga 40 peratus KDNK pada tahun 2020, melalui: Pertama: Pelaksanaan Pelan Tindakan Mobiliti Elektrik termasuk proses audit tenaga dengan peruntukan 45 juta ringgit; Kedua: Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari atau SEDA melaksanakan Skim Pemeteran Tenaga Bersih, dengan kuota 100 MW setahun, dalam menggalakkan penggunaan solar photovoltaic; dan Ketiga: Melanjutkan tempoh pelaksanaan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau sehingga 31 Disember 2017, dengan dana sebanyak 1.2 bilion ringgit. Tuan Yang Dipertua, KEUTAMAAN KETIGA: MEMPERSIAGA MODAL INSAN. Perkara ini amat kritikal untuk masa depan negara. Justeru Kerajaan akan mengambil langkah-langkah seperti: Langkah 1: Di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, sebanyak 41.3 bilion ringgit akan diperuntukkan pada 2016. Antara lain, Kerajaan akan membina: • 30 sekolah rendah; • 27 sekolah menengah; • 4 buah MRSM di Sik, Kedah, serta Ketereh, Tanah Merah, Kelantan, Bagan Datoh, Perak; dan • 5 buah Sekolah Berasrama Penuh di Alor Gajah, Melaka, Pendang, Kedah, Segamat dan Ledang di Johor dan Jerantut, Pahang. Untuk peringkat kelas prasekolah pula, 44.6 juta ringgit diperuntukkan untuk pelbagai program di 9,113 buah kelas seluruh Malaysia. Tuan Yang Dipertua, Untuk meningkatkan Penguasaaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, 135 juta ringgit diperuntukkan bagi program Memartabat Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris. Oleh kerana, Bahasa Inggeris amat penting dalam persaingan global semasa, maka dua lagi inisiatif, iaitu Dual Language Programme dan Highly Immersive Programme akan dilaksanakan secara optional dengan kos 38.5 juta ringgit. Dalam hal ini, 300 buah sekolah telah dikenal pasti sebagai projek perintis. Bagi meringankan tanggungan ibubapa untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak, bantuan 100 ringgit akan diteruskan. Mulai Januari 2016, ia hanya dikhususkan kepada pelajar sekolah dari kalangan isi rumah berpendapatan 3 ribu ringgit ke bawah. Ini memanfaatkan 3.5 juta pelajar dengan peruntukan 350 juta ringgit. Selain itu, program rancangan makanan tambahan yang melibatkan 550 ribu pelajar dari keluarga miskin yang tersenarai dalam eKasih akan ditambah baik. Program ini, yang sebelumnya hanya tertakluk kepada makanan waktu rehat, akan diperluaskan dengan kos tambahan 173 juta ringgit untuk sarapan pagi. Kos keseluruhan program ini sebanyak 423 juta ringgit. Tuan Yang Dipertua, Seperti tahun-tahun sebelum ini, Kerajaan juga terus menyediakan peruntukan untuk membangunkan dan menyelenggara Fasiliti Pendidikan untuk Sekolah Kebangsaan; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil; Sekolah Mubaligh; Sekolah Berasrama Penuh; Sekolah Agama Bantuan Kerajaan; MRSM; Sekolah Pondok yang berdaftar dan Sekolah Menengah Kebangsaan Cina atau Conforming School yang mengguna pakai kurikulum Kebangsaan. Peruntukan bagi tujuan ini, keseluruhannya berjumlah 500 juta ringgit. Langkah Dua: Pembiayaan biasiswa diteruskan dengan agihan, antaranya seperti berikut: • 1.65 bilion ringgit melalui Jabatan Perkhidmatan Awam; • 288 juta ringgit melalui Kementerian Pendidikan; • 250 juta ringgit melalui Kementerian Pendidikan Tinggi; dan • 258 juta ringgit melalui Kementerian Kesihatan. Selanjutnya, dalam menggalakkan lagi pendidikan tinggi, sukacita saya umumkan, had maksima pelepasan cukai ke atas yuran pengajian pendidikan tinggi bagi pembayar cukai individu, dinaikkan kepada 7 ribu ringgit daripada 5 ribu ringgit setahun. Ini dilengkapkan lagi dengan penerusan Program Baucar Buku 1Malaysia yang bernilai 250 ringgit, bagi 1.2 juta pelajar. Untuk mengelakkan salah guna baucar ini, kaedah penebusan akan diperkemaskan hanya di kedai-kedai buku yang diiktiraf. Tuan Yang Dipertua, Langkah Tiga: Dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan pekerja, kita mensasarkan 60 peratus daripada 1.5 juta pekerjaan baharu, adalah pekerja berkemahiran TVET menjelang 2020. Sejumlah 4.8 bilion ringgit diperuntukkan kepada 545 Institusi TVET di bawah Bajet ini. Dalam usaha ini juga, MITI akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kemahiran Industri bagi menyelaras program TVET dengan kerjasama pihak industri. Selain daripada itu, lebih 330 ribu pelatih akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini melalui antaranya program-program berikut: Pertama: 585 juta ringgit untuk peralatan latihan TVET di Politeknik, Kolej Komuniti, Institut Kemahiran MARA, Institut Kemahiran Belia Negara, Institut Latihan Perindustrian, GiatMARA dan Kolej Vokasional; Kedua: 350 juta ringgit untuk membiayai program di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran; dan Ketiga: 80 juta ringgit untuk penubuhan Akademi Pelancongan di Kolej Komuniti Kota Kinabalu, Kolej Vokasional Sandakan serta Institut Latihan Perindustrian Serian, Sarawak Tuan Yang Dipertua, Langkah Empat pula, berkenaan Memperkasa Belia, Komuniti dan NGO. Bagi langkah ini, Bajet 2016 memperuntukkan 930 juta ringgit kepada Kementerian Belia dan Sukan bagi inisiatif berikut: Pertama: 280 juta ringgit untuk latihan teknikal dan vokasional di Institut Kemahiran Belia Negara dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara; Kedua: 50 juta ringgit untuk meningkatkan aktiviti pembangunan belia dalam kegiatan ekonomi dan keusahawanan; Ketiga: 145 juta ringgit untuk mempersiapkan atlet negara untuk menghadapi cabaran Sukan SEA ke 29, dan Sukan Para ASEAN ke 9 pada tahun 2017 di Kuala Lumpur; Keempat: 75 juta ringgit untuk terus melahirkan jaguh sukan bertaraf dunia melalui Program Pembangunan Podium Sukan Elit; Kelima: 22 juta ringgit untuk membina 2 Kompleks Sukan di Bagan Datoh dan Kuantan; dan Keenam: 360 juta ringgit untuk menambahbaik Program Latihan Khidmat Negara bagi 20 ribu pelatih. Ia melibatkan kurikulum baru seperti kemahiran berfikir secara kreatif dan kemahiran teknikal. Akhir sekali, 160 juta ringgit disediakan untuk NGO-NGO, bagi melaksanakan program berasaskan pembangunan komuniti, perpaduan, kebajikan masyarakat, kesihatan dan keselamatan. Tuan Yang Dipertua, Langkah Lima, memfokus kepada Kualiti Tenaga Kerja.Bagi meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja, program seperti berikut akan dilaksanakan: Pertama: Memperuntukkan 30 peratus daripada Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia, sebagai dana terkumpul bagi melaksanakan program latihan mengikut keperluan industri setempat di Sabah dan Sarawak, serta Outplacement Centre bagi melatih semula pekerja yang telah diberhentikan; dan Kedua: Melatih 15 ribu peserta melalui program Skim Latihan 1Malaysia atau SL1M dengan kos 250 juta ringgit yang akan dibiayai sepenuhnya oleh GLC. Tuan Yang Dipertua, Untuk Menambahbaik Pengurusan Tenaga Kerja Asing pula, sebanyak 77 juta ringgit akan diperuntukkan oleh PSMB bagi menjalankan program seperti Train & Replace dalam bidang terpilih seperti hospitaliti, perkapalan dan pengangkutan. Tuan Yang Dipertua, Kerajaan terus komited dengan hasrat untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan wanita di peringkat membuat keputusan dalam sektor awam dan swasta. Ini termasuklah di peringkat Lembaga Pengarah; dan Kerajaan akan sentiasa memantau pencapaian dasar ini. Tuan Yang Dipertua, KEUTAMAAN KEEMPAT: MEMPERKASA AGENDA BUMIPUTERA. Perlu saya tegaskan, bahawa pemerkasaan Bumiputera adalah agenda nasional dan ini tentunya, merangkumi pembangunan masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Sebanyak 150 juta ringgit disalurkan kepada TERAJU untuk pelaksanaan pelbagai program termasuk Skim Usahawan Permulaan Bumiputera dan Program Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi 150 juta ringgit diperuntukkan kepada Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera untuk melaksanakan program Peneraju Tunas, Peneraju Profesional serta Peneraju Skil dan Iltizam. Manakala, kepada MARA pula, diperuntukkan 3.7 bilion ringgit, termasuk menaja pengajian 72 ribu pelajar Bumiputera di peringkat pendidikan tinggi. Bagi memantapkan pemilikan ekuiti serta memperhebat keusahawanan dan perniagaan Bumiputera, peruntukan akan diberikan seperti berikut: Pertama: 400 juta ringgit kepada Dana Ekuiti Nasional Berhad atau EKUINAS; Kedua: 250 juta ringgit kepada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad; Ketiga: 150 juta ringgit kepada Pelaburan Hartanah Berhad; dan Keempat : 100 juta ringgit sebagai pinjaman kepada UDA Holdings untuk tujuan pembangunan Kampung Baru Kuala Lumpur. Tuan Yang Dipertua, Manakala, untuk agenda pembangunan di Sabah dan Sarawak, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan: Pertama: Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang meliputi jajaran sepanjang 1,090 km, dijangka siap sepenuhnya pada 2021 dengan anggaran kos sebanyak 16.1 bilion ringgit. Di Sabah pula, fasa 1 lebuhraya ini, akan mula dibina pada 2016 meliputi 706 kilometer, bermula dari Sindumin ke Tawau, dengan anggaran kos 12.8 bilion ringgit. Sukacitanya saya berkongsi sekali lagi, Lebuhraya Pan Borneo ini akan bebas daripada sebarang bayaran tol; Kedua: Pengangkutan penumpang udara merupakan antara mod utama pengangkutan bagi penduduk pedalaman, di Sabah dan Sarawak serta Labuan. Maka, perkhidmatan pengangkutan penumpang udara domestik kelas ekonomi bagi laluan Rural Air Services dikecualikan daripada GST; Ketiga: Sebagai satu program baru, 70 juta ringgit disediakan melalui Bank Simpanan Nasional dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, bagi pinjaman tanpa faedah untuk tujuan membina rumah-rumah panjang dengan had pinjaman 50 ribu ringgit untuk setiap unit di rumah panjang; Keempat: 70 juta ringgit sebagai subsidi baja padi huma disediakan untuk meningkatkan bekalan makanan dan pendapatan penanam padi huma, yang meliputi kawasan seluas 65 ribu hektar di Sarawak, dan 11 ribu hektar di Sabah; Kelima: 260 juta ringgit disediakan untuk Program 1Harga 1Sarawak dan Program 1Harga 1Sabah bagi memastikan keseragaman harga barangan terpilih di seluruh negara; Keenam: 115 juta ringgit disediakan khusus bagi Program Khas Bumiputera Sabah dan Sarawak, seperti untuk projek native customary rights, yang merangkumi prosedur-prosedur pemetaan dan pengukuran tanah-tanah adat, serta melibatkan kos membina native courts, atau mahkamah-mahkamah adat. Bagi projek native customary rights, 20 juta daripada jumlah tersebut untuk pemetaan tanah di Sabah, dan 30 juta ringgit pula, untuk tujuan yang sama di Sarawak; dan Ketujuh: Meningkatkan perkhidmatan Klinik Bergerak 1Malaysia di pendalaman Sabah dan Sarawak, termasuk pembelian bot dan kenderaan baru. Tuan Yang Dipertua, KEUTAMAAN KELIMA: MERINGANKAN KOS SARA HIDUP RAKYAT. Hal ini, adalah amat dekat di hati saya dan Kerajaan. Makanya, pelbagai inisiatif akan dilakukan melalui: Langkah Satu: Meningkatkan Taraf Hidup Isi Rumah B40, di mana: Pertama: TEKUN akan menyediakan 600 juta ringgit yang meliputi 500 juta ringgit untuk usahawan Bumiputera, dan 100 juta ringgit untuk 10 ribu usahawan India, melalui Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India. Selain itu, 50 juta ringgit disediakan oleh SME Bank untuk membantu usahawan kecil India; Kedua: Tambahan 200 juta ringgit kepada dana sedia ada untuk Amanah Ikhtiar Malaysia, bagi kemudahan pembiayaan mikro kepada isi rumah B40; Ketiga: 100 juta ringgit disediakan di bawah Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India yang melibatkan kerjasama NGO dengan Institut Latihan Kemahiran Swasta; Keempat: Tambahan 90 juta ringgit sebagai pinjaman mikro kredit kepada penjaja dan peniaga-peniaga kecil kaum Cina yang termasuk 50 juta ringgit untuk KOJADI. Seterusnya, 40 juta ringgit bagi melaksanakan projek infrastruktur dan program pinjaman mudah kepada penduduk kampung-kampung baru Cina bagi pembayaran premium tanah dan membaik pulih rumah; Kelima: 50 juta ringgit kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, untuk Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya serta Program Peningkatan Pendapatan. Melalui kedua-dua program ini, peserta akan mendapat manfaat latihan kemahiran dan juga bantuan berbentuk aset serta bahan mentah; dan Keenam: Menyediakan 100 juta ringgit kepada Institusi Latihan Kemahiran Swasta dan NGO bagi meningkatkan kemahiran B40 untuk mereka mendapat pekerjaan atau memulakan perniagaan. Tuan Yang Dipertua, Sejak dulu lagi, Kerajaan ini sungguh prihatin terhadap kebajikan dan kemajuan masyarakat Orang Asli. Untuk ini, sebanyak 300 juta ringgit disediakan bagi melaksanakan: Pertama: Pembangunan Perkampungan Bersepadu antaranya di Sungai Siput, Perak yang merangkumi pembinaan jalan perhubungan, penyediaan bekalan elektrik dan air terawat dengan peruntukan 80 juta ringgit; Kedua: Bantuan makanan tambahan, wang saku dan tambang pengangkutan sekolah sebanyak 45 juta ringgit; dan Ketiga: Projek pembangunan ladang getah dan kelapa sawit serta tanaman kontan, menerusi Projek Pembangunan Ekonomi Orang Asli sebanyak 25 juta ringgit. Untuk golongan B40 lagi, program eRezeki dan eUsahawan akan diperluaskan ke seluruh negara, untuk menambah peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan mereka. Kerajaan mensasarkan 100 ribu dari kalangan B40 mendapat manfaat dengan peruntukan sebanyak 100 juta ringgit, yang disediakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Tuan Yang Dipertua, Untuk Golongan Pesawah, Pekebun Kecil dan Penoreh Getah pula, Bajet kali ini menyediakan 852 juta ringgit kepada RISDA dan FELCRA untuk melaksanakan pelbagai program peningkatan pendapatan dan produktiviti. Kerajaan bercadang menambahbaik Insentif Pengeluaran Getah atau IPG. Untuk ini, sukacita saya umumkan, paras pengaktifan IPG dinaikkan daripada 4 ringgit 60 sen, kepada 5 ringgit 50 sen sekilogram, bagi getah SMR20 Freight On Board. Bagi getah skrap atau cuplumps di peringkat ladang pula, dinaikkan daripada 1 ringgit 75 sen, kepada 2 ringgit 20 sen sekilogram. Sebagai ilustrasi, berdasarkan purata pengeluaran 250 kilogram sebulan bagi setiap hektar, pemilik kebun seluas 2 hektar dijangka mampu meraih pendapatan seribu ringgit sebulan. Ini adalah pada harga pasaran getah skrap 2 ringgit sekilogram. Kini, dengan bayaran tambahan IPG sebanyak 20 sen bagi setiap kilogram, pendapatan keseluruhan pemilik kebun tersebut akan meningkat kepada 1,100 ringgit sebulan. Dengan penambahbaikan IPG ini juga Tuan Yang Dipertua, jikalau senario tadi hanya merujuk kepada seorang pemilik kebun, secara keseluruhannya pula, melalui Bajet ini seramai 300 ribu pekebun getah akan menerima manfaat tambahan daripada Kerajaan. Jumlah peruntukan yang dianggarkan adalah sebanyak 200 juta ringgit. Selanjutnya, bagi menggalakkan petani meningkatkan mutu padi dan hasil tuaian mereka, Kerajaan akan melaksanakan inisiatif Pemutuan Sebenar Padi dan menambahbaik Skim Subsidi Harga Padi, mulai 1 Januari 2016. Pemutuan Sebenar Padi adalah berasaskan penyeragaman harga padi pada paras 1,200 ringgit setiap tan metrik. Sebagai pelengkap kepada inisiatif ini, Kerajaan juga meningkatkan kadar SSHP dari 248 ringgit 10 sen, kepada 300 ringgit bagi setiap tan metrik. Maksudnya, sekiranya seseorang petani itu menghasilkan 6 tan metrik padi, yang menepati kualiti pemutuan 20 peratus pemotongan, beliau layak mendapat bayaran hasil jualan sebanyak 5,760 ringgit. Bukan itu sahaja, petani tersebut juga akan menerima penambahan menerusi peningkatan kadar SSHP, menjadikan jumlah pendapatannya meningkat daripada 1,190 ringgit kepada 1,440 ringgit. Maka, secara keseluruhannya, setelah ini, petani tersebut akan mendapat 7,200 ringgit, pada setiap kali penuaian. Suka saya menyatakan di sini, seramai 155 ribu pesawah akan menikmati penambahbaikan skim ini. Langkah Dua: Seperti kita tahu, isu pemilikan rumah adalah isu yang sering dibangkitkan semenjak beberapa tahun ini. Pelaksanaannya memerlukan penglibatan pelbagai agensi. Tuan Yang Dipertua, Bajet 2016, meneruskan pelbagai program pemilikan rumah bagi segenap lapisan pendapatan seperti berikut: Pertama: Membina 175 ribu unit rumah oleh PR1MA, yang dijual 20 peratus di bawah harga pasaran, dengan peruntukan 1.6 bilion ringgit. Sebanyak 10 ribu unit dijangka siap tahun hadapan; Kedua: Membina 10 ribu unit Rumah Mesra Rakyat oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad, dengan pemberian subsidi 20 ribu ringgit bagi seunit rumah dengan peruntukan 200 juta ringgit; Ketiga: Membina 100 ribu unit rumah Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia atau PPA1M, menjelang tahun 2018, dengan harga di antara 90 hingga 300 ribu ringgit. Bantuan Dana Mudahcara sehingga 25 peratus daripada kos pembangunan disediakan; Keempat: Membina 22,300 unit pangsapuri dan 9,800 unit rumah teres di bawah Program Perumahan Rakyat oleh KPKT dengan peruntukan 863 juta ringgit; Kelima: Menyediakan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama di bawah KPKT, sebagai sumbangan kepada pembeli rumah pertama untuk rumah mampu milik bagi tujuan bayaran deposit. Untuk ini, 200 juta ringgit diperuntukan; Keenam: Membina 5 ribu unit rumah PR1MA dan PPA1M di 10 lokasi sekitar stesen dan koridor LRT serta monorel, antaranya di Pandan Jaya, Sentul dan Titiwangsa; Ketujuh: Memperuntukkan 60 juta ringgit kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli khusus untuk pembinaan rumah masyarakat Orang Asli; Kelapan: Membina rumah untuk generasi kedua peneroka, iaitu 20 ribu unit rumah oleh FELDA, 2 ribu unit rumah oleh FELCRA dan 2 ribu unit rumah oleh RISDA. Bagi rumah FELDA, harga maksima kini diturunkan kepada 70 ribu ringgit berbanding 90 ribu ringgit sebelum ini; Kesembilan: Membina 800 unit rumah mampu milik oleh GLC berhampiran stesen MRT dalam Kawasan Pusat Bandar Kwasa Damansara oleh Kwasa Land milik KWSP, dan 4,600 unit rumah mampu milik oleh Sime Darby Property; dan Kesepuluh: Memperuntukkan 40 juta ringgit di bawah KPKT, bagi pemulihan projek perumahan swasta terbengkalai. Selain itu, pengecualian duti setem diberikan ke atas surat cara pembiayaan pinjaman kepada kontraktor penyelamat dan pembeli asal rumah terbengkalai. Tuan Yang Dipertua, Seterusnya, bagi menyediakan persekitaran penduduk yang selesa, langkah berikut akan dilaksanakan: Pertama: 150 juta ringgit bagi membina dan membaik pulih 11 ribu rumah daif di kawasan luar bandar oleh KKLW; dan Kedua: 155 juta ringgit bagi penyelenggaraan perumahan awam kos rendah, dan Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia oleh KPKT. Antara lain, tabung ini membolehkan pembiayaan 100 peratus untuk pembaikan lif, railing, serta pendawaian semula. Tuan Yang Dipertua, Langkah Tiga: Sememangnya, negara mana yang tidak mahu kualiti perkhidmatan kesihatan terbaik dan bertaraf dunia. Inilah yang sentiasa diperjuangkan oleh Kerajaan Barisan Nasional sejak dahulu, kini dan selamanya. Antara projek yang akan dilaksanakan adalah: Pertama: Membina 5 hospital baru di Pasir Gudang, Kemaman, Pendang, Maran dan di Cyberjaya; Kedua: Memulakan operasi Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur, yang bernilai 848 juta ringgit pada Oktober 2016; Ketiga: Projek Pembangunan Semula Hospital Kajang; Keempat: 260 juta ringgit bagi membina dan menaik taraf klinik desa, klinik kesihatan dan klinik pergigian, berserta kuarters di seluruh negara; Kelima: 52 juta ringgit bagi operasi 328 klinik 1Malaysia sedia ada, dan pembukaan 33 klinik 1Malaysia baharu; Keenam: 72 juta ringgit untuk bantuan perubatan, termasuk hemodialisis, yang memanfaatkan hampir 10 ribu pesakit kurang berkemampuan; dan Ketujuh: 4.6 bilion ringgit untuk bekalan ubat, consumables, vaksin dan reagents kepada semua hospital dan klinik Kerajaan. Bermula 1 Januari 2016 juga, Kerajaan akan mengenakan caj penuh rawatan kepada pesakit bukan warganegara Malaysia. Tuan Yang Dipertua, Langkah Empat: Kerajaan akan terus memperkukuh sistem jaringan perlindungan sosial dengan peruntukan hampir 2 bilion ringgit kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, untuk membantu golongan OKU, warga emas dan keluarga miskin. Untuk tujuan ini, antara program yang akan dilaksanakan adalah: Pertama: 445 juta ringgit bagi meneruskan pemberian 350 ringgit sebulan kepada OKU bekerja dan 200 ringgit sebulan kepada OKU yang tidak bekerja serta untuk penjagaan OKU terlantar sebanyak 300 ringgit sebulan. Kesemuanya ini, akan memanfaatkan hampir 150 ribu OKU; Kedua: 100 juta ringgit disediakan termasuk untuk menambah 20 lagi buah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti; dan Ketiga: Bantuan 662 juta ringgit untuk anak daripada keluarga miskin berjumlah 100 hingga 450 ringgit sebulan, serta warga emas miskin sebanyak 300 ringgit sebulan. Tuan Yang Dipertua, Dalam setahun yang lepas, negara telah dilanda dua bencana yang besar, iaitu banjir besar pada penghujung 2014, dan gempa bumi di Ranau, Sabah. Musibah dan tragedi ini, jika tidak diambil langkah yang proaktif, boleh menyebabkan kerugian berbilion ringgit dan lebih penting lagi, kehilangan nyawa dan anggota. Maka, bagi memperkukuh pengurusan bencana alam, 180 juta ringgit disediakan termasuk untuk penubuhan Agensi Pengurusan Bencana Negara di bawah JPM. Seterusnya, 730 juta ringgit diperuntukkan bagi Projek Rancangan Tebatan Banjir di seluruh negara. Manakala, 60 juta ringgit untuk Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara serta membangunkan Sub-Pusat Gempa Bumi dan Tsunami Nasional di Sabah. Tuan Yang Dipertua, Ahli-Ahli Dewan yang mulia serta Rakyat Malaysia Sekalian, Jelasnya, apa yang pentadbiran Kerajaan sedia ada selama ini, sedang lakukan dan laksanakan, dengan sehabis baik ini,...Sebetulnya, merupakan tali-temali, sambung menyambung dasar serta perancangan pimpinan negara, sejak dekad-berdekad. Lantas,... ingin saya ulangi,.. Bajet ini,...satu antara langkah dalam rantaian langkah-langkah besar terakhir,...yang hanya tinggal sedikit masa lagi sebelum mentari sebagai negara maju, menzahirkan cahayanya. Pucuk pangkalnya, sebagaimana baik pun perancangan yang dibuat, sedemikian apapun rencana yang disusun, hukum hakam dan resmi bernegara, seperti tercatat dalam tawarikh kehidupan, membuktikan bahawa, hatta sebuah tamadun pun akan gagal jikamana kerukunan, kestabilan dan kebersatuan negara tidak diperkekalkan. Tuan Yang Dipertua, Oleh sebab itulah, tatkala membicarakan tentang ketenteraman tanahair, tiada kalimah sebagai ibarat, tiada kata sebagai umpama, yang dapat menunjukkan betapa kita berterima kasih dan menghargai jasa serta pengorbanan anggota keselamatan, mahupun para perajurit dalam menjamin keamanan pertiwi. Oleh yang demikian, Kerajaan komited untuk melaksanakan pelan pembangunan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia atau ATM secara berperingkat. Sehubungan itu, sebanyak 17.3 bilion ringgit disediakan untuk Kementerian Pertahanan. Antaranya, bagi perolehan 6 buah Littoral Combatant Ship, sistem persenjataan Very Short Range Air Defence, kereta berperisai dan pesawat Airbus A-400M. Tambahan lagi, ATM akan diperlengkapkan dengan teknologi terkini, termasuk penggunaan Unmanned Airborne System untuk meningkatkan keupayaan Intelligence, Surveillance and Reconnaissance. Sejumlah 523 juta ringgit pula, diperuntukkan untuk pembangunan kem tentera darat ESSCOM di FELDA Sahabat, Lahad Datu, Sabah. Seterusnya, bagi mengenang jasa dan khidmat bakti wira-wira kita, sebanyak, 160 juta ringgit diperuntuk bagi membina 4 ribu unit lagi kuarters anggota Angkatan Tentera Malaysia. Tidak cukup sekadar itu, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, sedang merancang untuk membina tambahan 2 ribu unit lagi rumah mampu milik, kepada anggotanya bermula tahun hadapan. Di samping itu, Kerajaan bersetuju supaya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, diperuntukkan sejumlah 864 juta ringgit, bertujuan antaranya, perolehan Offshore Patrol Vessel dan kapal peronda. Manakala, bagi mempertingkatkan keselamatan dan ketenteraman awam dalam negeri, untuk terus mengurangkan kadar jenayah,... sejumlah 13.1 bilion ringgit disediakan. Inisiatif-inisiatif berikut akan dilaksanakan: Pertama: 155 juta ringgit untuk pembinaan 2 buah Ibu Pejabat Polis Daerah atau IPD baharu, iaitu di Lawas, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah, serta 10 buah IPD dan 5 buah balai polis yang masih dalam pembinaan; Kedua: Merancang untuk membina 2 ribu unit lagi rumah mampu milik bagi anggota Polis Diraja Malaysia atau PDRM, antaranya di Rawang dan kawasan-kawasan yang sedang dikenalpasti; Ketiga: 36 juta ringgit untuk membina pejabat, kuarters dan menaiktaraf depoh tahanan imigresen; Keempat: 50 juta ringgit bagi mempertingkatkan langkah keselamatan penjara; dan Kelima: 20 juta ringgit untuk Program Bandar Selamat di 60 kawasan hitam, antaranya melalui pengasingan laluan pejalan kaki dan pencahayaan di kawasan tersebut. Sukacita saya mengumumkan, penambahan 500 unit Rondaan Bermotosikal PDRM lagi, dan 500 unit lagi kereta peronda, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak 35 juta ringgit. Tuan Yang Dipertua, Bagi menguatkan lagi usaha integriti dan mengurangkan ketirisan serta rasuah, SPRM akan terus dimantapkan dengan program-program serta latihan yang relevan. Dengan ini, bilangan pegawai SPRM akan turut ditambah mengikut keperluan. Merujuk kepada falsafah Rancangan Malaysia Kesebelas lagi, Tuan Yang Dipertua, sepertimana yang telah saya nyatakan di awal ucapan tadi, tentang rupawajah dan warna-warna kemajuan negara serta sahsiah rakyat yang kita dambakan, ketikamana memasuki gelanggang negara maju kelak, dalam apa jua yang direncanakan, seperti dokumen Bajet ini,... perihal kebajikan dan kepentingan rakyat, menjadi keutamaan. Sepertimana ramai makrufi,... Malaysia kontemporari ini, sudah pun dikenali sebagai sebuah negara Islam yang progresif lagi dinamik, sehingga disegani di seantero dunia. Sejak tahun-tahun kebelakangan,... Kerajaan sedang menuju maksud dalam usaha menepati kerangka Maqasid Syariah dan pengertian wasatiyyah. Walau apapun, untuk memenuhi tuntutan maqasid syariah, bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi, berkait ciri kemajmukan rakyat di negara ini. Sememangnya pun, tanpa disedari, sejak meraih kemerdekaan, kita telah mengamalkan objektif tersebut dengan prinsip kesederhanaan yang begitu tersendiri. Berdiri di atas asas ini, kita telah berjaya membina sebuah negara yang makmur, aman dan sentosa. Di sudut ini,... tidak ada sesiapa yang dapat menafikan bahawa tunjang dan tonggak kepada urusan pentadbiran negara adalah para kakitangan awam. Oleh itu, marilah kita mengucapkan syabas dan tahniah kepada lebih 1.6 juta mereka yang berjasa ini. Pucuk dicita ulam pun mendatang, saat dinanti kini menjelang. Bagi Menghargai Perkhidmatan Awam, atas segala sumbangan dan khidmat bakti kepada negara, Kerajaan bersetuju: Pertama : Memberi faedah pemindahan gaji bersamaan satu kenaikan gaji tahunan mengikut gred yang akan memanfaatkan 1.6 juta warganya dengan peruntukan 1.1 bilion ringgit; Kedua : Menambah baik sebanyak 252 skim perkhidmatan yang akan memanfaatkan 406 ribu penjawat awam; Ketiga : Menetapkan gaji permulaan terendah dalam Perkhidmatan Awam kepada 1,200 ringgit sebulan yang akan memanfaatkan 60 ribu penjawat awam; Keempat : Menetapkan kadar pencen minimum sebanyak 950 ringgit sebulan, yang akan melibatkan hampir 50 ribu pesara awam dengan sekurang-kurangnya 25 tahun tempoh perkhidmatan; dan Kelima : Melantik secara tetap pegawai lantikan Contract of Service yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun. Ini akan memanfaatkan lebih 10 ribu pegawai kontrak. Pelaksanaan kesemua langkah ini Tuan Yang Dipertua, akan berkuatkuasa pada 1 haribulan Julai 2016 dengan peruntukan sebanyak 1.4 bilion ringgit. Tuan Yang Dipertua, Bagi merealisasikan harapan, seperti yang dijanjikan, dalam ikhtiar meringankan kos sara hidup rakyat pula, Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M akan diteruskan. Saya tahu benar,... ada pihak yang mengatakan bahawa BR1M tidak perlu diteruskan. Namun, melalui maklum balas yang diterima, mereka sangat bersyukur dan berterima kasih di atas keprihatinan Kerajaan ini, kerana terbukti, Bantuan Rakyat 1Malaysia tersebut telah sedikit sebanyak membantu meringankan beban hidup mereka. Sehubungan yang demikian,... selaras dengan Aku Janji Kerajaan Barisan Nasional juga, sukacita saya umumkan, jumlah BR1M untuk tahun 2016 akan dinaikkan seperti berikut: Pertama: Satu kategori baru diperkenalkan bagi semua penerima di dalam senarai e-Kasih yang berpendapatan bulanan di bawah 1,000 ringgit, akan menerima BR1M sebanyak 1,050 ringgit; Kedua: Bagi isi rumah berpendapatan bulanan 3 ribu ringgit ke bawah, BR1M ditingkatkan daripada 950 ringgit kepada seribu ringgit; Ketiga: Bagi isi rumah berpendapatan antara 3,001 hingga 4 ribu ringgit, pemberian BR1M ditingkatkan daripada 750 ringgit kepada 800 ringgit; Keempat: Bagi Skim Khairat Kematian pula, pemberian sebanyak seribu ringgit akan diteruskan; dan Kelima: Bagi kategori individu bujang pula, yang berumur 21 tahun dan ke atas, serta berpendapatan tidak melebihi 2 ribu ringgit sebulan, kadar bantuan akan ditingkatkan daripada 350 ringgit kepada 400 ringgit. Tuan Yang Dipertua, Keseluruhannya, kesemua bantuan ini akan memanfaatkan sebanyak 4.7 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang, dengan peruntukan 5.9 bilion ringgit. Tuan Yang Dipertua, Jika, dalam RMK-11, saya telah menyebut tentang kelompok B40, dan tafsiran kumpulan yang terlibat, maka dalam Bajet ini, satu lagi kumpulan besar yang Kerajaan kini akan turut memberi tumpuan bergelar M40. Secara statistiknya, tafsiran awal M40 adalah, kelompok isirumah yang berpendapatan antara 3,860 ringgit hingga 8,320 ringgit. Namun, definisi M40 ini, akan terus Kerajaan perincikan dari masa ke semasa. Dalam hal ini, sukacita saya umumkan: Pertama: Had pelepasan cukai bagi setiap anak berumur di bawah 18 tahun mulai taksiran 2016, digandakan daripada 1 ribu ringgit kepada 2 ribu ringgit; Kedua: Pelepasan cukai bagi pembayar individu yang pasangannya tidak mempunyai pendapatan, dinaikkan daripada 3 ribu ringgit kepada 4 ribu ringgit; Ketiga: Jika buat masa ini, pembayar cukai individu diberi pelepasan sehingga 5 ribu ringgit setahun bagi tujuan perubatan dan penjagaan terhad hanya kepada ibubapa mereka yang sakit. Dalam Bajet ini, Kerajaan memandang positif sikap anak yang mengambil berat terhadap kebajikan ibubapa mereka dan mengalu-alukan pengukuhan institusi kekeluargaan. Sehubungan itu, buat julung kalinya, anak-anak yang menyara ibubapa mereka, meskipun tidak tinggal bersama, akan diberi pelepasan cukai terkumpul sebanyak 1,500 ringgit untuk ibu, dan 1,500 ringgit lagi untuk bapa. Tapi,...dengan syaratnya, ibu dan bapa masing-masing tidak berpendapatan melebihi 2 ribu ringgit sebulan dan berumur 60 tahun ke atas; dan Keempat: Sempena Bajet ini juga, Kerajaan memutuskan, untuk menaikkan had pelepasan cukai daripada 6 ribu ringgit kepada 8 ribu ringgit, bagi setiap anak berumur 18 tahun dan ke atas, yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian dalam dan luar negara, mulai tahun taksiran 2016; dan Kelima: Bagi ibubapa kepada anak-anak Orang Kurang Upaya-nya, yang sedang melanjutkan pengajian di institusi dalam dan luar negara, had pelepasan cukai dinaikkan daripada 6 ribu ringgit kepada 8 ribu ringgit, mulai tahun taksiran 2016. Ingin saya tambah di sini, had pelepasan cukai sedia ada bagi ibubapa yang mempunyai anak OKU adalah 6 ribu ringgit. Ini bermakna, sekiranya anak OKU ini melanjutkan pelajaran di dalam atau luar negara, jumlah pelepasan cukai yang boleh dituntut secara keseluruhannya, adalah sebanyak 14 ribu ringgit. Tuan Yang Dipertua, Seterusnya, untuk membolehkan lebih ramai pekerja mendapat manfaat di bawah PERKESO, kelayakan caruman wajib dinaikkan daripada gaji 3 ribu ringgit kepada 4 ribu ringgit sebulan. Pengubahsuaian ini, memanfaatkan kepada 500 ribu pekerja, di mana jika si pencarum meninggal dunia dalam tempoh kerja, waris akan menerima bayaran bulanan sehingga 90 peratus pendapatan bulanan terakhir beliau. Tuan Yang Dipertua, Secara kesimpulannya, selama puluhan tahun, Kerajaan Barisan Nasional telah memikul mandat dan menggalas kepercayaan rakyat. Kerajaan ini juga telah secara berterusan melunaskan serta melangsaikan janji-janji yang dilafaz dan dicatat. Ini bererti, Kerajaan yang mentadbir sekian waktu ini jua, terserlah mempunyai visi dan halatuju yang jelas. Apa yang mustahak, untuk dinyata dan dipertegaskan sekali lagi, kita terus mendapat pengiktirafan-pengiktirafan daripada pengabsah-pengabsah berwibawa tinggi di dunia, antaranya agensi-agensi kewangan antarabangsa seperti Fitch Ratings, Moody's dan Standard & Poor's, yang telah memberi gambaran sebenar, tentang keadaan serta pengurusan ekonomi Malaysia. Malah,... pelbagai pencapaian telah kita raih, antaranya yang terkini, kedudukan Malaysia dalam Laporan Daya Saing Global 2015-2016 oleh World Economic Forum, melonjak dua anak tangga kepada kedudukan 18 daripada 140 negara utama ekonomi di dunia. Kepada rakyat sekalian,... usahlah berbimbang-bimbang dan bergundah-gundah. Jelas sekali,... dengan rekod pencapaian yang cemerlang,... antaranya yang telah saya tuturkan di awal ucapan tadi, maka letakkanlah keyakinan,... taruhlah harapan, bahawa,... inilah Kerajaan yang boleh dibergantung harap, demi masa depan hari muka, anak cucu dan keturunan kita. Dalam apa jua keadaan, saya dan rakan-rakan akan meneruskan perancangan ekonomi negara, dengan mengutamakan serta mendahulukan kesejahteraan rakyat. Tuan Yang Dipertua, Pokoknya,... bagi Kerajaan ini,... rakyat adalah segala-galanya. Khabar bahagia sudahpun tiba. Maka, ingin saya umumkan, berkuatkuasa 1 Julai 2016, gaji minimum negara dinaikkan daripada 900 ringgit kepada 1,000 ringgit sebulan bagi Semenanjung, dan daripada 800 ringgit kepada 920 ringgit sebulan bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Gaji minimum ini melibatkan semua sektor, kecuali perkhidmatan domestik atau pembantu rumah. Tuan Yang Dipertua, Tidak cukup sekadar itu,... bagi meringankan beban kos sara hidup kepada semua penjawat awam, Kerajaan bersetuju dengan pemberian khas sebanyak 500 ringgit kepada semua penjawat awam. Manakala, bagi 700 ribu pesara Kerajaan pula, bayaran khas 250 ringgit disediakan. Kedua-dua bayaran ini, yang berjumlah hampir 1 bilion ringgit akan dibuat pada bulan Januari 2016. Tuan Yang Dipertua, Demikianlah, Kerajaan ini tanpa jemu-jemu dan putus-putus ingin membuat kebaikan dan kebajikan kepada sekalian rakyat. Sejak dulu, kesemuanya tidak terbina dengan mudah atau dalam sekelip mata. Ia menuntut kesungguhan dan pengorbanan atas nama kebaktian pada nusa dan bangsa. Lalunya, berbicara tentang betapa susah dan jerih payahnya membina Malaysia tercinta ini,... kita berasa kesal, bahkan sebenarnya, kita amat-amat kesal, dengan tindak-tanduk tidak bertanggungjawab oleh musuh dari dalam, mahupun luar, yang cuba mempalit dan merosakkan imej negara ini. Pada kita,... perbuatan segelintir pihak ini, akan hanya memporak-perandakan, sampai boleh memusnahkan apa yang terbina selama ini. Waima, wujud sesetengah orang, yang kita sendiri kadang-kadang tidak tersangka-sangka, atau terduga-duga, ibarat api di dalam sekam,...menjadi gunting dalam lipatan. Tuan Yang Dipertua serta Rakyat Malaysia Yang Dikasihi sekalian,... Dalam menghela nafas keinsafan, saya perakui,... benarlah saya ini seorang pemimpin, tetapi saya juga manusia biasa seperti saudara saudari sekalian. Kita sama-sama ada kelebihan dan kelemahan di sana sini. Sayugia,... sambil merujuk-rujuk mafhum tafsir daripada surah Yusuf, bahawa,... Tuhan tidak menyuruh kita berhenti dari berusaha,... Tuhan juga tidak benarkan kita sesekali berputus asa dari rahmatNya,... dan apatah lagi sesungguhnya,... Tuhan juga tetap menjanjikan kepada hamba-hambanya yang berislah dan beriltizam, bahawa,... kejayaan pasti menjelma jua. Sebab itu,... Tuan yang Dipertua,... sudah menjadi adat orang berjuang, pasti akan menempuh rintangan dan dugaan. Namun,... biar pun berjuta gugatan menghalang, biar menggunung ombak mendatang, kita,...kita tidak akan sesekali berputus harapan. Kini,...Tuan Yang Dipertua, saya,... bersama-sama dengan Timbalan Perdana Menteri YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,... berserta anggota pentadbiran dan pimpinan-pimpinan Barisan Nasional,... sehati sejiwa,... akan tetap tabah dan bertawakal meneruskan perjuangan yang mulia ini. Nescaya, dengan dipersaksikan masa dan dineraca oleh waktu,... yang benar tetap benar,... sejarahnya kelak menjadi bukti. Akhir kalam,... bak kata para hukama',... yang indah-indah itu dari Ilahi dan yang kurang itu sifat insani. Marilah kita berdoa kepada Maha Pencipta, agar tiap sesuatu akan kembali pulih seperti sediakala. Semoga Bajet ini dilimpah-limpah Rahmat-Nya dan membawa sentosa kepada semua. Tuan Yang Dipertua, Saya mohon mencadangkan. Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Tuan Yang Dipertua, Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk "Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2015 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu" dibaca bagi kali kedua. MUKADIMAH Tuan Yang Dipertua, 1. Dengan lafaz Bismillahhirahmanirrahim, Alhamdulillahi Rabbil A'iamin, Wa bihi Nastai'n. Diiring pula selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Marilah bersama berdoa, dan yang beragama Islam, menadah kedua-dua tangan setingginya, pohon limpah keberkatan juga inayah-Nya, bagi saya membentang sebuah dokumen penting, yakni Bajet 2015 agar dapat didengar dan di hadami sebaiknya oleh Sidang Dewan dan Rakyat Malaysia seluruhnya. 2. Sebelum meneruskan pembentangan, saya bagi mewakili pihak Kerajaan mengucapkan takziah atas kembalinya ke-Rahmatullah Allahyarham Tun Hajah Suhaila Binti Tan Sri Mohammad Noah yang merupakan isteri kepada Perdana Menteri ketiga. Semoga rohnya diletakkan di kalangan para solihin dan solihat. 3. Saya turut ingin mengambil kesempatan pada petang Jumaat penuh barakah, penghulu segala hari, mengucapkan selamat kembali ke tanah air kepada YAB Timbalan Perdana Menteri berserta para hujjaj lain, yang telah selesai menunaikan fardu haji. Moga-moga beruntunglah di atas kurniaan Haji Akbar yang Mabrur. hendaknya. Tuan Yang Dipertua, 4. Secara sedar ataupun tidak, sepanjang hampir 60 tahun merdeka, kita telah merencana pelbagai rancangan jangka pendek, sederhana dan panjang dalam usaha memakmurkan negara. Hakikatnya, pelaksanaan serta pembangunan ekonomi telah melalui segala macam strategi yang disusun kemas lagi sistematik. Jika tidak, mana mungkin Malaysia sampai pada tahap yang ada pada hari ini. 5. Cumanya, ramai yang tidak begitu sedar bahawa proses ini bukanlah satu kerja yang mudah, apatah lagi terjadi dengan semena-mena. Suka atau tidak suka, dalam tempoh yang bukan sekejap, ia menagih ikhtiar-ikhtiar yang cukup banyak, meliputi rencana-rencana yang menyeluruh, dengan segala jerih payah, kepahitan, terutamanya apabila wajarnya diambil ketetapan-ketetapan dan keputusan-keputusan yang tidak popular. Namun, semuanya itu, perlu diperbuat dan diperlakukan oleh pihak Kerajaan yang bertanggungjawab dan berakauntabiliti, demi mendahulukan kepentingan rakyat sejak dulu, kini dan selamanya. Tuan Yang Dipertua, 6. Dari perspektif ekonomi, ketika mana meraih kemerdekaan 57 tahun lalu, kita telah membina negara ini berlandaskan pertanian. Kemudiannya, kita menuju negara perindustrian moden. Selanjutnya, kita melalui fasa negara berpendapatan sederhana tinggi. Sekarang ini pula, kita sedang melangkah ke arah ekonomi berasaskan perkhidmatan dan pengetahuan. 7. Bila disimpulkan, objektif, prinsip dan teras kepada 3 Rangka Rancangan Jangka Panjang, kesepuluh-sepuluh Rancangan Malaysia, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Nasional, Dasar Wawasan Negara dan sejak 2010 Dasar Transformasi Nasional, kesemuanya berkisar tentang pembasmian kemiskinan, peningkatan pendapatan, penyusunan semula masyarakat, sehingga tercapai matlamat sosio-ekonomi, mempelbagaikan ekonomi berteraskan komoditi, pembangunan modal insan, meningkatkan daya saing sektor awam dan swasta, rantaian nilai lebih tinggi, pembangunan secara inklusif dan transformasi Kerajaan, ekonomi, sosial serta politik. 8. Ternyata, bapa-bapa pimpinan terdahulu dengan bijaksana, telah menjalankan kewajiban masing-masing membentuk Malaysia menurut acuan tersendiri. Dimulai perjuangan oleh Tunku Abdul Rahman, diikuti oleh Tun Abdul Razak yang telah melaksanakan pembangunan dan menyusun semula struktur sosial masyarakat, Tun Hussein mengekalkan keamanan dan perpaduan, Tun Mahathir memodenkan negara, manakala Tun Abdullah pula menekankan aspek pembangunan modal insan. Tuan Yang Dipertua, 9. Seterusnya, Kerajaan yang ada hari ini, terus komited memacu pertumbuhan negara dengan tasawwur yang lebih luas bagi meletakkan Malaysia di jajaran kukuh dari masa ke semasa. 10. Jelasnya, jika dicongak, pembentangan Bajet, petang ini, adalah yang keenam sejak saya mengambil alih pentadbiran, dan juga adalah Bajet negara kali yang ke-56. Sesungguhnya jua, Bajet 2015 ini, menjadi bingkisan pelengkap kepada 10 Rancangan Malaysia. Strategi Pembangunan Nasional Malaysia atau Malaysian National Development Strategy 11. Selanjutnya, pada Mei 2015 nanti, bermulalah jendela Rancangan Malaysia kesebelas. Serentak itu, satu pendekatan baharu sedang digariskan yang dikenali sebagai Strategi Pembangunan Nasional Malaysia atau Malaysian National Development Strategy atau MyNDS. 12. MyNDS akan menjadi antara formula kepada perancangan dan penyediaan program serta projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-11. la akan menggunakan sumber yang terhad secara optimum, yakni menumpukan kepada projek dan program berimpak tinggi, kos yang rendah serta pelaksanaan secara cekap dan pantas. Ertinya, Bajet 2016 kelak, akan menjadi pemula kepada pelonjak akhir memacu separuh dekad Malaysia dalam menuju status, dengan izin -High Income Advanced Economy menjelang 2020. 13. Merujuk kepada perjalanan negara-negara yang lain seperti Korea, Jerman, Jepun, Taiwan mahupun China, di mana kebanyakannya bermula dengan asas pertanian sebagai ekonomi mereka dan kini beralih kepada asas ekonomi yang mengutamakan pengetahuan, kemahiran, inovasi dan kepakaran yang tinggi. 14. Jika dapat diterangkan dengan bahasa yang mudah, perancangan dan instrumen ekonomi kepada sesebuah negara perlu disesuaikan mengikut musim dan peredaran masa serta tuntutan domestik dan global. Justeru, untuk terus kekal relevan Malaysia sewajibnya bergerak dengan ekonomi berasaskan pengetahuan, kemahiran tinggi, kepakaran, kreativiti dan inovasi. Tuan Yang Dipertua, 15. Sememangnya, dari sudut ekonomi, sesebuah negara yang pesat membangun, tidak boleh lari daripada menjana kekayaan menerusi aktiviti capital economy. Namun demikian, dari sudut kesejahteraan rakyat, kita mendengar keluh kesah, sungutan dan rungutan orang ramai. Mereka bertanya melalui komen-komen blog, surat-surat yang diterima, mesyuarat, temubual, sesi dialog dan wacana semasa akan persoalan bahawa angka berjuta-juta, peruntukan berbilion-bilion dan pelbagai projek mega, apakah manfaatnya kepada rakyat terbanyak? 16. Bak kata orang kampung saya di Pekan, maaf bercakap, rasanya, perkara-perkara dokumen bajet begini, serta apa yang disebut seperti jauuuuuuh... dan tidak ada kena mengena dengan pakcik, makcik, kawan-kawan bukan sahaja di luar bandar malahan juga di bandar. Tuan Yang Dipertua, 17. Sesungguhnya, inilah cabaran terbesar dalam mentadbir Negara seistimewa Malaysia dengan kerencaman masyarakat. Saya selaku Perdana Menteri sehingga petang semalam ketika bertemu para wartawan diajukan soalan apakah hal yang paling sukar untuk diputuskan? Saya menjawab... yakni bagaimana kita hendak mengimbangi antara polisi yang populist in nature as compared to those policies based on economic and financial imperatives. 18. Sejelasnya, Kerajaan yang ada hari ini berpegang teguh kepada prinsip bahawa usaha memantap tadbir urus fiskal seperti mengurangkan defisit fiskal adalah satu tanggungjawab moral generasi kita untuk generasi pewaris masa hadapan. Pokoknya, kita tidak mahu mewariskan Malaysia dengan kewangan Persekutuan yang terbeban dengan masalah hutang. Tuan Yang Dipertua, Capital Economy dan People Economy 19. Lantaran demikian, mengambil kira dan memahami denyut nadi rakyat serta realiti kehidupan, sebagai Ketua Kerajaan, saya mahukan falsafah tunjang kepada pembikinan bajet tahun ini mestilah menitikberatkan keseimbangan antara capital economy dan people economy. 20. Bila kita membicarakan istilah Capital Economy, ia merujuk kepada pengurusan dan dasar-dasar ekonomi yang berbentuk makro. Ini memudahkan sesebuah negara mengunjurkan sasaran-sasaran utamanya berbanding negara-negara lain. Antaranya, ia merujuk kepada pengurusan ekonomi yang berasaskan modal, pertumbuhan KDNK, pendapatan per kapita, pelaburan swasta, pasaran modal, keuntungan syarikat, penarafan ekonomi dan kredit, indeks Bursa dan nilai saham. Tuan Yang Dipertua, sesudah ini saya akan menyebutnya sebagai Capital Economy. 21. Manakala apabila kita mengupas dan menakrif istilah People Economy, ia merupakan ekonomi yang berorientasikan rakyat meliputi keutamaan-keutamaan dan kepentingan-kepentingan rakyat seperti kos sara hidup, pendapatan isi rumah, peluang pendidikan, pekerjaan dan perniagaan, kualiti hidup, perumahan, latihan, kemahiran, keusahawanan dan keselamatan, yakni aman dari jenayah. Ringkasnya, ia merupakan ekonomi yang berlandaskan pengalaman seharian rakyat. Sesudah ini saya akan menyebutnya sebagai Ekonomi Keperluan Rakyat atau EKR. PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak merangkap Menteri Kewangan membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat di bangunan Parlimen di sini hari ini. - Foto BERNAMA PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak merangkap Menteri Kewangan membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat di bangunan Parlimen di sini hari ini. - Foto BERNAMA Tuan Yang Dipertua, Ekonomi Keperluan Rakyat 22. Memang benar, dari sudut teori dan ilmiahnya, capital economy dan people economy tidak dapat dipisahkan dan wujud secara simbiosis antara satu dengan yang lain. Walau apapun, ingin saya tegaskan dalam bajet ini, Ekonomi Keperluan Rakyat menjadi paksi dan pegangan dalam mendahulukan kepentingan rakyat. Barulah nanti apabila kita mencapai status negara maju, nikmat kekayaan dan kemakmuran sebenar negara akan melimpah ke kaki-kaki halaman serta mengetuk pintu-pintu rumah setiap rakyat di negara ini, Insya-Allah. Tuan Yang Dipertua, PRESTASI DAN PROSPEK EKONOMI 23. Bermula 3 April 2009, setelah lebih 5 tahun, saya memegang pucuk pimpinan sebagai Perdana Menteri, diperkenalkan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, berlandaskan Dasar Transformasi Nasional atau DTN. Ia merangkumkan Program Transformasi Kerajaan atau GTP, Program Transformasi Ekonomi atau ETP, Program Transformasi Politik atau PTP, Program Transformasi Komuniti atau CTP, Program Transformasi Sosial atau STP dan Program Transformasi Fiskal atau FTP dalam usaha kita mencapai matlamat negara ekonomi maju berpendapatan tinggi. ETP telah mensasarkan peningkatan Pendapatan Negara Kasar Per Kapita Malaysia kepada 15,000 dolar Amerika dan memperoleh 444 bilion dollar Amerika dalam pelaburan menjelang 2020. 24. Sejak 2009 juga, secara kumulatifnya, sebanyak 196 projek daripada 12 NKEA dan 6 SRI telah dilaksanakan. Jumlah pelaburan pula mencecah 219 bilion ringgit dan lebih 437,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi telah diwujudkan. 25. Mutakhir ini, ekonomi negara telah tumbuh dengan positif dalam semua sektor dan mencatatkan KDNK sebanyak 6.3 peratus. Alhamdulillah, kita merafak syukur kepada Yang Maha Kuasa, kerana pencapaian ini, menempatkan kita sebagai yang paling tinggi di kalangan negara ASEAN dalam tempoh separuh pertama 2014. Tuan Yang Dipertua, 26. Antara tahun-tahun 2009 hingga 2014, kita mampu berasa lega dan berbangga dengan prestasi-prestasi berikut. Indeks FBM KLCI telah meningkat sebanyak 114 peratus iaitu daripada 884.45 mata pada Januari 2009 kepada 1,892.65 mata pada Julai 2014. Pertumbuhan modal pasaran juga meningkat sebanyak 162 peratus daripada 667.87 bilion ringgit kepada 1,749.49 bilion ringgit dicatatkan pada 7 Oktober 2014. 27. Pendapatan Negara Kasar Per Kapita pula menunjukkan peningkatan sebanyak 50 peratus iaitu daripada 6,700 dolar Amerika kepada 10,060 dolar Amerika dalam tempoh 5 tahun ini. Insya-Allah, saya yakin pada tahun ini kita akan mencapai pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh pada kadar 5.5 peratus hingga 6 peratus. Kadar defisit fiskal Negara juga semakin bertambah baik. Kita telah dapat menurunkan kadar defisit daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada 3.9 peratus pada 2013 dan dijangka terus menurun kepada 3.5 peratus pada tahun ini. 28. Bagi 2015 pula, pertumbuhan ekonomi dijangka kekal kukuh pada kadar 5 hingga 6 peratus, manakala defisit fiskal dijangka berkurangan kepada 3 peratus. Tuan Yang Dipertua, 29. Berhubung itu, sukalah saya memaklumkan di sini, kita juga telah memecah beberapa rekod pencapaian antaranya: Pertama: Indeks Bursa Malaysia telah mencatat paras 1,892.65 mata pada Julai 2014, menjadikannya paras tertinggi dalam sejarah negara; dan Kedua: Kemasukan pelabur asing sebanyak 38.7 bilion ringgit pada tahun 2013, juga merupakan catatan tertinggi actual realized investments yang pernah dicapai dalam sejarah Negara. PERUNTUKAN BAJET 2015 Tuan Yang Dipertua, 30. Bajet 2015 memperuntukkan sejumlah 273.9 bilion ringgit iaitu peningkatan sebanyak 9.8 bilion ringgit berbanding peruntukan asal 2014. Daripadanya, 223.4 bilion ringgit bagi perbelanjaan mengurus dan 50.5 bilion ringgit sebagai perbelanjaan pembangunan. 31. Di bawah peruntukan mengurus, 65.6 bilion ringgit adalah untuk Emolumen, dan 38.1 .bilion ringgit untuk Perkhidmatan dan Bekalan. Agihan terbesar sebanyak 116.4 bilion ringgit adalah untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Pembelian Aset pula diperuntukkan sebanyak 1.5 bilion ringgit dan 1.8 bilion ringgit untuk perbelanjaan lain. 32. Di bawah peruntukan pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan tertinggi sebanyak 29.3 bilion ringgit, diikuti oleh sektor sosial 12.6 bilion ringgit merangkumi pendidikan dan latihan, kesihatan, perumahan serta kesejahteraan masyarakat. Sektor keselamatan pula diperuntukkan sebanyak 4.9 bilion ringgit. Selebihnya, diagihkan kepada sektor pentadbiran am iaitu sebanyak 1.7 bilion ringgit dan simpanan luar jangka sebanyak 2 bilion ringgit. 33. Pada tahun 2015, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan diunjurkan sebanyak 235.2 bilion ringgit, yakni peningkatan sebanyak 10.2 bilion ringgit berbanding 2014. Tuan Yang Dipertua, 34. Khususnya pada tahun 2015, dengan pelaksanaan GST, hasil kutipan dianggarkan berjumlah sebanyak 23.2 bilion ringgit. Walau bagaimanapun, sebagai Kerajaan yang prihatin, kita telah mengecualikan sebilangan barangan yang keseluruhannya dianggarkan 3.8 bilion ringgit. 35. Harus diketahui, bahawa dengan pelaksanaan GST ini, maka Cukai Jualan dan Perkhidmatan atau SST, dimansuhkan yang menyebabkan kehilangan hasil Kerajaan sebanyak 13.8 bilion ringgit. Ertinya, bila ditolak 13.8 bilion ringgit dan 3.8 bilion ringgit daripada kutipan 23.2 bilion ringgit itu, baki yang ada, berjumlah 5.6 bilion ringgit. 36. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 4.9 bilion ringgit disalurkan kembali untuk keperluan rakyat melalui pakej-pakej bantuan, contohnya tambahan BR1M. Akhirnya, hasil bersih kutipan GST hanyalah berbaki 690 juta ringgit. Tuan Yang Dipertua, BAJET 2015: EKONOMI KEPERLUAN RAKYAT 37. Bajet 2015 ini digubal berfokus kepada Ekonomi Keperluan Rakyat dengan menggariskan tujuh strategi utama, iaitu: Strategi Pertama: Memperkukuh Pertumbuhan Ekonomi; Strategi Kedua: Memantap Tadbir Urus Fiskal; Strategi Ketiga: Mengupaya Modallnsan dan Keusahawanan; Strategi Keempat: Memperkasa Agenda Bumiputera; Strategi Kelima: Memartabat Peranan Wanita; Strategi Keenam: Membangun Program Transformasi Belia Negara; dan Strategi Ketujuh: Mensejahtera Rakyat Tuan Yang Dipertua, STRATEGI PERTAMA: MEMPERKUKUH PERTUMBUHAN EKONOMI 38. Dalam hal ini, Kerajaan akan terus menyediakan ekosistem yang kondusif dan komprehensif bagi melonjak pelaburan domestik dan asing. Tindakan Pertama: Merancakkan Sektor Perkhidmatan 39. Untuk makluman, pada 2013, sektor perkhidmatan menyumbang 55.2 peratus kepada KDNK. Bagi menepati sasaran 60 peratus menjelang tahun 2020, Kerajaan akan merancakkan sektor perkhidmatan dengan melaksanakan perkara-perkara berikut: Pertama: Melaksana Blueprint Sektor Perkhidmatan; Kedua: Menyediakan Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan berjumlah 5 bilion ringgit kepada semua Perusahaan Kecil dan Sederhana yang terlibat dalam sektor perkhidmatan dengan had maksimum pembiayaan sebanyak 5 juta ringgit bersekali 70 peratus jaminan Kerajaan. la dijangka memberi manfaat kepada 4,000 syarikat PKS; Ketiga: Mewujudkan Research Incentive Scheme for Entreprise dengan peruntukan 10 juta ringgit untuk menggalakkan syarikat-syarikat menubuhkan pusat penyelidikan dalam bidang berteknologi tinggi, leT dan industri berasaskan pengetahuan; Keempat: Memperkenalkan semula Dana Perkhidmatan Eksport berjumlah 300 juta ringgit untuk menggalakkan PKS menjalankan kajian kemungkinan pasaran dan promosi eksport bagi menembusi pasaran baru; dan Kelima: Mengukuhkan Skim Pembangunan Francais di bawah KPDNKK bersama Persatuan Francais Malaysia. Sebanyak 20 juta ringgit diperuntukkan untuk skim ini. Tindakan ke-2: Memperkukuhkan Pasaran Kewangan Islam 40. Industri kewangan Islam Malaysia kini, mencakupi 25 peratus daripada industri perbankan dari segi aset. Di peringkat antarabangsa pula, Malaysia kekal sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia, merangkumi 60 peratus daripada pasaran sukuk global. 41. Selanjutnya, Kerajaan akan memperkenalkan akaun pelaburan patuh syariah pada 2015, dikenali sebagai Investment Account Platform, atau iAP. la akan memberi peluang kepada pelabur dalam pembiayaan aktiviti keusahawanan dan pembangunan PKS yang berdaya maju. Pada masa yang sama, lAP akan menarik pelabur institusi dan individu termasuk High Net Worth Individuals dalam pasaran kewangan Islam. Dalam hal ini, dana permulaan sebanyak 150 juta ringgit akan disediakan. 42. Bagi menggalakkan pelaburan dalam iAP, Kerajaan mencadangkan pelabur individu diberi pengecualian cukai pendapatan ke atas keuntungan dari pelaburan yang layak selama 3 tahun berturut-turut. 43. Untuk merancakkan terbitan dan urus niaga pasaran sukuk dan bon tempatan pula, Kerajaan telah memperkenalkan produk Bon dan Sukuk Dagangan Bursa atau ETBS pada Januari 2013. Makanya, Kerajaan mencadangkan supaya Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Terbitan Pelaburan Kerajaan turut disenaraikan dan diurus niaga dalam ETBS. 44. Selain itu, perbelanjaan menerbitkan sukuk telah diberi potongan cukai mulai tahun taksiran 2003 hingga tahun taksiran 2015. Selaras dengan ini, dicadangkan potongan cukai bagi perbelanjaan menerbitkan sukuk berasaskan prinsip Ijarah dan Wakalah dilanjutkan selama 3 tahun lagi sehingga tahun taksiran 2018. Tuan Yang Dipertua, Tindakan ke-3: Menggalakkan Industri Perkapalan Tempatan 45. Akta Perkapalan Saudagar 2011 memperuntukkan keperluan mandatori insurans atau sekuriti kewangan untuk perlindungan liabiliti pihak ketiga bagi kapal yang beroperasi di Malaysia. Buat masa ini, kebanyakan pemilik kapal muatan besar di Malaysia mempunyai perlindungan liabiliti pihak ketiga melalui Protection & Indemnity, di luar negara. 46. Justeru, bagi membantu pemilik kapal muatan kasar 300 tan ke bawah, Kerajaan akan menubuhkan Kelab P&I Malaysia, di bawah Exim Bank, pada kadar premium yang berpatutan. Tindakan ke-4: Memastikan pertumbuhan wilayah yang seimbang dan inklusif, dengan terus menggalakkan pelaburan di kawasan-kawasan yang kurang membangun 47. Dalam konteks ini, Kerajaan akan menambahbaik pakej insentif khas yang disediakan di bawah Koridor-koridor Ekonomi merangkumi lebih banyak kawasan yang kurang maju. Tindakan ke-5: Insentif Untuk Pengurusan Kawasan Perindustrian 48. Kawasan-kawasan perindustrian yang mempunyai kemudahan awam atau infrastruktur yang diselenggara secara sistematik merupakan antara faktor utama yang menyokong pembangunan industri. Dalam hal ini, insentif dengan 100 peratus pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh lima tahun akan disediakan untuk menggalakkan pihak swasta menyelenggara dan menambah baik kawasan perindustrian di kawasan kurang membangun. Manakala insentif dengan 70 peratus pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh lima tahun akan disediakan kepada pihak swasta yang mengurus kawasan perindustrian di kawasan yang lain. Tindakan ke-6: Elaun Modal Bagi Peningkatan Proses Automasi oleh Industri Berintensif Buruh 49. Kerajaan akan menyediakan insentif elaun modal perbelanjaan automasi untuk menggalakkan proses automasi sektor perkilangan mengikut kategori berikut: • Kategori Pertama, iaitu untuk industri yang mempunyai kebergantungan buruh yang tinggi seperti industri produk getah, plastik, kayu, perabot dan tekstil. Insentif yang ditawarkan adalah elaun modal perbelanjaan automasi sebanyak 200 peratus ke atas 4 juta ringgit perbelanjaan pertama. Insentif ini adalah bagi tempoh 2015 hingga 2017; dan • Kategori Kedua iaitu untuk industri-industri yang lain. Insentif yang ditawarkan adalah elaun modal perbelanjaan automasi sebanyak 200 peratus ke atas 2 juta ringgit perbelanjaan modal pertama. Insentif ini adalah bagi tempoh 2015 hingga 2020. Tindakan ke-7: Pelaburan Berkualiti Tinggi 50. Dalam menggalakkan pelaburan berkualiti tinggi dan lebih tertumpu, pakej galakan lebih istimewa akan ditawarkan untuk projek-projek pelaburan yang berasaskan teknologi, inovasi dan pengetahuan, melibatkan pekerja berkelayakan tinggi dan berpengetahuan, dengan gaji yang tinggi. Tuan Yang Dipertua, Tindakan ke-8: Merancak Pelaburan Awam dan Swasta 51. Bagi tahun 2015, beberapa projek infrastruktur akan dilaksanakan: Pertama: Membina Lebuh Raya Sungai Besi -Ulu Klang sepanjang 59 kilometer dengan kos pembinaan berjumlah 5.3 bilion ringgit; Kedua: Membina Lebuh Raya Pantai Barat dari Taiping ke Banting sepanjang 276 kilometer dengan kos pembinaan berjumlah 5 bilion ringgit; Ketiga: Membina Lebuh Raya Damansara -Shah Alam sepanjang 47 kilometer dengan kos pembinaan 4.2 bilion ringgit; Keempat: Membina Lebuh Raya Lingkaran Luar Kuala Lumpur -Hubungan Timur sepanjang 36 kilometer dengan kos pembinaan 1.6 bilion ringgit; Kelima: Menaik taraf landasan kereta api sektor Pantai Timur melibatkan jajaran Gemas-Mentakab, Jerantut-Sungai Yu dan Gua Musang-Tumpat dengan peruntukan 150 juta ringgit; Keenam: Pembinaan MRT Jajaran Kedua sepanjang 56 kilometer dari Selayang ke Putrajaya, melibatkan anggaran 23 bilion ringgit; dan Ketujuh: Manakala, Projek LRT3, yang bakal menghubungkan Bandar Utama sehingga Shah Alam dan Klang, dianggarkan 9 bilion ringgit akan dilaksanakan. 52. Projek Pengerang Integrated Petroleum Complex dengan nilai pelaburan 69 bilion ringgit pula yang dijangka dapat mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan. 53. Di samping itu, bagi membangunkan industri pembuatan kenderaan elektrik, dana pinjaman Sustainable Mobility Fund berjumlah 70 juta ringgit disediakan bawah SME Bank. Sebagai permulaan, 50 bas elektrik akan diperkenalkan. KAKITANGAN swasta, Murshidah Noor Hisham, 25, menonton pembentangan Bajet 2015 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi gajet di Laman Selera Putrajaya. - Foto Fariz Iswadi Ismail KAKITANGAN swasta, Murshidah Noor Hisham, 25, menonton pembentangan Bajet 2015 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi gajet di Laman Selera Putrajaya. - Foto Fariz Iswadi Ismail Tuan Yang Dipertua, Tindakan ke-9: Menggalakkan Penubuhan Hab Prinsipal 54. Untuk ini, Kerajaan akan terus berusaha memperbanyakkan lagi pusat operasi global syarikat multinasional di Malaysia. Sejajar dengan itu, satu insentif Hab Prinsipal yang berbentuk customised incentives akan diperkenalkan mulai awal tahun depan. Tindakan ke-10: Merancakkan Industri Kreatif 55. Untuk memajukan industri kreatif seperti animasi, perfileman, seni reka, dan warisan budaya, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak 200 juta ringgit kepada MyCreative Ventures pada tahun 2012. Lanjutan daripada ini, usaha ini diteruskan melalui Dana Industri Kandungan Digital di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sebanyak 100 juta ringgit. Tindakan ke-11: Meningkatkan Keupayaan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi 56. High Speed Broad Band, di kawasan ekonomi berimpak tinggi, akan diteruskan meliputi ibu negeri dan bandar-bandar terpilih di seluruh negara. Sebanyak 2.7 bilion ringgit akan dibelanjakan dalam tempoh tiga tahun melibatkan pembinaan seribu menara pencawang telekomunikasi baru dan pembinaan kabel dasar laut. Tindakan ke-12: Merancak Industri Pelancongan 57. Sempena sambutan 'Malaysia Year of Festivals 2015', Kerajaan mensasarkan kedatangan pelancong asing seramai 29.4 juta orang dengan jangkaan pendapatan sebanyak 89 bilion ringgit. Untuk tujuan ini, sebanyak 316 juta ringgit diperuntukkan bagi pelbagai program di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Tuan Yang Dipertua, Tindakan ke-13: Membangunkan Perusahaan Kecil dan Sederhana 58. Kini, sumbangan PKS kepada KDNK adalah sebanyak 33 peratus dan kita mensasarkan peningkatan kepada 41 peratus menjelang 2020. 59. Maka, bagi merancakkan penglibatan PKS dalam aktiviti ekonomi, Kerajaan mencadangkan pelaksanaan SME Investment Partner, di mana PKS akan diberi bantuan pembiayaan dalam bentuk pinjaman, ekuiti atau kedua-duanya, terutamanya di peringkat stan-up. Dana permulaan berjumlah 375 juta ringgit akan disediakan untuk tempoh lima tahun, di mana 250 juta ringgit adalah daripada SME Bank dan 125 juta ringgit lagi daripada pelabur swasta. Di bawah SME Corp pula, 10 juta ringgit akan diperuntukkan untuk Business Accelerator Programme. 60. Sebagai meningkatkan penggunaan teknologi baru, automasi dan inovasi dalam pembangunan PKS pula, sebanyak 80 juta ringgit diperuntukkan untuk Skim Pinjaman Mudah Automasi dan Pemodenan PKS di bawah Malaysian Industrial Development Finance Berhad. Tuan Yang Dipertua, 61. Di sudut lain, TEKUN juga telah menyalurkan pinjaman berjumlah 3.1 bilion ringgit kepada hampir 300 ribu orang peminjam dengan had pembiayaan di antara 1,000 hingga 100 ribu ringgit. Pada tahun 2015, TEKUN akan menyediakan tambahan dana pembiayaan sebanyak 500 juta ringgit, diagihkan seperti berikut: Pertama: 350 juta ringgit diperuntukkan kepada usahawan Bumiputera yakni hampir 33 ribu orang peminjam baru; Kedua: 50 juta ringgit dikhususkan kepada Skim Pembiayaan Usahawan India, dijangka memanfaatkan 5,000 peminjam kaum India; Ketiga: 50 juta ringgit diperuntukkan kepada Program Pembangunan Usahawan Wanita Muda Profesional yakni pembiayaan kepada 5,000 peminjam wanita profesional; dan Keempat: 50 juta ringgit diperuntukkan kepada Program Pembangunan Usahawan' Bekas Tentera, yang menawarkan pembiayaan kepada 5,000 orang bekas tentera. 62, Seiring itu, bagi membantu PKS kaum Cina, Kerajaan akan menyediakan pinjaman mudah sebanyak 50 juta ringgit, manakala bagi penjaja dan peniaga kecil sebanyak 30 juta ringgit Tuan Yang Dipertua, Tindakan ke-14: Pembangunan Inovasi dan Pengkomersilan 63, Ketika ini, nisbah R&D kepada KDNK adalah rendah jika dibanding dengan negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan, Justeru, Kerajaan memperuntukkan 1,3 bilion ringgit kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi melaksanakan program berkaitan, antaranya: Pertama: Mensasarkan 360 produk inovasi berimpak tinggi dikomersilkan dalam tempoh 5 tahun akan datang; Kedua: Menyediakan dana penyelidikan sebanyak 290 juta ringgit bagi menjalankan pelbagai aktiviti R&D&C yang berimpak tinggi; Ketiga: Menjenamakan semula SIRIM. Untuk itu, SME Technology Penetration, Upgrading Program dan Technology Auditing akan dilaksanakan; Keempat: Memperkenalkan inisiatif baru iaitu Public Private Research Network yang diterajui Kementerian Pendidikan dengan kerjasama MTDC dengan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit; dan Kelima: Memperkukuhkan Program Technology Commercialization Platform oleh Agensi Inovasi Malaysia dengan tambahan 50 juta ringgit. Tuan Yang Dipertua, STRATEGI KEDUA: MEMANTAP TADBIR URUS FISKAL 64. Hakikatnya, Kerajaan sentiasa berusaha bagi mengukuhkan kemampanan kedudukan kewangan Negara, untuk menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh dan mengurangkan defisit fiskal, bagi mencapai bajet berimbang. Tindakan Pertama: Melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan 65. Semasa pengumuman GST sewaktu pembentangan Bajet 2014 lalu, Kerajaan telah mencadangkan senarai barang makanan dan perkhidmatan asas tidak dikenakan GST. Maka berdasarkan kepada maklum balas pelbagai lapisan masyarakat, Kerajaan telah bersetuju untuk meluaskan skop barang yang tidak dikenakan GST. Antara penambahannya adalah: (i) Semua jenis buah-buahan tempatan dan diimporl; (ii) Roti putih dan roti wholemeal; (iii) Serbuk kopi, serbuk teh dan serbuk koko; (iv) Mi kuning, kue tiau, laksa dan bihun; (v) Ubat-ubatan Penting Nasional yang meliputi hampir 2,900 jenama ubat. Ubat-ubatan ini adalah bagi kegunaan rawatan untuk 30 jenis penyakit termasuk sakit jantung, kencing manis, darah tinggi, kanser dan rawatan kesuburan; (vi) Bahan bacaan seperti buku mewarna kanak-kanak, buku latihan dan rujukan, buku teks, kamus dan kitab agama; dan (vii) Surat khabar. 66. Selain itu, Kerajaan juga bersetuju menaikkan kadar penggunaan elektrik yang tidak dikenakan GST daripada 200 unit kepada 300 unit pertama. Ini bermakna, sebanyak 70 peratus isi rumah akan mendapat manfaat langsung. 67. Di samping itu, bagi memastikan pelaksanaan GST tidak membebankan rakyat, Kerajaan bersetuju supaya penjualan runcit minyak petrol RON95, diesel dan LPG diberikan pelepasan GST. Melalui langkah ini, pengguna dan kumpulan sasaran yang berkenaan tidak perlu membayar GST bagi pembelian petrol RON95, diesel dan LPG. Tuan Yang Dipertua, 68. Molek saya nyatakan di sini bahawa, daripada 944 barang dan perkhidmatan yang terdapat di dalam basket of goods, Indeks Harga Pengguna, 532 barang atau 56 peratus dijangka mengalami penurunan harga sehingga 4.1 peratus. Antara produk tersebut adalah ubat-ubatan, barangan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh, produk tekstil, barangan plastik seperti baldi dan pinggan mangkuk, kasut dan selipar, perabot rumah, lampin bayi, sabuil, daging, telur ayam, minyak masak, makanan laut, beras dan sayur-sayuran. 69. Manakala sekitar 354 jenis barang dan perkhidmatan yang akan mengalami kenaikan harga tidak melebihi 5.8 peratus. Apa yang penting, Kerajaan berharap para peniaga bersifat bertanggungjawab dengan tidak meningkatkan harga sehingga membebankan rakyat. Untuk memudahkan rakyat, Kerajaan akan mengeluarkan shoppers' guide bagi membolehkan mereka membuat perbandingan harga sebelum dan selepas GST. Tuan Yang Dipertua, 70. Perlu difahami baik-baik juga, sebenarnya, kesan langsung daripada pelaksanaan 88T, membolehkan Kerajaan mengurangkan beban cukai kepada rakyat seperti berikut: Pertama: Kepada individu dan isi rumah bagi tahun taksiran 2015 (i) Kadar cukai pendapatan individu akan dikurangkan satu hingga tiga mata peratusan. Melalui langkah ini, seramai 300 ribu orang yang kini membayar cukai pendapatan tidak lagi perlu membayar. (ii) Manakala, golongan berkeluarga yang berpendapatan empat ribu ringgit sebulan tidak lagi mempunyai tanggungan cukai. (iii) Cukai pendapatan individu juga akan distruktur semula di mana pendapatan bercukai pada kadar maksimum dinaikkan daripada melebihi 100 ribu ringgit kepada melebihi 400 ribu ringgit. Kadar cukai maksimum yang kini 26 peratus pula, dikurangkan kepada 24 peratus, 24.5 peratus dan 25 peratus. Justeru, pembayar cukai akan menikmati penjimatan bayaran cukai sekurang-kurangnya sebanyak 5.3 peratus. Kedua: Bagi tahun taksiran 2015, kadar cukai pendapatan koperasi juga dikurangkan satu hingga dua mata peratusan. Selain itu, yuran kesetiausahaan dan pemfailan cukai juga dibenarkan potongan cukai; Ketiga: Bagi tahun taksiran 2016, kadar cukai pendapatan syarikat dikurangkan satu mata peratusan daripada 25 peratus kepada 24 peratus; dan Keempat: Bagi tahun taksiran 2016, kadar cukai pendapatan syarikat kecil dan sederhana dikurangkan satu mata peratusan daripada 20 peratus kepada 19 peratus. Tuan Yang Dipertua, 71. Pada satu perspektif, pengalaman antarabangsa membuktikan, tahap kesediaan peniaga adalah salah satu faktor kejayaan pelaksanaan GST. Bagi membantu para peniaga, insentif dan bantuan berikut akan dilaksanakan: Pertama: Pemberian Geran latihan sebanyak 100 juta ringgit kepada peniaga untuk menghantar kakitangan menjalani latihan tentang GST; Kedua: Bantuan kewangan berjumlah 150 juta ringgit kepada PKS bagi pembelian perisian perakaunan; Ketiga: Kos pembelian peralatan dan perisian ICT diberi Elaun Modal Dipercepatkan; dan Keempat: Perbelanjaan latihan perakaunan dan ICT berkaitan GST diberi potongan cukai tambahan. Tuan Yang Dipertua, Tindakan ke-2: Merasionalisasi Subsidi 72. Kerajaan telah memperuntukkan 588 juta ringgit bagi pelbagai subsidi pada tahun 1994. Jumlah ini telah meningkat kepada 40.5 bilion ringgit pada tahun 2014. 73. Bagi menambah baik kedudukan kewangan awam, Kerajaan komited untuk melaksanakan langkah rasionalisasi subsidi, terutamanya subsidi petroleum. Langkah ini bertujuan mempastikan pemberian subsidi lebih bersasar serta mengurangkan ketirisan dan penyeludupan. Kerajaan akan memastikan langkah rasionalisasi subsidi dilaksanakan secara berperingkat bagi mempastikan ianya tidak membebankan rakyat. 74. Kini, lebih 21 bilion ringgit setahun diperuntukkan untuk membiayai subsidi petrol RON95, diesel dan gas memasak LPG. Kesannya, peruntukan subsidi telah meningkat lebih 14 kali ganda daripada 1.65 bilion ringgit tahun 2002 kepada 23.5 bilion ringgit tahun 2013, semata-mata untuk mengekalkan harga runcit petrol yang rendah. Ini disebabkan peningkatan jumlah kenderaan daripada 13.6 juta unit pada 2008 kepada 23.7 juta unit pada 2013 75. Oleh yang demikian, bagi mempastikan pemberian subsidi yang lebih bersasar dan mengambil kira kesedaran dan kesediaan rakyat terhadap langkah rasionalisasi subsidi, Kerajaan akan membangunkan satu mekanisme baru pemberian subsidi petroleum yang akan saya umumkan dalam masa terdekat. ORANG ramai tidak melepaskan peluang mengikuti pembentangan Bajet 2015 di pasar raya dekat Kuala Terengganu. - Foto Aswadi Alias ORANG ramai tidak melepaskan peluang mengikuti pembentangan Bajet 2015 di pasar raya dekat Kuala Terengganu. - Foto Aswadi Alias Tuan Yang Dipertua, Tindakan ke-3: Menyebar Luas Strategi Lautan Biru Kebangsaan 76. National Blue Ocean Strategy, telah menunjukkan keberkesanan pelaksanaan projek dan program Kerajaan. Untuk itu sebanyak 356 juta ringgit akan disediakan bagi tahun 2015, iaitu: Pertama: Membuka 4 buah lagl UTe di Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan dan Perlis serta 1 mini UTe di Kedah; dan Kedua: Mempergiatkan latihan peningkatan kemahiran atau upskilling kepada 5,000 pelatih melalui program 1Malaysia Skills and Employability Scheme bagi sektor awam dan 1Malaysia Training Centre bagi sektor swasta. Tuan Yang Dipertua, STRATEGI KETIGA: MENGUPAYA MODAL INSAN DAN KEUSAHAWANAN 77. Kontemporari ini, antara faktor yang menentukan kejayaan bagi sesebuah negara banyak bergantung kepada sumber manusianya. Kekayaan kini tidak lagi berasaskan kepada sumber 'bahan mentah' seperti petroleum, kelapa sawit atau sumber galian, semata-mata, tetapi juga merangkumi idea, kreativiti dan inovasi serta kemahiran insaniah, termasuklah ciptaan-ciptaan produk terkini, yang berupaya menjana ekonomi dan melahirkan usahawan-usahawan baharu. 78. Bagi maksud strategi ini dan falsafah modal insan, selaras dengan Ekonomi Keperluan Rakyat, adalah menjadi hasrat Kerajaan agar komponen gaji dalam KDNK ditingkatkan daripada takuk 34 peratus pada masa ini kepada 40 peratus daripada KDNK menjelang 2020. Tuan Yang Dipertua, Tindakan Pertama: Memantapkan Profesionalisme Perguruan dan Prestasi Sekolah 79. Sektor pendidikan negara akan terus diperkukuh selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Bagi tujuan ini, 56 bilion ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membiayai pelbagai program pengajaran dan pembelajaran. Ini termasuk penekanan akan diberikan kepada pemantapan sekolah-sekolah yang memerlukan bimbingan serta bantuan khusus. Justeru, peruntukan sebanyak 250 juta ringgit disediakan untuk menjayakan program Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah dan program Rakan Peningkatan Sekolah. Tindakan Ke-2: Mengupaya Program Sekolah Amanah dan Pembinaan Sekolah Baru 80. Kerajaan juga akan memperluaskan program Sekolah Amanah yang telah dimulakan pada tahun 2011. Setakat ini, 30 buah Sekolah Amanah telah diwujudkan yang memanfaatkan lebih 20 ribu pelajar dan 1,500 guru. Oi bawah program ini, Pengetua diberi kuasa autonomi dan akauntabiliti yang tinggi dalam menguruskan pentadbiran serta proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Justeru, pada tahun hadapan, Kerajaan bercadang untuk memperluaskan program ini ke 20 buah sekolah lagi di negeri Johor, Sarawak, Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan peruntukan 10 juta ringgit. 81. Di samping itu, Kerajaan juga akan membina 12 buah sekolah baru, iaitu 7 buah Sekolah Rendah, 3 buah Sekolah Menengah dan 2 buah Sekolah Berasrama Penuh di seluruh negara. Tindakan Ke-3: Mengarus Perdana Pendidikan Teknikal dan Vokasional 82. Menjelang tahun 2020, sekurang-kurangnya 46 peratus pekerjaan memerlukan kelayakan teknikal dan vokasional. Untuk itu, Kerajaan akan meningkatkan pengambilan pelajar di kolej vokasional dan kolej komuniti melalui program Transformasi Vokasional dan Teknik serta menaik taraf kolej. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan memperuntukkan 1.2 bilion ringgit. 83. Bersabit hal ini juga, buat masa ini bagi permohonan untuk mengambil jurusan di bawah Program Latihan Teknikal dan Vokasional atau TEVT, yang diterima oleh Kementerian Pendidikan jauh melebihi kemampuan tempat yang boleh disediakan, yakni lebih kurang 20 ribu. Jadinya, sebagai langkah untuk membuka lebih peluang bagi bidang ini, Kerajaan bersetuju meluluskan 100 juta ringgit dengan serta merta kepada Kementerian Pendidikan untuk menempatkan 10 ribu pelajar di kolej-kolej teknikal dan vokasional swasta. Di samping itu, 50 juta ringgit juga turut diperuntukkan kepada MARA bagi pelaksanaan Program TEVT. Tuan Yang Dipertua, 84. Sebagai dorongan kepada syarikat swasta pula, Kerajaan mencadangkan galakan cukai sedia ada ditambahbaik seperti berikut: Pertama: Potongan dua kali bagi maksud pengiraan cukai pendapatan diperluaskan kepada biasiswa untuk pelajar di peringkat pengajian pensijilan vokasional dan teknik; Kedua: Potongan dua kali bagi maksud pengiraan cukai pendapatan ke atas perbelanjaan syarikat dalam melaksanakan program internship berstruktur di peringkat diploma dan vokasional; dan Ketiga: Potongan tambahan bagi maksud pengiraan cukai pendapatan diberi ke atas perbelanjaan latihan yang ditanggung oleh majikan bagi pekerja untuk mendapatkan sijil dan kelayakan profesional yang diiktiraf. Tuan Yang Dipertua, Tindakan Ke-4: Membangunkan dan Menyelenggara Fasiliti Pendidikan 85. Dalam aspek keselamatan dan persekitaran pembelajaran pula, Kerajaan akan menyediakan 800 juta ringgit untuk tujuan ini dengan pecahan seperti berikut: • Sekolah Kebangsaan 450 juta ringgit; • Sekolah Jenis Kebangsaan Cina 50 juta ringgit; • Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil 50 juta ringgit; • Sekolah Mubaligh 50 juta ringgit; • Sekolah Berasrama Penuh 50 juta ringgit; • Sekolah Agama Bantuan Kerajaan 50 juta ringgit; • MRSM 50 juta ringgit; • Sekolah Pondok yang berdaftar 25 juta ringgit; dan Sekolah Menengah Kebangsaan Cina atau conforming school yang mengguna pakai kurikulum Kebangsaan diperuntukkan sebanyak 25 juta ringgit 86. Kerajaan juga sukacita mengumumkan supaya pembayaran kos bil elektrik dan air kepada semua Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan di bawah Kementerian Pendidikan, dapat dibayar sepenuhnya dengan siling sebanyak 5,000 ringgit sebulan, Ini berbeza dengan kuota 2,000 ringgit setiap sekolah sebelum ini. Tuan Yang Dipertua, Tindakan Ke-5: Menaja Pelajaran 87. Untuk Tahun 2015, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 3 bilion ringgit, di mana 1,9 bilion ringgit melalui tajaan JPA, sebanyak 759 juta ringgit kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dan 258 juta ringgit kepada Kementerian Kesihatan. Tindakan Ke-6: Memperluas Program MyBrain15 88. Kerajaan telah memperkenalkan program MyBrain15 untuk menghasilkan 60 ribu pemegang PhD menjelang tahun 2023, Setakat ini, Seramai 34,525 pelajar sedang mengikuti pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah melibatkan perbelanjaan lebih 386 juta ringgit Untuk tahun 2015, sebanyak 112 juta ringgit lagi akan diperuntukkan, MyBrain15 yang kini terbuka kepada sektor swasta, dicadangkan diperluas kepada penjawat awam dan kakitangan badan berkanun yang ingin melanjutkan pengajian secara separuh masa di institusi pengajian tinggi tempatan, Tindakan Ke-7: Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 89. Sejak penubuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional atau PTPTN pada 1997 sehingga kini, seramai 2,1 juta rakyat Malaysia telah mengambil pinjaman berjumlah 47.8 bilion ringgit. Namun demikian, setakat 31 Ogos 2014, hanya 5.36 bilion ringgit atau 46 peratus daripada 11.76 bilion ringgit telah dikutip. 90. Lebih menyedihkan, terdapat seramai 174 ribu peminjam, yang langsung tidak pernah membayar balik setakat 2010. Oleh itu, Kerajaan akan mengambil langkah baru yang setimpal dan sewajarnya kepada para peminjam ini. PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak merangkap Menteri Kewangan membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat di bangunan Parlimen di sini hari ini. - Foto Yazit Razali PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak merangkap Menteri Kewangan membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat di bangunan Parlimen di sini hari ini. - Foto Yazit Razali Tuan Yang Dipertua, 91. Hatta dalam Islam pun, melalui mafhum beberapa hadis sahih antaranya riwayat Muslim menyatakan bahawa, roh seorang mukmin itu tergantung-gantung dengan sebab berhutang, waima dosa orang mati syahid pun diampuni, melainkan hutangnya. 92. Berkait ini, harap ramai dapat mengambil iktibar. Jadinya, dalam usaha menggalakkan peminjam membuat bayaran balik, Kerajaan mencadangkan supaya 10 peratus rebat diberikan sekiranya peminjam membuat bayaran balik pinjaman secara berterusan selama 12 bulan sehingga 31 Disember 2015. Sebagai tambahan, tawaran diskaun 20 peratus diberikan kepada peminjam yang membuat penyelesaian secara sekali gus atau lump sum mulai hari ini sehingga 31 Mac 2015. 93. Sejak tahun 2005, golongan berpendapatan tidak melebihi 2,000 ringgit sebulan, yang menyimpan di dalam SSPN-i, telah menikmati pemberian geran sepadan. Justeru, bagi menggalakkan lebih ramai ibu bapa menjadi pendeposit untuk menikmati geran sepadan ini, Kerajaan mencadangkan supaya had pendapatan isi rumah pencarum dinaikkan kepada tidak melebihi 4,000 ringgit sebulan. Tuan Yang Dipertua, Tindakan Ke-8: Meningkat Kebolehpasaran Graduan 94. Sehingga kini, dianggarkan seramai 53 ribu graduan masih belum lagi mendapatkan pekerjaan setelah 6 bulan tamat pengajian. Untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan, Kerajaan mencadangkan supaya kurikulum dan program latihan kemahiran di institusi latihan kemahiran awam serta institusi pengajian tinggi dikaji semula. Untuk tujuan ini, Talent Corp akan menyediakan 30 juta ringgit bagi program Industry Academia Collaboration di mana, universiti, entiti Kerajaan dan industri bekerjasama membangunkan kurikulum program internship serta latihan industri. 95. Selain itu, keyakinan diri dan kemahiran graduan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris akan dipertingkatkan. Pada masa ini, syarat kemasukan am ke IPTA mengkehendaki pelajar mencapai tahap minimum di Band 1 dalam Malaysian University English Test atau MUET. Mulai tahun hadapan: (I) bagi kemasukan ke IPTA tahap minimum Band MUET ditingkatkan mengikut bidang pengajian seperti contoh berikut: a) Pengajian Sastera dan Sains Sosial -Band 2 b) Pengajian Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau STEM -Band 3 c) Pengajian Undang-undang & Perubatan -Band 4 (i1) sebagai syarat bergraduan pula, pelajar wajib mencapai: a) pengajian Sastera dan Sains Sosial -Band 3 b) Pengajian STEM -Band 4 c) Pengajian Undang-undang & Perubatan -Band 5 Saya juga ingin menyarankan IPTS melaksanakan langkah yang sama. Tuan Yang Dipertua, Tindakan Ke-9: Mensejahterakan Golongan Pekerja 96. Pada suku kedua 2014, jumlah pekerjaan adalah sebanyak 13.5 juta iaitu peningkatan lebih 1.6 juta pekerjaan berbanding tahun 2010. Bagi memastikan kebajikan pekerja terus terbela: (i) Akta Kerja 1955 dan akta perburuhan yang berkaitan akan dikaji semula yang termasuk terma dan syarat pekerjaan, pelantikan dan pemberhentian, waktu bekerja yang fleksibel serta faedah penamatan kerja; (H) Portal JobsMalaysia akan ditambahbaik bagi memenuhi keperluan pasaran tenaga kerja yang semakin dinamik; (iii) Kerajaan akan memperkenalkan Sistem Insurans Pekerjaan bertujuan membantu golongan pekerja yang diberhentikan melalui pemberian bantuan saraan sementara serta peluang latihan semula atau reskilling and upskilling; dan (iv) Menyediakan latihan teknikal dan bantuan pendidikan kepada golongan bella India terutama dari keluarga kurang berkemampuan dengan peruntukan 30 juta ringgit. 97. Pada tahun 2011, Skim Latihan 1Malaysia atau SL1M telah berjaya mendapatkan pekerjaan kepada lebih 45 ribu graduan dari kalangan isi rumah berpendapatan rendah dan luar bandar. Kerajaan telah menyokong usaha CSR oleh majikan dalam pelaksanaannya melalui galakan potongan dua kali kepada syarikat bagi maksud pengiraan cukai pendapatan sehingga 31 Disember 2016. Saya mencadangkan galakan cukai ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020. Tuan Yang Dipertua, Tindakan Ke-10 : Globally Recognised Industry and Professional Certification atau 1MalaysiaGRIP 98. Bagi memperhebatkan program upskilling dan reskilling, Kerajaan akan memperkenalkan satu program baru, iaitu Globally Recognised Industry and Professional Certification atau 1MalaysiaGRIP dengan peruntukan sebanyak 300 juta ringgit secara matching grant antara Kerajaan dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad bagi melatih seramai 30 ribu pekerja. Tindakan Ke-11 : Program Latihan Kemahiran 99. Kerajaan akan meningkatkan program latihan .kemahiran di institusi latihan kemahiran Jabatan Tenaga Kerja atau JTK. Program latihan ini akan melibatkan pelajar lepasan Sijil Kemahiran Malaysia, graduan universiti atau kolej serta pekerja industri terutama pekerja separuh mahir. Bagi mengoptimumkan 32 institusi latihan JTK, Kerajaan akan mengoptimumkan kapasiti latihan double shift bagi program sepenuh masa melibatkan 176 kursus yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan. Pengambilan pelajar sebanyak 2 kali setahun dianggarkan melibatkan 48 ribu dalam tempoh 5 tahun pelaksanaannya dengan peruntukan 570 juta ringgit. Tindakan Ke-12: Syarikat Permulaan atau Start-up 100. Kerajaan berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi tumpuan bagi Syarikat Permulaan atau Start-up di rantau ini. Salah satu usaha adalah penubuhan MaGIC bagi mewujudkan ekosistem yang lebih kondusif untuk memudah cara syarikat Start-up memulakan perniagaan. Justeru, bagi menarik lebih ramai usahawan ekspatriat syarikat Start-up beroperasi di Malaysia, dicadangkan kriteria khas Modal Berbayar syarikat Start-up ditetapkan sebanyak 75 ribu ringgit. Usahawan ekspatriat Start-up yang layak akan diberi Startup Work Pass untuk tempoh satu tahun. Tuan Yang Dipertua, STRATEGI KEEMPAT: MEMPERKASA AGENDA BUMIPUTERA 101. Sejak Merdeka, semua perancangan serta dasar ekonomi Melayu dan Bumiputera oleh pihak Kerajaan telah digubal berasaskan perhitungan komposisi masyarakat majmuk tersebut. Secara prinsipnya, perkara dan amalan ini telah diterima pakai sebagai satu kontrak sosial sejak sekian lama oleh seluruh rakyat Malaysia, dilindungi, dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan. 102. Makanya, Melayu dan Bumiputera sebagai teras kepada agenda nasional tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Sesungguhnya, sebarang prakarsa bersifat nasional yang tidak mengambil kira atau mengabaikan agenda Melayu serta Bumiputera sama ada Islam mahupun bukan Islam, adalah tidak adil dan tidak saksama. 103. Hatta, sejarah telah membuktikan sejak puluhan tahun dilaksanakan, bukan sahaja orang Melayu dan Bumiputera, bahkan semua rakyat Malaysia berkongsi nikmat, meraih manfaat bersama, hasil daripada pembangunan ekonomi negara. Jelasnya, ini telah kita lakukan bukanlah dengan mengambil, atau menidakkan hak sesiapa, tetapi sebenarnya melalui penciptaari kekayaan baru dan penjanaan pertumbuhan ekonomi yang mampan. Apatah lagi menjelang 2020, jumlah Melayu dan Bumiputera, Islam dan Bukan Islam, akan mencapai lebih 70 peratus. Tuan Yang Dipertua, Tindakan Pertama: Meningkatkan Pemilikan Ekuiti Bumiputera 104. Dalam konteks pemilikan ekuiti syarikat korporat, masyarakat Bumiputera masih belum mencapai sasaran 30 peratus. Sementara itu, effective control ke atas syarikat korporat terkini, hanyalah pada sekitar 10 peratus. Lantaran itu, Kerajaan menerusi EKUINAS akan diperuntukkan 600 juta ringgit bagi meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam syarikat-syarikat swasta mahupun GLC. Sehingga kini, EKUINAS telah melaksanakan pelaburan kumulatif bernilai 2.3 bilion ringgit dalam pelbagai sektor. Tindakan Ke-2: Memantapkan Keusahawanan Bumiputera 105. Bagi melahirkan usahawan-usahawan Bumiputera, beberapa inisiatif telah dirancang: Pertama: Memperkukuh peranan Institut Keusahawanan Negara atau INSKEN sebagai Pusat Kecemerlangan Keusahawanan Burniputera; Kedua: Merancakkan lagi program Skim Usahawan Permulaan Bumiputera atau SUPERB dengan peruntukan tambahan sebanyak 30 juta ringgit. Program ini juga akan diperluaskan penyertaannya kepada usahawan di Sabah dan Sarawak; Ketiga: Memperkenalkan program pre-eksport untuk syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi atau TERAS bagi meningkatkan penjenamaan, pensijilan antarabangsa, dan market survey keluaran Bumiputera. Program ini mensasarkan 60 syarikat TERAS yang dapat meningkatkan kapasiti dan menembusi pasaran antarabangsa; dan Keempat: Memperluaskan program carve-out and compete secara meritokrasi meliputi projek Kerajaan dan penswastaan, termasuk projek MRT jajaran kedua dan Lebuhraya Pan Borneo. Tindakan Ke-3: PKS Bumiputera 106. Bagi PLS Bumiputera pula, antara inisiatif-inisiatif khusus yang akan dilaksanakan melalui Bajet 2015 adalah seperti berikut: Pertama Lembaga Tabung Haji akan memperuntukkan 200 juta ringgit bagi penubuhan Akaun Pelaburan Terhad patuh syariah di Bank Islam. Tujuan akaun ini adalah bagi menyedia kemudahan pembiayaan dan kredit yang bernilai antara 50 ribu hingga 1 juta ringgit mulai Januari 2015; dan Kedua: Amanah Ikhtiar Malaysia atau AIM akan menggunakan sumber dalaman berjumlah 1.8 bilion ringgit untuk menyediakan pembiayaan yang dapat memanfaatkan 346 ribu sahabat AIM. Tindakan Ke-4: Membangunkan Modal Insan Bumiputera 107. Sebagai sebuah institusi unggul Bumiputera, MARA perlu terus diperteguhkan. Pastinya, antara aspek yang terpenting ialah Pembangunan Modal Insan. la merupakan salah satu pelengkap bagi Memperkasa Agenda Bumiputera. Dalam hal ini Kerajaan telah menyediakan inisiatif-inisiatif berikut: Pertama: 2 bilion ringgit diperuntukkan menerusi MARA kepada pelajar Bumiputera yang layak untuk tajaan pelajaran; Kedua: 72 juta ringgit akan digunakan oleh Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera dalam pelaksanaan 3 program dalam bentuk biasiswa, latihan dan bantuan kewangan yang keseluruhannya melibatkan 5 ribu orang; dan Ketiga: Menubuhkan Pusat Perakaunan Profesional di Universiti Teknologi Mara dengan kerjasama Institut Akauntan Malaysia. Tuan Yang Dipertua, 108. Sememangnya, Kerajaan sentiasa mengambil berat dan amat prihatin dalam membangun dan membela nasib rakyat di Sabah dan Sarawak dalam agenda pembangunan negara. 109. Sehubungan itu, sebagaimana Projek Lebuhraya Utara-Selatan telah mentransformasikan pembangunan dari Perlis ke Johor, Kerajaan akan mula membina Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 1,663 kilometer melibatkan jajaran Sarawak sepanjang 936 kilometer dan jajaran Sabah sepanjang 727 kilometer dengan kos pembinaan sebanyak 27 bilion ringgit. 110. Menerusi NBOS pula, satu lagi mini UTC dan RTC masing-masing di Sabah dan Sarawak akan dibuka bagi memudahkan urusan masyarakat di pedalaman dan bandar. 111. Membina Klinik Kesihatan di Tenom, Sabah dan di Lubok Antu, Sarawak, serta menaik taraf kemudahan di Hospital Tawau. Kerajaan akan turut menyediakan perkhidmatan perubatan nuklear dan radioterapi bagi merawat pesakit kanser di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Likas Sabah. Tuan Yang Dipertua, 112. Negeri Sabah merupakan negeri yang mempunyai pesisiran pantai yang panjang dan luas. Justeru, bagi memperkukuhkan keselamatan di kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah atau ESSZONE, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah atau ESSCOM diperuntukkan 660 juta ringgit. 113. Dua batalion melibatkan satu batalion PGA PDRM dan satu batalion Tentera Darat dengan jumlah anggota baru seramai 1,280 anggota telah diluluskan. Dua buah kem juga akan dibina di ESSZONE iaitu Kem Batalion 20 PGA di Beluran dan Kem ATM di Felda Sahabat, Lahad Datu, Sabah. 114. Di samping itu, kelengkapan operasi pertahanan dan keselamatan akan ditambah baik. Antaranya perolehan sistem radar pengawasan yang berkeupayaan tinggi. Kerajaan juga akan menggunakan satu pelantar minyak yang diubahsuai dan sebuah kapal auxiliary sebagai Sea Basing di perairan ESSZONE dengan peruntukan sebanyak 230 juta ringgit melalui program CSR Petronas. 115. Sebagai tambahan, untuk membolehkan pesawat berkeupayaan tinggi mendarat, Kerajaan akan memanjangkan landasan lapangan terbang di Lahad Datu dan perpindahan Skuadron Hawk dari Butterworth ke Labuan, dengan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit. 116. Kerajaan juga akan menempatkan semua perkampungan-perkampungan air seperti di Semporna dan Sandakan secara berperingkat. Kerajaan berharap dengan inisiatif ini, keselamatan rakyat Malaysia di Sabah akan terus terjamin dan aktiviti ekonomi akan terus rancak. JURURAWAT (dari kiri) Eramasita Burhanuddin bersama Siti Nurhafizah Mohd Amin dan Iza Amira Ismail menonton secara langsung pembentangan Bajet 2015 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah. - Foto Danial Noordin JURURAWAT (dari kiri) Eramasita Burhanuddin bersama Siti Nurhafizah Mohd Amin dan Iza Amira Ismail menonton secara langsung pembentangan Bajet 2015 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah. - Foto Danial Noordin Tuan Yang Dipertua, 117. Sebagai Memperkukuh Rantaian Bekalan Makanan di Sabah dan Sarawak, julung-julung kalinya subsidi padi bukit diperkenalkan dengan peruntukan sebanyak 70 juta ringgit. Bantuan ini akan memberi manfaat kepada kawasan penanaman seluas 76,000 hektar. 118. Hakikatnya, Kerajaan amat mementingkan kesejahteraan rakyat, terutama yang melibatkan aspek kos sara hidup seharian mereka. Justeru, Kerajaan akan berusaha untuk terus menyeimbangkan harga barang keperluan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak melalui langkah-langkah berikut: Pertama: 262 juta ringgit bagi membiayai kos pengangkutan dan penguatkuasaan kawalan harga barangan keperluan harian terutamanya di Sabah dan Sarawak; dan Kedua: Tambahan 2 buah KR1M di Sabah menjadikan jumlah 16 buah dan 3 buah lagi di Sarawak menjadikan 19 buah. Sesungguhnya, agenda pembelaan nasib rakyat di Sabah dan Sarawak, Agi Idup Agi Ngelaban, akan tatap kita perjuangkan. Tuan Yang Dipertua, STRATEGI KELIMA: MEMARTABAT PERANAN WANITA 119. Sesungguhnya wanita sangat istimewa. Keunikan mereka bukan sekadar penyeri kepada sesebuah keluarga, malahan menjadi penyuluh dalam mengatasi banyak permasalahan kehidupan. Bahkan wanita itulah tulang belakang pembangunan negara. Sesuai dengan itu, Kerajaan sentiasa mengambil berat dalam memastikan mereka terus berperanan dalam mewarnai negara dan generasi mendatang. 120. Pada masa ini, pekerja wanita hanya mewakili 38 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja di negara ini. Bagi meningkatkan sumbangan wanita dalam pembangunan negara, Kerajaan akan menumpukan kepada usaha mempergiatkan penglibatan wanita dalam pasaran kerja dan aktiviti keusahawanan, Atas tujuan ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, diperuntukkan sejumlah 2,26 bilion ringgit bagi pembangunan dan operasi. Antaranya program-programnya termasuklah: Pertama: Memperkukuh Program Pengarah Wanita bagi mencapai 30 peratus penglibatan wanita dalam kumpulan pembuat keputusan, Kerajaan merancang untuk melatih 125 orang bakal pengarah wanita untuk mengisi jawatan sebagai ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan Kerajaan dan swasta, Saya menyeru syarikat milik Kerajaan dan swasta memberi peluang kepada lebih ramai wanita profesional menjadi ahli lembaga pengarah; Kedua: Menambah baik peluang wanita untuk kembali ke pasaran kerja melalui program 1Malaysia Support for Housewife yang menitikberatkan latihan kemahiran dan galakan suri rumah; dan Ketiga: Talent Corp akan mewujudkan Program Women Career Comeback untuk wanita profesional kembali ke pasaran pekerjaan berdasarkan kelayakan profesional. 121. Kerajaan juga sentiasa peka terhadap kesejahteraan golongan wanita terutamanya dari aspek keselamatan, Sehubungan itu, Kerajaan akan membeli premis Rumah Perlindungan Khas Wanita mengikut zon wilayah timur, utara dan tengah, Selain itu, bagi memberi peluang kepada ibu tunggal yang berminat dalam keusahawanan, Kerajaan akan meneruskan Program Kemahiran Inkubator Ibu Tunggal atau I-KIT, Program Inkubator Keusahawanan Wanita dan Program Teras Pembangunan Wanita, 122. Seterusnya, susulan daripada pembiayaan keseluruhan yang disediakan di bawah AIM, usahawan wanita India akan diberi peruntukan khusus sebanyak 30 juta ringgit. 123. Selain itu, bagi Penjawat Awam, Kerajaan bersetuju menambah baik kemudahan Cuti Menjaga Anak dengan meminda syarat pemberian supaya tidak terikat dengan tempoh Cuti Bersalin berkuat kuasa 1 Januari 2015. Kemudahan ini terhad untuk tempoh satu tahun dan diperluaskan kepada pegawai wanita yang mempunyai anak tiri tanggungan, anak angkat yang diambil mengikut undang-undang, anak pelihara dan anak kurang upaya. 124. Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menggalakkan penubuhan lebih banyak pusat penjagaan kanak-kanak di premis pejabat swasta, garis panduan sedia ada akan dipinda. Mulai Januari 2015, Kerajaan akan membenarkan majikan mengendalikan pusat penjagaan kanak-kanak melebihi tingkat dua, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Tuntasnya, apa yang dilakukan oleh Kerajaan ini, sudah tentu mampu mengangkat martabat wanita, dalam berperanan aktif di persada negara. Tuan Yang Dipertua, STRATEGI KEENAM: MEMBANGUN PROGRAM TRANSFORMASI BELIA NEGARA 125. Bagi saya belia bukan sekadar harapan bangsa, tidak hanya setakat aset atau rakan kongsi kepada pembangunan negara, malah nilaian belia adalah lebih daripada kesemuanya itu. Bertolak daripada itu, Kerajaan prihatin kepada kehidupan generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan dan memikul amanah demi kemajuan dan kemakmuran masa depan Malaysia yang kita cintai ini. Pelan Transformasi Selia Negara 126. Bagi mencapai hasrat ini, Kerajaan akan melancarkan Pelan Transformasi Belia Negara. Bagi menjayakan pelbagai program belia, sebanyak 320 juta ringgit diperuntukkan untuk tujuan berikut: Pertama: Mengkaji semula Program Latihan Khidmat Negara atau PLKN dan satu konsep baru yang menjalinkan keperluan kemahiran dan kenegaraan akan diperkenalkan dalam sedikit masa lagi; Kedua: Menambahbaik program Rakan Muda dan memperkenalkan program Kem Uniti; Ketiga: Mengukuhkan aspek kepimpinan belia melalui pengenalan program Akademi Kepimpinan Belia untuk mengasah bakat kepimpinan di kalangan Selia Malaysia; Keempat: Mempergiatkan program kesukarelawan belia melalui 1M4U dan memperkenalkan program MyCorp. Program MyCorp melibatkan belia menjalankan aktiviti sukarela kebajikan dan sosio ekonomi di peringkat antarabangsa dengan peruntukan 10 juta ringgit; Kelima: Menggilap bakat keusahawanan di kalangan belia melalui Program MaGIC, SME Bank dan Agro Bank serta memperkenalkan Online Resource Centre dan menganjur persidangan keusahawanan sosial antarabangsa; Keenam: Melaksanakan Program Agropreneur Muda oleh FAMA yang melibatkan 1,200 orang belia dengan sasaran pendapatan melebihi 5,000 ringgit sebulan; dan Ketujuh: Meningkatkan keupayaan dan kemahiran belia melalui Program Transformasi IKBN dan Program Coding Bootcamp serta program Projek Angkat Dan Upaya atau PADU. 124. Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menggalakkan penubuhan lebih banyak pusat penjagaan kanak-kanak di premis pejabat swasta, garis panduan sedia ada akan dipinda. Mulai Januari 2015, Kerajaan akan membenarkan majikan mengendalikan pusat penjagaan kanak-kanak melebihi tingkat dua, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Tuntasnya, apa yang dilakukan oleh Kerajaan ini, sudah tentu mampu mengangkat martabat wanita, dalam berperanan aktif di persada negara. Tuan Yang Dipertua, STRATEGI KEENAM: MEMBANGUN PROGRAM TRANSFORMASI BELIA NEGARA 125. Bagi saya belia bukan sekadar harapan bangsa, tidak hanya setakat aset atau rakan kongsi kepada pembangunan negara, malah nilaian belia adalah lebih daripada kesemuanya itu. Bertolak daripada itu, Kerajaan prihatin kepada kehidupan generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan dan memikul amanah demi kemajuan dan kemakmuran masa depan Malaysia yang kita cintai ini. Pelan Transformasi Selia Negara 126. Bagi mencapai hasrat ini, Kerajaan akan melancarkan Pelan Transformasi Belia Negara. Bagi menjayakan pelbagai program belia, sebanyak 320 juta ringgit diperuntukkan untuk tujuan berikut: Kedua: Menambahbaik program Rakan Muda dan memperkenalkan program Kem Uniti; Ketiga: Mengukuhkan aspek kepimpinan belia melalui pengenalan program Akademi Kepimpinan Belia untuk mengasah bakat kepimpinan di kalangan Selia Malaysia; Keempat: Mempergiatkan program kesukarelawan belia melalui 1M4U dan memperkenalkan program MyCorp. Program MyCorp melibatkan belia menjalankan aktiviti sukarela kebajikan dan sosio ekonomi di peringkat antarabangsa dengan peruntukan 10 juta ringgit; Kelima: Menggilap bakat keusahawanan di kalangan belia melalui Program MaGIC, SME Bank dan Agro Bank serta memperkenalkan Online Resource Centre dan menganjur persidangan keusahawanan sosial antarabangsa; Keenam: Melaksanakan Program Agropreneur Muda oleh FAMA yang melibatkan 1,200 orang belia dengan sasaran pendapatan melebihi 5,000 ringgit sebulan; dan Ketujuh: Meningkatkan keupayaan dan kemahiran belia melalui Program Transformasi IKBN dan Program Coding Bootcamp serta program Projek Angkat Dan Upaya atau PADU. Tuan Yang Dipertua 1Malaysia Youth City 127. Kerajaan juga berhasrat supaya satu ekosistem komprehensif yang disertai belia dapat disediakan untuk meningkatkan keupayaan dan memajukan diri dalam pekerjaan dan keusahawanan serta dapat menikmati kemudahan perumahan dan rekreasi. Untuk ini, Kerajaan akan mewujudkan 1Malaysia Youth City dengan peruntukan 100 juta ringgit bagi membiayai tiga projek perintis di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Skim Perumahan Belia atau Youth Housing Scheme 128. Bila mengupas ehwal belia juga, pemilikan rumah merupakan satu isu besar khususnya soal harga rumah dan keboleh biayaan. Menyedari permasalahan ini, sukacita saya mengumumkan Skim Perumahan Belia atau Youth Housing Scheme secara perkongsian pintar di antara Kerajaan, Bank Simpanan Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Cagamas. 129. Skim ini menawarkan pemilikan rumah pertama yang bernilai tidak melebihi 500• ribu ringgit, kepada belia berkahwin berumur 25 hingga 40 tahun serta mempunyai pendapatan isi rumah tidak melebihi 10 ribu ringgit. Tempoh pembiayaan maksimum adalah 35 tahun. 130. Di bawah skim ini, sebanyak 200 ringgit sebulan diberikan oleh Kerajaan untuk tempoh 2 tahun pertama bagi mengurangkan beban ansuran bulanan pinjaman perumahan. Pengecualian sebanyak 50 peratus duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman juga diberi. 131. Lebih menarik, Kerajaan turut menyediakan jaminan pinjaman sebanyak 10 peratus, bagi membolehkan peminjam mendapatkan pembiayaan penuh termasuk kos insuran. Peminjam juga boleh mengeluarkan wang daripada Akaun 2 KWSP mereka untuk menampung pembayaran ansuran bulanan dan kos lain yang berkaitan. 132. Oleh itu, saya menyeru golongan belia supaya merebut peluang ini yang ditawarkan secara "first come first served basis" untuk 20,000 unit rumah sahaja. Tuan Yang Dipertua, Blueprint Negara Bersukan atau Sporting Nation 133. Pada aspek lain, Kerajaan akan mengambil langkah bersepadu ke arah mentransformasikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan. Untuk ini, Kerajaan akan merealisasikan Blueprint Negara Bersukan atau Sporting Nation. Bagi mencapai hasrat ini, Kerajaan memperuntukkan 103 juta ringgit bagi melaksanakan langkah-Iangkah berikut; Pertama: Mempastikan kelestarian dan kesinambungan bakat sukan bermula daripada peringkat sekolah rendah melalui Program Malaysian Talent Identification. Program ini melibatkan pengujian, saringan dan pengkhususan bakat di kalangan pelajar sekolah; Kedua: Meningkatkan mutu sukan berprestasi tinggi untuk enam bidang sukan terpilih dalam fasa pertama iaitu Bola Sepak, Berbasikal, Badminton, Sepak Takraw, Renang dan Olahraga; Ketiga: Menyemarakkan Program FitMalaysia yang menumpukan kepada kecergasan fizikal; dan Keempat: Menyambut Hari Sukan Negara pada hari Sabtu pertama dalam bulan November pada setiap tahun dengan penglibatan sektor awam, swasta dan rakyat secara serentak dl seluruh negara. Tuan Yang Dipertua, STRATEGI KETUJUH: MENSEJAHTERA RAKYAT 134. Sebenarnya, kemakmuran sesebuah negara bergantung juga kepada kemampuannya untuk menyediakan tahap kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh. Bantuan Persekolahan 135. Sebagai langkah meringankan beban perbelanjaan awal persekolahan yang ditanggung oleh ibu bapa dan penjaga pelajar, khususnya golongan berpendapatan rendah, Kerajaan akan meneruskan bantuan persekolahan. Bantuan sebanyak 100 ringgit seorang, akan disalurkan mulai Januari tahun depan kepada seramai 5.4 juta pelajar, sekolah rendah dan menengah dengan peruntukan sebanyak 540 juta ringgit. Program Baucar Buku 1Malaysia 136. Selanjutnya, bagi tujuan pembelian buku-buku rujukan dan peralatan pengajian, Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan Program Baucar Buku 1Malaysia dengan kadar bantuan 250 ringgit seorang. Program ini diperuntukkan sejumlah 325 juta ringgit dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1.3 juta pelajar. Tuan Yang Dipertua, Memperkukuh Rantaian Bekalan Makanan 137. Bagi Memperkukuh Rantaian Bekalan Makanan, di samping membantu petani, penternak dan nelayan menambah pendapatan, Kerajaan memperuntukkan sejumlah 6 bilian ringgit kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Antaranya inisiatif yang akan dilaksanakan ialah: Pertama: Mulai tahun 2015 sehingga 2017, Kerajaan akan membuka 65 buah Pasar Tani Kekal dan 50 buah Pasar lkan yang beroperasi setiap hari di beberapa lokasi terpilih. Setakat ini terdapat 526 pasar tani dan 50 pasar ikan di seluruh negara; Kedua: Memperkenalkan program lelongan sayur-sayuran berkualiti dengan harga berpatutan, setiap minggu di 85 lokasi Pusat Operasi Urusniaga FAMA dan pasar tani terpilih di seluruh negara; Ketiga: Merancakkan penanaman dan tanaman semula pokok buah-buahan seperti durian, manggis, langsat, rambutan serta memperhebatkan Program Jom Bertani supaya rakyat mengusahakan tanaman kontan dan sayur-sayuran untuk kegunaan sendiri; dan Keempat: Menyediakan geran pemadanan sebanyak 100 juta ringgit kepada Lembaga Pertubuhan Peladang untuk membolehkan ahli-ahlinya membuat pinjaman bagi meningkatkan produktiviti ladang dan rangkaian pemasaran. 138. Selain itu, Kerajaan akan mempergiatkan empat Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu di Rompin, Batang Lupar, Kota Belud dan Pekan yang melibatkan kawasan tanaman padi seluas 25,905 hektar. Bagi tujuan ini, sebagai permulaan, Kerajaan memperuntukkan 100 juta ringgit. Tuan Yang Dipertua, Pembangunan dan Kebajikan Nelayan 139. Semua lapisan rakyat, tidak kira di mana, adalah penting. Kerajaan amat prihatin tentang pembangunan dan kebajikan nelayan yang sentiasa menghadapi pelbagai cabaran hidup. Dalam menangani masalah pendapatan nelayan yang tidak menentu terutamanya ketika musim tengkujuh, serta persekitaran perkampungan nelayan yang tidak selesa, Kerajaan akan: Pertama: Menaikkan elaun sara hidup nelayan Zon A kepada 300 ringgit daripada 200 ringgit sebulan. Bagi nelayan Zon B dan C, elaun sara hidup dinaikkan kepada 250 ringgit sebulan; Kedua: Bagi nelayan darat sepenuh masa, buat pertama kalinya akan diberi elaun 200 ringgit sebulan. Pemberian elaun ini melibatkan lebih 44 ribu nelayan; Ketiga: Mempergiatkan lagi aktiviti akuakultur seperti ternakan ikan, udang, kupang dan tiram dalam sangkar bagi mempelbagaikan sumber pendapatan nelayan yang terjejas terutama di musim tengkujuh. Untuk ini, sebanyak 60 juta ringgit diperuntukkan; dan Keempat: Memasang Automatic Identification System ke atas bot-bot nelayan untuk meningkatkan hasil tangkapan ikan, memastikan kedudukan bot nelayan berdasarkan zon tangkapan dan mengurangkan kos operasi. Untuk tujuan ini, 27 juta ringgit diperuntukkan. 140. Dalam Bajet 2012, saya telah mengumumkan peruntukan sebanyak 300 juta ringgit untuk Projek Khas Perumahan Nelayan bagi membaik pulih dan membina rumah nelayan. Sebagai meneruskan usaha murni ini, sukacita saya mengumumkan tambahan 250 juta ringgit untuk projek perumahan nelayan dan bagi menyempurnakan lagi perkampungan nelayan. PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak merangkap Menteri Kewangan membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat di bangunan Parlimen di sini hari ini. - Foto Yazit Razali PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak merangkap Menteri Kewangan membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat di bangunan Parlimen di sini hari ini. - Foto Yazit Razali Tuan Yang Dipertua, Program Penyeragaman Harga dan Kedai Rakyat 1Malaysia 141. Kerajaan amat komited melaksanakan beberapa inisiatif termasuklah program penyeragaman harga, pemberian subsidi pengangkutan dan pembukaan lebih banyak Kedai Rakyat 1Malaysia. Untuk itu, antara langkah yang akan dilaksanakan oleh KPDNKK adalah: Pertama: Menambah 20 buah lagi Kedai Rakyat 1Malaysia atau KR1M di Semenanjung; Kedua: Mewujudkan dan memberi peruntukan kepada kumpulan pemantau harga atau price watch team dari kalangan persatuan pengguna; dan Ketiga: Memperkukuhkan Unit Penguatkuasaan GST dengan 2,270 anggota, Unit Pemantauan Harga seramai 1,300 anggota dan Skuad Pengguna seramai 202,800 sukarelawan serta penglibatan 579 penghulu dan penggawa. Tuan Yang Dipertua, Mempertingkatkan Sistem Pengangkutan Awam 142. Bagi mempertingkatkan sistem pengangkutan awam pula, Kerajaan akan memperkenalkan beberapa program berikut: Pertama: Menyediakan perkhidmatan bas antara bandar kepada penduduk yang menetap di luar tetapi bekerja di Kuala Lumpur. Kemudahan ini menawarkan tambang bulanan pada kadar diskaun 30 peratus. Sebagai permulaan, 3 laluan bas akan beroperasi iaitu Rawang-KL; Klang-KL dan Seremban-KL; Kedua: Menyediakan perkhidmatan Electric Train Service atau ETS Ipoh-Butterworth bermula pada April 2015; dan Ketiga: Menambahbaik Perkhidmatan Bas Berhenti-henti di beberapa ibu negeri melalui sistem kontrak dengan syarikat bas sedia ada. Pelaksanaan program ini adalah secara berperingkat dan akan melibatkan Bandaraya Kuching, Ipoh, Seremban, Kuala Terengganu dan Kangar. Tuan Yang Dipertua, Bantuan Khas Kepada Pekebun Kecil Getah dan Kelapa Sawit 143. Baru-baru ini Kerajaan telah memberi bantuan khas sebanyak 500 ringgit seeara one-off kepada pekebun keeil getah yang terjejas akibat kejatuhan harga getah. Lembaga Getah Malaysia atau LGM akan memperuntukkan 100 juta ringgit bagi melaksanakan mekanisme kawal selia harga di peringkat ladang untuk melindungi pekebun kecil daripada mengalami kerugian terutamanya sewaktu harga pasaran dunia lebih rendah daripada harga minimum yang ditetapkan. LGM akan turut menyediakan pinjaman mudah berjumlah 6.4 juta ringgit sebagai modal pusingan kepada 64 buah koperasi pekebun kecil bagi membeli getah terus daripada kira-kira 442,000 pekebun kecil getah di seluruh negara. 144. Bagi pekebun keeil kelapa sawit pula, Kerajaan akan meneruskan insentif untuk penanaman baru dan penanaman semula dengan peruntukan sebanyak 41 juta ringgit. Di samping itu, pengecualian duti eksport minyak sawit mentah atau CPO akan dilanjutkan sehingga bulan Disember 2014. Tuan Yang Dipertua, Perkhidmatan dan Kemudahan Kesihatan 145. Bagi perkhidmatan dan kemudahan kesihatan rakyat, Kerajaan akan memperuntukkan 23.3 bilion ringgit untuk pelaksanaan inisiatif berikut: Pertama: Membina dua buah hospital iaitu Hospital Dungun di Terengganu dan Hospital Seri Iskandar di Perak. Membina 20 Klinik Kesihatan dan 4 Klinik Pergigian antaranya di Klinik Kesihatan di Kuala Lipis, Pahang, dan Klinik Pergigian di Kluang, Johor; Kedua: Menambah 30 Klinik 1Malaysia yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 290 buah di seluruh negara dan membina sebuah Klinik Kesihatan di Cyberjaya. Kerajaan juga akan menempatkan 30 orang doktor perubatan di 30 Klinik 1Malaysia; Ketiga: Mengganti 635 unit mesin hemodalisis di hospital dan klinik Kerajaan dengan peruntukan sebanyak 30 juta ringgit. Bagi menggalakkan penglibatan sektor swasta, Kerajaan akan menyediakan ruang di hospital dan klinik kesihatan Kerajaan untuk menempatkan 244 buah mesin hemodalisis lagi yang akan disumbangkan oleh sektor swasta dalam memenuhi tanggungjawab sosial korporat mereka; dan Keempat: Menyediakan ubat-ubatan bagi pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis kronik dan akut dengan peruntukan sebanyak 45.4 juta ringgit. 146. Pada masa ini, perbelanjaan perubatan penyakit serius seperti kanser, kegagalan buah pinggang dan serangan jantung telah diberi pelepasan cukai sehingga 5,000 ringgit. Bagi meringankan tanggungan kos rawatan dan perubatan penyakit serius ini, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai ini ditingkatkan kepada 6,000 ringgit. Pelepasan cukai ini bukan sahaja untuk pembayar cukai itu sendiri tetapi juga meliputi pasangan dan anak. 147. Mutakhir ini, penularan wabak demam denggi semakin serius. Bagi mengekang penularan wabak berkenaan, program pencegahan denggi akan dipertingkatkan, melalui kesedaran komuniti dan perolehan peralatan pencegahan denggi seperti re-agen, Ultra Low Volume dan Mist Blower. Di samping itu, Kerajaan akan mengagihkan sebanyak 55 ribu test kit denggi kepada semua klinik swasta untuk mempercepatkan proses pengesanan awal denggi secara percuma. Untuk itu, sebanyak 30 juta ringgit diperuntukkan. Tuan Yang Dipertua, Kesejahteraan Wanita, Keluarga dan Masyarakat 148. Kerajaan amat prihatin terutama kepada golongan yang memerlukan. Selaras dengan ini, Kerajaan memperuntukkan sebanyak 2.2 bilion ringgit kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk melaksanakan program berikut: Pertama: Menyediakan 1.2 bilion ringgit bantuan kewangan kepada keluarga miskin, kanak-kanak, warga emas dan Orang Kelainan Upaya atau OKU. Untuk menunjukkan keprihatinan kepada golongan ini, Kerajaan bersetuju kadar bantuan bagi OKU bekerja dinaikkan daripada 300 ringgit kepada 350 ringgit manakala bagi OKU tidak bekerja dinaikkan daripada 150 ringgit kepada 200 ringgit. Ini memberi manfaat kepada 110 ribu OKU, dengan peruntukan 66 juta ringgit; Kedua: Menaikkan pelepasan cukai bagi setiap anak yang OKU daripada 5,000 ringgit kepada 6,000 ringgit; Ketiga: Menaikkan pelepasan cukai bagi pembelian peralatan sokongan asas bagi diri sendiri, pasangan, anak dan ibu bapa yang OKU daripada 5,000 ringgit kepada 6,000 ringgit; Keempat: Menaikkan kadar makanan harian 8,700 penghuni di 63 institusi . Jabatan Kemajuan Masyarakat daripada 8 ringgit kepada 16 ringgit; Kelima: Meningkatkan geran tahunan Majlis Kebangsaan bagi OKU, daripada 500 ribu ringgit kepada 1 juta ringgit; dan Keenam: Menambah 5 buah Pusat Aktiviti Warga Emas menjadikan 50 buah di . seluruh negara serta Unit Penyayang Warga Emas yang menyediakan pengangkutan percuma kepada warga emas ke hospital. 149. Di samping itu, bagi mengukuhkan pendidikan awal kanak-kanak, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 711 juta ringgit kepada Kementerian Pendidikan, Tabika Kemas, PERMATA dan Tabika Perpaduan. Tuan Yang Dipertua, Pemilikan Rumah 150. Untuk menangani ISU pemilikan rumah dengan harga yang berpatutan, pelbagai projek dan program akan terus dilaksanakan, antaranya: Pertama: Membina 80 ribu unit rumah PR1MA dengan peruntukan sebanyak 1.3 bilion ringgit. Had kelayakan pendapatan isi rumah juga dinaikkan daripada 8 ribu ringgit kepada 10 ribu ringgit. Selain itu, Skim Pembiayaan Sewa-beli atau rent-to-own akan diperkenalkan kepada individu yang tidak berupaya mendapat pembiayaan daripada bank; Kedua: Membina 26 ribu unit rumah Program Perumahan Rakyat oleh Jabatan Perumahan Negara dengan peruntukan sebanyak 644 juta ringgit; dan Ketiga: Membina 12 ribu unit Rumah Mesra Rakyat dan 5 ribu unit Rumah Idaman Rakyat oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad. Di samping itu, SPNB juga akan membina 20 ribu unit Rumah Aspirasi Rakyat di atas tanah persendirian. 151: Bagi membolehkan lebih ramai rakyat memiliki rumah pertama dan mengurangkan kos membeli rumah, Kerajaan bersetuju melanjutkan pengecualian duti setem 50 peratus ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman serta menaikkan had harga rumah daripada 400 ribu ringgit kepada 500 ribu ringgit. Pengecualian ini diberikan sehingga 31 Disember 2016. 152. Kerajaan juga bersetuju menambah baik program Skim Rumah Pertamaku kendalian Cagamas, dengan menaikkan had nilai harga rumah kepada 500 ribu ringgit, selaras dengan pengecualian duti setem tersebut. Di samping itu, had kelayakan umur peminjam bagi skim ini akan dinaikkan daripada 35 kepada 40 tahun. 153. Bagi memberi keselesaan kepada rakyat yang mendiami perumahan kos rendah awam, peruntukan penyelenggaraan sebanyak 40 juta ringgit disediakan di bawah Program Penyelenggaraan Perumahan Awam. Manakala bagi penyelenggaraan perumahan kos rendah swasta pula, 100 juta ringgit disediakan di bawah Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia. Tuan Yang Dipertua, 154. Pada masa ini, cukai keuntungan ke atas pelupusan sesuatu harta tanah di bawah Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 ditaksir secara formal. Kerajaan telah melaksanakan sistem taksiran sendiri bagi cukai pendapatan individu dan syarikat sejak tahun 2001 dan 2004. Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk terus memodenkan sistem percukaian negara dan memandangkan pembayar cukai pada masa ini lebih bertanggungjawab, adalah dicadangkan mulai tahun 2016, cukai keuntungan ke atas pelupusan harta tanah ditaksir secara sendiri bagi tujuan pengiraan cukai keuntungan harta tanah. Kemudahan dan Infrastruktur Luar Bandar 155. Kerajaan juga terus komited menyedia dan menaiktaraf kemudahan dan' infrastruktur luar bandar. Sejumlah 4.5 bilion ringgit akan diperuntukkan terutamanya di Sabah dan Sarawak bagi melaksanakan program berikut, antaranya: Pertama: projek jalan luar bandar sepanjang 635 kilometer termasuk bekas jalan-jalan balak di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan sebanyak 943 juta ringgit; Kedua: Melaksanakan program penyambungan bekalan elektrik kepada lebih 15 ribu buah rumah dengan peruntukan sebanyak 1.1 bilion ringgit; Ketiga: program bekalan air bersih luar bandar kepada 7,500 buah rumah dengan peruntukan sebanyak 394 juta ringgit; Keempat: Program membina dan membaik pulih ruang usang melibatkan 9,500 buah rumah dengan peruntukan sebanyak RM200 juta ringgit. Kelima: Meningkatkan mutu perkhidmatan udara luar bandar di Sabah dan Sarawak melalui penyelenggaraan dan sewaan pesawat baru dengan peruntukan sebanyak 160 juta ringgit, Keenam: Melaksanakan program pembangunan ekonomi, kemudahan infrastruktur dan penambahbaikan taraf hidup masyarakat Orang Asli dengan peruntukan sebanyak 352 juta ringgit; dan Ketujuh: Menambah sepuluh batang tiang lampu menjadikannya 20 batang tiang lampu di setiap kampung di seluruh negara yang melibatkan lebih 22 ribu kampung dengan peruntukan sebanyak 26 juta ringgit. Ini menjadikan jumlah keseluruhan 56 juta ringgit bagi menyediakan lampu jalan kampung. Tuan Yang Dipertua, National Water Blueprint 156. Bekalan air merupakan elemen penting dalam kehidupan seharian setiap insan dan industri. Sehubungan itu, Kerajaan akan menyediakan National Water Blueprint bagi memastikan kelangsungan bekalan air di seluruh negara untuk jangka panjang. Ini termasuk pengurusan sungai secara holistik, pembinaan dan penambahbaikan loji-loji rawatan air. 157. Sumber bekalan air juga dipelbagaikan melalui penerokaan air bawah tanah, penggunaan semula air terawat untuk industri dan pertanian serta meluaskan penggunaan storm water retainer system. Bagi mengatasi kekurangan bekalan air di Lembah Klang, pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 akan digiatkan. Ini melibatkan kos sebanyak 3 bilion ringgit yang mampu menambah bekalan air terawat sebanyak 1,130 juta liter sehari. 158. Di samping itu, untuk mengatasi masalah kehilangan air tidak berhasil atau Non Revenue Water, sebanyak 112 juta ringgit diperuntukkan bagi kerja-kerja mewujudkan zon kawalan kebocoran, menjalankan kerja pengesanan dan pembaikan paip-paip bocor. PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak merangkap Menteri Kewangan membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat di bangunan Parlimen di sini hari ini. - Foto Effendy Rashid PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak merangkap Menteri Kewangan membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat di bangunan Parlimen di sini hari ini. - Foto Effendy Rashid Tuan Yang Dipertua, Keselamatan dan Ketenteraman Awam 159. Bagi meningkatkan tahap keselamatan dan ketenteraman awam serta pertahanan negara, peruntukan sebanyak 17.7 bilion ringgit disediakan untuk Angkatan Tentera Malaysia, sementara sebanyak 9.1 bilion ringgit diperuntukkan untuk Polis DiRaja Malaysia. Sejumlah 804 juta ringgit juga, diperuntukkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia bagi memperkukuhkan penguatkuasaan maritim. 160. Kerajaan komited untuk mengurangkan kadar jenayah di negara ini, yang menjadi salah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara. Untuk ini, Kerajaan telah meluluskan tambahan sebanyak 11,757 perjawatan anggota polis, selain membina sebanyak 14 Ibu Pejabat Polis dan Balai Polis, termasuk bangunan baharu IPK Perlis serta terus memperkukuhkan dengan penambahan 1,000 lagi unit rondaan bermotosikal PDRM. Selain itu, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 121 juta ringgit kepada PDRM untuk melaksanakan pelbagai program NKRA. 161. Bagi meningkatkan kesiapsiagaan aset dan anggota tentera, sebanyak 7 bilion ringgit diperuntukkan untuk memperoleh dan menyelenggara aset-aset pertahanan. Selain itu, kebajikan anggota tentera akan dipertingkatkan termasuk perkhidmatan kesihatan dan penyediaan kediaman. 162. Manakala, bagi meningkatkan keselamatan maritim, APMM disediakan peruntukan sebanyak 393 juta ringgit. Ini adalah untuk meningkatkan kecekapan operasi dan pembelian 7 buah kapal peronda baharu. Tuan Yang Dipertua, 163. Selain itu, Jabatan Sukarelawan Malaysia di bawah Kementerian Dalam Negeri atau RELA, akim terus memainkan peranan sebagai sebuah agensi sukarelawan untuk membantu pasukan keselamatan dalam mengekalkan keselamatan dan keamanan negara. Sebanyak 117 juta ringgit akan disediakan terutamanya untuk latihan dan bina upaya bagi mengukuh peranan RELA. Tuan Yang Dipertua, Pemerkasaan NGO 164. Sejak dahulu, Kerajaan sememangnya mengiktiraf peranan penting NGO. Justeru, saya mengisytiharkan tahun hadapan sebagai pemerkasaan NGO dan kesukarelawan atau MyNGO 2015. Untuk itu, geran secara one-off dengan. peruntukan 50 juta ringgit disediakan kepada NGO berwibawa termasuk yang beruniform, melibatkan program berasaskan pembangunan komuniti, perpaduan, kebajikan masyarakat, kepenggunaan, kesihatan dan keselamatan. Tuan Yang Dipertua, 165. Ahli-Ahli Dewan yang mulia, serta rakyat Malaysia dikasihi sekalian yang sedang menyaksikan Bajet 2015 ini, di kaca-kaca televisyen dan mendengar di corong-corong radio luar sana. 166. Bersyukurlah... bersyukurlah.. kita semua berpijak di atas bumi yang aman, sentosa lagi permai. Menjunjung pula langit luas terbentang. Secara geografinya, tanah air bertuah ini, terpisah oleh Laut China Selatan, menggabungkan Tanah Semenanjung, dengan Sabah dan Sarawak sebagai sebuah kesatuan yang berkeramat, bermula dari Arau, Perlis, membawa hingga ke Semporna, Sabah sampai ke penghujung Ulu Lachau, Sarawak meliputi kawasan seluas hampir 330,290 kilometer persegi. Tuan Yang Dipertua, 167. Sudah menjadi lumrah kehidupan ada pasang surutnya. Bak kata pujangga... musim panas..., kehujanan..., musim hujan..., kepanasan. Sesungguhnya, tahun 2014 menjadi takwim yang penuh dugaan. Pada suku tahun pertama, belum pun lagi reda dengan misteri kehilangan MH370, rakyat Malaysia dikejutkan pula dengan peristiwa tragik pesawat MH17 milik Malaysia Airlines System ditembak jatuh di Timur Ukraine. 168. Meski apapun, berbekal pengertian surah ke-94 AI-Insyirah, pada setiap kesukaran itu pastinya ada hikmah-hikmah dan kesenangan yang menanti. Tampaknya, rakyat Malaysia menerima dengan tenang dan tabah akan apa yang telah berlaku. Kita telah bersatu dalam suasana kesedihan, membentuk solidariti yang tidak terpecah bentengnya. 169. Menghadapi krisis ini, Kerajaan telah berusaha tanpa lelah, sehingga tidak pernah terjadi dalam sejarah, perundingan penuh dramatik dan berdiplomasi dengan puak pemisah yang lidak beridenliti negara, demi mencari penyelesaian mendapatkan kotak hitam, memasuki kawasan kejadian, sehingga berjaya membawa pulang, hampir kesemua jenazah yang terkorban kembali ke bumi Malaysia di mana mereka berasal. 170. Walau apapun, life goes on, hidup perlu diteruskan. Tuan Yang Dipertua, 171. Di atas segalanya, memetik madah Rabindranath Tagore, seorang pujangga terkenal bahawa, "...Janganlah kita menangis kerana matahari telah menghilang sebentar daripada kehidupan, kerana air mata itu bisa menghalang kita melihat bintang-bintang yang masih bergemerlapan. .." Tuan Yang Dipertua, Pusat Percetakan AI-Quran 172. Saya yakin, dalam kemajmukan dan kepelbagaian agama, masing-masing telah pun berbuat sehabis baik dan berdoa mengikut kepercayaan semua demi kebaikan Malaysia. Bagi pihak Kerajaan pula, antara lain, kita menzahirkan rasa syukur atas banyak kurniaan llahi dan bersetuju membina Pusat Percetakan Al Quran di Putrajaya, yakni kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi. Pusat ini atas inisiatif Kerajaan, bersama Yayasan Restu, dijangka dapat mencetak sehingga sejuta naskhah Al Quran setahun untuk diedarkan ke seluruh dunia. Selain itu, Pusat ini juga akan menjadi tempat tumpuan penggiat dan penggemar seni khat. Untuk itu, Kerajaan akan memperuntukkan 30 juta ringgit bagi tempoh tiga tahun. Tuan Yang Dipertua, 173. Seperti saban tahun, saya sebutkan bahawa, Malaysia yang terbina seutuh ini, tidak lain dan tidak bukan, hasil mahsul kerja keras Kerajaan Barisan Nasional, selama berdekad-dekad yang disokong oleh rakyat. Tidak seperti pihak pembangkang yang siiiiiibukkkkkkkk merebut kuasa sesama sendiri, berkemelut dalam parti, sehingga pihak istana pun menjadi murka. Tuan Yang Dipertua, 174. Alhamdulillah... Alhamdulillah..., di celah-celah pelbagai dugaan ini, Malaysia melangkah gagah dengan banyak catatan pencapaian di peringkat global, antaranya: Pertama: Memperbaiki kedudukan dalam Laporan World Competitiveness Index 2014, menduduki tangga ke-12 daripada tangga ke-15 pada tahun sebelumnya. Kedudukan tersebut menunjukkan kita lebih kompetitif berbanding United Kingdom, Australia dan Finland; Kedua: Menduduki tangga ke-3 terbaik daripada 22 buah negara bagi penilaian Best Emerging Markets yang dikeluarkan oleh Bloomberg; dan Ketiga: Menduduki tangga ke-6 daripada 189 buah negara, dalam Laporan Ease of Doing Bussiness oleh Bank Dunia, di mana kita menduduki tangga pertama dalam aspek mendapatkan kemudahan pembiayaan. 175. Berhubung ini, menurut hadis, bersyukur kepada TUhan, bererti juga, berterima kasih sesama manusia. Penambahbaikan Perkhidmatan Awam 176. Maka demikian, jika pada bajet yang lalu, saya telah mengumumkan penambahbaikan 81 skim perkhidmatan awam. Dalam bajet kali ini, Kerajaan akan menambahbaik lagi 252 skim perkhidmatan sedia ada, untuk meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam. 177. Di samping itu, bagi menghargai khidmat pegawai dan kakitangan kontrak KEMAS, JASA, JPNIN, JAKIM dan Seranta FELDA yang telah berkhidmat melebihi 15 tahun dan telah tamat perkhidmatan kontrak mengikut umur persaraan wajib, Kerajaan bersetuju memberikan bantuan bulanan sebanyak 300 ringgit seorang. Inisiatif ini akan memanfaatkan 1,655 individu. Tuan Yang Dipertua, Perumahan kepada Penjawat Awam 178. Sebetulnya, Kerajaan prihatin terhadap kesukaran penjawat awam untuk mendapat pembiayaan memiliki rumah. Oieh itu, saya mengumumkan had kelayakan minimum pinjaman perumahan dinaikkan daripada kadar 80 ribu ringgit, kepada 120 ribu ringgit dan bagi had kelayakan maksimum, dinaikkan daripada 450 ribu ringgit kepada 600 ribu ringgit. Serentak itu, wang pemprosesan permohonan pinjaman perumahan sebanyak 100 ringgit kita mansuhkan. Kedua-dua cadangan ini, berkuatkuasa pada 1 Januari 2015. 179. Bertolak dari sini, Kerajaan juga komited. untuk terus meningkatkan pembinaan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia atau PPA1M. Pada masa ini, sebanyak 10,639 unit rumah telah diluluskan untuk pembinaan. Pada tahun 2015, bagi membolehkan lebih ramai penjawat awam memiliki rumah, Kerajaan bersetuju untuk membina 5,380 unit rumah lagi, iaitu di Putrajaya 1,600 unit; di Bukit Jalil 1,530 unit; di Papar, Sabah 1,290 unit dan di Bukit Pinang, Kedah 960 unit. Di samping itu, Kerajaan juga menambah baik PPA1M seperti berikut: Pertama: Menurunkan harga minimum rumah PPA1M yang kini berharga 150 ribu kepada 90 ribu ringgit seunit dengan keluasan lantai minimum 850 kaki persegi; Kedua: Menaikkan syarat kelayakan pendapatan isi rumah daripada 8;'000 ringgit kepada 10,000 ringgit; dan Ketiga: Menyediakan dana mudah cara sehingga 25 peratus daripada kos projek kepada pemaju yang menyertai skim PPA1M. 180. Laginya, keadaan rumah yang baik dan selesa didiami akan meningkatkan produktiviti penjawat awam. Untuk itu, Kerajaan menyediakan 500 juta ringgit untuk membaik pulih dan menyelenggara secara berperingkat kuarters tentera, polis, guru dan kakitangan kesihatan di seluruh negara. Sebanyak 105 juta ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk penyelenggaraan kuarters Kerajaan, di bawah Program MyBeautiful Malaysia yang melibatkan 126 lokasi. Tuan Yang Dipertua, Bantuan Rakyat 1Malaysia 181. Dengan mengambil kira peningkatan hasil GST dan kemampuan fiskal Kerajaan, kita tingkatkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia atau SR1M daripada 650 ringgit kepada 950 ringgit. Ini, untuk isi rumah berpendapatan bulanan tiga ribu ringgit ke bawah. Bantuan ini akan dibayar sebanyak tiga kali setahun, iaitu 300 ringgit akan dibayar pada Januari dan Mei, manakala bakinya sebanyak 350 ringgit akan dibayar mulai September 2015. 182. Seterusnya, bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara tiga ribu hingga empat ribu ringgit, Kerajaan akan meningkatkan nilai SRi M daripada 450 ringgit kepada 750 ringgit. Bantuan ini akan dibayar sebanyak tiga kali setahun juga, iaitu 200 ringgit akan dibayar pada Januari dan Mei, manakala bakinya sebanyak 350 ringgit akan dibayar mulai September 2015. 183. Bagi kategori individu bujang berumur 21 tahun ke atas dan berpendapatan . tidak melebihi dua ribu ringgit sebulan, Kerajaan akan meningkatkan nilai SRi M daripada 300 ringgit kepada 350 ringgit. Bayaran bantuan ini akan dibuat sekali gus mulai awal tahun hadapan. Tuan Yang Dipertua, 184. Kerajaan juga akan menggantikan insurans takaful berkelompok atau i-SRiM yang telah diperkenalkan sebelum ini dengan Skim Khairat Kematian. Skim ini akan memberi manfaat kepada waris penerima BR1M dengan bantuan 1,000 ringgit yang akan berkuat kuasa selama setahun. Tuan Yang Dipertua, Menghargai Sumbangan Ahli Parlimen 185. Kita sedar bahawa, tanggungjawab seorang Ahli Parlimen begitu besar dan bermakna pada kamuniti dan masyarakat setempat. Ahli-ahrl Parlimen adalah ketua yang perlu memimpin masyarakat setempat dari semua aspek termasuk kebajikan, keagamaan, sosial dan pendidikan. 186. Dengan kata lain, khidmat Ahli Parlimen sebagai wakil atau pemimpin di kawasan parlimen masing-masing adalah mendesak tidak kira waktu. Bagi mencerminkan tahap tanggungjawab dan kepimpinan ini, sukacita saya mencadangkan agar elaun Ahli-Ahli Parlimen dinaikkan seperti berikut: • Ahli Dewan Rakyat elaunnya dinaikkan daripada bersamaan gred 54 kepada bersamaan gred Jusa C bersesuaian dengan peranan kepimpinannya; dan • Ahli Dewan Negara elaunnya dinaikkan daripada bersamaan gred 48 kepada bersamaan antara gred 54 dan Jusa C, 187. Cadangan ini juga akan melibatkan kenaikan gaji dan elaun Yang Di Pertua Dewan Rakyat dan Yang Di Pertua Dewan Negara serta Timbalan Yang Di Pertua Dewan Rakyat dan Timbalan Yang Di Pertua Dewan Negara sewajarnya, berkuatkuasa 1 Januari 2015. Tuan Yang Dipertua, 188. Walau bagaimanapun...., walau bagaimanapun..., mohon bertenang...., mohon bertenang ... , Kerajaan telah mengambil keputusan supaya, semakan kenaikan gaji bagi anggota pentadbiran dikaji serta ditangguhkan keputusannya sehingga satu masa yang bersesuaian. Ini termasuklah Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet dan Timbalan-Timbalan Menteri. Tuan Yang Dipertua, Menghargai Sumbangan Penjawat Awam 189. Sebagai penutup, seperti biasalah..., seperti biasalah..., buah yang ranum, sudah pun mahu gugur. Makanya, sukacita saya mengumumkan, pemberian bonus sebanyak setengah bulan gaji kepada penjawat awam dengan bayaran minimum 500 ringgit. Pemberian bonus ini akan dibayar pada bulan Januari 2015. Kepada pesara Kerajaan pula, bayaran bantuan khas diberi sebanyak 250 ringgit. 190. Saya berharap, pemberian ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kenaikan kos sara hidup dan menjaga kebajikan para penjawat awam, terutamanya kepada keluarga untuk persediaan musim awal persekolahan nanti PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak merangkap Menteri Kewangan menunjukkan Buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2015 selepas membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat, Parlimen di sini hari ini. Turut kelihatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan. - Foto Khairull Azry Bidin PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak merangkap Menteri Kewangan menunjukkan Buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2015 selepas membentangkan Bajet 2015 di Dewan Rakyat, Parlimen di sini hari ini. Turut kelihatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan. - Foto Khairull Azry Bidin Penutup Tuan Yang Dipertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat serta Seluruh Rakyat Yang Sedang Menonton dan Mendengar Bajet ini, 191. Semoga Allah membentang seluas-Iuas rezeki dan mempermudahkan selurus-Iurus jalan bagi pelaksanaan bajet Ekonomi Keperluan Rakyat yang digubah ini. 192. Marilah berdoa dan berharap, apabila kejayaan mula menyentuh, mudah¬mudahan bahagia mendatangi. KepadaMu Tuhan, Ya lIahi Ya Rabbi, kami meminta selamatkan tanah air ini daripada mara bahaya. Rahmatilah roh serta jasad pertiwi terkasih ini, buat selamanya-Iamanya. Tuan Yang Dipertua, Saya mohon mencadangkan Tuan Yang di-Pertua, Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk "Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2013 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu" dibaca bagi kali kedua. MUKADIMAH Saya mulakan lafaz ucapan Bajet 2013 dengan kalimah mulia Bismillahirrahmanirrahim dan memetik sepotong ayat dari Surah Al-Baqarah yang diturunkan di Madinah, bahawa : "Berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana sahaja kamu berada pasti Allah akan menghimpunkan kamu semua pada hari kiamat untuk menerima balasan. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu." Tuan Yang di-Pertua, 1. Saya berdiri di dewan yang mulia pada petang Jumaat yang berbahagia, penghulu segala hari, untuk membentangkan bajet kelima bagi pihak Kerajaan semenjak mula memegang amanah selaku Menteri Kewangan Malaysia pada tahun 2008. Syukur ke hadrat Allah SWT kerana di atas limpah rahmatNya jua, kita telah menyaksikan sepanjang tempoh tersebut, melalui usaha kolektif rakan-rakan anggota pentadbiran dengan sokongan ahli-ahli parlimen, penjawat awam dan seluruh rakyat Malaysia, negara tercinta ini telah berjaya dilindungi daripada kesan terburuk akibat kegawatan kewangan global. Bahkan, ekonomi negara telah diletakkan dilandasan pertumbuhan mapan ke arah transformasi sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Manakala kesejahteraan rakyat pula telah dipertingkatkan secara berterusan. 2. Sesungguhnya, Bajet 2013 ini sebagai penerus tradisi terbaik Kerajaan Barisan Nasional memakmurkan negara dan membawa kesejahteraan kepada semua rakyat. Ia manifestasi sebuah janji yang ditepati. Sejak 55 tahun lalu, pada setiap peringkat pembangunan negara, rakyat Malaysia telah meletakkan kepercayaan mereka kepada Kerajaan yang sama.Terima kasih kita ucapkan atas kepercayaan tersebut. Sekali-kali sepanjang masa dan musim berguling ia tidak pernah dikhianati, sebaliknya pada setiap ketika ia telah dibalas dengan laba pada julat berganda. 3. Kerajaan ini hakikatnya tidak pernah menjanjikan bulan, bintang mahupun cakerawala.Kita tidak pernah melakar lukisan yang pada hari ini tampak muluk-muluk dan indah tetapi sebenarnya berupa racun yang berbisa. Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, kita tetap menceritakan kebenaran biarpun kelat. Kita tidak pernahmendodoi rakyat dengan dogengan lipur lara sebaliknya sentiasa menawarkan penyelesaian serta kepimpinan bitara terhadap segala permasalahan rakyat. 4. Telah terbukti tanpa tersanggah lagi bahawa ekonomi Malaysia merupakan ekonomi berteraskan rakyat.Ia hasil wawasan dan aspirasi rakyat.Ia merupakan manifestasi kerja keras dan jerih payah rakyat.Ia sumbangan masyarakat desa dan bandar, golongan profesional serta pekerja kolar biru, petani, buruh, peladang, pekebun kecil, nelayan, guru, pensyarah dan karyawan.Didukung pula para penjawat awam dan usahawan. Di atas segalanya, ia diuruskan secara teliti dan berhemah oleh Kerajaan yang meletakkan kebajikan rakyat di atas jemalanya. Inilah formula kejayaan Malaysia. 5. Sayugia, mengurus sebuah negara majmuk yang kompleks seperti Malaysia bukan perkara mudah.Ia memerlukan keikhlasan dan kebijaksanaan kerana rakyat Malaysia amat cerdik menilai yang mana intan dan yang mana kaca. Hakikat rakyat telah memberi mandat kepada Kerajaan ini sebanyak 12 kali tanpa putus semenjak 1959 bermakna sesuatu yang betul telah dilakukan oleh Kerajaan sedia ada. 6. Sesungguhnya waad yang wujud itu, di antara rakyat dan Kerajaan selama ini mana mungkin mampu dipunahkan waima sekuat mana pun fitnah dan mehnah melanda. Sehubungan itu, naskah bajet yang akan saya persembahkan ini merupakan sebuah penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia lantaran terus meletakkan kepercayaan kepada kami di sepanjang ketika. PRESTASI EKONOMI 2012 DAN PROSPEK 2013 Tuan Yang di-Pertua, 7. Kerajaan komited dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus berkembang meskipun dalam persekitaran global yang tidak menentu dan mencabar. Asas ekonomi yang kukuh serta disokong oleh sistem monetari akomodatif telah membolehkan ekonomi negara berada di landasan teguh. Dalam tempoh separuh pertama 2012, ekonomi negara tumbuh pada kadar 5.1 peratus didorong, terutamanya oleh kekukuhan aktiviti pelaburan dan penggunaan swasta. Negara terus menerima kemasukan pelaburan langsung asing bersih berjumlah 13.6 bilion ringgit selaras dengan peningkatan keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan utama. 8. Bagi keseluruhan tahun 2012, walaupun pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia sederhana, pertumbuhan ekonomi negara dijangka berkembang kukuh pada kadar 4.5 hingga 5 peratus. Pertumbuhan ini dipacu oleh pelaburan swasta sebanyak 11.7 peratus atau mencapai 127.9 bilion ringgit. Prestasi ini jauh lebih besar berbanding jumlah pelaburan sebanyak 81 bilion ringgit pada tahun 2009. Tren ini menunjukkan aktiviti pelaburan domestik semakin rancak, terutama dengan pelaksanaan projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi.Ini mendorong sektor pembinaan terus melonjak tinggi sebanyak 15.5 peratus berbanding 4.6 peratus pada tahun 2011. 9. Persekitaran ekonomi domestik yang mantap juga mendorong bursa saham mencatat prestasi yang menggalakkan. Ini terbukti dengan Indeks Komposit Bursa Malaysia telah mencecah rekod tertinggi 1,654.11 mata pada 4 September 2012. Nilai modal pasaran telah meningkat sebanyak 44 peratus daripada 999 bilion ringgit pada akhir tahun 2009 kepada 1.43 trilion ringgit pada akhir Julai 2012.Pendapatan per kapita pula meningkat kepada hampir 31 ribu ringgit pada tahun 2012 berbanding 25 ribu ringgit pada tahun 2009. Rizab antarabangsa pada 14 September 2012 pula kekal kukuh mencatat 432.2 bilion ringgit, mampu membiayai 9.5 bulan import tertangguh dan 3.9 kali hutang luar jangka pendek. 10. Pada tahun 2013, berdasarkan persekitaran ekonomi global yang dijangka lebih baik, pertumbuhan ekonomi negara diunjur berkembang lebih kukuh pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus. Julung kalinya, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) nominal dijangka melepasi paras 1 trilion ringgit. Pertumbuhan lebih baik ini didorong oleh pelaburan dan penggunaan swasta sebanyak 13.3 peratus dan 5.7 peratus. Sektor pembinaan dijangka terus meningkat kukuh 11.2 peratus diikuti oleh sektor perkhidmatan pada kadar 5.6 peratus. PERUNTUKAN BAJET 2013 Tuan Yang di-Pertua, 11. Bajet 2013 akan menyediakan peruntukan sejumlah 251.6 bilion ringgit bagi melaksanakan semua langkah, program dan projek pembangunan, menumpukan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. Daripada jumlah tersebut, 201.9 bilion ringgit adalah bagi perbelanjaan mengurus dan 49.7bilion ringgit bagi peruntukan pembangunan. 12. Di bawah peruntukan mengurus,sejumlah 58.6 bilion ringgit adalah bagi Emolumen dan 33.7 bilion ringgit disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala, 107.3 bilion ringgit diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Sejumlah 1.1 bilion ringgit disediakan untuk Pembelian Aset dan baki 1.2 bilion ringgit untuk perbelanjaan lain. 13. Bagi peruntukan pembangunan pula, sejumlah 30 bilion ringgit disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar. Sejumlah 11.1 bilion ringgit diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat. Seterusnya, 4.6 bilion ringgit diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, 2 bilion ringgit bagi pentadbiran am dan 2 bilion ringgit untuk simpanan luar jangka. 14. Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2013, jumlahnya dianggarkan 208.6 bilion ringgit, berbanding 207.2 bilion ringgit pada tahun 2012. Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit Kerajaan Persekutuan akan terus berkurangan kepada 4.0 peratus daripada KDNK bagi tahun 2013, berbanding 4.5peratus pada tahun 2012. Ini menunjukkan Kerajaan komited untuk terus mengurangkan defisit fiskal ke paras lebih rendah. FOKUS BAJET 2013 Tuan Yang di-Pertua, 15. Bajet 2013 digubal dengan fokus untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di seluruh negara. Memastikan pertumbuhan ekonomi mapan, perbelanjaan berhemah dan mengurangkan defisit fiskal negara dengan matlamat keseluruhan mengutamakan kesejahteraan rakyat. Kerajaan akan memastikan rakyat mendapat perkhidmatan terbaik serta manfaat maksimum hasil daripada pelaksanaan program dan projek pembangunan. Oleh itu, Bajet 2013 dirangka bertemakan "MEMAKMUR NEGARA, MENSEJAHTERA RAKYAT: SEBUAH JANJI DITEPATI" dengan memberi penekanan kepada lima fokus utama. FOKUS PERTAMA: MERANGSANG AKTIVITI PELABURAN Tuan Yang di-Pertua, 16. Fokus Pertama: Merangsang Aktiviti Pelaburan. Pertumbuhan ekonomi negara akan terus dipacu oleh pelaburan langsung asing dan domestik. Dalam tempoh separuh pertama 2012, pelaburan swasta meningkat kepada 75.3 bilion ringgit berbanding 59.8 bilion ringgit bagi tempoh yang sama tahun 2011. Tren ini dijangka berterusan dalam tahun 2013 dengan pelaburan swasta dijangka meningkat kepada 148.4 bilion ringgit. 17. Kerajaan akan terus memperhebatkan pelaksanaan 12 Bidang Utama Ekonomi Negara.Sejumlah 3 bilion ringgit diperuntukkan bagi pelaksanaan projek permulaan bagi tahun 2013. Ini termasuk 1.5 bilion ringgit bagi projek pertanian seperti kelapa sawit, getah, herba bernilai tinggi dan padi. Sebanyak 500 juta ringgit diperuntukkan untuk projek River of Life bagi mengindahkan Sungai Klang. Manakala, 300 juta ringgit lagi untuk projek pemulihan rangkaian paip dan pembentungan bagi perkhidmatan dan kemudahan air. MENGGALAK PELABURAN DOMESTIK 18. Seterusnya, bagi merangsang pelaburan domestik dan mempercepatkan penyertaan syarikat Malaysia dalam rantaian bekalan global, Kerajaan telah menyediakan Dana Strategik Pelaburan Domestik bernilai 1 bilion ringgit di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia. Dana ini bertujuan memanfaatkan aktiviti penyumberan luar dan pemerolehan teknologi oleh syarikat tempatan. Selain itu, Kerajaan juga memperkenalkan semula insentif pengambilalihan syarikat asing dan kadar cukai khas bagi menggalakkan penyedia perkhidmatan tempatan bergabung menjadi entiti lebih besar. MEMPERGIAT PERUSAHAAN KECIL & SEDERHANA 19. Seperti kita maklum, Perusahaan Kecil dan Sederhana memainkan peranan penting dalam transformasi ekonomi negara. Bagi mempercepatkan pertumbuhan industri PKS dan perluasan skop kawasan industri di seluruh negara, dana sebanyak 1 bilion ringgit akan disediakan di bawah Skim Pembangunan PKS bawah kendalian SME Bank. Langkah ini memudahkan akses PKS untuk mendapat pembiayaan dan seterusnya memajukan perniagaan mereka. 20. Ini selari dengan Pelan Induk PKS (2012 - 2020) telah dilancarkan yang bertindak sebagai ‘game changer’ untuk mempercepatkan pertumbuhan PKS melalui inovasi dan produktiviti. Pelan induk ini melibatkan pelaksanaan 32 inisiatif termasuk enam Program Berimpak Tinggi dengan peruntukan 30 juta ringgit. 21. Dalam mempergiatkan Industri Halal, terutamanya membangunkan produk-produk halal berimpak tinggiuntuk tujuan eksport, SME Bank dengan kerjasama Bank Pembangunan Islam akan menyediakan Dana Industri Halal sebanyak 200 juta ringgit membiayai modal kerja PKS terlibat. 22. Pada masa ini, terdapat 1.5 juta penjaja dan peniaga kecil menjalankan perniagaan secara tradisional dengan struktur perniagaan kecil dan pendapatan harian tidak menentu. Sehubungan itu, sebagai tanda keprihatinan dengan kekangan yang dihadapi oleh mereka sekiranya berlaku kemudaratan diri, hilang upaya serta kematian, Kerajaan mencadangkan skim perlindungan insurans berkelompok kepada penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Skim ini akan memberi had perlindungan maksimum sehingga 5,000 ringgit. Buat pertama kalinya, Kerajaan akan membiayai skim ini dengan peruntukan sebanyak 16 juta ringgit setahun. 23. Di samping itu, Perbadanan Nasional Berhad akan memperkenalkan program Business In Transformation bagi menyokong usaha bersepadu memodenkan perniagaan golongan penjaja dan peniaga kecil kepada standard yang lebih tinggi dan berdaya saing dengan menggunakan model licensing atau franchising. Program ini akan memberi bimbingan dan khidmat nasihat ke atas konsep perniagaan baru seperti kedai bergerak, kiosk dan perniagaan atas talian. Untuk ini, PNS akan menyediakan kemudahan kepada penjaja dan peniaga kecil dengan pinjaman sehingga 25 ribu ringgit bagi licensee dan 500 ribu ringgit kepada licensor. MALAYSIA SEBAGAI HAB MINYAK & GAS Tuan Yang di-Pertua, 24. Kita bersyukur kerana dikurniakan punca galian berharga iaitu minyak dan gas asli di pesisir pantai. Kerajaan bermatlamat menjadikan Malaysia daripada sekadar pengeluar, kepada salah satu hab dagangan minyak dan gas bersepadu utama dunia. 25. Jadi, Kerajaan telah mengambil beberapa langkah strategik meningkatkan keupayaan negara terutamanya dalam menyediakan ekosistem yang berupaya menyokong pembangunan rantaian penapisan, penyimpanan dan dagangan.Bagi mendokong penglibatan pengusaha swasta dalam pembangunan industri minyak dan gas, pelbagai insentif cukai dan insentif bukan cukai istimewa telah dirangka. Ini termasuk bantuan kos pengambilalihan tanah dan bantuan kewangan sebagai tippingpointprojek perkongsian awam swasta,pengecualian cukai pendapatan 100 peratus untuk tempoh 10 tahun, pengecualian cukai pegangan dan pengecualian duti setem. 26. Bagi pelaburan dalam aktiviti penapisan produk petroleum, Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus untuk tempoh 10 tahun diberi kepada yang layak. Hasil insentif, pelbagai projek pelaburan minyak dan gas bernilai 20 bilion dolar AS telah dimulakan termasuk projek Petronas Refinery and Petrochemical Integrated Development atau Rapid, Terminal Simpanan Minyak dan Gas di Johor, Loji Regasifikasi di Melaka dan terminal minyak serta gas di Sipitang, Sabah. 27. Pada tahun lepas, Kerajaan juga telah melancarkan Program Global Incentive for Trading atau GIFT dengan galakan cukai pada kadar 3 peratus. Sehubungan dengan permintaan global LNG yang dijangka mencecah 400 juta tan setahun pada tahun 2025, program GIFT ditambah baik dengan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus keatas pendapatan berkanun untuk tempoh 3 tahun pertama operasi bagi syarikat dagangan. Dagangan komoditi yang diluluskan akan diperluaskan kepada lain-lain komoditi seperti pertanian, bahan mentah bertapis, logam asas dan kimia. MERANCAK SEKTOR PELANCONGAN Tuan Yang di-Pertua, 28. Industri pelancongan merupakan satu sektor pertumbuhan ekonomi penting yang menyumbang hampir 12 peratus KDNK. Jumlah pendapatan daripada sektor pelancongan dianggar akan meningkat kepada 62 bilion ringgit pada tahun 2012. Sempena Tahun Melawat Malaysia 2013/2014, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 358 juta ringgit di bawah perbelanjaan pembangunan iaitu peningkatan peruntukan sebanyak 42 peratus dengan sasaran pelancong seramai 26.8 juta orang. Kerajaan juga mencadangkan lanjutan pengecualian cukai pendapatan selama 3 tahun bagi pengusaha pelancongan yang mengendalikan sekurang-kurangnya 750 pelancong asing atau 1,500 pelancong tempatan setahun. MENINGKAT AKTIVITI PERTANIAN 29. Di sudut lain, Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada sektor pertanian dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan negara dan memastikan kelestarian jaminan bekalan makanan. Diperuntukkan sebanyak 5.8 bilion ringgit kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. 30. Kerajaan menyediakan sebanyak 30 juta ringgit bagi pembangunan program pertanian merangkumi aplikasi penggunaan teknologi tinggi dalam pengeluaran buah dan sayuran, peningkatan pembekalan benih berkualiti, penstabilan harga melalui jualan terus dari ladang, pewujudan pasar ikan rakyat serta penambahbaikan institusi latihan pertanian. Kerajaan juga mempersiapkan sebanyak 75 juta ringgit bagi meningkatkan pengeluaran produk makanan dan kesihatan. 31. Bagi sektor perladangan pula, di bawah NKEA, sebanyak 432 juta ringgit disediakan untuk program penanaman semula pokok kelapa sawit. Langkah ini akan meningkatkan tuaian hasil buah sawit setahun pada kadar 26.2 tan sehektar pada tahun 2020 berbanding 21 tan sehektar pada masa ini. Di samping itu, sebanyak 127 juta ringgit disediakan untuk pembangunan bahan terbitan oleo bernilai tinggi yang dapat mengubah komposisi industri hiliran ke arah pengeluaran lebih banyak bahan terbitan. KELESTARIAN JAMINAN BEKALAN MAKANAN Tuan Yang di-Pertua, 32. Berkaitan kelestarian jaminan bekalan makanan pada masa akan datang, kawasan jelapang padi sedia ada akan ditambah baik dengan sistem pengurusan tanamannya secara sistematik. Sebagai tambahan, 4 kawasan jelapang padi baru akan dibuka dan diperluas iaitu di Kota Belud, Batang Lupar, Rompin dan Pekan. Pada masa ini, kawasan jelapang padi bertanam adalah seluas 389 ribu hektar yang mampu menghasilkan sebanyak 1.8 juta tan metrik. Pertambahan 4 lagi kawasan jelapang padi baru seluas 19 ribu hektar dengan penyertaan seramai 12,237 pesawah dijangka menghasilkan 104 ribu tan metrik dengan perbelanjaan sebanyak 140 juta ringgit. MEMBELA NASIB PETANI & NELAYAN Tuan Yang di-Pertua, 33. Kerajaan amat menghargai sumbangan para nelayan dan sentiasa memastikan kedudukan sosioekonomi golongan ini bertambah baik dan pendapatan mereka meningkat. Pada masa ini, Kerajaan memberi elaun bantuan sara hidup 200 ringgit sebulan yang dapat memanfaatkan 55 ribu nelayan berdaftar. Kerajaan juga menyediakan insentif pada kadar 10 sen hingga 20 sen sekilo bagi menggalakkan nelayan mendaratkan hasil tangkapan di jeti-jeti berdaftar seluruh negara. 34. Kerajaan juga telah memperkenalkan skim perlindungan insurans nelayan dengan perlindungan maksimum 100 ribu ringgit. Meneruskan hasrat ini, bagi tahun 2013, Kerajaan akan memperuntukkan 230 juta ringgit sebagai insentif tangkapan ikan dan bayaran elaun bantuan sara hidup nelayan. Di samping itu, berdasarkan peruntukan 300 juta ringgit pada Bajet 2012, program pembangunan dan pembaikan rumah nelayan sedang giat dijalankan. 35. Bagi membantu para petani mengurangkan kos pengeluaran pula, Kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi dan insentif pertanian sedia ada berjumlah 2.4 bilion ringgit. Bantuan ini termasuk subsidi dan insentif untuk sektor padi yang merangkumi Pemberian Subsidi Harga Padi - 480 juta ringgit, Pemberian Subsidi Baja Padi - 465 juta ringgit, Insentif Peningkatan Hasil Padi - 80 juta ringgit, Insentif Pengeluaran Padi - 563 juta ringgit, Subsidi Harga Beras - 528 juta ringgit dan Subsidi Benih Padi Sah - 85 juta ringgit. 36. Selaras dengan komitmen untuk menjaga kebajikan rakyat, terutama pengusaha sawah, buat julung kalinya, Kerajaan akan memperkenalkan Skim Perlindungan Takaful Padi. Skim ini memberi kemudahan perlindungan kepada pengusaha sawah di bawah 10 hektar dan dijangka dapat memanfaatkan 172 ribu pesawah. Jumlah pampasan yang dapat diterima dianggarkan bernilai 13 ribu ringgit setiap pesawah. Buat permulaan, Kerajaan akan memperuntukkan 50 juta ringgit. 37. Selain itu, Kerajaan akan meneruskan Projek Azam Tani yang diperkenalkan pada tahun 2011. Program ini telah berjaya mengeluarkan seramai 1,234 keluarga daripada garis kemiskinan dengan purata pendapatan meningkat di antara 200 hingga 2,000 ringgit sebulan malah beberapa peserta telah berjaya mendapat pendapatan melebihi 10 ribu ringgit sebulan. Untuk memperkasakan lagi usaha ini, sebanyak 41 juta ringgit akan diperuntukkan bagi memberi manfaat kepada 6,730 peserta. MENCERGASKAN PASARAN MODAL & KEWANGAN Tuan Yang di-Pertua, 38. Pasaran modal negara berkembang pesat walaupun terdapat ketidaktentuan dalam ekonomi global. Malaysia terus menerajui terbitan sukuk dengan menyumbang 71 peratus atau 171 bilion ringgit daripada jumlah terbitan sukuk global dalam tempoh tujuh bulan pertama 2012. Ini terbukti dengan terbitan sukuk tunggal terbesar di dunia oleh PLUS Berhad bernilai 30.6 bilion ringgit. 39. Di samping itu, industri pengurusan dana dan amanah saham menunjukkan pertumbuhan kukuh dalam tempoh pertama 2012 dengan aset yang diuruskan meningkat kepada 451.9 bilion ringgit dan nilai aset bersih sebanyak 277.8 bilion ringgit. Tuan Yang di-Pertua, 40. Pada tahun 2012, pasaran ekuiti negara telah mencatat peningkatan yang monumental dengan menyaksikan tawaran awam awal atau IPO yang bernilai 17.4 bilion ringgit.Ia merupakan peningkatan 162 peratus berbanding 2011. Sejarah tercipta apabila dua daripada tiga IPO terbesar di dunia iaitu Felda Global Ventures Holdings dengan nilai 9.9 bilion ringgit dan IHH Healthcare Berhad dengan nilai 6.3 bilion ringgit telah diterbitkan.Terkini, Astro akan disenaraikan pada bulan Oktober 2012 dengan jangkaan nilai terbitan yang besar. 41. Untuk terus mencergaskan pasaran modal dan ekuiti negara,Suruhanjaya Sekuriti akan menyediakan rangka kerja bagi terbitan AgroSukukuntuk syarikat yang terlibat dalam sektor pertanian, terutamanya dengan kejayaan penyenaraian FGVH. Dengan terdapatnya instrumen seperti Agro Sukuk, ia dapat mengumpulkan modal bagi membiayai syarikat-syarikat pertanian dan industri asas tani. Justeru,untuk menggalakkan terbitan Agro Sukuk, Kerajaan mencadangkan perbelanjaan bagi menerbitkan sukuk tersebut diberi potongan cukai dua kali bagi tempoh 4 tahun mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015. 42. Selain daripada pelabur institusi, buat pertama kalinya, Kerajaan menggalakkan pelabur runcit menyertai pasaran modal. Bagi tujuan ini, SC telah menyediakan satu rangka kerja terbitan bon dan sukuk runcit untuk membolehkan pelabur-pelabur runcit memiliki pegangan dalam pasaran bon dan sukuk. Sebagai permulaan,Dana Infra Nasional Berhad akan menerbitkan bon runcit bernilai 300 juta pada akhir tahun 2012 untuk membiayai pembangunan projek MRT. 43. Bagi mendorong syarikat menerbitkan bon dan sukuk runcit, Kerajaan mencadangkan perbelanjaan tambahan menerbitkan bon dan sukuk runcit tersebut diberi potongan cukai dua kali mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015. Pada masa yang sama, pelabur individu pula, diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara yang terlibat dalam urusniaga bon dan sukuk runcit. 44. Suruhanjaya Sekuriti akan menubuhkan Pusat Promosi Pasaran Modal bagi memastikan keberkesanan dan promosi secara holistik pasaran modal Malaysia di peringkat antarabangsa. Pusat ini akan memastikan pendekatan bersepadu dengan menyediakan inisiatif yang konsisten untuk menempatkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan pendanaan. 45. Bagi meningkatkan penawaran golongan profesional untuk menyokong pertumbuhan pasaran modal, SC akan memperkenalkan inisiatif Graduate Representative Program. Program ini akan dilaksanakan dengan kerjasama sektor swasta bagi melatih 1,000 graduan supaya dapat memenuhi keperluan industri sekuriti dan derivatif. MENGGALAKKAN AMANAH PERNIAGAAN (BusinessTrust) 46. Pengendalian perniagaan melalui suatu entiti amanah mempunyai kelebihan tertentu, terutamanya dari segi meningkatkan keupayaan untuk memperoleh sumber kewangan berdasarkan aset yang dimiliki. Dengan itu, Kerajaan telah meminda Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 untuk menyediakan pilihan pengendalian perniagaan melalui struktur baru iaitu amanah perniagaan (business trust). 47. Selaras dengan ini, Kerajaan mencadangkan amanah perniagaan diberi layanan cukai sama seperti sesebuah syarikat. Seterusnya, bagi menggalakkan pembangunan amanah perniagaan, adalah dicadangkan pindah milik perniagaan, aset dan hartanah milik syarikat kepada amanah perniagaan diberi pengecualian duti setem dan pengecualian cukai keuntungan harta tanah di peringkat awal penubuhan amanah perniagaan. 48. Kerajaan telah menubuhkan Danajamin Nasional Berhad agar syarikat yang berdaya maju mendapat dana melalui pasaran bon pada kos yang munasabah. Danajamin telah meluluskan jaminan berjumlah 9.3 bilion ringgit nilai terbitan bon kepada 30 syarikat dengan 4.2 bilion ringgit bon dan sukuk telah diterbitkan. Langkah ini telah membolehkan syarikat menjana aktiviti ekonomi dalam pelbagai sektor termasuk hartanah, infrastruktur, perladangan, minyak dan gas, pembinaan, perkilangan serta penerbangan. 49. Bagi merancakkan lagi akses syarikat ke pasaran modal, Kerajaan akan menambah peruntukan modal Danajamin sebanyak 400 juta ringgit dalam tempoh 2 tahun. Suntikan ini dapat melipatgandakan nilai terbitan antara 4 hingga 6 bilion ringgit. 50. Kerajaan turut mengumumkan penubuhan Yayasan Pasaran Modal sebagai usaha bersepadu meningkatkan kompetensi dan keupayaan untuk bersaing dalam landskap pasaran modal yang lebih dinamik. Yayasan ini akan memberi fokus kepada 3 aspek utama iaitu pembangunan PKS; menggalak dan menyokong produk inovasi dan pembangunan modal insan. Sehubungan dengan itu, sejumlah 100 juta ringgit akan disediakan kepada Yayasan ini melalui Tabung Pembangunan Pasaran Modal di bawah kawal selia SC. 51. Sebagai salah satu inisiatif untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan antarabangsa serta menarik FDI, Kerajaan telah melancarkan Tun Razak Exchange atau TRX pada 30 Julai 2012 dengan nilai pembangunan kasar sebanyak 26 bilion ringgit. TRX akan memberi peluang pelaburan baru dengan menghubungkan komuniti perniagaan dan pasaran global. TRX dijangkakan menarik 250 syarikat perkhidmatan kewangan antarabangsa dan menawarkan 40 ribu peluang pekerjaan mahir dan berpengetahuan. 52. Untuk mengalakkan institusi kewangan antarabangsa utama menjadikan Kuala Lumpur sebagai pilihan pelaburan, pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh 10 tahun kepada syarikat berstatus TRX, pengecualian duti setem, elaun bangunan industri, elaun modal dipercepatkan kepada syarikat berstatus TRX Marquee dan pengecualian cukai bagi pemaju hartanah telah diberikan. Kerja pembinaan awal TRX berjalan lancar mengikut jadual. Manakala, pengalihan kemudahan utiliti sedia ada di tapak TRX pula sedang giat dijalankan dan dijangka selesai pada Oktober 2012. WAKAF KORPORAT Tuan Yang di-Pertua, 53. Kerajaan mengambil maklum bahawa Majlis Agama Islam Negeri merupakan pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf dan dana wakaf dalam sesebuah negeri. Institusi wakaf di Malaysia tidak hanya tertumpu pada pembangunan tanah semata-mata tetapi juga merangkumi wakaf dalam bentuk tunai, saham dan instrumen kewangan lain yang dikategorikan sebagai wakaf korporat. Selaras dengan itu, Yayasan Wakaf Malaysia di bawah JAWHAR akan diberi tanggungjawab untuk merangka pelan induk Wakaf Korporat mengambil kira struktur perundangan Agama Islam Negeri. Pelan induk ini bakal menjadi platform pembangunan wakaf korporat di Malaysia. PEMBANGUNAN USAHAWAN BUMIPUTERA Tuan Yang di-Pertua, 54. Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan syarikat Bumiputera dapat bersaing secara seimbang dalam pemilikan syarikat besar, pekerjaan berpendapatan tinggi serta pelaburan dalam sektor utama ekonomi. Pada tahun 2010, ekuiti Bumiputera telah meningkat kepada 23 peratus berbanding 22 peratus pada tahun 2008. Salah satu usaha ialah meningkatkan penglibatan syarikat Bumiputera dalam pelaksanaan jajaran pertama projek MRT. Sesungguhnya, penglibatan syarikat Bumiputera dalam projek berimpak tinggi seperti MRT akan meningkatkan keupayaan dan kemahiran syarikat Bumiputera tempatan. Justeru, sebanyak 9 bilion ringgit atau 43 peratus daripada nilai kos infrastruktur projek MRT diperuntukkan kepada syarikat Bumiputera. 55. Usaha juga akan diambil bagi membantu syarikat PKS Bumiputera untuk berkembang dan mempertingkatkan pegangan ekuiti dalam sektor ekonomi. Sehubungan ini, Dana Pembiayaan Bumiputera berjumlah 1 bilion ringgit akan disediakan oleh SME Bank. Dana ini dijangka dapat membantu PKS tempatan bagi tujuan membiayai pengambilalihan anak syarikat milik GLC yang menjalankan aktiviti bukan teras dan telah dikenal pasti untuk dijual.Setakat ini, 2 GLC telah mengenal pasti anak-anak syarikat yang berpotensi untuk dijual kepada pelabur-pelabur Bumiputera. 56. Kerajaan telah memperkenalkan Skim Jaminan Modal Kerja dengan dana sebanyak 10 bilion ringgit bagi membantu syarikat PKS mendapatkan akses pembiayaan modal kerja. Skim ini memberi jaminan maksimum sehingga 2.5 juta ringgit bagi setiap syarikat yang layak. Pada masa ini, dana Skim ini yang dikhaskan kepada syarikat Bumiputera masih berbaki 900 juta ringgit. Bagi menarik lebih banyak syarikat bumiputera menikmati kemudahan Skim ini, Kerajaan akan melanjutkan tempoh tamat program skim ini sehingga 31 Disember 2013, memperluas skim ini kepada syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi dan meningkatkan kelayakan dana pemegang saham syarikat daripada 10 juta ringgit kepada tidak melebihi 20 juta ringgit. 57. Kemudahan pinjaman secara mudah dan cepat sering kali menjadi kekangan kepada usahawan kecil terutama Bumiputera. Dengan tertubuhnya Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga, usahawan kecil kini mampu memulakan dan memajukan lagi perniagaan mereka. Sehingga kini, TEKUN telah menyalurkan pinjaman sebanyak 2.24 bilion ringgit kepada 224,175 usahawan kecil di seluruh negara termasuk sejumlah 34.5 juta ringgit kepada 4,212 usahawan masyarakat India di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India. Bagi tahun 2013, Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak 350 juta ringgit, termasuk daripadanya 50 juta ringgit kepada masyarakat India. FOKUS KEDUA: MEMPERKASA PENDIDIKAN DAN LATIHAN Tuan Yang di-Pertua, PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013-2025 58. Fokus Kedua: Memperkasa Pendidikan dan Latihan. Sememangnya sejak merdeka, Kerajaan telah menjadikan bidang pendidikan sebagai agenda utama negara. Kerajaan juga menyedari pelaburan dalam bidang ini adalah prasyarat kepada sebuah negara yang makmur dan pembangunan rakyat yang sejahtera. Lalu, setiap tahun menyaksikan peruntukan besar dan kali ini 21 peratus daripada keseluruhan bajet. Namun, didapati hasil yang diperolehi tidak setara dengan pelaburan yang telah dibuat. Maka, pada 11 September lepas, Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran telah melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 bagi memastikan sistem pendidikan negara akan mampu mengoptimumkan potensi setiap anak Malaysia. 59. Bagi Bajet 2013, sebanyak38.7 bilion ringgit telah diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran meliputi peruntukan mengurus dan pembangunan. 60. Berbicara tentang itu, langkah meningkat upaya kompetensi dan kualiti guru merupakan prasyarat kritikal yang menunjang kejayaan sistem pendidikan negara. Oleh itu, bagi menjana mula prakarsa ini,di samping 38.7 bilion ringgit peruntukan kepada Kementerian Pelajaran bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan, Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak 500 juta ringgit bagi meningkatkan kemahiran guru dalam pengajaran subjek-subjek teras, yakni Bahasa Kebangsaan, bahasa Inggeris, sains dan matematik melalui pendekatan Higher Order ThinkingSkills. Peruntukan ini juga merangkumi penubuhan Unit Pelaksanaan Pendidikan atau EducationDelivery Unit bagi memantau dan menilai keberkesanan pelaksanaan transformasi pelan tersebut. Tuan Yang di-Pertua, 61. Pada pembentangan Bajet 2012, Kerajaan telah menyediakan sebanyak 1 bilion ringgit di bawah Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik-pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan.Untuk meneruskan komitmen Kerajaan, sukacita saya mengumumkan tambahan 1 bilion ringgit lagi kepada Tabung khas ini. Daripada jumlah ini, 400 juta ringgit akan disalurkan kepada Sekolah Kebangsaan, 100 juta ringgit kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, 100 juta ringgit Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, 100 juta ringgit Sekolah Mubaligh, 100 juta ringgit Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, 100 juta ringgit Sekolah Berasrama Penuh dan 100 juta ringgit kepada Maktab Rendah Sains MARA. MEMPERKUKUH PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK Tuan Yang di-Pertua, 62. Melangkah ke ruang pendidikan awal kanak-kanak, kualiti pendidikan prasekolah amat penting sebagai platform melengkapkan kanak-kanak dengan pendidikan asas. Untuk ini, sebanyak 1.2 bilion ringgitdisediakan bagi tujuan pendidikan prasekolah termasuk kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat, Kementerian Pelajaran, PERMATA dan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional. Sebagai tambahan, sebanyak 380 juta ringgit disediakan di bawah Kementerian Pelajaran untuk penempatan guru prasekolah. 63. Berhubung perkhidmatan taska dan pusat jagaan kanak-kanak yang berkualiti pula, demi memastikan kanak-kanak mendapat penjagaan sempurna di samping membangunkan perkembangan minda yang positif,Kerajaan mencadangkan insentif-insentif berikut: Pertama: Geran pelancaran 10 ribu ringgit kepada penyedia Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak swasta untuk membantu mereka membuka taska baru yang berkualiti. Dianggarkan 1,000 ECCE swasta baru akan mendapat manfaat; Kedua: Potongan cukai 2 kali ke atas elaun atau subsidi yang diberi kepada pekerja dan perbelanjaan penyelenggaraan kemudahan taska dan pusat jagaan kanak-kanak akan diberi kepada majikan; Ketiga: Pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh 5 tahun dan elaun bangunan industri pada kadar 10 peratus setahun diberi kepada pengusaha taska dan pusat jagaan kanak-kanak swasta; dan Keempat : Pengecualian cukai pendapatan untuk tempoh 5 tahun dan elaun bangunan industri pada kadar 10 peratus setahun kepada pengusaha pra-sekolah swasta. 64. Pada masa ini, kita dapati ramai kanak-kanak kurang upaya dari keluarga berpendapatan rendah yang tidak mendapat pendidikan awal kerana kekurangan TASKA OKU. Untuk ini Kerajaan akan melaksanakan projek perintis TASKA OKU bagi 6 kategori kanak-kanak OKU yang merangkumi downsyndrome, autisme, penglihatan, pekak dan bisu, fizikal dan OKU masalah pembelajaran. LATIHAN & KEMAHIRAN 65. Berganjak kepada soal modal insan, yang berpengetahuan, kreatif dan inovatif, program latihan akan dibentuk untuk mengasah kemahiran baru selaras dengan keperluan industri masa depan ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan maju. Bagi tujuan ini, pada tahun 2013, sejumlah 3.7 bilion ringgit akan disediakan untuk melatih pelajar dalam bidang teknikal dan vokasional. 66. Setiap tahun hampir 180 ribu graduan berkelulusan diploma dan sarjana muda menamatkan pengajian daripada institusi pengajian tinggi. Untuk membantu mereka yang masih menganggur, maka Kerajaan akan melancarkan Graduate Employability Blueprint pada penghujung tahun 2012. Rangka kerja ini akan memberi tumpuan untuk memperkukuh kebolehpasaran graduan. Dalam hal ini, Kerajaan akan menubuhkan Graduate Employability Taskforce dengan peruntukan 200 juta ringgit. 67. Kerajaan telah melaksanakan Program Skim Latihan 1Malaysia atau dikenali sebagai SL1M yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan melalui latihan soft-skills dan on-job-training di syarikat swasta melalui galakan potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan oleh pihak syarikat. Galakan ini telah diberi mulai 1 Jun 2012 sehingga tahun 2016. 68. Kerajaan juga memperuntukkan 440 juta ringgit kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran bagi memberi pinjaman kepada pelatih untuk menjalani latihan kemahiran. Langkah ini akan dapat memanfaatkan hampir 40 ribu pelatih di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia tahap 1 hingga 5. Kerajaan juga memperuntukkan 366 juta ringgit bagi menaik taraf serta pembelian peralatan Institut Latihan Perindustrian dan Institut Kemahiran Belia Negara. 69. Pelbagai program latihan kemahiran akan dilaksanakan selaras dengan matlamat mentransformasikan industri utama negara berteras kepada teknologi tinggi, berinovatif serta berpendapatan tinggi. Ke arah ini, tumpuan akan diberi bagi melahirkan tenaga kerja profesional dan berbakat di dalam industri terpilih termasuk industri minyak dan gas, perkapalan, ICT, kreatif serta bioteknologi. Bagi tahun 2013, dijangka seramai 5,000 pelatih akan menyertainya. Di samping itu, Petronas akan menggunakan kemudahan Institut Kemahiran Belia Negara di Pengerang, Johor untuk melatih seramai 300 orang belia menjelang akhir tahun ini dalam bidang minyak dan gas bagi memenuhi keperluan projek RAPID. 70. Kerajaan sedar tentang pelajar miskin masyarakat India, terutamanya dari estet-estet yang tidak memperolehi keputusan yang baik dalam peperiksaan dan tidak berpeluang untuk mendapat pekerjaan. Selaras dengan itu, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit untuk melatih 3,200 pelajar masyarakat India bagi memperlengkapkan mereka dengan kemahiran, selaras permintaan pasaran. Latihan ini akan dikendalikan oleh Institut Latihan Perindustrian dan kolej-kolej di bawah Skim Latihan Dual Nasional. 71. Bagi memastikan golongan pekerja swasta adalah sentiasa sihat dan produktif dalam menyumbang kepada pembangunan syarikat dan ekonomi negara, aspek kesihatan mesti diberi keutamaan. Untuk ini, PERKESO akan menyediakan peruntukan sebanyak 200 juta ringgit bagi membolehkan ahlinya seramai 1.4 juta orang menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma di hospital Kerajaan atau klinik panel PERKESO. Pemeriksaan kesihatan ini bertujuan untuk mengesan penyakit tidak berjangkit, kepada semua pekerja yang berumur antara 40 hingga 55 tahun. FOKUS KETIGA: MEMBUDAYA INOVASI, MENINGKAT PRODUKTIVITI Tuan Yang di-Pertua HARTA INTELEK (IP) SEBAGAI CAGARAN 72. Fokus Ketiga: Membudayakan inovasi meningkat produktiviti. Bagi membolehkan PKS menggunakan harta intelek sebagai nilai komersial dan instrumen untuk mendapatkan pembiayaan memajukan perniagaan,satu model penilaian harta intelek akan diwujudkan bagi membenarkan ia dinilai secara komersial dan seterusnya digunakan sebagai cagaran memperoleh pembiayaan dari institusi kewangan. Bagi maksud ini, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan: Pertama: Mewujudkan skim Dana Pembiayaan Harta Intelek berjumlah 200 juta ringgit. Skim ini akan ditawarkan oleh Malaysia DebtVentures. Kerajaan akan memberi subsidi kadar faedah sebanyak 2 peratus dan jaminan sebanyak 50 peratus melalui Credit Guarantee Corporation; dan Kedua: Menyediakan peruntukan sebanyak 19 juta ringgit bagi program latihan penilai harta intelek tempatan kendalian Perbadanan Harta Intelek serta mewujudkan platform pasaran harta intelek. 73. Aktiviti R&D pula akan terus diberi penekanan. Pelbagai penemuan dan hasil R&D institusi penyelidikan awam berpotensi untuk dikomersialkan. Maka, Kerajaan memperuntukkan sebanyak 600 juta ringgit kepada 5 buah universiti penyelidikan bagi menjalankan penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang strategik seperti nano teknologi, automatif, bio-teknologi serta aero-angkasa. 74. Untuk merancakkan aktiviti pengkomersialan penemuan R&D institusi penyelidikan awam, Kerajaan mencadangkan galakan cukai sedia ada bagi pengkomersialan penemuan R&D berasaskan aktiviti sumber diperluaskan kepada aktiviti berasaskan bukan sumber yang digalakkan di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986. Galakan cukai tersebut adalah: Pertama: Syarikat yang melabur dalam syarikat subsidiarinya yang menjalankan aktiviti mengkomersialkan penemuan R&D diberi potongan cukai bersamaan dengan jumlah pelaburan yang dibuat dalam syarikat subsidiari tersebut; dan Kedua: Syarikat subsidiari yang menjalankan aktiviti mengkomersialkan penemuan R&D diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh 10 tahun. MEMPERGIAT PELABURAN MODAL TEROKA OLEH PELABUR INDIVIDU 75. Merujuk usahawan muda tempatan, sememangnya didapati mereka mempunyai idea dan produk inovatif yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa namun berhadapan sumber pembiayaan terhad. Oleh itu, sebagai sumber pembiayaan alternatif, penglibatan secara langsung pelabur pemangkin atau angel investors di peringkat awal perniagaan adalah amat penting bagi merealisasikan pelaburan dan daya saing syarikat teroka. Sehubungan itu, Kerajaan mencadangkan potongan cukai bersamaan jumlah pelaburan oleh pelabur pemangkin dalam syarikat teroka dibenarkan ditolak daripada semua jenis pendapatannya. MENYEMARAK INOVASI INKLUSIF Tuan Yang di-Pertua, 76. Bagi memastikan pembangunan inklusif, Kerajaan akan terus merancang dan melaksanakan program serta aktiviti berintensifkan pengetahuan, kreativiti dan inovasi. Menuju ke tahun 2020, menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, inovasi akan terus diperkukuh dan diarusperdanakan dalam semua sektor dan segenap lapisan masyarakat. Melalui Bajet 2013, inisiatif ini akan diambil oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama agensi Agensi Inovasi Malaysia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). PEMBANGUNAN TEKNOLOGI HIJAU 77. Dalam Bajet 2010, Kerajaan telah mewujudkan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (SPTH) dengan dana berjumlah 1.5 bilion ringgit untuk tempoh 3 tahun, yang akan berakhir pada 31 Disember 2012. Dana ini membolehkan syarikat pengeluar dan syarikat pengguna teknologi hijau membuat pinjaman mudah dengan Kerajaan menanggung subsidi 2 peratus daripada jumlah kadar faedah dan jaminan Kerajaan 60 peratus. Sehingga kini, hampir 800 juta ringgit telah diluluskan kepada 50 syarikat tempatan. Bagi merancakkan lagi pengeluaran dan penggunaan produk berasaskan teknologi hijau, dana skim ini akan ditambah sebanyak 2 bilion ringgit dan tempoh permohonan skim SPTH ini dilanjutkan untuk tempoh 3 tahun lagi iaitu sehingga 31 Disember 2015. FOKUS KEEMPAT: KONSOLIDASI FISKAL DAN MEMPERCEKAP PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM Tuan Yang di-Pertua, 78. Fokus Keempat: Konsolidasi Fiskal dan Mempercekap Penyampaian Perkhidmatan Awam. Sesungguhnya, Kerajaan komited dalam memastikan defisit fiskal terus berkurangan dan negara berada pada landasan yang betul bagi mencapai bajet berimbang. Dalam hal ini, semua kementerian dan agensi perlu memastikan peruntukan mengurus dan pembangunan dibelanjakan bagi perkara yang benar-benar perlu dan penting dalam menyokong pelaksanaan dasar dan program negara. 79. Kerajaan akan memastikan hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi paras 55 peratus kepada KDNK dan defisit fiskal terus berkurangan kepada 3 peratus menjelang 2015. Antara langkah yang akan dan telah diambil termasuk memastikan kutipan hasil ditingkatkan dengan mengukuhkan sistem percukaian dan memastikan semua perolehan dan pembelian Kerajaan adalah berdasarkan prinsip value for money. 80. Selain daripada peralihan sistem subsidi pukal kepada subsidi bersasar, kajian semula sistem percukaian kebangsaan akan diteruskan bagi memastikan sistem cukai negara akan lebih menggambarkan kedudukan kewangan setiap isi rumah. Peralihan daripada sistem cukai berasaskan pendapatan kepada sistem cukai yang lebih menyeluruh serta saksama akan pada analisa akhirnya memanfaatkan semua rakyat Malaysia. 81. Langkah ini tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa mahupun semberono tetapi setelah kajian teliti dan pelaksanaan penuh tertib. Ia tidak akan mengesankan rakyat terbanyak khususnya golongan berpendapatan rendah serta sederhana kerana perkara-perkara asas sama ada makanan, perumahan mahupun pengangkutan awam akan terus dilindungi. 82. Pelaksanaan struktur baru cukai ini sudah menjadi sebagai satu imperatif nasional bagi memastikan kelestarian sistem kewangan negara terus utuh untuk generasi masa depan Malaysia. Kerajaan tidak akan mengelak dari mengambil tindakan yang betul walaupun ianya penuh liku. 83. Walau bagaimanapun, ruang masa yang mencukupi akan tetap disediakan oleh Kerajaan agar semua pihak dapat membuat persiapan yang sewajarnya. Penerimaan rakyat ke atas inisiatif baru ini akan diperoleh dengan program penerangan, pendidikan serta rundingan secara ekstensif. Tuan Yang di-Pertua, 84. Dalam memberi perkhidmatan terbaik, penjawat awam mesti menerapkan budaya produktiviti, kreativiti dan inovasi. Amalan kerja pula mestilah cepat, tepat dan berintegriti. Langkah ini akan mencetuskan paradigma baru dan seterusnya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap prestasi perkhidmatan awam lebih efisien dan efektif serta lebih responsif. 85. Kerajaan tidak lupa akan jasa pesara yang pernah mencurahkan khidmat bakti dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada negara. Sehubungan itu, Kerajaan akan menyelaras semula pencen pesara Kerajaan yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun dengan menaikkan pencen minimum daripada720 ringgit kepada 820 ringgit. Pelarasan pencen ini akan mengambil kira bayaran pencen bermula 1 Januari 2012. Langkah ini melibatkan seramai 50,371 pesara, termasuk penerima pencen terbitan, dengan peruntukan tambahan sebanyak 60 juta ringgit setahun. 86. Sebagai pengiktirafan kepada golongan warga emas, Kerajaan mencadangkan caj bayaran pemprosesan pasport dikurangkan sebanyak 50 peratus iaitu daripada 300 ringgit kepada 150 ringgit untuk tempoh sah laku 5 tahun. Manakala, bagi caj bayaran pengurusan pasport untuk tempoh dua tahun dikurangkan kepada 80 ringgit. Pengurangan caj bayaran pasport ini juga diperluaskan kepada kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah. Kadar bayaran baru ini akan berkuat kuasa pada Januari 2013. PENAMBAHBAIKAN SKIM PERKHIDMATAN ANGKATAN TENTERA Tuan Yang di-Pertua, 87. Bagi memastikan Angkatan Tentera Malaysia mempunyai modal insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, serta merealisasikan visi dan hala tuju strategik ATM sesuai dengan keperluan semasa, Kerajaan bersetuju untuk menambah baik skim perkhidmatan ATM. Sehubungan itu, syarat lantikan bagi skim perkhidmatan ATM telah ditambah baik dengan kelayakan masuk bagi pegawai ditingkatkan kepada Ijazah Sarjana Muda Kepujian dan bagi askar laskar kelayakan masuk minimum ditingkatkan ke peringkat SPM dan Diploma berdasarkan skop tugas. 88. Mengambil kira keunikan perkhidmatan ATM, Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan peluang kenaikan pangkat anggota ATM melalui kaedah kenaikan secara time-based anggota berpangkat prebet ke Lans Koperal dan Lans Koperal ke Koperal dalam tempoh 8 tahun dengan memenuhi syarat-syarat serta prestasi yang memuaskan. Ini adalah bagi meningkatkan peluang kemajuan kerjaya serta motivasi anggota ATM. Usaha ini akan memberi faedah kepada seramai 78,123 anggota dan melibatkan peruntukan sebanyak 107 juta ringgit. 89. Di samping itu, Kerajaan juga bersetuju memberikan bayaran insentif khas dengan kadar 200 ringgit sebulan kepada semua pegawai dan anggota ATM seramai 125,708 orang berkuat kuasa 1 Januari 2013. Langkah ini akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak 301 juta ringgit. 90. Kerajaan menghargai peranan pasukan simpanan angkatan tentera sebagai pelengkap dan sokongan kepada angkatan tetap ATM. Bagi menghargai sumbangan mereka, Kerajaan bersetuju untuk menyelaras elaun khidmat bertugas daripada 4 ringgit sejam bagi anggota biasa kepada 6 ringgit sejam dan RM5.80 sejam kepada RM7.80 sejam melibatkan 65 ribu anggota simpanan angkatan tentera yang merangkumi Askar Wataniah serta Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut dan Udara di seluruh negara. Kadar baru ini telah pun dikuatkuasakan untuk RELA, JPAM dan PVR sebelum ini. 91. Kerajaan juga tidak lupa jasa bakti pahlawan negara. Untuk membantu bekas tentera yang bersara awal kerana berkhidmat kurang daripada 21 tahun serta tidak berpencen, Kerajaan bersetuju untuk memberi sumbangan sebanyak 1 ribu ringgit secara one-off kepada mereka. Peruntukan sebanyak 224 juta ringgit yang melibatkan 224 ribu bekas tentera ini akan dikongsi bersama oleh Kerajaan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera. 92. Kerajaan juga akan memperkenalkan Skim Perlindungan Insurans Berkelompok kepada anggota tentera dan polis yang sedang berkhidmat dengan peruntukan 12 juta ringgit. Skim ini akan memberi had perlindungan maksimum sehingga 15 ribu ringgit kepada hampir 242 ribu anggota tentera dan polis. 93. Pada masa ini, Kerajaan meminjam sebanyak 6 bilion ringgit setahun untuk membiayai keperluan pinjaman perumahan penjawat awam yang diuruskan oleh Bahagian Pinjaman Perumahan, Kementerian Kewangan. Sebagai sebahagian daripada usaha konsolidasi fiskal dan mengurangkan beban tanggungan kewangan Kerajaan, BPP akan disusun semula di mana Kerajaan akan melantik panel bank komersial untuk menguruskan pinjaman perumahan Kerajaan yang baru berkuat kuasa Januari 2013. Segala manfaat dan bantuan sedia ada yang dinikmati oleh penjawat awam akan tetap dikekalkan malah ditambah baik. Penjawat awam masih tetap membayar 4 peratus kadar faedah ke atas pinjaman perumahan. 94. Selain itu, pada masa ini, wang proses yang dikenakan bagi setiap permohonan pinjaman perumahan penjawat awam adalah sebanyak 1 ringgit bagi setiap 1,000 ringgit pinjaman yang dipohon bagi pinjaman kali pertama dan 2 ringgit bagi pinjaman kali kedua. Bagi mengurangkan beban kewangan dan memudahkan proses kelulusan pinjaman, Kerajaan bersetuju untuk menetapkan wang proses ini pada kadar 100 ringgit bagi setiap permohonan tanpa mengambil kira jumlah pinjaman yang dipohon. 95. Kerajaan turut memberi perhatian untuk meringankan beban kos sara hidup bagi pelatih-pelatih yang mengikuti kursus pra perkhidmatan di peringkat ijazah, diploma dan sijil. Dengan ini, Kerajaan bersetuju menaikkan kadar elaun pra perkhidmatan yang melibatkan 31,135 pelatih. Skim perkhidmatan yang terlibat adalah Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Penolong Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Farmasi, Juru X-Ray, Jururawat, Jururawat Pergigian, Jurupulih Perubatan, Juruteknologi Makmal Perubatan, Juruteknologi Pergigian, Jururawat Masyarakat, Pembantu Kesihatan Awam dan Pembantu Pembedahan Pergigian. Untuk ini, sebanyak 84.2 juta ringgit akan disediakan. FOKUS KELIMA: MENSEJAHTERAKAN RAKYAT Tuan Yang di-Pertua, 96. Fokus Kelima: Mensejahterakan rakyat. Kerajaan juga akan menyediakan 6 bilion ringgit pada tahun 2013 di bawah Pakej Rangsangan Khas yakni PFI 2 untuk melaksanakan pelbagai projek dan program untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara. Antara projek yang telah dikenal pasti termasuk membaik pulih dan menyelenggara sekolah serta klinik kesihatan, projek perumahan, projek tangki air, rancangan tebatan banjir dan penyediaan kemudahan sukan. MEWUJUD KEJIRANAN YANG SELAMAT & HARMONI Tuan Yang di-Pertua, 97. Kerajaan telah memperkenalkan langkah mengurangkan kadar jenayah sebagai salah satu inisiatif di bawah NKRA. Usaha mengurangkan kadar jenayah akan terus dipertingkatkan. Untuk tujuan ini, peruntukan sejumlah 591juta ringgit akan disediakan bagi tahun 2013 untuk melaksanakan langkah-langkah berikut: Pertama : Menambah bilangan perjawatan baru Polis DiRaja Malaysia pada 2013 untuk melaksanakan tugas-tugas rondaan dan pencegahan jenayah serta menaik taraf infrastruktur dan menyediakan peralatan moden; Kedua: Menubuhkan Unit Rondaan Bermotosikal memantau kawasan perumahan. Untuk ini, Kerajaan akan menyediakan 1,000 buah motosikal dengan peruntukan sebanyak 20 juta ringgit; Ketiga: Menambah bilangan ahli Pasukan Sukarelawan Polis seramai 10,000 orang dengan peruntukan 70 juta ringgit bagi membantu polis membanteras jenayah; dan Keempat : Menambah pemasangan Sistem Kamera Litar Tertutup atau CCTV sebanyak 496 unit di 25 buah Pihak Berkuasa Tempatan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Tuan Yang di-Pertua, 98. Kerajaan sedar akan tugas dan tanggungjawab berat pegawai dan anggota Polis DiRaja Malaysia. Kepada warga PDRM saya mendengar rintahan saudari dan saudari sekelian tentang beberapa anomali yang wujud terutamanya dalam perjawatan untuk para pegawai. Kerajaan mendengar dan mengambil maklum kita tidak sekali-kali mengambil mudah tentang soal ini. Kerajaan telahpun mengarahkan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam agar kajian komprehensif dilakukan untuk menambahbaik laluan kerjaya warga PDRM. kajian dan segala cadangan yang dibuat hendaklah merundingi semua "stakeholder" dan hendaklah diselesaikan dalam masa secepat mungkin. 99. Kerajaan komited memastikan setiap rakyat yang dituduh di mahkamah mempunyai pembelaan sesuai dengan hak mereka yang dijamin oleh Perlembagaan dan telah memberi geran pelancaran sebanyak 14 juta ringgit kepada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. Kerajaan dengan ini menambah 20 juta ringgit lagi peruntukan untuk tahun 2013. Tuan Yang di-Pertua, 100. Penglibatan swasta dan komuniti setempat secara menyeluruh bersama Kerajaan adalah penting bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang selamat. Sehubungan itu, Kerajaan akan melaksanakan inisiatif-inisiatif berikut: Pertama : Menyokong peranan persatuan penduduk bagi tujuan menggalakkan aktiviti rondaan di kawasan kejiranan. Untuk ini, Kerajaan bercadang memberi geran berjumlah 10,000 ringgit kepada 4,025 persatuan penduduk yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, dengan kos sebanyak 40 juta ringgit; Kedua : Mempertingkatkan peranan rukun tetangga dalam membantu menjaga keselamatan kawasan perumahan. Untuk ini, Kerajaan mensasarkan 6,500 penubuhan kawasan rukun tetangga menjelang tahun 2013. Kerajaan akan memperuntukkan 39 juta ringgit bagi membiayai aktiviti KRT; Ketiga : Menyediakan sepasang pakaian seragam untuk 300,00 anggota RELA yang aktif dengan peruntukan sebanyak 90 juta ringgit; dan Keempat: Tolakan sepenuhnya perbelanjaan pemasangan alat kawalan keselamatan bagi syarikat-syarikat dalam tahun yang sama ia dibelanjakan, berbanding dengan tolakan semasa iaitu 8 tahun, di bawah galakan Elaun Modal Dipercepatkan. Kerajaan juga bersetuju galakan yang menarik ini turut diberi kepada syarikat pemaju perumahan. SPRM Tuan Yang di-Pertua, 101. Pastinya, Kerajaan terus komited untuk membasmi gejala rasuah. Bagi tahun 2013, sebanyak 276 juta ringgit akan diperuntukkan kepada SPRM bagi membanteras rasuah. Untuk ini, Kerajaan bersetuju menambah sebanyak 150 perjawatan tambahan setiap tahun sehingga mencapai 5,000 anggota. Langkah ini diharap akan dapat menyokong usaha Kerajaan memperbaiki kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah. MEMACU TRANSFORMASI KOMUNITI Tuan Yang di-Pertua, 102. Kerajaan telah melancarkan Program Transformasi Luar Bandar atau RTP bagi mengukuhkan pembangunan kawasan luar bandar. Untuk komuniti di bandar pula, sukacita saya mengumumkan Program Transformasi Bandar atau UTP. Sejumlah 200 juta ringgit akan disediakan bagi maksud ini. Bagi memastikan penyelarasan strategik di antara RTP dan UTP, National trategic oordination Unit akan diwujudkan di bawah Kementerian Kewangan. 103. Urban Transformation Program adalah inisiatif Kerajaan dalam pembangunan komuniti bandar bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan Kerajaan dan swasta yang efisien, cepat dan mudah diakses. UTC dilaksanakan dengan mengubahsuai bangunan Kerajaan sedia ada yang kosong atau mengoptimumkan penggunaan bangunan dengan kos yang minimum. Sebagai contoh, di UTC, rakyat boleh membuat pasport dalam tempoh satu jam sahaja, membayar zakat, bil utiliti, cukai pintu, membeli kain dan buku serta menjalankan aktiviti riadah seperti futsal dan gim. Keunikan UTC ini, ia beroperasi bermula dari 8.30 pagi hingga 10 malam, 7 hari seminggu. 104. Di bawah UTP, Kerajaan telah melancarkan 2 Pusat Transformasi Bandar atau UTC iaitu di Melaka dan Kuala Lumpur. Terkini, UTC KL telah menerima purata seramai 4,000 orang sehari. Pelaksanaan UTC akan diperhebatkan dan dilaksanakan secara berperingkat di 6 bandar utama, iaitu Alor Setar, Kuantan, Ipoh, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching. PROGRAM TRANSFORMASI LUAR BANDAR 105. Di luar bandar, Kerajaan telah membuka pula Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC di Gopeng, Perak dan Wakaf Che Yeh, Kelantan bagi menyediakan sebuah pusat integrasi perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pengeluaran pertanian, perbankan dan insurans, khidmat nasihat perniagaan, latihan dan kemahiran, klinik serta ruang niaga. Berdasarkan manfaat yang diterima, Kerajaan akan terus memperluaskan RTC ke Melaka, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak. Selain itu, Kerajaan juga akan menaik taraf Medan Info Desa seluruh negara sebagai Mini-RTC. PEMBANGUNAN LUAR BANDAR & MASYARAKAT ORANG ASLI 106. Kawasan luar bandar akan terus dibangunkan bagi mengurangkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar. 4.5 bilion ringgit akan disediakan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan pada tahun 2013 termasuk: Pertama : Sebanyak 1.2 bilion ringgit disediakan untuk melaksanakan 441 kilometer projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa yang memanfaatkan 220 ribu penduduk; Kedua : Sebanyak 1.6 bilion ringgit diperuntukkan untuk projek infrastruktur utiliti luar bandar bagi projek bekalan air kepada 24 ribu buah rumah dan projek penyambungan bekalan elektrik kepada 19 ribu buah rumah; Ketiga : Sebanyak 137 juta ringgit diperuntukkan bagi membiayai Program Desa Lestari melibatkan 29 buah kampung di seluruh negara dan memanfaatkan 38 ribu penduduk. Program utama termasuk menaik taraf kilang pemprosesan hasil laut dan makanan, pembinaan jeti baru, pembinaan pusat pemasaran serta menambah baik pakej dan aktiviti homestay serta rekreasi; Keempat : Sebanyak 88 juta ringgit diperuntukkan bagi melaksanakan program pembangunan ekonomi dan projek bekalan air bagi masyarakat Orang Asli; dan Kelima : Sebanyak100 juta ringgit bagi membekal 40 ribu tangki air menggunakan kaedah tadahan air hujan khususnya di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak. KESIHATAN ASAS KESEJAHTERAAN Tuan Yang di-Pertua, 107. Kerajaan akan terus memastikan rakyat dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang memuaskan. Bagi tahun 2013, Kerajaan memperuntukkan sebanyak 19.3 bilion ringgit untuk perkhidmatan mengurus dan pembangunan. 108. Pembukaan Klinik 1Malaysia telah mendapat sambutan baik dan memberi manfaat dalam meringankan kos rawatan selain memudahkan akses bagi mendapatkan rawatan. Justeru, Kerajaan akan memperuntukkan 20 juta ringgit bagi membuka tambahan 70 klinik pada tahun 2013. Klinik 1Malaysia juga akan mula menyediakan perkhidmatan ujian kolesterol dan glukosa serta ujian urin kepada mereka yang memerlukan. Selain itu, sebanyak 100 juta ringgit akan diperuntukkan untuk membaik pulih 350 klinik di seluruh negara,di samping menambah 150 buah mesin dialisis di pusat hemodialisis Kerajaan seluruh negara. Tuan Yang di-Pertua, 109. Memang benar, wanita bukan sahaja penting dalam pembentukan keluarga bahagia malah turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Untuk itu, Kerajaan memperuntukkan 50 juta ringgit bagi menyokong dwi peranan wanita ini dengan melaksanakan langkah-langkah berikut: Pertama : Seramai 500 wanita akan dilatih di bawah Program Pengarah Wanita untuk diketengahkan sebagai ahli lembaga pengarah syarikat; Kedua : Program Inkubator Keusahawanan Ibu Tunggal (I-KIT) akan dipertingkatkan untuk memberi khidmat nasihat dan latihan kepada ibu tunggal dalam bidang keusahawanan; dan Ketiga : Program Get Malaysian Business Online (GMBO) bagi membantu 50 ribu usahawan kecil, terutamanya wanita melonjakkan perniagaan dengan meningkatkan jualan secara atas talian dengan geran seribu ringgit melalui peruntukan 50 juta ringgitoleh SKMM. Keempat : Peruntukan sebanyak 25 juta ringgit untuk kemudahan pemeriksaan percuma ujian Mamogram. Langkah ini dijangka dapat memanfaatkan seramai 100 ribu wanita berumur 40 tahun dan ke atas. PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT Tuan Yang di-Pertua, 110. Sesungguhnya Kerajaan amat menitikberatkan golongan yang kurang bernasib baik dan berpendapatan rendah dalam memastikan mereka ini tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara. Justeru, program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan diperuntukkan sebanyak 1.2 bilion ringgit meliputi program bantuan warga emas, bantuan kanak-kanak, elaun pekerja orang kurang upaya serta bantuan penyakit kronik. 111. Kerajaan telah melancarkan program 1AZAM atau Akhiri Zaman Miskin yang bertujuan menyediakan peluang menjana pendapatan kepada golongan berpendapatan rendah. Antara program di bawah inisiatif ini adalah Azam Kerja,Azam Tani, Azam Niaga dan Azam Khidmat. Untuk ini, Kerajaan memperuntukkan sejumlah 400 juta ringgit yang dijangka dapat memanfaatkan sebanyak 58,330 peserta. 112. Selain itu, Kerajaan telah menyediakan 2 pusat Anjung Singgah bertujuan untuk menempatkan warga emas, kanak-kanak jalanan dan mereka yang memerlukan tempat tinggal sementara sebelum mereka mendapat pekerjaan atau kemudahan tempat tinggal yang tetap. Seterusnya, Kerajaan menambah lagi 6 pusat Anjung Singgah. Kerajaan juga akan mewujudkan 5 Anjung Kasih di Hospital Sibu, Miri, Temerloh, Seremban dan Ipoh bagi menyediakan tempat penginapan sementara dan selesa kepada pesakit miskin atau ahli keluarga yang mengiringi pesakit yang sedang menerima rawatan di hospital Kerajaan. BELIA & SUKAN Tuan Yang di-Pertua, 113. Sukan adalah pemangkin perpaduan nasional yang terbaik kerana melibatkan semua golongan masyarakat. Nama-nama seperti Lee Chong Wei, Nicol Anne David, Pandelela Rinong, Azizulhasni Awang dan Muhamad Ziyad adalah antara hero dan heroin sukan yang dikagumi.Kejayaan dan pencapaian mereka di peringkat antarabangsa cukup membanggakan.Kerajaan sentiasa memberi penekanan dalam memastikan pembangunan sukan dilaksanakan secara berterusan. Untuk itu, bagi tahun 2013 sebanyak 738 juta ringgit diperuntukkan bagi pembangunan belia dan sukan. 114. Kerajaan akan memperuntukkan 15 juta ringgit bagi mempersiapkan para atlet ke kejohanan sukan antarabangsa termasuk Sukan SEA 2013, Sukan Para ASEAN 2013, Sukan Komanwel serta Sukan Asia tahun 2014. Sebagai tambahan juga, 50 juta ringgit lagi diperuntukkan untuk tempoh 4 tahun khusus bagi persiapan Sukan Olimpik Rio 2016 di bawah program Road to Rio. 115. Bagi menggalakkan perkembangan sukan lumba basikal dan badminton, Kerajaan akan membina sebuah velodrom tertutup di Seremban dan Akademi Badminton di Bukit Kiara dengan peruntukan sebanyak 80 juta ringgit. Tuan Yang di-Pertua, 116. Dalam usaha melahirkan generasi belia yang berpersonaliti tinggi, berintegriti, kreatif dan berinovasi serta berdaya saing, Kerajaan melancarkan program Y-Creative yang melibatkan persatuan belia di seluruh negara.Kerajaan juga akan menganjurkan Festival Belia Putrajaya yang merupakan perhimpunan belia terbesar negara bersempena dengan perisytiharan tahun 2013 sebagai tahun kesukarelaan nasional. 117. Bagi membantu usahawan muda dalam bidang ICT, sebuah yayasan dengan nama New Enterpreneur Foundation akan ditubuhkan dengan peruntukan permulaan sebanyak 50 juta ringgit. NEF akan menjadi platform bagi program latihan dan bimbingan. 118. Selain itu, Young Entrepreneur Fund juga diwujudkan dengan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit akan disediakan oleh SME Bank. Dana pinjaman mudah ini adalah untuk belia berumur 30 tahun ke bawah dengan subsidi kadar faedah pinjaman sebanyak 2 peratus dan had maksimum pinjaman sebanyak 100 ribu ringgit serta tempoh bayaran balik selama 7 tahun. 119. Kerajaan mengiktiraf peranan belia dalam mengaspirasikan pembangunan negara.Untuk itu, Kerajaan akan melancarkan Pertandingan Lautan Biru 1Malaysia For Youth atau 1M4U untuk mereka mempersembahkan idea-idea kreatif dan inovatif menerusi pertandingan di peringkat tempatan, negeri dan kebangsaan. 3 idea terbaik akan diberikan peruntukan daripada Dana Sukarelawan 1Malaysia. Tuan Yang di-Pertua, 120. Sebahagian besar daripada 22 peratus rakyat Malaysia yang menggunakan telefon pintar untuk melayari internet adalah golongan belia. Oleh itu, bagi membuka akses golongan muda kepada lebuhraya maklumat, satu pakej khas akan diperkenalkan oleh kerajaan melalui kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta syarikat telekomunikasi. Melalui Pakej Komunikasi Belia, rebat 200 ringgit akan diberi secara one-off bagi pembelian satu unit telefon mudah alih pintar 3G melalui pengedar-pengedar rasmi. Ia terbuka kepada belia yang berumur 21 hingga 30 tahun berpendapatan bulanan 3,000 ringgit dan ke bawah. 'Dasar Tranformasi Nasional: Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara' Tuan Yang di-Pertua, Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2012 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua. MUQADDIMAH Saya mulakan lafaz ucapan Bajet tahun 2012 ini dengan menyebut kalimah mulia Bismillahirrahmanirrahim. Tuan Yang di-Pertua, Seperti berulang-ulang disurat dan disiratkan dalam Al-Quran yang suci bahawa Allah SWT menyeru kepada kita semua agar menuju sebuah kehidupan dalam suasana ketenteraman, kemakmuran, kesepaduan dan kesejahteraan sebagai orang-orang budiman dan berbakti. Seperti firman-Nya dalam surah Quraish ayat 3 dan 4: “Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah ini yakni Ka’abah, yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka dari ketakutan.” 1. Alhamdulillah, dipanjatkan sejuta pujian ke hadrat Allah SWT di atas segala nikmat yang dikurniakan kepada rakyat dan negara Malaysia. Sebagai warganegara yang menganut pelbagai kepercayaan, kita mempunyai sebab yang bukan sedikit untuk melahirkan rasa kesyukuran kepada Yang Maha Berkuasa. 2. Hakikatnya, Malaysia adalah negara yang berjaya. Dalam tempoh yang singkat, kita telah merubah wajah Malaysia dari sebuah watan pertanian berpendapatan rendah menjadi negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi. Sesungguhnya, kejayaan ini tidak datang bergolek dan tidak terhidang di atas dulang emas. Ia hasil ikatan antara Kerajaan dan rakyat yang telah bersama memecahkan ruyung-ruyung ketidakyakinan dan dogma dengan bertunjangkan perancangan sistematik dan pelaksanaan berkesan. Inilah limpahan rahmat kepada negara yang mempunyai kerajaan bertanggungjawab semenjak merdeka. Kerajaan yang bukan menjanjikan bulan, bintang ataupun cakerawala singgah ke riba tetapi ini adalah sebuah kerajaan yang saban hari memikir, mena’kul, merancang dan melaksanakan dasar serta prakarsa demi kerukunan rakyat dan kesejahteraan negara. Tuan Yang di-Pertua, 3. Kisah kejayaan seumpama ini, bukan satu kelaziman, ia sebenarnya satu keluarbiasaan. Jika diimbau, terdapat banyak negara di dunia yang mempunyai lebih banyak potensi untuk berjaya daripada Malaysia di awal merdeka, namun, mereka telah rebah tersungkur di tengah jalan walaupun mengendong sarat hasil bumi, malah, tidak terbeban pula oleh faktor garis rekahan yang berpotensi memusnah, seperti, kemajmukan kompleks, perbezaan sosioekonomi yang terikat dengan faktor etnik sekalipun pemisahan fizikal wilayah negara. 4. Jelas termaktub dalam sisir masa, cerita kejayaan pembangunan Malaysia bukan semata-mata kisah yang dilakar di bilik-bilik Lembaga Pengarah bangunan-bangunan pencakar langit. Ia adalah citra yang dinukil pak tani di sawah, nelayan di laut, peneroka di ladang, penoreh getah di estet, penanam sayur di pinggir bandar, pekerja industri di kilang-kilang, usahawan-usahawan bertatih di juang niaga, barisan penjawat awam, guru dan pendidik di bilik-bilik darjah, para pensyarah di kuliah, anggota keselamatan di medan-medan, para profesional, budayawan, seniman, pendek kata seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, kepercayaan, gender mahupun status ekonomi. 5. Setelah 53 bajet, 10 Rancangan Malaysia, 3 Rangka Rancangan Jangka Panjang yang masing-masing berpayung di bawah Dasar Ekonomi Baru antara 1971 hingga 1990, Dasar Pembangunan Nasional melewati tempoh-tempoh 1991 sampai tahun 2000 dan Dasar Wawasan Nasional yang merentasi 2001 hingga 2010, hari ini, kita sederap untuk menyambung langkah menuju negara maju berpendapatan tinggi. 6. Seperti mana semua mengetahui, saya telah memulakan pentadbiran ini dengan menggariskan falsafah pemandu 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Kemudian, ia telah disusuli dengan pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dengan 7 NKRA, Program Transformasi Ekonomi (ETP) dengan 12 NKEA, Model Baru Ekonomi dengan 8 SRI dan baru-baru ini, Program Transformasi Politik yang akan menyaksikan proses besar islah undang-undang bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara yang moden, progresif sekaligus demokrasi yang berfungsi. Selain itu, dari masa hingga masa, bagi melengkapkan segala-galanya, Kerajaan akan memetakan lagi beberapa program transformasi sektoral. Kemuncaknya, kesemua program dan inisiatif ini akan berpayung pada Dasar Transformasi Nasional atau DTN yang mula berlangsung pada tahun 2011 sehinggalah 2020. Tuan Yang di-Pertua, 7. Kemasukan pelaburan langsung asing telah kembali rancak dan menunjukkan trend yang meningkat. Pelaburan langsung asing (FDI) berkembang 6 kali ganda kepada 29 bilion ringgit pada tahun 2010, mencatat pertumbuhan yang tertinggi di Asia. Kemasukan FDI terus melonjak kukuh sebanyak 75 peratus kepada 21.2 bilion ringgit dalam tempoh 6 bulan pertama 2011 berbanding 12.1 bilion ringgit bagi tempoh yang sama tahun 2010. Pada tahun 2012, pelaburan swasta dijangka berkembang kukuh 15.9 peratus disokong oleh peningkatan kemasukan pelaburan langsung asing dan domestik. 8. Asas ekonomi negara kekal utuh. Sistem kewangan dan perbankan negara terus teguh dengan nisbah modal wajaran risiko adalah 14.8 peratus, jauh melebihi paras keperluan 8 peratus dalam piawaian antarabangsa. Rizab antarabangsa terus kukuh mencatat 414.5 bilion ringgit pada 15 September 2011, mampu membiayai 9.5 bulan import tertangguh serta 4.5 kali hutang luar jangka pendek. Pendapatan per kapita dianggarkan meningkat kepada 28,725 ringgit pada tahun 2011 berbanding 26,175 ringgit pada tahun 2010. 9. Berikutan pertumbuhan ekonomi global tidak menentu, perdagangan luar sederhana, tekanan inflasi meningkat serta suasana geopolitik yang bergolak, pertumbuhan ekonomi negara dalam tempoh separuh pertama 2011 mencatat 4.4 peratus. Pertumbuhan ini didorong oleh perkembangan ekonomi domestik yang kekal tegap. Momentum ini dijangka meningkat dalam tempoh separuh kedua 2011, dipacu oleh penggunaan dan pelaburan swasta yang lebih rancak. Dengan ini, pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2011 dianggar berkembang 5 hingga 5.5 peratus. 10. Bagi tahun 2012 pula, prospek ekonomi global dijangka lebih mencabar. Tabung Kewangan Antarabangsa telah menyemak semula pertumbuhan ekonomi dunia kepada 4 peratus dan perdagangan dunia kepada 5.8 peratus. Ini berikutan kelembapan ekonomi di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, tekanan inflasi akibat kenaikan harga komoditi, krisis hutang negara Eropah serta perdagangan dunia yang lebih perlahan. Perkembangan global ini sudah tentunya memberi impak langsung ke atas ekonomi Malaysia. 11. Mengambil kira faktor ini, Kerajaan akan menyusun strategi merancakkan aktiviti ekonomi domestik terutamanya pelaburan swasta dan awam, serta penggunaan swasta. Pelaburan swasta dan awam dijangka meningkat 15.9 peratus dan 7 peratus, disokong oleh peningkatan pelaburan langsung asing, pelaksanaan projek ETP dan Rolling Plan Kedua (RP-Kedua) di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMKe-10). Penggunaan swasta di unjur meningkat 7.1 peratus berikutan peningkatan pendapatan boleh guna dan prospek pekerjaan yang lebih positif. Dari sudut penawaran, sektor perkhidmatan dijangka berkembang 6.5 peratus manakala sektor pembinaan meningkat 7 peratus. Oleh itu, pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2012 diunjurkan antara 5 hingga 6 peratus. PERUNTUKAN BAJET 2012 Tuan Yang di-Pertua, 12. Bajet 2012 akan menyediakan peruntukan 232.8 bilion ringgit bagi melaksanakan semua rancangan pembangunan Kerajaan termasuk projek dan program di bawah RP-Kedua, NKEA, NKRA dan SRI khususnya menumpukan kepada kesejahteraan rakyat. Daripada jumlah tersebut 181.6 bilion ringgit adalah bagi peruntukan perbelanjaan mengurus dan 51.2 bilion ringgit bagi perbelanjaan pembangunan. 13. Di bawah peruntukan mengurus, 52 bilion ringgit adalah bagi Emolumen dan 30.5 bilion ringgit disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala, 96.5 bilion ringgit diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Sejumlah 1.1 bilion ringgit disediakan untuk Pembelian Aset dan baki 1.5 bilion ringgit untuk perbelanjaan lain. 14. Bagi peruntukan pembangunan pula, 29.8 bilion ringgit disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar. Sejumlah 13.6 bilion ringgit diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat. Seterusnya, 4.4 bilion ringgit diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, 1.4 bilion ringgit bagi pentadbiran am dan 2 bilion ringgit untuk simpanan luar jangka. 15. Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2012, jumlahnya dianggarkan meningkat 1.9 peratus kepada 186.9 bilion ringgit, berbanding 183.4 bilion ringgit pada tahun 2011. Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2012 dijangka terus berkurangan kepada 4.7 peratus daripada KDNK, berbanding 5.4 peratus pada tahun 2011. 16. Dalam menangani persekitaran luar yang semakin mencabar usaha akan terus dilaksanakan bagi memperkukuh ekonomi domestik. Bagi terus memantapkan pertumbuhan ekonomi negara, Kerajaan akan melaksanakan Pakej Rangsangan Khas dibiayai melalui Private Financing Initiative (PFI). Kaedah ini telah terbukti berjaya merangsangkan ekonomi negara melalui penambahan projek-projek yang produktif dan boleh meningkatkan kesejahteraan rakyat. Melalui inisiatif ini, beberapa projek awam seperti pembaikan dan penyelenggaraan sekolah, termasuk pembinaan blok baru, menaiktaraf hospital, rancangan tebatan banjir, menaiktaraf infrastruktur asas luar bandar serta pembinaan perumahan rakyat termasuk perumahan golongan nelayan dan golongan berpendapatan rendah dapat dilaksanakan. Bagi tahun 2012, jumlah projek melalui Pakej Rangsangan Khas ini berjumlah 6 bilion ringgit akan dilaksanakan. FOKUS BAJET 2012 Tuan Yang di-Pertua, 17. Dengan izin Allah SWT jua, Bajet 2012 dirangka dan dirancang bertemakan “DASAR TRANSFORMASI NASIONAL: BAJET MEMBELA RAKYAT, MENSEJAHTERA NEGARA” dengan memberi penekanan kepada lima fokus utama. FOKUS PERTAMA: MELIGAT PELABURAN 18. Sesungguhnya, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada ekonomi negara dengan mencatatkan hampir 58 peratus kepada KDNK. Di bawah RMKe-10, Kerajaan mensasarkan sektor ini mencapai 60 peratus kepada KDNK menjelang tahun 2015. Kerajaan akan meliberalkan 17 lagi subsektor perkhidmatan secara berfasa pada tahun 2012, merangkumi perkhidmatan hospital swasta; perkhidmatan pakar perubatan dan pergigian; arkitek; kejuruteraan; perakaunan dan percukaian; perundangan; perkhidmatan kurier; perkhidmatan pendidikan dan latihan; serta perkhidmatan telekomunikasi. Inisiatif ini akan membolehkan hak pegangan ekuiti asing sehingga 100 peratus dalam subsektor terpilih. 19. Tahun 2012 juga merupakan tahun pertama pelaksanaan Rolling Plan Kedua bagi Rancangan Malaysia Ke-10 dengan peruntukan sebanyak 98.4 bilion ringgit, 49.2 bilion ringgit bagi tahun 2012 dan 49.2 bilion ringgit lagi bagi tahun 2013. Rolling Plan Kedua akan menumpukan kepada projek pembangunan berimpak tinggi dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Serentak itu, untuk mempastikan setiap sen yang dibelanjakan membawa manfaat kepada rakyat, pengurusan nilai, akan terus diamalkan bagi projek baru bernilai 50 juta ringgit ke atas. 20. Antara projek utama yang akan dilaksanakan adalah: • Projek landasan kereta api berkembar Gemas – Johor Bahru; • Projek Lebuhraya Pantai Timur Jabor – Kuala Terengganu, Lebuhraya Pantai Barat Banting – Taiping, Lebuhraya Segamat – Tangkak dan Lebuhraya Central Spine serta pembinaan jalan Kota Marudu – Ranau; dan • Pembangunan semula Pangkalan Udara Sungai Besi Kuala Lumpur. 21. Dalam Rancangan Malaysia Ke-10, Kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak 20 bilion ringgit di bawah Dana Mudahcara perkongsian awam-swasta atau PPP. Ia berperanan sebagai tipping point bagi membantu sektor swasta membangunkan projek yang mempunyai nilai strategik kepada negara. Daripada jumlah ini, 18 bilion ringgit untuk kegunaan projek berimpak tinggi manakala 2 bilion ringgit untuk projek melibatkan usahawan Bumiputera. Bagi tahun 2012 pula, Kerajaan memperuntukkan 2.5 bilion ringgit di bawah dana ini dan dijangka 300 juta ringgit akan digunakan oleh usahawan Bumiputera. 22. Bagi tahun 2012, Kerajaan akan memperuntukkan 978 juta ringgit untuk merancakkan pembangunan di lima wilayah koridor. Di antara projek yang akan dilaksanakan adalah, pembinaan lebuh raya persisiran pantai Johor Bahru-Nusa Jaya di Iskandar Johor; projek pelancongan warisan Taiping di Koridor Utara; projek agropolitan Besut di Koridor Pantai Timur; projek kelompok industri berasaskan kelapa sawit Lahad Datu di Wilayah Koridor Sabah dan projek bekalan air Samalaju di Wilayah Koridor Sarawak. Tuan Yang di-Pertua, 23. Dalam ikhtiar merancakkan industri perbankan, kewangan dan pasaran modal, usaha berterusan diperlukan bagi menggalakkan pembangunan perkhidmatan kewangan yang lebih berintegrasi serta komprehensif. Ia dapat dicapai dengan penubuhan Pusat Pengurusan Perbendaharaan yang akan membangunkan Malaysia sebagai pusat kewangan berdaya saing di rantau ini. Bagi menarik syarikat multinasional memilih Malaysia sebagai destinasi utama Perkhidmatan Pengurusan Perbendaharaan, Kerajaan mencadangkan pakej galakan berikut: Pertama: Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama 5 tahun; Kedua: Pengecualian cukai pegangan ke atas pembayaran faedah pinjaman; dan Ketiga: Pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman dan perjanjian perkhidmatan. Tuan Yang di-Pertua, 24. Seperti dibentang dalam Bajet 2011, Kerajaan bersetuju untuk membangunkan Pusat Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur atau KLIFD dan menimbang pakej insentif yang menarik. Dengan itu, saya mencadangkan: Pertama: Pengecualian cukai pendapatan seratus peratus bagi tempoh sepuluh tahun dan pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman dan perjanjian perkhidmatan bagi syarikat berstatus KLIFD; Kedua: Elaun Bangunan Industri dan Elaun Modal Dipercepatkan bagi syarikat berstatus KLIFD Marquee; dan Ketiga: Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama lima tahun bagi pemaju hartanah di KLIFD. 25. Merujuk industri kewangan Islam pula, ia telah berkembang pesat sejak sedekad lalu yakni 22 peratus kepada jumlah keseluruhan aset kewangan berbanding 6.9 peratus pada tahun 2000. Industri kewangan Islam menyumbang 11 peratus kepada jumlah pekerjaan sektor kewangan negara. Sektor perbankan Islam dan takaful terus mencatatkan pertumbuhan dua digit dalam tempoh lima tahun yang lepas. 26. Pasaran sukuk Malaysia juga terus menjadi pasaran bon Islam terbesar di dunia mewakili dua per tiga daripada sukuk terkumpul global. Kita juga menjadi perintis dalam mencipta produk kewangan Islam berinovatif. Pada tahun ini, kita berjaya menerbitkan Sukuk Global Wakala pertama di dunia bernilai dua bilion dolar Amerika dengan lebihan langganan 4.5 kali ganda. Hakikat ini menjadi bukti meningkatnya keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara dan penerimaan dunia terhadap produk kewangan Islam terbitan Malaysia. Lantaran itu, bagi terus menggalakkan penerbitan sukuk yang menggunakan struktur wakala, potongan cukai diberi bagi tempoh tiga tahun ke atas perbelanjaan penerbitan sukuk wakala mulai tahun taksiran 2012. Manakala, pengecualian cukai pendapatan ke atas penerbitan dan urus niaga sukuk bukan ringgit dilanjutkan lagi selama tiga tahun sehingga taksiran 2014. 27. Di sudut lain, Exchange Traded Fund atau ETF merupakan salah satu produk kewangan inovatif. Cabaran krisis kewangan dunia yang berlaku pada tahun 2008 telah membuatkan para pelabur menilai semula tahap risiko pelaburan mereka dan beralih kepada ETF. Ciri kepelbagaian portfolio yang merangkumi keseluruhan spektrum ekuiti, bon dan komoditi membolehkan para pelabur meneroka peluang pelaburan baru melalui pasaran ETF. Untuk merancakkan lagi pembangunan produk ETF, I-VCap, anak syarikat Valuecap Sendirian Berhad akan menyediakan dana permulaan patuh Syariah berjumlah 200 juta ringgit. Dana ini akan memberi pinjaman secara pemadanan dengan jumlah maksimum 20 juta ringgit. Tuan Yang di-Pertua, 28. InsyaAllah, Kerajaan bercadang untuk menyenaraikan FELDA Global Ventures Holdings atau FGVH sebelum pertengahan tahun 2012 bagi menghasilkan dana untuk menjadikan FGVH sebuah syarikat berstatus konglomerat global. Penyenaraian FGVH akan mewujudkan sebuah lagi syarikat blue chip perladangan di samping meningkatkan minat pelabur antarabangsa terhadap Bursa Malaysia. Walau apa pun, hak dan faedah peneroka akan terus dipelihara melalui pemilikan majoriti saham oleh Koperasi Permodalan FELDA. Apa yang mustahak, setiap peneroka akan menerima “durian runtuh” yang mana jumlahnya akan diumumkan nanti, sebelum penyenaraian dilakukan. Tuan Yang di-Pertua, 29. Menyedari pula keperluan mempelbagaikan produk pasaran modal bagi menarik pelaburan tempatan dan asing, Kerajaan telah memberi kadar cukai konsesi 10 peratus ke atas dividen pelabur institusi bukan korporat dan pelabur individu dalam Amanah Pelaburan Hartanah sehingga 31 Disember 2011. Bagi terus menggalakkan perkembangan industri ini, Kerajaan mencadangkan galakan cukai dilanjutkan selama 5 tahun lagi mulai 1 Januari 2012 hingga 31 Disember 2016. 30. Seperti yang dimaklumi, Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) menyumbang hampir 31 peratus kepada KDNK, 56 peratus kepada tenaga kerja dan mencakupi 19 peratus daripada jumlah eksport. Sebagai usaha meningkatkan lagi sumbangan PKS kepada pertumbuhan ekonomi, satu skim Dana Pembiayaan PKS patuh syariah berjumlah dua bilion ringgit yang dikendalikan oleh bank-bank Islam terpilih akan diwujudkan pada 2012. Seiring maksud ini, Kerajaan akan menanggung dua peratus daripada kadar keuntungan pembiayaan. 31. Selanjutnya, kita tahu bahawa, kegagalan usahawan bukan semuanya disebabkan oleh ketidakupayaan berniaga tetapi juga oleh faktor di luar kawalan seperti kemelesetan ekonomi dan kenaikan kos. Gagal sekali tidak bermakna gagal selama-lamanya atau pintu kejayaan telah tertutup. Usahawan yang ikhlas dan gigih dalam perniagaan mesti diberi peluang kedua. Bagi tujuan ini, Kerajaan akan menyediakan SME Revitalisation Fund dengan dana 100 juta ringgit. Skim ini menawarkan pinjaman mudah dengan maksimum satu juta ringgit kepada golongan peniaga untuk membangunkan semula perniagaan mereka. Dana ini akan diuruskan oleh SME Bank dan akan ditawarkan pada Januari 2012. 32. Kerajaan juga bercadang untuk menubuhkan satu Dana Kecemasan PKS sebanyak 10 juta ringgit untuk membantu PKS yang terlibat dengan bencana alam. Penubuhan dana ini adalah satu langkah proaktif bagi membantu PKS supaya dapat beroperasi semula seperti biasa dalam tempoh yang singkat. Dana ini akan disalurkan kepada PKS dalam bentuk geran dan pinjaman mudah melalui SME Corporation dan MIDF. Skop pembiayaan dana akan meliputi pembelian mesin dan peralatan untuk menggantikan mesin yang musnah dalam bencana alam, pembelian bahan mentah dan membaik pulih premis. 33. Menyentuh perniagaan francais pula, kita dapati, francais oleh syarikat tempatan dapat memperkasakan jenama Malaysia. Jadinya, bagi terus menyokong pembangunan industri francais tempatan, Kerajaan mencadangkan fi francais yang ditanggung oleh francaisi dibenarkan potongan cukai. Kerajaan menyeru syarikat francais tempatan tidak melepaskan peluang untuk terus berusaha dan memantapkan lagi perniagaan termasuklah mengembangkan sayapnya ke luar negara. 34. Dalam usaha memajukan teknologi hijau dan menjamin kelestarian pembangunan negara, pengecualian sepenuhnya duti import dan duti eksais kepada pemegang francais akan terus diberi bagi mengimport kereta hibrid dan kereta elektrik. Pengecualian cukai ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2013. 35. Berkaitan pelancongan pula, pada tahun 2010, sektor ini berjaya menarik seramai 25 juta pengunjung asing dengan pendapatan 56 bilion ringgit. Bagi terus menggalakkan pelancong dari dalam dan luar negara, destinasi menarik khususnya Pulau Langkawi akan dibangunkan semula. Pelan Induk Lima Tahun Pembangunan Pelancongan Langkawi akan dilancarkan dengan peruntukan pembangunan 420 juta ringgit. Antara inisiatif yang akan diambil ialah menyusun semula Lembaga Pembangunan Langkawi, penubuhan pasukan renjer hutan, menaik taraf muzium, kawasan pantai dan perniagaan serta menyediakan sistem pengangkutan yang lebih efisien. 36. Kerajaan juga akan terus membantu sektor swasta menyediakan lebih banyak kemudahan penginapan bagi menarik pelancong berbelanja tinggi. Bagi menggalakkan lagi pelaburan dalam bidang perhotelan setanding dengan hotel terkemuka di dunia, Kerajaan mencadangkan pengusaha yang melabur dalam hotel baru bertaraf empat dan lima bintang di Semenanjung Malaysia diberi galakan Taraf Perintis dengan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 60 peratus bagi tempoh lima tahun. Galakan cukai yang serupa telah diberi kepada pengusaha hotel di Sabah dan Sarawak. Di samping itu, Kerajaan akan memperbadankan Malaysia Healthcare Travel Council bagi membangun dan mempromosi negara sebagai destinasi utama penjagaan kesihatan di rantau ini. 37. Berhubung kadar cukai keuntungan harta tanah (RPGT), kadar tetap RPGT yang rendah iaitu lima peratus didapati tidak begitu berkesan untuk membendung aktiviti spekulasi dalam pasaran hartanah yang mana jika tidak dikawal akan memberi tekanan kepada harga hartanah. Situasi ini dalam jangka masa panjang akan menjejaskan kemampuan golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah. Bagi menangani masalah ini, Kerajaan mencadangkan kadar RPGT dikaji semula. Bagi hartanah yang dilupuskan dalam tempoh pegangan sehingga dua tahun, kadar RPGT adalah 10 peratus. Bagi hartanah yang dilupuskan dalam tempoh pegangan melebihi dua hingga lima tahun, RPGT dikekalkan pada kadar lima peratus. Bagi hartanah yang dilupuskan selepas lima tahun pula, RPGT tidak dikenakan. Saya yakin, kadar RPGT yang masih rendah ini tidak menjejaskan pemilik hartanah tulin dan sekali gus dapat mengawal aktiviti spekulasi dalam sektor hartanah. Tuan Yang di-Pertua, FOKUS KEDUA: MENGUNGGULI MODAL INSAN, MENCERNA KREATIVITI DAN MENCETUS INOVASI 38. Sememangnya, inovasi membolehkan rantaian nilai ekonomi dianjak ke tahap yang lebih tinggi. Inovasi mencetuskan idea baru yang dirubah menjadi nilai komersial berdaya maju. Justeru, institusi penyelidikan perlu menyusun semula strategi untuk menterjemahkan hasil R&D kepada produk yang bernilai komersial. Inovasi perlu diterap dan diamalkan oleh semua, termasuk sektor swasta, sektor awam, NGO, ibu bapa, institusi pengajian tinggi, pelajar sekolah, hatta kanak-kanak prasekolah. Dengan ini, sukacita saya mengumumkan tahun 2012 sebagai tahun Gerakan Inovasi Nasional. Bagi menjayakan hasrat ini, Kerajaan telah mengatur beberapa inisiatif strategik dengan peruntukan 100 juta ringgit seperti berikut: Pertama: Melaksana program penerapan dan pembangunan inovasi di peringkat sekolah dan IPTA serta di kawasan luar bandar. Program ini akan dijalankan melalui kerjasama antara agensi Kerajaan dan NGO; Kedua: Meneruskan pelaksanaan program Jejak Inovasi oleh Yayasan Inovasi Malaysia untuk menggalakkan pencetusan idea baru dan pengkomersialan produk inovasi hasil penciptaan rakyat terutamanya di luar bandar; Ketiga: Memperkenalkan Anugerah Cipta 1Malaysia (C1PTA) bagi mengiktiraf reka cipta pelajar dan belia yang paling inovatif di peringkat nasional. Program ini akan dilaksanakan oleh NGO dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Keempat: Memupuk budaya inovasi melalui program realiti dan dokumentari inovasi di media elektronik serta penerbitan artikel di media cetak; Kelima: Mempastikan sesuatu produk melalui market validation untuk menentukan daya maju komersial. Untuk ini, Market Validation Fund dengan peruntukan permulaan 30 juta ringgit akan diwujud dan diuruskan oleh Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dengan kerjasama Agensi Inovasi Malaysia; Keenam: Lebih daripada 300 harta intelek dalam bentuk produk dan teknologi baru daripada universiti akan ditawarkan kepada sektor swasta untuk dikomersialkan. Jangkaan Gross National Income atau GNI yang dijana adalah melebihi 30 billion ringgit sehingga tahun 2020; dan Ketujuh: Menganjur World Innovation Forum dan Asia Business Angel Forum pada tahun 2012. Inisiatif ini merupakan sebuah platform untuk menemukan pelabur dan pembiaya serta komuniti usahawan. 39. Untuk membolehkan syarikat PKS memulakan perniagaan produk penyelidikan baru dan pengkomersialan, Kerajaan akan menyediakan Dana Inovasi Pengkomersialan patuh syariah berjumlah 500 juta ringgit pada kadar keuntungan yang menarik. Dana ini membiayai syarikat PKS di mana produknya telah menjalani proses pengesahan pengkomersialan pasaran. Dana ini akan disediakan oleh bank-bank Islam terpilih mulai tahun 2012 dengan Kerajaan menanggung dua peratus daripada kadar keuntungan. 40. Dalam aspek ini juga, industri perkhidmatan reka bentuk yang meliputi kreativiti dan inovasi dapat menyumbang kepada peningkatan fungsi dan keselamatan produk, pengurangan kos serta memenuhi cita rasa pengguna masa kini. Di samping itu, industri ini juga memainkan peranan penting untuk terus meningkatkan produktiviti, kualiti dan daya saing produk. Bagi menggalakkan kreativiti, inovasi dan teknologi moden yang melibatkan pereka bentuk tempatan, Kerajaan mencadangkan perkhidmatan reka bentuk industri diberi galakan Taraf Perintis dengan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus selama lima tahun. Tuan Yang di-Pertua, 41. Ilmu pengetahuan adalah tonggak kepada pembikinan sesebuah tamadun dan pelapik asas bagi mencapai kecemerlangan. Jadinya, untuk menuju aspirasi negara maju berpendapatan tinggi, Kerajaan memberi keutamaan kepada pembangunan sistem pendidikan yang dapat melahirkan tenaga kerja berbakat, berkemahiran tinggi, mempunyai daya kreativiti serta berinovatif. Sektor pendidikan akan diperuntukkan 50.2 bilion ringgit bagi tahun 2012. Bagi Kementerian Pelajaran, peruntukan pembangunan sebanyak 1.9 bilion ringgit akan dibelanjakan untuk semua jenis sekolah terdiri daripada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan. 42. Sebagai tambahan, peruntukan 1 bilion ringgit akan diwujudkan melalui Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik-pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan. Daripada peruntukan tersebut, 500 juta ringgit kepada Sekolah Kebangsaan, 100 juta ringgit disediakan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, 100 juta ringgit Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, 100 juta ringgit Sekolah Mubaligh, 100 juta ringgit Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dan 100 juta ringgit kepada Maktab Rendah Sains MARA. Tuan Yang di-Pertua, 43. Bagi membolehkan setiap anak-anak Malaysia tanpa mengira latar sosioekonomi berpeluang kepada masa depan yang lebih baik maka kerajaan akan mempastikan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Pada masa ini, pelajar masih dikenakan bayaran 24 ringgit 50 sen bagi sekolah rendah dan 33 ringgit 50 sen bagi sekolah menengah untuk bayaran kokurikulum, kertas ujian dalaman, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan Insuran Takaful. Ingin dimaklumkan bahawa, mulai sesi persekolahan 2012, bayaran ini akan dimansuhkan. Dengan ini, sukacita diumumkan bahawa, buat pertama kalinya dalam sejarah, pendidikan rendah dan menengah di sekolah-sekolah kerajaan adalah disedia dengan percuma. Pemansuhan semua bayaran ini akan melibatkan peruntukan sebanyak 150 juta ringgit. 44. Sektor swasta turut memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan berkualiti untuk melahirkan generasi masa hadapan yang cemerlang. Oleh itu, Kerajaan mencadangkan sekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran dan memenuhi peraturan yang ditetapkan diberi galakan berikut: Pertama: Pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus ke atas perbelanjaan modal dalam tempoh lima tahun; Kedua: Potongan dua kali bagi perbelanjaan promosi di luar negara bagi menarik lebih ramai kemasukan pelajar asing; dan Ketiga: Pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas semua peralatan pembelajaran. Kerajaan berharap, dengan adanya penjimatan kos ini kepada pengendali sekolah swasta, sebagai imbal balas dapatlah dikurangkan sedikit yuran sekolah para pelajar, agar beban para ibu bapa dapat diringankan. 45. Institusi pendidikan rendah dan menengah yang berdaftar, termasuklah sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah mubaligh dan sekolah agama, seringkali menerima sumbangan kewangan daripada syarikat dan orang perseorangan bagi menambah baik kemudahan di sekolah-sekolah tersebut. Bagi menggalakkan orang ramai menyumbang kepada sekolah-sekolah tersebut, maka sumbangan seperti ini diberi potongan cukai. Kemudahan ini juga dipanjangkan kepada semua tempat-tempat ibadat yang berdaftar. Kerajaan akan menyegerakan kelulusan pengecualian cukai bagi institusi pendidikan dan semua rumah ibadat dalam tempoh masa yang singkat. 46. Di samping itu, sektor swasta adalah disaran untuk berganding bahu memantapkan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi. Untuk ini, Kerajaan mencadangkan pemberian galakan cukai berikut: Pertama: Potongan dua kali ke atas perbelanjaan yang dilakukan oleh syarikat dalam melaksanakan program Internship; Kedua: Potongan dua kali ke atas pemberian biasiswa; dan Ketiga: Potongan dua kali ke atas perbelanjaan bagi menyertai pameran kerjaya di luar negara. Tuan Yang di-Pertua, FOKUS KETIGA: PROGRAM TRANSFORMASI LUAR BANDAR 47. Program Transformasi Luar Bandar atau RTP merupakan pelengkap program transformasi menyeluruh negara. RTP akan mentransformasikan kawasan luar bandar supaya mampu menarik pelaburan swasta, menyediakan peluang pekerjaan dan kegiatan ekonomi serta menggalakkan generasi muda kembali berkhidmat. Oleh itu, Kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah seperti berikut: Pertama: Mewujudkan Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC sebagai pusat integrasi perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pengeluaran pertanian; perbankan dan insurans; khidmat nasihat perniagaan; latihan dan kemahiran; klinik serta ruang niaga. Buat permulaan, Terminal Agrobisnes Negara atau TEMAN sedia ada di Wakaf Che Yeh, Kelantan dan Gopeng, di Perak akan dimajukan sebagai projek perintis RTC. Di samping itu, empat lagi RTC akan dibangunkan di Kedah, Johor, Sabah dan Sarawak; Kedua: Mewujudkan Dana Perkhidmatan Profesional bagi golongan profesional seperti peguam, doktor dan akauntan untuk membuka firma di pekan-pekan kecil. Bagi tujuan ini, dana berjumlah 100 juta ringgit akan disediakan oleh BSN secara pinjaman mudah dengan kadar faedah empat peratus. Di samping itu, surat cara perjanjian pembiayaan skim ini turut diberi pengecualian duti setem; dan Ketiga: Melaksanakan Program Lonjakan Mega Luar Bandar seluas 6,500 hektar di 11 kawasan Projek Agropolitan seluruh negara yang melibatkan tanaman komoditi, penanaman kontan dan ternakan ikan sangkar dengan peruntukan sebanyak 110 juta ringgit. Di samping itu, RISDA akan melaksanakan program tanaman baru getah dan penanaman semula getah serta kelapa sawit dengan peruntukan 140 juta ringgit yang akan memanfaatkan hampir 20,000 pekebun kecil. 48. Seterusnya, untuk memperkukuhkan pembangunan infrastruktur asas luar bandar secara lebih komprehensif, peruntukan lima bilion ringgit akan disediakan pada tahun 2012. Daripada jumlah tersebut, 1.8 bilion ringgit bagi Program Jalan Luar Bandar dan Projek Jalan Perhubungan Desa untuk membina 2,749 kilometer jaringan jalan raya yang membawa manfaat kepada 1.76 juta penduduk luar bandar. Di samping itu, 2.1 bilion ringgit disediakan bagi memperluas liputan bekalan air bersih kepada 200 ribu rumah serta 1.1 bilion ringgit lagi untuk bekalan elektrik luar bandar kepada 39 ribu buah rumah, khususnya di Sabah dan Sarawak. 49. Melihat kepada kejayaan pelaksanaan Projek Penyelenggaraan Infrastrukur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) dalam menaiktaraf infrastruktur asas terutamanya di luar bandar, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 500 juta ringgit lagi demi melangsungkan terus usaha mulia tersebut. Apa yang mustahak, pelaksanaan PIA dan PIAS ini akan melibat penyertaan hampir 29,000 kontraktor Kelas F yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor. Tuan Yang di-Pertua, 50. Kerajaan amat menitikberatkan bekalan air bersih khususnya kepada masyarakat luar bandar termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak. Walau bagaimanapun, tempoh pelaksanaan projek bekalan air retikulasi ke pedalaman Sabah dan Sarawak mengambil masa yang lama. Sebagai langkah segera, Kerajaan telah membekalkan 20 ribu tangki menggunakan kaedah tadahan air hujan, untuk penduduk pedalaman Sarawak, terutama penduduk rumah panjang yang melibatkan perbelanjaan 52 juta ringgit. Kemudahan ini memberi faedah kepada hampir 100 ribu penduduk. Bagi tahun 2012, program ini akan dipanjangkan pula kepada negeri Sabah dengan peruntukan 50 juta ringgit. 51. Di kawasan FELDA pula, infrastruktur sistem bekalan air yang telah beroperasi melebihi 50 tahun tidak lagi dapat beroperasi dengan baik kerana kebanyakannya telah usang. Keadaan ini telah menyebabkan berlakunya krisis kekurangan dan gangguan bekalan air yang kritikal di sesetengah kawasan FELDA, terutamanya di Pahang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Justeru, Kerajaan akan memperuntukkan 400 juta ringgit bagi kerja-kerja menaik taraf infrastruktur bekalan air secara berperingkat di kawasan-kawasan FELDA yang terpilih. 52. Sementara itu juga, Kerajaan menyedari masih terdapat estet yang belum mempunyai kemudahan bekalan air bersih. Sebagai permulaan, Kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan 50 juta ringgit untuk menambah baik kemudahan bekalan air yang melibatkan penyambungan dari estet ke paip utama sedia ada. Kerajaan juga bersetuju supaya Pihak Berkuasa Bekalan Air mengenakan tarif domestik kepada perumahan pekerja estet berbanding dengan tarif industri yang dikenakan sekarang. Kementerian Sumber Manusia akan dipertanggungjawab untuk menyelaras dan memantau pelaksanaan kemudahan bekalan air ini. Tuan Yang di-Pertua, 53. Bagi meningkatkan lagi akses perkhidmatan perbankan kepada penduduk luar bandar, BSN akan melantik agen-agen di kawasan luar bandar di seluruh negara untuk menyediakan perkhidmatannya. Dalam tempoh tiga tahun akan datang, BSN akan melantik sejumlah lima ribu agen. Di peringkat permulaan, perkhidmatan yang disediakan meliputi transaksi simpanan dan pengeluaran, pembayaran bil serta pembelian Sijil Simpanan Premium. BSN akan menyediakan 50 juta ringgit bagi membiayai pembangunan sistem, latihan kepada agen dan kos operasi. 54. Selain itu, saya amat maklum bahawa masyarakat luar bandar sering menghadapi masalah perkhidmatan bas yang kurang memuaskan. Bagi menyediakan kemudahan yang lebih selesa, boleh dipercaya dan berkualiti, peruntukan tambahan 150 juta ringgit akan disalurkan kepada Tabung Pembangunan Pengangkutan Awam di SME Bank. Dengan yang demikian, pengusaha bas berhenti-henti, bas mini dan bas sekolah boleh memohon pinjaman mudah dengan kadar faedah empat peratus untuk membeli atau membaik pulih bas. Kemudahan pembiayaan ini akan disediakan mulai 1 Januari 2012. 55. Dalam pada itu, seperti yang terlukis pada gagasan mulia 1Malaysia, tidak ada mana-mana pihak, etnik atau kaum yang akan dipinggirkan. Semuanya mempunyai saham dan hasil mahsul dalam cerita kejayaan Malaysia. Begitulah dari masa ke semasa pula, pembangunan dan kebajikan Orang Asli terus menjadi agenda penting Kerajaan. Pada waktu ini, terdapat seramai 190 ribu Orang Asli di seluruh negara dengan majoritinya tinggal di Pahang dan Perak. Bagi tahun 2012, Kerajaan akan memperuntukkan 90 juta ringgit untuk penyediaan kemudahan asas termasuk memperluaskan projek bekalan air terawat serta program penjanaan pendapatan. Sememangnya, Kerajaan amat bersimpati dengan bencana tanah runtuh yang berlaku di kawasan Sungai Ruil, Cameron Highlands baru-baru ini. Untuk mempastikan keselamatan penduduk Orang Asli di kawasan tersebut, Kerajaan dengan ini memperuntukkan 20 juta ringgit bagi pemindahan penduduk ke kawasan perumahan baru. Tuan Yang di-Pertua, FOKUS KEEMPAT: MEMPERKEJAP PERKHIDMATAN AWAM 56. Bajet 2012 akan memperkenalkan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam atau SBPA yang akan menggantikan Sistem Saraan Malaysia atau SSM. Sesungguhnya, SBPA digubal dengan matlamat mentransformasikan Perkhidmatan Awam Malaysia supaya menjadi organisasi yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan prestasi. SBPA akan memperkenalkan prinsip perubahan radikal dalam pengambilan dan pengisian jawatan serta pembangunan kerjaya dengan teras pengekalan atau penamatan perkhidmatan penjawat awam berasaskan prestasi kerja. SBPA ini mempunyai elemen-elemen berikut: Pertama: Mewujudkan Dasar Pemisah atau exit policy bagi penjawat awam yang berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan; Kedua: Menambah baik struktur gaji penjawat awam melalui pembentukan gaji sebaris dengan mewujudkan lebih banyak mata gaji supaya penjawat awam terus mendapat kenaikan tahunan bagi tempoh yang lebih lama. Dengan itu, gaji maksimum bagi sesuatu gred adalah lebih tinggi daripada sekarang. Contohnya, jika di bawah SSM, bagi seorang guru pada gred DG48, gaji maksimum adalah 6,325 ringgit dan 39 sen, kelak, di bawah SBPA, gaji maksimum beliau akan meningkat 37.7 peratus kepada 8,710 ringgit. Bagi guru bukan siswazah pula, jika di bawah SSM kini, yang berada pada gred DG34, gaji maksimum adalah 3,860 ringgit dan 52 sen, kelak nanti, di bawah SBPA ia akan meningkat 39 peratus kepada 5,370 ringgit; Ketiga: Pada perutusan khas Hari Guru yang lalu, saya telah mengumumkan laluan kerjaya perkhidmatan perguruan siswazah yang lebih baik. Tidak perlu lagi seperti dulu, seorang guru terpaksa menunggu sehingga 20 tahun untuk naik pangkat, sebaliknya sekarang, dalam skim baru mengikut time-based, seorang guru akan mendapat gred 44 pada tahun ke-8 dan gred 48 pada tahun ke-16. Bagi guru bukan siswazah, dari gred 29 kepada 32, jika mengikut sistem time-based sekarang, ia memakan masa 10 tahun, namun, di bawah SBPA hanya mengambil tempoh lapan tahun sahaja. Seterusnya pula, bagi kenaikan gred 32 ke 34, jika sekarang ini bergantung pada kekosongan, tetapi di bawah SBPA kelak, kaedah time-based lapan tahun turut diterima pakai; dan Keempat: Kenaikan Gaji Tahunan tidak pernah disemak sejak 1991. Mulai tahun 2012, Kenaikan Gaji Tahunan penjawat awam akan ditingkatkan antara 80 hingga 320 ringgit mengikut gred. Di samping itu, bagi penjawat awam yang menerima opsyen ke SBPA, akan mendapat faedah kenaikan gaji, di antara 7 hingga 13 peratus. 57. Kerajaan sentiasa prihatin ke atas beban kewangan yang ditanggung oleh pesara. Dengan pelaksanaan SBPA, lebih 600 ribu pesara Kerajaan akan menikmati pelarasan pencen yang melibatkan peruntukan 600 juta ringgit. Mulai tahun 2013 nanti, Kerajaan akan melaksanakan kenaikan tahunan pencen pesara sebanyak dua peratus setahun tanpa perlu menunggu sebarang semakan sistem saraan atau pelarasan gaji. 58. Dunia yang semakin maju menyaksikan keterdepanan dalam teknologi dan sains perubatan. Hari ini, kita adalah sebuah negara yang secara relatifnya muda namun suka tidak suka, pada suatu masa nanti kita turut akan menghadapi fenomena biasa yang berlaku kepada mana-mana negara sedang meningkat maju dan maju. Antara elemennya, kadar kelahiran berkurang, keluarga memilih untuk mempunyai bilangan anak yang lebih kecil dan kadar penuaan meningkat. Lalu, adalah tidak ekonomikal sifatnya dalam keadaan begini jika umur persaraan tidak dilanjutkan, sedangkan harus barang diingat bahawa kerajaan akan menanggung kos gratuiti dan pembayaran pencen. 59. Ternyata, penjawat awam yang berumur antara 55 tahun hingga 60 tahun masih boleh memberi sumbangan berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka. Oleh itu, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan umur persaraan wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun bagi mengoptimumkan sumbangan pegawai perkhidmatan awam. Pelanjutan ini tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan kepada generasi muda kerana sektor awam dan swasta akan terus mewujudkan peluang pekerjaan baru. Tuan Yang di-Pertua, 60. Kerajaan sentiasa berpegang kepada falsafah dan prinsip bahawa usaha memperbaiki diri dan menambah ilmu di dada tidak berpenghujung malah pembelajaran adalah satu proses sepanjang hayat. Untuk menjadi pelaksana yang berkesan kepada dasar-dasar kerajaan, penjawat awam mesti sentiasa melengkapkan diri dengan pengetahuan, mempunyai pemikiran dinamik dan analitis. 61. Bagi maksud ini, Kerajaan akan menawarkan bantuan yuran pengajian kepada penjawat awam untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi secara separuh masa. Pada tahun 2012, Kerajaan dengan kerjasama IPTA akan menawarkan 5,000 peluang peringkat ijazah sarjana dan 500 lagi peringkat kedoktoran falsafah kepada penjawat awam yang layak, termasuklah para guru dengan peruntukan sebanyak 120 juta ringgit. Kita akan menawarkan 20,000 tempat kepada kumpulan guru diploma yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana muda. Untuk tujuan ini kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 80 juta ringgit bagi tahun pertama. Kita yakin, dengan pendekatan ini, para penjawat awam dan para guru, secara keseluruhan perjalanan kerjaya mereka akan bertambah baik dengan peluang kenaikan pangkat yang lebih cerah. 62. Salah satu daripada lapan Inisiatif Pembaharuan Strategik yang telah dikenal pasti dalam mentransformasikan negara adalah Penambahbaikan Kewangan Sektor Awam atau Public Finance Reform. Inisiatif ini akan dapat meningkatkan keberkesanan dan ketelusan pengurusan kewangan sektor awam. Selain itu, sistem pentadbiran cukai yang cekap dan berkesan merupakan prasyarat untuk memperluaskan asas cukai dan meningkatkan pematuhan oleh pembayar cukai. Langkah penguatkuasaan akan dipertingkatkan dengan melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi berkaitan, di samping memperkukuhkan sistem ICT agensi pengutip hasil. 63. Kerajaan juga tentunya menghargai khidmat dan jasa kakitangan yang telah menamatkan kontrak dari Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang berjumlah seramai 4,300 orang. Bagi membantu golongan ini meringankan kos sara hidup, Kerajaan akan memberi bayaran khas sebanyak tiga ribu ringgit secara one-off. Tuan Yang di-Pertua, 64. Lanjutan daripada ucapan saya sempena Hari Malaysia 16hb September baru-baru ini, kita bakal menempa wajah baru landskap sosiopolitik negara. Pemansuhan, pemindaan dan penggubalan kerangka perundangan baru bagi mengimbangi antara kepentingan keselamatan negara dan kebebasan individu akan memerlukan ‘Policing in a modern and open society’. Falsafah kepolisian yang dibentuk dalam era insurgency dan ketidaktentuan tidak lagi sesuai pada kontemporari ini. Kita mahu integriti dan wibawa pihak polis kekal terjunjung tinggi. Bagi merealisasikannya, kita memerlukan pasukan Polis yang moden dengan latihan yang sesuai dengan era baru, menuil teknologi moden, kelengkapan terkini dan cara penyiasatan dan pengumpulan bukti yang saintifik dan canggih. Untuk ini, peruntukan khas 200 juta ringgit akan disediakan. Manakala sejumlah 442 juta ringgit lagi akan diperuntukkan pada tahun 2012, untuk perbelanjaan pembangunan PDRM. Antara projek yang akan dilaksanakan merangkumi projek perumahan anggota polis, penambahbaikan ibu pejabat, balai dan pusat latihan. 65. Rakyat Malaysia turut insaf bahawa harga kita menikmati keamanan dan kemakmuran bukannya percuma. Ia dibayar oleh mereka yang menyarung seragam Angkatan Tentera Malaysia yang merupakan benteng pertahanan utama negara. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, sudah menjadi tugas kita untuk sentiasa memelihara kebajikan mereka. Kebajikan anggota tentera sentiasa menjadi perhatian Kerajaan bagi mempastikan anggota tentera fokus dalam menjalankan tugas. Tempat tinggal dan suasana kem yang selesa dapat menjadi pemangkin kepada prestasi kerja yang positif di kalangan anggota. Untuk itu, Kerajaan akan memperuntukkan 500 juta ringgit di bawah program Army Care untuk menaik taraf dan menyelenggarakan kem dan kuarters tentera di seluruh negara. 66. Terdapat seramai 175 ribu anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan setelah berkhidmat kurang daripada 21 tahun dan tidak menerima pencen. Akibatnya, mereka menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan untuk menampung kos sara hidup. Bagi meringankan beban golongan ini, Kerajaan akan menyediakan program latihan khusus untuk mereka yang sudah bersara tanpa pencen bagi menceburi bidang perniagaan serta membantu mendapatkan pekerjaan dalam sektor awam dan swasta kepada mereka yang layak. Untuk melaksanakan insentif ini, sebanyak 50 juta ringgit akan disediakan. 67. Sejarah negara penuh dengan cerita-cerita wira yang tidak di dendang. Mereka yang apabila telah mendengar panggilan Pertiwi untuk berkhidmat, telah menyahutnya tanpa berlengah. Ini termasuklah lebih 48,000 bekas anggota polis khas dan polis tambahan yang pernah berkhidmat menjaga keselamatan negara semasa zaman darurat. Mereka terdiri daripada anggota Home Guard, Special Constable, Extra Police Constable, Auxilliary Police, Women Auxilliary Police, Women Special Constable, Border Scout dan Jungle Scout. 68. Kerajaan Barisan Nasional adalah kerajaan yang mengenang budi. Kita tidak akan membiarkan wirawan dan wirawati tanpa pembelaan yang sewajarnya. Kita tidak sekali-kali seperti setengah pihak yang menafi dan memperlekehkan jasa bakti mereka. Sesungguhnya, keringat dan air mata mereka serta keluarga yang membasahi bumi bertuah ini akan terus malar dan segar dalam sanubari dan ingatan setiap rakyat Malaysia. Sebagai mengenang jasa bakti mereka, Kerajaan akan memberi sumbangan sebanyak tiga ribu ringgit secara one-off kepada setiap bekas anggota serta duda dan balu mereka yang kesemuanya berjumlah hampir 62,000 orang. Sumbangan ini sedikit sebanyak diharapkan dapat membantu meringankan kos sara hidup. Tuan Yang di-Pertua, FOKUS KELIMA: MEREDAKAN INFLASI DAN MENGIMARAH KEHIDUPAN RAKYAT 69. Kerajaan mendengar rintihan rakyat tentang kenaikan harga barang terutamanya bahan makanan. Bagi menangani fenomena ini, Kerajaan akan mengambil langkah-langkah yang bersepadu bersifat jangka pendek, sederhana dan panjang. Antaranya meningkatkan pengeluaran makanan seperti beras, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan melalui langkah berikut: Pertama: Melancarkan Dasar Agro Makanan Negara 2011 hingga 2020 yang menggariskan empat strategi iaitu menjamin bekalan makanan mencukupi, meningkatkan nilai ditambah, melengkapkan dan memperkukuhkan rantaian bekalan serta menyediakan guna tenaga pertanian berpengetahuan dan terlatih; Kedua: Memperuntukkan 1.1 bilion ringgit pada 2012 bagi pembangunan sektor pertanian. Antara projek utama adalah Projek Pertanian Bersepadu Terengganu Utara, Projek Pengairan Sabah dan Sarawak, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga atau TEKUN dan projek-projek lain di bawah NKEA; Ketiga: Memperluaskan skop pembiayaan Dana Pertanian Komersial kepada projek pertanian berinovasi. Dengan ikhtiar ini, jumlah dan pendapatan usahawan tani dapat dipertingkatkan. Peruntukan 300 juta ringgit akan disediakan; dan Keempat: Memperbanyakkan program ladang kontrak bagi mempastikan bekalan produk makanan mencukupi. Program ini akan dikendalikan oleh FAMA di mana hasil keluaran akan dipasarkan terus ke pasar tani seluruh negara. Seramai 4,500 usahawan tani akan terlibat dengan keluasan tanah 7,000 hektar. Untuk tujuan ini, peruntukan 14 juta ringgit disediakan. Tuan Yang di-Pertua, 70. Kita kini mendengar pihak-pihak tertentu menguar-uarkan konsep negara berkebajikan. Kita ucapkan tahniah kepada mereka kerana baru sedar terhadap konsep negara kebajikan ini. Namun, kita minta mereka ada sedikit rasa keikhlasan politik, janganlah berlagak seolah-olah merekalah orang pertama yang menemui formula ini. Bukankah Kerajaan Barisan Nasional sudah sejak sekian lama mengamalkan konsep negara berkebajikan? Tidakkah berkebajikan kerajaan Barisan Nasional kini, apabila: Pertama: Bagi setiap kilogram beras super tempatan, harga asal 2 ringgit 40 sen, rakyat hanya bayar 1 ringgit 80 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 60 sen atau 25 peratus dari harga sebenar; Kedua: Bagi setiap kilogram gula, harga asal 2 ringgit 50 sen, rakyat hanya bayar 2 ringgit 30 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 20 sen atau 8 peratus dari harga sebenar; Ketiga: Bagi setiap kilogram minyak masak, harga asal 4 ringgit 75 sen, rakyat hanya bayar 2 ringgit 50 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 2 ringgit 25 sen atau 47 peratus dari harga sebenar; dan Keempat: Bagi setiap kilogram tepung gandum, harga asal 1 ringgit 90 sen, rakyat hanya bayar 1 ringgit 35 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 55 sen atau 29 peratus dari harga sebenar. Kesimpulannya, keseluruhan subsidi bahan makanan asas ini menelan belanja 2.3 bilion ringgit dan dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaya atau miskin, bandar atau luar bandar. Oleh yang demikian itu, kita ingin bertanya, tidakkah ini dinamakan negara kebajikan? Tuan yang di-Pertua, 71. Tidak cukup sekadar itu, subsidi Kerajaan bukan terhad hanya kepada bahan makanan asas sahaja, ia juga merangkumi subsidi produk petroleum dan bantuan tunai yang melibatkan sebanyak 17 bilion ringgit. Ini meliputi: Pertama: Bagi setiap liter petrol RON95, harga asal 2 ringgit 75 sen, rakyat hanya bayar 1 ringgit 90 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 85 sen atau 31 peratus dari harga sebenar; Kedua: Bagi setiap liter diesel, harga asal 2 ringgit 66 sen, rakyat hanya bayar 1 ringgit 80 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 86 sen atau 32 peratus dari harga sebenar; dan Ketiga: Bagi setiap tong 14 kilogram gas memasak, harga asal 48 ringgit 2 sen, rakyat hanya bayar 26 ringgit 60 sen. Subsidi Kerajaan berjumlah 21 ringgit 42 sen atau 45 peratus dari harga sebenar. 72. Selain itu, Kerajaan juga akan meneruskan pemberian subsidi bil elektrik berjumlah 20 ringgit sebulan dan ke bawah yang telah dilaksanakan sejak 2009. Pemberian subsidi ini melibatkan peruntukan 150 juta ringgit dan seramai 1 juta isi rumah akan mendapat manfaat. Untuk makluman, segala subsidi, insentif dan bantuan ini berjumlah 33.2 bilion ringgit. Semuanya dengan semangat Rakyat Didahulukan. Tuan Yang di-Pertua, 73. Bagi tahun 2012, Kerajaan akan menyediakan 1.2 bilion ringgit untuk program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA yang merangkumi bantuan kepada warga emas miskin sebanyak 300 ringgit sebulan; bantuan kanak-kanak miskin 100 ringgit sebulan, dengan had maksimum 450 ringgit sebulan serta bantuan dan elaun kepada Orang Kurang Upaya (OKU) antara 150 hingga 300 ringgit sebulan. KAR1SMA akan memberi manfaat kepada hampir 500 ribu rakyat dalam membantu meringankan beban sara hidup. 74. Selanjutnya, Kerajaan juga akan mengambil langkah bagi membendung kenaikan kos dan harga serta membantu mengurangkan beban rakyat seperti berikut: Pertama: Menambah bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia ke seluruh negara. KR1M menawarkan 250 jenis produk berjenama 1Malaysia meliputi keperluan harian pengguna pada harga sehingga 40 peratus lebih rendah. Memandangkan sambutan yang amat menggalakkan, Kerajaan juga bercadang membuka 85 unit tambahan sehingga akhir 2012 dengan peruntukan 40 juta ringgit; Kedua: Membuka 30 unit Agro Bazaar Kedai Rakyat di seluruh negara bagi memasarkan produk pertanian dan barangan berjenama 1Malaysia. Di samping itu, Kerajaan akan memperluaskan penjualan produk 1Malaysia di semua kedai di bawah Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR), kedai FELDA dan kedai serbaneka stesen minyak seluruh negara; dan Ketiga: Memperluas dan mempromosi Menu Rakyat 1Malaysia yang menawarkan pakej menu makanan popular pada harga yang berpatutan iaitu maksimum dua ringgit bagi sarapan pagi dan empat ringgit bagi makan tengah hari. Sehingga kini, lebih 700 pengusaha telah mengambil bahagian dan dijangka diperluaskan kepada 3,000 pengusaha pada akhir 2012. Untuk mengembangkan lagi langkah ini, Kerajaan menggalakkan semua pengusaha kafeteria di pejabat Kerajaan dan swasta melaksanakan inisiatif Menu Rakyat 1Malaysia. Tuan Yang di-Pertua, 75. Bagi memenuhi permintaan rumah golongan berpendapatan kurang daripada 3,000 ringgit, Kerajaan telah melancarkan Skim Rumah Pertamaku pada Mac 2011. Untuk menambah baik skim ini, Kerajaan mencadangkan had maksimum harga rumah dinaikkan daripada 220 ribu kepada 400 ribu ringgit. Penambahbaikan ini boleh dinikmati oleh pembeli rumah melalui pinjaman bersama suami isteri bermula Januari 2012. 76. Bagi membantu pembeli mencapai impian mereka memiliki rumah pertama, pihak kerajaan telah menubuhkan Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PR1MA sebagai satu agensi tunggal yang berperanan untuk membangun dan menyelenggarakan perumahan mampu milik berkualiti khusus untuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan sederhana. PR1MA akan berperanan sebagai pemaju untuk projek yang diadakan di tapak pemilikan Kerajaan. Justeru, Kerajaan bercadang untuk memajukan beberapa bidang tanah pemilikan Kerajaan di sekitar Sungai Besi dan Sungai Buloh untuk projek sedemikian. Kerajaan juga akan mengenalpasti kawasan-kawasan berhampiran stesen MRT, LRT atau pengangkutan awam sebagai kawasan pilihan utama untuk dimajukan oleh PR1MA. 77. Di samping itu, PR1MA juga mengalu-alukan kerjasama antara pihak swasta untuk membangunkan projek-projek sedemikian. Sehubungan dengan itu, beberapa pemaju swasta juga telah menyahut seruan Kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik berkualiti. PR1MA akan memainkan peranan supaya proses pengagihan untuk projek-projek ini dijalankan secara telus dan adil melalui sistem pengundian terbuka. Pada tahun 2011, sebanyak 1,880 unit rumah akan mula dibina di Putrajaya dan Bandar Tun Razak. 78. Bagi tahun 2012 pula, 7,700 unit rumah akan dibina di Cyberjaya, Putra Heights, Seremban, Damansara dan Bukit Raja. Harga rumah yang ditawarkan di bawah skim ini lebih rendah berbanding dengan harga pasaran disebabkan tanah dan dana mudahcara disediakan kepada pemaju. Sebagai contoh, satu unit apartmen dengan keluasan 1,000 kaki persegi di Putrajaya dijual pada harga 150 ribu ringgit berbanding harga pasaran 220 ribu ringgit. Kerajaan juga akan memberi pengecualian sepenuhnya duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman di bawah program ini. 79. Pada kebiasaannya, rumah dijual sebelum pembinaan bermula di mana pembeli akan menanggung risiko sekiranya rumah tidak siap atau lewat disiapkan. Bagi melindungi pembeli, Kerajaan menggalakkan lebih banyak pembinaan rumah menggunakan kaedah bina kemudian jual. Untuk tujuan ini, bank-bank Islam yang telah bersetuju akan menyediakan pembiayaan patuh syariah dan mengambil risiko pembinaan. Pembeli hanya membayar ansuran setelah rumah siap dibina. Skim ini akan dilaksanakan bagi rumah bernilai 600 ribu ringgit dan ke bawah. 80. Masih ramai lagi rakyat yang belum memiliki rumah, terutamanya golongan berpendapatan rendah. Justeru, Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara dengan membina lebih 75 ribu unit rumah mampu milik di bawah RMKe-10. Bagi tahun 2012, 443 juta ringgit di peruntukan bagi membina hampir 8,000 unit PPR disewa dan lebih 7,000 unit PPR dimiliki. 81. Selain itu, Program Rumah Mesra Rakyat yang dikendalikan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan diteruskan bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah lebih selesa. Di bawah program ini, mereka yang mempunyai tanah persendirian dan tidak memiliki rumah atau tinggal di rumah usang, boleh mendapatkan pembiayaan untuk membina rumah sendiri. SPNB akan diberikan peruntukan tambahan untuk membina 10 ribu unit Rumah Mesra Rakyat pada tahun 2012. Kos rumah yang berharga 65 ribu ringgit ini, akan dijual dengan harga 45 ribu ringgit sahaja. Di sini, bagi setiap unit rumah, Kerajaan akan memberi subsidi sejumlah 20 ribu ringgit. Sebanyak 200 juta ringgit akan diperuntukkan untuk program ini. 82. Selain itu, melalui Program Pemulihan Rumah Terbengkalai, Kerajaan berjaya memulihkan dan mendapat Sijil Layak Menduduki (CF) bagi 82 projek yang melibatkan lebih 15,000 unit rumah. Kerajaan akan terus melaksanakan usaha murni ini pada tahun 2012 dengan peruntukan 63 juta ringgit untuk memulihkan 1,270 unit rumah terbengkalai. Kerajaan juga memperuntukkan 40 juta ringgit bagi membaik pulih dan menyelenggarakan rumah kos rendah awam dan swasta. 83. Golongan ekspatriat turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Jumlah ekspatriat yang bekerja di Malaysia telah meningkat kepada lebih kurang 41 ribu orang. Untuk menyediakan suasana kondusif bagi menggalakkan ekspatriat terus berkhidmat di Malaysia, Kerajaan akan membenarkan golongan ini mengeluarkan caruman KWSP untuk pembiayaan pinjaman perumahan, sama seperti kemudahan yang diberi kepada warganegara. 84. Kepada para nelayan, Kerajaan bersimpati dengan kesukaran yang dihadapi mereka ini yang tiada pendapatan tetap dan bergantung semata-mata kepada hasil tangkapan. Kita maklum bahawa, kebanyakan nelayan memiliki rumah yang daif dan kurang selesa. Sehubungan itu, Kerajaan akan mewujudkan Tabung Khas Perumahan Nelayan dengan peruntukan 300 juta ringgit untuk membina dan membaik pulih rumah mereka agar menjadi lebih selesa dengan prasarana asas. Tuan Yang di-Pertua 85. Kerajaan akan terus menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk rakyat, terutamanya rawatan berkualiti, peralatan terkini serta persekitaran lebih selesa. Bagi tahun 2012, sektor perkhidmatan kesihatan akan diperuntukkan 15 bilion ringgit untuk perbelanjaan mengurus dan 1.8 bilion ringgit bagi perbelanjaan pembangunan. Ini melibatkan antaranya pembinaan dan menaik taraf hospital termasuk di Bera, Kuala Krai, Dungun, Sri Aman dan Tuaran serta menambah baik blok bersalin di Hospital Putrajaya. Kerajaan juga akan menambah baik 81 klinik kesihatan luar bandar di seluruh negara dan membuka 50 klinik 1Malaysia. Tuan Yang di-Pertua, 86. Kerajaan amat prihatin dengan keselesaan rakyat terbanyak. Untuk itu, Hentian Pudu Raya yang digunakan oleh hampir 80,000 pengguna pada satu-satu masa, yang dahulunya dalam keadaan daif dan kotor, telah dinaiktaraf dengan belanja sebanyak 40 juta ringgit. Kini, Hentian Pudu Raya telah berwajah baru dan dinamakan semula sebagai Pudu Sentral. 87. Langkah yang sama akan diambil untuk menambah baik Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang merupakan nadi perkhidmatan kesihatan di kota dan dikunjungi hampir 3,000 pesakit luar setiap hari. Demi keselesaan warga kota, hospital yang berusia 141 tahun dan merupakan hospital tertua di Malaysia ini akan dinaiktaraf supaya menjadi sebuah hospital primer negara dilengkapi dengan peralatan terkini dan canggih dengan peruntukan 300 juta ringgit. Dari peruntukan ini, 50 juta ringgit akan digunakan untuk membina sebuah sayap baru HKL khusus untuk rawatan pesakit luar. 88. Kerajaan juga memahami beban kerja pegawai perubatan di mana mereka bertugas berterusan melebihi 45 hingga 120 jam seminggu. Situasi ini sememangnya tidak kondusif untuk mereka memberi rawatan berkualiti. Oleh yang demikian, Kerajaan telah memperkenalkan jadual kerja luwes atau fleksi Pegawai Perubatan Siswazah, di mana waktu kerja di jadual semula kepada purata 60 jam seminggu. Bagi menggantikan Elaun Luar Waktu Bekerja Biasa, Kerajaan memperkenalkan Elaun Khas Waktu Bekerja Fleksi sebanyak 600 ringgit sebulan berkuat kuasa 1 September 2011. Bagi pakar dan pegawai perubatan, Kerajaan juga bersetuju menaikkan elaun on-call semalaman antara 30 hingga 80 ringgit berkuat kuasa pada tarikh yang sama. Tuan Yang di-Pertua, 89. Untuk menambah pendapatan boleh guna dan menggalakkan minat melabur di kalangan golongan berpendapatan rendah, Kerajaan akan memperkenalkan Skim Amanah Rakyat 1Malaysia atau SARA 1Malaysia yang amat bitara atau istimewa. Skim ini dibuka kepada isi rumah berpendapatan bulanan 3,000 ringgit dan ke bawah yang akan memanfaatkan 100 ribu isi rumah. Pelabur SARA 1Malaysia boleh memohon pinjaman 5,000 ringgit dengan tempoh bayaran balik lima tahun. Pada akhir tempoh lima tahun, pelabur dijangka mendapat pulangan bersih yang menarik. Skim ini akan dikendalikan oleh Permodalan Nasional Berhad dengan kerjasama institusi kewangan terpilih mulai Januari 2012. 90. Bagi mempastikan masyarakat Bumiputera bergerak seiring dengan perkembangan ekonomi, Kerajaan telah menubuhkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) untuk menyelaras dan memacu transformasi serta memperkukuhkan penyertaan masyarakat Bumiputera dalam perniagaan. Untuk ini, TERAJU akan membimbing secara berperingkat hampir 1,100 syarikat Bumiputera yang berprestasi tinggi dan berpotensi untuk disenaraikan di bursa saham. Di samping itu, MARA akan menyediakan pembiayaan modal kepada warga syarikat korporat yang berkelayakan untuk pembelian ekuiti serta pengambilalihan syarikat berasaskan konsep Management Buyout. 91. Pembangunan usahawan merupakan faktor terpenting bagi melonjak aktiviti ekonomi Bumiputera. Selaras dengan itu, program pembangunan usahawan yang bersepadu akan dilaksana bagi meningkatkan daya saing dan daya maju usahawan Bumiputera termasuk masyarakat luar bandar. Justeru, Kerajaan akan memperuntukkan 200 juta ringgit bagi program pembangunan usahawan dan kontraktor Bumiputera di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Tuan Yang di-Pertua, 92. Pada perspektif lain, Kerajaan sentiasa peka dan mengambil berat beban yang ditanggung oleh pemilik teksi bajet persendirian akibat kos operasi yang meningkat. Tambahan pula, sebahagian besar teksi yang dimiliki telah melebihi jangka hayat ekonomi. Selain menjaga kebajikan serta menambah baik perkhidmatan teksi, Kerajaan mencadangkan pemilik teksi bajet persendirian diberi bantuan seperti berikut: Pertama: Pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan; Kedua: Pengecualian bayaran balik duti eksais dan cukai jualan ke atas teksi yang berusia lebih dari tujuh tahun yang dijual atau ditukar milik; Ketiga: Memansuhkan cukai jalan ke atas teksi bajet milikpersendirian; Keempat: Pemberian subsidi kadar faedah dua peratus ke atas pinjaman penuh untuk memiliki teksi baru buatan tempatan. Skim pinjaman ini yang diuruskan oleh BSN akan ditawarkan untuk tempoh dua tahun bermula 1 Januari 2012; dan Kelima: Pemberian bantuan 3,000 ringgit bagi melupuskan teksi lama yang berusia melebihi tujuh tahun tetapi kurang daripada 10 tahun. Bagi teksi yang berusia 10 tahun dan ke atas, bantuan 1,000 ringgit akan diberikan. Bantuan ini ditawarkan bagi pembelian kereta baru buatan tempatan untuk tempoh dua tahun mulai 1 Januari 2012. 93. Kerajaan berharap dengan pemberian bantuan ini, pemandu teksi dapat memberi perkhidmatan lebih berkualiti, mesra pelanggan dan sekali gus menaikkan imej negara yang mesra pelancong. Bagi kesemua bantuan di atas, setiap pemilik teksi bajet persendirian dijangka mendapat manfaat kira-kira 7,560 ringgit. Pemberian bantuan kepada pemilik teksi bajet ini juga dipanjangkan kepada pemilik kereta sewa persendirian. Tuan Yang di-Pertua, 94. Kerajaan komited untuk mempastikan bahawa tidak ada orang yang dituduh atas kesalahan jenayah ternafi haknya untuk di guami. Pada kala ini, dianggarkan 80 peratus Orang Kena Tuduh dalam kes jenayah yang tidak mempunyai peguam untuk membela mereka kerana tidak berkemampuan bagi membayar fi guaman yang tinggi. Untuk ini, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan akan mempastikan setiap individu yang didakwa di mahkamah akan diberi bantuan guaman secara percuma. Bagi maksud tersebut, Kerajaan akan menambah 10 juta ringgit lagi kepada yayasan pada tahun hadapan membawa jumlah keseluruhan sebanyak 15 juta ringgit. Tuan Yang DiPertua, 1. Saya mohon mencadangkan supaya suatu Rang Undang-undang bertajuk "Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2004 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu" dibaca bagi kali kedua. PENDAHULUAN 2. Kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wa Taala kerana Kerajaan sekali lagi dapat membentangkan Perutusan Bajet 2004 di Dewan yang mulia ini. 3. Pada 12 September 2003, Ahli Parlimen bagi Kubang Pasu, Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu telah membentangkan Bajet 2004 di Dewan Rakyat. Di Dewan yang mulia ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada beliau yang telah banyak berjasa dan berbakti dalam usaha memberi erti dan nilai kemerdekaan kepada sebuah negara, hingga Malaysia terus kekal sebagai sebuah negara merdeka yang berdaulat lagi dihormati, aman lagi lagi makmur, maju lagi cemerlang. Di bawah kepimpinan beliau, semangat kerjasama dan sikap toleransi melalui amalan hormat menghormati, hingga terbina warga Malaysia yang bersatu padu, terus diperkukuhkan. 4. Selama lebih 22 tahun di bawah kepimpinan berwawasan beliau selaku Perdana Menteri, negara telah membangun pesat dan kini berada di landasan kukuh untuk mencapai taraf sebuah negara maju. Segala jasa - segala bakti, pemikiran dan idea, kesungguhan dan kegigihan serta pengorbanan dan komitmen beliau akan terus menjadi perangsang semangat kepada seluruh warga Malaysia untuk terus melangkah ke hadapan mencipta kejayaan lebih cemerlang. Tuan Yang DiPertua, 5. Bajet 2004 telah dirangka bagi mempastikan kesinambungan dasar dan strategi Kerajaan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara yang lebih bertumpu kepada domestic-led growth yang diterajui oleh rakyat negara kita sendiri. Bajet 2004 mencadangkan langkah strategik untuk menjadikan negara benar-benar sebagai negara perdagangan (true trading nation), dengan memberi tumpuan kepada pengeluaran barangan dan perkhidmatan oleh pengusaha tempatan. Di samping itu, usaha untuk meningkatkan lagi kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat terus ditekankan. 6. Bajet 2004 telah dibahaskan di Dewan Rakyat dengan mendapat sokongan padu. Alhamdulillah, Bajet ini telah pun diluluskan di Dewan tersebut pada 27 Oktober yang lalu. Saya percaya Dewan ini juga dapat membahas dan memberi pandangan membina untuk menjadikan Bajet 2004 lebih baik dari yang lalu. PRESTASI EKONOMI MALAYSIA 2003 Tuan Yang DiPertua, 7. Prestasi ekonomi negara pada tahun 2003 dijangka berkembang lebih kukuh, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatat kadar peningkatan 4.5 peratus, lebih tinggi dari 4.1 peratus pada tahun 2002. Semua sektor ekonomi dijangka terus mencatatkan pertumbuhan positif, didorong terutamanya oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan serta dimantapkan oleh prestasi sektor pertanian dan perlombongan. 8. Indikator ekonomi terkini menunjukkan tren pertumbuhan lebih kukuh. Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat ketara hampir 8 peratus bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, berbanding dengan 3.2 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas. Di sektor pertanian, pengeluaran minyak kelapa sawit meningkat lebih 16 peratus berbanding kemerosotan 1.2 peratus bagi tempoh yang sama tahun lalu, berikutan peningkatan permintaan dan kenaikan harga komoditi berkenaan. Pengeluaran getah bertambah lebih ketara sebanyak 18 peratus berbanding 4 peratus. Sektor pelancongan yang terjejas teruk oleh wabak SARS, kini kembali cergas dengan bilangan pelancong meningkat dua kali ganda kepada 943,500 pada bulan September berbanding bulan April, iaitu hampir menyamai paras sebelum SARS sebanyak purata 1.1 juta sebulan. 9. Perbelanjaan penggunaan swasta terus mantap, berikutan dengan peningkatan keyakinan pengguna yang didorong, terutamanya oleh kesan positif wealth effect pasaran saham, pemberian bonus kakitangan Kerajaan di bawah Pakej Rangsangan serta peningkatan harga komoditi utama. Harga kelapa sawit meningkat 42 peratus kepada 1,938 ringgit setan metrik berbanding purata 1,364 ringgit bagi tahun 2002. Manakala harga getah juga meningkat ketara sebanyak 78 peratus kepada lima ringgit dua puluh satu sen sekilogram berbanding purata dua ringgit sembilan puluh tiga sen tahun lalu. 10. Sentimen pelaburan swasta juga semakin menggalakkan, dengan nilai permohonan pelaburan yang diterima oleh MIDA melonjak sebanyak 71 peratus kepada 13.5 bilion ringgit bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini, berbanding kemerosotan 32 peratus bagi tempoh yang sama tahun lepas. Bilangan jualan kenderaan komersil turut meningkat ketara melebihi 30 peratus kepada 19,423 unit bagi tempoh suku ketiga tahun ini berbanding suku pertama. Kadar pertumbuhan tahunan pinjaman kepada IKS juga meningkat 7 peratus pada akhir September 2003, berbanding kemerosotan hampir 1 peratus bagi tempoh yang sama tahun lepas. 11. Negara terus mencatat lebihan dagangan selama 71 bulan berturut-turut, berjumlah 4.4 bilion ringgit bagi bulan September. Rizab antarabangsa negara pula pada 6 November 2003 terus bertambah dengan ketara kepada 167.3 bilion ringgit, yang mampu membiayai 7 bulan import tertangguh, merupakan lebih tinggi dua kali ganda daripada paras yang dicatat semasa krisis. Peningkatan ini adalah berikutan penambahan pendapatan eksport dan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI), termasuk dana portfolio asing. Tuan Yang DiPertua, 12. Sebaik sahaja Bajet 2004 dibentangkan, agensi penarafan Standard & Poor's telah menaikkan kedudukan penarafan kredit jangka panjang berdaulat negara dari BBB+ kepada A-. Ini bukan sahaja mencerminkan keyakinan agensi antarabangsa terhadap kekukuhan ekonomi dan kewangan negara, malahan lebih penting ialah pengiktirafan terhadap dasar dan strategi yang efektif dan pragmatik yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan. 13. Kesemua perkembangan positif ini mendorong kepada pengukuhan ketara sentimen pelaburan, dengan indeks komposit Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) melonjak tinggi dari 632 mata pada 2 Januari kepada 817 mata pada 31 Oktober, paras tertinggi dicapai dalam tahun ini. Jumlah transaksi meningkat kepada 1.4 bilion unit dengan nilai pasaran mencecah hampir 650 bilion ringgit, berbanding 107 juta unit bernilai 473 bilion ringgit pada 2 Januari tahun ini. Transaksi urusniaga runcit kembali rancak dengan jumlah dagangan hampir separuh dari jumlah dagangan keseluruhan, berbanding 40 peratus pada awal tahun ini. Urusniaga pelabur asing kembali cergas dengan jumlah urusniaga meningkat hampir empat kali ganda kepada 13.8 bilion ringgit pada bulan Oktober berbanding 3.7 bilion ringgit pada bulan Januari tahun ini. 14. Dari segi penyenaraian baru, sebanyak 44 syarikat telah disenaraikan di BSKL dalam tempoh sepuluh bulan pertama tahun ini dengan nilai pasaran sebanyak 21.3 bilion ringgit. Jika pada awal tahun ini, tawaran IPO telah mengalami kurangan langganan, kini IPO mendapat lebihan langganan sebanyak purata 21 kali. Pada masa yang sama, harga semasa penyenaraian telah mencatatkan premium sebanyak purata 50 peratus. 15. Memandangkan kepada perkembangan yang memberangsangkan ini, KDNK pada separuh kedua tahun ini dijangka lebih kukuh setelah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.5 peratus pada separuh tahun pertama. Kerajaan yakin pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.5 peratus yang dianggarkan bagi keseluruhan tahun ini dapat dicapai, malahan dijangka berkemungkinan mencatatkan kadar pertumbuhan yang lebih tinggi, InsyaAllah. STRATEGI BAJET 2004 Tuan Yang DiPertua, 16. Bajet 2004 telah digubal dengan memberi tumpuan kepada lima strategi utama seperti berikut: - memacu sektor swasta tempatan dan menggiat sektor perkhidmatan bagi menerajui pertumbuhan ekonomi; - mengambil langkah konsolidasi fiskal ke arah bajet berimbang dalam masa terdekat; - melaksanakan dasar kewangan yang dapat mendorong dan meningkatkan lagi penggunaan dan pelaburan swasta; - mengukuhkan lagi daya saing negara supaya Malaysia benar-benar menjadi negara perdagangan (true trading nation); dan - memantapkan lagi agenda sosial dan masyarakat penyayang untuk meningkatkan lagi kualiti hidup serta kesejahteraan rakyat. Strategi I: Memacu sektor swasta tempatan dan menggiat sektor perkhidmatan bagi menerajui pertumbuhan ekonomi Tuan Yang DiPertua, 17. Untuk terus maju, negara perlu melakukan pengubahsuaian dari ekonomi yang digerakkan oleh FDI dan ekspot, kepada ekonomi yang diterajui dan dilengkapi oleh pertumbuhan dalam negara dan pelaburan tempatan (DDI). Ini memandangkan bahawa syarikat FDI lebih tertumpu kepada pengeluaran produk bukan berjenama Malaysia serta kurang mempunyai rangkaian dengan pengeluaran tempatan, di samping mengguna teknologi yang dibangunkan di luar negara. Walaupun begitu, negara tetap mengalu-alukan kemasukan FDI, tetapi lebih berminat kepada pelaburan pada tahap lebih tinggi dalam rantaian nilai (value chain), supaya ianya dapat menyumbang kepada peningkatan daya saing dan daya tahan negara. 18. DDI perlu digalakkan untuk menjadi lebih cergas supaya negara dapat menjadi pelabur, pengeluar dan pengeksport utama yang mampu bersaing di pasaran global. Sektor swasta tempatan mesti berani menerokai peluang baru serta mewujud dan mengeluarkan produk berjenama Malaysia dengan kualiti bertaraf dunia untuk menembusi dan menguasai pasaran antarabangsa. Inisiatif mesti diambil untuk meningkatkan pengeluaran produk tempatan yang mempunyai nilai tambah yang tinggi, bermula dari usaha penyelidikan berorientasi komersil hingga penggunaan komponen dan perkhidmatan logistik tempatan. Negara mesti menjadi pedagang global (global trader) dengan menggandakan langkah mempromosi barangan keluaran negara di pasaran antarabangsa, terutamanya pasaran bukan tradisional dan kepada negara-negara OIC dan NAM. 19. Untuk mempromosi Malaysia sebagai pedangan global bagi produk negara, antara langkah utama yang dicadangkan ialah: - menggalakkan sektor swasta menubuhkan pusat-pusat perdagangan (trading houses) untuk eksport barangan negara; - menambahkan jumlah dana sebanyak 100 juta ringgit lagi bagi Tabung Pembangunan Dana Mempromosi Jenama Malaysia, menjadikannya berjumlah 200 juta ringgit; dan - menyemak semula kaedah penilaian perolehan Kerajaan dengan memberi penekanan (weightage) kepada penggunaan kandungan tempatan, teknologi dan nilai tambah. 20. Bagi mempermudah dan mempercepatkan urusan perolehan Kerajaan, e-perolehan telah dilancarkan pada Oktober 2000. Sehingga kini, pelaksanaannya telah pun diperluaskan kepada semua agensi Persekutuan untuk pembelian terus dan kontrak pusat, sementara bagi perolehan secara sebut harga dan tender, 14 agensi Kerajaan telah melaksanakannya. Pelaksanaan e- perolehan ini akan dapat mengurangkan red tape dan menambah ketelusan serta kecekapan dalam urusan perolehan Kerajaan dan seterusnya mencegah kemungkinan berlakunya salahguna kuasa dan penyelewengan. Adalah menjadi matlamat Kerajaan dengan adanya sistem rangkaian perolehan yang lebih berkesan untuk memastikan pembayaran kepada kontraktor dan pembekal dibuat mengikut jangka masa yang ditetapkan. Pihak swasta disarankan membuat pembayaran dengan cepat. Secara menyeluruh, ini akan dapat merangsang dan mempercepatkan kitaran perniagaan di antara pihak Kerajaan dan swasta di samping memperbaiki produktiviti dan efisiensi negara. 21. Bagi mempastikan pentadbiran Kerajaan lebih cekap, jujur dan amanah serta sebagai langkah Kerajaan untuk mempertingkatkan keberkesanan system penyampaian dan mengurangkan kerenah birokrasi, Pelan Integriti Nasional akan dilaksanakan serta Institut Nasional Etika Awam akan ditubuhkan. Langkah ini antara lain bertujuan untuk memantapkan lagi perkhidmatan awam, menggalakkan urus tadbir yang telus dan berkesan serta mampu memberi perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada rakyat. Kecekapan, kewibawaan dan ketelusan dalam perkhidmatan awam dapat menjamin terhindarnya gejala rasuah. Tuan Yang DiPertua, 22. Industri Kecil dan Sederhana (IKS) merupakan pemangkin dan penyokong utama pembangunan perindustrian negara seperti di Korea, Jepun dan China. Di negara kita, walaupun bilangan IKS melebihi 90 peratus daripada bilangan syarikat, tetapi sumbangan pengeluarannya kepada sektor industri masih rendah di sekitar tiga puluh peratus berbanding lima puluh peratus di negara China. Justeru, Kerajaan akan terus melaksanakan langkah untuk mengukuhkan lagi sumbangan IKS kepada ekonomi negara. Antara langkah utama yang dicadangkan ialah: - dalam Bajet 2003, Kerajaan telah mengurangkan cukai korporat bagi syarikat IKS daripada 28 peratus kepada 20 peratus bagi syarikat yang mempunyai nilai threshold pendapatan sebanyak 100 ribu ringgit. Dalam Bajet 2004 ini, Kerajaan bercadang meningkatkan lagi nilai threshold pendapatan kepada 500 ribu ringgit. Ini bermakna lebih banyak syarikat IKS akan mendapat manfaat daripada pengurangan cukai tersebut; dan - bagi membantu syarikat IKS menangani masalah hutang tidak berbayar (NPL), sebuah Jawatankuasa Penyelesaian Hutang IKS ala CDRC telah ditubuhkan di bawah Bank Negara Malaysia. Dengan langkah ini, Kerajaan berharap syarikat IKS akan dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha mengembangkan lagi perniagaan mereka. 23. Kerajaan prihatin terhadap masalah mendapatkan aksesibiliti kemudahan pinjaman oleh syarikat IKS. Setakat ini, Kerajaan telah menyediakan dana khusus untuk IKS berjumlah 12.2 bilion ringgit seperti Tabung Infrastruktur Pelancongan, Tabung Industri Kecil dan Sederhana serta Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN). 24. Di bawah Pakej Rangsangan, Kerajaan telah menyediakan dana sebanyak 1 bilion ringgit bagi Skim Kredit Mikro untuk peniaga kecil dengan syarat pinjaman yang lebih mudah. Sehingga akhir Oktober, hampir 30 ribu permohonan bernilai 445 juta ringgit telah diterima oleh Bank Pertanian Malaysia (BPM), manakala hampir 85 ribu permohonan bernilai 1,419 juta ringgit telah diterima oleh Bank Simpanan Nasional (BSN). Daripada jumlah ini, BPM dan BSN telah meluluskan separuh daripada permohonan bernilai 578 juta ringgit, manakala pinjaman yang telah dikeluarkan berjumlah 518 juta ringgit. Memandangkan sambutan amat menggalakkan, dana ini dicadang ditambah sebanyak 1 bilion ringgit. Tuan Yang DiPertua, 25. Untuk meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara, kita perlu mengenalpasti dan menerokai sumber pertumbuhan baru. Sektor perkhidmatan merupakan satu sektor utama yang berpotensi diperkembangkan memandangkan bahawa sumbangannya kepada KDNK sebanyak 57 peratus masih rendah berbanding di negara maju, umpamanya 74 peratus di Amerika Syarikat, 73 peratus di United Kingdom, 72 peratus di Perancis dan 68 peratus di Jepun. Bagi mempastikan potensi pertumbuhan sektor ini dapat dieksploitasikan sepenuhnya, Kerajaan telah memperluaskan peranan Multimedia Development Corporation (MDC) sebagai one-stop agency ala MIDA bagi sektor perkhidmatan terpilih untuk menarik dan membantu pelabur mendapatkan kelulusan pelaburan dari pelbagai pihak. Strategi II: Mengambil langkah konsolidasi fiskal ke arah bajet berimbang dalam masa terdekat Tuan Yang DiPertua, 26. Semenjak krisis kewangan, Kerajaan telah melaksanakan dasar fiskal mengembang bertujuan untuk merangsang kegiatan ekonomi domestik bagi mempastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal positif. Langkah ini diambil sebagai usaha untuk menangani terutamanya pelaburan swasta yang telah terjejas. Pelaksanaan dasar ini telah mengakibatkan kedudukan kewangan Kerajaan mengalami defisit dan menjejaskan pencapaian bajet berimbang yang disasarkan menjelang tahun 2005, semasa Rancangan Malaysia Kelapan digubal. 27. Dengan sektor swasta dijangka kembali menerajui pertumbuhan ekonomi negara, Kerajaan akan dapat meneruskan langkah konsolidasi fiskal. Defisit Kerajaan Persekutuan akan dapat dikurangkan daripada 5.4 peratus daripada KDNK tahun ini kepada 3.3 peratus pada tahun 2004 dan 1.8 peratus pada tahun 2005. Seterusnya, Kerajaan dijangka dapat mencapai matlamat bajet berimbang pada tahun 2006. Bagi keseluruhan sektor awam, defisit belanjawan tahun 2003 hanyalah sebanyak 1.5 peratus, jauh lebih rendah dari defisit yang dibenarkan sebanyak 3 peratus di negara-negara kawasan Euro. Malahan, Kerajaan menjangkakan kedudukan kewangan sektor awam akan mencapai lebihan dalam tahun 2004. ZZZ 28. Selaras dengan dasar konsolidasi fiskal, Kerajaan memperuntukkan sejumlah 112.5 bilion ringgit untuk Bajet 2004, merupakan pengurangan sebanyak 1.6 peratus berbanding 2003. Dari jumlah ini, 80.5 bilion ringgit atau 71.6 peratus adalah untuk perbelanjaan mengurus, manakala 30 bilion ringgit untuk pembangunan. Sebanyak dua bilion ringgit diperuntukkan bagi simpanan luar jangka. 29. Sebanyak 13.8 bilion ringgit atau 43.1 peratus daripada perbelanjaan pembangunan diperuntukkan untuk sektor ekonomi, infrastruktur, perindustrian, bekalan elektrik dan air luar bandar. Bagi menjayakan program sosial, sebanyak 11.2 bilion ringgit dicadangkan untuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, pembangunan masyarakat serta belia dan sukan. Seterusnya, 2.7 bilion ringgit atau 8.4 peratus diperuntukkan bagi sektor keselamatan dan 4.3 bilion ringgit atau 13.6 peratus bagi pentadbiran awam. 30. Kerajaan sedar bahawa pendidikan berkualiti merupakan asas utama untuk membina sumber manusia berpengetahuan tinggi. Oleh itu, Kerajaan akan mempastikan peluang-peluang bermutu disediakan secukupnya kepada setiap warga Malaysia yang ingin mendapatkan pendidikan setinggi yang mungkin. Di samping itu, pendidikan rohani akan turut diutamakan bagi mempastikan rakyat memiliki jati diri dan mempunyai nilai murni yang perlu dipupuk bagi menjamin pembangunan insan secara lengkap dan menyeluruh. Sehubungan ini, sejumlah 20.2 bilion ringgit atau satu perempat daripada peruntukan perbelanjaan mengurus dicadangkan bagi sektor ini. Di samping itu, sejumlah 3.7 bilion ringgit diperuntukkan di bawah perbelanjaan pembangunan, termasuk 1.8 bilion ringgit bagi pembinaan sekolah rendah, menengah, asrama dan rumah guru, 637 juta ringgit bagi pengkomputeran sekolah, sementara 490 juta ringgit bagi institusi pendidikan tinggi awam. 31. Program pembangunan luar bandar akan terus diberi penekanan. Sejumlah 2.2 bilion ringgit disediakan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar, termasuk pembinaan jalan kampung dan klinik desa serta menyediakan bekalan air dan elektrik. Bagi menggerakkan lagi kegiatan ekonomi desa dan membantu pengusaha kecil di luar bandar memajukan perusahaan mereka di bawah program satu produk satu kampung, Kerajaan akan menyediakan Skim Kredit Mikro Desa dengan dana berjumlah satu bilion ringgit. 32. Kerajaan yakin sektor pertanian mempunyai potensi besar untuk dimajukan memandangkan terdapat banyak sumber pertumbuhan baru di sektor ini yang boleh diterokai, terutamanya bioteknologi, akuakultur dan pengeluaran makanan. Transformasi sektor pertanian kepada sektor yang lebih moden dan berorientasi komersil akan dipesatkan. Untuk meningkatkan lagi rantaian nilai tambah di sektor ini, aktiviti pemprosesan, logistik, pembungkusan, pembangunan jenama dan penerokaan pasaran baru diperhebatkan. Di samping itu, system penyampaian akan diperkukuhkan lagi, khususnya dengan menyediakan rangkaian bilik sejuk (cold storage chain) bagi produk pertanian yang mudah rosak. Bagi menggalakkan pelaburan semula dalam bidang ini, Kerajaan mencadangkan syarikat milik tempatan sedia ada diberi galakan Taraf Perintis atau Elaun Cukai Pelaburan. 33. Untuk memperkembangkan lagi kegiatan sektor pertanian, sebanyak 3.3 bilion ringgit diperuntukkan di bawah perbelanjaan mengurus dan pembangunan. Daripada jumlah tersebut, 885 juta ringgit disediakan bagi kemudahan asas pertanian, 165 juta ringgit untuk pelabuhan perikanan dan 70.6 juta ringgit untuk akuakultur. Bagi membiayai aktiviti pengeluaran dan pemprosesan barangan makanan, Kerajaan telah menyediakan Tabung Untuk Makanan dengan dana keseluruhan berjumlah 2.3 bilion ringgit. 34. Kerajaan juga amat prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh petani dan pekebun kecil akibat daripada bencana banjir. Walaupun ini merupakan satu kejadian semulajadi alam, namun kita boleh berusaha untuk mengurangkan impak kejadian ini. Dalam peristiwa banjir yang berlaku baru-baru ini di Kedah, Perak Utara dan Pulau Pinang, Kerajaan telah memberi bantuan sebanyak 32 juta ringgit kepada petani dan penternak yang telah mengalami kerugian untuk meringankan beban mereka. 35. Sesungguhnya, bantuan kewangan ini hanyalah merupakan satu langkah jangka pendek. Bagi mengelakkan kejadian banjir dari berlaku di masa hadapan, Kerajaan akan menyediakan satu Pelan Induk Pengurusan Sungai, terutama di kawasan-kawasan yang sering dilanda banjir. Di samping itu, beberapa projek tebatan banjir sedang dilaksanakan. Ini termasuk projek SMART di Kuala Lumpur, Projek Tebatan Banjir Sungai Muda yang meliputi kawasan Pulau Pinang dan Kedah serta Projek Tebatan Banjir Kepala Batas. Strategi III: Melaksanakan dasar kewangan yang mendorong dan meningkatkan lagi penggunaan dan pelaburan swasta Tuan Yang DiPertua, 36. Dasar kewangan yang lebih akomodatif akan diteruskan untuk mencergaskan aktiviti dalam negeri, terutamanya perbelanjaan penggunaan dan pelaburan. Di samping itu, langkah akan diambil untuk mengurus kedudukan mudah tunai yang berlebihan supaya sumber ini dapat digunakan dengan lebih berkesan bagi membiayai aktiviti ekonomi. 37. Kerajaan akan terus mempastikan regim kadar faedah yang rendah dikekalkan bagi membolehkan pengurangan kos perniagaan. Namun begitu, Kerajaan juga prihatin terhadap kesan dasar ini kepada pendeposit memandangkan negara mempunyai kadar simpanan yang tinggi, iaitu sebanyak 34 peratus daripada Keluaran Negara Kasar. Oleh yang demikian, adalah dicadangkan supaya Bank Negara Malaysia menerbitkan bon simpanan untuk membantu golongan yang bergantung kepada pendapatan daripada wang simpanan, iaitu golongan pesara yang berumur 55 tahun ke atas. Bon ini akan mempunyai ciri-ciri seperti pulangan yang melebihi kadar faedah simpanan dan pelepasan cukai pendapatan. 38. Bagi mempastikan pasaran modal menjadi lebih cekap dan berdaya tahan, saya telah mengumumkan 10 langkah baru pada 11 Mac tahun ini. Langkah-langkah tersebut termasuk penyeragaman dan pengurangan saiz lot dagangan di BSKL, pengurangan duti setem dan tempoh pemprosesan IPO, penubuhan one-stop agency di Suruhanjaya Sekuriti serta peningkatan kemahiran melalui penubuhan Dana Pendidikan Wakil Peniaga Bumiputera. 39. Syukur Alhamdulillah, langkah-langkah ini telah memberi sumbangan ke arah mencergas dan mengukuhkan lagi pasaran modal negara. Kerajaan akan sentiasa berusaha untuk memantau dan melaksana langkah- langkah bagi mempastikan pasaran modal terus mantap dan berkembang maju. Tuan Yang DiPertua, 40. Mengenai cadangan penyenaraian FELDA yang telah diumumkan dalam Bajet 2004, Kerajaan telah memutuskan supaya cadangan ini diperincikan lagi untuk mempastikan kedudukan sosio ekonomi dan kebajikan peneroka kekal terjamin. Ini akan dapat mengelakkan sebarang salah tafsiran mengenai langkah penyenaraian. 41. Semasa pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kelapan, diumumkan pegangan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat telah berkurangan. Sebagai langkah memperluaskan lagi peluang pelaburan, khususnya kepada Bumiputera melalui saham amanah, Dana HARAPAN akan ditubuhkan untuk menggembleng tabungan dan modal Bumiputera. Penubuhan Dana HARAPAN dijangka dapat mempertingkatkan pegangan ekuiti Bumiputera. Di samping itu, Kerajaan juga tidak lupa hasrat DEB untuk mewujudkan Masyarakat Komersil dan Industri Bumiputera yang lebih berjaya, terutamanya melalui sistem vendor dan payung. Kerajaan berharap Bumiputera akan merebut peluang ini untuk memantapkan lagi penyertaan mereka dalam sektor korporat selaras dengan Dasar Pembangunan Negara. Dalam hal ini, masyarakat Bumiputera mesti berusaha melipat gandakan keupayaan dan kebolehan supaya pembahagian kekayaan yang lebih saksama di kalangan mereka dapat dicapai berasaskan kebolehan. Strategi IV: Mengukuhkan lagi daya saing negara supaya Malaysia menjadi negara perdagangan (true trading nation) Tuan Yang DiPertua, 42. Bajet 2004 juga mencadangkan supaya Malaysia benar-benar menjadi sebuah negara perdagangan. Dalam hubungan ini, efisiensi dan produktiviti perlu ditingkatkan supaya negara terus berupaya bersaing. Di samping itu, kita juga perlu menumpukan kepada usaha mengukuhkan lagi kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D), membangunkan sumber manusia dan memperkembangkan lagi teknologi komunikasi dan maklumat (ICT). 43. Institusi R&D negara perlu mengorientasikan usaha ke arah R&D yang berlandaskan permintaan dan dorongan (demand and market driven R&D) yang memberi tumpuan kepada penciptaan nilai atau value creation yang menjurus kepada pengkomersilan hasil penyelidikan. Dalam hal ini, Kerajaan akan menyusun semula SIRIM menjadi focal point bagi usaha match-making antara R&D dan permintaan pasaran. SIRIM akan bertanggungjawab untuk mengenalpasti permintaan pasaran tempatan dan dunia mengenai produk dan teknologi baru. Di samping itu, untuk menggalakkan pengkomersilan hasil penyelidikan, pendapatan yang diperolehi oleh penyelidik dicadang diberi pengecualian cukai sebanyak 50 peratus untuk tempoh lima tahun. 44. Usaha meningkatkan kemahiran di kalangan tenaga kerja penting dilaksanakan memandangkan mereka merupakan aset negara untuk mencapai produktiviti dan daya saing lebih tinggi. Sehubungan ini, di bawah Pakej Rangsangan, Tabung Pembangunan Kemahiran telah ditambah sebanyak 500 juta ringgit untuk melatih pelajar teknikal dan vokasional, sementara Tabung Latihan Semula ditubuhkan dengan dana berjumlah 100 juta ringgit bagi program latihan semula graduan baru. 45. Selaras dengan hasrat memperluaskan penggunaan ICT, JARING dan TMNet akan digabungkan untuk mempastikan perkhidmatan yang lebih luas dan efisyen. Di samping itu, untuk mengurangkan kos kendalian perniagaan serta membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia mampu mempunyai akses kepada internet, Telekom Malaysia akan mengurangkan caj laluan internet. Strategi V: Memantapkan lagi agenda sosial dan masyarakat penyayang Tuan Yang DiPertua, 46. Kerajaan akan terus berusaha memantapkan lagi agenda dan program sosial dalam hasrat membina sebuah masyarakat Malaysia yang berteraskan nilai murni dan kemuliaan insan. Semoga akan terbina warga Malaysia yang bermaruah serta dapat memperkukuhkan perpaduan dan ketahanan nasional. Semoga keselamatan negara dan ketenteraman awam, kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi, kekal terjamin. 47. Institusi keluarga akan terus diperkukuh kerana keutuhan dan kebahagiaan keluarga menjadi tunjang dan benteng paling teguh dalam menghadapi segala cabaran sosial. Peranan wanita sebagai pembentuk keluarga bahagia dan penerap nilai murni dalam jiwa generasi muda serta penyertaan mereka dalam arus pembangunan negara akan terus disokong dan diberi pengiktirafan sewajarnya. Manakala generasi muda, pewaris negara bangsa, perlu dilengkapkan dengan akhlak mulia, minda dan intelek yang berwawasan serta semangat jati diri yang unggul. Kerajaan juga prihatin terhadap warga tua serta mereka yang kurang upaya dengan menekankan amalan budaya penyayang agar mereka sentiasa dihargai dan dimuliakan supaya dapat bersama menikmati kemakmuran negara. 48. Sebagai usaha berterusan bagi mempastikan semua rakyat, terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana, berpeluang memiliki rumah kediaman yang selesa, Kerajaan akan memainkan peranan lebih aktif dalam pembinaan perumahan kos rendah dan sederhana, terutamanya melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). 49. Selaras dengan pengiktirafan yang diberikan kepada peranan wanita sebagai pembentuk keluarga bahagia dan sumbangan mereka dalam pembangunan sosio ekonomi negara, beberapa langkah bagi membantu mereka dicadangkan. Di antaranya ialah menambah pelepasan cukai anak daripada 800 ringgit kepada 1,000 ringgit serta galakan cukai kepada majikan untuk menubuhkan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja. Di samping itu, bagi membantu ibu tunggal mengusahakan perniagaan, dana khusus sebanyak 100 juta ringgit disediakan di bawah Skim Kredit Desa, sementara mereka juga akan diberi keutamaan dan diskaun sebanyak 20 peratus untuk membeli rumah kos rendah dan sederhana. 50. Golongan kurang upaya turut diberikan perhatian agar mereka tidak terpinggir dalam arus pembangunan negara. Antara langkah yang dicadangkan ialah diberi bantuan bulanan sebanyak 25 ringgit bagi pelajar kurang upaya di peringkat sekolah rendah dan menengah dan 300 ringgit bagi mereka di institusi pengajian tinggi. Bagi kakitangan awam yang mempunyai anak kurang upaya, mereka pula dibenar bekerja menggunakan flexi-hours. 51. Untuk mengurangkan kos pengangkutan golongan kurang upaya, Syarikat Prasarana Negara akan mengurangkan tambang perjalanan mereka sebanyak 50 peratus, sementara cukai jalan bagi kereta, van dan motosikal buatan tempatan milik mereka dihapuskan. Mereka juga akan diberi diskaun sebanyak 20 peratus bagi pembelian rumah kos rendah dan sederhana. 52. Bagi umat Islam yang ingin mengerjakan ibadat haji, Kerajaan juga amat prihatin ke atas kos mengerjakan haji yang kian meningkat. Oleh itu, Kerajaan akan mempastikan kos menunaikan haji dikawal pada paras rendah dengan menambahkan lagi tempat tinggal di Mekah dan Madinah. Bagi tahun 2004, kos menunaikan haji secara muasasah telah pun dikurangkan sebanyak 5 peratus. Prospek Ekonomi 2004 Tuan Yang DiPertua, 53. Dengan terlaksananya langkah dan program dalam Bajet 2004, serta perkembangan ekonomi antarabangsa yang menggalakkan, KDNK negara dijangka berkembang lebih pesat antara 5.5 peratus hingga 6 peratus pada tahun 2004, berbanding 4.5 peratus pada tahun 2003. Sektor pembuatan dijangka kekal menjadi penggerak utama ekonomi, meningkat 7.2 peratus, sementara sektor perkhidmatan, 5.5 peratus. Dengan penekanan diberi kepada sektor swasta untuk menerajui pertumbuhan, pelaburan swasta dijangka berkembang kukuh sebanyak 9.9 peratus, manakala penggunaan sebanyak 7 peratus. 54. Selaras dengan prospek ekonomi negara yang lebih menggalakkan, taraf hidup rakyat Malaysia juga dijangka semakin meningkat dengan pendapatan per kapita bertambah kepada 14,954 ringgit pada tahun 2004, berbanding 14,343 ringgit pada tahun 2003. Jelas sekali, kemajuan yang dicapai oleh negara dan kesejahteraan yang dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat adalah hasil sokongan padu yang diberikan oleh semua pihak bagi menjayakan strategi pembangunan ekonomi dan sosial negara yang pragmatik . PENUTUP Tuan Yang DiPertua, 55. Saya sedar bahawa tanggungjawab memegang pucuk kepimpinan negara amatlah berat dan sangat mencabar. Syukur Alhamdullilah, saya telah diamanahkan untuk memimpin sebuah negara yang telah mengecapi kemajuan cemerlang. Namun, kita perlu terus mengorak langkah untuk membawa negara ke tahap yang lebih cemerlang, lebih gemilang dan lebih terbilang. Ini tidak dapat dicapai tanpa sokongan, kerjasama dan persefahaman erat dari semua pihak, sama ada Ahli Yang Berhormat, pentadbir, pihak swasta, para pekerja dan petani, malahan setiap warga Malaysia. 56. Dalam melaksanakan tanggungjawab ini, saya akan meneruskan segala dasar baik yang telah digubal dan dilaksanakan oleh pemimpin terdahulu. Dasar ekonomi negara yang terbukti berjaya akan terus menjadi teras kepada langkah strategik bagi membawa negara ke mercu kejayaan mencapai Wawasan 2020. Sekali lagi ingin saya nyatakan harapan saya supaya bekerjalah, bukan untuk saya, tetapi bersama saya untuk memajukan lagi negara. 57. Sesungguhnya, untuk mencapai kejayaan seterusnya, kita mesti sanggup berdepan dengan segala cabaran dan berani membuat anjakan strategik bagi bukan sekadar mempertahan kejayaan dan kemakmuran, malahan menggandakan kemajuan dan kesejahteraan negara. Justeru, kita mesti sentiasa bertindak tangkas serta cekap dan gigih dalam merealisasikan aspirasi dan mencapai Wawasan Negara. 58. Kita juga mesti sanggup berkorban, mengenepikan kepentingan diri, sentiasa cekap dan amanah serta memupuk keharmonian dan toleransi bagi mewujudkan semangat kerjasama dan mengeratkan perpaduan demi meningkatkan maruah bangsa dan memartabatkan kedaulatan negara. Saya menyeru kepada semua lapisan rakyat, agar bersama-sama bertekad dan berazam serta sanggup menggembleng tenaga ke arah meneruskan usaha membangunkan negara supaya lebih maju, makmur, aman dan sejahtera. Kepada Allah Subhanahu Wa Taala kita pohonkan segala taufik dan hidayah memandu kita ke jalan yang mendapat keredhaan dariNya. Tuan Yang DiPertua, Saya mohon mencadangkan. Tuan Yang di-Pertua, 1. Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2011 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua. PENDAHULUAN Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani, Firmannya: “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu yakni kebahagiaan negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari kenikmatan duniawi dan berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi”. (Surah Al-Qasas, ayat 77) Tuan Yang di-Pertua, 1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dan segala kepujian dipanjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala yang telah mengizinkan saya, membentangkan Bajet Negara bagi tahun 2011. Sesungguhnya, ini bukan bajet yang lazim. Bajet ini amat bermakna sebagai helaian-helaian pembuka tirai kepada pusingan akhir ke arah Wawasan 2020 yang bakal menjelang kira-kira 3,365 hari atau 9 tahun 2 bulan dan 17 hari lagi. 2. Justeru, pada petang Jumaat yang mulia ini, penghulu segala hari, saya akan meletak bata-bata pengmuktamad serta memahat paku-paku pelengkap sekaligus menaikkan layar Bahtera Malaysia menuju ufuk negara maju. Hakikatnya, sejak 18 bulan lalu Kerajaan telah mempersiapsiagakan ceracak-ceracak yang kukuh sebagai asas lonjakan seterusnya kepada perjalanan Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi. 3. Sesungguhnya, Bajet ini digubal dengan penuh keazaman untuk mendokong perubahan besar kepada kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat. Proses transformasi ini dilaksanakan secara holistik meliputi aspek ekonomi, sosial dan politik. 4. Bajet 2011, mendakap semangat dan realiti pentadbiran terkini yang mengangkat Konsep 1Malaysia sebagai falsafah induk yang memandu hala tuju negara. Pelan Transformasi Kerajaan atau GTP dan Pelan Transformasi Ekonomi yakni ETP pula menjadi Peta Panduan. Enam NKRA, Model Baru Ekonomi dengan lapan terasnya pula membentuk Kerangka Kerja kepada arah tuju tersebut. Seterusnya, perinciannya sedang dan akan diterjemah melalui Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) dan Rancangan Malaysia Kesebelas. Tuan Yang di-Pertua, 5. Sememangnya lagi, sepertimana yang saya sering utarakan, era kerajaan tahu segalanya sudahpun berakhir. Lantaran, dalam menggubal Bajet ini, Kerajaan telah merundingi dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak terdiri daripada sektor awam, sektor swasta, focus group, sumbangan media massa, cadangan blog 1Malaysia serta sesi-sesi makmal. 6. Dengan demikian, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat. Inilah kekuatan 1Malaysia, inilah berkat gabungan percambahan idea dan gandingan usaha gigih yang telah dicurahkan. Hati kuman sama dicicah, hati gajah sama dilapah. InsyaAllah saya yakin kita akan dapat menangani pelbagai cabaran dan rintangan yang dihadapi. Bahkan, lebih dari itu, bersama-sama kita pasti mampu keluar dari perangkap ekonomi berpendapatan sederhana serta melonjak ke tahap pembangunan yang jauh lebih tinggi. Tuan Yang di-Pertua, 7. Alhamdulillah, negara kita telah berjaya pulih daripada kemelesetan ekonomi dunia berikutan daripada langkah proaktif yang telah diambil oleh Kerajaan dan pelaksanaan dua Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah 67 bilion ringgit. Kejayaan langkah ini, terbukti dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang pada 9.5 peratus bagi tempoh separuh pertama 2010, berbanding negatif 5 peratus bagi tempoh sama tahun lalu. Prestasi ekonomi dunia, turut dijangka kembali pulih pada kadar 4.8 peratus berbanding negatif 0.6 peratus tahun 2009. Begitu juga dengan perdagangan antarabangsa, berkembang 11.4 peratus berbanding negatif 11 peratus pada tahun 2009. 8. Sementara di peringkat domestik, penunjuk utama turut mempamerkan pertumbuhan ekonomi kekal kukuh. Indeks Komposit Bursa Malaysia pula melonjak kepada 1,496 mata pada 14 Oktober 2010, antara tertinggi sejak Februari 2008. Hasil eksport juga memberangsangkan bagi tempoh lapan bulan pertama 2010, ia meningkat sebanyak 22 peratus dan import 28 peratus, khususnya, import barangan modal meningkat sebanyak 18 peratus. 9. Kedudukan ringgit pula, semakin kukuh dengan kadar pertukaran bagi sedolar Amerika mencecah 3.0833 pada 14 Oktober 2010. Peningkatan 11 peratus sejak 31 Disember 2009, menjadikan ringgit antara matawang yang paling teguh, di rantau ini. Rizab antarabangsa negara kekal padu, berjumlah 310.8 bilion ringgit atau 100.7 bilion dolar Amerika pada 30 September 2010. Ia mampu membiayai 8.5 bulan import tertangguh dan 4.3 kali lebih tinggi daripada hutang luar jangka pendek negara. 10. Dengan perkembangan positif ini, Kerajaan telah menyemak semula kadar pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2010 kepada 7 peratus, berbanding 6 peratus sebelum ini. Ia, jauh lebih tinggi berbanding negatif 1.7 peratus pada 2009. Prestasi memberangsangkan ini, akan diupaya oleh peningkatan pengeluaran sektor pembuatan yang berkembang pada 10.8 peratus, perkhidmatan 6.5 peratus dan pembinaan 4.9 peratus. Manakala perbelanjaan pelaburan dan penggunaan swasta masing-masing 15.2 peratus dan 6.7 peratus serta eksport 11.6 peratus. 11. Bagi tahun 2011, pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia dijangka sederhana sebanyak 4.2 peratus dan 7 peratus. Selaras dengan itu, pertumbuhan ekonomi negara dijangka meningkat, pada kadar 5 hingga 6 peratus. Walau bagaimanapun, Kerajaan akan berusaha sedaya mungkin, untuk mencapai pertumbuhan 6 peratus. Pertumbuhan ini akan didorong oleh pelaburan swasta sebanyak 10.2 peratus, penggunaan swasta 6.3 peratus dan eksport 6.7 peratus. Sektor pembuatan pula kekal menerajui pertumbuhan, berkembang 6.7 peratus dan perkhidmatan 5.3 peratus. 12. Pendapatan per kapita bertambah 6.1 peratus kepada 28 ribu ringgit. Pendapatan per kapita mengikut kuasa beli pariti meningkat kepada 16 ribu dolar Amerika. Unjuran ini mengambil kira paras inflasi yang sederhana pada 2 hingga 3 peratus dan kadar pengangguran kekal rendah pada 3.5 peratus. Tuan Yang di-Pertua, 13. Menyongsong strategi Bajet 2011 demi mencapai status negara maju yang diaspirasikan, kita tidak boleh lagi terpenjara dengan kelaziman. Kita mesti menerjang keluar dari belenggu pemikiran dan cara kerja yang biasa. Pucuk pangkalnya, kejayaan menuntut kepada perubahan dan pembaharuan. Ia tidak boleh lagi berdikit-dikit tetapi menghambat lonjakan mega. Ternyata, apa yang dihadapkan kepada kita sangat jelas. Perubahan bukan lagi satu opsyen. Ia satu imperatif. Berubah atau kita akan ketinggalan. 14. Hatta, tawarikh menyaksikan, kita telah melakukan perubahan dan pembaharuan, kita berjaya mentransformasikan Malaysia daripada negara pertanian hingga menjadi antara negara pengeksport terbesar di dunia. Dari itu, cabaran generasi kepimpinan hari ini adalah untuk membuat lonjakan seterusnya. Ia bukanlah satu kemustahilan. Dengan perancangan yang rapi seperti ini dan strategi yang jelas, mudah-mudahan kita akan berjaya. Tuan Yang di-Pertua, 15. Dalam pada itu, pola perdagangan luar semakin mencabar, manakala saingan menarik modal antarabangsa kian sengit. Tambahan lagi, persekitaran ekonomi global kini, pantas bertukar. Dalam keadaan ini, sektor swasta perlu menyahut cabaran untuk menjadi peneraju pertumbuhan ekonomi yang lebih dinamik, kreatif dan inovatif. Mereka perlu lebih berani mengambil risiko, dan berani, merebut peluang yang ada. Yang pentingnya, Kerajaan akan menyediakan ekosistem yang terbaik bagi memastikan perkara ini boleh diterjemahkan. 16. Justeru, Bajet ini akan memberi tumpuan kepada usaha mentransformasi Malaysia, menjadi negara maju berpendapatan tinggi, berpembangunan inklusif dengan pertumbuhan mapan diterajui sektor swasta serta mendahulukan kesejahteraan rakyat. Bertemakan “Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi”, Bajet 2011,ini akan menumpu kepada empat strategi utama berikut: Pertama : Mendaya Kembali Pelaburan Swasta; Kedua : Membangunkan Modal Insan; Ketiga : Mensejahterakan Hidup Rakyat; dan Keempat : Memantapkan Penyampaian Perkhidmatan Awam Tuan Yang di-Pertua, 17. Strategi pertama adalah mendaya kembali pelaburan swasta. Hari ini, kita dapati Kerajaan memainkan peranan yang signifikan dalam menjana ekonomi negara. Corak pertumbuhan ini berlaku ekoran krisis kewangan 1997/1998. Sudah tiba masanya sektor swasta kembali bertindak sebagai enjin pertumbuhan seperti mana pra-kegawatan. Sehubungan itu, Kerajaan telah membuat pengumuman dan percaturan supaya Rancangan Malaysia Kesepuluh yang bermula pada tahun 2011 mengenengahkan lagi peranan sektor swasta. Pada tahun 2011, Kerajaan menganggarkan jumlah nilai semasa pelaburan swasta akan berkembang 12.5 peratus kepada sebanyak 86 bilion ringgit. Di samping itu, pelaksanaan 12 National Key Economic Area (NKEA) dijangka menjana pelaburan bernilai lebih 1.3 trilion ringgit atau 444 bilion dolar Amerika dan mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaan sepanjang tempoh pelaksanaannya. Daripada jumlah ini, 92 peratus akan dibiayai oleh sektor swasta dan bakinya oleh Kerajaan. 18. Dalam konteks ini, Kerajaan akan mempergiatkan lagi inisiatif Projek Perkongsian Awam-Swasta atau PPP bertujuan meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam kegiatan ekonomi. Pelaksanaan projek PPP dengan peruntukan Kerajaan disediakan sebagai tipping point untuk membangunkan infrastruktur sokongan bagi membolehkan projek yang diterajui sektor swasta menjadi lebih berdaya maju. Sehubungan itu, beberapa projek PPP telah dikenal pasti dalam RMK-10 akan mula dilaksanakan pada tahun hadapan dengan kos pelaburan swasta 12.5 bilion ringgit. Kerajaan pula akan menyediakan peruntukan sebanyak 1 bilion ringgit daripada Dana Mudahcara. Antara projek PPP yang terlibat adalah: Pertama: Pembinaan Lebuhraya seperti Lebuhraya Bertingkat Ampang-Cheras-Pandan, Lebuhraya Guthrie-Damansara, Lebuhraya Damansara-Petaling Jaya, Lebuhraya Pantai Barat Banting-Taiping, Lebuhraya Sungai Dua-Juru dan Lebuhraya Paroi-Senawang-KLIA; Kedua: Pembinaan Loji Janakuasa Kitar Padu Gas 300 mega watt di Kimanis, Sabah bagi menambah kapasiti bekalan elektrik untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat; dan Ketiga: Projek pembangunan kesihatan seperti Hospital Pengajian Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia di Kuantan, Pahang, Hospital Wanita dan Kanak-kanak serta Kompleks Institut Penyelidikan Kesihatan Bersepadu, di Kuala Lumpur. 19. Sebuah lagi projek PPP yang telah dikenal pasti adalah Academic Medical Centre. Projek ini merupakan usaha sama antara Academic Medical Centre Sdn. Bhd. dengan Johns Hopkins Medicine Internationaldan Royal College of Surgeons Ireland. Projek ini melibatkan pelaburan swasta sebanyak 2 bilion ringgit. Tuan Yang di-Pertua, 20. Mutakhir ini, kita telah mula menyaksikan kembalinya peranan sektor swasta dalam ekonomi melalui beberapa projek strategik berimpak tinggi. Contohnya, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan kerjasama Mubadala Development Company (Mubadala), syarikat pelaburan Kerajaan Abu Dhabi telah bersetuju membangunkan Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD) bermula tahun hadapan dengan nilai anggaran sebanyak 26 bilion ringgit. KLIFD akan menempatkan secara bersepadu, bank utama antarabangsa dan firma perkhidmatan kewangan profesional termasuklah pakar syariah. Apa yang mustahak adalah, pembangunan strategik sebegini akan terus menempatkan Malaysia sebagai hab kewangan Islam terulung di dunia. Kerajaan bersedia untuk menimbangkan pakej insentif yang menarik sebagai galakan untuk mereka yang melabur di KLIFD kelak. 21. Seterusnya, transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) di Greater KL (Lembah Klang) akan dilaksanakan mulai tahun hadapan. Projek ini dengan anggaran kos pelaburan swasta kira-kira 40 bilion ringgit dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2020 akan menambah kadar kepenggunaan pengangkutan awam sekurang-kurangnya 40 peratus. Projek MRT dijangka menyediakan pengangkutan awam yang efisien dan selesa serta pengguna dapat menuju ke destinasi dengan pantas. Sistem MRT ini juga akan memperhebatkan jaringan hubungan di Lembah Klang dan diintegrasikan dengan mod pengangkutan yang lain seperti bas dan teksi. 22. Sebuah lagi projek utama yang akan dilaksanakan adalah pembangunan tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buloh seluas 2,680 ekar. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melaksanakan pembangunan bercampur melibatkan kediaman mampu milik, perdagangan, industri serta kemudahan prasarana. Keseluruhan pembangunan ini, dianggarkan bernilai 10 bilion ringgit, dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2025. 23. Di sudut yang lain, kita berasa sungguh berbangga, bahawa, ke mana sahaja kita pergi, semua orang mengetahui tentang Menara Berkembar Petronas yang menjadi ikon negara. Ia merupakan satu monumen kepada semangat Malaysia Boleh. Hakikatnya, kekuatan negara adalah adunan dan bauran sejarah kelmarin dan harapan hari esok. Jadi, sebagai satu lagi mercu tanda kebanggaan negara menjelang 2020, Permodalan Nasional Berhad akan mula membangunkan projek bersepadu yang dinamakan Warisan Merdeka. Ia akan mengekalkan Stadium Merdeka, Stadium Negara dan pembinaan sebuah menara 100 tingkat yang tertinggi di Malaysia. Keseluruhan projek ini bernilai 5 bilion ringgit, di mana, menaranya dijangka akan siap pada tahun 2015. Tuan Yang di-Pertua, 24. Bagi menyokong dasar liberalisasi kewangan negara, Kerajaan akan terus berusaha mencergaskan lagi pasaran modal domestik dengan mengambil langkah berani, terutamanya mempelbagaikan produk pelaburan, meliberalisasi syarat pegangan ekuiti dan had pelaburan, menyediakan insentif yang lebih menarik serta meningkatkan kerjasama dengan bursa asing. Oleh itu, langkah berikut akan dilaksanakan: Pertama: Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) akan mengurangkan pegangan saham dalam syarikat utama di Bursa Malaysia untuk meningkatkan kecairan dan halaju dagangan pasaran; Kedua: GLIC akan dibenar meningkatkan pelaburan di luar negara bagi menerokai peluang pulangan pelaburanyang lebih baik. Sebagai contoh, KWSP yang mempunyai pelaburan antarabangsa sebanyak 7 peratus, akan ditingkatkan sehingga 20 peratus daripada jumlah aset diuruskan; Ketiga: Penyenaraian anak syarikat Petronas dan MISC, iaitu Petronas Chemical Sendirian Berhad dan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad akan menawarkan pegangan awam yang lebih tinggi pada tahun ini; Keempat: Bursa Malaysia akan melancarkan sukuk dan bon konvensional untuk memenuhi permintaan pelabur runcit terhadap pelaburan pendapatan tetap untuk meningkatkan kerancakan pasaran bon; Kelima: Suruhanjaya Sekuriti akan menawarkan tiga lesen syarikat broker saham baru kepada syarikat tempatan, asing atau usaha sama yang layak, untuk meningkatkan penyertaan pasaran runcit; Keenam: Suruhanjaya Sekuriti akan menambahkan bilangan Proprietary Day Traders yang beroperasi di pasaran; dan Ketujuh: Suruhanjaya Sekuriti juga akan mempermudahkan proses dan prosedur penyenaraian syarikat dan produk, terutamanya Dana Dagangan Bursa. 25. Dalam nafas yang sama, pasaran modal Islam akan terus diunggulkan. Untuk tujuan ini, Bursa Malaysia akan membangunkan international board bagi membolehkan penyenaraian saham asing, termasuk produk patuh syariah. 26. Makanya, bagi terus menggalakkan inovasi dalam produk sekuriti Islam, Kerajaan mencadangkan perbelanjaan bagi menerbitkan sekuriti Islam yang menggunakan prinsip Murabahah dan Bai Bi-thaman Ajil berasaskan tawarruq diberipotongan cukai. Ini akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pasaran sukuk utama dan mempromosi transaksi dalam Bursa Suq al-Sila, satu platform perniagaan komoditi patuh Syariah, yang pertama seumpamanya di dunia. Kerajaan juga mencadangkan sumbangan takaful bagi kredit eksport diberi potongan cukai dua kali. Tuan Yang di-Pertua, 27. Dalam menggalakkan lagi inovasi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, modal teroka memainkan peranan penting terutamanya dalam sektor berteknologi tinggi seperti ICT, bioteknologi dan industri kreatif. Untuk tujuan ini, Kerajaan akan menyediakan Latihan Peningkatan Keusahawanan kepada 500 bakal teknopreneur dan menarik lebih ramai “angel investors”, kedua-duanya akan dikendalikan oleh Cradle Fund, sebuah anak syarikat Kementerian Kewangan. Manakala, Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) pula akan diberi Dana Permulaan Perniagaan berjumlah 100 juta ringgit untuk memberi pembiayaan mudah dengan bayaran balik setelah syarikat menjana pendapatan. MTDC juga akan menganjurkan International Venture Capital Symposium pada tahun hadapan untuk memadan pemodal teroka asing dan tempatan bagi merancakkan lagi industri berteknologi tinggi. 28. Melangkah ke hadapan, sebagai penyertaan yang lebih bermakna dan mapan oleh golongan Bumiputera pula, Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera akan memberi peluang kepada pemilikan Bumiputera dalam sektor hartanah komersil utama di bandar utama dalam negara. Bumiputera dapat melanggan dalam tabung pemilikan hartanah komersil kelas utama di Lembah Klang melalui skim pemilikan berkelompok. Untuk ini, Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera akan melancarkan Skim Amanah Hartanah Bumiputera pada tahun ini dengan saiz bernilai satu bilion ringgit dan patuh syariah. 29. Untuk merancakkan lagi aktiviti pasaran modal, saya ingin mengumumkan Kerajaan akan melancarkan Dana Pencen Swasta pada tahun 2011. Dana ini akan memberi manfaat kepada pekerja sektor swasta dan mereka yang bekerja sendiri. Pelepasan cukai pendapatan sehingga 6 ribu ringgit sedia ada bagi caruman pekerja kepada KWSP diperluaskan untuk meliputi caruman yang dibuat kepada Dana Pencen Swasta termasuk caruman oleh mereka yang bekerja sendiri. Majikan juga akan diberi potongan cukai ke atas caruman yang dibuat bagi pihak pekerjanya. Ini akan memberikan pilihan kepada rakyat bagi melabur untuk hari tua mereka. 30. Industri Elektrik dan Elektronik (E&E) merupakan penyumbang terbesar hasil eksport negara iaitu sebanyak 41 peratus atau 228 bilion ringgit pada tahun 2009. Namun begitu, industri E&E kita lebih tertumpu kepada aktiviti pemasangan. Kita sepatutnya menggunakan kelebihan pengalaman untuk mewujudkan syarikat E&E tempatan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa. Oleh itu, sebanyak 857 juta ringgit akan disediakan bagi syarikat tempatan yang melabur dalam aktiviti E&E bernilai tambah tinggi, terutamanya di Pulau Pinang dan Kulim High-Tech Park di Kedah. 31. Selain itu, industri minyak, gas dan tenaga merupakan antara penyumbang utama kepada pendapatan ekonomi negara. Pada tahun 2009, industri ini telah menyumbang 10.2 peratus kepada KDNK dengan pendapatan eksport bernilai 56 bilion ringgit. Oleh kerana industri ini mempunyai potensi untuk dikembangkan lagi terutamanya aktiviti hiliran, Kerajaan memperuntukkan sebanyak 146 juta ringgit untuk sektor ini. Penubuhan Pusat Perkhidmatan dan Peralatan Minyak utama rantau Asia di Johor pula, melibatkan pelaburan swasta sebanyak 6 bilion ringgit dalam tempoh 10 tahun. Bagi mengatasi kekangan bekalan gas pula, Petronas akan melaksanakan projek regasification dengan kos pelaburan 3 bilion ringgit di Melaka yang dijangka mula beroperasi pada 2012. Tuan Yang di-Pertua, 32. Kerajaan komited untuk memajukan teknologi hijau bagi menjamin kelestarian pembangunan negara. Sehubungan itu, Kerajaan terus menyediakan beberapa insentif: Pertama: Taraf Perintis dan Elaun Cukai Pelaburan bagi aktiviti penjanaan tenaga daripada sumber yang boleh diperbaharui dan penjimatan tenaga dilanjutkan sehingga 31 Disember 2015; Kedua: Pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas peralatan penjanaan tenaga daripada sumber yang boleh diperbaharui dan penjimatan tenaga dilanjutkan sehingga 31 Disember 2012; Ketiga: Pengecualian cukai ke atas pendapatan daripada perdagangan sijil Certified Emission Reductions (CERs) dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2012; dan Keempat: Pengecualian duti import sepenuhnya dan duti eksais 50 peratus telah diberi kepada pemegang francais kereta hibridsehingga 31 Disember 2010. Bagi terus menggalakkan pemilikan kereta hibrid, pengecualian duti import dan duti eksais ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2011 dan sebagai galakan tambahan, duti eksais diberi pengecualian sepenuhnya. Galakan ini juga diperluaskan kepada kereta elektrik serta motosikal hibrid dan elektrik. 33. Malaysia juga komited, mengurangkan pengeluaran karbon intensiti bagi memulihara alam sekitar. Atas maksud ini, Kerajaan akan melaksanakan antara lain, Program Adunan Biobahan Api dengan Diesel Petroleum (Program B5) secara mandatori bermula di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka pada bulan Jun 2011. 34. Kerajaan juga akan melaksanakan mekanisme Feed in Tariff, (FiT) di bawah Akta Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) bagi membenarkan tenaga elektrik daripada sumber RE oleh pemaju bebas dan individu dijual kepada syarikat utiliti bekalan elektrik. Tuan Yang di-Pertua, 35. Dalam menyuburkan sektor pertanian, Kerajaan memperuntukkan 3.8 bilion ringgit bagi tahun 2011 supaya menjadi lebih produktif dan menjana pulangan lumayan. Antara tindakan yang akan diambil adalah: Pertama: Membangunkan Zon Akuakultur Bersepadu dengan skala besar, di Pitas, Sungai Telaga dan Sungai Padas di Sabah serta di Batang Ai dan Tanjung Manis di Sarawak yang menepati piawaian serta menghasilkan produk berkualiti dengan peruntukan 252 juta ringgit; Kedua: Sejumlah 235 juta ringgit disediakan bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran padi di Kawasan Pembangunan Pertanian Muda yakni MADA, Kedah dan kawasan lain dengan menaik taraf sistem pengairan dan penggunaan benih padi bermutu tinggi. Ketiga: Menggalakkan petani menceburi bidang pertanian bernilai tinggi seperti industri sarang burung walit, akuakultur, rumpai laut, ikan hiasan, herba dan rempah ratus dengan menyediakan peruntukan berjumlah 135 juta ringgit bagi penyediaan prasarana asas; Keempat: Memperuntuk 80 juta ringgit bagi menjalin kerjasama di antara petani buah-buahan dan sayur-sayuran secara kecil-kecilan dengan syarikat peneraju; Kelima: Menambah baik Kolej Pertanian di Kubang Pasu, Kedah dengan membina makmal diagnostik yang melibatkan peruntukan 70 juta ringgit; Keenam: Membina Pusat Penyelidikan Antarabangsa Tanaman Masa Hadapan di Semenyih, Selangor dengan peruntukan sebanyak, 15.7 juta ringgit; dan Ketujuh: Melanjutkan galakan potongan cukai pendapatan bagi pelabur dan pengecualian cukai pendapatan bagi syarikat yang menjalankan aktiviti pengeluaran bahan makanan selama 5 tahun lagi, sehingga 2015. 36. Merujuk pula industri pelancongan yang menjana hasil 53 bilion ringgit pada tahun 2009, ia berpotensi untuk mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan serta meningkatkan lagi pendapatan negara. Berdasarkan Laporan United Nations World Tourism Organisation, padatahun 2009, Malaysia menduduki tangga ke-9 dari segi bilangan ketibaan pelancong. Usaha akan dipergiatkan lagi untuk menarik lebih ramai pelancong dengan menyediakan pakej dan produk pelancongan yang inovatif. Untuk ini, Kerajaan akan melaksanakan inisiatif seperti berikut: Pertama: Memperuntukkan sebanyak 85 juta ringgit untuk menyediakan kemudahan infrastruktur bagi membolehkan pembinaan hotel dan resort peranginan di kawasan pedalaman yang berpotensi menarik pelancong; Kedua: Membina beberapa laluan pejalan kaki berbumbung di kawasan lingkaran KLCC-Bukit Bintang dengan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit; Ketiga: Menyusun semula Jabatan Penerbangan Awam menjadi Lembaga Penerbangan Awam; dan Keempat Nexus Karambunai, sebuah resort terkemuka di Sabah telahpun komited untuk membangunkan resort bersepadu eco-nature yang pertama seumpamanya di dunia, bagi memanfaatkan kelebihan keindahan alam semula jadi, dan keunikan tersendiri di Karambunai, Sabah berjumlah 3 bilion ringgit akan bermula tahun hadapan. Bagi menyokong industri pelancongan di Malaysia, Kerajaan akan memperuntukkan 100 juta ringgit; 37. Seterusnya, bagi menjadikan Malaysia destinasi utama membeli belah (shopping haven) di rantau Asia dengan menawarkan barangan berjenama pada harga yang kompetitif. Kerajaan mencadangkan supaya duti import ke atas kira-kira 300 barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan, pada kadar 5 peratus sehingga 30 peratus dimansuhkan. Barangan ini merangkumi kegunaan harian seperti beg tangan, kasut, sut, baju kanak-kanak, dompet, pewarna rambut, bola golf, barang kemas tiruan, bedak talkum, syampu, langsir, alas meja, selimut, cadar, kemeja, baju tidur, pakaian dan pakaian malam, seluar dan seluar dalam serta wangi-wangian, termasuklah kelambu. Tuan Yang di-Pertua, 38. Pada masa kini, hasil eksport minyak sawit mentah berjumlah 37 bilion ringgit, manakala produk berasaskan minyak sawit mencecah 13 bilion ringgit pada tahun 2009. Industri ini sebenarnya boleh diperkembangkan lagi di peringkat hiliran untuk menjana pendapatan lebih besar kepada pengusaha estet dan pekebun kecil. Dalam usaha memangkin industri minyak sawit dan produk berkaitan, beberapa langkah akan dilaksanakan: Pertama: Meningkatkan produktiviti dengan menggalakkan penanaman semula pokok sawit lama dengan klon baru bermutu tinggi dengan dana sebanyak 297 juta ringgit; dan Kedua: Sejumlah 127 juta ringgit diagihkan bagi menyokong syarikat oleo derivatives tempatan serta sejumlah 23 juta ringgit lagi untuk mengembangkan industri hiliran minyak sawit, termasuk pengeluaran vitamin. Tuan Yang Di-Pertua, 39. Pembangunan Koridor Multimedia akan memasuki fasa ketiga, bermula tahun hadapan. Tumpuan diberikan kepada penjanaan ekonomi digital yang inovatif bagi mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi. Dalam meningkatkan potensi industri teknologi maklumat ICT, program MY Creative Content akan dilaksana bagi menggalakkan pembangunan penciptaan kandungan tempatan, hosting kandungan tempatan dan pembukaan saluran baru untuk kandungan. Program ini melibatkan peruntukan sebanyak 119 juta ringgit. 40. Kerajaan, akan juga melanjutkan tempoh galakan elaun pelaburan kepada penyedia kemudahan sambungan terakhir perkhidmatan jalur lebar, dan juga melanjutkan pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas peralatan jalur lebar selama 2 tahun sehingga 2012. 41. Pada masa ini, telefon bimbit biasa dikenakan cukai jualan 10 peratus manakala telefon bimbit yang mempunyai pelbagai aplikasi seperti internet dan personal digital assistant (PDA) dikecualikan cukai jualan. Bagi tujuan penyelarasan, Kerajaan mencadangkan, cukai jualan, dikecualikan, ke atas semua jenis telefon bimbit. Tuan Yang di-Pertua, 42. Kerajaan akan terus menggalakkan sektor perkhidmatan perniagaan sejajar dengan peningkatan permintaan untuk membaik pulih dan menyelenggara kapal terbang serta helikopter. Kawasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang akan dibangunkan sebagai pusat penyelenggaraan dan membaik pulih kapal terbang serta mengadakan latihan khusus untuk melahirkan pakar dalam bidang tersebut. Kerajaan, akan menyediakan sejumlah 91 juta ringgit untuk pembangunan modal insan dalam industri perkhidmatan penyelenggaraan, baik pulih dan rombak rawat atau MRO, program latihan kejuruteraan aerospace dan aeronautical serta promosi perkhidmatan penyumberan luar perniagaan. 43. Pembangunan koridor dan wilayah akan dipercepatkan dengan memberi tumpuan kepada sebilangan kluster yang mempunyai kelebihan dari segi pengkhususan dan geografi. Usaha membangunkan kawasan koridor akan berfokus kepada projek usaha sama antara pelabur luar dan tempatan serta industri yang mempunyai kelebihan daya saing dan berimpak tinggi dengan bajet 850 juta ringgit bagi menyediakan infrastruktur sokongan. 44. Di Iskandar Malaysia, sejumlah 339 juta ringgit disediakan oleh Kerajaan, antaranya membina lebuh raya, memajukan kawasan perumahan serta menyedia dan memperbaiki perkhidmatan pengangkutan awam. Manakala, pelaburan komited oleh pihak swasta di wilayah ini sehingga Jun 2010, berjumlah 62 bilion ringgit, melepasi sasaran 47 bilion ringgit. Jumlah yang telah dilaburkan sehingga Jun 2010 ialah 25 bilion ringgit. Projek yang dijangka siap dalam tahun 2011 adalah Newcastle University Medicine Malaysia, Chelsea Factory Outlet serta Legoland dan Marlborough College pada tahun 2012. 45. Bagi Wilayah Ekonomi Koridor Utara pula, diperuntukkan 133 juta ringgit, antaranya untuk membangun Pusat Pemprosesan Hasil Pertanian, Infrastruktur Pelancongan dan Pusat Inkubator Bioteknologi. Di Wilayah Ekonomi Pantai Timur, peruntukan 178 juta ringgit disediakan antaranya bagi melaksanakan projek Taman Industri, Loji Rawatan Air, pembangunan kawasan pelancongan serta kawasan bekas Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara dan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka. 46. Bagi wilayah SCORE, sejumlah 93 juta ringgit disediakan untuk projek kemudahan telekomunikasi, bekalan air, lapangan terbang, jalan raya serta taman industri makanan halal. Manakala, bagi Koridor Pembangunan Sabah, diperuntukkan 110 juta ringgit antaranya untuk projek kelompok industri kelapa sawit, agro-industrial presint dan pusat penternakan bersepadu. 47. Selanjutnya, untuk melonjak ekonomi ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi, aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan (R&D&C) akan dijadikan landasan peningkatan aktiviti nilai ditambah dalam setiap bidang ekonomi dengan bajet sebanyak 411 juta ringgit. 48. Kerajaan juga telah menubuhkan Unit Inovasi Khas (UNIK) di bawah Jabatan Perdana Menteri sebagai pusat sehenti untuk merangka dasar dan strategi bagi menyediakan ekosistem kondusif. Satu Akta akan digubal untuk membolehkan UNIK mengkomersilkan hasil penemuan R&D oleh universiti dan institusi penyelidikan. Beberapa program dan aktiviti akan dirangka untuk meningkatkan inovasi, penciptaan produk baru dan pengkomersilan. Bagi tahun 2011, UNIK diperuntukkan sebanyak 71 juta ringgit. Tuan Yang di-Pertua, 49. Tentu ramai yang tahu, ketika krisis ekonomi melanda, terdapat usahawan dan individu menghadapi masalah kewangan dan ada di antara mereka diisytiharkan bankrap. Mereka telah disenarai hitam dan tidak dapat berniaga atau membuat pinjaman. Untuk memberi peluang kedua, Akta Insolvensi baru akan menyatukan Akta Kebankrapan 1967 dan Bahagian 10 Akta Syarikat 1965, termasuk memperkenalkan peruntukan berkenaan mekanisme penyelamat bagi syarikat dan individu bermasalah kewangan yang melibatkan perubahan had minimum kebankrapan pada masa ini berjumlah 30 ribu ringgit. 50. Industri kreatif mempunyai potensi besar untuk dimajukan lagi bagi menjana pendapatan negara. Industri ini meliputi animasi, pengiklanan, perfileman, seni reka fesyen, kraf dan warisan budaya. Untuk memanfaatkan potensi industri ini, Kerajaan akan membangunkan dasar industri kreatif secara bersepadu. Sejumlah 200 juta ringgit disediakan untuk perolehan hasil kreatif seperti filem, drama dan dokumentari keluaran tempatan yang berkualiti tinggi. 51. Sementelahan itu, kedudukan kewangan yang kukuh adalah penting bagi menjamin kesejahteraan masa hadapan negara. Bagi mencapai matlamat ini, Kerajaan mencadangkan agar kadar cukai perkhidmatan dinaikkan hanya satu peratus kepada 6 peratus. Kerajaan percaya langkah kenaikan yang kecil ini tidak membebankan kerana rakyat mempunyai pilihan untuk mendapat perkhidmatan yang tidak dikenakan cukai perkhidmatan. Malah, nilai jualan tahunan (threshold) bagi perkhidmatan sedia ada masih lagi dikekalkan. Seiring dengan hala tuju ini, Kerajaan juga mencadangkan cukai perkhidmatan dikenakan ke atas perkhidmatan penyiaran TV berbayar. 52. Kerajaan akan meneruskan usaha untuk memperkukuhkan kedudukan kewangan negara dengan memantapkan kutipan hasil dan memastikan perbelanjaan secara berhemat. Ini termasuklah menekankan nilai untuk wang (value-for-money) dan pengurusan nilai (value management) secara menyeluruh. Sebagai contoh, langkah yang diambil termasuklah tender terbuka, tender terhad dan peraduan reka bentuk yang terbaik untuk hospital Kerajaan. Bagi memantapkan kutipan hasil, Kerajaan akan memperkukuhkan lagi sistem kutipan cukai dengan meningkatkan penguatkuasaan dan pengauditan serta memperluaskan liputan ke atas semua pihak yang sepatutnya membayar cukai. Tuan Yang di-Pertua, 53. Strategi kedua adalah membangunkan modal insan. Aset negara yang paling penting bagi sesebuah negara adalah modal insannya. Telah terbukti bahawa negara yang tidak mempunyai sumber asli tetapi bijak mengurus modal insan akan mencapai kejayaan lebih baik dari negara yang semata-mata bergantung kepada sumber aslinya. Malaysia tidak mampu terperangkap dengan ketagihan sumber asli yang bersifat boleh pupus. Syukur, kita telah berjaya mengurus sumber asli kita dengan baik tetapi kita juga berkewajipan merancang pembangunan modal insan secara lestari, jika tidak, kita tidak akan mampu mengoptimumkan potensi nasional. 54. Modal insan yang berkualiti, berkemahiran dan berpengetahuan, kreatif dan inovatif adalah prasyarat bagi mencapai status negara maju berpendapatan tinggi. Oleh itu, aspek pendidikan dan latihan akan disusun semula dan diperkukuhkan. Untuk tujuan ini, belanja mengurus diperuntukkan sebanyak 29.3 bilion ringgit untuk Kementerian Pelajaran, 10.2 bilion ringgit disediakan untuk Kementerian Pengajian Tinggi dan 627 juta ringgit untuk Kementerian Sumber Manusia. Tuan Yang di-Pertua, 55. Sejak sekian lama, pendidikan anak-anak Malaysia adalah sesuatu yang dekat di hati saya. Justeru, Kerajaan tidak akan berdikit dalam soal pendidikan anak-anak kita dan kita tidak akan berkompromi dengan kualiti sistemnya. Mereka mesti disediakan dengan segala kelebihan untuk bersaing menghadapi zaman yang penuh mencabar. 56. Menyedari hakikat inilah, bagi menambah bilangan tenaga kerja yang berbakat dan berkualiti di pasaran tempatan, Kerajaan akan berusaha untuk menarik, memotivasi dan mengekalkan modal insan yang berkemahiran dari dalam dan luar negara. Justeru, Kerajaan akan menubuhkan Talent Corporation di bawah Jabatan Perdana Menteri pada awal tahun 2011. Talent Corp ini akan menggubal National Talent Blueprint dan membangunkan pangkalan data tenaga kerja berkepakaran serta menjalin kerjasama dengan jaringan bakatdi seluruh dunia. 57. Sistem pendidikan negara akan dirombak dengan memberi penekanan kepada daya pemikiran, sahsiah diri, kreativiti, inovasi dan daya saing. Untuk Kementerian Pelajaran, peruntukan pembangunan sebanyak 6.4 bilion ringgit disediakan bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, kemudahan dan peralatan serta memartabatkan profesion guru. Di samping itu, sejumlah 213 juta ringgit lagi dibajet sebagai ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi serta imbuhan kepada Pengetua atau Guru Besar dan Guru Cemerlang. Tuan Yang di-Pertua, 58. Anak-anak itu fitrah, ibarat kain yang putih. Kerana itulah, pembangunan modal insan mesti bermula dari peringkat kanak-kanak supaya mereka dapat dipupuk dengan nilai murni dan disemai dengan ilmu pengetahuan. Bagi mencapai hasrat ini, Kerajaan akan meningkatkan kadar enrolmen prasekolah dengan sasaran 72 peratus menjelang akhir tahun 2011 melalui penambahan 1,700 kelas, pemantapan kurikulum serta pelantikan 800 guru prasekolah lepasan Ijazah. 59. Kerajaan juga memperuntukkan 111 juta ringgit untuk program PERMATA, antaranya bagi pembinaan Fasa II Kompleks Sekolah PERMATA Pintar, membina 32 Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) dan membiayai operasi 52 PAPN yang telah siap serta meneruskan program PERMATA Pintar, Seni, Insan dan Remaja. 60. Setiap anak Malaysia juga tidak kira apapun latar kaum, adalah aset nasional dan warisan masa depan negara. Bidang pendidikan haruslah bersifat lampau politik. Menjunjung maksud ini, Kerajaan telah menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak 250 juta ringgit untuk sekolah bantuan modal agama, sekolah bantuan modal jenis kebangsaan Cina, sekolah kebangsaan Tamil, sekolah bantuan modal mubaligh dan sekolah bantuan Kerajaan seluruh negara. 61. Sebagai mengiktiraf pendidikan Islam pula, Kerajaan bersetuju untuk membiayai bantuan per kapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat rendah dan menengah dengan peruntukan sebanyak 95 juta ringgit. 62. Selanjutnya, bagi menyediakan guru serta tenaga pengajar kompeten dan berkualiti yang dapat membimbing dan mendidik pelajar sekolah dengan sebaiknya, Kerajaan telah menyediakan 576 juta ringgit dalam bentuk biasiswa kepada mereka yang ingin melanjutkan pengajian. 63. Sejumlah 213 juta ringgit pula diperuntukkan bagi mengangkat tinggi penguasaan Bahasa Malaysia, mempersadakan Bahasa Inggeris dan memperkemaskan Kurikulum Standard Sekolah Rendah. Sehubungan dengan ini, Kerajaan bersetuju untuk mengambil 375 guru penutur jatiantaranya daripada United Kingdom dan Australia untuk meningkatkan lagi pengajaran Bahasa Inggeris. Tuan Yang di-Pertua, 64. Memperkasa institusi pengajian tinggi bertaraf dunia merupakan agenda utama Kerajaan kerana sumbangannya yang signifikan kepada kemajuan sosioekonomi negara. Langkah berikut akan dilaksanakan: Pertama: Menambah peratusan staf akademik berkelulusan PhD kepada 75 peratus bagi universiti penyelidikan dan 60 peratus bagi IPTA lain dengan peruntukan sebanyak 20 juta ringgit; dan Kedua: Menambah baik peluang kenaikan pangkat pensyarah di IPTA di mana pensyarah boleh dipertimbangkan kenaikan pangkat ke peringkat tertinggi Gred Turus III,II dan I serta dianugerahkan sebagai Profesor Ulung tanpa memegang jawatan pentadbiran. 65. Berkaitan itu, Kerajaan menyediakan 60 juta ringgit bagi mempergiatkan lagi Program Industrial Skill Enhancement Programme di Pusat Latihan Kemahiran Negeri. Program ini akan meningkatkan kemahiran graduan kejuruteraan dan pekerja teknikal selaras dengan keperluan pasaran. Di samping itu, sejumlah 220 juta ringgit turut disediakan bagi memastikan siswazah jurusan lain dapat mengembang kompetensi dan kebolehpasaran mereka. Antaranya, melalui Program Pentauliahan Profesional, Pembangunan Sukan, Pembangunan Keusahawanan dan Skim Pengurusan Kebolehpasaran Siswazah. Selain itu, Kerajaan juga akan menyediakan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit kepada Multimedia Development Corporation untuk melatih graduan dalam bidang ICT supaya dapat meningkatkan kebolehpasaran dan memenuhi keperluan industri ICT. 66. Golongan bukan siswazah seperti lepasan sekolah, belia dan pekerja, juga, diberi perhatian oleh Kerajaan, memandangkan tenaga mereka diperlukan, terutamanya oleh industri dalam bidang teknikal. Untuk itu, sejumlah 474 juta ringgit diagihkan bagi meningkatkan produktiviti dan kemahiran di bawah pelbagai institusi latihan. 67. Seperkara yang penting, negara memerlukan modal insan yang sentiasa menambah ilmu pengetahuan melalui peningkatan kemahiran dan mempelajari kemahiran baru (upskilling and reskilling). Sehubungan itu, sukacita saya mengumumkan Program Latihan 1Malaysia (1Malaysia Training Programme) yang akan dilaksanakan mulai Januari 2011 dengan peruntukan sebanyak 500 juta ringgit. 68. Program latihan ini mempunyai tiga komponen. Pertama, sebanyak 200 juta ringgit untuk menjalankan latihan sambilan di sebelah malam dan di hujung minggu, di pusat latihan terpilih, di seluruh negara. Ia akan dikendalikan oleh Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara, Pusat Giat Mara dan Institut Latihan Perindustrian dengan kemudahan sedia ada. Antara kursus yang ditawarkan pada sebelah malam adalah kursus Bahasa Melayu, Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan kelas muzik. Manakala, di hujung minggu kursus berbentuk kemahiran dan teknikal akan dilaksanakan termasuk bakeri, menjahit, spa, mekanik, elektrik dan kimpalan. 69. Kedua, Program Latihan 1Malaysia juga meliputi peruntukan 200 juta ringgit dari Tabung Pembangunan Sumber Manusia yang membolehkan syarikat membiayai program latihan khusus bagi pekerja mereka. Ketiga, Kementerian Sumber Manusia juga menyediakan 100 juta ringgit untuk membolehkan pekerja meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang teknikal. 70. Selaras dengan peningkatan produktiviti, golongan pekerja seharusnya mendapat upah dan ganjaran yang lebih tinggi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat. Sukacita saya mengumumkan, penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara untuk menjadi platform utama dalam penetapan upah. Majlis ini yang akan diwakili oleh majikan, kesatuan pekerja, kumpulan pekerja tanpa persatuan, agensi Kerajaan, akademia, NGO dan individu. Sekretariat bagi majlis ini adalah Kementerian Sumber Manusia. 71. Kadar dan mekanisme penetapan gaji minimum akan ditentukan oleh Majlis Konsultasi Gaji Negara. Contohnya, pada masa ini, gaji pokok permulaan posmen telah dinaikkan kepada 710 ringgit sebulan pada 1 Julai 2010 berbanding 610 ringgit. Dengan kenaikan ini, upah keseluruhan posmen meningkat daripada 1,035 ringgit sebulan kepada 1,285 ringgit, termasuk elaun tetap. Bagi pengawal keselamatan pula, Kerajaan akan menguat kuasa gaji pokok minimum kepada 500 hingga 700 ringgit sebulan mengikut kawasan berbanding 300 hingga 400 ringgit pada masa ini. Dengan kenaikan ini, pendapatan keseluruhan pengawal keselamatan, termasuk elaun adalah melebihi seribu ringgit sebulan. Kenaikan ini berkuat kuasa mulai Januari 2011. 72. Selain itu, Kerajaan akan meneruskan langkah pengurangan bilangan pekerja asing dengan menaikkan levi secara berperingkat mengikut sektor. Pada masa yang sama, majikan akan diwajibkan untuk memperoleh insurans kesihatan bagi pengambilan pekerja asing mereka. Tuan Yang di-Pertua, 73. Wanita yang membentuk separuh penduduk Malaysia adalah nadi keluarga dan pembangunan negara. Oleh sebab itu, Kerajaan mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh wanita pabila negara bergerak menuju kemajuan. Bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang keusahawanan, Kerajaan memperuntukkan 30 juta ringgit, antaranya memperkenalkan Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal dan mengadakan Anugerah Perdana Usahawan dan Tokoh Aktivis Wanita bersempena Hari Wanita mulai tahun 2011. 74. Demi menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita sebagai pekerja separuh masa, Kerajaan telah menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010 mulai 1 Oktober 2010. Lantas, saya menyeru pihak swasta dapat mengambil pekerja separuh masa wanita, terutamanya mereka yang telah berumah tangga. Kerajaan juga akan melaksanakan program perintis Small Office Home Office untuk wanita kurang upaya selama 3 bulan bagi melatih wanita OKU dalam pelbagai bidang kemahiran. 75. Laginya, bagi membantu golongan wanita yang tidak berkemampuan, mendapat perkhidmatan pengasuhan dan pendidikan awal yang berkualiti bagi anak-anak mereka, Kerajaan akan menyedia dan menjenamakan semula 40 buah TASKA 1Malaysia, dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. 76. Sememangnya pun, Kerajaan sungguh mengambil berat dengan kerjaya dan kebajikan penjawat awam wanita. Mereka juga perlu memberi tumpuan kepada penjagaan keluarga, terutamanya anak yang baru dilahirkan. Bagi menambah baik kemudahan cuti bersalin kepada penjawat awam wanita, Kerajaan memberi fleksibiliti untuk menentukan sendiri tempoh Cuti Bersalin bergaji penuh tidak melebihi 90 hari berbanding 60 hari pada masa ini. Kemudahan tersebut adalah tertakluk kepada kelayakan keseluruhan bilangan Cuti Bersalin sebanyak 300 hari sepanjang tempoh perkhidmatan. 77. Dari semasa ke semasa, Kerajaan telah merintis jalan dan membuka peluang kepada wanita berkelayakan memegang jawatan di peringkat tertinggi dalam perkhidmatan awam. Pada akhir 2009, wanita yang memegang Jawatan Utama Sektor Awam telah mencapai tahap 30.5 peratus. Justeru, saya ingin menyeru pihak swasta memberi peluang kepada lebih ramai wanita menjawat jawatan di peringkat pembuat keputusan, khususnya sebagai Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif. Tuan Yang di-Pertua, 78. Kerajaan akan terus menggalakkan pembangunan dan penyelidikan sukan, memperbanyakkan penganjuran sukan antarabangsa, menyediakan kemudahan dan kepakaran untuk melahirkan atlet yang berdaya saing dan membangunkan sukan berprestasi tinggi. Untuk pembangunan dan mengurus aktiviti sukan, sebanyak 365 juta ringgit disediakan kepada Kementerian Belia dan Sukan. Selain itu, bagi memajukan sukan bola sepak, Kerajaan akan menubuhkan Akademi Bola Sepak, di Pahang, dengan peruntukan 20 juta ringgit, bagi melahirkan pemain bola sepak yang berkualiti dan berkemahiran tinggi. 79. Bercakap tentang sukan, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada semua atlet negara yang telah menyertai Sukan Komanwel Ke-19 di New Delhi. Saya mengucapkan tahniah kepada pemenang pingat yang telah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa yang telah melepasi sasaran 10 emas dengan menggondol 12 pingat emas. Untuk makluman semua, pencapaian pingat di temasya kali ini menyaksikan rekod rangkulan emas terbaik negara dalam penyertaan Sukan Komanwel. Tuan Yang di-Pertua, 80. Strategi ketiga adalah mensejahterakan hidup rakyat. Sudah lumrahnya, tugas dan tanggungjawab utama Kerajaan adalah untuk memartabatkan kehidupan rakyat. Status negara maju tidak akan bermakna jika kualiti hidup rakyatnya merosot. Pokoknya, dalam usaha kita menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, kita perlu memantapkan pembangunan sosioekonomi secara inklusif. Ini penting bagi menghasilkan kemajuan yang lebih seimbang dan memastikan kualiti hidup yang lebih baik. 81. Ternyata, Kerajaan menjiwai keluh kesah dan kesukaran hidup yang dihadapi oleh golongan kurang bernasib baik. Tumpuan akan terus diberikan untuk memastikan kebajikan mereka terpelihara. Bagi tahun 2011, Kerajaan memperuntukkan 1.2 bilion ringgit kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menjalankan pelbagai program berbentuk kebajikan dan kemasyarakatan. Antara program dan insentif yang disediakan: Pertama: Program bantuan kebajikan warga emas dengan peruntukan 166 juta ringgit untuk mengatasi masalah golongan ini yang dijangka meningkat melebihi 15 peratus daripada jumlah penduduk negara menjelang 2030; Kedua: Program bantuan kanak-kanak dengan peruntukan 121 juta ringgit disediakan bagi membolehkan mereka menerima perkhidmatan pengasuhan dan pendidikan awal yang berkualiti. Program ini akan memanfaatkan seramai 97 ribu kanak-kanak; Ketiga: Program bantuan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang melibatkan peruntukan sebanyak 218 juta ringgit akan dimanfaatkan oleh 80 ribu OKU; Keempat: Pengecualian duti eksais dinaikkan daripada 50 peratus kepada 100 peratus ke atas sebuah kenderaan nasional yang dibeli oleh OKU; dan Kelima: Membina sebuah pusat intervensi bagi menangani golongan tuna wisma dan gelandangan dengan menyediakan peluang pekerjaan, kemudahan perumahan dan kaunseling. Tuan Yang di-Pertua, 82. Sementara itu, sejak 2008, Kerajaan telah memberikan rebat bayaran bil elektrik bagi penggunaan bawah 20 ringgit sebulan yang telah membawa manfaat kepada lebih 1 juta pengguna di seluruh negara. Sehubungan itu, Kerajaan berkeputusan meneruskan usaha murni ini dengan peruntukan 150 juta ringgit untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah. 83. Para pendeta bermadah, kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah berkorban raga. Pada masa ini, pelepasan cukai ke atas perbelanjaan perubatan ibu bapa terhad kepada perubatan di klinik dan hospital, termasuk rawatan di nursing home serta rawatan pergigian. Bagi terus membantu meringankan kos membiayai perbelanjaan penjagaan ibu bapa, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai sehingga 5 ribu ringgit yang sedia ada diperluaskan bagi meliputi perbelanjaan lain seperti bayaran menghantar ibu bapa ke rumah jagaan harian, bayaran menggaji pembantu khusus menjaga ibu bapa dan perbelanjaan keperluan harian mereka yang lain seperti lampin pakai buang. Tuan Yang di-Pertua, 84. Kerajaan sangat memahami keperluan setiap rakyat untuk memiliki rumah yang selesa, terutamanya bagi golongan miskin dan berpendapatan rendah. Untuk itu, sejumlah 568 juta ringgit disediakan bagi membina 300 unit kediaman di bawah Projek Bantuan Perumahan Bandar, 79 ribu unit di bawah Program Perumahan Rakyat dan 8 ribu unit di bawah Projek Bantuan Sewa Rumah. Selain itu, bagi membantu golongan pekerja estet memiliki rumah, Kerajaan akan menyediakan Skim Pembiayaan Perumahan Kos Rendah dengan peruntukan 50 juta ringgit yang dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional. Skim ini terbuka kepada pekerja tetap estet, warganegara Malaysia, untuk mendapatkan pinjaman perumahan maksimum sebanyak 60 ribu ringgit bagi membeli rumah kos rendah pada kadar faedah maksimum 4 peratus dengan tempoh pinjaman sehingga 40 tahun, menjangkau generasi kedua. 85. Sesungguhnya lagi, Kerajaan maklum akan kesukaran yang dihadapi oleh rakyat terutama golongan muda yang baru bekerja dengan pendapatan kurang daripada 3 ribu ringgit sebulan untuk memiliki rumah. Bukan mudah untuk mereka bertatih dalam realiti kehidupan. Untuk membantu golongan ini, Kerajaan akan memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku melalui Cagamas, yang akan menawarkan jaminan Kerajaan ke atas bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus bagi harga rumah di bawah 220 ribu ringgit. Skim ini adalah untuk pembeli rumah pertama yang berpendapatan isi rumah kurang daripada 3 ribu ringgit sebulan. Dalam kata lain, pembeli rumah mendapat pinjaman 100 peratus tanpa perlu mengeluarkan 10 peratus wang pendahuluan, seperti amalan lazim. 86. Pada masa yang sama, hanya, pembeli rumah pertama juga akan diberi pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus ke atas surat cara pindah milik sebuah rumah yang berharga tidak melebihi 350 ribu ringgit. Kerajaan juga mencadangkan pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus diberi ke atas surat cara perjanjian pinjaman bagi membiayai pembelian rumah pertama tersebut. Tuan Yang di-Pertua, 87. Usaha untuk membawa pembangunan ke kawasan luar bandar sudah lama bermula di negara ini. Apabila darurat hampir tamat, Kerajaan pada ketika itu telah menubuhkan Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar untuk menerajui usaha membawa nikmat pembangunan ke kawasan luar bandar. Kerajaan sekarang komited meneruskan usaha ini sekalipun hampir 60 peratus penduduk Malaysia kini tinggal di kawasan bandar. Apa yang pasti, dalam usaha mentransformasi negara menjadi maju, Kerajaan tidak akan sekali-kali meminggirkan rakyat luar bandar. Projek dan program pembangunan bagi mempertingkatkan taraf hidup penduduk luar bandar akan diberi keutamaan. Sejumlah 6.9 bilion ringgit disediakan untuk pelaksanaan infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan luar bandar. Antara projek utama yang akan dilaksanakan adalah: Pertama: Membina dan menaik taraf jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan berjumlah 2.1 bilion ringgit dan di Semenanjung 696 juta ringgit; Kedua: Menyedia bekalan air dan elektrik luar bandar di Sabah dengan peruntukan 1.5 bilion ringgit, Sarawak 1.2 bilion ringgit dan Semenanjung 556 juta ringgit; Ketiga: Melaksanakan program bantuan rumah untuk golongan miskin dan miskin tegar dengan peruntukan 300 juta ringgit. Program ini melibatkan pembinaan dan baik pulih 12 ribu unit rumah di seluruh negara terutamanya di Sabah dan Sarawak; dan Keempat: Menyediakan Unit Khas Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara bagi memudahkan penduduk kawasan terpencil di Sabah, Sarawak dan Semenanjung untuk mendaftar kerakyatan. 88. Bagi meningkatkan pengeluaran makanan, Kerajaan memperuntukkan 974 juta ringgit sebagai pemberian subsidi harga padi, baja dan benih padi serta 230 juta ringgit untuk insentif pengeluaran dan peningkatan hasil padi. Kerajaan juga menyediakan sejumlah 170 juta ringgit bagi insentif hasil tangkapan ikan nelayan serta pemilik dan pekerja bot untuk meningkatkan hasil tangkapan. 89. Kini, masalah harga barangan lebih tinggi yang dihadapi oleh penduduk di kawasan pedalaman terutamanya di Sabah dan Sarawak serta kawasan tertentu di Semenanjung akibat kos pengangkutan, menjadi perhatian Kerajaan. Bagi menyeragamkan harga barangan pada kadar yang hampir sama dengan kawasan lain, Kerajaan telah memperkenalkan Program Pengedaran Barang Perlu seperti beras, minyak masak, gula, tepung, gas, petrol dan diesel, pada tahun 2010 dengan peruntukan sebanyak 100 juta ringgit. Bagi tahun 2011 pula, peruntukan sebanyak 200 juta disediakan bagi meneruskan program ini. 90. Kita sedia maklum interaksi Kerajaan dan rakyat kerap dibangkitkan mengenai harga barangan runcit. Dalam konteks ini, Kerajaan akan mewujudkan portal interaktif “1Malaysia Pengguna Bijak” bagi memudahkan rakyat mengikuti perkembangan harga terkini barangan, meliputi hampir 7 ribu premis perniagaan seluruh negara. Melalui portal ini, pengguna mempunyai pilihan untuk mendapatkan sesuatu barangan pada harga yang kompetitif. Pengguna juga boleh menggunakan khidmat pesanan ringkas untuk mengetahui harga terkini barangan. 91. Selain daripada itu, untuk mengukuhkan lagi sektor pemborongan dan peruncitan, satu Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR), Bengkel Automotif serta projek Pasar Komuniti akan diperkenalkan untuk menaik taraf kemudahan supaya menjadi lebih menarik dan moden dengan peruntukan sebanyak 73 juta ringgit. Tuan Yang di-Pertua, 92. Tanggapan bahawa kerajaan hanya berminat menumpukan kepada projek berskala besar tanpa mengendahkan kontraktor-kontraktor kecil adalah menyimpang dan tidak benar sama sekali. Hakikatnya, Kerajaan akan terus melaksanakan Projek Penyelenggaraan Aset Awam, atau lebih dikenali sebagai PIA / PIAS, dengan peruntukan 500 juta ringgit. Antara aktiviti yang terlibat ialah membaik pulih dan menaik taraf kemudahan awam, longkang, perparitan, titi, jambatan kecil dan pendawaian semula serta pembinaan jalan pertanian dan kampung. Saya yakin pelaksanaan projek seperti ini akan sedikit sebanyak membantu golongan kontraktor kelas F di seluruh negara. Tuan Yang di-Pertua, 93. Sejak dulu, kini dan selamanya, jasa golongan pemimpin masyarakat tidak pernah dilupa. Tidak kira di kota atau di desa, sungguh tinggi baktinya. Lalu, untuk menghargai peranan pemimpin di peringkat kampung, Kerajaan akan menaikkan elaun bulanan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Persekutuan (JKKP), Tok Batin, Pengerusi JKKK Orang Asli dan Pengerusi Kampung Baru kepada 800 ringgit sebulan berbanding 450 ringgit pada masa ini. 94. Bagi memastikan elaun ini dinikmati oleh semua Ketua Kampung, elaun ini turut diberi kepada Pengerusi Jawatankuasa Kampung Baru Rangkaian dan Pengerusi Jawatankuasa Kampung Bagan. Kerajaan juga akan menaikkan elaun kehadiran mesyuarat kepada semua Ahli Jawatankuasa dari 30 ringgit kepada 50 ringgit. 95. Di samping itu, elaun bulanan Imam juga akan dinaikkan dari 450 ringgit kepada 750 ringgit sebulan. Manakala, imbuhan bulanan guru KAFA dinaikkan kepada 800 ringgit sebulan berbanding 500 ringgit pada masa ini berkuat kuasa Januari 2011. 96. Seperti yang kita sedia maklum, kemajmukan Malaysia diasaskan daripada pelbagai suku kaum dan bangsa. Kita tidak pernah mendiskriminasi kelompok minoriti kerana mereka adalah warganegara dan rakyat Malaysia. Semua usaha pembangunan dibuat secara inklusif untuk turut meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli dan Pribumi. Sejumlah 100 juta ringgit diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program, termasuk menyelesaikan isu pegangan hak milik tanah dan persempadanan penempatan Orang Asli serta membangunkan Model Baru Pembangunan Orang Asli. Selaras dengan ini, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli akan disusun semula dan diperkukuhkan dengan memberi nafas baru sebagai Jabatan Kemajuan Orang Asli. Tuan Yang diPertua, 97. Kerajaan amat prihatin terhadap rakyat yang terpaksa menanggung kos pengangkutan yang semakin meningkat. Untuk meringankan beban pengguna lebuh raya, sukacita saya mengumumkan kadar tol di empat lebuhraya milik PLUS Expressway Berhad tidak akan dinaikkan bagi tempoh 5 tahun akan datang bermula serta-merta. 98. Selanjutnya, Kerajaan komited untuk memastikan akses kepada kesihatan berkualiti dapat dinikmati oleh segenap lapisan rakyat. Bagi mencapai matlamat ini, sejumlah 15.2 bilion ringgit diperuntukkan bagi membina hospital baru, menambah bilangan doktor dan jururawat serta mendapatkan bekalan ubat dan peralatan perubatan. Sejak tahun lalu, sejumlah 51 buah Klinik 1Malaysia sudah beroperasi dan Kerajaan akan menambah lagi sebanyak 25 buah Klinik 1Malaysia. 99. Keselamatan awam pula merupakan aspek penting dalam mewujudkan persekitaran yang selamat untuk negara. Dalam tempoh 9 bulan pertama 2010, indeks jenayah jalanan menurun 38 peratus manakala indeks jenayah keseluruhan menurun 16 peratus. Sehubungan itu, Kerajaan akan meneruskan usaha ini dengan peruntukan sebanyak 350 juta ringgit untuk melaksana pelbagai program, termasuk program membanteras jenayah pecah rumah, kecurian motosikal dan kereta serta menjalankan program bandar selamat dan program Skim Rondaan Sukarela, terutamanya di kawasan berisiko tinggi. Di samping itu, Kerajaan akan menambah 25 mahkamah khas untuk mempercepatkan perbicaraan. Tuan Yang di-Pertua, 100. Kerajaan menghargai peranan yang dimainkan masyarakat sivil di dalam menyediakan perkhidmatan yang selama ini hanya dimainkan oleh pihak kerajaan. Kita melihat perkara ini sebagai satu perkara yang positif dan sesuatu yang melengkapi, ianya perlu terus digalakkan.Kerajaan mengiktiraf sumbangan berharga NGO dalam mengatasi gejala sosial, membantu golongan kurang bernasib baik dan menyediakan kemudahan perlindungan serta menjalankan program latihan dan penjanaan pendapatan. 101. Sebagai tanda pengiktirafan, Kerajaan akan memperuntukkan 70 juta ringgit kepada program dan aktiviti yang melibatkan NGO terpilih bagi membantu Kerajaan dalam memantapkan institusi keluarga dan menangani gejala sosial seperti pembuangan bayi, mat rempit dan gengsterisme. NGO tersebut akan melaksanakan program bersepadu bersama agensi Kerajaan, terutamanya di kawasan berisiko tinggi berlakunya jenayah supaya ia dapat dicegah lebih awal di peringkat akar umbi. 102. Dalam aspek alam sekitar pula, suasana keliling yang mapan akan terus dipelihara. Sejumlah 1.9 bilion ringgit disediakan untuk membiayai projek pemuliharaan alam sekitar, antaranya melaksanakan program Sungai Nadi Kehidupandan menghijaukan Kuala Lumpur. Selain itu, Kerajaan juga akan menjalankan usaha untuk memulihara sumber marin dan persisiran antaranya di Pantai Siring, Melaka; Pantai Sabak di Kelantan, Teluk Lipat di Terengganu dan Rompin di Pahang. Tuan Yang di-Pertua, 103. Tanggungjawab Sosial Korporat yang semakin menjadi trend kebelakangan ini, begitu kritikal dalam melaksanakan projek kemasyarakatan. Dalam hubungan ini pada tahun 2011, Khazanah Nasional Berhad dengan kerjasama Kementerian Pelajaran akan menjadikan 10 buah sekolah sebagai Sekolah Amanah (Trust School) yang dikendali secara lebih profesional untuk memastikan pelajar memperoleh pendidikan berkualiti. Untuk tujuan ini, selain daripada peruntukan lazim Kerajaan, Sekolah Amanah ini juga akan menerima sumbangan daripada Khazanah Nasional. 104. Untuk membantu kanak-kanak, terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah mencapai prestasi yang cemerlang di sekolah pula, 1MDB akan menyediakan multi-vitamin untuk pelajar sekolah rendah. Program ini diharap akan dapat meningkatkan pembangunan mental dan mengukuhkan sistem imunisasi pelajar sekolah. 105. Berikutan salah satu cadangan daripada makmal Pemuda yang diadakan beberapa bulan yang lalu, 1MDB akan turut menyumbang kepada pembangunan belia negara dengan penubuhan Dana Belia 1Malaysia berjumlah 20 juta ringgit bagi memupuk semangat 1Malaysia. Dalam bidang kesihatan pula, 1MDB akan melaksanakan Klinik Bergerak 1Malaysia dengan 4 buah bas Klinik Bergerak dengan kerjasama Kementerian Kesihatan akan disediakan. Tuan Yang di-Pertua, 106. Strategi keempat adalah memantapkan penyampaian perkhidmatan awam. Dalam mengemudi Malaysia menjadi negara maju, Kerajaan yang kini mempunyai 1.2 juta penjawat awam perlu mengoptimumkan sistem penyampaian Kerajaan di mana penambahbaikan sentiasa wajar diambil untuk mempertingkatkan produktiviti negara. 107. Jelasnya, fungsi kerajaan adalah pemudahcara bukan penghadang. Berurusan dengan mana-mana agensi kerajaan seharusnya bersifat menyenangkan bukan menyusahkan. Untuk itu, Kerajaan akan terus mempermudahkan lagi sektor swasta berurusan dengan agensi Kerajaan. Ke arah ini, inisiatif MyCoID Gateway yang menggunakan nombor rujukan tunggal Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi menjalankan urusan telah pun dilaksanakan. Inisiatif MyCoID ini akan diperluaskan ke agensi-agensi dan kementerian lain. 108. Kerajaan juga akan memperkenalkan sistem permarkahanuntuk memudahkan permohonan taraf penduduk tetap (PR). Permohonan PR kini boleh dilakukan selepas lima tahun bermastautin berbanding 10 tahun sebelum ini. Dengan sistem tersebut, permohonan taraf penduduk tetap akan lebih telus, pantas dan objektif berdasarkan kriteria yang jelas. 109. Bagi mempercepatkan proses pendaftaran hartanah pula, Akta Setem 1949 telah dipinda untuk membolehkan penilaian hartanah oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dilakukan selepas duti setem dibayar di Lembaga Hasil Dalam Negeri. Penambahbaikan ini akan dapat mengurangkan masa pendaftaran hartanah daripada 30 hari kepada satu hari sahaja. Tuan Yang di-Pertua, 110. Penjawat awam selaku pelaksana dasar adalah komponen yang amat penting di dalam usaha negara merealisasikan wawasan kebangsaan. Tanpa agen pelaksana yang cekap, berkesan dan dinamik wawasan negara, akan hanya tinggal sekadar matlamat murni. Sehubungan dengan itu, dalam usaha berterusan menyediakan kerangka penilaian yang lebih bertanggungjawab, relevan dan menyeluruh serta mengambilkira maklumbalas para penjawat awam, Kerajaan bersetuju untuk memansuhkan sistem Penilaian Tahap Kecekapan atau PTK dan diganti dengan satu sistem penilaian yang lebih sesuai dan diterima baik oleh penjawat awam menjelang Jun 2011. 111. Di atas segalanya, Kerajaan sentiasa menghargai sumbangan penjawat awam yang memberi komitmen penuh dalam menjayakan inisiatif Kerajaan, termasuk Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi. Dengan harapan dan pesanan supaya penjawat awam terus berusaha, Kerajaan akan: Pertama: Meringankan beban penjawat awam untuk menampung perbelanjaan persiapan sekolah dengan memberi Bantuan Khas Kewangan sebanyak 500 ringgit. Bantuan kewangan ini akan diberi kepada penjawat awam gred 54 dan ke bawah, termasuk pegawai kontrak dan pesara Kerajaan. Pembayaran akan dibuat pada bulan Disember ini; Kedua: Menaikkan kadar Bantuan Mengurus Jenazah kepada 3 ribu ringgit berbanding seribu ringgit pada masa ini selaras dengan kenaikan kos pengurusan jenazah. Bantuan ini juga akan dipanjangkan kepada pesara Kerajaan; dan Ketiga: Menyambung perkhidmatan Pegawai Khidmat Singkat yang akan tamat perkhidmatan pada 31 Disember 2010 untuk tempoh setahun lagi. Kementerian dan agensi tidak dibenarkan untuk menambah bilangan Pegawai Khidmat Singkat baru. 112. Tambahan dari itu, bagi memudahkan penjawat awam memiliki rumah serta memperbaiki lagi syarat-syarat untuk membuat pinjaman perumahan, Kerajaan akan: Pertama: Membenarkan pembelian hartanah daripada ibu, bapa, anak dan adik-beradik; Kedua: Menggandakan kadar pinjaman kepada 20 ribu ringgit berbanding 10 ribu ringgit untuk kerja-kerja tambahan rumah kos rendah bagi Kumpulan Sokongan Dua; dan Ketiga: Menaikkan had kelayakan maksimum pinjaman perumahan kepada 450 ribu ringgit berbanding 360 ribu ringgit pada masa kini. Kesemua langkah penambahbaikan pinjaman perumahan ini akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2011. PERUNTUKAN BAJET 2011 Tuan Yang di-Pertua, 113. Kerajaan komited untuk mempercepatkan proses transformasi dengan melaksanakan projek dan program di bawah RMK-10, NKRA dan NKEA dilaksanakan dengan jayanya. Untuk melaksanakan strategi dan langkah yang telah dibentang, saya mencadangkan sejumlah 212 bilion ringgit diperuntukkan bagi Bajet 2011 iaitu 2.8 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan 2010. Daripada jumlah itu, 162.8 bilion ringgit adalah bagi perbelanjaan mengurus. Manakala, 49.2 bilion ringgit diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan. 114. Di bawah peruntukan mengurus, 45.6 bilion ringgit adalah bagi emolumen dan 28.2 bilion ringgit disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala, 86.4 bilion ringgit diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Sejumlah 1.4 bilion ringgit disediakan untuk Pembelian Aset dan baki 1.2 bilion ringgit untuk perbelanjaan lain. 115. Bagi peruntukan pembangunan pula, sebanyak 28.3 bilion ringgit disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar. Sejumlah 15.5 bilion ringgit diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat. Seterusnya, 4.4 bilion ringgit diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, 955 juta ringgit bagi pentadbiran am dan 2 bilion ringgit untuk simpanan luar jangka. 116. Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2011, jumlahnya dianggarkan meningkat 2.3 peratus kepada 165.8 bilion ringgit, berbanding 162.1 bilion ringgit pada tahun 2010. Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2011 dijangka terus berkurangan kepada 5.4 peratus daripada KDNK, berbanding 5.6 peratus pada tahun 2010. PENUTUP Tuan Yang di-Pertua, 117. Apa yang telah dirangka dan akan dilaksanakan ini merupakan visi bagi memenuhi aspirasi dan impian rakyat. Kita mahu membina sebuah Malaysia di mana setiap seorang mampu mencipta kebahagiaan. Kita mahu membina sebuah Malaysia di mana yang menghadkan kejayaan hanyalah sejauh mana kesanggupan seseorang itu berusaha dan bekerja keras. 118. Kesimpulannya, bajet ini telah mengambil kira keperluan semua rakyat Malaysia. Pembentangannya dimungkinkan oleh pengurusan kewangan negara yang cekap dan berhemat selama ini. 119. Wawasan saya dan rakan-rakan dalam kabinet adalah untuk meneruskan tradisi murni membawa kemakmuran ke seluruh pelusuk dan ceruk negara. Wawasan ini bukanlah sesuatu yang mustahil. Ia bukanlah pula satu impian yang kosong. Fakta dan sejarah telah membuktikan bahawa Kerajaan Barisan Nasional berupaya melakukannya selama puluhan tahun. 120. Kita telah berjaya mentransfomasikan ekonomi Malaysia dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah menjadi negara perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi. 121. Kita telah berjaya meningkatkan per kapita daripada 260 dolar Amerika di awal merdeka kepada kira-kira 8 ribu dolar Amerika hari ini. 122. Kita telah berjaya mengurangkan kemiskinan dari 60 peratus kepada 3.8 peratus sehingga berada diambang menghapuskan kemiskinan tegar dan berjaya mencipta kelas menengah yang dinamik. 123. Hakikatnya, pengurusan kewangan yang berhemat jugalah yang telah menyaksikan kita berupaya keluar dari krisis kewangan 1997/1998 dengan jayanya bersandarkan langkah tegas di luar kelaziman ketika itu. Hasilnya, kritikan menjadi pujian, sifat berwasangka berubah menjadi kekaguman. Begitu juga di kala tsunami ekonomi melanda pada tahun 2008, kerajaan tidak langsung berlengah-lengah mengambil langkah pemulihan melalui pakej ransangan dan mini bajet. Sekali lagi, rakyat diselamatkan daripada terjebak dalam situasi yang membebankan dengan merasai kesan sangat minima. 124. Pendek kata, walau apapun cabaran yang mendatang, kita tidak akan sekali-kali berundur dari misi mulia ini, atas keyakinan bahawa kebenaran berpihak kepada kita dengan rekod prestasi yang cemerlang. 125. Kita bukannya saudagar mimpi yang memperdagang dongengan. Kita adalah parti pembina harapan yang berpijak di bumi nyata. Apa yang kita capai bukanlah secara tidak sengaja, ibarat bulan jatuh ke riba, tetapi ia hasil dari perencanaan yang jelas, ketegasan pelaksanaan, perancangan yang rapi serta pengorbanan yang tinggi. 126. Percayalah, bahawa Kerajaan tidak akan mengambil jalan mudah dengan menggadaikan kepentingan negara jangka panjang demi untuk populariti jangka pendek. Yakinlah, bahawa kita tidak mahu mewariskan negara yang bermasalah kepada generasi akan datang. 127. Lantaran itu, rakyat perlu insaf bahawa masa depan mereka dan anak-anak adalah terlalu bernilai dan mahal harganya untuk diserahkan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab. 128. Sesungguhnya bajet kali ini merupakan bajet ke-53 pasca merdeka yang telah dibentangkan oleh Kerajaan dari parti yang sama. Melalui 53 bajet, 10 Rancangan Malaysia, tiga Rangka Rancangan Jangka Panjang dan satu Misi Nasional, Bajet 2011 menjadi bingkisan penting serta langkah pertama dalam menempatkan Malaysia diambang status negara maju berpendapatan tinggi. 129. Ingatlah bahawa, Malaysia adalah tanah tumpah darah kita, di sini kita dilahirkan, di sini kita membesar, di sini kita mencari rezeki, di sini kita mencipta kejayaan dan di sinilah dengan takdir Tuhan kita akan bersemadi. 130. Kepada-Mu ya Allah, dipanjatkan doa dan dipohon kekuatan, mudah-mudahan segala usaha hamba-hamba-Mu ini beroleh keberkatan. Tuan Yang di-Pertua, Saya mohon mencadangkan. ‘MEMBINA KETAHANAN, MENGHADAPI CABARAN’ Tuan Yang DiPertua, Saya mohon mencadangkan supaya suatu Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2006 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua. PENDAHULUAN 2. Syukur kita ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izin dan kurniaNya, dapat saya sekali lagi membentangkan Bajet Negara bagi tahun 2006 di Dewan yang mulia ini. Bajet 2006 ini merupakan bajet tahun pertama bagi Rancangan Malaysia Kesembilan dan fasa kedua Wawasan 2020. Kerajaan kini sedang merumus dan menentukan dasar dan strategi utama untuk memastikan matlamat Wawasan negara dicapai dengan jaya dan sepenuhnya. Insya Allah, saya akan membentangkan Rancangan Malaysia Kesembilan di Dewan ini pada awal tahun hadapan. 3. Bajet 2006 memberi tumpuan kepada beberapa langkah khusus untuk menjana pertumbuhan yang lebih berkualiti dalam tempoh terdekat yang boleh menyumbang kepada usaha menyediakan landasan yang lebih kukuh bagi pertumbuhan ekonomi jangka panjang. Bajet 2006 bertemakan ‘Membina Ketahanan, Menghadapi Cabaran’. Bajet ini memberi penekanan kepada langkah mengukuhkan daya tahan dan keberkesanan negara, dalam menghadapi perkembangan ekonomi dunia yang tidak menentu berikutan daripada peningkatan mendadak harga minyak, kadar faedah yang kian meningkat serta persaingan global yang semakin sengit. 4. Kerajaan akan mengambil langkah proaktif, termasuk membangunkan infrastruktur fizikal, terutamanya di kawasan kurang maju. Di samping itu, tumpuan khusus akan diberi kepada pembangunan ekonomi luar bandar untuk memperbaiki kualiti hidup di kawasan luar bandar melalui penyediaan jalan yang mencukupi, bekalan air dan elektrik serta kemudahan persekolahan yang baik. Fokus juga diberi untuk membangunkan soft infrastructure, termasuk membangunkan keupayaan modal insan dan sistem pengurusan dan organisasi. Keperluan untuk mewujudkan persekitaran yang lebih mesra perniagaan bagi meningkatkan daya saing negara juga akan dititikberatkan di dalam Bajet ini. Insya Allah, dengan langkah ini, kita yakin ekonomi negara akan kekal kukuh dan menjana pendapatan serta kekayaan untuk meningkatkan kesejahteraan semua rakyat dalam konteks membina sebuah negara yang aman, makmur dan bersatu padu. PERKEMBANGAN EKONOMI NEGARA 5. Ekonomi negara terus kekal mantap dalam tempoh separuh tahun pertama tahun ini, walaupun perkembangan ekonomi global lebih sederhana serta peningkatan paras harga minyak antarabangsa begitu ketara. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 4.9 peratus pada separuh pertama 2005, didorong sebahagian besarnya oleh aktiviti sektor swasta. Penggunaan sektor swasta terus meningkat, di samping pelaburan swasta yang juga kekal kukuh, berikutan keyakinan pelabur yang bertambah baik. Aliran masuk pelaburan asing kasar berjumlah 8 bilion ringgit pada separuh pertama tahun ini. 6. Kita sangat bertuah kerana dalam tempoh yang begitu singkat, iaitu tujuh tahun selepas krisis kewangan 1997, ekonomi negara telah pulih sepenuhnya dengan mencatat pertumbuhan yang lebih mapan. Pertumbuhan KDNK telah mencapai peningkatan purata sebanyak 5.4 peratus setahun dalam tempoh tersebut. Pada tahun ini, kita menganggarkan pertumbuhan sebanyak 5 peratus, sungguhpun dalam persekitaran luar yang kurang menggalakkan. 7. Pencapaian pertumbuhan ekonomi ini telah diiringi oleh pengukuhan dalam imbangan pembayaran negara serta kadar inflasi yang terkawal dan gunatenaga penuh. Lebihan semasa imbangan pembayaran kekal tinggi, secara purata 12 peratus setahun daripada Keluaran Negara Kasar (KNK) dalam tempoh enam tahun, dan dijangka meningkat kepada 15.7 peratus tahun ini, berikutan peningkatan eksport yang ketara. Prestasi dan asas ekonomi yang kukuh ini juga membolehkan rakyat mengecapi manfaat dari peningkatan pendapatan dan kuasa beli yang lebih tinggi. Pendapatan per kapita dianggar meningkat kepada 17,741 ringgit pada tahun 2005 berbanding 16,616 ringgit pada tahun 2004. Dari segi kuasa beli pariti, ianya meningkat daripada 9,630 dolar Amerika Syarikat kepada 10,323 dolar dalam tempoh yang sama. 8. Prospek ekonomi luar negara dijangka menjadi lebih mencabar. Ini disebabkan lonjakan harga minyak yang dijangka kekal tinggi serta dasar monetari negara maju, terutamanya Amerika Syarikat, yang menunjukkan tren peningkatan kadar faedah. Sudah tentunya perkembangan global ini akan mempunyai kesan terhadap ekonomi negara. Walau bagaimanapun, Kerajaan percaya, dengan langkah khusus yang diumumkan dalam Bajet ini, prospek pertumbuhan ekonomi negara dijangka terus kukuh pada kadar 5.5 peratus dalam tahun 2006. 9. Pembangunan negara bukan hanya merupakan tanggungjawab Kerajaan. Setiap rakyat mempunyai peranan dalam menyokong usaha memajukan negara. Pembangunan pesat yang dicapai selama ini telah memberi banyak faedah kepada semua pihak. Namun, dalam tahun-tahun yang seterusnya, kita hanya akan berjaya dalam persekitaran yang mencabar sekiranya rakyat bersedia membuat perubahan gaya hidup, berjimat cermat serta berusaha dengan tekun demi meninggikan produktiviti, kecekapan dan daya saing, serta meningkatkan kemampuan inovasi dan daya kreatif. STRATEGI BAJET 2006 10. Strategi Bajet 2006 akan ditumpukan kepada: Pertama: Melaksanakan langkah proaktif Kerajaan ke arah memesatkan kegiatan ekonomi; Kedua: Menyediakan persekitaran mesra perniagaan; Ketiga: Membangunkan modal insan; dan Keempat: Meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat. STRATEGI PERTAMA: MELAKSANAKAN LANGKAH PROAKTIF KERAJAAN KE ARAH MEMESATKAN KEGIATAN EKONOMI 11. Alhamdulillah, matlamat Kerajaan untuk terus mengurangkan defisit bajet telahpun dicapai. Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan telah dikurangkan daripada 5.6 peratus daripada KDNK pada tahun 2002 kepada 3.8 peratus yang dianggarkan pada tahun ini. Lebih penting lagi, pengurangan defisit ini telah dicapai tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara. Bagi tahun 2006, defisit fiskal akan dikurangkan kepada 3.5 peratus. Pada tahap defisit yang rendah ini, Kerajaan mempunyai lebih ruang untuk memberi tumpuan kepada usaha pembangunan demi mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi. 12. Dengan itu, saya mencadangkan sebanyak 136.8 bilion ringgit diperuntukkan bagi Bajet 2006, iaitu meningkat sebanyak 5 peratus berbanding dengan peruntukan tahun 2005. Daripada jumlah ini, sebanyak 101.3 bilion ringgit adalah bagi Peruntukan Mengurus. Sebanyak 35.5 bilion ringgit disediakan bagi Peruntukan Pembangunan, iaitu 13 peratus lebih tinggi dari peruntukan tahun ini. 13. Di bawah Peruntukan Mengurus, sebanyak 55 bilion ringgit atau 54.3 peratus adalah bagi Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, 23.6 bilion ringgit untuk Emolumen, 20.6 bilion ringgit bagi Perkhidmatan dan Bekalan, 1.6 bilion ringgit untuk Pembelian Aset dan 500 juta ringgit untuk perbelanjaan lain. 14. Bagi Peruntukan Pembangunan, bahagian terbesar sebanyak 14.4 bilion ringgit ialah untuk sektor ekonomi yang terdiri daripada sektor pertanian, perindustrian dan infrastruktur. Sebanyak 9.9 bilion ringgit diperuntukkan kepada sektor sosial iaitu pendidikan, kesihatan dan perumahan. Sektor keselamatan menerima 5.6 bilion ringgit sementara pentadbiran 3.6 bilion ringgit. Memesatkan Pembangunan Luar Bandar 15. Kerajaan berhasrat untuk membawa pembangunan yang seimbang dan komprehensif kepada rakyat di seluruh negara. Selaras dengan matlamat Kerajaan untuk memperbaiki lagi ekonomi dan infrastruktur di luar bandar, peruntukan sebanyak 5.7 bilion ringgit akan disediakan. Sebahagian besar daripada peruntukan ini, iaitu 2.7 bilion ringgit adalah untuk pelaksanaan projek pertanian, khususnya aktiviti menambah nilai yang boleh menjana pendapatan yang lebih tinggi kepada petani. Kerajaan juga bercadang memperuntukkan 1.2 bilion ringgit bagi program pelajaran, 581 juta ringgit bagi membina dan menaik taraf jalan serta 299 juta ringgit bagi menyediakan bekalan air dan elektrik. 16. Kerajaan prihatin terhadap keluhan orang ramai mengenai kemudahan infrastruktur asas yang tidak mencukupi dan kurang sempurna, terutamanya di kawasan luar bandar. Malahan, saya rasa sedih dengan peristiwa kemalangan maut yang dilapor melibatkan murid sekolah semasa menyeberangi jambatan usang. Pada saya, peristiwa sebegini tidak harus berlaku di sebuah negara yang memiliki infrastruktur kelas pertama. 17. Saya menggesa Ahli-ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini dan Pegawai Pembangunan Negeri serta Pegawai Daerah untuk mengenalpasti dan menyediakan senarai projek infrastruktur asas, seperti jambatan kecil, yang diperlukan segera di setiap kawasan Parlimen. Senarai ini hendaklah dikemukakan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri, sebelum akhir bulan November ini untuk dilaksanakan. Untuk memastikan projek ini disiapkan segera, kontraktor tempatan di kawasan masing-masing, terutamanya kontraktor kecil Bumiputera, akan dilantik untuk melaksanakannya. Mengoptimumkan Penggunaan Infrastruktur Sedia Ada 18. Negara telah mencapai tahap pembangunan yang tinggi, terutamanya dalam pembangunan infrastruktur fizikal. Kita mempunyai banyak kemudahan infrastruktur moden, termasuk jaringan lebuhraya, lapangan terbang antarabangsa serta pelabuhan bertaraf dunia. Sementara pembangunan infrastruktur fizikal diteruskan, kita perlu juga memberi tumpuan kepada usaha mengoptimumkan penggunaan kemudahan tersebut. Oleh itu, Kerajaan akan memberi penekanan kepada pembangunan soft infrastructure, termasuk membangun dan meningkatkan keupayaan modal insan, sistem pengurusan dan organisasi, dan menyemai budaya penyelenggaraan. 19. Budaya penyelenggaraan ini harus dipupuk dengan lebih tekun. Selain peruntukan kepada agensi Kerajaan untuk program penyelenggaraan berjumlah 4.3 bilion ringgit, Kerajaan akan menyediakan peruntukan khas yang merupakan tambahan sebanyak 1 bilion ringgit untuk program penyelenggaraan kemudahan awam pada tahun hadapan. Bagi tahun 2005, Kerajaan telah menyediakan peruntukan khas berjumlah 500 juta ringgit yang membolehkan hampir 9 ribu projek penyelenggaraan dilaksanakan oleh kontraktor kelas F, selain peruntukan kepada agensi Kerajaan berjumlah 4.1 bilion ringgit. 20. Usaha menambah baik modal insan akan dipergiatkan melalui pelajaran dan latihan supaya rakyat lebih cemerlang dalam penguasaan ilmu dan kemahiran, terutamanya penguasaan sains dan teknologi. Bagi tujuan ini, sebanyak 29 bilion ringgit atau satu perlima daripada peruntukan Bajet 2006 disediakan untuk memberi pendidikan dan latihan kepada 5.7 juta pelajar. Daripada jumlah ini, 24 bilion ringgit adalah untuk Perbelanjaan Mengurus dan baki 5 bilion ringgit untuk Perbelanjaan Pembangunan. Memperbaiki Lagi Sistem Penyampaian Perkhidmatan Awam 21. Perkhidmatan awam memainkan peranan penting dalam menyokong dan membantu inisiatif sektor swasta melalui penyediaan sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih efisyen dan mesra pelanggan. Satu aspek yang sering menyebabkan kelewatan dalam melaksanakan projek ialah lewatnya pengeluaran sub-waran oleh kementerian kepada agensi di bawahnya. Kelewatan pengeluaran sebegini mesti dielakkan. Sehubungan ini, semua kementerian dikehendaki mengeluarkan sub-waran yang memberi kuasa berbelanja kepada agensi pelaksana di bawah bidang kuasa mereka selewat-lewatnya sebelum penghujung bulan Mac setiap tahun. Jemaah Menteri akan memantau perkara ini dengan rapi. 22. Pengukuhan sistem penyampaian perkhidmatan awam akan terus menjadi agenda utama. Selain meningkatkan keupayaan, proses kerja juga akan ditambahbaik. Kapasiti pasukan flying squad di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan diperkukuhkan lagi dengan menambah sebanyak 600 anggota. Tumpuan akan diberi kepada urusan kutipan hasil, tukar syarat tanah, pecah sempadan dan pecah bahagian. Proses hakmilik strata akan dipermudahkan, antaranya bersandarkan kepada pengeluaran Sijil Penyiapan (Certificate of Completion). 23. Sebanyak 334 jawatan akan diwujudkan untuk menjayakan kerja di semua Pusat Sehenti PBT bagi mempercepatkan urusan pemprosesan lesen dan permit serta pembayaran cukai taksiran dan denda. Kapasiti Perbadanan Harta Intelek Malaysia akan ditingkatkan bagi mempercepatkan kelulusan permohonan pendaftaran pensijilan paten dan cop dagang. 24. Malaysia berhasrat untuk menjadi hub serantau, terutamanya untuk sektor perkhidmatan dan membangunkan lagi industri berasaskan pengetahuan. Oleh itu, adalah penting prosedur pemberian visa kepada pekerja berpengetahuan dan golongan peniaga asing dipermudahkan. Ke arah ini, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri sedang mengambil langkah untuk mempermudah dan mempercepatkan pemberian visa, terutamanya bagi pekerja berpengetahuan dan profesional dalam bidang ICT, perkhidmatan kewangan dan industri berteknologi tinggi. Selain itu, Unit Jawatankuasa Pegawai Dagang dan Unit Naziran di Jabatan Imigresen akan diperkukuhkan. 25. Unit Pelancongan Kesihatan akan ditubuhkan di bawah Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan kualiti bekalan perkhidmatan kesihatan bagi menarik lebih ramai warga asing mendapat khidmat kesihatan swasta di Malaysia. Selain itu, fokus akan diberi kepada usaha mendapatkan pengiktirafan antarabangsa dan mempromosi hospital swasta tempatan. 26. Selaras dengan usaha memperkukuhkan sistem penyampaian, badan berkanun bersumber kewangan sendiri akan dibenar menentukan skim perkhidmatan mereka. Fleksibiliti ini membolehkan badan berkanun berkenaan merancang dan mengurus tenaga kerjanya serta menambah produktiviti organisasi. Badan berkanun yang telah dikenalpasti adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Urusan dan Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, SOCSO dan Bank Simpanan Nasional. Sementara itu, Kumpulan Wang Amanah Pencen juga akan dijadikan badan berkanun dan diberi fleksibiliti yang sama. 27. Penggunaan ICT dalam urusan orang awam dengan agensi Kerajaan akan ditingkatkan. Untuk ini, urusan e-Payment menggunakan kad kredit di kaunter dan secara online akan dilaksanakan di Jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen dan KWSP serta hospital. Langkah ini akan mempercepat dan memudahkan bayaran dan penerimaan serta menggalakkan lagi penggunaan e-Payment ke seluruh negara. 28. Sistem perolehan Kerajaan akan diperbaiki dengan memperkenalkan kaedah baru dalam usaha mengurangkan kos, menjadi lebih telus dan memastikan nilai berpatutan (value for money). Ke arah ini, satu sistem e-Bidding atau reverse auction sedang dalam percubaan di beberapa agensi supaya kaedah baru ini boleh dilaksanakan di sektor awam dan beberapa Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). STRATEGI KEDUA: MENYEDIAKAN PERSEKITARAN MESRA PERNIAGAAN 29. Sektor swasta memainkan peranan penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara. Untuk terus menyokong peranan sektor swasta, Kerajaan akan memastikan pelaksanaan dasar dan langkah mesra perniagaan serta penyediaan persekitaran yang lebih kondusif. Mengurangkan Kos Kendalian Perniagaan 30. Kerajaan akan terus mengambil langkah untuk mengurangkan lagi kos kendalian perniagaan bagi membolehkan syarikat berdaya maju dan berdaya saing, terutamanya di pasaran serantau dan antarabangsa. Untuk tujuan ini, Kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah cukai dan bukan cukai sejak beberapa tahun yang lalu. Kerajaan komited untuk terus menambah dan memperbaiki lagi insentif yang diberikan untuk meningkatkan daya saing negara. 31. Sektor korporat negara kini mempunyai banyak kumpulan syarikat dengan anak syarikat masing-masing. Kerajaan sedar bahawa untuk menceburi projek berisiko tinggi memerlukan suntikan modal yang besar dan terdapat juga kemungkinan kerugian dalam tahun-tahun awal operasi. Potensi kerugian sedemikian boleh menjejaskan hasrat syarikat mengambil inisiatif pelaburan seperti ini, walaupun dalam jangka panjang pelaburan seumpama ini berfaedah kepada ekonomi. Oleh itu, Kerajaan bercadang memberi group relief kepada syarikat yang merupakan sebahagian daripada suatu kumpulan, dengan milikan minimum antara mereka sebanyak 70 peratus. Group relief ini membenarkan 50 peratus daripada kerugian tahun semasa suatu syarikat ditolak daripada keuntungan suatu syarikat lain dalam kumpulan yang sama. Selain mengurangkan kos menjalankan perniagaan, langkah ini juga akan meningkatkan daya saing negara dan menggalakkan lebih banyak pelaburan. 32. Galakan Taraf Perintis telah diberikan kepada banyak syarikat, termasuk multinasional, untuk menarik pelabur ke negara ini. Sektor utama yang telah diberi galakan ini, selain Koridor Raya Multimedia (MSC), termasuk sektor pembuatan dan pelancongan. Untuk meningkatkan lagi keberkesanan insentif ini, Kerajaan bercadang supaya kerugian terkumpul dan elaun modal yang tidak diserap dalam tempoh perintis dibenar dibawa ke hadapan dan ditolak daripada pendapatan post pioneer. 33. Sungguhpun banyak kawasan di Koridor Timur telah dibangunkan, masih terdapat lagi beberapa kawasan di Koridor tersebut yang masih belum dibangunkan sepenuhnya. Oleh itu, untuk menarik lebih banyak pelaburan di Koridor Timur, termasuk Sabah dan Sarawak, galakan cukai sedia ada bagi projek yang ditempatkan di Koridor tersebut dilanjutkan untuk tempoh 5 tahun lagi, sehingga 31 Disember 2010. 34. Seterusnya, Kerajaan mencadangkan langkah cukai berikut untuk membantu mengurangkan lagi kos kendalian perniagaan: Pertama: pendapatan yang diperolehi daripada aktiviti pelaburan oleh syarikat pemegang pelaburan yang tersenarai di Bursa Malaysia diberi layanan cukai sebagai pendapatan perniagaan dan oleh itu perbelanjaan syarikat tersebut tidak lagi dihadkan bagi tujuan potongan cukai. Walau bagaimanapun, kerugian dan elaun modal yang tidak diserap tidak dibenarkan dibawa ke hadapan; Kedua: memandangkan pentingnya pematuhan urustadbir korporat, yuran juruaudit dibenarkan sebagai potongan cukai; Ketiga: memandangkan hasil dan keuntungan tertakluk kepada ketidaktentuan disebabkan persekitaran perniagaan yang berbeza, Kerajaan bersetuju memberi fleksibiliti yang lebih dalam membuat anggaran cukai. Pada masa ini, syarikat dikehendaki mengemukakan anggaran cukai tahun semasa yang tidak kurang daripada anggaran disemak tahun sebelumnya. Dengan fleksibiliti ini, syarikat akan dibenar membuat anggaran cukai pada tahap tidak kurang 85 peratus daripada anggaran cukai tahun sebelumnya berbanding dengan 100 peratus pada masa ini. Keempat: memudahkan penyediaan akaun bagi asset bernilai kecil. Pada masa ini, elaun modal ke atas aset hanya boleh dituntut dalam tempoh masa tertentu. Dengan langkah ini, syarikat dibenar menuntut elaun modal sepenuhnya dalam tahun perolehan bagi sejumlah aset bernilai tidak melebihi 10 ribu ringgit. Walau bagaimanapun, bagi tujuan ini, nilai setiap aset tidak melebihi satu ribu ringgit;dan Kelima: bagi menggalakkan syarikat pembangunan hartanah membina rumah kos rendah, anggaran kerugian daripada projek rumah kos rendah dibenarkan ditolak daripada anggaran keuntungan dari projek pembangunan hartanah yang lain bagi tujuan perkiraan cukai. Memantapkan Pasaran Modal 35. Pasaran modal negara telah berkembang pesat dan telah memainkan peranan penting dalam menyediakan pembiayaan yang lebih rendah kos kepada sektor koporat. Ini telah dapat mengurangkan pergantungan sektor korporat kepada sumber kewangan daripada bank komersil untuk membiayai pelaburan. Kini, sektor koporat telah memperolehi manfaat daripada sumber pembiayaan modal melalui penerbitan ekuiti dan bon. Berikutan itu, saiz pasaran bon negara telah meningkat hampir tiga kali ganda daripada 137 bilion ringgit pada tahun 1997 kepada 363 bilion ringgit pada tahun 2004. Bon korporat merupakan 51 peratus daripada jumlah ini. Di samping itu, ekuiti yang telah diterbitkan berjumlah 66 bilion ringgit dalam tempoh yang sama. Perkembangan pesat dalam pasaran bon dan ekuiti ini telah merancakkan pasaran modal negara yang akan membantu dan memudahkan lagi sektor swasta untuk menerajui pertumbuhan ekonomi negara. 36. Kerajaan mengiktiraf keperluan meningkatkan lagi kualiti syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia. Dalam konteks ini, Kerajaan ingin menggalakkan pencantuman dan pengambilalihan atau merger and acquisition, dengan tujuan membolehkan syarikat memperluaskan operasi mereka, menambah kecairan, meningkatkan asas modal dan mencapai ekonomi bidangan yang lebih baik. Saya mencadangkan pengecualian duti setem dan cukai keuntungan hartanah diberikan ke atas pencantuman dan pengambilalihan syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia. Pengecualian ini akan diberi bagi pencantuman dan pengambilalihan yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) mulai 1 Oktober 2005 sehingga 31 Disember 2007. 37. Selain ini, Kerajaan juga bercadang untuk membatalkan seksyen 132G dalam Akta Syarikat 1965 untuk memudah dan memberi lebih fleksibiliti bagi syarikat untuk melaksanakan pencantuman dan pengambilalihan, serta untuk menstruktur semula perniagaan mereka. Seksyen 132G yang telah diperkenalkan pada tahun 1992, bertujuan menghindar asset shuffling di mana pemegang saham syarikat tersenarai menyuntik aset yang baru diambilalih ke dalam syarikat tersenarai pada nilai yang terlalu tinggi, yang sudah tentunya merugikan pemegang saham minoriti. 38. Walau bagaimanapun, semenjak penubuhan SC pada tahun 1993, beberapa langkah kawalselia telah digubal untuk menghindar asset shuffling. Ini termasuk memastikan nilai adil bagi aset dan imbalan urusniaga. Pada masa yang sama, beberapa peraturan berkenaan urusniaga pihak berkaitan yang memerlukan kelulusan pemegang saham, serta pengamalan Kod Urus Tadbir Korporat telahpun dilaksanakan. Oleh itu, Seksyen 132G tidak lagi diperlukan bagi tujuan melindungi kepentingan minoriti. 39. Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, SC telah mengambil banyak langkah untuk melicin dan mempercepatkan proses kelulusan untuk cadangan korporat. Untuk mempermudah dan mempercepatkan lagi proses kelulusan cadangan korporat, semua prospektus yang diterima oleh SC bermula 3 Oktober 2005 akan dikaji secara pasca penelitian (post-vetting). Ini akan membolehkan syarikat mengeluarkan prospektus dalam tempoh dua minggu setelah diserahkan kepada SC. Walau bagaimanapun, SC akan memastikan syarikat dan penasihat mereka menjalankan ketekunan wajar (due diligence) dan memberi maklumat yang tepat dalam prospektus. Di samping itu, untuk mengurangkan tempoh penyempurnaan, syarikat yang terlibat dalam pengambilalihan perlu mengeluarkan dokumen tawaran yang mengandungi syarat terperinci dalam tempoh 21 hari dari tarikh pemberitahuan pengambilalihan berbanding 35 hari pada masa ini. 40. Untuk mengimbangi kelonggaran yang diberikan ini, keupayaan dan keberkesanan penguatkuasaan SC akan dipertingkatkan untuk menangani dan menghindar salahlaku korporat. Bagi tujuan ini, SC akan terus menguatkuasakan undang-undang demi memelihara keyakinan pelabur dalam pasaran modal. Kesalahan di bawah undang-undang sedia ada, termasuk Akta Syarikat dan Kanun Keseksaan, berikutan penyiasatan SC, akan didakwa di mahkamah. 41. Untuk menyediakan barisan pengurus dan pengarah syarikat yang berkemahiran dan berwibawa, terutamanya untuk GLC, Akademi Kepimpinan Pengurusan dan Pengarah (Management Leadership and Directors Academy) akan ditubuhkan sebagai pusat kecemerlangan kepimpinan. Akademi ini bertujuan melahirkan pengarah dan pengurusan kanan yang kompeten dan mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang berkesan. Akademi ini akan bekerjasama dengan institusi pengurusan bertaraf dunia. 42. Penerbitan Amanah Pelaburan Hartanah atau REITs adalah satu kaedah yang boleh meningkatkan kecairan syarikat hartanah yang mempunyai aset tetap yang besar. Ia juga dapat menyumbang kepada usaha mempelbagaikan produk bagi pelabur. Bagi menggalakkan lebih banyak REITs, Kerajaan bercadang membenarkan potongan cukai ke atas perbelanjaan berkaitan bayaran guaman, penilaian dan perundingan. 43. Kerajaan ingin menggalakkan lagi pembangunan pasaran bon korporat. Kerajaan mencadangkan supaya syarikat korporat yang menerbitkan bon dibenarkan potongan cukai ke atas perbelanjaan diskaun secara terakru, iaitu sepanjang tempoh hingga tarikh matang bon tersebut. Pada masa ini, potongan cukai hanya dibenarkan apabila bon matang. Membangunkan Sumber Pertumbuhan Baru 44. Untuk memantap dan mempelbagaikan lagi sumber pertumbuhan ekonomi negara, Kerajaan akan mempergiatkan lagi usaha bagi menggalakkan sektor swasta menerokai bidang baru yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi dan kelebihan daya saing. Ini termasuk pertanian berkaedah termoden, bioteknologi, nanoteknologi, sektor pembuatan berteknologi tinggi serta bidang perkhidmatan, khususnya ICT, pendidikan dan pelancongan. Memodenkan Sektor Pertanian 45. Sebagaimana yang sering saya tekankan, sektor pertanian perlu menjadi lebih dinamik. Satu cara untuk mencapai hasrat tersebut adalah dengan meningkatkan produktiviti serta daya saing melalui kegiatan menambah nilai dan menggunakan teknologi moden. Bagi tujuan ini, sektor pertanian akan diperuntukkan sejumlah 2.8 bilion ringgit bagi Perbelanjaan Pembangunan, terutamanya bagi pembangunan pertanian, penternakan, perikanan dan perhutanan. Untuk meningkatkan lagi keberkesanan pelaksanaan program pertanian, Jabatan Pertanian akan disusun semula dan diberi penambahan 255 jawatan baru. Di samping itu, Pejabat Konsular Pertanian akan dibuka di luar negara untuk mempromosikan produk pertanian Malaysia. 46. Kita mempunyai potensi untuk membangunkan industri halal yang berdaya maju dan kompetitif di peringkat global. Dalam hal ini, institusi penyelidikan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan institusi pengajian tinggi perlu meneroka dan memajukan secara agresif R&D berkaitan produk halal serta mewujudkan usahasama dengan institusi penyelidikan luar negara. Makmal keselamatan dan kualiti makanan di Kementerian Kesihatan akan disusun semula dan diperkukuhkan supaya dapat memberi khidmat ujian yang lebih berkesan kepada pengeksport. 47. Kerajaan akan juga mengutamakan peningkatan produktiviti dan kualiti untuk memastikan bekalan makanan terjamin dan meningkatkan eksport makanan. Tabung Makanan (3F) akan ditambah sebanyak 300 juta ringgit lagi supaya pembiayaan yang mencukupi disediakan bagi industri pengeluaran makanan. Sebahagian besar dana Tabung ini akan terus diberikan kepada kegiatan pengkomersilan keluaran makanan, termasuk pemprosesan, pembungkusan dan pemasaran. 48. Kerajaan akan terus memoden dan mempelbagaikan aktiviti perikanan supaya dapat meningkatkan pendapatan nelayan dan pengusaha akuakultur. Peruntukan sebanyak 160 juta ringgit disediakan bagi program pembangunan perikanan, termasuk meningkatkan kemudahan perkhidmatan pengembangan, penyelidikan dan latihan, ternakan ikan dalam sangkar, penetasan benih ikan, ikan laut dalam dan ikan hiasan. 49. Penanaman semula hutan adalah penting untuk memastikan sumber perhutanan negara kekal mapan. Kerajaan akan menubuhkan sebuah syarikat baru dengan modal permulaan sebanyak 200 juta ringgit untuk melaksanakan aktiviti perladangan hutan secara komersil. Ini adalah selaras dengan strategi Kerajaan untuk menghasilkan sumber kayu-kayan secara mapan. 50. Kerajaan akan terus menggalakkan GLC, terutamanya yang terlibat dalam sektor perladangan, untuk menjadi pemangkin mengkomersilkan sektor pertanian negara termasuk aktiviti pekebun kecil. Keutamaan akan diberi kepada projek yang dilaksanakan untuk menjana ekonomi bidangan, meninggikan daya saing dan membangun teknologi baru. Untuk tujuan ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak 400 juta ringgit lagi bagi membiayai projek pertanian oleh GLC. 51. Khazanah Nasional akan menubuhkan Syarikat Pertanian dan Makanan Nasional dengan modal 500 juta ringgit untuk menjadi pusat kecemerlangan pengurusan rantaian bekalan pertanian. Fungsi syarikat ini termasuklah sebagai agen memadan dan mengurus pengeluaran, pemprosesan, pemasaran, pengagihan dan logistik berkaitan. Tumpuan akan diberi kepada aktiviti pengkomersilan, penjenamaan, R&D, penetapan piawaian pengeluaran dan logistik serta penubuhan perladangan berteknologi tinggi. Kemudahan yang akan disediakan adalah Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan serta rangkaian bilik sejuk. 52. Dalam pada itu, koperasi memainkan peranan penting untuk membangunkan pengusaha kecil. Kerajaan telah melancarkan Dasar Koperasi Negara untuk memacu pembangunan sektor ini. Seterusnya, langkah untuk memperkasakan lagi gerakan koperasi akan digubal dalam Rancangan Malaysia Kesembilan. Membangunkan Sektor Bioteknologi 53. Kerajaan telah melancarkan Dasar Bioteknologi Negara pada April 2005 bagi menggariskan strategi dan langkah bagi memajukan bioteknologi di dalam negara. Bidang bioteknologi yang dipilih sebagai bidang strategik, termasuk bioteknologi pertanian, bioteknologi kesihatan dan bioteknologi industri. Untuk menggalakkan penglibatan sektor swasta, pelbagai insentif fiskal telah disediakan. 54. Kerajaan telah menubuhkan Perbadanan Bioteknologi Malaysia bagi memacu pembangunan bioteknologi secara bersepadu dan melaksanakan Dasar Bioteknologi Negara. Perbadanan ini telah berjaya menganjurkan mesyuarat meja bulat bioteknologi 2005 di Amerika Syarikat baru-baru ini, yang dipengerusikan oleh saya sendiri dan turut dihadiri oleh tokoh saintis, akademik, usahawan dan pelabur modal teroka di peringkat antarabangsa. Mesyuarat tersebut telah mengutarakan pelbagai idea, pandangan dan saranan dalam usaha kita memajukan lagi teknologi kritikal ini. 55. Kerajaan komited untuk membangunkan bioteknologi negara dan sedang merangka pelbagai rancangan yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Pelbagai projek akan dibangunkan, termasuk memperkukuhkan keupayaan institusi negara seperti MARDI, MPOB dan Institut Penyelidikan Perubatan, serta melancarkan pusat kecemerlangan bioteknologi di dalam bidang pertanian, kesihatan dan genomik. Dalam pada itu, Bioproducts Validation Centre dengan nilai 30 juta ringgit akan dilancarkan di Johor Bahru. Kerajaan juga akan menubuhkan sebuah dana khas, Malaysian Life Sciences Capital Fund, di bawah pengurusan Malaysian Technology Development Corporation, untuk melabur dalam projek bioteknologi. Dana tersebut akan mengumpul pelaburan daripada pelbagai institusi seperti GLC. Untuk melancarkan Dana tersebut, Kerajaan akan menyumbang 100 juta ringgit. Selain itu, Perbadanan Bioteknologi Malaysia akan berkerjasama dengan pelbagai agensi dan kementerian untuk menarik lagi pelaburan dan usahasama di kalangan syarikat bioteknologi, sama ada dari dalam mahupun dari luar negara. Memperhebatkan Sektor ICT 56. MSC telah dibangunkan untuk menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi berasaskan pengetahuan dan harta intelek. Kita perlu menggunakan sepenuhnya kelebihan MSC yang telah dapat menarik industri outsourcing dan shared services. Untuk memajukan lagi potensi pembangunan Cyberjaya, yang merupakan komponen penting MSC, langkah berikut akan dilaksanakan: Pertama: garis panduan pembangunan Cyberjaya, termasuk plot ratio, akan dipinda untuk memudahkan pembinaan lebih banyak rumah yang mampu dimiliki; Kedua: kemudahan pengangkutan awam juga akan dipertingkatkan, terutamanya perkhidmatan bas bagi memenuhi keperluan syarikat shared services dan outsourcing yang beroperasi 24 jam; Ketiga: Kerajaan akan menggalakkan pembinaan bangunan untuk menyediakan lebih banyak ruang pejabat bagi syarikat berstatus MSC di Cyberjaya. Untuk ini, Kerajaan mencadangkan Elaun Bangunan Industri (IBA) bagi tempoh sepuluh tahun diberikan kepada pemilik bangunan baru yang diduduki oleh syarikat bertaraf MSC di Cyberjaya; dan Keempat: satu Institut Pembangunan ICT akan ditubuhkan untuk menambahkan lagi bekalan pekerja berpengetahuan (knowledge workers) dengan menyediakan kemahiran yang diperlukan oleh industri ICT, terutamanya syarikat shared services dan outsourcing. 57. Pada masa ini, syarikat multimedia yang beroperasi di luar Cybercities, iaitu di luar Cyberjaya, Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Technology Park, Bayan Lepas dan Kulim Hitech Park tidak layak mendapat galakan cukai yang diberikan kepada syarikat bertaraf MSC. Untuk menggalakkan lagi aktiviti ICT dan multimedia, termasuk Regional Shared Service Centres di seluruh negara, Kerajaan mencadangkan Taraf Perintis dengan pengecualian cukai pendapatan 50 peratus selama 5 tahun atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 50 peratus diberikan kepada syarikat terpilih yang menempatkan aktivitinya di luar Cybercities. Galakan ini tertakluk kepada perakuan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDC). 58. Kerajaan berhasrat menggalakkan syarikat ICT Malaysia berkembang dan menembusi pasaran global. MDC akan bekerjasama dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah untuk mengenalpasti dan memadankan syarikat bertaraf MSC yang berwibawa dengan yang bersesuaian bagi menguji produk mereka. GLC ini seterusnya akan menjadi pusat rujukan (reference site) untuk mempamerkan prestasi produk syarikat berstatus MSC ini ketika memasarkan produk berkenaan kepada pelanggan di peringkat global. Menggalakkan Penyelidikan Dan Pembangunan 59. Pembangunan sains dan teknologi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) akan terus digalakkan bagi menjana sumber pertumbuhan baru. Peruntukan sebanyak 868 juta ringgit disediakan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Skim Geran R&D akan memberi tumpuan kepada bioteknologi, advanced manufacturing, advanced materials, ICT, nanoteknologi dan sumber tenaga alternatif, termasuk solar, bagi menggalakkan inovasi di kalangan syarikat tempatan dan ciptaan produk baru. Memperkukuhkan Perusahaan Kecil dan Sederhana 60. Saya telah mengumumkan penubuhan SME Bank pada awal tahun ini. Berikutan ini, peranan dan fungsi Bank Industri dan Teknologi Malaysia Berhad (BITMB) dan Bank Pembangunan dan Infrastruktur Berhad (BPIMB) telah pun diselaraskan. Hasilnya, dua buah bank berasingan telah diwujudkan dalam satu kumpulan. Pertama, Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) yang menjadi syarikat induk, dengan fokus pembiayaan kepada industri intensif modal dan teknologi tinggi, maritim dan infrastruktur. Kedua, SME Bank telah ditubuhkan dan akan mula beroperasi pada 3 Oktober tahun ini. 61. Untuk membiayai perkembangan aktiviti Kumpulan BPMB, termasuk SME Bank, sebanyak 9 bilion ringgit akan diperolehi daripada pasaran modal. Sebahagian dari pinjaman ini akan digunakan untuk meningkatkan modal berbayar SME Bank kepada satu bilion ringgit. 62. SME Bank akan membantu menyediakan kemudahan kewangan dan khidmat nasihat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), di samping meningkatkan tahap saingan syarikat tempatan di pasaran dalam dan luar negara. 63. SME Bank juga akan menubuhkan dana modal teroka berjumlah satu bilion ringgit untuk membiayai PKS yang mempunyai rancangan dan berupaya meningkatkan perkembangan perniagaan. PKS yang menunjukkan pertumbuhan yang kukuh dan mempunyai lebihan daya saing akan diberi suntikan modal. 64. Berikutan pelarasan fungsi BITMB dan BPIMB, Export Import Bank Malaysia (EXIM Bank) yang menyerap fungsi Malaysia Export Credit Insurance Berhad, akan diperkukuhkan dan skopnya diperluaskan. EXIM Bank, yang akan diletakkan di bawah Kementerian Kewangan, akan memainkan peranan yang lebih penting untuk membantu dan menggalakkan pengusaha tempatan, terutamanya Bumiputera, untuk meneroka pasaran global. Kemudahan pembiayaan yang akan disediakan termasuklah pembiayaan perdagangan, pembiayaan projek luar negara dan jaminan kredit insurans. Bagi tujuan ini, dana sebanyak satu bilion ringgit akan diwujudkan. 65. Untuk mengurangkan lagi kos pembiayaan pinjaman kepada PKS, Kerajaan mencadangkan PKS diberi pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus ke atas surat cara pinjaman yang bernilai tidak melebihi satu juta ringgit. 66. PROSPER telah memainkan peranan penting dalam membangunkan syarikat PKS Bumiputera yang berdaya maju dalam sektor peruncitan. PROSPER telah meluluskan 770 permohonan melibatkan hampir 1,600 usahawan Bumiputera. Dalam tahun 2006, sebanyak 250 permohonan baru dijangka diluluskan. Selain itu, untuk meningkatkan bilangan PKS Bumiputera yang berdaya maju dalam industri yang strategik, skop PROSPER diperluaskan untuk merangkumi kegiatan secara pukal atau wholesale. Pembangunan usahawan Bumiputera dalam perniagaan pukal akan memudahkan kontraktor kecil Bumiputera mendapat bekalan dengan kos yang lebih rendah, terutamanya dalam industri binaan. Meningkatkan Penyertaan Bumiputera dalam Sektor Hartanah 67. Usaha untuk meningkatkan kekayaan Bumiputera dan penglibatan mereka dalam sektor korporat sehingga kini, lebih tertumpu kepada pegangan ekuiti, terutamanya dalam syarikat tersenarai. Walau bagaimanapun, langkah ini sahaja tidak memadai untuk meningkatkan pemilikan Bumiputera dalam kekayaan ekonomi negara. Adalah penting juga usaha diambil untuk meningkatkan hak milik hartanah Bumiputera, termasuk hartanah komersil. Pelaburan dalam hartanah, khasnya yang terletak di kawasan komersil utama, memerlukan jumlah pelaburan modal yang besar. Oleh itu, untuk mempertingkatkan lagi pegangan harta Bumiputera, satu mekanisme baru perlu diperkenalkan untuk membantu pemilikan hartanah Bumiputera, terutamanya hartanah komersil. Oleh itu, Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera akan ditubuhkan dengan modal sebanyak 2 bilion ringgit sebagai dana untuk membeli hartanah komersil, khususnya di kawasan bandar utama. Tujuan penubuhan Yayasan ini adalah untuk meningkatkan pemilikan hartanah komersil oleh Bumiputera dan menyediakan lebih banyak ruang perniagaan yang strategik bagi usahawan Bumiputera. Yayasan ini akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Maklumat terperinci mengenai hartanah Bumiputera akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan dalam tempoh terdekat. STRATEGI KETIGA: MEMBANGUNKAN MODAL INSAN 68. Pembangunan sumber manusia perlu digilap kerana ianya elemen terpenting dalam memastikan negara terus berdaya saing dan berdaya tahan, lebih-lebih lagi dalam zaman ekonomi sejagat yang berlandaskan pengetahuan, serta bertunjangkan sains dan teknologi. Oleh itu, kualiti pendidikan akan diutamakan supaya warga Malaysia dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai murni untuk menjadi tenaga kerja yang menghayati budaya kerja berprestasi tinggi. Pendidikan berkualiti akan juga memastikan mereka kekal relevan dengan kehendak pasaran semasa dan dengan itu, mampu berdepan dengan cabaran dan suasana persaingan antarabangsa yang kian meningkat. Sejumlah 5 bilion ringgit diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan pelajaran dan latihan, termasuk 1.3 bilion ringgit untuk pendidikan pra-sekolah, sekolah rendah, menengah dan matrikulasi, manakala 1.4 bilion ringgit untuk pendidikan tinggi, 1.1 bilion ringgit untuk latihan serta 1.2 bilion ringgit untuk ICT, pembangunan kurikulum, asrama dan rumah guru. 69. Tumpuan akan diberikan kepada latihan kemahiran dan kepakaran teknikal. Peruntukan sebanyak 493 juta ringgit disediakan bagi menampung enrolmen pelajar sekolah teknikal, vokasional dan latihan kemahiran yang akan ditingkatkan daripada 72 ribu pelajar pada tahun ini kepada 98 ribu pelajar pada tahun 2006. Selain itu, peruntukan sebanyak hampir satu bilion ringgit disediakan bagi latihan perdagangan dan industri yang dilaksanakan di Institut Kemahiran MARA, Pusat Giat MARA, Institut Kemahiran Belia Negara, Institut Latihan Perindustrian dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi. 70. Bagi memaksimumkan penggunaan pusat latihan, program dua syif yang telah diperkenalkan dalam tahun 2005 akan diperluaskan lagi. Peruntukan sebanyak 63 juta ringgit disediakan bagi membolehkan 47 pusat latihan sedia ada menyertai program ini, yang akan dapat menampung pertambahan seramai 9,300 pelatih. Program Pembangunan Kemahiran Teknikal yang dilaksanakan oleh Pusat Latihan Kemahiran di peringkat negeri dan Institut Kemahiran MARA akan ditingkatkan dengan peruntukan 175 juta ringgit untuk melatih 12 ribu pelajar. Enrolmen pelajar politeknik akan ditingkatkan daripada 78 ribu pelajar pada tahun ini kepada 80 ribu pelajar pada tahun 2006. Ini akan membolehkan lebih ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia berpeluang memperolehi latihan kemahiran. 71. Pada masa ini, Kerajaan memberi pelepasan cukai sehingga 4 ribu ringgit bagi setiap anak yang belajar di institusi pengajian tempatan berdasarkan perbelanjaan sebenar. Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai 4 ribu ringgit ini diberi secara automatik. Di samping itu, Kerajaan juga mencadangkan skop pelepasan cukai ini diperluaskan untuk: Pertama: anak yang belajar di institusi pengajian tinggi di luar negara yang diiktiraf; dan Kedua: anak kurang upaya yang belajar di institusi pengajian tinggi. Dengan mengambil kira pelepasan sedia ada sebanyak 5 ribu ringgit untuk anak kurang upaya, ibu bapa akan layak mendapat pelepasan cukai berjumlah 9 ribu ringgit. 72. Untuk menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat, skop pengajian yang layak mendapat pelepasan cukai sebanyak 5 ribu ringgit bagi pembayar cukai individu akan diperluaskan. Kini, pengajian tertiari dalam bidang teknikal, vokasional, industri, kemahiran sains dan teknologi diberi pelepasan cukai. Pelepasan ini akan diperluaskan kepada pengajian profesional dan dalam bidang perakaunan dan undang-undang. 73. Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) memainkan peranan penting dalam memberi peluang kepada lebih banyak pelajar untuk mengikuti pelajaran tinggi. Ia juga menyumbang kepada hasrat negara untuk menjadi hub pendidikan di rantau ini. Sehingga akhir 2004, terdapat hampir 6 ribu pelajar asing di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan 26 ribu pelajar asing di IPTS. Bagi meningkatkan lagi bilangan pelajar asing, Kementerian Pengajian Tinggi akan menubuhkan sebuah unit bagi membantu IPTS mendapat akreditasi dan pengiktirafan luar negara. 74. Bagi menggalakkan IPTS menambah kursus baru, adalah dicadangkan perbelanjaan IPTS bagi membangun dan mematuhi keperluan peraturan dalam memperkenalkan kursus baru diberikan potongan cukai untuk dituntut dalam tempoh 3 tahun. Di samping itu, untuk meningkatkan jumlah saintis tempatan, Kerajaan mencadangkan IPTS yang membuat pengkhususan dalam bidang sains diberi Insentif Elaun Cukai Pelaburan 100 peratus selama 10 tahun. 75. Untuk membantu siswazah menganggur menyertai aktiviti ekonomi, Kerajaan akan melaksanakan beberapa program seperti berikut: Pertama: Skim Usahawan Muda dilaksanakan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam bidang ICT, pelancongan, produk halal serta pemprosesan dan pembungkusan makanan; Kedua: Pusat Latihan Kemahiran Negeri menambah pengambilan pelatih dan memperkenalkan kursus baru di bawah Program Peningkatan Kemahiran Perindustrian. Sebanyak 100 juta ringgit diperuntukkan untuk melatih 4,800 pelatih; dan Ketiga: Program PROSPER Siswazah akan dilaksanakan untuk menggalakkan siswazah menceburi bidang keusahawanan. Sebagai permulaan, seramai 200 graduan akan dibantu memulakan perniagaan pada tahun 2006, dengan pembiayaan sehingga 50 ribu ringgit setiap usahawan. 76. Bagi menggalakkan syarikat swasta memberi peluang pekerjaan kepada siswazah menganggur, syarikat tersenarai yang membayar elaun kepada peserta di bawah program Latihan Graduan Menganggur diberi potongan cukai dua kali bagi tempoh 3 tahun. Program tersebut perlu diiktiraf oleh SC. Di bawah program ini, sekurang-kurangnya seribu siswazah menganggur dijangka akan dilatih oleh syarikat tersenarai dalam kumpulan PNB dan Khazanah. 77. Kerajaan mengiktiraf perlunya meningkatkan martabat profesion keguruan. Langkah telah diambil untuk memantapkan pemilihan bakal guru dan latihan serta menambah baik karier keguruan dan persekitaran kerja. Untuk memantapkan lagi langkah yang diambil, Kerajaan bercadang supaya maktab perguruan dinaikkan tarafnya kepada Institut Pendidikan Guru. Kerajaan akan meningkatkan tahap latihan dan kurikulum, termasuk menarik kerjasama dan kepakaran institusi asing. Saya yakin, dengan langkah ini, Institut Pendidikan Guru akan melahirkan guru siswazah yang benar-benar memahami keperluan dan cabaran di sekolah. Selain itu, sasaran untuk mengisi sekolah menengah dengan 100 peratus guru siswazah dan sekolah rendah dengan 50 peratus guru siswazah menjelang tahun 2010 akan dapat dicapai. STRATEGI KEEMPAT: MENINGKATKAN KESEJAHTERAAN DAN KUALITI HIDUP RAKYAT Meringankan Beban Kewangan Rakyat 78. Sejak pertengahan tahun 2004, harga minyak mentah telah meningkat secara mendadak di pasaran dunia. Harga antarabangsa telah mencecah 71 dolar Amerika Syarikat setong pada 29 Ogos 2005 berbanding 37 dolar Amerika Syarikat setong pada bulan Jun 2004, berikutan permintaan yang semakin meningkat, terutamanya daripada negara China, India dan Amerika Syarikat. Di samping itu, kebimbangan mengenai bekalan, ketegangan geopolitik di beberapa negara pengeluar utama dan cuaca buruk di Teluk Mexico turut menyebabkan peningkatan harga. 79. Kerajaan amat prihatin terhadap kesan lonjakan harga minyak mentah antarabangsa ke atas harga domestik. Kerajaan terus memberi pengecualian cukai jualan dan subsidi ke atas minyak petrol, diesel dan gas memasak untuk mengurangkan beban rakyat. Tanpa pengecualian cukai dan subsidi, harga minyak petrol tempatan akan melonjak sehingga 2 ringgit 80 sen seliter, diesel 2 ringgit 15 sen seliter dan gas memasak 2 ringgit 50 sen sekilogram. Harga ini adalah hampir 70 peratus lebih tinggi daripada harga runcit semasa. Kerajaan kehilangan hasil cukai dan menanggung subsidi berjumlah 16 bilion ringgit pada tahun ini. Tahap ini adalah lebih tiga kali ganda daripada 6.6 bilion ringgit pada tahun 2003 dan hampir satu setengah kali ganda daripada jumlah 11.9 bilion ringgit pada tahun 2004. 80. Selain pemberian subsidi harga petroleum oleh Kerajaan, Petronas juga memberi subsidi harga gas bagi penjanaan elektrik berjumlah 9 bilion ringgit. Oleh itu, jumlah subsidi Kerajaan pada tahun ini adalah sebanyak 25 bilion ringgit atau seribu ringgit bagi setiap warga Malaysia. 81. Adalah jelas Kerajaan telah melindungi pengguna daripada peningkatan tinggi harga petroleum. Bagi tempoh 2 tahun, iaitu 2004 dan 2005, Kerajaan telah menanggung bebanan sebanyak 80 peratus daripada kenaikan harga yang berlaku, berjumlah 15 bilion ringgit, melalui kehilangan hasil cukai dan pemberian subsidi. 82. Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan beban kewangan yang ditanggung oleh rakyat dapat diringankan, terutamanya golongan berpendapatan rendah. Pada 7 September lalu, saya telah mengumumkan bahawa Kerajaan tidak akan menaikkan harga petrol, diesel dan gas memasak dalam tahun 2005, tidak menaikkan bayaran tol sehingga penghujung 2006 dan mengurangkan cukai jalan berkuatkuasa 12 September 2005. 83. Cukai jalan ke atas kenderaan diesel adalah lebih tinggi daripada petrol, kecuali di Sarawak. Berkuatkuasa 12 September 2005, cukai jalan bagi kenderaan komersil, yang kebanyakannya adalah kenderaan diesel, serta kenderaan persendirian berkapasiti 1,600 cc dan ke bawah, telahpun dikurangkan. Sebagai tambahan, saya mencadangkan supaya cukai jalan ke atas kenderaan diesel persendirian yang melebihi 1,600 cc dikurangkan sebanyak 40 peratus, kecuali bagi Sarawak, berkuatkuasa 5 Oktober 2005. 84. Saya juga telah menyatakan bahawa Kerajaan akan menambah bantuan kepada golongan kurang bernasib baik. Sehubungan ini, saya ingin mengumumkan bahawa kadar bantuan untuk warga tua daif akan dinaikkan daripada 135 ringgit sebulan kepada 200 ringgit sebulan. Kadar bantuan kanak-kanak yatim dan miskin akan ditingkatkan daripada 80 ringgit sebulan bagi seorang kanak-kanak kepada 100 ringgit sebulan. Bantuan maksimum sekeluarga dinaikkan daripada 350 ringgit sebulan kepada 450 ringgit sebulan. Membasmi Kemiskinan 85. Kerajaan komited untuk membasmi kemiskinan di kalangan rakyat, dan memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan lagi taraf dan kualiti hidup golongan berpendapatan rendah. Ini termasuk program kemudahan perumahan kos rendah, kesihatan, pendidikan dan infrastruktur serta juga program khusus bagi mereka yang kurang upaya dan kurang bernasib baik. Peruntukan sebanyak 700 juta ringgit akan digunakan untuk tujuan berikut: Pertama: Skim Pembiayaan Ekonomi Desa, latihan dan bimbingan usahawan, pemasaran dan promosi serta khidmat sokongan perniagaan untuk membantu meningkatkan pendapatan rakyat luar bandar, termasuk golongan termiskin; Kedua: Program Bantuan Rumah untuk menyedia dan membaik pulih 4 ribu buah rumah kepada rakyat termiskin di luar bandar; Ketiga: menambahbaik Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) KEMAS; Keempat: menaik taraf dan ubahsuai sekolah luar bandar, terutamanya di Sabah dan Sarawak; Kelima: membekalkan elektrik kepada hampir 550 buah sekolah dan air kepada 260 buah sekolah. Apabila projek ini siap, kita akan mencapai liputan sepenuhnya bekalan elektrik dan air kepada semua sekolah; dan Keenam: program meningkatkan taraf hidup Orang Asli dengan peruntukan sebanyak 104 juta ringgit. 86. Dalam usaha meningkatkan kebajikan kanak-kanak di luar bandar melalui penyediaan makanan yang berkhasiat dan seimbang, bantuan kepada TABIKA di bawah KEMAS akan dinaikkan daripada 60 sen kepada satu ringgit lima puluh sen sehari bagi setiap murid. Selain itu, sebanyak 10 juta ringgit disediakan untuk Program Tambahan Makanan Seimbang yang akan dapat memanfaatkan 20 ribu isirumah miskin tegar di luar bandar. Kerajaan juga akan meneruskan usaha menambah kemudahan membaca bagi murid-murid sekolah di luar bandar. Program Khas Perpustakaan Desa yang telah diperuntukkan sebanyak 30 juta ringgit bagi penyediaan 200 perpustakaan pada tahun 2005, akan ditambah 85 juta ringgit untuk membina 400 perpustakaan desa dan tambahan bahan bacaan dalam tahun 2006. Rumah Selesa Keluarga Bahagia 87. Kerajaan akan terus meningkatkan usaha penyediaan rumah kepada golongan berpendapatan rendah. Untuk tujuan ini, sebanyak 2.1 bilion ringgit akan disediakan. Daripada jumlah ini, satu bilion ringgit ialah bagi menyediakan 21,600 unit rumah kos rendah, yang meliputi program Perumahan Rakyat Dimiliki, Program Perumahan Rakyat Disewa serta Program Perumahan Rakyat Bersepadu. 88. Kerajaan akan menyediakan lebih banyak kuarters untuk guru dan anggota beruniform, seperti tentera, polis, bomba dan kastam. Sebanyak 1.1 bilion ringgit akan diperuntukkan bagi penyediaan 26 ribu unit kuarters dalam tahun 2006. Selain itu, Kerajaan akan melaksanakan projek kuarters PDRM yang mempunyai 3 bilik di seluruh negara bernilai 2.5 bilion ringgit. Projek ini akan dibiayai mengikut kaedah build-lease-transfer. Pembinaan akan dilaksanakan oleh kontraktor Bumiputera, khasnya kontraktor kecil setempat. 89. Usaha menggalakkan penggunaan Industrialised Building System (IBS) akan diteruskan supaya objektif mengurangkan pergantungan kepada tenaga kerja kurang mahir serta pekerja asing dapat dicapai. Dalam Bajet ini, saya mencadangkan perbelanjaan modal ke atas pembelian acuan untuk pengeluar komponen IBS diberi elaun modal dipercepatkan untuk dituntut dalam tempoh 3 tahun. Langkah ini akan dapat mengurangkan kos komponen binaan seperti tiang, rasuk, dinding dan lantai. Kerajaan akan memastikan komponen IBS yang digunakan mematuhi Piawaian Malaysia MS 1064. Penggunaan piawaian ini akan memastikan kualiti dan mengawal kos pembinaan. Menerap Nilai Murni Kekeluargaan 90. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan diperuntukkan sebanyak 488 juta ringgit untuk meneruskan usaha membantu kaum wanita, institusi kekeluargaan, orang kurang upaya, warga emas dan ibu tunggal. 91. Pada masa ini, pilihan tuntutan pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah ke atas sebuah rumah diberikan kepada suami, walaupun rumah tersebut dimiliki oleh isteri. Bagi memastikan layanan cukai yang lebih saksama, Kerajaan mencadangkan pilihan tuntutan pengecualian cukai ini diberi kepada pemilik rumah, sama ada suami atau isteri. Berbanding hanya satu tuntutan yang dibenarkan dibuat oleh pasangan suami isteri pada masa ini, Kerajaan mencadangkan untuk membenarkan suami dan isteri masing-masing menuntut pengecualian cukai ini sekali dalam seumur hidup. Memartabatkan Kebudayaan Warisan Bangsa 92. Kerajaan menyedari pentingnya mengekalkan warisan seni dan budaya memandangkan negara mempunyai masyarakat yang berbilang kaum, tradisi dan adat istiadat. Bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia melibatkan diri dalam usaha penghasilan seni, Kerajaan mencadangkan: i. Pertama, pengecualian cukai ke atas royalti atau bayaran daripada penerbitan hasil karya seni atau rakaman disk dan pita dinaikkan daripada 6 ribu ringgit setahun kepada 10 ribu ringgit setahun; ii. Kedua, pengecualian duti import dan cukai jualan diperluaskan kepada peralatan yang digunakan dalam industri seni persembahan; dan iii. Ketiga, pendapatan yang diterima oleh tenaga pakar bukan pemastautin yang melatih rakyat Malaysia dalam seni persembahan dan penghasilan kraf serta bidang teknikal yang berkaitan dengannya, dikecualikan daripada cukai pegangan. 93. Skim Perantisan Warisan di bawah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia akan dipertingkatkan supaya lebih ramai generasi muda menjadi perantis kepada pengamal sesuatu kepakaran dalam kebudayaan dan kesenian, termasuk ukiran dan tenunan. Di samping itu, program Tunas Mekar yang menggandingkan mereka yang telah mempunyai pengetahuan dan pelajaran dalam bidang pengurusan, akaun dan perniagaan dengan pengamal kraf berkepakaran dan PKS akan dipertingkatkan. Gandingan tersebut dapat melahirkan produk yang menepati citarasa sezaman, menyuntik teknologi dan memodenkan industri kecil dan sederhana serta meningkatkan kebolehpasaran produk. Menggalakkan Gaya Hidup Sihat 94. Menggalakkan gaya hidup sihat akan terus menjadi fokus penting Kerajaan. Bagi tahun 2006, peruntukan pembangunan bagi Kementerian Kesihatan adalah sebanyak 1.3 bilion ringgit, yang antara lain meliputi 85 juta ringgit bagi menyiapkan pembinaan hospital di Alor Setar dan Cameron Highlands dan 229 juta ringgit bagi pembinaan dan naik taraf klinik di seluruh negara. Selain itu, makmal dan peralatan di hospital akan dipertingkatkan dengan peruntukan sebanyak 131 juta ringgit. 95. Untuk mendorong rakyat mengamalkan gaya hidup sihat, Kerajaan mencadangkan supaya cukai ke atas minuman keras dan rokok dinaikkan. Pada keseluruhannya, purata kenaikan cukai bagi minuman keras adalah sebanyak 9 peratus manakala bagi rokok adalah sebanyak 13 peratus. 96. Bagi membendung masalah sosial seperti penagihan dadah, AIDS dan jenayah, PEMADAM akan mengkaji semula kaedah pemulihan penagih dan memperkemaskan program di pusat pemulihan. Kempen yang lebih agresif akan dijalankan oleh kerajaan negeri, badan bukan Kerajaan (NGO) dan individu bagi memerangi penyalahgunaan dadah. 97. Bagi meneruskan program pencegahan, rawatan dan pemulihan serta pengurusan 29 pusat serenti, sebanyak 207 juta ringgit diperuntukkan bagi Agensi Antidadah Kebangsaan. 98. Jumlah kes positif HIV/AIDS telah meningkat kepada 65 ribu orang pada tahun ini. Untuk mengatasi masalah ini, satu panel penasihat akan ditubuhkan di Kementerian Kesihatan dengan anggota daripada NGO, termasuk Majlis AIDS Malaysia dan PENGASIH dan agensi Kerajaan. Panel ini akan, antara lain, membantu menggubal pelan tindakan bersepadu bagi menangani HIV/AIDS, termasuk menjalankan lebih banyak program kesedaran dan pencegahan serta menyediakan program bagi pesakit HIV/AIDS. 99. Untuk memastikan golongan muda mengisi masa lapang dengan lebih produktif, lebih banyak aktiviti pembangunan komuniti akan diadakan, termasuk menghidupkan semula Rukun Tetangga di semua kawasan perumahan bagi membendung jenayah. Di samping itu, peruntukan sebanyak 101 juta ringgit disediakan untuk program Rakan Muda dan 600 juta ringgit untuk program Latihan Khidmat Negara. Seramai 95 ribu remaja pelbagai kaum akan dilatih dalam program Khidmat Negara bagi tahun 2006 berbanding 65 ribu dalam tahun ini. 100. Kerajaan menghargai sumbangan NGO yang menjalankan banyak aktiviti untuk menjayakan dasar dan program Kerajaan. Untuk membantu meneruskan kegiatan mereka, Kerajaan memperuntukkan sebanyak 138 juta ringgit, termasuk bagi badan kebajikan warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya serta persatuan sukan dan belia. UCAPAN BAJET TAHUN 2007 Oleh YAB DATO’ SERI ABDULLAH BIN HJ. AHMAD BADAWI PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN KETIKA MEMBENTANG RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN (2007) DI DEWAN RAKYAT PADA 1 SEPTEMBER 2006 MELAKSANAKAN MISI NASIONAL KE ARAH MENCAPAI WAWASAN NEGARA Tuan Yang DiPertua, Saya mohon mencadangkan supaya suatu Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2007 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua. PENDAHULUAN Bismillahir Rahmanir Rahim Allah s.w.t. menjanjikan rezeki kepada setiap makhluk yang dilahirkan ke dunia ini seperti yang terkandung di dalam surah Sabaa Ayat 39: "Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki- Nya di kalangan hamba-hamba-Nya dan Dia juga menyempitkan bagi (siapa yang dikehendaki-Nya). Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan (belanjakan), maka Allah akan menggantinya dan Dia-lah jua sebaik-baik pemberi rezeki.” 2. Sebagai khalifah di bumi Allah, manusia diamanahkan untuk menguruskan rezeki kurniaan ILAHI baik di daratan, di lautan mahupun di angkasa. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah s.w.t. kerana dengan izin dan rahmat dariNya juga, saya dapat membentangkan Bajet Negara bagi tahun 2007 di Dewan yang mulia ini bagi membolehkan kita mencapai matlamat pembangunan negara. Bajet ini adalah Bajet pertama, selepas Dewan ini meluluskan Rancangan Malaysia Kesembilan. 3. Kita kini berada di titik pertengahan tempoh pelaksanaan Wawasan 2020. Tempoh yang akan kita tempuhi ini penuh dengan pelbagai cabaran. Kita perlu memperkukuhkan tekad, bertindak cerdas lagi pantas, tekun lagi berdedikasi, dengan satu tujuan, menjamin pencapaian matlamat pembangunan negara dalam tempoh masa yang ditetapkan. Rancangan Malaysia Kesembilan telah memperkenalkan Misi Nasional dengan menggariskan lima teras utama dasar pembangunan negara untuk tempoh 15 tahun akan datang. Bajet 2007, bertemakan “Melaksanakan Misi Nasional Ke Arah Mencapai Wawasan Negara”, merupakan satu agenda tindakan untuk memacu pelaksanaan Misi Nasional ke arah merealisasikan Wawasan 2020. 4. Antara teras utama Misi Nasional ialah untuk membolehkan sektor swasta menerajui semula pembangunan ekonomi negara, serta mempergiatkan lagi sumber penjanaan pertumbuhan baru berintensif teknologi dan pengetahuan. Bajet 2007 akan menyediakan pelbagai insentif bagi merancakkan kembali peranan sektor swasta. Transformasi berterusan ke arah ekonomi berpaksikan teknologi dan pengetahuan, menuntut kepada tenaga kerja mahir yang mempunyai kompetensi bersesuaian dengan keperluan industri. Oleh itu, langkah akan diambil untuk meningkatkan lagi akses kepada sistem pendidikan dan latihan yang berkualiti di semua peringkat. 5. Langkah juga akan terus ditingkatkan untuk mengurangkan keadaan ketidakseimbangan sosioekonomi, terutamanya bagi mempastikan matlamat membasmikan kemiskinan tegar dicapai sepenuhnya menjelang 2010. Program pembangunan lima wilayah yang telah dikenalpasti untuk mengurangkan jurang antara bandar dan luar bandar, serta antara wilayah, akan dipesatkan pelaksanaannya. Selaras dengan komitmen Kerajaan untuk sentiasa menjamin kesejahteraan rakyat, program sosioekonomi untuk meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup akan dimantapkan. Penggubalan strategi dan program dalam Bajet 2007 akan diiringi dengan kesungguhan untuk melaksanakannya secara berkesan. Untuk ini, usaha mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam akan terus diperkukuhkan. PERKEMBANGAN EKONOMI NEGARA 6. Pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini dijangka terus kukuh dengan Keluaran Dalam NegerI Kasar (KDNK) dianggar berkembang pada kadar 5.8 peratus, satu pencapaian yang baik memandangkan kepada ketidaktentuan ekonomi global. Pelaburan swasta dijangka meningkat 10.1 peratus manakala penggunaan sektor swasta kekal kukuh pada kadar 7.1 peratus. Kecergasan kegiatan sektor swasta disokong, terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang terus menggalakkan. Ini dicerminkan oleh prestasi sektor pembuatan yang merupakan penyumbang utama pertumbuhan ekonomi, dengan kadar pertumbuhan 7.3 peratus. Prestasi sektor perkhidmatan juga terus kukuh dengan kadar pertumbuhan 5.7 peratus. 7. Pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan ini diiringi oleh kedudukan imbangan pembayaran negara yang lebih baik, paras tabungan dan tahap kecairan yang kekal tinggi, serta nilai ringgit yang semakin kukuh. Akaun semasa imbangan pembayaran negara dianggar mencatatkan lebihan 16.7 peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KNK), berikutan peningkatan 11 peratus pendapatan eksport barangan dan perkhidmatan. Tabungan negara terus tinggi pada paras 38.2 peratus daripada KNK yang membolehkan negara membiayai sebahagian besar pembangunan daripada sumber dalam negeri. Sebanyak 95 peratus jumlah pinjaman negara diperolehi daripada sumber dalam negeri. 8. Kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan bertambah kukuh berikutan peningkatan hasil, terutamanya hasil berkaitan petroleum, termasuk dividen Petronas, yang lebih tinggi. Ini membolehkan Kerajaan menambah perbelanjaan bagi terus menggalak dan menyokong aktiviti pertumbuhan ekonomi negara. Peningkatan hasil ini juga telah membolehkan defisit belanjawan Kerajaan Persekutuan terus berkurangan daripada 5.7 peratus pada tahun 2000 dan 3.8 peratus pada tahun 2005 kepada 3.5 peratus daripada KDNK pada tahun semasa. 9. Pertumbuhan ekonomi yang kukuh membolehkan rakyat terus menikmati kualiti hidup yang tinggi. Pendapatan per kapita telah meningkat daripada 18,040 ringgit pada tahun 2005 kepada 19,740 ringgit pada tahun 2006. Dari segi kuasa beli pariti, ianya juga meningkat daripada 10,610 dolar Amerika kepada 11,870 dolar dalam tempoh yang sama. 10. Prospek ekonomi global bagi tahun 2007 dijangka lebih sederhana, disebabkan kesan daripada harga minyak yang kekal tinggi, tekanan inflasi yang semakin meningkat, kadar faedah yang lebih tinggi dan ketegangan geopolitik. Pertumbuhan ekonomi dunia dijangka berkembang lebih perlahan, pada kadar 4.7 peratus pada tahun 2007 berbanding 4.9 peratus pada tahun 2006, sementara perdagangan global pada kadar 7.5 peratus berbanding 9.6 peratus dalam tempoh yang sama. Perkembangan ini akan turut mempengaruhi pertumbuhan ekonomi negara di rantau ini, termasuk China, Singapura, Thailand dan India yang diramalkan mencatat pertumbuhan lebih perlahan. 11. Keadaan global ini sudah tentunya mempengaruhi prospek pertumbuhan ekonomi negara. Oleh itu, dalam Bajet 2007, Kerajaan akan melaksanakan dasar fiskal berkembang, di samping langkah untuk merancakkan lagi kegiatan sektor swasta. Dengan sokongan padu rakyat untuk menjayakan pelaksanaan strategi dan program dalam Bajet 2007, saya yakin pertumbuhan ekonomi negara akan terus kukuh. KDNK dijangka meningkat enam peratus pada tahun hadapan. Pelaburan swasta dijangka bertambah mantap dengan pertumbuhan 10.5 peratus. Pelaburan awam juga dijangka terus berkembang pada kadar lapan peratus, berikutan peningkatan ketara 32.4 peratus pelaburan Kerajaan Persekutuan. 12. Sektor pembuatan akan terus mencatatkan pertumbuhan kukuh 6.8 peratus, sementara sektor perkhidmatan, termasuk ICT, pelancongan dan pendidikan, dijangka meningkat enam peratus. Sektor pertanian dijangka berkembang pada kadar 4.7 peratus setahun sementara sektor pembinaan semakin berkembang pada kadar 3.7 peratus pada tahun 2007. 13. Kerajaan sentiasa prihatin akan kesan peningkatan harga, terutamanya kepada golongan yang berpendapatan rendah. Kita bernasib baik kerana terus menikmati kestabilan harga, dengan kadar inflasi rendah di bawah dua peratus bagi tempoh 2000 hingga 2004. Sungguhpun, kesan peningkatan harga minyak telah menyebabkan Indeks Harga Pengguna meningkat ke paras tiga peratus pada tahun 2005 dan 3.9 peratus pada tujuh bulan pertama 2006, namun ianya lebih rendah berbanding beberapa negara lain di rantau ini. 14. Untuk mempastikan kadar inflasi dapat dibendung, Kerajaan menanggung subsidi minyak dan kehilangan cukai dijangka berjumlah 19 bilion ringgit pada tahun ini, lebih tinggi daripada 16 bilion ringgit pada tahun 2005. Berasaskan andaian harga minyak dalam lingkungan 70 dolar Amerika setong pada tahun hadapan, jumlah subsidi minyak ini dijangka kekal 19 bilion ringgit. Antara usaha yang diambil Kerajaan untuk mempastikan paras harga terus stabil ialah mempertingkatkan penguatkuasaan ke atas harga barangan keperluan bagi mempastikan semua peniaga lebih bertanggungjawab dan tidak mengambil kesempatan menaikkan harga sewenang-wenangnya. 15. Harga beberapa komoditi lain telah mencatat peningkatan ketara, terutamanya harga kelapa sawit meningkat lebih setengah kali ganda, dan getah hampir tiga kali ganda semenjak tahun 2001. Alhamdulillah, pengeluar kelapa sawit dan getah, termasuk para pekebun kecil, kini, mendapat pendapatan lebih lumayan berikutan peningkatan harga bahan-bahan komoditi tersebut. Secara purata, peneroka kelapa sawit di kawasan FELDA memperoleh pendapatan 1,300 ringgit sebulan, berbanding 760 ringgit sebulan pada tahun 2000, manakala peneroka getah memperoleh 3,600 ringgit sebulan berbanding 720 ringgit sebulan dalam tempoh yang sama. Memandangkan harga komoditi dijangka kekal tinggi di tahun hadapan, peneroka kelapa sawit dan getah, InsyaAllah, akan terus menikmati pendapatan lumayan. OBJEKTIF BAJET 2007 16. Misi Nasional yang merupakan rangka pembangunan bagi tempoh 15 tahun akan datang, menumpukan kepada usaha mencapai Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju. Objektif utama Bajet 2007 ialah untuk mempastikan Misi Nasional diterjemahkan kepada program dan projek yang dapat dilaksanakan segera dan dengan lebih berkesan. Misi Nasional telah dirangka berlandaskan kepada lima teras utama, seperti berikut: Pertama: Meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi; Kedua: Meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk ‘minda kelas pertama’; Ketiga: Menangani masalah ketidakseimbangan sosioekonomi yang berterusan secara membina dan produktif; Keempat: Meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup; dan Kelima: Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan. PERUNTUKAN BAJET 2007 17. Kerajaan akan mempastikan perbelanjaan sektor awam terus menyokong dan menjana pertumbuhan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi, membina modal insan yang mahir dan berpengetahuan, di samping memberi penekanan kepada program sosioekonomi, terutamanya peningkatan taraf dan kualiti hidup rakyat. Untuk ini, saya mencadangkan 159.4 bilion ringgit diperuntukkan bagi Bajet 2007. Daripada jumlah tersebut, 112.9 bilion ringgit adalah bagi Peruntukan Mengurus, peningkatan 11.6 peratus berbanding peruntukan tahun 2006, dan 46.5 bilion ringgit disediakan bagi Peruntukan Pembangunan, peningkatan 31 peratus. 18. Hasil Kerajaan Persekutuan dijangka meningkat 11.8 peratus kepada 134.8 bilion ringgit. Daripada jumlah ini, hampir 40 peratus atau 53.7 bilion ringgit merupakan hasil berkaitan petroleum, terutamanya dividen daripada Petronas dan cukai pendapatan petroleum. Peningkatan ketara ini telah membolehkan Kerajaan Persekutuan terus melaksanakan dasar fiskal yang mengembang bagi menyokong kegiatan ekonomi dalam negara, dan pada masa yang sama, dapat mengurangkan lagi defisit belanjawan kepada paras yang lebih mampan, iaitu 3.4 peratus daripada KDNK tahun 2007. 19. Di bawah Peruntukan Mengurus, sejumlah 60 bilion ringgit atau 53.1 peratus adalah bagi Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, 25.8 bilion ringgit untuk Emolumen, 23.1 bilion ringgit bagi Perkhidmatan dan Bekalan, 2.1 bilion ringgit untuk Pembelian Aset dan 1.9 bilion ringgit untuk perbelanjaan lain. 20. Bagi Peruntukan Pembangunan pula, jumlah terbesar, 20.8 bilion ringgit, diperuntukkan kepada sektor ekonomi, terdiri daripada sektor pertanian, perindustrian dan infrastruktur. Sektor sosial diperuntukkan 14.2 bilion ringgit, merangkumi pendidikan, kesihatan dan perumahan. Sektor keselamatan pula diperuntukkan 6.8 bilion ringgit, sementara pentadbiran, 2.7 bilion ringgit, dan simpanan luar jangka, dua bilion ringgit. TERAS PERTAMA: MENINGKATKAN EKONOMI DALAM RANTAIAN NILAI LEBIH TINGGI Sektor Swasta Sebagai Peneraju Pembangunan Ekonomi 21. Gandingan mantap Kerajaan dan sektor swasta merupakan prasyarat bagi menjayakan pelaksanaan Misi Nasional. Sektor swasta perlu terus menjadi pemangkin dan peneraju pertumbuhan ekonomi negara. Kerajaan terus komited menyediakan persekitaran kondusif untuk merangsang aktiviti sektor swasta supaya lebih dinamik. Selaras dengan hasrat Kerajaan meningkatkan lagi daya saing sektor swasta, adalah penting cukai yang dikenakan terus kompetitif dan insentif cukai ditambah baik serta lebih fokus. 22. Untuk menggalakkan pihak swasta meningkatkan lagi pelaburannya, Kerajaan mencadangkan kadar cukai korporat dikurangkan secara berperingkat sebanyak dua mata peratusan. Bagi tahun taksiran 2007, cukai korporat akan dikurangkan kepada 27 peratus, dan, bagi tahun taksiran 2008, akan dikurangkan lagi kepada 26 peratus. Sungguhpun langkah ini akan melibatkan kehilangan hasil yang besar, namun Kerajaan yakin pengurangan ini akan memberi kesan yang positif ke atas ekonomi negara. 23. Seterusnya, Kerajaan juga telah mengkaji beberapa pemberian galakan serta layanan cukai untuk mengurangkan lagi kos kendalian perniagaan. Berikutan itu, Kerajaan mencadangkan: Pertama: syarikat modal teroka yang melabur sekurang-kurangnya 50 peratus daripada dana pelaburannya dalam pembiayaan seed capital diberi pengecualian cukai pendapatan selama 10 tahun; Kedua: pengenaan penalti cukai pegangan dipinda daripada berasaskan jumlah bayaran keseluruhan kepada cukai pegangan yang belum dibayar; dan Ketiga: untuk mengurangkan beban cukai koperasi dan badan amanah, bayaran zakat perniagaan diberi potongan cukai sehingga 2.5 peratus daripada pendapatan agregat. 24. Pentadbiran cukai yang cekap juga penting untuk menjamin kelancaran dan keberkesanan segala dasar dan strategi pembangunan negara. Dalam mematuhi perundangan percukaian, pentadbiran cukai hendaklah mudah dan telus serta perlu mesra perniagaan dan pelanggan. Garis panduan percukaian juga akan dipermudahkan dan ketidakpastian dalam undang-undang dijelaskan. Sehubungan itu, Kerajaan mencadangkan: Pertama: Tribunal Kastam ditubuhkan untuk mempertimbangkan rayuan terhadap keputusan yang dibuat oleh Ketua Pengarah Kastam; Kedua: Kastam DiRaja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerbitkan advance tax rulings bagi kepastian layanan cukai dan ketelusan pentadbiran cukai; Ketiga: LHDN menyediakan garis panduan rangka kerja audit dan siasatan bertujuan menjelaskan bidang tugas pegawai LHDN dan tanggungjawab pembayar cukai; dan Keempat: tempoh layak menuntut pulang balik cukai jualan dan cukai perkhidmatan berkaitan hutang lapuk dipendekkan daripada 12 bulan kepada enam bulan, selepas tarikh cukai berkenaan dibayar, bagi memperbaiki kedudukan aliran tunai syarikat. 25. Kerajaan memandang serius kes under declaration dan penyeludupan barangan berduti tinggi seperti kereta, rokok dan minuman keras. Sehubungan itu, Kerajaan mencadangkan, bagi kes seperti ini, kompaun minimum ditetapkan lima kali ganda daripada jumlah cukai terlibat. Di samping itu, kapasiti penguatkuasaan Kastam akan diperkukuhkan lagi dengan menambah bilangan pegawai penguatkuasa. Saya juga ingin menyarankan supaya pihak swasta tampil bersama dengan pihak Kerajaan untuk mengatasi masalah penyeludupan. 26. Selaras dengan dasar untuk memantapkan lagi perkongsian awam-swasta, Kerajaan kini giat memperluaskan pelaksanaan projek Inisiatif Pembiayaan Swasta (Private Financing Initiatives – PFI) bagi merangsangkan lagi pelaburan swasta. Kerajaan telah mengenalpasti projek bernilai 20 bilion ringgit yang akan dilaksanakan secara bina, pajak dan pindah (build, lease and transfer – BLT). Pembiayaan diperolehi daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) yang akan memiliki aset yang dibina untuk disewa balik kepada Kerajaan. Antara projek yang telah dikenalpasti termasuk sekolah, kuarters dan pejabat Kerajaan. 27. Selain daripada itu, satu Tabung Kemudahan PFI (PFI Facilitation Fund) bernilai lima bilion ringgit disediakan, bertujuan memberi sokongan kepada projek yang dikenalpasti oleh sektor swasta yang mempunyai kesan spin off yang meluas ke atas pertumbuhan ekonomi negara. Di bawah kaedah ini, pihak swasta akan menanggung sepenuhnya risiko projek, sementara Kerajaan hanya menyediakan sokongan kewangan untuk mempastikan viabiliti projek. Antara sokongan yang disediakan, termasuk menaja penuntut ke institusi pelajaran tinggi swasta, menyediakan tapak projek dan membangunkan keperluan infrastruktur. Kerajaan juga boleh menimbang untuk membeli atau menyewa bangunan di kawasan bandar baru yang dibina oleh pihak swasta, bagi mempastikan daya maju projek. Menjana Sumber Kekayaan Baru Dalam Sektor Intensif Teknologi Dan Pengetahuan 28. Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada penggunaan teknologi tinggi dan pembangunan industri yang mempunyai nilai tambah tinggi. Selaras dengan itu, sektor yang berpotensi tinggi, seperti ICT, bioteknologi, pertanian moden, industri halal, produk pelancongan dan kewangan Islam akan terus dimajukan. Mengkomersilkan Sektor Pertanian 29. Sektor pertanian memerlukan transformasi untuk menjadi sektor yang moden, komersil dan berdaya saing. Langkah perlu ditumpukan kepada pengkomersilan hasil R&D, penggunaan teknologi moden dan memperbaiki lagi rantaian bekalan. Di samping itu, kita juga perlu memanfaatkan kekayaan biodiversiti negara dengan membangunkan kegiatan bernilai tinggi, seperti bioteknologi dan biofarmaseutikal. 30. Dalam Bajet 2007, Kerajaan menyediakan peruntukan 3.6 bilion ringgit untuk sektor pertanian, terutamanya bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan pengeluaran hasil pertanian serta menambah keupayaan pemasaran. Sebahagian besar daripada peruntukan ini akan digunakan untuk: Pertama: menambah 300 juta ringgit lagi dalam Tabung Makanan, menjadikan keseluruhan Tabung berjumlah 1.9 bilion ringgit, bagi membiayai aktiviti pengeluaran makanan. Sehingga kini, 1.6 bilion ringgit telah diluluskan kepada 9,800 peminjam; Kedua: mewujudkan Skim Kredit Pertanian Bukan Makanan, dengan peruntukan permulaan sebanyak 20 juta ringgit, bagi menggalakkan petani menceburi bidang pertanian bukan makanan, seperti bunga-bungaan dan kenaf; Ketiga: melaksanakan pelbagai projek ternakan melalui Jabatan Haiwan, LPP, MADA dan KADA, dengan peruntukan sebanyak 111 juta ringgit. Dalam usaha meningkatkan pengeluaran daging negara, projek Beef Valley di Gemas, Negeri Sembilan akan dilaksanakan, dengan peruntukan 40 juta ringgit; dan Keempat: membangunkan industri akuakultur, termasuk Projek Kluster Ikan Hiasan di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis serta Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar di Negeri Sembilan, dengan peruntukan 92 juta ringgit. Projek akuakultur lain akan dibangunkan di seluruh negara. 31. Beberapa kegiatan sektor pertanian kini tidak lagi merupakan kegiatan yang berdaya maju, seperti penanaman tembakau, terutamanya di Kelantan. Oleh itu, adalah wajar bagi petani dalam bidang berkaitan beralih kepada tanaman atau industri lain yang berpotensi menghasilkan pendapatan lebih tinggi. Untuk memudahkan peralihan ini, petani akan diberi akses kepada kemudahan pembiayaan, termasuk dari dana yang diuruskan di bawah Bank Pertanian. Memandangkan Kerajaan kini memberi tumpuan kepada beberapa projek besar dalam bidang pertanian, koperasi digalakkan untuk memainkan peranan dalam projek baru ini. Pengusaha projek-projek pertanian, khasnya di luar bandar, diseru memilih koperasi menjadi rakan kongsi. 32. Khazanah Nasional akan menubuhkan dana pertanian 200 juta ringgit yang akan disumbangkan secara bersama oleh Kerajaan, Khazanah Nasional dan sektor swasta. Dana ini akan digunakan untuk menyediakan modal teroka bagi membiayai projek pertanian baru menggunakan teknologi intensif. Di samping itu, Bank Negara Malaysia juga akan menyediakan satu lagi dana pertanian bernilai 200 juta ringgit untuk membiayai projek pertanian dan penternakan bersepadu. Memajukan Kegiatan Bioteknologi 33. Bioteknologi merupakan sumber pertumbuhan baru yang diberikan tumpuan. Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, saya telah mengumumkan beberapa inisiatif bagi pembangunan sektor bioteknologi. Bajet 2007 memperuntukkan 210 juta ringgit bagi pembangunan sektor bioteknologi. Antara program utama adalah menyediakan 60 juta ringgit matching grant bagi pemerolehan teknologi melalui Biotechnology Acquisition Programme, dan 30 juta ringgit lagi disediakan kepada syarikat R&D dan syarikat antarabangsa untuk tujuan pengkomersilan di bawah Biotechnology Commercialisation Fund. Di samping itu, 59 juta ringgit disediakan di bawah inisiatif R&D untuk genomics dan molecular biology, penghasilan produk pharmaceutical dan nutraceutical serta memajukan aktiviti agro-biotechnology. 34. Kerajaan telah menubuhkan Inno Bio Ventures untuk melabur dan memberi latihan dalam bidang bioteknologi. Bio Innovation Centre akan diwujudkan di Nilai, Negeri Sembilan untuk menyediakan kemudahan penempatan dan peralatan yang diperlukan oleh syarikat baru bioteknologi untuk mengkomersil dan menjalankan kegiatan pembuatan bio (bio-manufacturing activities), seperti biopharmaceutical dan medicine technology. 35. Bagi menggalakkan pelaburan baru dalam aktiviti bioteknologi, Kerajaan mencadangkan galakan baru dan galakan sedia ada ditambah baik, antaranya, seperti berikut: Pertama: syarikat bionexus diberi pengecualian cukai pendapatan selama 10 tahun bermula daripada tahun pertama syarikat memperolehi keuntungan; Kedua: selepas tempoh pengecualian cukai 10 tahun, syarikat bionexus dikenakan cukai pada kadar konsesi 20 peratus bagi 10 tahun lagi; Ketiga: potongan cukai bersamaan dengan pelaburan dalam bentuk seed capital dan early stage kepada syarikat atau individu yang melabur dalam syarikat bionexus; Keempat: syarikat bionexus yang melakukan pengabungan dan pengambilalihan dengan syarikat bioteknologi diberi pengecualian duti setem dan cukai keuntungan harta tanah dalam tempoh lima tahun; dan Kelima: bangunan yang digunakan untuk aktiviti penyelidikan berkaitan bioteknologi diberi Elaun Bangunan Industri Dipercepatkan di mana kos pembinaan atau pembelian bangunan dihapuskira dalam tempoh 10 tahun. Melonjakkan Industri Halal Ke Peringkat Global 36. Negara berpotensi menerajui industri halal di peringkat global. Untuk memajukan lagi inisiatif mempertingkatkan kegiatan industri halal, Perbadanan Kemajuan Industri Halal akan ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan geran pelancaran 25 juta ringgit. Perbadanan ini akan menyelaras dan mempastikan segala usaha memajukan industri halal dilaksanakan secara bersepadu lagi menyeluruh. Perbadanan ini akan menyelaras usaha-usaha mengemaskini piawaian halal, membangunkan industri halal tempatan, mempromosi produk dan perkhidmatan halal Malaysia di pasaran dunia serta menyokong pelaburan di dalam sektor halal Malaysia. Malaysian International Halal Showcase (MIHAS) serta World Halal Forum 2006 yang telah mendapat sambutan memberangsangkan akan diteruskan sebagai acara tahunan. 37. Peruntukan 50 juta ringgit disediakan untuk menyediakan tapak Taman Halal (Halal Park) di Pasir Mas, Kelantan; Gambang, Pahang; Cendering, Terengganu dan Padang Besar, Perlis. SME Bank diperuntukkan 20 juta ringgit untuk memberi pinjaman kepada usahawan yang membangunkan produk halal. Merancakkan Pembangunan ICT 38. Sebagai pemangkin utama kepada pembangunan, ICT akan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara. Bagi menerajui dan membangunkan lagi industri ICT negara, pembangunan Multimedia Super Corridor (MSC) akan dipesatkan. Usaha untuk mempromosikan industri shared services and outsourcing (SSO) telah berjaya meletakkan Malaysia tiga tahun berturut-turut, semenjak 2003, sebagai lokasi ketiga terbaik di dunia selepas India dan China. Sehingga ini, 78 syarikat luar negara, yang menjalankan aktiviti SSO dengan 19,500 tenaga kerja, telah beroperasi di negara ini. Melangkah ke hadapan, industri SSO akan terus dibangunkan, dengan memberi tumpuan kepada perkhidmatan bernilai tinggi, khususnya dalam bidang-bidang logistik dan perkhidmatan kewangan. 39. Peluasan kawasan MSC, termasuk ke Melaka dan Johor Bahru, telah menarik pelaburan baru dan menyumbang kepada pembinaan modal insan serta pembangunan kawasan baru. Cyberjaya akan terus dibangunkan selaras dengan matlamat menjadikannya hab ICT negara yang unggul. Infrastruktur sokongan dan kemudahan sosial akan disediakan, meliputi perumahan mampu milik, klinik kesihatan, sekolah antarabangsa serta kemudahan rekreasi bagi mempertingkatkan kualiti hidup di Cyberjaya. Saya difahamkan Kerajaan Negeri Selangor sedang berusaha mempercepatkan kelulusan pelan pembangunan dan penukaran kegunaan tanah untuk mempastikan pelaksanaan projek-projek ini dapat disegerakan. 40. MDeC disediakan 154 juta ringgit untuk menjalankan pelbagai aktiviti. Ini termasuk perkhidmatan yang lebih komprehensif merangkumi pendaftaran hingga operasi serta Program Pembangunan Industri Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi meningkatkan daya maju usahawan PKS yang berasaskan ICT. Tabung Pembangunan Industri Kandungan akan ditubuhkan, dengan peruntukan permulaan 25 juta ringgit, untuk menghasilkan aplikasi ICT. MIMOS diperuntukkan 162 juta ringgit bagi melaksanakan pelbagai program, termasuk Mobile Broadband Engines, aplikasi e-Pembelajaran dan R&D mengenai teknologi bahasa, terutamanya Bahasa Melayu. 41. Kerajaan komited untuk mengurangkan jurang digital di kalangan rakyat, terutamanya di kalangan mereka yang berpendapatan rendah di luar bandar. Pada masa ini, syarikat telekomunikasi dikehendaki menyumbang kepada Dana Penyedia Perkhidmatan Sejagat bagi menambah baik infrastruktur ICT di luar bandar. Dana tersebut diguna untuk membangunkan infrastruktur perkhidmatan telefoni asas dan internet sahaja. Untuk meningkatkan akses penduduk luar bandar kepada kemudahan ICT, skop penggunaan Dana ini akan diperluaskan kepada pembangunan infrastruktur jalur lebar ke luar bandar. 42. Manfaat perkembangan ICT perlu dinikmati oleh semua lapisan rakyat. Pada tahun 2005, kadar pemilikan komputer serta kadar penembusan jalur lebar di negara ini masih rendah, masing-masing pada 21.8 dan 1.9 bagi setiap seratus penduduk. Kadar ini adalah jauh lebih rendah berbanding negara maju. Untuk menggalakkan pemilikan komputer, tempoh layak menuntut galakan cukai bagi pembelian komputer yang kini diberi bagi setiap lima tahun, dipendekkan kepada setiap tiga tahun; manakala galakannya dalam bentuk rebat cukai 500 ringgit diubah kepada pelepasan cukai sebanyak 3,000 ringgit. Memperhebatkan R&D 43. Aktiviti R&D akan mengutamakan penyelidikan berorientasikan pengkomersilan hasil penemuan. Dalam hubungan ini, dua dana yang diumumkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan akan disediakan peruntukan permulaan. Dana Sains diperuntukkan 194 juta ringgit bagi penyelidikan sains asas dan gunaan, dan Dana Tekno diperuntukkan 354 juta ringgit bagi membiayai pengkomersilan projek penyelidikan. 44. Skim Geran MSC dengan peruntukan 20 juta ringgit akan diteruskan bagi membiayai R&D berasaskan industri ICT, terutamanya penghasilan produk baru yang berkualiti. Bagi R&D sektor pertanian, 193 juta ringgit diperuntukkan untuk agensi penyelidikan, termasuk MARDI, MPOB, Lembaga Koko Malaysia dan Lembaga Getah Malaysia. Mempromosikan Penjenamaan Produk 45. Persaingan di pasaran antarabangsa dan penglibatan aktif syarikat tempatan dalam rantaian pengeluaran global memerlukan keupayaan kita mengeluarkan produk dengan jenama sendiri yang menepati piawaian kualiti antarabangsa. Oleh itu, kita perlu lebih kreatif mewujudkan jenama yang boleh melambangkan keunikan keluaran Malaysia, terutamanya dari segi kelebihan teknikal dan penampilan produk. Menyedari pentingnya penjenamaan strategik kepada keluaran negara, Kerajaan mencadangkan galakan potongan dua kali ke atas perbelanjaan pengiklanan jenama Malaysia yang kini diberi kepada syarikat pemilik jenama diperluaskan kepada satu syarikat dalam kumpulan yang sama yang melakukan perbelanjaan pengiklanan. Menjadikan Sektor Perkhidmatan Lebih Dinamik 46. Sektor perkhidmatan kini memainkan peranan semakin penting memacu pertumbuhan ekonomi negara. Sumbangan sektor ini kepada KDNK merupakan yang tertinggi berbanding dengan sektor lain, meningkat daripada 47 peratus pada tahun 1990 kepada 54 peratus pada tahun 2000 dan 58 peratus pada tahun 2005. Sektor ini berpotensi untuk terus berkembang setanding dengan pencapaian negara maju, terutamanya dalam bidang pelancongan, kewangan, pendidikan, kesihatan dan telekomunikasi. Mempergiatkan Kewangan Islam 47. Alhamdulillah, Malaysia telah berjaya mencapai perkembangan pesat dalam perkhidmatan kewangan Islam, terutamanya dalam meningkatkan saiz pelaburan, kecekapan perkhidmatan, kepelbagaian produk, pemantapan infrastruktur dan juga peningkatan bilangan institusi. Kita telah menerbitkan sukuk pertama di dunia pada tahun 2002, yang telah berjaya menarik pelabur daripada seluruh dunia, khasnya daripada Asia Barat. Kita juga merupakan negara pertama di mana institusi supranasional telah menerbitkan bon Islam dalam Ringgit Malaysia. Insititusi yang berkenaan adalah International Finance Corporation dengan terbitan 500 juta ringgit dan Bank Dunia, dua bilion ringgit. Kini, Malaysia adalah penerbit bon Islam terbesar di pasaran modal global, bernilai 30 bilion dolar Amerika; merupakan lebih 70 peratus daripada terbitan global bernilai 41 bilion dolar Amerika. 48. Selaras dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai pusat utama kewangan Islam antarabangsa, Kerajaan mencadangkan: Pertama: pengecualian cukai pendapatan selama 10 tahun kepada semua entiti Perbankan Islam dan Takaful yang menjalankan aktiviti dalam mata wang asing, yang dilesenkan di bawah Akta Perbankan Islam 1983 dan Akta Takaful 1984; Kedua: pengecualian duti setem tambahan sebanyak 20 peratus diberi ke atas surat cara yang terlibat dalam pembiayaan kewangan Islam bagi tempoh tiga tahun. Pengecualian tambahan ini diberi selepas mempastikan tax neutrality antara pembiayaan kewangan konvensional dan Islam; Ketiga: pengecualian cukai pendapatan selama 10 tahun kepada pengurus dana tempatan dan asing yang mengurus dana Islam bagi pelabur asing; Keempat: pelepasan cukai individu ke atas yuran pengajian sehingga had maksimum lima ribu ringgit setahun diperluaskan kepada pengajian dalam bidang kewangan Islam di institusi pengajian tinggi, termasuk di International Centre for Education in Islamic Finance atau INCEIF; Kelima: potongan cukai ke atas perbelanjaan menubuhkan firma broker saham Islam; dan Keenam: potongan cukai ke atas perbelanjaan menerbitkan produk Islam dilanjutkan dari tahun taksiran 2008 hingga 2010. Mempelbagaikan Produk Pasaran Modal 49. Kita perlu mempelbagaikan lagi produk pasaran modal dengan memperkenalkan produk yang boleh menarik pelabur tempatan dan asing. Usaha ini penting, terutamanya memandangkan kepada dana yang besar dimiliki oleh pelabur di Asia Barat, yang dianggarkan satu trilion dolar Amerika. Satu daripada produk ini adalah Amanah Pelaburan Hartanah (REIT). Untuk ini, Kerajaan mencadangkan dividen yang diterima oleh pelabur individu tempatan dan asing serta unit amanah tempatan daripada REIT yang tersenarai dikenakan cukai pada kadar 15 peratus. Manakala pelabur institusi asing dikenakan cukai pada kadar 20 peratus. Galakan ini diberi selama lima tahun. Di samping itu, layanan cukai bagi REIT ditambah baik di mana pendapatan REIT yang tidak diagihkan dikecualikan cukai dengan syarat sekurang-kurangnya 90 peratus daripada pendapatannya diagihkan. Mempergiatkan Pelaburan Luar Negara 50. Memandangkan peluang terbuka luas, terutamanya di negara Asia, seperti China, India dan Asia Barat serta Afrika, Kerajaan akan terus menggalakkan syarikat tempatan melabur di luar negara. Kerajaan berhasrat mewujudkan lebih banyak syarikat bertaraf antarabangsa milik warga negara Malaysia yang bertapak di negara ini dan mempunyai operasi berskala besar di peringkat global. Bagi tujuan ini, Kerajaan telah memperkukuhkan EXIM Bank untuk memainkan peranan lebih penting menyediakan pembiayaan bagi syarikat tempatan melabur ke luar negara. Kerajaan telah menambah dua bilion ringgit menjadikan modal berbayar EXIM Bank bernilai 2.7 bilion ringgit. Dengan ini, jumlah pinjaman EXIM Bank dapat ditingkatkan daripada 3.7 bilion ringgit pada tahun 2005 kepada 6.5 bilion ringgit pada tahun 2006. 51. Bank Negara juga telah menyalurkan satu bilion ringgit kepada EXIM Bank bagi tujuan memberi pinjaman mudah kepada usahawan yang melabur di luar negara. Di samping itu, Kerajaan akan menubuhkan Dana Pelaburan Luar Negara (OIF), dengan peruntukan 100 juta ringgit untuk menyediakan pinjaman mudah kepada syarikat tempatan membiayai kos permulaan perniagaan di luar negara. 52. Bagi menggalakkan bank mengembangkan operasinya di luar negara dan mewujudkan kehadiran serantau, Kerajaan mencadangkan bank milik tempatan diberi pengecualian cukai lima tahun ke atas pendapatan yang diperoleh daripada cawangan atau remitan daripada subsidiari baru di luar negara yang beroperasi dalam tempoh tiga tahun mulai tahun taksiran 2007. Merealisasikan Potensi Pelancongan 53. Malaysia telah berjaya menarik ramai pelancong asing ke negara ini. Ketibaan pelancong meningkat 61 peratus, daripada 10.2 juta pada tahun 2000 kepada 16.4 juta pada tahun 2005. Pendapatan daripada industri pelancongan telah meningkat daripada 17.3 bilion ringgit pada tahun 2000 kepada 32 bilion ringgit pada tahun 2005. Sektor ini juga telah mewujudkan 451 ribu peluang pekerjaan. 54. Untuk terus mempertingkatkan lagi usaha menarik lebih ramai pelancong, Tahun Melawat Malaysia 2007 akan diadakan dengan tema “Menyambut 50 tahun Kenegaraan” (Celebrating 50 Years of Nationhood). Sejumlah 149 juta ringgit diperuntukkan bagi program tersebut. Untuk menjadikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelancongan menarik, kita perlu mempertingkatkan kemudahan dan mempelbagaikan produk pelancongan. Untuk ini, Kerajaan mencadangkan: Pertama: pengusaha pelancongan diberi pengecualian duti eksais sebanyak 50 peratus ke atas kenderaan pacuan empat roda yang dipasang dalam negara; Kedua: pengecualian cukai pendapatan bagi syarikat pelancongan yang mengendalikan sekurang-kurangnya 500 pelancong luar negara atau 1,200 pelancong domestik setahun dilanjutkan lima tahun lagi sehingga tahun taksiran 2011; dan Ketiga : pengecualian cukai pendapatan kepada pekerja bagi manfaat percutian dalam negara yang disediakan oleh majikan yang kini hanya diberi ke atas tambang perjalanan diperluaskan meliputi perbelanjaan penginapan dan makanan. Mencergaskan Sektor Pembinaan 55. Pertumbuhan sektor pembinaan mempunyai banyak kesan limpahan ke atas ekonomi negara. Sektor ini telah mengalami penguncupan semenjak tahun 2004. Walau bagaimanapun, sektor ini dijangka kembali pulih pada tahun ini. Perbelanjaan sektor awam, terutamanya bagi pembinaan kemudahan infrastruktur, perumahan dan bangunan, telah banyak memberi sumbangan kepada pertumbuhan sektor pembinaan. Pelaksanaan projek-projek Rancangan Malaysia Kesembilan, seperti pembinaan jalanraya, kuarters serta kemudahan infrastruktur lain, akan merancakkan semula kegiatan sektor pembinaan. Peruntukan pembangunan 27.5 bilion ringgit disediakan bagi pelbagai projek pembinaan pada tahun 2007. Di samping itu, empat bilion ringgit akan dibelanjakan untuk beberapa projek PFI dalam tahun 2007. 56. Untuk memupuk budaya penyelenggaraan, Kerajaan akan mempastikan infrastruktur dan kemudahan awam sentiasa diselenggara dengan baik. Bagi tujuan ini, Kerajaan terus menyediakan peruntukan satu bilion ringgit lagi bagi program penyelenggaraan bangunan dan kemudahan awam. Kerja-kerja penyelenggaraan ini akan ditawarkan kepada kontraktor kecil. 57. Untuk merancakkan lagi kegiatan di sektor ini, Kerajaan mencadangkan layanan cukai untuk sektor pembinaan ditambah baik, seperti berikut: Pertama: perbelanjaan oleh pemaju hartanah dalam tempoh defects liability atau warranty dibenarkan sebagai potongan daripada projek yang sama dan tidak hanya dibenarkan sebagai potongan daripada projek lain; dan Kedua: semua kerugian projek pada tahun terakhir dibenarkan ditolak daripada keuntungan sepanjang tempoh projek tahun-tahun terdahulu (carry back of losses). TERAS KEDUA: MENINGKATKAN KEUPAYAAN PENGETAHUAN DAN INOVASI NEGARA SERTA MEMUPUK ‘MINDA KELAS PERTAMA’ Meningkatkan Akses Kepada Sistem Pendidikan dan Latihan Berkualiti Di Semua Peringkat 58. Pembangunan modal insan merupakan prasyarat penting untuk memacu pertumbuhan rantaian ekonomi bernilai tinggi berpaksikan pengetahuan dan teknologi. Untuk memantapkan lagi sistem pendidikan dan latihan, sejumlah 33.4 bilion ringgit diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan, merupakan 21 peratus daripada keseluruhan Bajet 2007. Daripada jumlah ini, 6.7 bilion ringgit diperuntukkan bagi pendidikan rendah, 6.2 bilion ringgit bagi pendidikan menengah dan 10.4 bilion ringgit bagi pengajian tinggi serta 10.1 bilion ringgit lagi untuk program latihan. Memperkasakan Sekolah Rendah dan Menengah 59. Pada tahun 2007, jumlah enrolmen murid dijangka mncecah 3.2 juta di sekolah rendah dan 2.3 juta di sekolah menengah. Untuk menampung pertambahan murid ini, 22 buah sekolah rendah dan menengah baru akan mula beroperasi pada tahun hadapan, manakala 198 buah sekolah lagi akan dibina, termasuk sekolah menengah berasrama penuh. Untuk ini, hampir satu bilion ringgit telah diperuntukkan. Sementara itu, MARA memperuntukkan 90 juta ringgit untuk membina dua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) baru dan melengkapkan kemudahan MRSM sedia ada. Beberapa sekolah rendah dan menengah telah dikenalpasti untuk memberi penekanan kepada bidang khusus, seperti sains dan teknologi, teknikal dan vokasional, bahasa dan kesenian serta sukan. 60. Berikutan peningkatan nisbah guru bagi setiap bilik darjah, tumpuan akan diberikan kepada menambah baik kualiti guru. Untuk ini, 782 juta ringgit disediakan untuk latihan guru, termasuk Program Latihan Guru Pra Perkhidmatan dan Program Latihan Guru Dalam Perkhidmatan. Di samping itu, 56 juta ringgit disediakan bagi Program Latihan Guru yang dilaksanakan secara usahasama dengan universiti luar negara dan Universiti Terbuka Malaysia. Untuk melaksanakan 67 projek perumahan guru, 101 juta ringgit disediakan, terutamanya bagi mereka yang bertugas di luar bandar. 61. Untuk memperluaskan lagi penggunaan komputer di sekolah, 288 juta ringgit diperuntukkan di bawah Program Pembestarian Sekolah, melibatkan perolehan komputer dan peralatannya bagi Pusat Akses di seribu buah sekolah dan semua maktab perguruan. Untuk menggalakkan budaya membaca di kalangan pelajar sekolah, peruntukan tambahan disediakan untuk pembelian buku tambahan bagi pusat sumber sekolah. 62. Untuk menarik lebih ramai pelajar Cina dan India ke sekolah kebangsaan, Bahasa Cina dan Tamil sudahpun diajar di sesetengah sekolah kebangsaan. Walaupun begitu, matapelajaran ini diajar hanya untuk tujuan berkomunikasi. Mulai tahun 2007, Bahasa Cina akan diajar sebagai matapelajaran penuh di 150 buah sekolah kebangsaan, manakala Bahasa Tamil di 70 buah sekolah kebangsaan. Memartabatkan Institusi Pengajian Tinggi 63. Kerajaan akan menubuhkan Universiti Darul Iman Malaysia di Terengganu dan Universiti Darul Naim di Kelantan, serta menaik taraf Akademi Tentera Malaysia menjadi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Kerja-kerja pembinaan akan bermula pada awal tahun 2007. Sejumlah 195 juta ringgit juga disediakan untuk menaik taraf dan menambah baik kemudahan universiti sedia ada. 64. Bagi menambah bilangan profesional dan tenaga kerja yang memiliki kepakaran kritikal, Kerajaan akan menawarkan biasiswa tambahan kepada pelajar cemerlang untuk mengikuti kursus, seperti sains, farmasi, perubatan dan kejuruteraan di peringkat ijazah dan lepasan ijazah di universiti tempatan dan universiti terkemuka luar negara. Di samping itu, Kerajaan akan mempastikan pelajar yang memperolehi 10 A1 dalam peperiksaan SPM atau setaraf dengannya dan daripada keluarga yang mempunyai pendapatan bulanan 1,500 ringgit ke bawah, diberi biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah. Mempergiatkan Latihan Kemahiran 65. Program pembangunan kemahiran akan diperkukuhkan. Sehubungan ini, sejumlah 450 juta ringgit akan disediakan bagi pembinaan dan menaiktaraf politeknik dan kolej komuniti. Di bawah program latihan Kementerian Sumber Manusia, dua Institut Latihan Perindustrian dan empat Pusat Latihan Teknologi Tinggi akan dibina dengan peruntukan sebanyak 148 juta ringgit. Program latihan di bawah MARA disediakan 214 juta ringgit, termasuk bagi Institut Kemahiran MARA, Institut Latihan Kemahiran Tinggi, Program Giat MARA dan UniKL. Untuk terus memenuhi permintaan industri, program latihan berasaskan pengeluaran akan diperkenalkan di bawah German-Malaysia Institute dan British-Malaysia Institute. Di samping itu, Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) akan diperluaskan skopnya untuk melaksanakan program internship dan latihan bagi siswazah. 66. Untuk menggalakkan budaya membaca dan selaras dengan pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning), Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai ke atas pembelian buku dinaikkan daripada 700 ringgit kepada 1,000 ringgit setahun. Mengurangkan Graduan Menganggur 67. Data daripada Jabatan Perangkaan mendapati 31 ribu graduan lepasan ijazah masih menganggur pada akhir suku pertama tahun ini. Kerajaan prihatin terhadap kesukaran siswazah mendapat pekerjaan. Pelbagai program telahpun dilaksanakan bagi meningkatkan kemahiran siswazah mengganggur supaya memenuhi keperluan industri. Skim Latihan Graduan Pasaran Modal yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Sekuriti semenjak tahun 2002, bertujuan memberi pengalaman bekerja melalui skim perantis di syarikat perakaunan dan audit, syarikat broker saham dan juga syarikat tersenarai. Sehingga ini, sejumlah 517 graduan telah dilatih, dan sebahagian besarnya diserapkan oleh syarikat tersebut. Memandangkan Skim ini telah berjaya melengkapkan graduan dengan pengetahuan dan kemahiran industri, Suruhanjaya Sekuriti akan memperkembangkan program ini untuk melatih seribu graduan setiap tahun. Sehubungan itu, galakan potongan cukai dua kali ke atas elaun yang dibayar kepada peserta Skim Latihan Graduan Pasaran Modal diperluaskan kepada semua syarikat di bawah kawalan Suruhanjaya Sekuriti yang menyertai skim berkenaan. Di samping itu, galakan ini juga akan diberikan kepada syarikat tersebut yang melaksanakan skim latihan sendiri yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti. 68. Dalam usaha menambah tenaga kerja mahir dalam bidang ICT, Kerajaan akan mewujudkan program latihan kemahiran khusus yang dikendalikan oleh syarikat ICT terkemuka. Bagi tujuan ini, siswazah, terutamanya berkelulusan IT dan kejuruteraan, akan diberi latihan dalam program khas yang meliputi pengetahuan, kemahiran, penguasaan bahasa asing, komunikasi, kepimpinan dan sebagainya. Dengan latihan ini, siswazah akan dilengkapkan dengan kemahiran ICT untuk membolehkan mereka mendapat pekerjaan, di samping menyumbang kepada pembangunan sektor ICT. 69. Di samping itu, MDeC akan meneruskan program latihan kem kerja (job camp) bagi seribu siswazah menganggur dan Program Peningkatan Profesionalisme bagi lima ribu siswazah dalam tempoh setahun untuk memenuhi keperluan syarikat berasaskan ICT. Perbadanan Bioteknologi Malaysia juga akan melaksanakan program latihan bagi siswazah menganggur dalam bidang bio-life sciences. Sebagai permulaan, seramai 200 siswazah akan menjalani latihan di bawah program ini. 70. Selain itu, Bursa Buruh Elektronik (Electronic Labour Exchange) di Kementerian Sumber Manusia akan diperkukuhkan supaya lebih mudah diakses oleh pencari kerja. Unit ini akan dihubungkan dalam rangkaian kiosk pekerjaan yang akan ditempatkan di lokasi strategik, seperti pejabat pos, stesen LRT dan kompleks membeli belah. Memperkasa Wanita 71. Wanita merupakan sumber penting ekonomi negara. Aksesibiliti wanita kepada pendidikan dan latihan telah meningkatkan mobiliti mereka untuk mendapatkan pekerjaan lebih baik. Hari ini, kita bukan sahaja mempunyai ramai profesional dan usahawan wanita yang berjaya, kita juga berbangga dengan pencapaian wanita dalam beberapa bidang yang dahulunya dianggap bastion lelaki. Negara kini mempunyai calon angkasawan wanita, seorang wanita yang telah merentasi kutub selatan dan seorang ratu skuasy dunia. 72. Pada masa ini, Kerajaan menyediakan 20 juta ringgit pemberian bantuan khas tahunan untuk NGO melaksanakan program wanita, keluarga dan masyarakat. Untuk meningkatkan lagi peranan mereka, Kerajaan akan menambah jumlah bantuan khas ini kepada 30 juta ringgit. Di samping itu, untuk terus membantu kakitangan wanita yang bertugas di sektor awam, pemberian geran pelancaran one-off yang kini diberikan kepada kementerian untuk mewujudkan pusat jagaan kanak-kanak, diperluaskan lagi kepada semua jabatan Kerajaan, dan jumlahnya ditambah daripada 50 ribu ringgit kepada 80 ribu ringgit bagi setiap kementerian dan jabatan. Saya menggesa pihak swasta untuk memberi kemudahan yang sama kepada kakitangan wanita mereka. 73. Untuk meningkatkan lagi kesedaran mengesan kanser lebih awal, lebih ramai wanita digalakkan menjalani ujian saringan mamogram. Kerajaan akan memberi 50 ringgit subsidi bagi setiap ujian saringan yang dibuat di klinik dan hospital swasta yang berdaftar dengan LPPKN. Jumlah subsidi ini akan dapat menampung separuh daripada kos saringan. 74. Baru-baru ini, saya telah melancarkan program komuniti, bertujuan menggembleng tenaga dan kerja sukarelawan di kalangan masyarakat untuk melaksanakan aktiviti kemasyarakatan, termasuk oleh sektor korporat. Untuk menghargai mereka ini, beberapa program akan diadakan, termasuk Anugerah CSR Perdana Menteri, Anugerah Mayang dan Program Rangkaian Rakyat. Merintis Kejayaan Belia 75. Kerajaan akan meneruskan usaha bagi melahirkan golongan belia yang berdaya tahan serta mempunyai kemahiran keusahawanan dan berpengetahuan. Untuk melaksanakan pelbagai program belia dan sukan, 721 juta ringgit akan diperuntukkan. Bagi menggalakkan kegiatan sukan, pembinaan kompleks sukan komuniti akan diteruskan. Program sukan dan latihan atlet, termasuk biasiswa kepada atlet yang berpotensi, akan disediakan 91 juta ringgit. TERAS KETIGA : MENANGANI MASALAH KETIDAKSEIMBANGAN SOSIOEKONOMI YANG BERTERUSAN SECARA MEMBINA DAN PRODUKTIF Mengurangkan Jurang Antara Wilayah 76. Usaha pembangunan negara terus memberi penekanan ke arah merapatkan jurang pertumbuhan ekonomi antara wilayah serta antara bandar dan luar bandar. Bagi tujuan ini, Kerajaan telah mengenal pasti tiga koridor untuk dibangunkan. 77. Wilayah Ekonomi Koridor Utara meliputi Kedah, Perlis, Seberang Perai dan Perak Utara mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai kawasan pertanian komersil, industri asas tani dan industri teknologi tinggi. Sime Darby akan menerajui pelaksanaan beberapa projek baru untuk menyokong usaha pembangunan wilayah utara ini, termasuk mewujudkan kluster pertumbuhan bagi kegiatan ekonomi, khusus untuk pertanian komersil, industri berteknologi tinggi dan pelancongan. Sebagai langkah memperbaiki iklim pelaburan di negeri Perlis, dalam Bajet ini, Kerajaan mencadangkan Perlis diiktiraf sebagai satu kawasan di mana projek digalakkan yang ditempatkan di negeri tersebut akan menikmati tahap pengecualian cukai pendapatan yang lebih baik seperti mana projek yang ditempatkan di koridor timur Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. 78. Untuk merancakkan pertumbuhan di Koridor Pantai Timur yang merangkumi Kelantan, Terengganu dan Pahang, tumpuan khusus akan diberi kepada pelaksanaan projek pembangunan yang dapat menjana kegiatan ekonomi. Di samping itu, kawasan sempadan Pantai Timur, seperti Tok Bali-Besut dan Kemaman-Cherating juga akan dibangunkan. Petronas telah diberi peranan untuk menerajui pembangunan di Wilayah ini menjurus kepada industri hiliran berasaskan petrokimia, industri kraftangan dan pelancongan. 79. Kedudukan Wilayah Ekonomi Johor Selatan (SJER) yang strategik akan terus dimanfaatkan dengan memberi keutamaan kepada penyediaan perkhidmatan dan kemudahan berkualiti untuk menjadikan kawasan tersebut sebagai satu metropolis bertaraf dunia. Khazanah Nasional dipertanggungjawabkan menerajui usaha pembangunan di kawasan tersebut. Kerajaan telah menyediakan peruntukan pembangunan 2.3 bilion ringgit bagi negeri Johor pada tahun 2007; sebahagian besar daripadanya adalah untuk membangunkan projek infrastruktur di SJER. Bagi mendorong pembangunan industri utama di Wilayah tersebut, Kerajaan akan menubuhkan dana pelaburan strategik dengan peruntukan 200 juta ringgit. Dana tersebut akan digunakan bagi tujuan pelaburan secara usahasama dengan syarikat swasta untuk melonjakkan pelaburan dalam kluster industri baru, terutamanya dalam bidang pengajian tinggi swasta dan kesihatan. Kerajaan akan juga menggunakan kaedah PFI untuk menggalakkan pelaburan di Wilayah tersebut. 80. Bagi terus memajukan negeri Sarawak yang kaya dengan sumber semulajadi, Kerajaan akan melaksanakan pelbagai projek pembangunan, termasuk projek naik taraf Jalan Kuching-Sibu dari Simpang Julau ke Sibu, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, membina Jalan Sibu-Bawang-Assan-Seredeng, Pelabuhan Perikanan Laut Dalam Bersepadu Tanjung Manis dan kelompok industri berasaskan minyak kelapa sawit. 81. Kerajaan juga akan meningkatkan usaha bagi membangunkan lagi negeri Sabah supaya dapat mencapai tahap sosioekonomi yang lebih seimbang. Antara projek utama yang akan dijalankan adalah pembinaan Jalan Sapulut-Kalabakan, menaik taraf lapangan terbang Kota Kinabalu dan Labuan, menambah baik keretapi Sabah serta pembangunan industri kelompok berasaskan kelapa sawit. Pembangunan Luar Bandar 82. Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada pembangunan luar bandar supaya pengagihan kekayaan negara dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat dengan mempergiatkan pelaksanaan pelbagai program pembangunan di kawasan luar bandar, dengan peruntukan 3.4 bilion ringgit. Di antara program yang akan dilaksanakan adalah projek jalan luar bandar dan kampung dengan peruntukan 780 juta ringgit, bekalan air 251 juta ringgit dan bekalan elektrik 200 juta ringgit. Selain itu, KEMAS akan melaksanakan pelbagai program, termasuk pendidikan pra sekolah, kegiatan masyarakat dan latihan kemahiran dengan peruntukan 615 juta ringgit. Membasmi Kemiskinan 83. Kerajaan bertekad untuk menghapuskan kemiskinan tegar yang melibatkan 67 ribu isi rumah. Pada masa yang sama, Kerajaan juga berusaha untuk mengurangkan lagi kadar kemiskinan keseluruhan daripada 5.7 peratus pada 2004 kepada 2.9 peratus pada akhir Rancangan Malaysia Kesembilan. Sejumlah 578 juta ringgit diperuntukkan dalam Bajet 2007 bagi memesatkan pelaksanaan program dan projek pembasmian kemiskinan. Di antara program utama ialah: Pertama: Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat untuk golongan miskin dengan peruntukan 156 juta ringgit, meliputi Program Peningkatan Pendapatan, Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya, Program Kecemerlangan Pendidikan, Skim Amanah Saham Bumiputera Sejahtera dan Program Pembangunan Taska. Skim ini akan memberi manfaat kepada lebih 110 ribu peserta; Kedua: Program Pembangunan Orang Asli, termasuk penempatan tersusun, kegiatan ekonomi dan infrastruktur sosial dengan peruntukan 144 juta ringgit; Ketiga: Program Pembangunan Ladang Rakyat oleh FELCRA seluas 2,500 hektar akan dilaksanakan, melibatkan pembelian ladang berhasil dan penerokaan kawasan baru, dengan peruntukan 90 juta ringgit. Keuntungan daripada projek ini akan diagihkan kepada peserta dengan matlamat mengurangkan kemiskinan tegar; dan Keempat: pembukaan ladang getah seluas dua ribu hektar di Pitas, Sabah oleh Lembaga Industri Getah Sabah dengan peruntukan 13 juta ringgit yang akan melibatkan penyertaan golongan miskin tegar. Membangunkan Usahawan Bumiputera Berdaya Saing 84. Bumiputera, seharusnya membina keupayaan untuk menceburi bidang perniagaan, dengan mengambil peluang daripada galakan dan kemudahan yang telah disediakan oleh Kerajaan. PUNB telah membantu mewujudkan usahawan Bumiputera dalam sektor industri dan perdagangan yang strategik, seperti minyak dan gas, automotif, elektrikal dan elektronik serta ICT. Skim Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan atau PROSPER diwujudkan semenjak tahun 2000 bertujuan untuk membangunkan usahawan Bumiputera dalam perniagaan runcit. Sehingga ini, lebih seribu peniaga runcit berjaya diwujudkan. Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), MARA dan SMIDEC juga disediakan untuk membantu usahawan memula dan membesarkan perniagaan. Bank Simpanan Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia turut menyediakan kemudahan kredit mikro. 85. Ketika membentangkan Bajet 2006 di Dewan yang mulia ini, saya telah mengumumkan penubuhan Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera bertujuan meningkatkan penyertaan dan hak milik Bumiputera dalam sektor hartanah komersil di lokasi perniagaan utama di bandar. Pelaburan Hartanah Bumiputera Berhad (PHBB) telah ditubuhkan dan kini, sedang dalam proses memperolehi beberapa hartanah utama di beberapa lokasi di Kuala Lumpur untuk dibangunkan sebagai bangunan komersil dan pejabat, termasuk Dataran Perdana di Jalan Davis, tanah KTM di Jalan Bangsar dan tanah Institut Penyelidikan Getah di Jalan Ampang. Berasaskan portfolio hartanah yang dimilikinya, PHBB boleh, pada masa hadapan, menerbitkan instrumen pelaburan pasaran modal, seperti REIT, untuk memberi peluang melabur kepada Bumiputera. TERAS KEEMPAT: MENINGKATKAN TAHAP DAN KEMAMPANAN KUALITI HIDUP Perumahan untuk Golongan Berpendapatan Rendah 86. Usaha akan terus diperhebatkan untuk menyediakan kemudahan perumahan kepada semua golongan rakyat, terutama sekali mereka yang berpendapatan rendah. Jabatan Perumahan Negara akan membina 30 ribu unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat, termasuk rumah untuk disewa dan dimiliki. Syarikat Perumahan Negara Berhad pula akan membina 34 ribu unit rumah mampu-milik, dua ribu unit rumah di bawah Projek Pemulihan Rumah Terbengkalai dan 2,500 unit rumah di bawah Program Rumah Mesra Rakyat. Selain itu, 46 ribu unit kuarters Kerajaan untuk anggota perkhidmatan beruniform, merangkumi Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Kastam DiRaja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta kakitangan awam lain akan turut disediakan dengan peruntukan sebanyak 2.2 bilion ringgit. Pengurusan Aset Air Yang Lebih Efisien 87. Untuk mempastikan bekalan air berkualiti terus mencukupi bagi menampung permintaan yang kian meningkat, Kerajaan telah melaksanakan satu inisiatif baru untuk mengenalpasti dan membangunkan sumber air serta meningkatkan lagi perkhidmatan bekalan air. Syarikat Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) telah ditubuhkan, bertanggungjawab membangunkan aset ini yang akan dipajak semula kepada operator bekalan air. Dengan penubuhan PAAB, tumpuan akan diberi kepada usaha mengurangkan air tidak berhasil (non-revenue water), menambah baik kualiti air dan menyediakan perkhidmatan bekalan air secara lebih efisien. Penubuhan PAAB adalah langkah susulan kepada pengwujudan Suruhanjaya Pengurusan Air Negara sebagai badan pengawalselia bekalan air. Tanggungjawab Sosial Korporat 88. Syarikat awam tersenarai (PLC) telah berjaya mencapai tahap penzahiran tinggi dalam tadbir urus korporat. Untuk menyemai budaya tanggungjawab sosial korporat (CSR), mereka perlu menzahirkan pencapaian tanggungjawab sosial tersebut dari segi menyediakan peluang perniagaan kepada pengusaha tempatan, termasuk pemberian kontrak kepada Bumiputera; komposisi guna tenaga syarikat berasaskan kaum; pembangunan modal insan serta sumbangan kepada kesejahteraan rakyat, terutamanya terhadap golongan kurang bernasib baik. PLC yang mengamalkan CSR sudah tentunya akan dapat menarik lebih banyak pelabur untuk melabur di dalam syarikat mereka, terutamanya pelabur institusi besar, seperti Dana Pencen dalam dan luar negara. Dalam hubungan ini, KWSP dan KWAP akan memberi pertimbangan positif untuk melabur dalam PLC yang mematuhi CSR. 89. Beberapa program yang telah dikenalpasti membolehkan penglibatan PLC dalam pembangunan modal insan ialah program sekolah angkat (Adopt a School), memberi latihan kepada siswazah menganggur serta menyediakan biasiswa. Di bawah program ini, antara usaha yang digalakkan ialah sumbangan kepada kegiatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru; tajaan pelajar cemerlang daripada keluarga berpendapatan rendah, penyediaan peralatan dan kemudahan serta pembiayaan tuisyen, terutamanya untuk sekolah luar bandar, bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, matematik dan sains. Bagi kebajikan masyarakat pula, PLC digalakkan untuk mengadakan program membantu institusi kebajikan (Adopt a Charitable Institution), seperti rumah kebajikan dan anak yatim, rumah warga emas, rumah perlindungan, pusat dialisis serta pusat serenti. PLC seharusnya menggalakkan kakitangan mereka yang mempunyai pelbagai kemahiran untuk menjayakan program tersebut. 90. Untuk menggalakkan syarikat menyertai program CSR, Kerajaan mencadangkan had potongan cukai ke atas sumbangan pihak swasta kepada pertubuhan kebajikan ditingkatkan daripada lima peratus kepada tujuh peratus berasaskan pendapatan agregat. Untuk menyahut saranan Ahli-ahli Yang Berhormat, Kerajaan mencadangkan supaya potongan cukai ini diperluaskan kepada aktiviti sukan. Mengiktiraf Sumbangan Pekerja 91. Kerajaan juga menggalakkan syarikat swasta menghargai sumbangan perkhidmatan yang diberi oleh pekerja mereka, melalui anugerah khas, seperti anugerah perkhidmatan cemerlang, perkhidmatan lama dan keselamatan pekerja. Sehubungan dengan itu, Kerajaan mencadangkan pengecualian cukai diberi ke atas pemberian tunai atau barangan daripada majikan bagi anugerah khas yang tidak melebihi 1,000 ringgit. Mewujudkan Masyarakat Penyayang 92. Kerajaan prihatin terhadap tanggungan ibu bapa, terutamanya yang berpendapatan rendah, untuk membiayai kos persekolahan anak-anak. Untuk meringankan beban kos mereka, Kerajaan telah memberikan bantuan kepada murid daripada keluarga miskin di sekolah rendah dan menengah kerajaan. Kadar bantuan murid sekolah rendah akan dinaikkan daripada 30 ringgit kepada 50 ringgit sebulan, manakala biasiswa kecil persekutuan bagi murid di sekolah menengah dinaikkan daripada 50 ringgit kepada 70 ringgit sebulan. Langkah ini akan memberi manfaat kepada 1.5 juta murid. Peningkatan ini akan melibatkan tambahan peruntukan 310 juta ringgit, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan sekolah berjumlah 846 juta ringgit. 93. Beberapa Ahli Parlimen telah mencadangkan di Dewan Yang Mulia ini supaya yuran peperiksaan dimansuhkan. Kerajaan menghargai keprihatinan Ahli-ahli Yang Berhormat menyampaikan suara rakyat di Dewan ini dan menyambut baik saranan ini. Dengan ini, Kerajaan bersetuju supaya yuran peperiksaan UPSR, PMR, SPM atau setaraf dengannya, serta STPM di semua sekolah Kerajaan dimansuhkan berkuatkuasa mulai tahun persekolahan 2007. 94. Kerajaan amat prihatin akan kebajikan golongan kurang bernasib baik, seperti Orang Kurang Upaya (OKU), mangsa bencana, golongan termiskin dan warga tua. Untuk ini, 302 juta ringgit disediakan bagi membantu meringankan beban mereka. Bagi mempastikan bantuan ini disalurkan secara lebih berkesan dan benar-benar dinikmati oleh mereka, Kerajaan akan menubuhkan Unit Khidmat Penyayang (MAYANG), berfungsi sebagai unit bergerak untuk mengenalpasti dan menghubungi terus kumpulan sasar dengan menyediakan perkhidmatan bantuan kebajikan serta bantuan semasa bencana. 95. Program Pemulihan Dalam Komuniti telah dilaksanakan untuk membolehkan kanak-kanak OKU, terutamanya mereka yang tidak boleh mengurus diri, dapat menjalani pemulihan. Kini, hampir 9,000 kanak-kanak diberi elaun 25 ringgit sebulan untuk meringankan tanggungan kewangan ibu bapa dan penjaga. Memandangkan kebanyakan mereka ini daripada golongan berpendapatan rendah, elaun bulanan ini akan dinaikkan kepada 50 ringgit. 96. Menyedari terdapat kekurangan jurubahasa isyarat yang terlatih untuk membantu golongan kurang upaya pendengaran dan pertuturan berkomunikasi, program khusus akan diadakan untuk melatih lebih ramai lagi jurubahasa isyarat di sekolah pendidikan khas di bawah Kementerian Pelajaran. Di samping itu, bagi mengatasi masalah kanakkanak autistik pula, program latihan kepada guru pendidikan khas akan diadakan untuk mengenalpasti dan membimbing kanak-kanak autistik. Akses kepada Perkhidmatan Kesihatan 97. Kemakmuran sesebuah negara akan terus terjamin sekiranya rakyat sentiasa sihat. Hampir 10 bilion ringgit diperuntukkan bagi menyediakan kemudahan dan peralatan kesihatan, kepakaran dan latihan supaya rakyat lebih mudah mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan. Tiga hospital baru akan dibina dengan peruntukan 125 juta ringgit di Shah Alam, Selangor; di Pendang, Kedah dan di Permai, Johor. Kerajaan akan menaik taraf perkhidmatan klinik bergerak untuk memberi kesedaran kepada rakyat di luar bandar dan kawasan terpencil mengenai penjagaan kesihatan, pemakanan dan memberi pemeriksaan kesihatan secara percuma, terutamanya bagi pengesanan awal penyakit kronik seperti kanser, sakit jantung, darah tinggi dan diabetis. 98. Untuk menggalakkan gaya hidup sihat, Kerajaan mencadangkan duti eksais spesifik bagi rokok dinaikkan satu sen setiap batang. Bagi minuman keras yang kandungan alkoholnya melebihi 40 peratus, duti eksais spesifik dinaikkan lima ringgit seliter. Pemuliharaan Alam Sekitar 99. Kerajaan akan mempastikan pemuliharaan alam sekitar dan pengurusan sumber asli secara lebih bersepadu dan mampan dilaksanakan secara berkesan. Untuk ini, hampir satu bilion ringgit disediakan bagi terus menjaga keseimbangan dan keindahan ekologi serta meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kepentingan kualiti alam sekitar. Salah satu program utama yang akan dilaksanakan ialah Program Saliran dan Tebatan Banjir dengan peruntukan 716 juta ringgit. Program Pengurusan Sungai akan dilaksanakan untuk mengatasi masalah banjir dan pencemaran serta meningkatkan tahap kualiti air sungai dengan peruntukan 107 juta ringgit. Saya mohon mencadangkan supaya suatu Rang Undang-undang bertajuk "Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2002 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu" dibaca bagi kali yang kedua. I. PENDAHULUAN 1. Alhamdulillah, dengan izin Allah Subhanahu Wa Taala dan limpah kurnia-Nya, dapat kita sekali lagi bersama-sama membentangkan Belanjawan 2002 pada hari ini. Belanjawan ini merupakan satu Belanjawan yang amat penting bagi kita semua untuk menghadapi rintangan dan cabaran persekitaran luar yang semakin tidak menentu dan mencabar. 2. Pertumbuhan ekonomi dunia yang telah mula menurun pada permulaan tahun 2001, iaitu tahun ini, berikutan terutamanya kelembapan ekonomi Amerika Syarikat dan Jepun, kini menjadi semakin serius dan lebih berlarutan dari yang dijangkakan. Serangan dahsyat ke atas Amerika Syarikat yang tidak diduga serta di luar batas kemanusiaan, telah mengorbankan beribu nyawa. Seluruh dunia terkejut dan kesannya dirasai oleh semua, dengan melemahkan lagi prestasi ekonomi, bahkan turut mengancam kestabilan politik dan keselamatan dunia sejagat. Kita menentang sebarang keganasan. Namun, kita juga tidak bersetuju dengan peperangan yang tidak dapat dikawal untuk mengatasi keganasan, kerana ini akan hanya memburukkan lagi keadaan tanpa menyelesai masalah. Perang bukanlah langkah bijak untuk menangani keganasan kerana lebih banyak nyawa akan terkorban, lebih banyak aset negara akan musnah dan lebih ramai yang akan menderita. Dan ia tidak akan berjaya menumpas pengganas atau membendung kegiatan mereka. Sebabnya ialah pengganas yang terlibat bukan orang Afghan dan mungkin tidak ramai yang berada di Afghanistan. Mereka boleh berada di mana-mana sahaja dan mungkin bertindak balas dari lokasi lain. Kita telah berperang dengan pengganas di Malaysia selama 42 tahun. Tindakan ketenteraan kita hanya tertumpu kepada pengganas. Di masa yang sama, kita telah lancar perang saraf untuk menawan hati penyokong pengganas dan menghentikan sokongan kepada pengganas melalui penghapusan sebab- sebab berlakunya keganasan. 3. Sementara tindakan ketenteraan semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah keganasan, peperangan juga akan memburukkan lagi ekonomi dunia yang sudahpun buruk. Awal-awal lagi kita perlu tanggung, dengan izin, war risk, atau risiko peperangan dan pengangkutan ke negara tertentu yang menjadi rakan dagang kita akan terjejas. Insurans ke atas kapal, freight dan penerbangan akan meningkatkan lagi kos perdagangan. Permintaan untuk barangan tertentu akan menurun sedangkan kos akan meningkat. 4. Peristiwa 11 September telah menyebabkan pasaran ekuiti utama jatuh dengan mendadak. Bagi beberapa bursa utama, kejatuhan merupakan yang terburuk pernah dialami. Pasaran ekuiti Amerika Syarikat paling teruk terjejas dengan Dow Jones menjunam dua digit mencecah paras terendah sejak beberapa tahun. Sehari selepas serangan, berlaku penjualan terbesar di pasaran saham di seluruh dunia. Indeks Dax jatuh 8.5 peratus, penurunan terbesar dalam sehari. Indeks FTSE turun 5.7 peratus, juga merupakan kejatuhan terbesar dalam satu hari sejak 1987. Indeks Nikkei yang telahpun berada pada paras rendah untuk tahun ke-17, merosot lagi sebanyak 6.6 peratus kepada paras lebih rendah. Indeks saham bursa-bursa utama yang lain, seperti Hang Seng dan STI, juga merosot. Indeks pasaran di Taiwan, Thailand dan Kuala Lumpur yang dibuka pada 13 September, juga menjunam. 5. Industri kewangan dan insurans akan menghadapi bebanan tuntutan yang tinggi. Sentimen pelabur dan keyakinan pengguna kian lemah. Terdapat, dengan izin, flight to quality, dengan pelabur memindahkan dana ke pasaran yang lebih selamat dan terjamin. Sekarang Amerika Syarikat tidak lagi dianggap sebagai safe haven, dengan izin. Dalam persekitaran sebegini, prospek bagi pemulihan awal bertambah pudar. Malahan, wujud risiko negara-negara industri utama akan terperangkap dalam kemelesetan. Serangan ke atas Afghanistan mungkin berpanjangan dan tidak menentu. Prospek pemulihan ekonomi dunia sudah tentu akan menjadi lebih buruk. 6. Sebagai langkah segera untuk memulih ekonominya, Pentadbiran Amerika Syarikat telah menyuntik kecairan ke dalam sistem kewangan dan mengurangkan kadar faedah kepada 2.5 peratus daripada 6.5 peratus. Ini merupakan kali ke sembilan kadar faedah diturunkan sejak awal tahun ini. Kongres Amerika Syarikat turut meluluskan 40 bilion dolar peruntukan fiskal bagi pembinaan semula infrastruktur, bantuan menyelamat dan keselamatan. Sebanyak 75 bilion dolar telah diumumkan sebagai tambahan kepada rangsangan fiskal. Pentadbiran Amerika Syarikat juga meluluskan pakej bail-out sebanyak 15 bilion dolar bagi membantu syarikat penerbangan mereka. Apabila Malaysia mengambil langkah untuk menstruktur semula syarikat-syarikat, termasuk syarikat penerbangan negara, institusi kewangan antarabangsa, terutamanya Bank Dunia dan IMF menganggapnya sebagai bail-out kepada syarikat-syarikat kroni Kerajaan. Kita dituduh mengamalkan nepotisme dan tidak telus dalam urus tadbir. Sekarang ternampak, dalam keadaan cemas negara lain juga mengguna cara yang dikecam oleh pengkritik Malaysia. Selain dari bail-out, amalan-amalan Malaysia yang dikutuk dahulu oleh media asing sekarang diamal juga oleh negara yang cemas. Dan media asing tidak pula mengutuk amalan ini. Media asing sendiri sekarang tidak begitu bebas. Keselamatan majoriti adalah lebih utama dari kebebasan liberal. 7. Sebagai sebuah ekonomi terbuka, di mana perdagangan merupakan lebih daripada 200 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), ekonomi Malaysia amat terdedah kepada keadaan turun naik pasaran luar. Ekonomi negara baru sahaja bebas daripada cengkaman krisis kewangan tahun 1997-1998. Kini, kita terpaksa berdepan pula dengan perkembangan luaran yang lebih sukar. Pertumbuhan KDNK bagi tahun 2001 yang telah diturunkan daripada 7 peratus kepada 5 hingga 6 peratus pada Mac 2001, kini diturunkan lagi kepada 1 hingga 2 peratus. Langkah proaktif, bijak dan pantas perlu diambil bagi membendung kejatuhan ini daripada berterusan. Kini, kita tidak boleh bergantung terlalu sangat kepada perdagangan luar, sebaliknya, pertumbuhan ekonomi mesti didorong oleh kegiatan perdagangan dan aktiviti ekonomi dalam negeri dan penumpuan kepada pasaran-pasaran baru yang boleh kita bangunkan. 8. Selaras dengan dasar, dengan izin, domestic led growth, Kerajaan telah mengumumkan pakej rangsangan tambahan berjumlah 4.3 bilion ringgit pada 25 September 2001. Ini merupakan langkah tambahan kepada pakej pre- emptive sebanyak 3 bilion ringgit yang telah diumumkan pada Mac 2001. Di samping merangsang aktiviti ekonomi dalam negeri, pakej ini juga bertujuan untuk membendung kesan negatif terhadap golongan berpendapatan rendah dan lemah. Ia juga bertujuan menjana aktiviti perniagaan, menambah peluang pendapatan kepada usahawan kecil dan membantu perniagaan runcit. Dalam hubungan ini, projek khas kerja kecil luar bandar akan ditawarkan khusus kepada kontraktor Bumiputera tempatan kelas F dan juga kontraktor bukan Bumiputera. Pakej ini juga akan memberi latihan kemahiran kepada pekerja yang diberhentikan serta graduan yang menganggur. 9. Pakej rangsangan fiskal ini akan menjadi sia-sia dan tidak akan membantu menjana pertumbuhan yang lebih tinggi, sekiranya program dan projek di bawah pakej tersebut tidak dilaksanakan dengan pantas. Menyedari hakikat ini, Kerajaan telah mengemaskini semula semua kaedah, peraturan dan garis panduan berkaitan dengan pelaksanaan projek pembangunan dan pembayaran kepada kontraktor-kontraktor yang terlibat. 10. Bagi mempercepatkan pelaksanaan projek, kuasa kewangan yang lebih besar diberi kepada semua kementerian dan agensi pelaksana. Lembaga Tender di peringkat kementerian diberi kuasa untuk meluluskan tender sehingga 50 juta ringgit untuk perolehan kerja dan 30 juta ringgit untuk bekalan dan perkhidmatan tanpa perlu merujuk kepada Perbendaharaan. Lembaga Tender kementerian juga dibenar meluluskan tender terhad sehingga 5 juta ringgit. Bagi badan-badan berkanun, had kelulusan tender bagi semua bekalan, perkhidmatan dan kerja-kerja dinaikkan kepada 100 juta ringgit, sementara untuk tender terhad, sehingga 10 juta ringgit. Adalah diharap kuasa yang lebih ini tidak akan disalah guna oleh sesiapa. Kuasa yang lebih mestilah diiringi dengan tanggungjawab yang lebih. 11. Satu pasukan petugas di Kementerian Kewangan telah diwujudkan untuk mengawal selia kemajuan, mengenal pasti dan menangani masalah pelaksanaan bagi memastikan semua langkah rangsangan fiskal dilaksanakan segera. Manakala Flying Squad pula ditubuhkan bagi memastikan pembangunan sektor awam dan projek yang diswastakan, dilaksanakan mengikut jadual. Bagi mempercepatkan bayaran, semua kementerian dan agensi dikehendaki membayar 50 peratus dari nilai tuntutan terlebih dahulu. Semua tuntutan hendaklah diselesaikan dalam tempoh 30 hari dari tarikh tuntutan dikemukakan. Anggota Kerajaan seperti Menteri akan mengawasi pengurusan kewangan tanpa campur tangan dalam decision making, dengan izin. Pihak yang terkilan boleh mengadu kepada Menteri. Menteri pula perlu berhati-hati dalam penyeliaan yang dilakukan, supaya tidak ada tuduhan pilih kasih. 12. Dasar kewangan yang akomodatif juga terus dilaksanakan untuk memperkukuhkan lagi rangsangan fiskal. Sehubungan ini, Bank Negara Malaysia pada 20 September, telah mengurangkan kadar campur tangan 3 bulan kepada 50 mata asas iaitu 5 peratus untuk menggalakkan sentimen perniagaan dan memulihkan keyakinan pengguna. Pengurangan ini merupakan potongan pertama dalam tempoh lebih dari 2 tahun dan selaras dengan tindakan yang diambil oleh bank-bank pusat di beberapa buah negara industri utama. Berikutan ini, kadar asas pinjaman, dengan izin, base lending rate bagi bank perdagangan dan syarikat kewangan telah mencecah paras terendah pernah dicatatkan, masing- masing sebanyak 6.4 peratus dan 7.45 peratus. II. CABARAN EKONOMI 13. Kita telah membuktikan kemampuan kita menguruskan ekonomi dalam segala keadaan, senang mahupun sukar, boom or bust. Kemampuan dan kejayaan ini sepatutnya meyakin dan merangsangkan kita supaya menggembleng usaha dan ikhtiar, bertindak dengan pantas dan bijak, dalam berdepan dengan ancaman ketidakstabilan persekitaran luar. Untuk terus melangkah ke hadapan, kita perlu melipatgandakan usaha bagi menangani segala cabaran yang boleh menggugat matlamat kita untuk menjadi negara maju. Pergantungan Berlebihan Kepada Eksport Barangan Elektronik 14. Malaysia merupakan negara ke-17 terbesar di dunia dari segi perdagangan dengan negara asing. Eksport utama negara adalah dalam sektor elektronik yang menyumbang hampir separuh daripada jumlah pendapatan eksport perkilangan dan 41 peratus daripada pendapatan eksport negara. Namun, lebih 70 peratus daripada import negara merupakan barang perantaraan. Pergantungan ini menyebabkan negara tidak dapat menikmati sepenuhnya faedah dari nilai ditambah bagi barangan eksport. Eksport kasar negara dijangka merosot sebanyak 10.6 peratus berikutan permintaan global barangan elektronik yang jatuh mendadak pada tahun ini. Justeru, kita perlu mempelbagaikan asas eksport negara, di samping menerokai pasaran baru. Kita tidak boleh bergantung terlalu sangat kepada satu jenis barangan sahaja. Dan sudah tentu kita tidak boleh bergantung kepada barangan yang mengguna terlalu banyak bahan import. Namun, kita tidak harus kurangkan jumlah barangan elektronik tetapi peratusan sumbangannya kepada jumlah eksport perlu dikurangkan dengan menambah eksport lain-lain barangan. Peranan Sektor Perkhidmatan Belum Menyerlah 15. Sektor perkhidmatan yang merupakan antara penyumbang utama kepada KDNK, iaitu sebanyak 55 peratus pada tahun 2001, mempunyai banyak ruang untuk dimajukan. Negara mempunyai pelabuhan dan lapangan terbang termoden, yang berpotensi menjadi hub pergerakan kargo dan menarik syarikat penghantaran ekspres bersepadu dengan izin, integrated express operators tempatan dan antarabangsa. Pelabuhan Johor mesti merebut peluang daripada lokasi strategiknya yang berdekatan dengan Singapura, untuk menyediakan perkhidmatan pelabuhan bertaraf dunia. Sementara lapangan terbang Senai, perlu dijadikan hub kargo udara di rantau ini. Melihatkan kepada potensi pelabuhan Johor dan lapangan terbang Senai, sistem pengangkutan bersepadu, dengan izin, intergrated transportation system, mesti dibangunkan segera bagi menghubungkan semua rangkaian pengangkutan udara, darat dan laut di selatan Semenanjung supaya lebih efisien dan berkesan. 16. Sektor pelancongan telah mencatat prestasi yang cemerlang. Pada masa ini, kedatangan pelancong asing telah mencatatkan bilangan tertinggi melebihi 1 juta orang sebulan. Namun, serangan 11 September menimbulkan kekhuatiran terhadap keselamatan penerbangan di negara-negara Barat terutamanya, dan ini akan menjejaskan kedatangan pelancong, dari negara- negara berkenaan. Oleh itu, usaha perlu digandakan untuk menarik pelancong dari Asia, terutama dari negara- negara Teluk Parsi dan Asia Barat serta dari negara- negara India, China dan ASEAN, di samping menggalakkan lagi aktiviti pelancongan dalam negeri. Industri pengangkutan, perhotelan dan pelancongan perlu berganding bahu dan mengambil bahagian dalam usaha mempromosi pelancongan bersama dengan Kerajaan. Prestasi Sektor Pertanian Kurang Memberangsangkan 17. Negara ini bertuah kerana dianugerahkan bumi yang subur yang boleh menghasilkan pelbagai tanaman pertanian dan ternakan. Sungguhpun demikian, pertumbuhan sektor pertanian hanya tertumpu kepada beberapa komoditi sahaja seperti getah dan kelapa sawit. Barangan mentah ini sebagai komoditi, mudah terdedah kepada turun naik harga yang tentunya menjejaskan punca pendapatan, terutamanya pekebun- pekebun kecil. Kita juga terlalu bergantung kepada import makanan, hinggakan pada tahun lepas melebihi 11 bilion ringgit. Adalah penting, negara mempelbagaikan sektor pertanian untuk menghasilkan barangan yang mempunyai nilai ditambah yang lebih tinggi. Tumpuan tidak diberi kepada ternakan ikan air tawar dan masin, lembu dan kambing serta ternakan lain seperti burung unta, rusa dan itik. Pertanian campuran atau dengan izin, mixed farming belum diperkenalkan. Semua usaha pertanian ini tidak dibuat secara besar-besaran walaupun kekuatan kita ialah dalam mengurus projek pertanian yang besar. Petani kecil masih tidak gabungkan diri melalui koperasi atau syarikat untuk maksud ini. Sektor Swasta Kurang Dinamik 18. Sektor swasta terjejas teruk oleh kelembapan ekonomi dunia. Sumbangan pelaburan sektor swasta kepada KDNK kini hanya 12.8 peratus berbanding dengan hampir 32 peratus sebelum krisis kewangan. Sejak 1997, perkembangan ekonomi didorong, terutamanya oleh pelaburan sektor awam. Namun, bagi jangka masa panjang, pertumbuhan ekonomi negara tidak boleh terus bergantung kepada pelaburan sektor awam melalui rangsangan fiskal sahaja. Ekonomi kita juga tidak boleh bergantung kepada kemasukan pelaburan langsung asing semata-mata, memandangkan ianya amat volatile dengan izin, di samping terpaksa bersaing dengan negara-negara lain seperti China dan Amerika Latin. Sektor swasta tidak mengenal pasti kemampuan dan kelebihan daya saing kita dalam bidang-bidang tertentu untuk mempertingkatkan pengeluaran dalam bidang-bidang ini. Tahap Daya Saing Masih Rendah 19. Dalam era globalisasi dan liberalisasi, negara kini berdepan dengan saingan hebat daripada pengeluar yang lebih kompetitif di pasaran antarabangsa, terutamanya berikutan kemunculan negara membangun seperti China. Mengikut beberapa laporan, kedudukan daya saing negara bagi tempoh jangka sederhana telah menunjukkan arah aliran yang menurun. Dengan perkataan lain, produktiviti kita tidak meningkat berbanding dengan kos pengeluaran kita. Jika arah aliran ini tidak dibendung, negara akan kehilangan bahagiannya dalam pasaran antarabangsa. Dengan ini, pekerja akan kehilangan kerja, upah tidak akan meningkat dan peluang kerja yang baru tidak akan bertambah. III. STRATEGI BELANJAWAN 2002 20. Dengan mengambil kira prospek ekonomi dunia dan cabaran-cabaran yang telah saya sebutkan serta isu dalaman yang perlu ditangani, Belanjawan 2002 akan memberi tumpuan kepada strategi berikut: i. memperkukuhkan semula pertumbuhan ekonomi negara melalui peningkatan perbelanjaan dalam negeri, mempergiatkan lagi peranan sektor swasta serta meningkatkan daya saing; ii. mempelbagaikan sumber pertumbuhan melalui aktiviti dagangan dan perusahaan dalam negeri tanpa mengurangkan peranan pelaburan dari luar dan mempastikan eksport negara terus berkembang; dan iii. menentukan agihan kekayaan supaya lebih saksama antara bandar dan luar bandar, antara yang berpendapatan rendah dan yang berpendapatan tinggi dan antara negeri- negeri yang kurang maju dengan yang lebih maju. Strategi Pertama: Memperkukuhkan Semula Pertumbuhan Ekonomi Negara Meningkatkan Perbelanjaan Dalam Negeri 21. Cara yang terkenal untuk memulihkan semula ekonomi ialah dengan menambah perbelanjaan Kerajaan. Bagi tahun 2001, kita telah mengguna pendekatan ini dengan menambah perbelanjaan Kerajaan sebanyak 3 bilion ringgit pada bulan Mac. Apabila ekonomi Amerika Syarikat dan dunia menjadi lebih buruk akibat serangan pada 11 September, perbelanjaan tambahan telah dibuat sebanyak 4.3 bilion ringgit. 22. Wang tidak akan menjana kekayaan jika ia tidak bergerak iaitu bertukar tangan. Tiap kali wang bertukar tangan, pihak yang membekal barangan atau perkhidmatan akan mendapat keuntungan, sementara pihak yang menerima pembekalan akan mendapat nilai sebenar dari wangnya. Lebih kerap wang bertukar tangan, lebih besarlah sumbangan wang itu kepada ekonomi negara dan kekayaannya. 23. Sebab itu, perbelanjaan wang menjadi begitu penting dalam menggerakkan ekonomi dan merangsang pertumbuhan. Tambahan perbelanjaan oleh Kerajaan yang dibuat pada bulan Mac dan selepas 11 September akan merealisasikan nilai barangan yang dibeli dan dijual dengan mengguna tambahan peruntukan berkenaan. Melalui peruntukan ini, pelaksanaan projek-projek tambahan dapat diadakan, penjualan bahan binaan meningkat, kontraktor, sub-kontraktor dan pekerja akan menerima bayaran, yang turut akan dibelanja untuk barangan runcit akhirnya. Jelas sekali, semua pihak akan dapat nikmat dari tambahan perbelanjaan ini, iaitu sebagai tambahan kepada pendapatan biasa. Kerajaan juga akan beruntung kerana semua kegiatan perniagaan tambahan ini akan menambah jumlah cukai yang akan dipungut oleh Kerajaan akhirnya. 24. Strategi yang sama akan digunakan oleh Kerajaan dalam Belanjawan 2002 iaitu suntikan wang ke dalam ekonomi negara melalui peningkatan Perbelanjaan Mengurus dan Perbelanjaan Pembangunan. Rangsangan Fiskal ini akan dibuat seperti berikut: Meneruskan Rangsangan Fiskal 25. Saya mencadangkan sejumlah 100.52 bilion ringgit diperuntukkan bagi Belanjawan tahun 2002. Jumlah ini bertambah 10.4 peratus berbanding peruntukan asal tahun 2001. Daripada jumlah ini, sebanyak 66.98 bilion ringgit adalah untuk Perbelanjaan Mengurus dan 33.54 bilion ringgit untuk Perbelanjaan Pembangunan. Dengan mengambil kira anggaran hasil sebanyak 73.4 bilion ringgit, akaun keseluruhan Kerajaan Persekutuan dijangka mencatatkan defisit sebanyak 5 peratus daripada KDNK, yang berjumlah 18.6 bilion ringgit pada tahun 2002. Ini adalah lebih rendah dari 22.4 bilion ringgit atau 6.5 peratus pada tahun 2001. 26. Sebanyak 33.33 bilion ringgit daripada Perbelanjaan Mengurus diperuntukkan di bawah Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Antaranya, adalah untuk bayaran khidmat hutang negara, bayaran pencen dan ganjaran serta sumbangan kepada kumpulan-kumpulan wang terkanun. Sebanyak 17.58 bilion ringgit adalah untuk Emolumen, 12.07 bilion ringgit untuk Perkhidmatan dan Bekalan, 1.53 bilion ringgit untuk pembelian kelengkapan dan kemudahan pejabat dan 2.47 bilion ringgit bagi perbelanjaan lain, termasuk bayaran balik cukai. 27. Daripada jumlah Perbelanjaan Pembangunan yang dicadangkan, sebanyak 13.11 bilion ringgit atau 39.1 peratus adalah untuk sektor ekonomi, termasuk projek- projek pembangunan luar bandar, pertanian, infrastruktur, perindustrian, bekalan elektrik dan air luar bandar. Sebanyak 12.21 bilion ringgit atau 36.4 peratus disediakan bagi sektor sosial untuk projek- projek pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, pembangunan masyarakat, belia dan sukan. Seterusnya, 3.31 bilion ringgit atau 9.9 peratus diperuntukkan bagi projek-projek pembangunan di sektor keselamatan dan 2.91 bilion ringgit atau 8.7 peratus diperuntukkan kepada sektor pentadbiran am. Bakinya, sebanyak 2 bilion ringgit atau 5.9 peratus adalah untuk Simpanan Luar Jangka. Menggalakkan Penggunaan 28. Pendapatan negara telah terjejas berikutan kelembapan ekonomi dunia dan kesan negatif kekayaan, dengan izin, wealth effect, dari kejatuhan harga saham. Akibatnya, kuasa beli rakyat terjejas. Untuk menjamin pendapatan boleh guna rakyat dipertingkatkan, saya mencadangkan kadar cukai pendapatan individu diturunkan 1 hingga 2 mata peratusan bagi semua kumpulan pendapatan. Kadar cukai pendapatan individu yang tertinggi iaitu 29 peratus, kini akan menjadi 28 peratus dan dengan itu menyamai kadar cukai pendapatan korporat. Di samping itu, untuk mendorong daya usaha kerja, pendapatan bercukai yang tertakluk kepada kadar tertinggi dinaikkan daripada melebihi 150 ribu ringgit kepada melebihi 250 ribu ringgit. Selaras dengan pengurangan ini, kadar cukai pendapatan koperasi dikurangkan 1 mata peratusan bagi semua kumpulan pendapatan dan kadar cukai pendapatan individu bagi bukan pemastautin diturunkan daripada 29 peratus kepada 28 peratus. Ini akan mengakibatkan kehilangan hasil Kerajaan sebanyak 873 juta ringgit. Tetapi jumlah wang sebanyak 873 juta ringgit ini, akan berada di tangan pengguna untuk dibelanja dan melariskan berbagai jenis kegiatan ekonomi yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan KDNK. Mempergiatkan Lagi Peranan Sektor Swasta 29. Peranan sektor swasta perlu didorong semula untuk menjadi jentera penggerak utama pertumbuhan ekonomi. Dalam hal ini, Kerajaan terus menawarkan pakej galakan istimewa yang telah diumumkan pada Belanjawan 2000 untuk menarik pelaburan yang berkualiti tinggi. Setakat ini, Kerajaan telah meluluskan 20 projek dengan pelaburan sebanyak 33 bilion ringgit di bawah pakej galakan istimewa, terutamanya bagi projek-projek industri petrokimia dan elektronik. Di samping menarik pelabur baru, pelabur sedia ada juga digalakkan untuk terus membuat pelaburan semula melalui pembesaran, modenisasi, automasi dan pelbagaian projek. Justeru itu, saya mencadangkan tempoh Elaun Pelaburan Semula dilanjutkan daripada 5 tahun kepada 15 tahun. 30. Usaha untuk menggalakkan pelaburan semakin mencabar. Dalam hal ini, Kerajaan telah menerima banyak cadangan supaya cukai korporat dikurangkan. Walau bagaimanapun, Kerajaan tidak berhasrat untuk mengurangkannya memandangkan kadar cukai korporat negara kini masih kompetitif berbanding dengan kebanyakan negara ASEAN, Asia dan juga beberapa negara maju lain. Malaysia tidak mengenakan cukai ke atas dividen seperti yang dikenakan di beberapa negara lain, termasuklah Thailand, Taiwan dan Jepun. Di samping itu, kita juga telah memberi pelbagai galakan cukai kepada pelabur asing dan tempatan. Justeru itu, jika faktor- faktor ini diambil kira, dengan izin, effective tax rate negara, adalah lebih rendah. 31. Bagi membolehkan syarikat kecil dan sederhana bersaing di pasaran global, mereka perlu menyertai dalam Global Supply Chain Management Network bagi perolehan, pengeluaran dan pengurusan logistik secara on-line dan real-time, dengan izin. Untuk menggunakan rangkaian ini, syarikat kecil dan sederhana perlu menggunapakai kod pesanan guna sama berasaskan internet seperti RosettaNet, untuk berhubung terus dengan pembekal global. Bagi membangunkan RosettaNet, geran sebanyak 5 juta ringgit disediakan. Di samping itu, saya mencadangkan kos perbelanjaan syarikat multinasional dalam menerajui program ini bagi faedah syarikat kecil dan sederhana diberi potongan bagi tujuan cukai pendapatan. 32. Bagi meningkatkan penglibatan golongan Bumiputera dalam bidang industri dan perniagaan, khususnya dalam sektor peruncitan, Kerajaan telah melancarkan skim Projek Usahawan Bumiputera Dalam Bidang Peruncitan atau PROSPER. Skim ini bertujuan untuk membantu pengusaha kecil Bumiputera yang dikenal pasti menghadapi masalah kekurangan modal, kesulitan mendapat premis atau lokasi yang sesuai serta kelemahan pengurusan. Sehingga 8 Oktober 2001, PROSPER telah berjaya melatih seramai 2,997 Bumiputera dalam bidang peruncitan. Sebanyak 82 cadangan perniagaan telah diluluskan, di mana 12 daripadanya adalah bagi bekas tentera. Bagi tahun 2002, seramai 250 lagi usahawan Bumiputera dijangka dapat diwujudkan. PROSPER bukanlah skim cepat kaya tetapi adalah satu skim yang serius untuk perniagaan jangka panjang yang boleh berkembang jika diurus dengan baik. Mempertingkatkan Daya Saing 33. Bagi menghadapi cabaran dunia tanpa sempadan dan komitmen kita kepada pelaksanaan AFTA, negara perlu mempertingkatkan daya saing dan produktiviti untuk membolehkan kita menjadi, dengan izin, global player, di arena pasaran antarabangsa. Sebagai salah satu langkah untuk mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan meningkatkan daya saing, saya mencadangkan Elaun Bangunan Industri yang diberi kepada bangunan yang diluluskan, termasuk hotel dikaji semula seperti berikut: i. elaun tahunan dinaikkan daripada 2 peratus kepada 3 peratus. Dengan ini, syarikat akan dapat menuntut susut nilai dalam tempoh yang lebih pendek iaitu daripada 45 tahun kepada 30 tahun; ii. elaun permulaan 10 peratus yang kini hanya diberi kepada bangunan yang dibina diperluaskan kepada bangunan yang dibeli; dan iii. Elaun Bangunan Industri diberi kepada semua hotel. 34. Sebagai langkah seterusnya untuk mengurangkan kos dan meningkatkan daya saing, saya mencadangkan duti import ke atas 55 jenis barangan yang telah lama dilindungi dikurangkan daripada di antara 20 peratus dan 105 peratus kepada di antara 10 peratus dan 50 peratus. Antara barangan yang terlibat adalah minuman ringan, fabrik tenun, renda dan selimut. Saya juga mencadangkan duti import ke atas 171 barang, termasuk barang perantaraan seperti multimedia projektor, dengan izin, telephone answering machine, komponen perabut dan kertas fotografi dikurangkan daripada di antara 5 peratus dan 35 peratus kepada di antara 0 peratus dan 25 peratus. Di samping itu, bagi mengurangkan kos perniagaan kepada syarikat perkapalan di Malaysia, saya mencadangkan pendapatan sewa kontena yang mencapai piawaian antarabangsa yang diterima oleh bukan pemastautin daripada syarikat perkapalan di Malaysia dikecualikan daripada cukai pendapatan. 35. Saya juga mencadangkan potongan tahunan ke atas perbelanjaan bagi memperolehi hak empunya, dengan izin, proprietory rights seperti paten, rekabentuk industri dan cap dagangan dinaikkan daripada 10 peratus kepada 20 peratus untuk tempoh 5 tahun. Adalah diharap dengan langkah ini, penguasaan teknologi terkini akan dapat dipercepatkan. 36. Keperluan meningkatkan daya saing memerlukan majikan di semua sektor ekonomi melatih dan meningkatkan kemahiran pekerja mereka. Sehubungan ini, Kerajaan telah menubuhkan Tabung Pembangunan Sumber Manusia serta menyediakan galakan cukai bagi tujuan latihan dalam bidang teknikal dan vokasional. Di samping itu, skim latihan amali juga perlu digalakkan sebagai salah satu saluran untuk meningkatkan penawaran tenaga manusia mahir dan terlatih. Justeru itu, saya mencadangkan supaya perbelanjaan yang ditanggung oleh mana-mana pihak dalam menyediakan latihan amali kepada bukan kakitangannya diberi potongan bagi tujuan cukai pendapatan. 37. Bayaran bonus merupakan insentif untuk mendorong pekerja meningkatkan produktiviti mereka. Pada masa ini, bayaran bonus yang dibenarkan sebagai potongan cukai kepada syarikat dihadkan kepada dua bulan gaji. Saya mencadangkan supaya sekatan ke atas bonus dimansuhkan. Adalah diharap langkah ini akan memberi peluang kepada majikan menyediakan ganjaran yang setimpal dengan produktiviti pekerja. 38. Kerajaan berharap persatuan perdagangan terus memainkan peranan penting dengan bertindak secara proaktif untuk memajukan lagi perniagaan ahli-ahlinya. Bagi membantu persatuan perdagangan memperkukuhkan kedudukan kewangannya, saya mencadangkan pendapatan statutori daripada, dengan izin, subscription fee, dikecualikan daripada cukai pendapatan. Pembangunan ICT dan Modal Teroka 39. Agenda ICT negara bertujuan mewujudkan masyarakat berpengetahuan, bermaklumat dan berbudaya ICT. Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak 112.7 juta ringgit untuk melaksanakan Aplikasi Perdana Kerajaan Elektronik, 72.3 juta ringgit untuk Sekolah Bistari, 20 juta ringgit untuk Teleperubatan, 86.3 juta ringgit untuk Kad Pintar dan 9.5 juta ringgit untuk Integrasi Aplikasi. Selain daripada itu, sebanyak 487.67 juta ringgit disediakan untuk meningkatkan program pengkomputeran di kementerian dan jabatan Kerajaan dan 205.5 juta ringgit untuk pengkomputeran sekolah- sekolah. 40. Bagi meningkatkan penggunaan kad pintar pelbagaiguna, institusi kewangan perlu menyediakan prasarana yang sesuai, termasuk peralatannya seperti dengan izin, loading devices dan card reader. Memandangkan kos pelaksanaan projek ini memerlukan belanja yang besar, saya mencadangkan kad pintar dan peralatannya diberi pengecualian cukai jualan. 41. Sebagai usaha untuk menggalakkan lagi penggunaan ICT dalam perdagangan dan bagi menjadikan Malaysia lokasi perniagaan yang menarik kepada perdagangan antarabangsa, saya mencadangkan supaya cukai ke atas pendapatan yang diperolehi daripada perdagangan luar pesisir, dengan izin, offshore trading, melalui website di Malaysia dikurangkan daripada 28 peratus kepada 10 peratus selama 5 tahun. Saya juga mencadangkan supaya kos bagi membangunkan website untuk perniagaan diberi potongan tahunan sebanyak 20 peratus selama 5 tahun. 42. Berikutan pengumuman penubuhan Tabung Modal Teroka sebanyak 500 juta ringgit, sebuah syarikat milik Kerajaan, Malaysia Venture Capital Management Berhad atau MAVCAP telah ditubuhkan. Sejumlah 100 juta ringgit daripada Tabung tersebut akan disalurkan kepada empat buah syarikat modal teroka tempatan, sementara 400 juta ringgit merupakan pelaburan langsung dalam syarikat modal teroka. Sehingga kini, MAVCAP menerima 104 cadangan perniagaan dari 10 buah negara, termasuk Amerika Syarikat, Korea, Hong Kong dan China. Permohonan pembiayaan tersebut berjumlah 1 bilion ringgit. Bagi menambahkan lagi dana modal teroka ini, Kerajaan Jepun pada dasarnya telah bersetuju untuk memberi pinjaman berjumlah 1.9 bilion ringgit kepada MAVCAP, terutamanya untuk membiayai dengan izin, debt ventures. 43. Sebuah lagi syarikat milik Kerajaan telah ditubuhkan iaitu Kumpulan Modal Perdana Sdn. Bhd. untuk menguruskan Tabung Modal Teroka Bagi Perolehan Teknologi berjumlah 190 juta ringgit. Daripada jumlah tersebut, 114 juta ringgit akan dilaburkan di dalam American Pacific Venture Capital Fund di Silicon Valley dan Venture Capital Joint Venture Investment di Malaysia, sementara baki 76 juta ringgit untuk membangunkan projek Advanced Microchip Design and Training Centre. Pasaran Modal 44. Prestasi Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) telah mengalami turun naik ketara akibat daripada perkembangan bursa utama dunia. Sebagai satu langkah mempastikan kestabilan pasaran saham, sepertimana yang digariskan dalam Pelan Induk Pasaran Modal, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan mekanisma pemutus litar, dengan izin, circuit breaker, di pasaran saham, seperti yang diamalkan oleh negara maju. Mekanisma ini akan berupaya menyekat sementara aktiviti perdagangan yang mengalami kejatuhan mendadak pada hari urus niaga. Sekatan ini adalah berdasarkan kepada had penggerak pratentu, dengan izin, pre-determined trigger. Mekanisma ini akan memberi, dengan izin, breathing space atau masa bernafas kepada para pelabur sebelum menyertai semula pasaran perdagangan dalam pasaran saham. Ianya juga bertujuan mengekalkan tahap keyakinan pelabur dan pasaran, terutama dalam persekitaran yang tidak menentu. 45. Bagi memudahkan penyusunan semula syarikat, Suruhanjaya Sekuriti telah melonggarkan syarat bagi penyusunan semula syarikat tersenarai yang bermasalah dengan izin, distressed listed companies. Langkah ini, termasuklah memperluaskan jenis aset dengan membenarkan pelaburan hartanah yang berkualiti tinggi dan berpendapatan stabil disuntik ke dalam syarikat- syarikat tersebut. Sebagai tambahan, penubuhan Real Estate Investment Trusts, dengan izin, akan membantu usaha penyusunan semula syarikat tersebut. Bagi memperbaiki kedudukan kewangan syarikat bermasalah tersebut, syarat pembelian balik saham dengan izin, share buy-back, dilonggarkan lagi. Manakala bagi syarikat tersenarai yang mempunyai kedudukan kewangan yang tidak memuaskan atau modal terbitan di bawah tahap minimum, lanjutan tempoh sehingga Disember 2002 diberikan bagi mematuhi peraturan dan syarat penyenaraian di BSKL. Strategi Kedua: Mempelbagaikan Sumber Pertumbuhan 46. Usaha perlu dibuat untuk mempelbagaikan sumber pertumbuhan, terutamanya yang berasaskan sumber dalam negeri. Di samping itu, memandangkan teknologi, kemahiran dan inovasi adalah pemacu utama pertumbuhan ekonomi masa hadapan, kita perlu menyediakan landasan bagi mempercepatkan pembangunan berasaskan K-ekonomi. Sektor Perkilangan 47. Bagi sektor perkilangan, industri berasaskan sumber tempatan, terutamanya keluaran perabot, produk oleokimia berasaskan minyak kelapa sawit dan getah, serta industri peralatan elektrik rumah mempunyai potensi permintaan yang tinggi, terutamanya dari Asia Barat dan Afrika. Manakala industri fabrikasi besi dan aluminium dan pengeluaran mesin perlu digiatkan lagi, terutamanya bagi menampung keperluan industri tempatan dan juga eksport, seperti kren, kilang penapis minyak, boilers dan lain-lain fractionation towers untuk kilang kimia dan petrokimia. 48. Barang perantaraan dan barang modal merupakan komponen import negara yang terbesar. Pergantungan import bagi barangan ini wajar dikurangkan. Sebagai usaha untuk mempercepatkan program penggantian import, saya mencadangkan supaya pengecualian cukai pendapatan kepada syarikat yang terlibat dalam aktiviti pengeluaran, dengan izin, machine tools, plastic injection machines, material handling equipment dan robotic, factory automation equipment serta komponen dan parts mesin berkenaan dinaikkan bagi Taraf Perintis daripada 70 peratus kepada 100 peratus dan Elaun Cukai Pelaburan daripada 60 peratus kepada 100 peratus. Bagi syarikat yang mengeluarkan mesin dan peralatan lain seperti fabrikasi kren, kriteria nilai ditambah bagi tujuan pemberian galakan Taraf Perintis 70 peratus atau Elaun Cukai Pelaburan 60 peratus dilonggarkan daripada 30 peratus kepada 20 peratus. 49. Pada masa ini, kos pengiklanan dalam negeri bagi mempromosikan jenama Malaysia yang telah didaftarkan dalam negara diberi potongan dua kali bagi tujuan cukai pendapatan. Sebagai usaha berterusan untuk memperkenal dan memperkembangkan jenama tempatan di pasaran antarabangsa, saya mencadangkan supaya galakan potongan cukai dua kali diperluaskan kepada kos pengiklanan jenama Malaysia yang telah didaftarkan di luar negara dan perbelanjaan ke atas yuran profesional kepada syarikat yang mempromosikan jenama Malaysia. Sektor Pertanian 50. Pertumbuhan sektor pertanian bergantung kepada pengeluaran barangan komoditi sahaja. Terdapat banyak bidang baru yang boleh dimajukan, terutamanya makanan dan keluaran berasaskan sumber seperti getah dan kayu- kayan. Sektor kecil makanan, termasuk daging burung unta dan rusa, sayuran dan buah-buahan, akuakultur ikan air tawar dan air masin, udang dan tiram serta ikan hiasan dan tanaman bungaan boleh diusahakan. Begitu juga keluaran herba tradisional yang mempunyai potensi permintaan yang tinggi. Usaha untuk memperluaskan kegunaan keluaran berasaskan getah, termasuk dengan izin, vulcanised latex, serta keluaran perkayuan hendaklah juga dipertingkatkan. Pengeluaran bahan makanan juga akan memberi rangsangan kepada industri pemerosesan makanan. Kita mempunyai kepakaran untuk membangunkan industri makanan halal yang mempunyai potensi untuk diperluaskan di pasaran antarabangsa. 51. Pelbagai insentif cukai telah disediakan bagi mendorong kemajuan pengeluaran pertanian negara. Dalam Belanjawan 2001 yang lalu, potongan cukai pendapatan bersamaan dengan jumlah pelaburan atau, dengan izin, group relief, diberi kepada syarikat yang melabur dalam syarikat subsidiari yang terlibat dalam pengeluaran bahan makanan. Di samping itu, syarikat yang menjalankan aktiviti pengeluaran bahan makanan juga diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan statutori selama 10 tahun. Insentif ini adalah bagi syarikat yang baru beroperasi sahaja. Bagi memperkukuhkan lagi sektor pertanian agar terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, saya mencadangkan pelaburan semula oleh syarikat yang sedang beroperasi turut diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan statutori tetapi bagi tempoh 5 tahun sahaja. 52. Kerajaan juga menyediakan galakan cukai dalam bentuk elaun 100 peratus ke atas perbelanjaan modal bagi menggalak pengeluaran bahan makanan secara besar- besaran dengan matlamat eksport dan bagi tujuan penggantian import. Galakan ini diberi kepada aktiviti ternakan udang, florikultur dan penanaman buah-buahan yang diluluskan. Dengan ini, saya mencadangkan galakan ini diperluaskan kepada projek pertanian lain seperti tanaman sayur-sayuran, herba, ternakan ikan, termasuk ikan hiasan, kerang dan tiram. 53. Industri ayam-itik akan terus merupakan komponen utama di bawah sektor kecil ternakan. Walaupun penternakan ayam di Malaysia keseluruhannya telah mencapai tahap sara diri, namun aktiviti penternakan ayam di negeri-negeri pantai timur, Sabah dan Sarawak masih boleh dipertingkatkan. Bagi mempastikan permintaan daging ayam dan itik dapat dipenuhi dan bekalannya adalah daripada sumber tempatan, saya mencadangkan aktiviti penternakan ayam-itik di Koridor Timur Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak diberi Taraf Perintis dengan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 85 peratus atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 80 peratus bagi tempoh 5 tahun. 54. Negara kita kaya dengan hasil pertanian seperti getah, kelapa sawit dan kayu-kayan. Pengeluaran daripada sumber ini seperti, dengan izin, vulcanised rubber, dan perabot berpotensi memberi sumbangan terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Aktiviti hiliran berasaskan getah, kayu getah, kayu kelapa sawit dan hampas dari tandan dan buah kelapa sawit boleh memberi manfaat besar kepada negara jika ianya terus digemblengkan sepenuhnya. Bagi mempergiatkan lagi industri berasaskan getah, kelapa sawit dan kayu-kayan serta menggalakkan pengusaha tempatan meningkatkan pelaburan dalam bidang ini, saya mencadangkan syarikat tempatan yang membuat pelaburan semula bagi mengeluarkan produk berasaskan sumber tersebut diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 60 peratus selama 5 tahun. Sektor Perkhidmatan 55. Dalam sektor perkhidmatan, sektor pelancongan dan pendidikan berpotensi untuk dimajukan lagi bukan sahaja untuk menggerakkan aktiviti ekonomi dalam negeri bahkan dapat meningkatkan sumber pertukaran wang asing. 56. Bagi sektor pelancongan, sejumlah 613.9 juta ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Jumlah ini termasuk 200 juta ringgit untuk aktiviti mempromosi industri pelancongan. Untuk menarik lebih ramai pelancong, lebih banyak kemudahan dan produk pelancongan perlu diadakan. Bagi menggalakkan industri pelancongan dengan kapal layar, 20 lokasi telah dikenal pasti berpotensi untuk dibangunkan sebagai pelabuhan marina. Dalam tahun 2002, peruntukan sebanyak 5.4 juta ringgit disediakan bagi pembinaan marina di lima lokasi di pantai barat dan timur Semenanjung. Sehubungan ini, bagi menggalakkan perkhidmatan penyewaan kapal layar mewah, saya mencadangkan supaya pendapatan syarikat daripada sewaan kapal layar atau kapal bermotor mewah, dengan izin, luxury yacht, diberi pengecualian cukai selama 5 tahun. Di samping itu, bagi menggalakkan rekreasi bermotosikal mewah, saya mencadangkan duti import ke atas motosikal mewah dikurangkan daripada 120 peratus kepada 60 peratus. Selaras dengan penurunan ini, saya juga mencadangkan duti import bagi motosikal lain dikurangkan daripada 80 peratus dan 100 peratus kepada 60 peratus. 57. Kerajaan telahpun mengecualikan cukai pendapatan daripada perniagaan pengendalian pelancong asing dan tempatan sehingga tahun taksiran 2001. Sebagai usaha berterusan untuk mencergaskan industri pelancongan, saya mencadangkan had tempoh pengecualian ini dilanjutkan selama 5 tahun lagi. Selanjutnya, untuk mengurangkan kos menyewa kereta kepada pelancong, saya mencadangkan pengusaha kereta sewa diberi pengecualian duti eksais ke atas pembelian kereta nasional. 58. Selain daripada usaha-usaha Kerajaan, sektor swasta perlu meningkat dan mempergiatkan lagi industri pelancongan. Dalam hubungan ini, Kerajaan akan menambah dana bagi Tabung Khas Pelancongan dari 200 juta ringgit kepada 400 juta ringgit. 59. Kerajaan telah berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan, dengan menyediakan banyak galakan untuk memperkembangkan Institusi Pengajian Tinggi Swasta. Justeru itu, untuk mengurangkan kos menyediakan kemudahan pendidikan, saya mencadangkan supaya: i. semua Institusi Pengajian Tinggi Swasta dan institusi bahasa swasta diberi pengecualian duti import, duti eksais dan cukai jualan ke atas peralatan pembelajaran, termasuk kelengkapan makmal, bengkel, studio dan, dengan izin, language lab; dan ii. royalti yang diterima oleh bukan pemastautin dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta bagi skim pendidikan francais diberi pengecualian cukai pendapatan. 60. Bagi menggalakkan industri melabur dalam aktiviti bernilai tambah tinggi dan berkaitan dengan perkilangan seperti perkhidmatan logistik, perkhidmatan sokongan pasaran bersepadu dan juga pusat perkhidmatan utiliti, saya mencadangkan galakan cukai berikut: i. pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus ke atas pendapatan statutori selama 5 tahun; ii. pengecualian cukai pendapatan sebanyak 85 peratus ke atas pendapatan statutori selama 5 tahun bagi projek- projek di Koridor Timur Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak; dan iii. pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas peralatan yang digunakan. Meningkatkan Eksport 61. Bagi mempastikan eksport negara terus berkembang, saya mencadangkan galakan cukai untuk eksport diperkukuhkan lagi iaitu: i. syarikat Malaysia yang telah diiktiraf sebagai syarikat perdagangan antarabangsa diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan 10 peratus ke atas peningkatan nilai eksport dan kriteria kelayakan seperti nilai jualan tahunan dilonggarkan; ii. pengecualian cukai pendapatan kepada syarikat yang mengeksport perkhidmatan ditingkatkan daripada 10 peratus kepada 50 peratus daripada peningkatan nilai eksport; iii. pengecualian cukai pendapatan diberi kepada penganjur pameran perdagangan antarabangsa yang melibatkan sekurang- kurangnya 500 orang pelawat asing setahun; iv. potongan 2 kali bagi tujuan cukai pendapatan untuk promosi eksport barangan dan perkhidmatan diluaskan kepada beberapa perbelanjaan seperti penyertaan dalam virtual trade show dan bayaran kajian kemungkinan untuk menyertai tender di luar negara; dan v. potongan bagi tujuan cukai pendapatan dibenarkan bagi perbelanjaan ke atas pendaftaran paten di luar negara dan bayaran sewa hotel kepada bakal pengimport barangan Malaysia. Strategi Ketiga: Menentukan agihan kekayaan menjadi lebih saksama antara bandar dan luar bandar, antara yang berpendapatan rendah dengan yang berpendapatan tinggi dan antara negeri-negeri yang kurang maju dengan yang lebih maju 62. Di waktu ini, jurang pendapatan antara yang termiskin dengan yang terkaya agak luas. Kita tidak nafi bahawa yang kaya menyumbang kepada pembangunan negara melalui perbelanjaan dan pelaburan mereka. Secara langsung dan tidak langsung mereka mewujudkan peluang-peluang kerja dan perbelanjaan mereka menyumbang kepada kelarisan perniagaan, keuntungan dan pendapatan pekerja dalam aneka jenis perniagaan dan perusahaan. 63. Tetapi jika daya beli golongan yang berpendapatan rendah dapat ditingkatkan, mereka juga boleh membuat sumbangan yang sama kerana walaupun pendapatan mereka rendah tetapi bilangan mereka amat ramai dan jumlah perbelanjaan mereka juga tentulah tinggi. Jika pendapatan mereka dapat ditambah, maka jumlah perbelanjaan mereka boleh menyumbang secara berkesan kepada KDNK negara. Oleh itu, usaha akan dibuat untuk meningkatkan pendapatan golongan mereka yang berpendapatan rendah. 64. Untuk ini, Kerajaan akan memperuntukkan wang untuk melatih pekerja dalam berbagai kemahiran pertanian moden. Dengan bertambahnya kecekapan mereka, maka upah bagi mereka juga akan turut naik. Kerajaan akan belanjakan wang sebanyak 10 juta ringgit untuk melaksanakan program-program latihan kemahiran di pusat- pusat latihan yang berkenaan. 65. Pendapatan kontraktor kecil Kelas F akan ditingkatkan melalui lebih banyak projek-projek kecil di kawasan luar bandar. Bagi mereka yang berminat, latihan akan diberi dalam bidang pengurusan projek supaya menjadi lebih cekap dan kelas mereka dapat dinaikkan dengan lebih cepat. Sistem pembayaran dan kemudahan pinjaman bagi yang mempunyai rekod yang baik akan diwujudkan. 66. Peluang perniagaan runcit di kampung dan di bandar- bandar yang baru dibangun akan dikenal pasti. Pihak yang berminat dan mempunyai sedikit modal, umpamanya dari ganjaran persaraan atau dari KWSP dan punca lain, akan diberi latihan dan peluang penyertaan dalam perniagaan francais yang telah dikenal pasti berdaya maju. Mereka yang sudahpun terlibat dalam bidang ini akan dibantu supaya dapat berkembang maju. Namun, perlu ditegaskan di sini bahawa minat dan ketekunan amatlah penting. Mereka yang ingin kaya cepat tidak boleh melihat pendekatan ini sebagai cara untuk menjayakan cita-cita besar mereka. 67. Penubuhan estet tanaman campuran atau dengan izin, mixed farming akan diberi galakan. Pengurusan estet- estet ini perlu dibuat oleh pengurus profesional yang mendapat ijazah dalam bidang ini dari universiti. Pekerja estet ini juga akan terdiri dari pekerja yang terlatih yang akan dibayar upah yang selaras dengan produktiviti mereka dan kecekapan mereka mengguna teknologi pertanian yang canggih. Pembangunan pertanian moden akan digalakkan di negeri-negeri yang memiliki tanah yang luas dan pendapatan per kapita kurang daripada purata negara. Pembangunan Luar Bandar 68. Bagi meningkatkan lagi kemudahan dan keselesaan rakyat luar bandar, Belanjawan 2002 menyediakan peruntukan terbesar pernah diberikan iaitu sebanyak 5.34 bilion ringgit. Ini antaranya melibatkan 1.58 bilion ringgit untuk pertanian, 378 juta ringgit bagi pembangunan tanah dan wilayah serta 392 juta ringgit untuk pembangunan kampung dan masyarakat. Peruntukan ini adalah termasuk bagi melaksanakan projek jalan luar bandar, jalan kampung serta menyediakan bekalan air dan elektrik. 69. Kerajaan juga akan mempertingkatkan tahap liputan bekalan air bersih kepada 99 peratus di Semenanjung, 75 peratus di Sabah dan Sarawak dan 100 peratus bekalan elektrik menjelang akhir Rancangan Malaysia Kelapan. Untuk mencapai tujuan ini, sebanyak 185 juta ringgit disediakan bagi bekalan air luar bandar, yang akan diberi tumpuan khas di kawasan pendalaman, terutama di Sabah dan Sarawak. Sebanyak 211 juta ringgit lagi disediakan untuk bekalan elektrik luar bandar, termasuk kos pemasangan lampu jalan bagi 16,207 buah kampung di seluruh negara. 70. Bagi perkhidmatan kesihatan luar bandar, Kerajaan akan meneruskan program kesihatan keluarga yang disediakan di klinik bidan, klinik desa dan klinik kesihatan. Melalui program seperti teleprimary care, perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan akan menggalakkan pembangunan keluarga yang sihat yang meliputi kesihatan wanita dalam kumpulan produktif, pembangunan kanak-kanak serta penjagaan kesihatan remaja, warga tua dan golongan istimewa. Di samping itu, sebanyak 383 projek klinik kesihatan disediakan peruntukan berjumlah 202 juta ringgit sementara 13 projek Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekitar atau BAKAS disediakan peruntukan berjumlah 8 juta ringgit. Projek BAKAS merangkumi sistem pembinaan bekalan air, tandas sanitari serta pengurusan sisa pepejal dan air limpah. 71. Program pendidikan luar bandar juga diberi tumpuan. Bagi projek sekolah rendah dan menengah sebanyak 900 juta ringgit diperuntukkan, sementara 100 juta ringgit lagi disediakan untuk 6 buah projek baru kolej matrikulasi. Sejumlah 205.5 juta ringgit pula diperuntukkan bagi menyediakan kemudahan fizikal dan pembinaan makmal komputer sekolah. Manakala, untuk mempastikan keselesaan tempat tinggal guru-guru, sebanyak 7,800 unit akan dibina dengan peruntukan sebanyak 215 juta ringgit. Ini merupakan sebahagian daripada matlamat untuk menyediakan kemudahan sebanyak 40 ribu buah rumah guru. 72. Tumpuan akan juga diberikan bagi meningkatkan pendidikan di luar bandar di Sabah dan Sarawak. Untuk ini, sebanyak 180 juta ringgit diperuntukkan untuk pembinaan dan menaik taraf rumah guru serta menyediakan kemudahan bekalan air bersih dan elektrik di sekolah- sekolah. 73. Bagi Program Orang Asli, tumpuan diberikan kepada usaha mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan mereka. Ini, termasuk usaha untuk mengatasi masalah keciciran melalui Program Pembangunan Minda dan mempergiatkan Program Pendidikan Pra-Sekolah melalui aktiviti TASKA dan TADIKA. Sebanyak 114.1 juta ringgit disediakan bagi pembangunan Orang Asli, melibatkan 412 buah kampung. Masyarakat Penyayang 74. Bagi Program Kebajikan Masyarakat, sebanyak 136.5 juta ringgit disediakan di bawah Perbelanjaan Mengurus dan 57.3 juta ringgit di bawah Perbelanjaan Pembangunan. Antara program yang dilaksanakan, termasuk program memberi manfaat kepada penghuni di 52 institusi kebajikan. Untuk meningkatkan lagi keselesaan penghuni dan keceriaan persekitaran, kerja pembaikan dan naik taraf institusi tersebut akan dilaksanakan. 75. Kerajaan akan terus memberi perhatian kepada golongan rakyat miskin supaya nasib mereka sentiasa terbela. Program Kesejahteraan Rakyat yang dulunya dikenali sebagai Program Pembangunan Rakyat Termiskin akan memberi keutamaan kepada negeri-negeri yang mempunyai ramai rakyat miskin, termasuk Kelantan dan Terengganu. Bagi tujuan ini, sejumlah 204.5 juta ringgit diperuntukkan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Antara program yang dilaksanakan, termasuklah pemulihan sikap keluarga miskin, membantu keupayaan mereka menambah pendapatan, program makanan tambahan keluarga termiskin, pembasmian kemiskinan di bandar, peningkatan pertanian dan ekonomi kampung, program pemulihan rumah dan pembangunan masyarakat setempat. 76. FELDA juga memberikan bantuan dalam bentuk sokongan harga kepada peneroka kelapa sawit dan getah semasa menghadapi kejatuhan harga komoditi. Bagi peneroka kelapa sawit, mereka diberi bantuan sebanyak 12 ringgit bagi setiap 1 tan metrik jika harga kelapa sawit jatuh di bawah paras 900 ringgit setiap 1 tan metrik. Manakala untuk peneroka getah, bantuan diberi sebanyak 15 sen bagi setiap 1 kilogram sekiranya harga getah turun di bawah paras 2 ringgit 50 sen setiap 1 kilogram. 77. Sementara itu, RISDA telah memperuntukkan sebanyak 3 juta ringgit setiap tahun bagi program meningkatkan pendapatan keluarga termiskin, menyediakan tempat tinggal yang lebih selesa dan mengubah sikap, gaya berfikir dan corak bekerja yang boleh membantu menambah pendapatan mereka. Di samping itu, kadar bantuan maksimum sebanyak 250 ringgit sebulan telah diberikan bagi setiap keluarga bergantung kepada bilangan tanggungan penerima. Bagi tempoh Julai 1999 hingga Disember 2000, seramai 667 keluarga telah mendapat bantuan ini, berjumlah 2.5 juta ringgit. 78. Kerajaan akan memberi bantuan kepada pelajar- pelajar cacat pendengaran yang memasuki institusi pengajian tinggi tempatan dalam bentuk pelajaran percuma, kemudahan penginapan dan makanan percuma serta diberikan wang saku sebanyak 300 ringgit sebulan mulai 1 Januari 2002. Bagi tujuan ini, peruntukan sebanyak 403 ribu ringgit akan disediakan pada tahun 2002 untuk 112 orang pelajar istimewa. Pemberian ini akan meringankan beban kewangan keluarga mereka dan mereka sendiri. 79. Kerajaan sedar kesan daripada penurunan kadar faedah oleh institusi perbankan dan kewangan, pendapatan bagi golongan yang bergantung kepada hasil simpanan, terutamanya golongan pesara, terjejas. Oleh itu, bagi menyediakan sumber pendapatan alternatif, Bank Negara Malaysia akan menerbitkan Bon Simpanan Malaysia Siri Ketiga yang dikhaskan kepada warga negara yang berumur lebih 55 tahun dan organisasi kebajikan yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan. Sejumlah 1 bilion ringgit akan ditawarkan dengan kadar pulangan sebanyak 5 peratus. Separuh daripada jumlah ini akan diterbitkan berlandaskan prinsip Islam. 80. Perumahan merupakan keperluan asas dan usaha-usaha telah dipergiatkan lagi untuk menambahkan kemudahan perumahan, khususnya rumah kos rendah. Sejumlah 943 juta ringgit diperuntukkan bagi menampung pelbagai projek perumahan kos rendah. Peruntukan ini, termasuk 143 juta ringgit untuk meneruskan 124 projek Perumahan Awam Kos Rendah yang diberi secara pinjaman kepada Kerajaan-kerajaan Negeri, 793 juta ringgit untuk meneruskan pelaksanaan Program Perumahan Rakyat Bersepadu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan di bandar lain untuk disewakan kepada golongan rakyat berpendapatan rendah. Atas keprihatinan Kerajaan, pembinaan perumahan awam kos rendah turut menyediakan kemudahan khusus bagi golongan istimewa. 81. Kerajaan juga mengambil berat tentang masalah perumahan yang dihadapi oleh kakitangan sektor awam, terutamanya anggota Angkatan Tentera dan Polis. Peruntukan sebanyak 1.08 bilion ringgit disediakan di mana 710 juta ringgit untuk perumahan pasukan Angkatan Tentera, 197 juta ringgit bagi perumahan pasukan Polis dan bakinya, 173 juta ringgit untuk menyediakan perumahan bagi kakitangan awam. 82. Selaras dengan hasrat rakyat sihat negara maju, Kerajaan akan terus meningkatkan kemudahan perkhidmatan kesihatan. Sebanyak 6.3 bilion ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan untuk meneruskan antara lain, pelaksanaan projek hospital, klinik kesihatan dan klinik desa. Antara aktiviti kesihatan dan perubatan yang akan diberi tumpuan ialah meningkatkan kesihatan wanita dan kanak-kanak, kawalan penyakit, pemakanan sihat serta bekalan peralatan dan kemudahan yang moden. Wanita 83. Bagi mengiktiraf peranan wanita dalam pembangunan ekonomi, Kerajaan telah menubuhkan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga. Dengan penubuhan Kementerian ini, isu dan masalah yang spesifik berkaitan wanita, termasuk kanak-kanak dan kekeluargaan dapat diberi tumpuan dan perhatian dengan lebih khusus. Dalam hubungan ini, Artikel 8(2) Perlembagaan Persekutuan telah dipinda bagi memasukkan perkataan gender supaya tiada lagi sebarang undang-undang atau dasar yang mendiskriminasikan wanita. Kementerian juga melancarkan kempen Wanita Anti Keganasan pada 23 Julai 2001, dengan matlamat menghentikan sebarang keganasan ke atas wanita. 84. Kerajaan juga sedar bahawa kadar penyertaan tenaga buruh wanita dengan izin, female labour force participation rate adalah di paras 44.5 peratus, lebih rendah daripada 60 peratus di negara-negara maju. Sesungguhnya, wanita di negara ini bertuah kerana Kerajaan sentiasa memberi galakan dan peluang yang saksama untuk menceburi sebarang bidang pekerjaan, tidak seperti di negeri-negeri tertentu yang tidak menggalakkan kaum wanitanya bekerja, walaupun Saidatina Khadijah, isteri baginda Rasulullah merupakan usahawan terunggul dan terkaya di zamannya. Seorang lagi isteri Nabi, iaitu Saidatina `Aisyah telah mengetuai pasukan perang dalam peperangan Jamal dan ramai wanita yang bertugas memberi rawatan kepada tentera Islam yang cedera dalam peperangan. Kita harus ingat, penduduk Malaysia yang beragama Islam hanyalah 60 peratus. Separuh daripada mereka adalah wanita. Jika tenaga wanita tidak dibenar menyumbang kepada pembangunan orang Islam, tenaga orang Islam akan berkurangan kepada 30 peratus. Mereka sudah pun lemah. Mereka akan jadi lebih lemah lagi. 85. Program khusus bagi meningkatkan kualiti hidup wanita, terutamanya di luar bandar, membangunkan usahawanita serta menghapuskan perbezaan gender dalam semua lapangan akan diberikan lebih perhatian. Pelaksanaan langkah-langkah ini menunjukkan komitmen Kerajaan supaya wanita diberi peluang yang sama rata dalam semua bidang. Sejumlah 59 juta ringgit diperuntukkan bagi membiayai program khusus untuk wanita. 86. Pada masa ini balu-balu yang menerima bayaran pencen suami yang telah meninggal akan kehilangan pencen jika mereka berkahwin semula. Saya mencadangkan supaya bayaran pencen ini terus diberikan walaupun selepas mereka berkahwin semula. Adalah diharap tidak ramai yang akan mengambil isteri muda dan meninggalkan isteri yang tua kerana peruntukan ini. Belia dan Sukan 87. Golongan belia merupakan sumber dan aset terbesar kepada negara serta mereka berpotensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara. Sehubungan dengan ini, Program Rakan Muda akan diteruskan dengan pengisian baru dan akan dijadikan agenda nasional di dalam membantu menangani masalah remaja. Seramai 3.5 juta belia di dalam lebih 35,250 aktiviti di peringkat nasional, negeri dan daerah akan terlibat dengan program ini. Di samping itu, Program Khidmat Sosial Negara juga yang bertujuan membina jatidiri dan membentuk perilaku yang baik untuk golongan remaja akan diperluaskan penyertaannya kepada 20 ribu remaja. Peserta untuk program ini adalah pelajar yang sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM. Selain daripada itu, promosi dan publisiti Program Rakan Muda perlu diaturkan secara berterusan untuk menarik minat golongan remaja menyertai aktiviti-aktiviti Rakan Muda yang sesuai dengan citarasa mereka. Sejumlah 81.8 juta ringgit telah disediakan untuk program-program ini. 88. Kerajaan ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada kontinjen Sukan SEA negara di atas kejayaan gilang gemilang memenangi 111 pingat emas, yang merupakan pencapaian cemerlang negara yang belum pernah diperolehi sejak Sukan SEA diadakan. Latihan untuk atlit negara akan diteruskan secara lebih serius supaya prestasi negara dalam Sukan Asia dan Olimpik akan cemerlang. 89. Aktiviti sukan, rekreasi dan kecergasan akan diperluaskan. Melalui konsep sukan untuk semua, lebih banyak aktiviti yang berbentuk pertandingan di peringkat akar umbi akan dianjurkan. Selain daripada itu, sukan baru seperti sukan lasak dan sukan bermotor akan terus diperkenalkan melalui pertandingan dan penganjuran sesi demo. Pada tahun 2002, Malaysia akan menjadi tuan rumah untuk menganjurkan sukan lasak peringkat Asia. Melalui sukan baru ini, dijangka minat generasi muda untuk mengisi masa lapang dengan kegiatan yang berfaedah akan terus meningkat. Membanteras Gejala Sosial 90. Masalah sosial semakin berleluasa. Akhir-akhir ini, negara kerapkali dikejutkan dengan kejadian yang tidak berperi kemanusiaan. Perpaduan yang sekian lama dinikmati telah dicemari oleh insiden di Kampung Medan. Keruntuhan moral remaja semakin membimbangkan. Jumlah penagih dadah dan pengidap HIV-Aids kian meningkat. Penjenayah semakin ganas. 91. Pengalaman pahit tahun 1969 mengingatkan kita betapa pentingnya perpaduan kaum sentiasa dipupuk dan dipelihara. Beberapa program yang bermatlamatkan perpaduan telah diatur. Manakala program yang bertujuan membangkitkan kesedaran masyarakat serta menimbulkan rasa tanggungjawab untuk menangani isu sosial terus dilaksanakan. Sehubungan ini, sebanyak 6.8 juta ringgit telah diperuntukkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat untuk melaksanakan program di bawah Pelan Induk Tindakan Sosial atau PINTAS. Pelan ini merangka langkah bagi mewujudkan kerjasama dan penglibatan semua pihak untuk membantu semua anggota masyarakat supaya hidup sihat sejahtera dan tidak terjebak ke dalam gejala sosial. Manakala bagi Program Khidmat Sosial Negara di bawah Kementerian Belia dan Sukan yang bertujuan mengatasi masalah sosial di kalangan golongan remaja lepasan Sekolah Menengah, disediakan peruntukan sebanyak 7.7 juta ringgit. 92. Untuk menangani masalah dadah dan jenayah, sejumlah 312.4 juta ringgit disediakan. Daripada jumlah ini, 140.4 juta ringgit adalah bagi meneruskan usaha pencegahan, terutamanya bagi membenteras penyeludupan dan penyalahgunaan dadah di samping meningkatkan usaha rawatan kepada penagih. Badan sukarela seperti PEMADAM dan PENGASIH turut disediakan peruntukan sebanyak 282,500 ringgit. Manakala baki peruntukan sebanyak 172 juta ringgit disediakan untuk mempercepatkan penyiasatan dan penyelesaian kes jenayah melalui peningkatan penggunaan teknik moden seperti penggunaan profail DNA bagi mengesan penjenayah. 93. Untuk membantu badan sukarela bukan Kerajaan meningkatkan aktiviti mencegah penyakit AIDS, penyalahgunaan dadah dan program HOSPIS bagi rawatan pesakit kanser yang tenat, Kerajaan akan memberi matching grant pada nisbah bantuan sebanyak 1 ringgit bagi setiap 1 ringgit yang dikeluarkan oleh badan ini tertakluk kepada had 1 juta ringgit. Satu peruntukan khas akan diadakan untuk penagih dadah yang mengidap penyakit HIV-Aids. 94. Kesedaran tentang bahaya merokok kepada kesihatan masih lagi rendah di kalangan rakyat dan kini tabiat merokok yang telah menular ke peringkat pelajar sekolah amat membimbangkan. Menyedari hakikat ini, saya mencadangkan duti import bagi rokok dinaikkan daripada 180 ringgit sekilogram kepada 216 ringgit sekilogram manakala duti eksais pula dinaikkan daripada 40 ringgit sekilogram kepada 48 ringgit sekilogram. Kerajaan sedar langkah menaikkan cukai rokok pasti menarik lebih banyak penyeludupan. Untuk itu, pendekatan yang lebih agresif dan berkesan akan diambil bagi mempastikan penyeludupan dapat ditangani dengan meningkatkan lagi kecekapan pentadbiran Jabatan Kastam dan pihak berkuasa yang terlibat. 95. Kerajaan mengiktiraf dan menghargai semangat kesukarelawan dan komitmen yang ditunjukkan oleh pelbagai badan sukarela. Sehubungan dengan ini, geran mengurus sebanyak 22.9 juta ringgit dan geran pembangunan sebanyak 6 juta ringgit diperuntukkan kepada 375 badan sukarela kebajikan. Di antara kemudahan baru yang akan dikendalikan oleh NGO ialah empat Pusat Harian Warga Tua yang dijangka beroperasi pada tahun 2002. Sebuah institusi baru, iaitu Kompleks Penyayang BAKTI Sungai Buloh telah dibina untuk memberi perkhidmatan jagaan dan perlindungan kepada kanak- kanak, warga tua dan ibu tunggal. Di samping itu, sebanyak 10 juta ringgit disediakan untuk badan sukarela yang memberi perkhidmatan haemodialisis. Sektor Perkhidmatan Awam 96. Kerajaan menghargai sumbangan perkhidmatan awam dalam menerajui usaha pembangunan. Kerajaan juga sedar bahawa dengan sokongan dan komitmen anggota perkhidmatan awam, dasar dan program bagi faedah rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan. Saya percaya prestasi baik dan profesionalisma perkhidmatan awam dapat terus dipertingkatkan, lebih-lebih lagi dalam keadaan suasana semasa yang sukar. Janganlah keadaan ini melunturkan semangat, sebaliknya jadikanlah ia sebagai cabaran dan asas perjuangan dengan mencurahkan sepenuh khidmat bakti untuk terus melangkah ke hadapan. Negara sangat memerlukan pengorbanan semua kakitangan awam. Kita tidak perlu mengangkat senjata. Perjuangan kita lebih kepada mempertahankan keutuhan ekonomi serta memartabatkan kedaulatan negara. Kita perkukuhkan semangat, gandakan usaha, tingkatkan amanah dan kejujuran serta amalkan budaya kerja cemerlang. 97. Bagi menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti serta komitmen dan dedikasi semua kakitangan perkhidmatan awam, Kerajaan akan memberi bonus sebanyak setengah bulan gaji atau sekurang-kurangnya 1,000 ringgit bagi tahun 2001. Pembayaran akan dibuat separuh pada bulan Oktober dan separuh lagi pada bulan November ini. Saya berharap ganjaran ini dapat digunakan untuk menampung perbelanjaan, terutamanya bagi menyambut perayaan dan juga sebagai persediaan bagi perbelanjaan persekolahan anak-anak. Kerajaan juga amat prihatin terhadap pendapatan pegawai dan kakitangannya. Oleh yang demikian, sekiranya Kerajaan mampu, Kerajaan boleh menimbangkan kenaikan gaji kakitangannya. Pelarasan gaji yang terakhir telah dibuat pada tahun 1995. Pada tahun 2000, Kerajaan telah menaikkan gaji pokok sebanyak 10 peratus. Pada tahun 2002, iaitu hanya 2 tahun setelah kenaikan tersebut, Kerajaan memutuskan untuk sekali lagi menaikkan gaji sebanyak 10 peratus, atau tambahan pendapatan berjumlah 1.2 bulan gaji setahun. Tambahan ini dapat dibuat memandangkan hasil Kerajaan telah meningkat kerana pertumbuhan ekonomi dan pengurusan kewangan yang berhemat atau prudent yang mengelak dari perbelanjaan yang membazir. Kerajaan berharap pemberian bonus dan kenaikan gaji ini bersama dengan penghapusan sekatan bonus kepada sektor swasta akan dapat meningkatkan kuasa beli sebenar sebahagian besar dari rakyat. Saya berharap ianya juga akan mendorong kita semua untuk melipatgandakan usaha ke arah meningkatkan lagi produktiviti dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. 98. Bagi menjadikan skim perkhidmatan Pegawai Perubatan Awam lebih menarik, kadar Elaun Kerja Luar Waktu dinaikkan antara 25 hingga 50 peratus mulai 1 Oktober 2001. Kenaikan ini diharap dapat meningkatkan lagi motivasi Pegawai Perubatan yang dibebankan dengan kerja tambahan serta mengurangkan perbezaan imbuhan yang diterima oleh Pegawai Perubatan Kerajaan dengan swasta. 99. Untuk menghargai penyertaan dan sumbangan anggota sukarela di dalam pasukan keselamatan, khususnya Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Pertahanan Awam, kadar Saguhati Tahunan bagi pegawai dan anggota dinaikkan daripada 400 ringgit kepada 520 ringgit, iaitu kenaikan sebanyak 30 peratus mulai 1 Oktober 2001. 100. Bagi anggota sukarela Angkatan Tentera Malaysia, kadar pemberian pakar, dengan izin, specialist grant yang tidak pernah dikaji semula semenjak tahun 1958, dinaikkan 100 peratus daripada 150 ringgit kepada 300 ringgit setahun bagi pegawai, manakala bagi lain-lain pangkat dinaikkan daripada 100 ringgit dan 75 ringgit setahun kepada 200 ringgit setahun mulai 1 Oktober 2001. Pembangunan Islam 101. Kerajaan amat prihatin terhadap kefahaman dan pengetahuan agama Islam yang sebenar serta pembangunan masyarakat Islam di negara ini. Selaras dengan itu, Kerajaan akan terus menyediakan peruntukan secukupnya di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk faedah masyarakat Islam. Sebanyak 294.3 juta ringgit diperuntukkan bagi pelaksanaan program pembangunan untuk institusi keluarga dan khidmat sosial, peningkatan kefahaman dan penghayatan Islam, pendidikan di sekolah agama dan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain. Di samping itu, Kerajaan juga akan terus melaksanakan beberapa program pembangunan di bawah JAKIM. Ini, termasuk pengubahsuaian dan pembinaan masjid, kompleks latihan Islam, pembinaan sekolah agama serta pembangunan sistem maklumat. 102. Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk memenuhi bilangan yang diwajibkan bagi penghafal Al-Quran, kapasiti Maahad Tahfiz Darul Quran di Kuala Kubu Bharu, Selangor akan dipertingkatkan, apabila fasa dua projek pembinaan Maahad Tahfiz tersebut siap kelak. 103. Kerajaan juga bercadang melaksanakan lebih banyak program kefahaman Islam yang sebenar kepada pelajar- pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, pegawai dan kakitangan Kerajaan serta swasta menerusi kursus pengukuhan akidah, pembinaan sahsiah, penghayatan Islam dan pembinaan insan. Matlamat Kerajaan ialah untuk mewujudkan masyarakat yang bertaqwa di kalangan umat Islam. Ini hanya akan tercapai jika tidak ada penyelewengan oleh mereka yang dipertanggungjawabkan untuk mengajar agama Islam. Jika didapati ada mana-mana pihak yang mengajar ajaran yang bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar, umpamanya mengajar membenci orang Islam lain, menolak persaudaraan dalam Islam, mengajar bahawa orang Islam tertentu adalah kafir, menyebar fitnah, maka peruntukan akan dihentikan. Peruntukan yang diberi adalah untuk mengembangkan pengetahuan agama Islam dan bukan sebaliknya. Implikasi Cadangan Cukai 104. Pengurangan dan penghapusan cukai yang dicadangkan akan melibatkan kehilangan hasil Kerajaan sebanyak 1.2 bilion ringgit. Pada masa yang sama, Kerajaan juga telah meningkatkan perbelanjaan sebagai langkah merangsang kegiatan ekonomi dalam negeri. Oleh itu, Kerajaan perlu mencari sumber yang boleh meningkatkan hasil supaya kedudukan kewangan terus kukuh. Kerajaan tidak bercadang untuk meningkatkan kadar cukai perkhidmatan, namun bercadang mengurangkan nilai jualan tahunan cukai tersebut. Oleh yang demikian, saya mencadangkan: i. nilai jualan tahunan bagi tujuan pengenaan cukai perkhidmatan bagi restoran, bar, snek bar dan coffee house, kelab persendirian dan syarikat pengiklanan dikurangkan daripada 500 ribu ringgit kepada 300 ribu ringgit; dan ii. nilai jualan tahunan sebanyak 300 ribu ringgit ke atas perkhidmatan profesional dikurangkan kepada 150 ribu ringgit. Dalam hubungan ini, Kerajaan akan meningkatkan penguatkuasaan dan mengadakan street surveys, dengan izin, supaya mereka yang cuba mengelak dari membayar cukai di banteras. 105. Di samping itu, Kerajaan telah menyediakan bantuan subsidi yang besar sebanyak 4.4 bilion ringgit. Lebih separuh daripada jumlah ini adalah bagi subsidi bahan petroleum. Bagi mengurangkan beban kewangan Kerajaan, saya mencadangkan supaya subsidi ini dikurangkan dengan meningkatkan harga runcit diesel sebanyak 10 sen seliter. Bagi subsidi diesel, ianya dihadkan kepada bekalan untuk kegunaan pengangkutan darat, Kerajaan dan bot nelayan sahaja. Selaras dengan kenaikan ini, saya juga mencadangkan harga runcit petrol dinaikkan sebanyak 10 sen seliter. Langkah ini berkuatkuasa pada 20 Oktober 2001. IV. PROSPEK EKONOMI TAHUN 2002 106. Perkembangan ekonomi dan perdagangan dunia pada tahun 2002 diramalkan masih tidak menentu. Kita kurang pasti Amerika Syarikat berupaya mengelakkan kemelesetan. Kita meramalkan, pemulihan ekonominya akan memakan masa. Bagi ekonomi Jepun, prospek untuk pulih juga kurang menggalakkan. Dengan senario ekonomi luaran sebegini, pertumbuhan ekonomi negara perlu diterajui oleh kegiatan ekonomi dalam negeri. Pertumbuhan ekonomi dijangka meningkat antara 4 hingga 5 peratus dengan saiz KDNK mencapai paras 370 bilion ringgit. Kesemua sektor ekonomi utama terus mencatat pertumbuhan dengan diterajui oleh sektor perkilangan dan perkhidmatan. Peningkatan sektor perkilangan khususnya akan didorong oleh pemulihan permintaan global bagi barangan elektronik manakala bagi sektor perkhidmatan digiatkan oleh kecergasan aktiviti ekonomi dalam negeri yang berterusan. Permintaan dalam negeri mengikut harga semasa dijangka meningkat 5.5 peratus dengan didorong oleh pertambahan dalam perbelanjaan sektor swasta sebanyak 6.6 peratus. Bagi sektor awam pula, walaupun terus berkembang, namun pada kadar yang lebih rendah sebanyak 3.1 peratus. 107. Prospek ekonomi yang menggalakkan ini mampu dicapai kerana asas-asas ekonomi negara yang terus kukuh. Rizab antarabangsa negara berjumlah 113.7 bilion ringgit atau 29.9 bilion dolar pada 15 Oktober 2001, mampu membiayai 4.7 bulan import tertangguh. Imbangan perdagangan luar mencatat lebihan untuk 46 bulan berturut-turut bagi tempoh November 1997 hingga Ogos tahun ini. Kadar tabungan kasar negara masih di tahap tinggi, melebihi satu pertiga daripada KDNK. Sistem perbankan negara pula teguh, dengan nisbah modal berwajaran risiko kini sebanyak 12.6 peratus, melebihi paras 8 peratus piawaian antarabangsa. Hutang luar jangka pendek negara berada di paras rendah, sebanyak 5.2 peratus daripada KDNK, sementara nisbah khidmat hutang dengan izin, debt service ratio, juga kekal rendah. 108. Memandangkan prospek ekonomi adalah lebih baik pada tahun depan, pendapatan per kapita dijangka meningkat 4.7 peratus kepada 13,962 ringgit bagi tahun 2002 berbanding 13,333 ringgit pada tahun 2001. Dengan inflasi terus dikawal pada paras yang rendah, pendapatan per kapita dalam purchasing power parity meningkat lebih tinggi lagi sebanyak 5.1 peratus kepada 9,403 dolar Amerika, melebihi 8,944 dolar pada tahun 2001. Kedudukan ini menggambarkan tahap kuasa beli rakyat yang lebih tinggi dalam negeri. 109. Kerajaan akan terus melaksanakan langkah-langkah bukan konvensional mengikut cara kita tersendiri yang telah terbukti berkesan dan berjaya dalam menguruskan ekonomi negara. Sehubungan ini, penetapan kadar pertukaran ringgit kepada dolar akan diteruskan. Namun, Kerajaan akan sentiasa mengawasi perkembangan dalam dan luar negeri demi memastikan nilai ringgit selaras dengan asas-asas makroekonomi negara. Memandangkan kepada pergolakan dalam pasaran mata wang asing antarabangsa, Kerajaan akan terus berusaha memastikan kadar pertukaran asing terus stabil. 110. Pergolakan dalam persekitaran luar berlaku ketika negara baru sahaja berada di tahun pertama tempoh Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga dan Rancangan Malaysia Kelapan. Bagi mencapai matlamat jangka panjang Wawasan 2020 untuk menjadi sebuah negara maju sepenuhnya, kedua-dua Rancangan tersebut perlu pertumbuhan purata tahunan sebanyak 7.5 peratus. Memandangkan pertumbuhan ekonomi pada tahun 2001 dan 2002 lebih perlahan, negara perlu melipatgandakan usaha untuk memesatkan lagi kadar pertumbuhan pada tahun- tahun akan datang. 111. Dengan asas ekonomi negara yang terus kukuh, Insya Allah kita pasti berjaya mencapai matlamat pertumbuhan dengan syarat kita bersungguh-sungguh melipatgandakan usaha ke arah menuju sasaran tersebut. Pengalaman semasa krisis kewangan dahulu telah membuktikan negara mampu menangani kemelesetan paling teruk di mana ekonomi telah merosot sebanyak 7.4 peratus dalam tahun 1998. Namun, ekonomi berjaya dipulihkan semula dengan pantas pada tahun-tahun berikutnya. Ini telah membolehkan sasaran pertumbuhan purata 7 peratus bagi Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua dicapai sepenuhnya. V. PENUTUP 112. Belanjawan kali ini dibentangkan semasa persekitaran luar sedang bergolak hebat. Pada masa yang sama, walaupun ekonomi telah berada di landasan yang kukuh, namun masih wujud beberapa cabaran dalam negeri yang belum selesai. Kini timbul pula isu keganasan dan ancaman kepada perpaduan negara. Kita perlu sedar bahawa antara prasyarat utama dalam usaha melangkah ke hadapan ialah keamanan dan kedamaian. Apalah ertinya perancangan dan program pembangunan yang hebat-hebat, jika tiada keharmonian dan kestabilan. Sesungguhnya ekstrimism tidak ada tempat di negara ini. Kita mempunyai proses demokrasi yang tulin. Setiap rakyat berhak memilih pemimpin melalui peti undi secara aman tanpa perlu bertindak secara keterlaluan, mengangkat senjata atau mencetuskan huru hara. Sikap melampau juga bercanggah dengan prinsip ajaran setiap agama, sudah tentu oleh agama Islam yang sentiasa menanamkan sikap cintakan hubungan kemanusiaan dan kesejahteraan. Islam tidak suka kepada orang yang mencetuskan kacau bilau seperti firman Allah dalam ayat 77 surah Al-Qasas yang bermaksud: "... dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang membuat kerosakan". Tidak disebut dalam firman ini bahawa kita harus berbuat baik kepada orang Islam sahaja. Selagi orang lain tidak bermusuh dengan kita, kita harus buat baik dan berlaku adil kepada mereka. 113. Sejak empat dekad yang lalu, negara telah mencatatkan kemajuan cemerlang sehingga menjadi contoh kepada seluruh dunia. Kemajuan yang telah kita capai bukan datang bergolek. Ia juga bukan kerana negara kita mempunyai sumber alam yang banyak. Kemajuan ini dicapai kerana perancangan, kerana dasar dan strategi, kerana kecekapan pentadbiran, kerana tidak dilanda rasuah secara meluas, kerana keamanan dan kestabilan, kerana pegangan kepada nilai-nilai mulia yang secocok dengan ajaran agama. Terpenting sekali ialah, kerana usaha gigih, pengorbanan dan ikhtiar oleh rakyat. Keranamu Malaysia. 114. Kesejahteraan rakyat turut menjamin keutuhan negara. Masyarakat dengan jati diri, nilai moral dan etika yang terpuji, bertolak ansur dan bertoleransi, penyayang dan saksama serta menguasai ilmu pengetahuan mampu memacu negara ke tahap yang lebih gilang gemilang. 115. Kita berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala supaya memberi kita kekuatan dan ketabahan hati menghadapi segala rintangan, mengurniakan semangat dan keazaman untuk meningkatkan kemakmuran serta meninggikan martabat negara kita. Saya percaya dengan pertolongan dan keredhaanNya, kita mampu membentuk Malaysia sebagai sebuah negara yang progresif, aman dan makmur, bebas dari tekanan asing, dan disanjung oleh masyarakat dunia. Insya Allah. 116. Saya mohon mencadangkan. "MERAIH KEJAYAAN MEMBINA MASA DEPAN" Tuan Yang Dipertua, 1. Saya mohon mencadangkan supaya suatu Rang Undang- undang bertajuk "Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2004 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu" dibaca bagi kali yang kedua. PENDAHULUAN Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. 2. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, sekali lagi Kerajaan dapat membentangkan Bajet Negara bagi tahun 2004, di Dewan yang mulia ini. Kita juga sedang menyediakan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke Lapan (RMK-8) yang akan dibentangkan di Dewan ini pada 30 Oktober 2003. Insya-Allah. 3. Bajet 2004 ini telah digubal dengan mengambil kira prestasi pencapaian RMK-8 bagi tempoh separuh penggal pertama untuk mempastikan dasar dan strategi pembangunan ekonomi negara dapat dilaksanakan sepenuhnya. SETENGAH ABAD KEMAJUAN DITEROKAI KEJAYAAN GEMILANG KINI TERBUKTI Tuan Yang Dipertua, 4. Negara baru sahaja menyambut ulang tahun kemerdekaan ke 46. Syukur kita kepada Allah Subhanahu wa Taala kerana semua lapisan rakyat dapat menyambutnya dalam suasana aman, makmur dan penuh kemeriahan. Sesungguhnya, kemerdekaan amat besar ertinya kepada kita. Kita bebas dari penjajahan. Kita juga bebas dari cengkaman kuasa besar. Kita berjaya memartabatkan kembali maruah bangsa. Kita berkuasa menguruskan negara kita sendiri. Kini, Malaysia telah menjadi lebih maju, dikenali dan dihormati oleh dunia. 5. Semasa negara mencapai kemerdekaan, kita hanya merupakan sebuah ekonomi yang bergantung sepenuhnya kepada getah dan bijih timah. Transformasi ekonomi yang kita laksanakan sejak tahun 1970-an telah berjaya menjadikan Malaysia sebuah negara moden, di mana sektor perindustrian dan perkhidmatan kini menyumbang hampir 90 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Kita telah menceburi industri berat dan menghasilkan kereta nasional yang telah berjaya menguasai hampir 80 peratus pasaran automobil tempatan. Hari ini Malaysia merupakan negara perdagangan yang ke 17 terbesar di dunia dan pengeksport utama barangan elektronik. Eksport barangan buatan pula melangkaui 85 peratus dari eksport negara. 6. Proses perindustrian telah menuntut rangkaian infrastruktur yang moden dan efisien. Negara dihubungi dengan lebuh raya Utara Selatan dan Timur Barat. Pengangkutan bandar di Kuala Lumpur dan sekitar dipermodenkan dengan pembinaan sistem transit aliran ringan (LRT), monorel dan keretapi komuter elektrik. Kita juga telah membina pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa yang bertaraf dunia. Pelabuhan di Malaysia berupaya mengendalikan kontena sejumlah 11 juta TEUs dan hampir 450 juta tan metrik kargo. Pelabuhan Kelang kini ditempatkan pada tangga ke-11, manakala Pelabuhan Tanjung Pelepas ke-22 dalam World Container Port League. Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) yang berupaya mengendalikan 25 juta penumpang dan lima juta tan metrik kargo, merupakan lapangan terbang yang termoden di rantau ini. 7. Di bidang ICT, Koridor Raya Multimedia (MSC) dibangunkan dengan infrastruktur multimedia yang mempunyai state-of-the-art technology. MSC merupakan satu lagi kejayaan cemerlang dalam usaha Kerajaan untuk membawa negara ke arah ekonomi berasaskan ICT. Kini, MSC telah berjaya menarik lebih 900 syarikat ICT tempatan dan antarabangsa, jauh lebih tinggi daripada sasaran 500 syarikat bagi tahun 2003. Jelas, tanggapan pihak yang meragui kebijaksanaan kita melaksanakan koridor raya ini, jauh meleset. 8. Kalau dahulunya pembinaan infrastruktur besar dilaksanakan oleh orang asing, kini anak bangsa kita sendiri mempunyai kepakaran dan berjaya menguasai teknologi untuk melaksanakan semua projek. Malaysia mempunyai hampir 44 ribu jurutera yang terlatih dalam bidang sivil, mekanikal dan elektrikal serta lebih tiga ribu arkitek dan dua ribu juru ukur bahan. Dengan penglibatan kita dalam pembinaan Linkedua, Menara Telekomunikasi Kuala Lumpur serta Menara Berkembar Petronas, kini kita sendiri mampu membina Pusat Pentadbiran Putrajaya yang indah dan teratur yang menjadi bandar raya contoh kepada negara-negara lain. 9. Kita telah membina litar F1 Sepang yang diiktiraf sebagai satu dari yang terbaik dalam sirkit Grand Prix. Jurutera muda negara terlibat bersama dalam usaha meningkatkan prestasi kereta berkuasa tinggi yang digunakan oleh Sauber Petronas untuk Lumba Kereta F1. Dengan ini, keupayaan kejuruteraan Petronas meningkat untuk mengeluarkan produk petroleum dalam industri automobil. 10. Banyak syarikat Malaysia juga telah beroperasi di peringkat antarabangsa. Yang terbesar ialah Petronas, yang terkenal sebagai antara syarikat petroleum antarabangsa terkemuka dan mempunyai operasi di 34 buah negara di dunia, terlibat dalam aktiviti mencari gali, mengeluar, menapis dan memasar minyak dan gas. Kini, Petronas turut disenaraikan dalam Fortune Global 500. 11. Kita juga telah mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan. Negara mempunyai 18 institusi pengajian tinggi awam, termasuk sebuah Universiti Islam Antarabangsa, di samping beratus kolej swasta untuk menampung keperluan pendidikan rakyat. Bagi melatih tenaga kerja teknikal, sebanyak 70 kolej teknikal telah ditubuhkan. Kita juga diiktiraf sebagai pusat kecemerlangan pendidikan bagi pelajar dari negara asing. Kini, terdapat lebih 36 ribu penuntut dari 150 negara yang datang belajar di Malaysia. Tuan Yang Dipertua, 12. Pencapaian kesemua ini memerlukan perubahan minda rakyat ke arah sikap dan nilai yang positif, terutamanya mempunyai semangat kental dan keazaman tinggi, berkeyakinan, sanggup bersaing, berinovasi serta berdaya tahan. Kita bermula dengan Dasar Pandang Ke Timur 21 tahun dahulu, untuk mencontohi etika dan budaya kerja rakyat Jepun dan Korea yang mengutamakan dedikasi, disiplin dan kesetiaan serta sanggup bekerja bersungguh-sungguh ke arah memajukan negara. Kita telah membudayakan prinsip bersih, cekap dan amanah serta kepimpinan melalui teladan. Perkhidmatan awam negara pula dibina atas asas cekap, berdisiplin dan berkualiti. 13. Dasar Pensyarikatan Malaysia dipraktikkan kerana kita sedar betapa pentingnya kerjasama erat di antara sektor awam, swasta dan pekerja dalam usaha memesatkan pertumbuhan ekonomi negara. Dasar Penswastaan pula telah diperkenalkan untuk memperluaskan perkhidmatan kemudahan infrastruktur awam, di samping mengurangkan beban kewangan Kerajaan. 14. Kita adalah negara berwawasan. Kita kini hampir di pertengahan jalan menuju Wawasan 2020, ke arah membina sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju mengikut acuan kita sendiri. Bukan sahaja kita telah berjaya melaksanakan transformasi ke arah mempelbagaikan struktur ekonomi, malah rakyat Malaysia juga telah berjaya melakukan anjakan paradigma minda dan menjadi sebuah masyarakat yang berwibawa, moden dan progresif yang mempunyai pemikiran yang tajam, bangga dengan kejayaan serta yakin kepada kebolehan kita sendiri, sesuai dengan aliran zaman maklumat. Tuan Yang Dipertua, 15. Dalam tempoh hampir setengah abad ini juga, kemampuan kita mengurus ekonomi negara telah banyak diuji. Pada tahun 1985, negara buat pertama kalinya semenjak Merdeka telah mengalami kemelesetan akibat kejatuhan mendadak semua harga komoditi. Kita mengalami defisit di dalam imbangan bayaran negara dan akaun kewangan Kerajaan. Kita juga tidak lupa kesan peristiwa Black Monday pada 19 Oktober 1987 di mana pasaran saham utama dunia telah menjunam dan pasaran kita turut bersama. 16. Semua pengalaman ini telah menjadikan kita lebih bijak dan memberi keyakinan untuk merancang dan mengurus ekonomi negara. Ini terbukti di mana pencapaian pertumbuhan ekonomi negara telah mencatat kadar tertinggi iaitu purata lebih 9 peratus setahun untuk tempoh 1988-1996. 17. Krisis kewangan yang melanda rantau ini merupakan satu lagi ujian daya ketahanan serta kebolehan kita. Percubaan penyangak matawang antarabangsa untuk menjadikan kita pengemis di dunia dengan menjatuhkan nilai ringgit ditumpas. Kerajaan telah melaksanakan langkah mengikut cara kita sendiri dan tidak tunduk kepada desakan meminjam dari IMF dan meletak negara di bawah kuasanya. Pendekatan ini telah dikritik dengan lantang sebagai jalan menuju kehancuran ekonomi. Langkah penambatan ringgit dan kawalan modal ditentang kuat, sementara penubuhan Danamodal, Danaharta, dan CDRC dianggap sebagai bail-out kepada syarikat dan bank- bank kroni Kerajaan, kononnya. Sebaliknya, ketiga-tiga agensi ini telah berjaya memperkukuhkan semula sistem perbankan negara. Sekarang, dunia dan agensi antarabangsa telah mengiktiraf kita dan menyarankan negara lain supaya mempelajari dari pengalaman Malaysia. 18. Danamodal telah menyuntik sejumlah 7.6 bilion ringgit ke dalam 10 institusi perbankan, untuk meningkatkan keupayaan menyalurkan pinjaman. Lebih daripada 70 peratus dari jumlah ini telah pun dibayar balik. 19. Danaharta pula telah berjaya menyusun semula sejumlah 50 bilion ringgit hutang tak berbayar (NPL). Kadar NPL kini berada di paras 6.7 peratus. Di samping itu, CDRC telah berjaya menyelesaikan 48 kes penstrukturan semula hutang syarikat berjumlah 52.6 bilion ringgit. Dengan ini, institusi perbankan dikukuhkan semula dan kebanyakan syarikat disusun dan dipulih. Oleh itu, kita berjaya mengelak dari terpaksa menjual aset negara kepada orang asing. 20. Kejayaan kita mengatasi krisis kewangan dan memulihkan ekonomi, mengecewakan kesemua pengkritik kita. Hanya ahli politik dan media yang berkepentingan sahaja enggan mengakui kejayaan kita. 21. Berkat usaha-usaha ini, negara kita telah berjaya mencatat pertumbuhan purata tahunan sebanyak 6.7 peratus dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang iaitu, RRJP Satu, 1971-90 dan sebanyak 7.1 peratus dalam RRJP Dua, 1991-2000. Pertumbuhan ekonomi ini telah dinikmati oleh semua lapisan rakyat dan pendapatan per kapita telah meningkat daripada 1,132 ringgit pada tahun 1970 kepada 13,683 ringgit pada 2002. Kuasa beli pariti rakyat juga meningkat dari 1,247 dolar kepada 8,862 dolar Amerika. Manakala, kadar kemiskinan rakyat telah berkurangan dengan ketara sekali iaitu kepada hanya 5.1 peratus pada 2002 daripada 52.4 peratus dari jumlah isi rumah pada tahun 1970. 22. Walau bagaimanapun, dalam kemakmuran yang dikecapi ini, kita bersimpati dengan rakyat di beberapa negeri kita yang masih dihimpit kemiskinan dan dikongkong kemunduran. Pemimpin yang mereka pilih tidak mampu dan berupaya melaksanakan pembangunan negeri. Mereka memburukkan lagi keadaan dengan mendakwa kemiskinan dan kemelaratan merupakan takdir yang harus diterima. Oleh itu, mereka juga berpendapat sekiranya negeri Islam itu miskin, kolot dan mundur ia adalah takdir. Tuan Yang Dipertua, 23. Kejayaan yang telah diperolehi, kemakmuran yang kita nikmati dan kegemilangan negara ini adalah Kerana Mu Malaysia. 24. Tetapi, janganlah kita leka dibuai kemewahan, kerana panas tidak selalu sampai ke petang, mungkin hujan di tengah hari. Air di laut, adakalanya pasang, ada kalanya surut. 25. Dengan keupayaan kita untuk memaju dan menguruskan negara dengan baik dan berjaya, Malaysia kini dianggap sebagai negara contoh kepada negara membangun. Ramailah pegawai dan pemimpin negara membangun yang datang untuk meneliti dan mempelajari cara-cara Malaysia dibangunkan. Pegawai dan pakar kita pula diundang untuk memberi nasihat dan latihan dalam pelbagai urusan pentadbiran dan pembangunan di negara lain. 26. Kesanggupan kita menyuarakan pandangan terhadap isu- isu antarabangsa, termasuk mengkritik ketidakadilan oleh siapa sahaja memberi semangat kepada mereka yang tidak dapat bersuara. Justeru itu, Malaysia sekarang dianggap sebagai jurucakap Dunia Ketiga dan diberi penghormatan sebagai tuan rumah dan pemimpin Pergerakan Negara Berkecuali. 27. Negara juga diiktiraf sebagai sebuah negara Islam yang maju dan progresif dan telah menjadi contoh kepada negara Islam yang lain. Negara-negara ini amat kagum di atas kejayaan kita membangunkan sebuah negara Islam yang maju dan makmur. Sesungguhnya, kita telah berjaya melaksanakan jihad dalam semua aspek pembangunan, terutamanya ekonomi, sosial, agama serta politik dan membuktikan keupayaan ummah Islamiah di zaman ini. Kerana ini, kita dipilih sebagai tuan rumah dan pengerusi Persidangan Negara Islam (OIC) yang ke 10 pada Oktober ini. 28. Untuk terus membolehkan kita menyuarakan pandangan dengan berkesan di fora antarabangsa, kita perlu mempunyai keupayaan untuk menguasai Bahasa Inggeris dengan baik. Dahulunya, di mesyuarat antarabangsa, pegawai Malaysia sentiasa dipilih untuk mempengerusi dan mengetuai kumpulan menderaf laporan persidangan kerana kebolehan kita bertutur dan menulis dalam Bahasa Inggeris. Untuk mempastikan negara menjadi global player di arena antarabangsa, kita perlu kepada Bahasa Inggeris. Oleh itu, pelajaran Bahasa Inggeris ditingkatkan dan Bahasa Inggeris diguna untuk mengajar sains dan matematik, ilmu-ilmu yang perlu kita kuasai di zaman teknologi maklumat ini. Yakinlah, apabila bangsa kita maju, maka dengan sendirinya bahasa kita juga akan berkembang. Tidak ada siapa yang akan pelajari bahasa bangsa yang miskin dan mundur. EKONOMI NEGARA TERUS PULIH BERKAT KEYAKINAN DAN USAHA GIGIH Tuan Yang Dipertua, 29. Pada bulan Mei tahun ini, Kerajaan telah mengumumkan Strategi Baru Ke Arah Merangsang Pertumbuhan Ekonomi Negara yang memberikan tumpuan kepada empat strategi utama iaitu menggalakkan pelaburan swasta, memperkukuhkan daya saing negara, membangun punca pertumbuhan baru dan meningkatkan keberkesanan delivery system. Sebanyak 90 langkah telah digubal di bawah Pakej tersebut. Alhamdulillah, Pakej Strategi Baru ini telah memberi kesan yang memberangsangkan. 30. Prestasi ekonomi negara selepas Pakej ini amat menggalakkan dengan pertumbuhan sebanyak 4.6 peratus pada suku pertama 2003. Bagi suku kedua pula, walaupun terdapat kesan negatif dari pencerobohan di Iraq dan wabak Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk (SARS), pertumbuhan KDNK adalah 4.4 peratus, lebih tinggi dari yang dijangkakan. Dengan ini, pada separuh pertama tahun 2003 pertumbuhan ialah sebanyak 4.5 peratus. Jelaslah pendekatan Kerajaan dan sambutan oleh rakyat berhasil. 31. Kesemua sektor ekonomi meningkat lebih kukuh dengan sektor pembuatan menerajui pertumbuhan sebanyak 6.5 peratus, diikuti oleh sektor perlombongan 4.5 peratus dan sektor perkhidmatan 4.2 peratus. 32. Dari segi perbelanjaan pula, penggunaan oleh swasta meningkat sebanyak 3.9 peratus dalam tempoh separuh pertama tahun ini. Pelaburan sektor swasta pula telah menunjukkan respon positif kepada insentif di bawah Pakej Strategi Baru. Pelaburan sektor swasta dijangka mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2 peratus setelah teruk merosot dalam beberapa tahun berikutan krisis kewangan. 33. Sungguhpun permintaan luar terjejas oleh persekitaran global yang lembab, namun sumbangan eksport negara kepada pertumbuhan KDNK kekal positif. Ini mencerminkan bahawa eksport negara masih kompetitif dan mampu bersaing di pasaran antarabangsa. Pencapaian ini juga adalah hasil dari usaha Kerajaan untuk meneroka pasaran baru, terutamanya di Afrika, Amerika Selatan dan Asia Barat, di samping mengeratkan lagi hubungan perdagangan serantau, khususnya di kalangan negara ASEAN dan Asia Timur. Langkah ini berjaya mengurangkan peratusan pergantungan kepada pasaran tradisional, seperti Amerika Syarikat dan Eropah. 34. Dalam pasaran saham, perasaan ceria jelas telah kembali semula. Indeks Komposit Kuala Lumpur telah melonjak kepada paras tertinggi 756.48 mata pada 5 Sept, berbanding dengan 632.43 mata pada 2 Januari tahun ini. Jumlah transaksi harian di BSKL mencecah 586 juta unit bernilai 1.17 bilion ringgit, berbanding hanya 107 juta unit bernilai 0.5 bilion ringgit dalam tempoh yang sama. Nilai pasaran kini berada di paras 581.98 bilion ringgit berbanding dengan 473.16 bilion ringgit pada 2 Januari 2003. Pelabur tempatan dan pelabur asing juga telah kembali aktif dengan jumlah transaksi dagangan mereka meningkat lebih tiga kali ganda. Tuan Yang Dipertua, 35. Sewajarnya, kita bersyukur kerana wabak SARS yang telah memberi impak negatif, terutamanya kepada sektor pelancongan, juga telah berakhir. Tindakan tegas Kerajaan melaksanakan langkah pencegahan awal telah berjaya membendung penyakit tersebut dari merebak. Di samping itu, pencerobohan Amerika Syarikat ke atas Iraq tidak memberi kesan negatif yang besar kepada kita. Sektor pelancongan kini telah mula pulih. Sesungguhnya, Pakej Strategi Baru bagi menangani kesan negatif SARS telah berjaya. 36. Prestasi ekonomi yang semakin kukuh telah memantapkan lagi asas-asas ekonomi negara. Rizab antarabangsa terus meningkat kepada 146.9 bilion ringgit atau 38.7 bilion dolar Amerika yang mampu membiayai 6 bulan import tertangguh dan merupakan 4.3 kali lebih tinggi dari hutang luar negara jangka pendek. Sistem perbankan terus teguh dengan beberapa institusi utama perbankan mencatatkan keuntungan baik. Kedudukan kecairan yang tinggi dalam ekonomi negara telah membolehkan Kerajaan terus mengamalkan dasar kewangan yang akomodatif, dengan regim kadar faedah yang rendah. Kedudukan ini juga telah membolehkan Kerajaan menggembleng non-inflationary domestic resources tanpa menjejaskan sektor swasta. Pada masa yang sama, Kerajaan juga tidak perlu kepada sumber pinjaman luar. Indeks Harga Pengguna juga terkawal pada paras 1.2 peratus. 37. Sungguh pun terdapat tanda-tanda pemulihan ekonomi global, namun kita menjangkakan adalah sukar bagi ekonomi dunia kembali pulih kepada tahap sebelum krisis kewangan dalam masa terdekat. Realitinya, jalan menuju pemulihan sepenuhnya masih jauh dan penuh berliku, memandangkan risiko geopolitik yang masih belum reda. Kuasa besar masih cenderung menggunakan kekerasan dan paksaan dalam melaksanakan regime change ke atas pemerintahan negara-negara yang tidak sehaluan dengannya. Semenjak peristiwa 11 September, mereka juga menggunakan slogan global war against terror sebagai alasan untuk mengugut negara yang dituduh bersimpati dan melindungi pengganas. 38. Inilah caranya kuasa besar menghalalkan pencerobohan dan penindasan mereka ke atas negara seperti Afghanistan dan Iraq. Mereka juga mempertahankan alasan ini sebagai justifikasi bagi mereka mengambil langkah pre-emptive terhadap negara lain. Jelas mereka mengamalkan law of the jungle. Bagi mereka might is right. Kekuatan menghalalkan segala- galanya. 39. Sebenarnya, kita telah berulang kali menyarankan bahawa penyelesaian terbaik kepada konflik geopolitik ini hanyalah dengan mencari punca sebenar tercetusnya keganasan dan menyelesaikannya. Kekerasan dan tindak balas secara besar-besaran (massive retaliation) hanya akan menyulitkan usaha mencapai keamanan dan pemulihan sepenuhnya ekonomi global. 40. Dalam suasana ekonomi global sekarang, semestinyalah langkah serta usaha yang lebih gigih dilaksanakan ke arah mewujudkan kerjasama serantau. Kekuatan kerjasama di kalangan negara serantau boleh memberi kesan dan pandangan serius oleh negara maju kepada pendirian kita bersama. Semasa krisis kewangan Asia, negara di rantau ini telah menunjukkan kesediaan untuk bekerjasama membantu negara yang terjejas teruk. Lebih daripada separuh sumbangan dana yang diberikan kepada negara tersebut datangnya daripada sumber kewangan negara di rantau ini. Di samping itu, negara ASEAN+3 telah menyediakan kemudahan kewangan berbilion dolar di bawah Inisiatif Chiangmai dan Inisiatif Miyazawa. Dari segi pendirian di peringkat antarabangsa, kebanyakan negara di bawah Kumpulan ini juga telah menyuarakan secara lantang kelemahan dan ketidakadilan sistem kewangan antarabangsa yang telah mencetuskan krisis kewangan Asia. Tuan Yang Dipertua, 41. Lebih satu dekad yang lalu, kita telah mencadangkan penubuhan Kumpulan Ekonomi Asia Timur atau EAEG. Pada ketika itu, cadangan ditolak dan dianggap merbahaya. Namun, selepas 13 tahun, idea kerjasama dan pembinaan masyarakat Asia Timur kini bukan hanya dianggap logik, tetapi telah menjadi realiti dan diterima sebagai landasan bagi negara rantau ini untuk melangkah bersama ke hadapan dalam bidang ekonomi, perdagangan dan kewangan. Kita tidak putus asa walaupun berdepan dengan pelbagai rintangan. Bayangkanlah, jika EAEG telah diterima lebih awal, krisis kewangan serantau mungkin dapat dielak atau sekurang-kurangnya diperkecilkan kesannya. Kita sudah kehilangan masa yang banyak. Yang penting kita perlu bertindak pantas, menggandakan usaha dan meningkatkan kerjasama bagi mencapai matlamat EAEG. 42. Rantau Asia Timur mempunyai rizab bertrilion dolar. Pada masa ini, sebahagian besar daripada rizab ini dilaburkan di negara Barat. Kini, sudah tibalah masanya kita mencari alternatif terbaik bagi memaksimakan penggunaan sumber serantau. Dalam hal ini, kita mengalu- alukan penubuhan Inisiatif Pasaran Bon Asia atau ABMI, yang diusahakan oleh Menteri-menteri Kewangan Asia Timur. Inisiatif ini akan menggembleng sumber pembiayaan jangka panjang untuk membiayai pelaburan sektor swasta. Ia akan dapat membantu mengelakkan mismatch pembiayaan seperti yang berlaku semasa Krisis Kewangan Asia, di mana pinjaman jangka pendek digunakan untuk membiayai pelaburan jangka panjang. Ia juga dapat mengelakkan risiko tukaran asing. Untuk mempastikan kejayaan Inisiatif ini, Kerajaan akan menyediakan galakan cukai yang sesuai. Di samping itu, Malaysia akan mengambil peluang untuk memperluaskan penggunaan instrumen kewangan Islam dalam ABMI berasaskan kepada pengalaman dan kepakaran kita dalam membangunkan sistem kewangan Islam. 43. Apa jua bentuk kerjasama serantau, mesti diasaskan kepada manfaat bersama, saling menghormati, mengutamakan persamaan hak dan menegakkan demokrasi. Tiada siapa yang harus mementingkan diri sendiri dan menekan jiran. Tidak harus ada niat oleh sesiapa untuk menguasai negara lain. Tidak ada perjanjian yang harus dipaksa. Perjanjian tidak boleh berat sebelah. Unilateralism tidak boleh diterima. Malahan, kemajuan mesti bertunjang kepada konsensus, kesepakatan dan persefahaman. Kekurangan dan ketidaksamaan di antara negara jiran perlu diimbangi sebaik mungkin. Prinsip prosper thy neighbour atau perkayakan jiran mesti menjadi teras dan amalan dalam hubungan negara-negara. 44. Namun, ada negara jiran yang kerap menguji kesabaran kita dengan tuduhan yang tidak berasas dan berprinsip. Kita tidak akan membalas demikian. Kita akan terus berpegang kepada prinsip berbaik-baik dengan jiran, mencari jalan yang halal dan adil. Jika sepasang yang bermasalah tidak dapat selesaikan masalah melalui rundingan, maka biasanya pihak ketiga akan menghakimi dan menghukum secara adil. Kita sanggup rujuk kepada pihak ketiga, kepada proses timbang tara. Konfrantasi dan berperang bukan cara kita. Mengugut dan memburukkan imej orang bukan cara kita. Memberi alasan dan fakta yang tidak berasas, tidak betul, bukan cara kita. Adalah diharap cadangan merujuk kepada pihak ketiga ini diterima baik secepat mungkin. MENAMBAH USAHA MENUJU KECEMERLANGAN, MENGGANDA IKHTIAR MENGATASI CABARAN Tuan Yang Dipertua, 45. Persekitaran luar masih terus tidak menentu. Dunia masih berada dalam ketakutan, terutama ketakutan mengguna pesawat terbang awam, yang menghalang urusan perniagaan. Sebab itu, kita tidak boleh tunggu dan bergantung kepada sektor luar. Kita juga tidak boleh bergantung secara berpanjangan kepada pelaburan dan perbelanjaan Kerajaan untuk menjana pertumbuhan ekonomi. Sesungguhnya, keupayaan Kerajaan bukan tidak terhad. 46. Justeru itu, kita harus kembali kepada sektor swasta tempatan untuk menjana pertumbuhan ekonomi kita. Kita juga perlu mencari pasaran baru untuk dagangan kita. Kita juga perlu menjadi benar-benar negara dagang, iaitu segala eksport kita dibuat oleh kita sendiri dan dijual terus kepada pengimport negara asing. 47. Semasa kita merancang untuk menjadi negara perindustrian, kita didorong oleh keperluan menyediakan peluang pekerjaan bagi rakyat kita sebanyak mungkin. Pertanian tidak mampu membekal peluang pekerjaan yang banyak. Hanya sektor pembuatan yang boleh mewujudkan peluang pekerjaan yang mencukupi. 48. Kerajaan tidak berminat untuk mendapat hasil dan cukai dari perindustrian. Justeru itu, kita sanggup memberi pengecualian cukai untuk jangka masa yang agak panjang, asalkan pekerja kita mendapat peluang pekerjaan. 49. Strategi ini berjaya. Peluang pekerjaan menjadi begitu banyak sehingga pekerja asing membanjiri negara kita. Umumnya, rakyat kita yang sanggup bekerja tidak akan menganggur. 50. Bersama dengan pertumbuhan industri pembuatan hasil dari pelaburan asing, dagangan Malaysia, iaitu import dan eksport Malaysia meningkat dengan mendadak. Kini, jumlah dagangan kita adalah sebanyak 760 bilion ringgit atau 200 bilion dolar Amerika. Kita boleh berbangga dengan kejayaan kita menjadi negara perindustrian dan bukan lagi negara pertanian. 51. Bahawa rakyat mendapat banyak manfaat dari pertumbuhan ekonomi melalui industri tidak dapat dinafikan. Di masa yang sama, rakyat juga memperolehi kecekapan yang membolehkan mereka mengadakan industri sendiri. Sekarang banyak sudah barangan elektrik dan elektronik serta barangan pembuatan yang lain yang diusahakan oleh rakyat Malaysia sendiri. Yang jelas ialah apabila barangan pembuatan dikeluarkan oleh pengusaha Malaysia sendiri, sumbangan kepada kekayaan negara adalah lebih besar. 52. Kita tidak ingin mengurangkan pelaburan asing, tetapi untuk memaksimakan perolehan negara, kita perlu mempertingkatkan pelaburan oleh rakyat kita sendiri. Lagipun, modal asing untuk pelaburan sudah berkurangan dan kebanyakannya telah mengalir ke negara-negara yang upah pekerjanya rendah. 53. Jepun, Korea Selatan dan Taiwan tidak bergantung kepada pelabur asing untuk perindustrian mereka. Pengusaha tempatan dengan bantuan Kerajaan mereka menceburi bidang industri dengan membeli atau mencipta sendiri teknologi pembuatan. Kita tidak dapat berbuat demikian pada mulanya kerana kita tidak banyak modal, teknologi, kecekapan pengurusan dan pengetahuan berkenaan pasaran dunia. Tetapi setelah kita mendapat pengalaman dalam semua ini, kita sekarang lebih mampu meneroka dan memasuki dalam bidang industri pembuatan sendiri. Ini dapat dilihat dari bertambahnya barangan buatan kita, termasuk kereta bermotor, lori, bas, keretapi ringan, barangan elektrik dan elektronik, pelbagai jenis kren, IT, kilang penapis bagi oleo- chemical dan petro-chemical serta barangan binaan dan bermacam-macam lagi. 54. Namun, ramai pelabur kita kurang yakin dan sering menumpu kepada pasaran tempatan sahaja. Pasaran kita adalah kecil dan tidak dapat memberi economies of scale yang boleh menurunkan kos. Tetapi jika kualiti barangan kita baik dan kita keluarkan secara besar-besaran, kita mampu bersaing dengan negara maju. Oleh itu, pengusaha kita mesti berani mengeluar barangan buatan yang berkualiti secara besar-besaran untuk pasaran dunia. 55. Selain dari industri pembuatan, kita juga boleh tingkatkan hasil pertanian kita. Banyak hasil pertanian yang boleh diproses dan ditambah nilai. Industri pelancongan dan pendidikan juga boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. 56. Sesungguhnya, jika kita membuat audit berkenaan kebolehan kita dalam bidang industri, banyak benar darinya yang boleh menyumbang kepada ekonomi kita dan seterusnya, menjadikan kita sebagai negara dagang yang lebih besar. 57. Kita mempunyai dagangan dengan lebih 200 buah negara, kecil dan besar. Tetapi masih banyak dari negara-negara ini yang tidak diberi tumpuan sepenuhnya sebagai rakan dagangan. Ini termasuklah negara-negara Teluk Parsi, Afrika Utara dan negara-negara Afrika yang lain. 58. Sekarang ini, Malaysia terkenal dalam bidang pembangunan infrastruktur. Jika dahulu pemborong asing mendapat kontrak binaan jalan, jambatan dan empangan, sekarang kita juga boleh bersaing untuk mendapat kontrak binaan. Dalam bidang cari gali dan pengeluaran minyak, Petronas telah menembusi lebih dari 30 negara. Kita perlu satu lagi konsortium yang boleh mencari gali, mengeluar dan menapis minyak. Dalam negara, Kerajaan bolehlah memberi marginal fields kepada konsortium ini supaya mereka akan lebih diyakini oleh negara asing. 59. Sesuatu yang amat penting ialah kualiti dan kemampuan syarikat-syarikat Malaysia. Kita tidak boleh membenarkan syarikat yang tidak berwibawa mencari kontrak dan peluang di luar negeri dan menyalahgunakannya dengan menjual kepada syarikat lain. Ini akan menghilangkan kepercayaan kepada syarikat- syarikat Malaysia dan kepada Malaysia sendiri. Tuan Yang Dipertua, 60. Kita telah bangunkan pelabuhan dan lapangan terbang yang mampu memberi khidmat yang baik kepada pengeksport dan pengimport kita. Lebuh raya ekspres dan sistem keretapi kita juga mestilah dipergunakan dengan sepenuhnya oleh pedagang kita. 61. Pengeluaran barangan di zaman ini tidak lagi seratus peratus nasional. Banyak dari bahagian-bahagian dalam barangan buatan tempatan diperolehi dari negara asing. Yang diutamakan ialah jenama barangan berkenaan. Banyak sudah barangan jenama terkenal di dunia yang mempunyai komponen dari Malaysia. Namun, barangan ini tidak dianggap sebagai barangan Malaysia. 62. Kita juga perlu ada barangan jenama Malaysia yang mempunyai komponen dari negara lain. Yang penting ialah nama yang baik, yang diperolehi oleh jenama Malaysia. Kebolehan mencipta, merekabentuk dan menguasai pasaran dengan jenama Malaysia amatlah penting. Nama kebaratan tidak selalunya lebih mudah dikenali. Hari ini dunia kenal Hitachi, Honda, Toyota, Hyundai, Samsung dan lain- lain lagi. Bukanlah mustahil nama dalam Bahasa kita diterima oleh dunia. 63. Kita perlu tingkatkan dagangan dengan mengeluar dan mengeksport barangan dan perkhidmatan kita, tanpa mengurangkan eksport barangan hasil pelaburan asing. Penglibatan rakyat Malaysia dalam semua jenis industri, mestilah diperbesarkan dan rakyat Malaysia mestilah mengurus sendiri segala yang berkaitan dengan perdagangan luar dan dalam negara. Untuk ini, Kerajaan akan menyediakan sokongan dalam bentuk dasar, dana dan sistem penyampaian atau delivery system. Mengukuhkan Industri Kecil dan Sederhana Tuan Yang Dipertua, 64. Dalam usaha menggalakkan pelaburan swasta, Kerajaan telah memberi tumpuan kepada pembangunan industri kecil dan sederhana. Langkah ini bukan hanya menjadikan IKS sebagai pembantu kepada pembangunan industri utama tempatan, malahan IKS sendiri boleh mengeluarkan komponen untuk industri di negara lain. Kerajaan telah menyediakan Skim Kredit Mikro di bawah Pakej Strategi Baru untuk memberikan pinjaman mudah kepada pengusaha kecil, yang terdiri daripada pelbagai golongan seperti petani, penternak lembu, peniaga pasar malam, penjaja dan lain-lain. Alhamdulillah, sambutannya di luar dugaan. 65. Sehingga kini, Bank Pertanian Malaysia (BPM) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) telah menerima hampir 88 ribu permohonan yang bernilai 1.4 bilion ringgit. Dari jumlah ini, hampir 42 ribu permohonan bernilai 430 juta ringgit telah diluluskan. Pembayaran balik pinjaman juga menggalakkan dengan hampir 86 peratus dari jadual pembayaran balik telah pun diterima. Kerajaan berbangga dengan sambutan ini. Namun, masih terdapat juga mereka yang cuba menyalahgunakan kemudahan ini. Bagi mereka yang telah diluluskan pinjaman, janganlah pula ada yang liat untuk membayar balik pinjaman. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: `Sesungguhnya paling besar dosa di sisi Allah yang akan didapati seorang hamba setelah dosa-dosa besar yang dilarang Allah adalah: Seseorang mati meninggalkan hutang, tidak ada yang membayarkannya`. Mempergiatkan Penggunaan Swasta 66. Sebagai satu lagi langkah untuk menggiatkan aktiviti ekonomi domestik ialah menggalakkan rakyat untuk berbelanja dalam negara. Ini adalah kerana setiap satu ringgit yang dibelanjakan akan ada yang menerima satu ringgit, mendapat untung daripadanya dan dibelanja olehnya pula, dan seterusnya akan menghasilkan kesan berganda ke atas ekonomi. Bagi mencapai matlamat tersebut, Kerajaan telah mengambil langkah bagi menambah pendapatan boleh guna rakyat melalui potongan cukai dan pemberian insentif, potongan kadar caruman KWSP serta pemberian bonus kepada anggota perkhidmatan awam apabila kewangan mengizinkan. Di samping itu, kadar tabungan negara sebanyak 32 peratus mengukuhkan kewangan negara. Tabungan di Malaysia tidak merugikan kerana nilai mata wang kita tidak susut dari segi daya beli. 67. Kewangan negara yang dapat mengimbangi penabungan dengan perbelanjaan, tetap sihat. Inilah amalan yang terbaik. Meningkat Daya Saing Menghadapi Kesan Globalisasi Tuan Yang Dipertua, 68. Globalisasi seperti yang ditafsir sekarang bermakna penghapusan sempadan supaya dagangan tidak diganggu. Kerajaan pula tidak dibenar campur tangan dalam pasaran. Kononnya, pasaran akan regulate dengan sendirinya. 69. Sebenarnya, pasaran hanya tertumpu kepada perolehan keuntungan sebesar mungkin. Justeru itu, negara maju sedang membesarkan syarikat dan bank mereka untuk mengalahkan saingan oleh peniaga negara membangun. Tidak mungkin syarikat dan bank kerdil di negara membangun mampu menangkis serangan gergasi yang akan melanda masuk akibat globalisasi. Tidak akan wujud persaingan yang adil. Sekali lagi Might is Right dijadikan pegangan tamadun semasa. 70. Kita terima globalisasi, tetapi tidak seperti yang diinterpretasi oleh negara maju. Kita akan perkenalkan interpretasi kita dan akan berjuang habis-habisan untuk diterima oleh WTO. 71. Sementara itu, kita mesti gigih dan tabah berdepan dengan cabaran globalisasi. Kita perlu tingkatkan sovereign competitive edge kita supaya kita mampu bersaing dengan global players di pasaran antarabangsa. Ini hanya akan dapat dicapai dengan meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos perniagaan, memperolehi teknologi serta lebih berinovatif. Usaha meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam telah menyumbang kepada kelancaran pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan negara. Di samping itu, langkah perubahan minda semua rakyat supaya sanggup bersaing hendaklah terus diusahakan. STRATEGI BAJET 2004 Tuan Yang Dipertua, 72. Kerajaan telah mengambil tindakan pantas dan berani dengan melaksanakan peralihan dasar pertumbuhan daripada yang berasaskan eksport semata-mata kepada domestic-led growth. Kini, ternyata bahawa peralihan dasar ini telah berjaya membebaskan negara daripada belenggu kemelesetan. Justeru itu, teras Bajet 2004 dirangka bagi mempastikan kesinambungan dasar dan strategi Kerajaan untuk merangsang dan menggerakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara melalui peningkatan peranan rakyat negara kita. Kerajaan sebagai penjana ekonomi tidak boleh diteruskan selama-lamanya. Sebab itu, Kerajaan memperkenalkan Pakej Strategi Baru supaya pihak swasta kembali menjadi penjana ekonomi. 73. Berdasarkan kepada perkembangan ini, Strategi Bajet 2004 akan menumpukan kepada: Pertama : Memacu sektor swasta tempatan dan menggiat sektor perkhidmatan bagi menerajui pertumbuhan ekonomi. Kedua : Mengambil langkah konsolidasi fiskal ke arah bajet berimbang dalam masa terdekat. Ketiga : Melaksanakan dasar kewangan yang dapat mendorong dan meningkatkan lagi penggunaan dan pelaburan swasta. Keempat : Mengukuhkan lagi daya saing negara supaya Malaysia menjadi a truly trading nation. Kelima : Memantapkan lagi agenda sosial dan masyarakat penyayang untuk meningkatkan lagi kualiti hidup serta kesejahteraan rakyat. Strategi Pertama: Sektor Swasta Menerajui Pertumbuhan Ekonomi Tuan Yang Dipertua, 74. Bagi tempoh 10 tahun sebelum krisis kewangan, sektor swasta telah berjaya memacu pertumbuhan ekonomi negara dengan pelaburannya meningkat pada kadar purata tahunan melebihi 21 peratus. Sebahagian besar daripada pertumbuhan ini telah disumbangkan oleh Pelaburan Langsung Asing (FDI), terutamanya dalam sektor pembuatan. Malahan, hampir 90 peratus daripada eksport negara merupakan barangan pembuatan keluaran syarikat FDI. 75. Dari segi pembiayaan, kita juga dapati syarikat asing yang beroperasi di negara kita membiayai sebahagian besar pelaburan mereka dari sumber dalam negeri. Oleh itu, aliran masuk dana asing sebenarnya adalah lebih kecil daripada yang diandaikan. Di samping itu, syarikat FDI mengeluarkan produk yang bukan berjenama Malaysia, kurang mempunyai backward and forward linkages dan menggunakan teknologi asing yang dibangunkan di luar negara. Sumbangan terbesar FDI ialah pengwujudan peluang pekerjaan. Tetapi hari ini, kita tidak mempunyai pekerja yang menganggur lagi dan peluang ini dinikmati oleh pendatang asing. 76. Kita mesti mengubah semua ini dan berani melakukan transformasi ekonomi untuk beralih dari ekonomi yang digerakkan oleh FDI kepada yang diterajui oleh pelabur tempatan. Kita mesti bertindak pantas dan tangkas membuat quantum leap untuk mengambil alih peranan sebagai pelabur, pengeluar dan pengeksport negara. Sektor swasta tempatan mesti mewujud dan mengeluarkan produk berjenama Malaysia dengan kualiti bertaraf dunia untuk menembusi dan menguasai pasaran antarabangsa supaya dagangan kita adalah dagangan produk kita. Kita perlu menggalakkan inisiatif sektor swasta tempatan untuk mengeluarkan produk tempatan yang mempunyai value creation yang tinggi, bermula dari hasil penyelidikan tempatan serta penggunaan komponen dan perkhidmatan logistik tempatan. Ini akan menjamin kesan spin off yang lebih luas dan wealth creation yang lebih tinggi kepada rakyat dan negara. 77. Kita mesti menggandakan usaha untuk menjadi global trader dengan meningkatkan langkah mempromosikan barangan keluaran negara ke seluruh pelosok dunia secara langsung, terutamanya ke pasaran bukan tradisi. Sebagai langkah strategik ke arah mencapai tujuan ini, Matrade akan dikorporatkan. Matrade akan dibantu oleh pakar yang mempunyai pengalaman dari sektor swasta, termasuk pegawai dagang, dalam mempromosikan eksport. Untuk tujuan pengkorporatan ini, Kerajaan akan menyediakan geran pelancaran sebanyak 100 juta ringgit. Matrade juga akan memulakan roadshows, termasuk export promotion on wheels, ke negara Timur Tengah dan Afrika. Di samping itu, Kerajaan juga akan menggalakkan inisiatif sektor swasta untuk menubuhkan trading houses bagi eksport negara. Kerajaan akan mengenal pasti dan membantu individu dan syarikat swasta yang mampu melaksanakan hasrat negara. Tuan Yang Dipertua, 78. IKS mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, di samping mempunyai pelbagai keluaran yang berpotensi untuk dimajukan sebagai produk berkualiti dan bernilai tambah yang tinggi untuk eksport. Hala tuju dan pembangunan IKS perlu dirangka supaya lebih teratur dan tersusun supaya fungsinya sebagai back bone kepada syarikat industri besar ditambah dengan eksport ke luar negara. Bagi tujuan ini, Majlis Peringkat Tertinggi IKS telah ditubuhkan bagi menggubal dasar dan strategi yang lebih komprehensif bagi pembangunan bersepadu IKS di semua sektor. 79. Untuk menggalakkan IKS melaksanakan program pembesaran pelaburannya, Kerajaan bercadang untuk meningkatkan nilai threshold pendapatan bercukai IKS yang dikenakan cukai korporat sebanyak 20 peratus seperti yang diumumkan dalam Bajet 2003, daripada 100 ribu ringgit kepada 500 ribu ringgit. Dengan peningkatan threshold ini, IKS akan mempunyai sumber sebanyak 322 juta ringgit lagi untuk dilaburkan semula. 80. Sebagai langkah untuk terus memperkukuhkan lagi peranan sektor swasta, Kerajaan mencadangkan langkah- langkah berikut: i. memberi galakan cukai kepada syarikat milik tempatan sedia ada yang melabur semula bagi mengeluarkan mesin dan peralatan termasuk jentera berat dan machine tools, seperti berikut: a. memberi Taraf Perintis dengan kadar pengecualian cukai 70 peratus ke atas peningkatan pendapatan daripada pelaburan semula bagi tempoh 5 tahun; dan b. memberi Elaun Cukai Pelaburan 60 peratus ke atas pelaburan tambahan dalam tempoh 5 tahun. ii. menambahbaik galakan bagi pengeluaran produk yang menggunakan biomass kelapa sawit, seperti berikut: a. meningkatkan kadar pengecualian cukai pendapatan di bawah skim Taraf Perintis daripada 70 peratus selama 5 tahun kepada 100 peratus selama 10 tahun; dan b. meningkatkan kadar Elaun Cukai Pelaburan daripada 60 peratus kepada 100 peratus selama 5 tahun. iii. bagi syarikat sedia ada yang menggunakan biomass kelapa sawit pula, galakan berikut diberikan: a. Taraf Perintis dengan pengecualian cukai pendapatan 100 peratus selama 10 tahun, ke atas peningkatan pendapatan daripada pelaburan semula; dan b. Elaun Cukai Pelaburan 100 peratus selama 5 tahun ke atas pelaburan tambahan. iv. menambahbaik galakan cukai kepada syarikat di Sabah, Sarawak dan koridor timur Semenanjung Malaysia, seperti berikut: a. meningkatkan kadar pengecualian cukai pendapatan di bawah Taraf Perintis daripada 85 peratus kepada 100 peratus; dan b. meningkatkan kadar Elaun Cukai Pelaburan daripada 80 peratus kepada 100 peratus. Elaun tersebut juga dibenarkan ditolak keseluruhannya dan tidak dihadkan kepada 85 peratus daripada pendapatan statutori. v. mengecualikan pendapatan yang diremit dari luar negara oleh individu daripada cukai pendapatan seperti yang kini dinikmati oleh syarikat. Langkah ini di harap dapat menggalakkan individu membawa balik pendapatan mereka yang diperolehi dari pelaburan atau simpanan mereka di luar negara untuk dilaburkan di dalam negara. 81. Untuk menggalakkan lagi perkembangan syarikat modal teroka swasta, dana modal teroka bagi Malaysian Venture Capital Management (MAVCAP) akan ditambah sebanyak 300 juta ringgit, menjadikan jumlah keseluruhan di bawah MAVCAP sebanyak 800 juta ringgit. Di samping itu, Kerajaan juga telah menubuhkan Malaysian Debt Venture (MDV) dengan dana sebanyak 650 juta ringgit serta Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) yang mempunyai dana modal teroka sebanyak satu bilion ringgit untuk membiayai pelaburan dalam bidang-bidang lain seperti industri logistik dan pemodenan pertanian. 82. Kerajaan juga telah memberikan potongan cukai bersamaan dengan jumlah pelaburan dalam syarikat teroka dengan syarat pelupusan saham dalam syarikat teroka dibuat melalui initial public offering (IPO). Bagi menambah baik galakan ini, pelupusan tersebut boleh juga dibuat melalui exit mechanism yang lain yang diluluskan seperti put option dan management buyout. 83. Satu lagi syarat yang akan dilonggarkan ialah berkaitan dengan kaedah pengiraan 70 peratus pelaburan dalam syarikat teroka. Pengiraan ini akan hanya mengambil kira nilai dana yang dilaburkan dan bukannya jumlah keseluruhan dana yang dimiliki oleh syarikat modal teroka. 84. Di samping itu, Kerajaan juga mencadangkan supaya syarikat pengurusan modal teroka diberi pengecualian cukai ke atas pendapatan yang diterima daripada pembahagian keuntungan dengan syarikat modal teroka. Menggiatkan Lagi Sektor Perkhidmatan Tuan Yang Dipertua, 85. Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi dan perolehan tukaran asing negara. Potensi pertumbuhan pelbagai sumber di sektor ini untuk menghasilkan perkhidmatan bernilai tambah tinggi, masih belum dieksploitasikan sepenuhnya, terutamanya perkhidmatan berkaitan pembuatan, pendidikan, pelancongan, pengangkutan dan logistik serta ICT. 86. Memandangkan selama ini, aliran masuk FDI tertumpu sebahagian besarnya ke sektor pembuatan, kita harus berusaha untuk menarik FDI ke sektor perkhidmatan, terutamanya yang mempunyai nilai tambah yang lebih tinggi. Sebenarnya, Kerajaan telah banyak menyediakan insentif untuk menarik FDI bagi aktiviti yang mempunyai value creation. Dalam Pakej Strategi Baru, kita telah melonggarkan lagi syarat pegangan ekuiti asing di samping menyediakan lebih banyak lagi insentif cukai untuk menarik syarikat berorientasi perkhidmatan seperti Ibu Pejabat Operasi (OHQs), Pusat Pengedaran Serantau (RDCs) dan back-room outsourcing operations oleh syarikat multinasional (MNCs) untuk beroperasi dari negara kita. 87. Multimedia Development Corporation (MDC) sebagai one stop shop untuk pelaburan di MSC telah berjaya menarik banyak syarikat tempatan dan asing untuk melabur dalam bidang ICT. Bagi syarikat yang telah diberi status MSC, Kerajaan memberi 10 jaminan di bawah Bill of Guarantees, termasuk menyediakan infrastruktur maklumat, memberi kebebasan hakmilik dan memperolehi sumber dana serta pengambilan tenaga kerja berpengetahuan tanpa sekatan kerakyatan. 88. MDC telah berjaya menarik serta mendorong syarikat untuk menyediakan kemudahan perkongsian perkhidmatan bersama atau shared services, terutamanya bagi perkhidmatan sokongan IT untuk operasi global mereka seperti pusat maklumat dan pusat pemprosesan data. Yang terkini ialah syarikat Ericsson yang telah menubuhkan ibu pejabatnya, sementara HSBC dan Standard Chartered Bank yang merupakan antara institusi perbankan dan kewangan terkemuka di dunia, telah menubuhkan pejabat memproses data elektronik yang akan memberi perkhidmatan back-end processing and customer contact services kepada kumpulan mereka di seluruh dunia. Syarikat Shell yang merupakan salah sebuah syarikat terbesar petroleum di dunia, dan juga DHL telah mewujudkan perkhidmatan yang sama di MSC. Aktiviti ini juga telah berjaya menambahkan peluang pekerjaan profesional berkelayakan tinggi kepada rakyat Malaysia. 89. Bagi menggiatkan lagi sektor perkhidmatan, sudah tiba masanya, kita mewujudkan one-stop agency yang bertanggungjawab untuk memegang tangan dan menuntun pelabur bagi mendapatkan kelulusan daripada pelbagai pihak supaya projek mereka dapat dilaksanakan segera. Memandangkan kepada kejayaan MDC dalam membangunkan MSC, Kerajaan akan memperluaskan peranannya untuk menjadi one-stop agency ala MIDA bagi sektor perkhidmatan terpilih. Kita yakin MDC akan dapat melaksanakan peranan barunya ini dengan berkesan. 90. Bagi sub sektor kewangan pula, ia merupakan satu daripada komponen utama sektor perkhidmatan yang menyumbang sebanyak 14.5 peratus kepada KDNK. Sejajar dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kewangan serantau, Kerajaan akan membenarkan syarikat- syarikat luar pesisir Labuan untuk menubuhkan pejabat pemasaran mereka di Johor Bahru, iaitu kawasan yang pesat membangun dengan bertambahnya bilangan MNCs yang telah menempatkan operasi mereka pada masa ini. Langkah ini juga akan membantu usaha Kerajaan untuk menjadikan Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Lapangan Terbang Senai sebagai hub logistik antarabangsa. Tuan Yang Dipertua, 91. Untuk menambah baik insentif kepada OHQ, Kerajaan mencadangkan pendapatan OHQ yang diperolehi daripada penyediaan perkhidmatan kepada syarikatnya di Malaysia diberikan pengecualian cukai pendapatan tidak melebihi 20 peratus daripada keseluruhan pendapatan yang diperolehi daripada operasi globalnya. Insentif ini adalah sama seperti galakan yang dinikmati oleh RDC pada masa ini. Meletakkan Industri Tempatan Ke Persada Dunia Tuan Yang Dipertua, 92. Walaupun eksport negara begitu tinggi, tetapi tumpuan kini harus diberi kepada pengeluaran barangan dan perkhidmatan oleh pengusaha tempatan untuk pasaran tempatan dan eksport. Sesungguhnya, jika kita sendiri tidak berminat mengguna barangan buatan atau perkhidmatan kita, maka tentulah sukar bagi pengusaha atau peniaga kita memasarkan produk mereka di luar negeri. Usaha untuk membangunkan produk tempatan yang berpotensi untuk dieksport perlu dijadikan agenda penting negara. Untuk melariskan lagi produk tempatan, sebuah Tabung Pembangunan Dan Mempromosi Jenama Malaysia telah ditubuhkan dengan dana permulaan sebanyak 100 juta ringgit. Kerajaan bersetuju menambah 100 juta ringgit lagi. 93. Dalam usaha meningkatkan penggunaan barangan dan perkhidmatan tempatan, Kerajaan dan sektor swasta mesti bersama menambah penggunaannya untuk mengukuhkan lagi pasaran asas produk tempatan. Di negara lain, mereka telah menggunakan pasaran tempatan sebagai asas membantu industri tempatan melonjak ke pasaran global. Seharusnya, kita mencontohi negara ini agar dapat menjayakan industri tempatan kita. 94. Sebagai langkah untuk menggalakkan industri berat tempatan, Kerajaan akan terus memberi sokongan supaya apa yang telah dibangunkan setakat ini akan terus berjaya. Sejak bulan Februari 2003, jualan kereta penumpang telah berkurangan, kemungkinan disebabkan pengguna menangguhkan pembelian dengan harapan apabila sektor automotif dibuka di bawah AFTA, pengguna akan berpeluang membeli kereta import dengan harga yang lebih rendah. Kerajaan telah membayangkan bahawa harga kereta tidak akan turun, walaupun selepas duti import ke atas kereta dari negara ASEAN dikurangkan. Sebenarnya, untuk menangani pengurangan hasil, Kerajaan bercadang untuk mengenakan duti eksais ke atas kereta yang diimport pada 1 Januari 2004. Oleh yang demikian, belilah kereta yang sesuai untuk anda dan keluarga sekarang. 95. Sistem perolehan Kerajaan juga akan dikaji semula. Pada masa ini, penilaian tawaran tender Kerajaan memberi tumpuan kepada dua syarat, iaitu teknikal dan kewangan. Bagi membantu pengusaha tempatan menjadikan pasaran tempatan sebagai pasaran asas mereka, penggunaan kandungan dan nilai tambah tempatan akan diberikan pertimbangan sewajarnya dalam penilaian tender Kerajaan. 96. Kerajaan berpendapat agenda untuk menggiatkan industri tempatan ini amat penting sekali. Oleh itu, Kerajaan akan meminta Tenaga Nasional, Telekom, Proton dan Petronas, serta syarikat-syarikat milik Khazanah serta PNB dan syarikat lain milik Kerajaan, untuk menerajui pembangunan produk dan teknologi tempatan dalam sektor mereka. Syarikat-syarikat ini seharusnya menggunakan pasaran tempatan dan global network serta dana mereka, agar dapat mewujudkan industri tempatan yang boleh bersaing di persada antarabangsa. Sistem vendor dan payung akan dikaji semula selaras dengan dasar baru ini. 97. Harapan Kerajaan ialah supaya syarikat swasta tempatan menyambut cabaran untuk berusaha ke arah membangunkan industri tempatan ke persada dunia. Dalam hubungan ini, Kerajaan akan menyediakan persekitaran yang kondusif bagi membantu mereka mencapai matlamat ini, termasuk pembangunan R&D, penyediaan dana, peningkatan usaha promosi dan pemasaran, penyediaan perkhidmatan logistik serta memperbaiki delivery system sektor awam, sejajar dengan konsep sovereign competitiveness. 98. Kerajaan juga tidak lupa janji-janji Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan pada tahun 1971, antaranya termasuk mewujudkan Masyarakat Komersil dan Industri Bumiputera atau BCIC bagi memberi peluang kepada Bumiputera untuk berjaya sebagai usahawan. Dasar ini telah dapat melahirkan ramai usahawan dan tokoh korporat Bumiputera. Namun demikian, krisis kewangan lalu telah menjejaskan mereka. Inilah antara agenda DEB yang masih belum selesai. Oleh yang demikian, Kerajaan melalui syarikat miliknya akan menggiatkan lagi usaha ke arah mencapai matlamat ini, terutamanya melalui sistem vendor dan payung yang akan diubahsuai. 99. Dalam hal ini, kita menentang sekeras-kerasnya agenda pembukaan pasaran yang berkaitan dengan isu perolehan Kerajaan (Government procurement) yang sedang dibincangkan di forum WTO di Cancun. Barat sekali lagi menggunakan WTO untuk menegakkan agenda penjajahan ekonomi mereka. Sekiranya kita tidak menentang agenda ini, maka usaha kita untuk melaksanakan Dasar Pembangunan Nasional yang mengambil kira kepentingan pengusaha tempatan, termasuk Bumiputera serta matlamat untuk menggiatkan industri tempatan tidak akan tercapai. 100. Untuk menjadi sebuah negara yang boleh mengeluarkan produk yang berkualiti dan mampu bersaing di pasaran global, kita perlu mempunyai teknologi, paten, produk dan jenama yang bersesuaian. Selain dari membangunkan teknologi, paten, produk dan jenama kita sendiri, kita juga boleh memperolehinya dari luar negara. Sehubungan ini, dalam industri automotif, kita telah berjaya memperolehi syarikat Lotus, sementara bagi industri aeroangkasa, kita telah miliki syarikat yang membina kapal terbang Eagle dan Lance Air (USA), yang mengeluarkan kapal terbang twin dan four-seaters menggunakan bahan komposit. InventQJaya juga telah ditubuhkan untuk melahirkan masyarakat inventor bagi produk berteknologi dalam frontier baru. Baru-baru ini kita telah membeli MM Chip daripada syarikat R&D Jepun FEC Incorporated. Chip ini merupakan chip yang paling kecil di dunia berukuran 0.25 mm persegi. Kejayaan syarikat milik rakyat Malaysia telah mula terserlah seperti pereka fesyen dan kasut antarabangsa. Rakyat Malaysia juga berjaya memiliki London Circus yang merupakan sarkis terbesar di dunia. Demikian juga Laura Ashley, Crabtree and Evelyn dan lain-lain. 101. Untuk meneruskan lagi usaha membolehkan rakyat Malaysia meneroka teknologi terkini, langkah-langkah juga sedang dilaksana untuk memajukan industri aeroangkasa. Setelah berjaya melancarkan Tiungsat tiga tahun dahulu, Kerajaan akan melancarkan pula Razaksat. Keupayaan ini akan membolehkan kita melancarkan lebih banyak satelit, termasuk satelit low-orbit equatorial dan kemungkinan menjadikan Malaysia sebagai pusat pelancaran roket. Kita juga berhasrat menghantar angkasawan anak negara pertama ke angkasa lepas. Malaysia Boleh. Strategi Kedua: Konsolidasi Fiskal Ke Arah Bajet Berimbang Tuan Yang Dipertua, 102. Semasa RMK-8 digubal, Kerajaan telah mensasarkan pencapaian bajet berimbang pada akhir Rancangan tersebut, iaitu pada tahun 2005. Walau bagaimanapun, berikutan daripada kemerosotan ketara sektor swasta akibat krisis kewangan serantau, persekitaran luar yang tidak menentu, termasuk Peristiwa 11 September, pergolakan di Timur Tengah, pencerobahan di Iraq dan wabak SARS, Kerajaan terpaksa melaksanakan beberapa pakej rangsangan bertujuan menggiatkan aktiviti ekonomi domestik bagi menghindar ekonomi negara dari mengalami kemelesetan. Ini menyebabkan bajet berimbang tidak dapat dicapai pada tahun 2005. Kerajaan bertekad untuk mencapai bajet berimbang dalam tempoh terdekat dengan melaksanakan langkah konsolidasi fiskal. Namun demikian, kedudukan akaun sektor awam menunjukan tren yang masih kukuh di mana defisit sektor awam adalah di paras 1.5 peratus daripada KDNK pada tahun 2003, jauh lebih rendah daripada paras yang ditetapkan bagi kawasan Euro iaitu 3 peratus. Peningkatan defisit sektor awam adalah disebabkan oleh pelaburan yang lebih besar oleh Petronas dalam tahun 2003. 103. Perbelanjaan Kerajaan akan dikhususkan, terutamanya bagi menyediakan infrastruktur yang lebih efisien untuk mengurangkan kos kendalian perniagaan dan membantu pertumbuhan ekonomi negara. Peruntukan juga disediakan untuk terus melaksanakan program bagi memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi rakyat. Dalam hubungan ini, tumpuan akan diberi kepada program untuk menyedia dan menyalurkan produk dan perkhidmatan sosial bagi mempastikan ianya dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah. 104. Untuk mempastikan pengagihan sumber kewangan Kerajaan yang lebih berkesan, peruntukan kepada agensi Kerajaan akan diasaskan kepada kedudukan kewangan mereka. Bagi agensi yang memiliki rizab tinggi yang tidak terikat, mereka hendaklah menggunakan rizab tersebut untuk membiayai program mereka. Memperkemaskan Penyediaan Dan Pelaksanaan Bajet 105. Untuk mengemaskan penyediaan bajet, Kerajaan telah melaksanakan penyediaan dan pemeriksaan bajet dua tahun semenjak Bajet 2002. Proses ini telah dapat menyediakan satu bajet yang mengambil kira keperluan semasa dan tahun berikutnya sebagai rolling plan. Ianya juga telah dapat menyelamatkan masa dan mengurangkan gunatenaga serta memberi masa kepada agensi untuk menumpukan juga kepada usaha pelaksanaan. 106. Pelaksanaan bajet dua tahun telah dapat mempastikan kelancaran pelaksanaan projek pembangunan, di mana agensi pelaksana diberi lead time dalam perancangan projek. Proses ini telah dapat mempercepatkan lagi pelaksanaan projek pembangunan di mana peruntukan dibelanjakan tanpa sebarang shortfall seperti di masa-masa lepas. Peruntukan Bajet 2004 107. Selaras dengan dasar konsolidasi fiskal, Kerajaan mencadangkan sejumlah 112.5 bilion ringgit diperuntukkan bagi Bajet 2004. Ini merupakan pengurangan sebanyak 1.6 peratus, berbanding peruntukan terkini sebanyak 114.3 bilion ringgit dalam tahun 2003. Dengan mengambil kira anggaran hasil sebanyak 95.6 bilion ringgit, defisit akaun keseluruhan Kerajaan Persekutuan dijangka berkurangan kepada 3.3 peratus daripada KDNK, berbanding 5.4 peratus pada tahun 2003. 108. Sebahagian besar peruntukan yang dicadangkan iaitu 80.5 bilion ringgit atau 71.6 peratus adalah untuk Perbelanjaan Mengurus, manakala 30 bilion ringgit untuk Perbelanjaan Pembangunan. Sebanyak 2 bilion ringgit diperuntukkan untuk Simpanan Luar Jangka. 109. Di bawah Perbelanjaan Mengurus, sebanyak 20.9 bilion ringgit adalah untuk Emolumen, 17.2 bilion ringgit untuk Bekalan dan Perkhidmatan, 39.4 bilion ringgit untuk Kenaan Bayaran Tetap dan Pemberian, 0.8 bilion ringgit untuk pembelian kelengkapan serta kemudahan pejabat dan 2.2 bilion ringgit bagi perbelanjaan lain. 110. Daripada jumlah Perbelanjaan Pembangunan yang dicadangkan, sebanyak 13.8 bilion ringgit atau 43.1 peratus adalah untuk sektor ekonomi, infrastruktur, perindustrian, bekalan elektrik dan air luar bandar. Sebanyak 11.2 bilion ringgit atau 34.9 peratus disediakan bagi sektor sosial untuk projek-projek pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, pembangunan masyarakat, belia dan sukan. Seterusnya, 2.7 bilion ringgit atau 8.4 peratus diperuntukkan bagi projek-projek pembangunan di sektor keselamatan dan 4.3 bilion ringgit atau 13.6 peratus diperuntukkan bagi pentadbiran am. Pendidikan Tuan Yang Dipertua, 111. Kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada sektor pendidikan dengan peruntukan sebanyak 20.2 bilion ringgit, yang merupakan satu perempat daripada peruntukan perbelanjaan mengurus 2004. Di antara institusi pendidikan yang dijangka mula beroperasi, termasuklah 44 sekolah rendah dan 43 menengah serta 3 sekolah teknik dan 59 asrama. Selaras dengan Pakej Strategi Baru, 4 Pejabat Promosi Pendidikan akan beroperasi mulai tahun ini di Dubai, Ho Chih Minh, Beijing dan Jakarta. 112. Di bawah perbelanjaan pembangunan, sejumlah 3.7 bilion ringgit disediakan, termasuk 1.8 bilion ringgit bagi sekolah rendah, menengah, asrama dan rumah guru. Sebanyak 637 juta ringgit disediakan untuk projek pengkomputeran sekolah sementara 490 juta ringgit bagi membiayai keperluan infrastruktur institusi pendidikan tinggi awam. 113. Pada tahun lalu Kerajaan telah membuat keputusan untuk melaksanakan pengajaran mata pelajaran matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris dengan menggunakan ICT. Program ini melibatkan perbelanjaan sebanyak lima bilion ringgit bagi tempoh RMK-8. Kerajaan juga akan roll-out program smart school secara berperingkat- peringkat dan melaksanakan projek Schoolnet bagi membolehkan pelajar mendapat akses internet. Program akses internet ini telah pun dilaksanakan di hampir 200 buah sekolah di kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak. 114. Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mempastikan semua anak-anak mendapat pendidikan wajib sekurang- kurangnya di peringkat asas, satu Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin telah dilancarkan pada 23 Julai 2003. Dana berjumlah 200 juta ringgit diperuntukkan bagi Kumpulan Wang ini untuk membantu pelajar miskin meneruskan pendidikan di sekolah. 115. Dalam usaha Kerajaan untuk memantapkan kualiti dan standard program pendidikan francais, pihak Lembaga Akreditasi Negara dari masa ke semasa menjemput tenaga pengajar atau pakar dari IPTA atau IPTS untuk membantu menjalankan validasi, moderasi atau akreditasi program tersebut untuk menjamin kursus yang ditawarkan mempunyai kualiti yang sama dengan yang ditawarkan di universiti luar negara. Bagi tujuan ini, Kerajaan mencadangkan supaya fi atau honorarium yang diperolehi oleh tenaga pengajar atau pakar yang membantu dalam proses validasi, moderasi atau akreditasi dikecualikan daripada cukai pendapatan. 116. Bagi meringankan beban kewangan graduan untuk membayar balik pinjaman kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Kerajaan akan mengurangkan kadar faedah pinjaman daripada 4 peratus kepada 3 peratus. Jadual bayaran balik akan bermula hanya pada tahun ketiga graduan bekerja. Kadar bayaran balik bulanan juga akan disusun semula secara berperingkat, di mana peminjam dikehendaki membayar balik dengan kadar 5 peratus daripada pendapatan bulanan bagi 5 tahun pertama dan 10 peratus bagi baki tempoh pembayaran balik. Kemudahan ini juga dipanjangkan kepada peminjam di bawah Tabung Pembangunan Kemahiran. Di samping itu, pelajar yang ingin melanjutkan pengajian Islam di institusi pendidikan luar negara, mereka boleh memohon pinjaman dari PTPTN dengan syarat institusi tersebut diiktiraf oleh Kerajaan dan mereka juga secara wajib perlu mengambil subjek akademik. Mereka perlu memiliki kelayakan yang diiktiraf oleh kita. Pembiayaan ini tidak melebihi kos pengajian yang sama di dalam negeri. Kerajaan juga akan menimbangkan memberi pinjaman kepada pelajar yang mengikuti pelajaran luar negara di bawah program berkembar bagi tahun terakhir pengajian di institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh Kerajaan serta kursus yang digalakkan. Latihan Kemahiran 117. Pembangunan industri berasaskan teknologi dan pengetahuan memerlukan lebih ramai tenaga kerja terlatih. Bagi tujuan ini, Kerajaan akan terus memberi penekanan terhadap peningkatan kualiti dan kuantiti tenaga kerja mahir dengan menambahkan lagi kemudahan di pusat latihan kemahiran, di samping membina pusat latihan baru. Peruntukan sejumlah 319 juta ringgit disediakan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi tujuan ini. Dengan beroperasinya 10 buah institusi latihan baru, KSM akan berupaya melatih seramai 17 ribu pelatih dalam pelbagai bidang kemahiran. Selain itu, sebanyak 245.5 juta ringgit diperuntukkan bagi menambah kemudahan serta membina 25 buah Institut Kemahiran Belia Negara yang akan melatih seramai 11 ribu pelatih. Peruntukan sebanyak 77.5 juta ringgit akan disediakan untuk menyiapkan 14 projek sedia ada serta membiayai 3 projek baru dan sebanyak 107.3 juta ringgit disediakan bagi membiayai kos pengurusan Institut Kemahiran Mara. 118. Selaras dengan keperluan untuk menyediakan lebih ramai tenaga kerja yang berkemahiran untuk memenuhi keperluan pasaran, Kerajaan telah mengumumkan Tabung Pembangunan Kemahiran dalam Pakej Strategi Baru dan 500 juta ringgit diperuntukkan bagi membantu pelatih institusi kemahiran mendapatkan pinjaman seperti Institut Latihan Perindustrian, Institut Kemahiran Mara, Institut Kemahiran Belia Negara dan institusi swasta yang terpilih. Untuk menguruskan Tabung ini, sebuah agensi khusus ala PTPTN akan ditubuhkan. Syarat pinjaman Tabung ini adalah sama seperti PTPTN iaitu pada kadar faedah pinjaman sebanyak 3 peratus. Jadual dan kadar bayaran balik bulanan akan dibuat secara berperingkat. 119. Untuk meningkatkan lagi kemudahan latihan teknikal, Pusat Latihan Kejuruteraan Mesin Computer Numerically Controlled (CNC) telah ditubuhkan di Technology Park Malaysia. Pusat ini memberi latihan khusus mengenai penggunaan dan reka bentuk mesin CNC untuk kegunaan pelbagai industri, terutama industri komponen dan alat ganti. Latihan ini akan dapat meningkatkan kemahiran dalam bidang CAD/CAM/CAE. 120. Selain daripada institusi latihan di atas, kolej komuniti akan juga menyediakan latihan kemahiran vokasional. Untuk menambahkan lagi peluang mendapatkan latihan kemahiran, pusat-pusat Giat Mara akan ditingkatkan sebagai Kolej Komuniti yang memberi penekanan kepada latihan vokasional. Syarikat milik Kerajaan seperti TNB dan Telekom diminta mengadakan latihan teknikal dan vokasional di pusat latihan mereka. Peserta yang mengikuti latihan ini boleh mendapatkan pinjaman dari Tabung Pembangunan Kemahiran. Di samping itu, untuk menggalakkan majikan mengambil graduan menganggur yang berdaftar dengan Unit Perancang Ekonomi (UPE), Kerajaan mencadangkan perbelanjaan yang ditanggung oleh majikan bagi menggaji graduan ini, diberi potongan cukai dua kali untuk tempoh 2 tahun. Bagi graduan menganggur yang memerlukan latihan semula, mereka boleh mendapatkan pembiayaan di bawah Tabung Latihan Semula di bawah Pakej Strategi Baru. Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Tuan Yang Dipertua, 121. Dasar Sains dan Teknologi Negara yang kedua digubal untuk mencapai perbelanjaan R&D sekurang- kurangnya 1.5 peratus daripada KDNK menjelang 2010. Kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan yang besar untuk menyediakan kepakaran tenaga manusia dan kemudahan R&D. Bagi meneruskan usaha ini, sebanyak 183.6 juta ringgit disediakan untuk program R&D, termasuk 84.5 juta ringgit untuk program Intensification of Research in Priority Areas (IRPA) yang dikhususkan bagi institusi penyelidikan awam dengan kerjasama swasta. Di samping itu, tiga institusi penyelidikan baru akan ditubuhkan di BioValley, Cyberjaya khusus dalam bidang bioteknologi. Kerajaan juga akan menggalakkan syarikat besar untuk bertapak di BioValley bagi menjalankan contract research sebagai satu sumber industri perkhidmatan. 122. Usaha R&D negara telah banyak memberi sumbangan kepada peningkatan hasil pengeluaran komoditi, terutamanya kelapa sawit dan getah. Hasil sehektar komoditi ini telah meningkat berlipat ganda dan tempoh matang tanaman telah dapat disingkatkan. Selain dari meningkatkan hasil tanaman, institusi penyelidikan telah juga banyak menjalankan penyelidikan hiliran seperti biodisel dari kelapa sawit dan termoplastik getah. 123. Memandangkan sumbangan sektor komoditi kepada ekonomi negara telah banyak berkurangan, tibalah masanya, institusi R&D negara mengorientasi usaha mereka ke arah demand and market driven R&D yang memberi tumpuan kepada nilai ditambah atau value creation yang menjurus kepada pengkomersialan hasil penyelidikan. Misalnya, pasaran global bagi barangan dan perkhidmatan healthcare dan life-sciences dijangka akan mencapai 4 trilion Euro, sementara farmasutikal 30 bilion Euro menjelang 2006. Di Malaysia, industri bioteknologi masih merupakan infant industry. Walaupun kini terdapat lebih kurang 60 syarikat bioteknologi di negara ini, mereka merupakan syarikat kecil yang belum mencapai taraf world-class. 124. Kerajaan akan menyusun semula SIRIM agar institusi ini menjadi focal-point bagi usaha match making di antara R&D dan permintaan pasaran. Mereka akan mengenal pasti permintaan pasaran tempatan dan dunia mengenai produk dan teknologi baru. Mereka juga perlu mengkaji keseluruhan value chain R&D untuk mewujudkan nilai ditambah, termasuk niche activities yang perlu dibangunkan, seperti logistik, pembungkusan dan juga pemasaran. 125. Kerajaan melalui SIRIM akan mengenal pasti R&D yang diperlukan berasaskan kepada permintaan pasaran dan dipadankan dengan kapasiti R&D di universiti serta institusi penyelidikan. Untuk ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan yang mencukupi kerana ini merupakan pelaburan jangka panjang dalam usaha membangunkan teknologi tempatan untuk mengeluarkan produk berkualiti tinggi berjenama Malaysia. Sesungguhnya, negara mempunyai kepakaran dan keupayaan untuk melaksanakan R&D selaras dengan permintaan pasaran. Sebagai contoh, kita mempunyai lebih satu ribu graduan doktor falsafah, di samping kemudahan dan sumber pembiayaan R&D yang mencukupi. 126. Untuk menggalakkan pengkomersilan hasil penyelidikan, Kerajaan mencadangkan pendapatan yang diperolehi oleh penyelidik daripada aktiviti tersebut diberi pengecualian cukai sebanyak 50 peratus untuk tempoh 5 tahun. Di samping itu, Kerajaan tidak akan mengenakan caj ke atas pendaftaran paten oleh penyelidik tempatan. Pelancongan Tuan Yang Dipertua, 127. Sektor pelancongan negara, terutamanya pengusaha hotel dan agensi pelancongan telah terjejas dengan ketara berikutan peperangan di Iraq dan wabak SARS. Untuk membantu mereka menghadapi masalah ini, Kerajaan telah melaksanakan langkah segera melalui Pakej Strategi Baru, umpamanya menangguhkan pembayaran ansuran cukai pendapatan agensi pelancongan, memberi diskaun elektrik kepada pengusaha hotel dan menyediakan Special Relief Guarantee Facility bagi mengurangkan beban kewangan peminjam di sektor pelancongan. 128. Bagi menggalakkan pengusaha industri pelancongan, termasuk hotel, untuk melaksanakan program pembesaran, pemodenan dan pengubahsuaian, Kerajaan mencadangkan supaya galakan Taraf Perintis atau Elaun Cukai Pelaburan diberikan bagi kali kedua. 129. Dalam pada itu, semua pengusaha hotel harus bergabung dan mewujudkan pusat maklumat pelancongan di semua pintu masuk negara, termasuk lapangan terbang serta stesen keretapi utama bagi membolehkan pelancong membuat tempahan bilik hotel pelbagai bintang semasa ketibaan. Selain daripada itu, mereka juga digalak menyediakan kemudahan tempahan secara on-line. Kerajaan akan membangunkan portal bagi tujuan ini dan akses kepada portal ini akan disediakan di lapangan terbang, stesen keretapi dan perhentian bas utama di seluruh negara. 130. Kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan promosi pelancongan yang lebih berkesan bersama Syarikat Penerbangan Malaysia dan Air Asia serta agensi pelancongan swasta. Bagi tujuan ini, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) akan disusun semula untuk mempastikan semua program pemasaran dan komunikasi dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan. Di samping itu, fokus akan diberikan kepada pasaran serantau, khususnya China, Taiwan, Hong Kong, India dan negara ASEAN. Usaha promosi akan dilipat gandakan di pasaran Asia Barat serta pasaran baru yang berpotensi seperti Pakistan, Indo-China dan New Zealand. Sehubungan itu, sebanyak 215 juta ringgit akan disediakan untuk aktiviti promosi. 131. Kerajaan juga telah menyediakan dana sejumlah 1.1 bilion ringgit, iaitu 400 juta ringgit di bawah Tabung Khas Pelancongan dan 700 juta ringgit di bawah Tabung Infrastruktur Pelancongan. Kedua-dua Tabung ini diuruskan oleh Bank Pembangunan dan Infrastruktur Malaysia Berhad (BPIMB). Dalam hubungan ini, keutamaan akan diberi bagi membiayai pembangunan produk baru pelancongan. Bagi meningkatkan keberkesanannya, Kerajaan melalui Kementerian Kewangan akan memantau pelaksanaan dari segi kelulusan dan pengeluaran dana- dana tersebut. 132. Malaysia Truly Asia. Slogan ini bukan sahaja menggambarkan rakyat Malaysia yang pelbagai bangsa dan budaya, malahan mempunyai beraneka juadah yang telah menjadi tarikan kepada pelancong. Kita mempunyai Bintang Walk, Bangsar Baru dan Mon`t Kiara di mana pelancong menghabiskan masa bersantai di sepanjang deretan sidewalk cafes dan menjadi happening place. Dalam pada itu, kita harus juga memberi tumpuan kepada penjaja kecil supaya gerai mereka sentiasa menarik, bersih dan hygienic. Untuk itu, Kerajaan menyediakan kemudahan mikro kredit bagi mereka mengganti gerai usang atau membeli kereta sorong baru yang diperbuat daripada aluminium atau stainless steel, kanopi berwarna dan kerusi meja yang lebih sempurna ala Bintang Walk. Penjaja hendaklah menggunakan gerai atau kereta sorong yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Kesihatan Tuan Yang Dipertua, 133. Kerajaan akan terus menyediakan perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang berkualiti kepada semua rakyat. Oleh itu, Kerajaan memperuntukkan sebanyak 9 bilion ringgit, peningkatan 20.5 peratus daripada peruntukan 2003. Daripada jumlah ini, 6.4 bilion ringgit adalah untuk perbelanjaan mengurus dan 2.6 bilion ringgit untuk perbelanjaan pembangunan. Peruntukan ini akan disalurkan bagi membiayai perkhidmatan rawatan perubatan yang penting seperti unit dialisis, unit rawatan intensif serta program untuk mengurangkan morbiditi dan mortaliti di kalangan kanak-kanak. Bagi meningkatkan aktiviti pengesanan dan pengawasan serta diagnosa penyakit berjangkit seperti SARS, tuberculosis, kusta dan denggi, Kerajaan memperuntukkan sebanyak 3 juta ringgit. 134. Kos rawatan perubatan kini kian meningkat. Subsidi oleh Kerajaan untuk perkhidmatan kesihatan kepada semua rakyat dengan caj perkhidmatan yang paling rendah, sudah menjadi beban yang terlalu berat. Untuk meringankan perbelanjaan perubatan, Kerajaan menggalakkan industri insuran kesihatan supaya memperluas liputan dengan menawarkan kos premium yang berpatutan dan mampu ditanggung oleh sebahagian besar rakyat. Syarikat-syarikat perlu membiayai rawatan kepada pekerja mereka. 135. Kerajaan telah membina banyak hospital yang dilengkapi dengan peralatan termoden dan canggih, termasuk penggunaan ICT bagi aplikasi Total Health Information Systems (THIS) tanpa kertas. Hospital Selayang, Serdang dan Pandan di Johor adalah jenis ini. Kerajaan tidak dapat membayar gaji yang tinggi kepada pakar perubatan. Oleh itu, Kerajaan bersetuju dengan konsep private commercial wings, bagi membolehkan doktor yang sedang berkhidmat mendapat imbuhan yang setimpal dan dengan ini dapat mengekalkan mereka untuk terus berkhidmat di hospital Kerajaan. Dengan langkah ini, Kerajaan juga berharap dapat menarik pakar perubatan berkhidmat kembali di hospital Kerajaan. Di samping itu, orang ramai yang memerlukan rawatan yang lebih baik dengan kos berpatutan boleh mendapatkan perkhidmatan di hospital Kerajaan. Langkah ini juga boleh mempromosikan hospital Kerajaan di luar negara, selaras dengan objektif menggalakkan health tourism. 136. Penjagaan kesihatan adalah penting bagi menjamin rakyat terus sihat. Bagi meningkatkan penjagaan kesihatan, Kerajaan mencadangkan duti import 10 peratus ke atas health supplements dimansuhkan. Kerajaan juga akan mempastikan harga ubat terpilih diberikan diskaun kepada pesara. Dalam hal ini, Pharma Niaga akan menyediakan kaunter khas bagi penjualan ubat tersebut kepada pesara. 137. Di samping itu, untuk menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan rakyat, Kerajaan mencadangkan duti import dan eksais ke atas rokok dan lain-lain keluaran tembakau dinaikkan sebanyak 20 peratus, masing-masing daripada 216 ringgit kepada 259 ringgit sekilogram dan daripada 48 ringgit kepada 58 ringgit sekilogram. Peningkatan duti ke atas rokok juga adalah selaras dengan cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO untuk mengawal penggunaan rokok. Untuk membenteras penyeludupan ke atas rokok, Kerajaan sedang melaksanakan penggunaan pelekat khas atau banderol serta dakwat keselamatan bagi mempastikan rokok yang dijual bukan rokok yang diseludup. 138. Kerajaan juga mencadangkan duti import dan duti eksais ke atas minuman keras ditingkatkan sebanyak 10 peratus. Di samping itu, Kerajaan juga akan menggunakan banderol dan dakwat keselamatan ke atas minuman keras. 139. Kerajaan ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kesemua kakitangan hospital yang telah sanggup menghadapi risiko tinggi dalam memeriksa pelawat dan merawat pesakit SARS. Sungguhpun Kerajaan telah memberikan imbuhan, namun wang ringgit tidak dapat membayar segala jasa dan bakti yang telah mereka curahkan. Contohilah mereka ini. 140. Walaupun wabak ini telah berakhir, kita mesti terus berwaspada dan sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Kerajaan sentiasa berusaha untuk mengambil tindakan sewajarnya untuk mempastikan langkah- langkah pencegahan dilaksanakan bagi mengelakkan wabak ini berulang lagi. Kerajaan juga akan menyegerakan pelaksanaan Centre for Disease Control (CDC), seperti yang diumumkan dalam Pakej Strategi Baru. Untuk ini, sebanyak 20 juta ringgit akan disediakan. Pembangunan Luar Bandar Tuan Yang Dipertua, 141. Usaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di luar bandar akan diteruskan. Peruntukan sebanyak 2.27 bilion ringgit disediakan untuk program pembangunan luar bandar. Dari jumlah tersebut, sebanyak 450 juta ringgit disediakan untuk membina jalan kampung bagi memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar. Bagi jalan luar bandar, sebanyak 260 juta ringgit disediakan untuk menyiapkan 74 projek sambungan dan projek baru. Sebanyak 267.1 juta ringgit pula disediakan bagi menyiapkan pembinaan klinik desa. 142. Program bekalan air dan elektrik luar bandar disediakan peruntukan masing-masing sebanyak 225.4 juta ringgit dan 272 juta ringgit. Program ini dijangka akan memberi manfaat kepada hampir 140 ribu rumah di seluruh negara. Bagi menjamin mutu air bersih di kawasan luar bandar serta mempastikan persekitaran yang bersih, Kerajaan memperuntukkan sebanyak 7.9 juta ringgit untuk tahun 2004. Tahap liputan bekalan air telah pun mencapai 99.9 peratus di Semenanjung. Di samping itu, 242 juta ringgit diperuntukkan untuk membiayai projek bekalan air di sekolah kawasan luar bandar. 143. Bagi mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah, Kerajaan mencadangkan cukai jalan dikecualikan ke atas motorsikal berkapasiti tidak melebihi 150 c.c. Ini juga akan mengurangkan beban kewangan bagi pelajar di IPTA dan IPTS serta kumpulan belia dan anak muda. Bagi pekerja yang menggunakan perkhidmatan bas yang disediakan oleh majikan, Kerajaan juga mencadangkan supaya cukai jalan ke atas bas untuk pekerja dikurangkan sebanyak 50 peratus. Kerajaan berharap majikan akan mempastikan pengurangan ini sampai kepada warga pekerja. Pembangunan Sabah Dan Sarawak Tuan Yang Dipertua, 144. Pembangunan di Sabah dan Sarawak juga diberi penekanan seperti di dalam bajet tahun-tahun lalu. Sebanyak 5.9 bilion ringgit dan 5.5 bilion ringgit diperuntukkan masing-masing kepada Sabah dan Sarawak. Dalam sektor pengangkutan, kedua-dua negeri akan mempunyai rangkaian jalan raya yang lebih luas menghubungi bandar-bandar utama. Di Sabah, apabila projek-projek dalam pelaksanaan siap, semua bandar di Sabah dapat dihubungi melalui jalan darat, tidak seperti sekarang di mana kadangkala terpaksa melalui jalan udara atau air. Di Sarawak juga, beberapa rangkaian jalan utama baru sedang dilaksanakan untuk memudahkan perhubungan bukan sahaja dalam Sarawak, tetapi juga di antara Sarawak dan Sabah. Kerajaan juga sedang membina jambatan baru bagi menggantikan jambatan lama yang tidak selamat. Selain daripada itu, pelaksanaan projek jalan luar bandar dan jalan kampung sedang dilaksanakan dengan pesat melibatkan kontraktor tempatan pelbagai kelas. 145. Memandangkan Sabah dan Sarawak adalah negeri yang besar, beberapa projek pengangkutan udara dan laut sedang dilaksanakan. Selain daripada lapangan terbang Tawau, Bintulu dan Miri yang baru disiapkan yang boleh menampung pendaratan pesawat Airbus 330, Kerajaan juga akan menaik taraf Lapangan Terbang Kuching. Sementara itu, Pelabuhan Bintulu dan Kuching sedang diperbesarkan. Manakala sebuah pelabuhan baru di Semalanjau akan dibina untuk menampung keperluan industri aluminium smelting, iaitu pelaburan daripada negara Timur Tengah, yang juga akan menggunakan sebahagian besar tenaga elektrik dari projek Hidroelektrik Bakun. 146. Dalam sektor pendidikan dan kesihatan, kedua-dua negeri mendapat peruntukan yang besar bagi melaksanakan projek-projek seperti pelaksanaan Fasa 2 Universiti Malaysia Sabah dan pembinaan kampus tetap UNIMAS di Samarahan. Kerajaan telah mengambil alih Sabah Medical Centre dari pihak swasta, dan dinaik taraf untuk dijadikan sebagai sebuah hospital utama di Kota Kinabalu. Di samping itu, untuk menambah bilangan doktor dan kakitangan allied health services, hospital Kuching sedang dinaik taraf untuk menjadi hospital mengajar UNIMAS. 147. Bekalan air merupakan satu kemudahan asas yang masih belum dapat liputan penuh di negeri Sabah dan Sarawak. Sementara menunggu projek-projek bekalan air utama dilaksanakan, Kerajaan telah melaksanakan program bekalan air luar bandar, terutama untuk sekolah- sekolah, dengan menggunakan sistem rain harvesting dan tube well. Setakat ini, hampir 700 buah sekolah di Sabah dan Sarawak telah dikenalpasti untuk mendapat kemudahan ini dengan kos sebanyak 242 juta ringgit. Pertanian 148. Kerajaan akan terus memberikan penekanan ke arah memodenkan lagi sektor pertanian bagi meningkatkan, terutamanya hasil pengeluaran makanan. Bagi tujuan ini, pertanian berskala besar dan bercampur-campur, termasuk ternakan, penggunaan tanah secara intensif dan penggunaan teknologi serta pengurusan moden akan diberi galakan. Amat penting juga, rantaian nilai tambah dalam sektor pertanian seperti pemprosesan, logistik, pembungkusan, jenama dan pasaran baru disokong dan digalakkan. Untuk itu, semua komponen dalam rantaian ini, termasuk delivery system akan diperkukuhkan lagi, khususnya penyediaan cold storage chain bagi produk pertanian yang mudah rosak. 149. Syarikat yang menjalan aktiviti menyediakan kemudahan dan perkhidmatan seperti ini boleh juga menggunakan dana modal teroka yang telah disediakan oleh Kerajaan melalui MTDC. Di samping itu, syarikat baru yang menyediakan rangkaian perkhidmatan dan kemudahan bilik sejuk untuk hasil pertanian yang mudah rosak telah diberi Taraf Perintis atau Elaun Cukai Pelaburan. Bagi menggalakkan pelaburan semula dalam bidang yang sama, Kerajaan mencadangkan syarikat milik tempatan sedia ada diberi galakan berikut: i. memberi Taraf Perintis dengan pengecualian cukai sebanyak 70 peratus ke atas peningkatan pendapatan daripada pelaburan semula selama 5 tahun; atau ii. memberi Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 60 peratus daripada pelaburan tambahan dalam tempoh 5 tahun. 150. Kerajaan telah pun menyediakan Tabung Untuk Makanan berjumlah 1.3 bilion ringgit di bawah BPM untuk membiayai aktiviti pengeluaran dan pemprosesan barangan makanan. Alhamdulillah, hampir kesemua dana ini telah pun digunakan. Memandangkan sambutan yang menggalakkan ini, Kerajaan telah menambah satu bilion ringgit lagi di bawah Pakej Strategi Baru, menjadikan dana keseluruhan sebanyak 2.3 bilion ringgit. 151. Untuk menggerakkan lagi kegiatan ekonomi desa dan membantu pengusaha kecil di kampung memajukan perusahaan mereka, Kerajaan akan menyediakan Kredit Mikro Desa berjumlah satu bilion ringgit di bawah BPM. Untuk mempastikan program ini dilaksanakan secara teratur dan berkesan, Kredit ini akan disalurkan mengikut kumpulan melalui Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK/JKKR) kepada kampung yang mempunyai program satu produk satu kampung, di bawah penyeliaan Jawatankuasa Pembangunan Daerah dan Unit Penyelarasan Dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri. Hasrat program ini ialah untuk memberi peluang kepada petani mengguna masa lapang untuk bekerja dan menambah pendapatan. 152. Peruntukan sebanyak 3.3 bilion ringgit disediakan untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi sektor pertanian. Sebahagian besar dari jumlah ini iaitu sebanyak 885 juta ringgit adalah bagi menyediakan kemudahan asas pertanian. Di samping itu, akuakultur akan digiatkan dengan peruntukan sebanyak 70.6 juta ringgit, sementara 165 juta ringgit disediakan bagi pembinaan Pelabuhan Perikanan Laut Dalam Bersepadu dan Pusat Latihan Perikanan di Tanjung Manis, Sarawak. Meningkatkan Penglibatan Orang Asli Dalam Arus Pembangunan 153. Kerajaan terus memberi perhatian kepada usaha meningkatkan penglibatan masyarakat orang asli supaya mereka juga dapat menikmati manfaat pembangunan ekonomi negara. Sebagai langkah untuk menambah pendapatan mereka, kemudahan Kredit Mikro Desa juga akan diberi untuk membolehkan mereka menjalankan aktiviti ekonomi, termasuk pertanian dan perusahaan kecil. Di samping itu, mereka juga boleh mendapatkan kemudahan sewa beli bot dan enjin sangkut di bawah skim pembinaan bot dalam Pakej Strategi Baru. Untuk mempastikan masyarakat orang asli berpeluang memiliki rumah yang selesa dan mampu dibeli, mereka juga akan diberi keutamaan memperolehi rumah mesra di bawah skim Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan pinjaman yang lebih mudah. 154. Untuk meneruskan program pembangunan masyarakat orang asli, peruntukan sebanyak 156.5 juta ringgit disediakan. Di antara program yang akan dilaksanakan termasuk Rancangan Pengumpulan Semula, Penyusunan Semula Kampung dan pembangunan aktiviti ekonomi seperti latihan keusahawanan dan kemahiran. Di samping itu, untuk membantu anak-anak orang asli, bantuan persekolahan seperti pakaian seragam, buku teks dan tambang bas sekolah juga disediakan. Meningkatkan Keselamatan Tuan Yang Dipertua, 155. Sejak kebelakangan ini, sering berlaku kejadian hijacking, piracy dan gangsterism, termasuk kegiatan `tonto` serta rompakan dan kecurian yang semakin membimbangkan. Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk menyediakan persekitaran awam dan perniagaan yang selamat. Kerajaan akan meningkat dan memperkukuhkan kawalan dan penguatkuasaan. Pasukan polis akan mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan di seluruh negara dan dengan itu, Kerajaan akan mengkaji organisasi bahagian tertentu dalam Polis DiRaja Malaysia serta meningkatkan keupayaan melalui pemberian peralatan dan latihan khas supaya mereka dapat melaksanakan tugas dengan lebih berkesan. Selain daripada itu, Kerajaan juga telah menubuhkan Angkatan Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) sebagai satu usaha untuk meningkatkan lagi keselamatan di perairan negara, seperti perairan Selat Melaka. 156. Bagi melindungi pegawai penguatkuasa semua agensi, mereka akan dibekalkan dengan peralatan yang sesuai semasa bertugas. Untuk menghargai jasa mereka yang terdedah kepada pelbagai ancaman, faedah dan saraan yang disediakan kepada anggota keselamatan dan keluarga mereka akan juga dipanjangkan kepada pegawai penguatkuasa jika mereka cedera atau gugur semasa bertugas. 157. Bagi tahun 2004, keselamatan dalam negeri diberi peruntukan mengurus sebanyak 4.4 bilion ringgit, manakala bagi Kementerian Pertahanan pula sebanyak 6.5 bilion ringgit. Bagi perbelanjaan pembangunan pula, peruntukan masing-masing adalah sebanyak 750.5 juta ringgit dan 2.1 bilion ringgit disediakan, untuk melengkap dan memodenkan sistem pertahanan dan keselamatan negara. Strategi Ketiga: Dasar Kewangan Yang Mendorong Penggunaan Dan Pelaburan swasta Tuan Yang Dipertua, 158. Bagi mencergaskan aktiviti dalam negeri terutamanya pelaburan dan penggunaan, dasar kewangan yang lebih akomodatif telah dan akan terus dilaksanakan. Dasar ini perlu dikekalkan, terutamanya dalam suasana rejim kadar faedah yang rendah di seluruh dunia. Di samping itu, terdapat jumlah kecairan yang besar yang boleh digembleng untuk membiayai aktiviti ekonomi dalam negeri. Oleh itu, langkah perlu diambil untuk menguruskan kecairan ini supaya dapat digunakan dengan lebih berkesan bagi merangsang pelaburan dan penggunaan dalam negeri. Mempermudahkan Aksesibiliti Pembiayaan IKS 159. Industri Kecil dan Sederhana (IKS) perlu digiatkan bagi menjana aktiviti pelaburan dalam negeri. Bagi membolehkan IKS mengukuhkan peranannya, adalah penting bagi institusi kewangan menyediakan kemudahan kewangan dan kredit yang lebih accessible kepada golongan tersebut. Selain daripada kemudahan pembiayaan yang telah disediakan oleh Kerajaan di bawah Pakej Strategi Baru, institusi perbankan perlu proaktif dalam pemberian pinjaman, terutamanya kepada golongan pengusaha kecil dan sederhana. 160. Memandangkan sambutan yang menggalakkan terhadap Skim Kredit Mikro dari peniaga kecil, Kerajaan akan menambahkan lagi dana sebanyak satu bilion ringgit di bawah BPM dan BSN. 161. Kerajaan juga prihatin terhadap peniaga kecil dan sederhana yang mengalami kesukaran membayar hutang dengan institusi kewangan. Di bawah Pakej Strategi Baru, Bank Negara Malaysia telah menyediakan Skim Penyusunan dan Penjadualan Semula Pinjaman bagi semua jenis pinjaman dan kemudahan kredit oleh peminjam di sektor pelancongan. Setakat ini, nilai pinjaman sebanyak 3 bilion ringgit telah mendapat manfaat dari Skim ini. 162. Di samping Skim ini, Kerajaan juga akan mengambil langkah untuk membantu pengusaha IKS menangani masalah hutang tak berbayar mereka dengan institusi kewangan melalui satu mekanisma ala CDRC. Bagi tujuan ini, BNM akan menubuhkan satu Jawatankuasa Penyelesaian Hutang IKS. Harapan Kerajaan ialah mekanisme ala CDRC ini dapat membantu menyelesaikan hutang IKS. Menerbitkan Bon Merdeka 163. Kerajaan prihatin terhadap kesan regim kadar faedah yang rendah kepada golongan yang bergantung kepada pendapatan daripada simpanan di institusi kewangan, iaitu golongan pesara yang berumur 55 tahun ke atas dan tidak mempunyai pekerjaan tetap. Untuk membantu mereka ini mendapat pulangan lebih baik, Bank Negara Malaysia akan menerbitkan bon bagi golongan ini secara berkala. Bon ini akan mempunyai tempoh matang selama dua tahun dengan pulangan 5 peratus setahun iaitu melebihi kadar faedah simpanan. Kerajaan juga mencadangkan pulangan daripada bon tersebut dikecualikan daripada cukai pendapatan. Untuk menghargai perkhidmatan dan pengorbanan anggota berunifom yang telah bersara, terbitan bon ini akan dibuka juga kepada mereka yang telah bersara wajib. Memperluaskan Pasaran Modal 164. Pasaran modal terus memainkan peranan penting dalam membiayai pembangunan ekonomi negara, terutamanya menyediakan peluang mendapatkan modal bagi syarikat- syarikat. Semenjak 2001, lebih dari 99 bilion ringgit telah diperolehi daripada pasaran modal dalam bentuk bon dan ekuiti. Di samping itu, 13 asset-backed securities (ABS) telah diluluskan berjumlah lebih dari 7 bilion ringgit. Prestasi pasaran modal yang memberangsangkan ini adalah hasil dari pelaksanaan inisiatif di bawah Pelan Induk Pasaran Modal serta 10 langkah memantapkan lagi pasaran modal yang diumumkan oleh Kerajaan pada bulan Mac tahun ini. 165. Pada masa ini, tiada layanan cukai yang khusus disediakan bagi penerbitan ABS. Sebagai langkah untuk menggalakkan penerbitan ABS, Kerajaan mencadangkan supaya layanan cukai yang sama dengan penerbitan sekuriti biasa diberikan kepada ABS. Di samping itu, Kerajaan juga mencadangkan perbelanjaan berkaitan terbitan ABS diberi potongan cukai selama 5 tahun. 166. Salah satu daripada 10 langkah yang dilaksana untuk memantapkan pasaran modal ialah menggalakkan syarikat besar disenaraikan di BSKL. Bagi tujuan ini, FELDA yang bukan sahaja merupakan sebuah syarikat perladangan terbesar di rantau ini malahan di dunia, akan disenaraikan di BSKL. Saham FELDA dijangka akan menjadi antara blue-chip di BSKL dan FELDA berpotensi untuk diperkenalkan sebagai international brand. Dengan penyenaraiannya, FELDA akan berupaya mendapatkan modal dari pasaran dan tidak lagi perlu bergantung kepada Kerajaan untuk sumber kewangannya. Pada masa yang sama, Kerajaan juga akan mendapat pulangan daripada penyenaraian ini yang juga akan memberi faedah kepada Kumpulan FELDA, peneroka dan koperasi serta kerajaan negeri yang telah memberi tanah untuk dibangunkan sebagai ladang FELDA. Peneroka FELDA akan mendapat peluang untuk memegang ekuiti dalam syarikat yang disenaraikan, iaitu sebagai ahli dan individu. 167. Cadangan ini adalah selaras dengan matlamat DEB yang bertujuan membolehkan Bumiputera memiliki ekuiti sekurang-kurangnya 30 peratus dalam sektor korporat. Adalah diharapkan saham ini tidak dijual oleh Bumiputera. 168. Setelah 46 tahun merdeka, kita perlu sedar kesilapan kita ini dan berusaha membetulkannya. Sebagai langkah ke arah memperluaskan lagi peluang pelaburan khususnya kepada Bumiputera melalui saham amanah, Dana Saham Amanah Kedua iaitu Dana Harapan (HARAPAN) akan ditubuhkan. Dana ini akan diuruskan oleh pengurus dana profesional serta berpengalaman dan akan menggembleng tabungan dan modal Bumiputera. 169. Kerajaan juga mempunyai banyak aset yang bernilai tinggi yang masih belum digunakan sepenuhnya. Bagi memaksimakan pulangan, Kerajaan akan mengambil langkah untuk unlock aset ini supaya ia secara langsung akan menambah kewangan Kerajaan, di samping memberi peluang kepada pihak tertentu mengguna aset-aset ini untuk menjana pulangan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi. Memperkembangkan Sistem Kewangan Islam 170. Sejak perbankan Islam diperkenalkan pada tahun 1983, ia telah membuka satu lembaran baru dalam sistem kewangan negara. Kini, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mempunyai sistem kewangan Islam yang komprehensif. Bermula dengan hanya sebuah Bank Islam, kini negara mempunyai dua Bank Islam dan 33 bank biasa yang menawarkan perkhidmatan perbankan Islam. Perkembangan sistem perbankan Islam telah juga menjadi pemangkin kepada perkembangan pesat sistem kewangan Islam yang merangkumi perbankan, insuran dan pasaran modal. Aset keseluruhan sistem perbankan Islam telah meningkat hampir empat kali ganda kepada 68 bilion ringgit dalam tahun 2002 daripada 17.9 bilion ringgit dalam 1997. 171. Industri insuran Islam atau takaful telah muncul sebagai satu lagi industri kewangan Islam yang berkembang pesat sejak mula diperkenalkan pada tahun 1986, dengan jumlah asetnya meningkat daripada 200 juta ringgit kepada 4 bilion ringgit pada tahun ini. Manakala Sekuriti Hutang Swasta (PDS) Islam telah mula mendapat sambutan yang menggalakkan dengan nilai terbitan melebihi 34 bilion ringgit semenjak tahun 2001. Nilai aset bersih saham amanah Islam juga telah meningkat lebih dua kali ganda kepada 4.3 bilion ringgit. 172. Di peringkat antarabangsa, Malaysia merupakan negara terulung di dunia yang menerbitkan bon global Islam Sukuk Al-Ijarah berjumlah 600 juta dolar Amerika yang mendapat lebihan langganan sebanyak dua kali ganda. Di samping itu, satu lagi pencapaian ketara ialah penubuhan Islamic Financial Services Board di Kuala Lumpur untuk mempastikan kestabilan dan kekukuhan industri kewangan Islam global. Dengan pencapaian ini, Malaysia kini menjadi model dalam perkembangan sistem kewangan Islam, terutamanya di kalangan negara Islam di dunia. 173. Sebagai langkah untuk meningkatkan pembiayaan melalui penerbitan sekuriti Islam, Kerajaan mencadangkan layanan cukai yang lebih komprehensif disediakan sama seperti sekuriti konvensional. Di samping itu, galakan potongan cukai diberikan juga ke atas perbelanjaan menerbitkan sekuriti Islam menggunakan prinsip Istisna` untuk tempoh 5 tahun, di mana aset-aset hartanah dalam pembinaan boleh dijadikan sandaran. 174. Untuk menggalakkan syarikat dan institusi kewangan yang mematuhi prinsip Syariah membuat pelaburan di Labuan, Kerajaan mencadangkan syarikat luar pesisir Labuan diberi rebat cukai yang bersamaan dengan jumlah zakat yang telah dibayar, tertakluk kepada had maksimum 20,000 ringgit atau 3 peratus dari keuntungan bersih. Strategi Keempat: Mengukuhkan Lagi Daya Saing Negara Tuan Yang Dipertua, 175. Langkah Kerajaan beserta dengan inisiatif sektor swasta yang telah dilaksanakan untuk meningkatkan efisiensi dan produktiviti, telah mengukuhkan lagi daya saing negara. Berasaskan kepada laporan World Competitiveness Year Book 2003, kedudukan daya saing kita di kalangan negara yang mempunyai penduduk dua puluh juta ke atas, telah meningkat dengan ketara kepada tangga ke empat dari ke enam pada tahun 2002, dan ke sepuluh pada tahun 2001. Kedudukan ini ialah selepas Amerika Syarikat, Australia dan Kanada. Ini mencerminkan negara mampu bersaing di pasaran antarabangsa, berkat hasil usaha Kerajaan dan sektor swasta sejak dua dekad yang lalu. 176. Penggunaan IT kini telah menjadi sebahagian daripada keperluan perniagaan, terutamanya bagi high speed internet access untuk membolehkan negara menjadi lebih kompetitif. Di samping itu, ramai rakyat, terutamanya generasi muda yang cenderong dan berminat melayari internet bagi menimba ilmu dan mendapatkan maklumat semasa. Bagi mempastikan semua pihak mempunyai akses internet pada kos yang rendah, Telekom Malaysia akan mengurangkan caj laluan internet. Di samping itu, pengurangan ini akan menggalakkan aktiviti e- perdagangan melalui akses yang lebih luas dan murah dengan penggunaan broadband internet. Telekom Malaysia akan memberi diskaun 50 peratus bagi pakej perusahaan dan korporat, bermula dengan 30 peratus pada peringkat pertama dan 20 peratus lagi pada peringkat kedua. Manakala bagi pengguna yang lain, pengurangan 30 peratus diberikan kepada consumer broadband internet charges. 177. Untuk mempastikan perkhidmatan internet yang lebih luas dan efisien, JARING akan digabungkan dengan TMNet. Memandangkan Cyberjaya akan dijadikan sebagai hub perkhidmatan terpilih, accessibility dan kualiti perkhidmatan broadband akan dipertingkatkan sementara kos perkhidmatan akan dikurangkan pada paras yang lebih kompetitif berbanding dengan negara-negara lain. 178. Untuk memperbaiki lagi daya saing negara, sektor swasta perlu terus berusaha untuk mengurangkan lagi kos kendalian perniagaan bagi membolehkan mereka bersaing dengan pengeluar negara lain yang mempunyai kos pengeluaran yang lebih rendah. Kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif untuk tujuan ini, terutamanya dalam Pakej Strategi Baru. Sebagai usaha berterusan, Kerajaan bercadang: i. memberi potongan cukai sepenuhnya ke atas perbelanjaan keraian dalam mempromosi jualan, sementara potongan cukai sebanyak 50 peratus diberikan ke atas perbelanjaan keraian yang lain; ii. menghapuskan had tempoh pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas alat ganti dan bahan gunahabis bagi sektor perkilangan dan sektor perkhidmatan yang akan tamat tempohnya pada 31 Disember 2003; iii. memperluaskan potongan cukai ke atas perbelanjaan companies incorporation yang kini dinikmati oleh syarikat yang mempunyai modal dibenar sehingga 250 ribu ringgit kepada 2.5 juta ringgit; iv. menghapus atau mengurangkan duti import ke atas beberapa barangan terpilih seperti bateri komputer, barangan plastik dan kayu, kepada di antara 0 dan 20 peratus daripada di antara 5 dan 30 peratus; dan v. menghapus dan mengurangkan duti eksport ke atas beberapa barangan pertanian dan komoditi seperti ikan, buah-buahan dan beberapa galian tertentu, kepada di antara 0 dan 5 peratus daripada di antara 2.5 dan 10 peratus. 179. Industri media massa menjadi sektor yang semakin penting dalam usaha mewujudkan sebuah masyarakat berpengetahuan. Dalam hubungan ini, Kerajaan memutuskan supaya syarikat penerbitan dan percetakan tempatan diberi pengecualian duti anti lambakan ke atas newsprint yang diimport bagi baki kuantiti yang tidak dapat dibekalkan oleh pengeluar tempatan. Pengecualian ini akan dapat menjadikan kos dalam industri penerbitan dan percetakan lebih kompetitif. Strategi Kelima: Memantapkan Lagi Agenda Sosial Dan Masyarakat Penyayang Tuan Yang Dipertua, 180. Sejak akhir-akhir ini, hampir setiap hari kita mendengar dan membaca berita gempar gejala sosial di media massa seperti kumpulan militan, pembunuhan kejam, penculikan, kongsi gelap, kezaliman loan shark, sumbang mahram, dadah dan penyakit HIV / AIDS. Yang lebih membimbangkan ialah gejala keruntuhan moral dan kes jenayah di kalangan remaja, terutamanya mereka yang masih di bangku sekolah. Kita kini mendengar pembunuhan yang dilakukan oleh kanak-kanak bawah umur, anak-anak muda yang lari dari rumah, peras ugut, ponteng dan gangterism di kalangan murid sekolah. 181. Kalau dahulunya kita hanya melihat kejadian seperti ini berlaku di luar negara melalui TV dan akhbar, kini ianya berlaku di depan mata kita di negara kita sendiri. Inilah gejala negatif pengaruh televisyen dan internet yang tidak terkawal yang telah mencerobohi dan merosakkan pemikiran masyarakat serta mencemari nilai murni budaya kita. Di samping itu, teknologi canggih yang sepatutnya menjadi pemangkin pembangunan telah disalahgunakan, terutamanya oleh pengeluar VCD haram untuk mengaut keuntungan bagi diri sendiri tanpa menghiraukan kesan buruk kepada masyarakat. 182. Kerajaan berazam untuk meningkatkan usaha membenteras gejala negatif sosial yang semakin membimbangkan di kalangan masyarakat kita, terutama golongan remaja. Selaras dengan hasrat ini, Dasar Sosial Negara telah dilancarkan berasaskan kepada pembangunan sosial yang berteraskan nilai murni dan peningkatan keupayaan insan bagi mencapai perpaduan dan kestabilan sosial, ketahanan nasional dan kesejahteraan hidup masyarakat Malaysia yang maju dan mantap. Kerajaan akan mengambil pendekatan yang lebih bersepadu, strategik dan menyeluruh bagi menangani masalah sosial melalui penubuhan 50 pusat khidmat komuniti di kawasan berisiko tinggi di mana jenayah dan masalah sosial sering berlaku. Kerajaan dengan ini menyeru agar NGO dan anggota masyarakat setempat menyumbang bersama bagi mempastikan Dasar ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Keluarga Berharmoni Masyarakat Berakhlak 183. Gejala sosial yang kian membimbangkan perlu di bendung dan diatasi segera, terutamanya di kalangan golongan remaja yang bakal menjadi pemimpin pelapis di masa hadapan. Usaha untuk membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang berakhlak dan bermoral tinggi bukan hanya tanggungjawab Kerajaan. Keluarga, terutamanya ibu bapa dan masyarakat, perlu bersama bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing membentuk golongan muda yang baik tingkah laku, mengamalkan cara hidup sihat, berdisiplin, berilmu pengetahuan dan kukuh daya pemikiran serta menghayati ajaran agama. Nilai-nilai ini akan menjadi benteng paling teguh dalam menghadapi segala masalah sosial dan seterusnya akan melahirkan sebuah masyarakat yang benar-benar berjaya dalam segala aspek kehidupan. Mengiktiraf Peranan Wanita Tuan Yang Dipertua, 184. Peranan wanita sebagai pembentuk keluarga bahagia dan sumbangan mereka dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara sentiasa diiktiraf. Kejayaan wanita mengimbangi dwi-peranan ini sudah terbukti dan amat dikagumi. Tanggungjawab wanita mewujudkan keluarga berteraskan baiti-jannati atau rumah ku syurga ku, bermula sejak lahirnya seorang bayi sehingga dewasa. Ibu berperanan utama dalam membentuk dan menerap nilai- nilai murni dan mulia dalam jiwa anak-anak supaya mereka membesar menjadi generasi yang berilmu dan berjasa kepada keluarga, bangsa, agama dan negara. Walaupun masa beralih, zaman berubah, namun akhlak mulia dan jati diri yang telah terbina sejak kecil akan menjadi benteng penghalang kepada mereka daripada terjerumus ke dalam gejala negatif sosial. Generasi inilah yang bakal menyambung cita-cita dan perjuangan memartabatkan negara. Ibubapa perlulah memberi perhatian kepada pembentukan generasi yang berwibawa ini. 185. Malangnya, ada pihak yang sanggup merendahkan martabat dan maruah wanita. Ada suami yang tergamak menjatuhkan talak melalui SMS. Perkahwinan adalah satu acara yang mulia yang melibatkan semua anggota keluarga, terutama ibu bapa kedua-dua pengantin, kadi dan saksi, dan juga sahabat handai. Walaupun Islam membenar suami menceraikan isteri hanya dengan berkata demikian kepada isteri, tetapi perceraian bukanlah sesuatu yang menjadi perkara ringan. Ia harus difikir secara mendalam kerana kerap kali anak akan menjadi mangsa. Mengguna SMS tidak menunjuk penghargaan kepada institusi perkahwinan dan keluarga, termasuk anak sendiri. Lagi pun, SMS tidak selamat. Sesiapa saja boleh curi mengguna SMS untuk menghantar mesej perceraian tanpa diketahui oleh suami. Gejala sosial akibat semua ini tidak mencerminkan keperibadian Islam yang sebenar. 186. Ada juga pihak yang ingin menghadkan sumbangan wanita dalam pembangunan dengan hanya membenarkan wanita menjadi guru dan pegawai kebajikan sahaja dan melarang wanita menjadi hakim, pentadbir Kerajaan dan menyertai pasukan keselamatan. Bagi Kerajaan Barisan Nasional, wanita berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kaum lelaki dalam arus pembangunan negara. Kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja negara kian meningkat dan kini melebihi 45 peratus. Dalam sejarah Islam, wanita berjuang di samping Nabi Muhammad Sallallahu alayhi wa Sallam dalam peperangan, manakala di bidang perniagaan, Saidatina Khadijah telah merentasi sempadan dalam menerokai pasaran. Ingatlah, syurga di bawah tapak kaki ibu. Setiap lelaki yang berjaya, ada isteri yang membantu. Tangan yang menghayun buaian, mampu menggoncang dunia. 187. Jika diambil kira pula kurangnya penuntut lelaki di institusi pendidikan tinggi, menghadkan peranan wanita bermakna menjadikan tenaga orang Islam berkurangan lebih dari separuh. Dengan itu, orang Islam di Malaysia akan bergantung kepada orang lain untuk segala-galanya. Janganlah kecewa apabila ini berlaku. Janganlah kerana lelaki lemah membendung nafsu, wanita disalahkan. Islam tidak meletak beban kawalan nafsu semata-mata kepada wanita. 188. Bagi meneruskan program pembangunan wanita dan institusi kekeluargaan, peruntukan sebanyak 128.6 juta ringgit disediakan. Program yang akan dilaksanakan, termasuk latihan, bimbingan, kaunseling dan pendedahan untuk memberi keyakinan dan dorongan kepada wanita, khususnya ibu tunggal, warga tua dan orang kurang upaya. 189. Untuk membantu ibu tunggal di desa meningkatkan pendapatan dari perusahaan mereka, sebanyak 100 juta ringgit dari Skim Kredit Desa akan dikhususkan bagi pinjaman kepada mereka yang mempunyai perusahaan sendiri. Ibu tunggal yang berpendapatan rendah juga akan diberi keutamaan dalam memperolehi rumah kos rendah dan sederhana rendah dari SPNB dengan diberi diskaun harga sebanyak 20 peratus. 190. Kerajaan telah banyak memberi galakan cukai kepada majikan untuk menubuh pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja. Walau bagaimanapun, respon daripada majikan swasta masih tidak menggalakkan. Kerajaan mungkin akan menjadikan penubuhan pusat ini sebagai syarat dalam development order oleh Majlis Tempatan. 191. Kerajaan sedar kos membesar dan mendidik anak-anak kian meningkat. Untuk membantu ibubapa meringankan beban perbelanjaan ke atas anak-anak, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai anak dinaikkan dari 800 ringgit kepada 1,000 ringgit seorang. Generasi Belia Warisan Bangsa Cemerlang Sukan Harum Negara Tuan Yang Dipertua, 192. Belia yang merupakan generasi pewaris yang akan menyambung perjuangan membangunkan negara, perlu dilengkapkan dengan semangat jati diri yang unggul. Untuk ini, Kerajaan akan mula melaksanakan Program Khidmat Negara yang melibatkan seramai 100 ribu belia. Kandungan program ini dirangka bagi meliputi latihan asas ketenteraan, pendidikan sivik, pembentukan sahsiah dan perkhidmatan sosial dengan tujuan untuk memupuk semangat kerjasama, perpaduan, integrasi nasional dan tingkahlaku sihat. Bagi melaksanakan program ini, peruntukan sebanyak 300 juta ringgit disediakan. 193. Kerajaan berbangga di atas kejayaan demi kejayaan yang telah dicapai oleh para atlet sukan negara dalam mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa. Terkini, perenang maraton negara merupakan warga pertama Asia Tenggara berjaya merenangi Selat Inggeris. Dengan ketahanan fizikal dan kekuatan mental serta kecekalan semangat, ombak besar setinggi 3 meter dapat diharungi, air laut sesejuk air batu berjaya ditahani. Pemain badminton kita juga telah berjaya menjadi juara dan naib juara di kejohanan All England dan World Badminton Championship. Jadikan ini sebagai perangsang bagi kita merebut kembali kecemerlangan dalam bidang sukan. Pencapaian mereka ini bukan sahaja telah menambahkan lagi rekod kejayaan wira negara, bahkan membuktikan bahawa dengan disiplin, dedikasi dan semangat waja, rakyat Malaysia boleh mencapai kejayaan dalam apa jua bidang sekalipun. Kejayaan ini semestinya menyemarakkan semangat dan mengukuhkan lagi keazaman untuk terus mencipta kejayaan. 194. Kerajaan amat berterima kasih kepada semua pihak, termasuk kerajaan negeri, sektor korporat dan NGOs yang telah memberi pelbagai hadiah kepada juara sukan negara. Saya berharap, mereka tidak terlalu terpengaruh dengan habuan ini, tetapi terus berusaha untuk meningkatkan lagi pencapaian mereka. Walau apa pun, bagi menghargai mereka yang mengharumkan negara dan membolehkan rakyat Malaysia `to walk tall`, Kerajaan akan menyediakan biasiswa untuk mereka melanjutkan pelajaran di dalam atau luar negeri bagi membolehkan mereka menjadi coach atau pengurus dalam bidang yang mereka minati. 195. Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Minda cergas di badan yang sihat. Untuk itu, peruntukan sebanyak 657.9 juta ringgit disediakan kepada Kementerian Belia dan Sukan bagi tahun 2004. Kita sedang membuat persiapan rapi untuk melatih peserta negara yang akan menyertai Sukan Olimpik ke 28 di Athens, Greece. Negara juga akan sekali lagi menjadi tuan rumah bagi Sukan Lasak untuk tahun ketiga. 196. Bagi meningkatkan lagi kegiatan riadah dikalangan orang ramai, terutamanya belia, Kerajaan akan memulakan satu program untuk menyediakan kemudahan riadah sebagai satu keperluan wajib dalam semua projek pembangunan perumahan baru. Di samping itu, semua pihak berkuasa tempatan dikehendaki menyediakan kemudahan seperti taman-taman, padang permainan dan kawasan rekreasi untuk akiviti seperti jogging. Dalam hubungan ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan permulaan sebanyak 50 juta ringgit. Mengutamakan Golongan Kurang Upaya Tuan Yang Dipertua, 197. Kerajaan sentiasa prihatin terhadap golongan kurang upaya dan mempastikan mereka juga dapat bersama menikmati dan menyertai arus pembangunan negara. Beberapa skim bantuan kewangan telah pun disediakan kepada golongan ini, termasuk bantuan kewangan pada kadar antara 80 ringgit hingga 350 ringgit sebulan. Sehingga pertengahan tahun 2003, seramai 122,543 orang kurang upaya telah berdaftar dan menerima bantuan sebanyak 88.5 juta ringgit. 198. Bagi menggalakkan orang kurang upaya terus bekerja untuk menyara diri dan keluarga, Elaun Pekerja Kurang Upaya diberikan sebanyak 200 ringgit sebulan jika pendapatan bulanan mereka tidak melebihi 500 ringgit. Pemberian ini bertujuan untuk menampung kos pengangkutan ke tempat kerja dan lain-lain perbelanjaan. Untuk membolehkan lebih ramai orang kurang upaya yang bekerja menikmati bantuan elaun ini, Kerajaan mencadangkan had kelayakan siling pendapatan ditingkatkan dari 500 ringgit ke 750 ringgit sebulan. 199. Sebagai langkah untuk mempastikan orang kurang upaya turut berpeluang mendapat pekerjaan, Kerajaan telah memperuntukkan satu peratus daripada jawatan perkhidmatan awam, khusus untuk golongan ini. Di samping ini, satu unit khas akan ditubuhkan di Kementerian Sumber Manusia untuk membantu golongan ini mendapatkan pekerjaan. 200. Kerajaan bersimpati dengan tanggungjawab berat ibu bapa kepada kanak-kanak kurang upaya dan kos yang tinggi untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah khas. Untuk membantu ibu bapa dan membela nasib anak- anak tersebut, Kerajaan bercadang memberi elaun bulanan sebanyak 25 ringgit seorang, kepada pelajar kurang upaya di sekolah rendah dan menengah bagi menggalakkan anak-anak kurang upaya untuk mendapatkan ilmu. Bagi pelajar kurang upaya pendengaran di institusi pendidikan tinggi pula, pada masa ini mereka diberikan elaun bulanan sebanyak 300 ringgit seorang. Kerajaan bercadang supaya elaun ini juga dinikmati oleh semua pelajar kurang upaya di institusi pendidikan tinggi. 201. Bagi semua anggota perkhidmatan awam yang mempunyai anak-anak kurang upaya, Kerajaan akan membenarkan mereka bekerja mengikut flexi-hours supaya dapat memudahkan urusan kebajikan anak mereka. Kerajaan ingin mencadangkan agar sektor swasta juga menyambut dan mencontohi langkah murni ini. 202. Dalam Bajet 2003, Kerajaan telah mengumumkan penyediaan dana sebanyak 100 juta ringgit bagi membiayai rawatan pesakit yang menghidapi penyakit kronik. Kini, dicadangkan satu dana khas sebanyak 10 juta ringgit khusus bagi orang kurang upaya yang menghadapi penyakit kronik. 203. Peluang pekerjaan bagi orang kurang upaya penglihatan seperti jurutaip, jurutrengkas dan telefonis kian berkurangan. Oleh yang demikian, mereka perlu diberi kemahiran dalam bidang baru, seperti IT, fisioterapi dan lain-lain. Sehubungan dengan ini, Persatuan Orang Buta digalakkan membuka rangkaian Franchise Shops bertujuan untuk memberi lebih peluang pekerjaan kepada mereka dalam bidang keusahawanan. Mereka boleh mendapatkan pembiayaan di bawah Skim Kredit Mikro Kerajaan dan akan diberi lokasi yang sesuai bagi menubuhkan rangkaian Franchise Shops tersebut. Di samping itu, Kerajaan juga akan membiayai sepenuhnya pembelian white cane dan mesin braille bagi mereka yang kurang upaya penglihatan. 204. Kerajaan juga bertekad untuk mempastikan orang kurang upaya dapat memiliki rumah yang selesa dengan kos yang berpatutan. Bagi tujuan ini, orang kurang upaya yang berpendapatan rendah diberi keutamaan dalam memperolehi rumah kos rendah dan sederhana rendah dari SPNB dengan diberi diskaun harga sebanyak 20 peratus. 205. Bagi membantu mengurangkan kos pengangkutan golongan kurang upaya, Syarikat Prasarana Negara akan memberikan diskaun 50 peratus ke atas tambang perjalanan. Syarikat pengangkutan swasta digalakkan untuk memberi kemudahan yang sama. Kerajaan mencadangkan juga cukai jalan dikecualikan ke atas kereta, van dan motorsikal buatan tempatan yang dimiliki oleh orang kurang upaya. 206. Untuk mempastikan golongan ini menikmati manfaat daripada penggunaan ICT, satu Pusat Sumber Rintis ICT akan ditubuhkan di Sungai Buloh, bagi melatih orang kurang upaya penglihatan dan pendengaran memperolehi kemahiran ICT. Kerajaan akan menyediakan kemudahan ICT Enabler bagi memudahkan orang kurang upaya menggunakan ICT sebagai alat perhubungan terutamanya di zebra crossing dan semasa kecemasan seperti di lebuh raya. Di semua bangunan Kerajaan juga akan disediakan dengan kemudahan yang bersesuaian untuk memudahkan mereka berurusan dengan jabatan Kerajaan, termasuk kemudahan dalam lif. Kerajaan berharap pihak swasta mencontohi Kerajaan memberi kemudahan ini kepada golongan tersebut. Menampung Keperluan Perumahan Kos Rendah dan Sederhana Tuan Yang Dipertua, 207. Kerajaan prihatin terhadap keperluan menyediakan kemudahan perumahan, terutamanya kepada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana. Berasaskan kepada profil penduduk negara, terutama mereka dalam golongan umur 20 hingga 24 tahun, permintaan perumahan kos rendah dan sederhana dianggar meningkat sebanyak 500 ribu unit untuk tempoh 5 tahun akan datang. Untuk mempastikan golongan ini mendapat peluang memiliki rumah, Kerajaan akan mengambil alih pembinaan perumahan kos rendah dan sederhana, terutamanya melalui SPNB. 208. Bagi meringankan beban syarikat pemaju perumahan swasta, mereka akan diberi pilihan sama ada untuk melaksanakan sendiri pembinaan rumah kos rendah sebanyak 30 peratus atau menyerahkan kepada SPNB untuk melaksanakan pembinaan rumah tersebut. Namun, mereka akan dikehendaki membayar caruman sebagai timbal balas. Pencarum KWSP yang membeli rumah kos rendah yang dibina oleh SPNB, akan juga diberi kemudahan end financing melalui MBSB. Oleh kerana penyediaan perumahan kos rendah dianggap sebagai satu tanggungjawab sosial Kerajaan, maka Kerajaan Negeri akan diminta untuk mengecualikan premium tanah untuk pembinaan rumah kos rendah ini. Semua syarikat utiliti yang membekalkan kemudahan perkhidmatan seperti elektrik, air dan telefon diminta untuk hanya mengenakan kos asas sahaja. 209. Satu projek contoh berasaskan konsep baru akan dilaksanakan sebagai satu show case di atas tanah seluas 1,000 ekar milik Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM) di Lembah Klang untuk membina 10 ribu unit rumah mampu milik. Projek ini juga akan dilengkapkan dengan kemudahan pengangkutan awam, pusat ibadah, kemudahan komersial, pusat membeli-belah, kedai runcit, kemudahan riadah termasuk taman dan padang permainan, dewan orang ramai dan lain-lain kemudahan yang bersesuaian. 210. Bagi tahun 2004, Kerajaan menyediakan sejumlah 558.8 juta ringgit untuk pelbagai projek perumahan awam kos rendah. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 484 juta ringgit adalah untuk membiayai pembinaan sebanyak 62,672 unit rumah kos rendah di bawah Program Perumahan Rakyat untuk disewa kepada setinggan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan bandar utama. Bakinya sebanyak 74.5 juta ringgit diperuntukkan secara pinjaman kepada Kerajaan Negeri bagi meneruskan pembinaan sebanyak 28,541 unit rumah kos rendah. 211. Bagi perumahan anggota tentera, sebanyak 418.1 juta ringgit disediakan bagi meneruskan pembinaan 2,500 unit rumah, sementara 251 juta ringgit disediakan untuk menyiapkan 44 projek perumahan bagi anggota polis. Sebanyak 38 juta ringgit pula disediakan bagi pembinaan kuarters gunasama di sekitar KLIA dan Kuala Lumpur. 212. Bagi mengatasi masalah projek perumahan terbengkalai, Kerajaan akan mengambil langkah untuk memudah dan mempercepatkan pemulihan projek tersebut. Pada masa ini, terdapat 204 projek terbengkalai di seluruh negara yang melibatkan hampir 66 ribu unit bernilai 5.6 bilion ringgit. Pemulihan lebih dari setengah projek ini yang melibatkan 36 ribu unit rumah bernilai 3.4 bilion ringgit sedang diuruskan oleh SPNB. Untuk mengatasi kelewatan yang disebabkan oleh masalah dengan pemiutang, pemaju dan bank, Danaharta akan menguruskan hutang ini dengan institusi-institusi kewangan yang berkenaan dan seterusnya SPNB akan bertanggungjawab menyiapkan projek tersebut. Selain daripada itu, SPNB akan mengambil alih dan mengurus projek perumahan di bawah Tabung Pusingan Perumahan Kos Rendah (TPPKR) yang kini di bawah TPPT Sdn. Bhd. 213. Amanah Pelaburan Hartanah atau Real Estate Investment Trust dan Amanah Saham Hartanah atau Property Trust Fund ditubuhkan untuk membolehkan pelabur kecil melabur dalam sektor hartanah. Pengurusan dana-dana ini dikendalikan oleh pengurus profesional untuk menghasilkan pulangan yang lebih baik. Untuk menggalakkan perkembangan dana-dana ini, Kerajaan bercadang untuk: i. mengecualikan Cukai Keuntungan Harta Tanah ke atas keuntungan dari pelupusan hartanah oleh individu atau syarikat kepada dana-dana; dan ii. mengecualikan duti setem ke atas surat cara pindahmilik hartanah daripada individu atau syarikat kepada dana-dana. Persekitaran Bersih Rakyat Sihat Tuan Yang Dipertua, 214. Persekitaran yang bersih sangat penting dalam usaha mencegah wabak penyakit berjangkit seperti SARS yang telah melanda negara baru-baru ini. Kerajaan amat serius dalam menangani wabak penyakit yang boleh membawa maut ini. Satu langkah untuk mempastikan kebersihan persekitaran ialah dengan mengadakan sistem pelupusan sampah yang bersesuaian, terutamanya di kawasan bandar. Untuk ini, Kerajaan bercadang mendirikan loji pembakaran sampah yang termoden dan selamat. Loji ini akan melibatkan perbelanjaan sebanyak 1.5 bilion ringgit dan ianya lebih baik dari kebanyakan loji pembakaran sampah di negara maju, di mana loji bakar sampah didirikan di kawasan perumahan atau industri tanpa protes dari penduduk. 215. Untuk mempastikan alam sekitar terus bersih, peruntukan sebanyak 1.9 bilion ringgit disediakan di bawah beberapa kementerian dan agensi. Dari jumlah tersebut sebanyak 680 juta ringgit disediakan bagi program tebatan banjir, terutamanya untuk mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda bandar raya Kuala Lumpur. Di samping itu, sejumlah 462 juta ringgit disediakan untuk pengurusan sisa pepejal dan 422 juta ringgit untuk projek pembentungan. Badan Bukan Kerajaan (NGO) Tuan Yang Dipertua, 216. Kerajaan menghargai sumbangan NGO dalam melaksanakan kegiatan kebajikan serta menyanjung tinggi semangat kesukarelawan mereka sehingga sanggup mempertaruhkan keselamatan diri demi melaksanakan misi mereka. Kita telah menyaksikan ketabahan dan keberanian MERCY semasa misi damai mereka menyampaikan bantuan kepada mangsa perang di Afghanistan dan Iraq. Di samping itu, terdapat juga beberapa NGO yang telah bersama Kerajaan membanteras masalah sosial seperti penagihan dadah, HIV / AIDS serta membela mereka yang kurang bernasib baik seperti golongan tua dan terbiar, orang kurang upaya dan mereka yang ditimpa penyakit kronik. 217. NGO seharusnya mengeratkan lagi jalinan persefahaman melalui perkongsian bijak dengan Kerajaan ke arah membina sebuah masyarakat Malaysia yang bertanggungjawab dan penyayang. Untuk ini, mereka perlu mewujudkan satu piawaian bagi menilai prestasi mereka, terutamanya dari aspek keberkesanan kepimpinan, kegiatan dan juga pengurusan kewangan. Ini akan membolehkan mereka memainkan peranan sebagai badan sukarela secara lebih beretika, efisien dan berakauntabiliti. 218. Kerajaan akan terus memberi bantuan dan sumbangan kepada NGO untuk menjalankan aktiviti mereka. Sebanyak 96.4 juta ringgit disediakan, termasuk 6 juta ringgit untuk pencegahan AIDS, 20 juta ringgit untuk pembangunan wanita dan keluarga, 20.8 juta ringgit bagi program kesihatan dan 26.6 juta ringgit bagi aktiviti membantu golongan kurang upaya. Menyemarakkan Kegiatan Seni Dan Budaya 219. Seni dan budaya menggambarkan identiti sebuah masyarakat. Dalam hubungan ini, hasil seni tempatan harus dipupuk untuk terus mekar dan segar bagi menarik minat pencinta seni. Kekurangan hasil karya seni dan budaya tempatan yang berkualiti telah mengakibatkan pengusaha seni membawa masuk persembahan dari luar negara. Kerajaan telah banyak menyediakan kemudahan seperti Istana Budaya, Dewan Philharmonik di KLCC, Auditorium DBKL dan beberapa dewan teater experimental serta pusat latihan Akademi Seni Kebangsaan. Untuk meningkatkan lagi kecemerlangan dan pendidikan seni, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak 80.3 juta ringgit, khusus untuk kegiatan dan latihan seni serta budaya. 220. Kerajaan juga telah banyak memberikan insentif cukai untuk menggalakkan aktiviti kebudayaan dan kesenian, termasuk pengecualian duti hiburan ke atas pementasan teater, cukai pendapatan ke atas penggubah muzik dan sumbangan sektor swasta untuk menaja persembahan kebudayaan dan kesenian. Untuk menggalakkan lebih banyak persembahan diusahakan oleh karyawan tempatan, Kerajaan mencadangkan sumbangan sektor swasta yang kini diberi potongan cukai sehingga 200 ribu ringgit ditingkatkan kepada 300 ribu ringgit, khusus untuk persembahan oleh insan seni tempatan. 221. Untuk menggalakkan banyak pengeluaran filem tempatan yang bermutu, pengusaha dibenarkan mendapatkan pinjaman dan modal teroka daripada MTDC. Dengan ini juga, Kerajaan berharap filem-filem ini akan dapat menggantikan filem import yang ditayangkan di pawagam dan saluran TV tempatan. Menghargai Kecemerlangan Perkhidmatan Awam Tuan Yang Dipertua, 222. Seringkali delivery system sektor awam menjadi isu yang dibangkitkan dalam dialog bajet tahunan. Dalam hubungan ini, Kerajaan sentiasa berusaha untuk memperbaiki sistem penyampaian bagi menjamin kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan negara. Proses memberi kelulusan, pengeluaran permit dan lesen serta pengeluaran CFO akan diperkemas dan dipercepatkan. Kerajaan akan menggunakan ICT dalam usaha ini dengan mewujudkan e-Government. Di bawah Kementerian Kewangan sendiri, perkhidmatan seperti e-perolehan, e-SPKB dan e-stamping telah dilaksanakan. Di samping itu, proses pengeluaran paten dan hak cipta akan disegerakan dengan menambah bilangan kakitangan yang berkemahiran tinggi. 223. Kerajaan sangat menghargai sokongan dan komitmen anggota perkhidmatan awam di atas usaha dan jasa mereka dalam mempastikan semua dasar dan strategi serta program pembangunan dilaksanakan dengan lancar, berkesan dan jayanya. Bagi pasukan keselamatan pula, termasuk Angkatan Tentera dan Polis, Kerajaan amat berbangga dengan sumbangan dan pengorbanan mereka dalam menjamin keselamatan negara dan ketenteraman awam. Sebagai penghargaan kepada mereka yang telah berkhidmat untuk mempertahankan negara, Kerajaan memanjangkan kemudahan rawatan perubatan percuma kepada bekas anggota Sarawak Rangers dan isteri serta isteri bekas anggota Force 136 dan British Army. Kerajaan juga akan memanjangkan kepada mereka kemudahan kadar caj wad yang dinikmati oleh keluarga bekas anggota simpanan Angkatan Tentera Malaysia. 224. Kerajaan juga amat prihatin kepada anggota perkhidmatan awam yang tidak dapat menikmati pencen sekiranya mereka meninggal dunia sebelum bersara tanpa pewaris. Untuk mempastikan mereka mendapat faedah sebagai kakitangan berpencen sama seperti yang lain, Kerajaan akan memanjangkan faedah pencen terbitan, selain daripada gratuiti kepada ibu atau bapa mereka. 225. Kerajaan yakin anggota perkhidmatan awam keseluruhannya akan terus memberi perkhidmatan yang cemerlang dan komited sepenuhnya terhadap tugas dan tanggungjawab mereka. Sebagai imbuhan kepada peningkatan produktiviti dan menghargai jasa mereka serta mengambil kira kedudukan ekonomi yang bertambah baik, Kerajaan bersetuju untuk membayar bonus setengah bulan lagi, menjadikan bayaran bonus pada tahun ini satu bulan gaji. Mengamalkan Syiar Islam Tuan Yang Dipertua, 226. Di zaman ini, ada yang mengaitkan Islam dengan kemunduran dan kemiskinan. Semenjak peristiwa 11 September, Islam dikaitkan pula dengan keganasan. Hakikat yang sebenar, Islam sangat menyanjung tinggi serta memandang mulia umatnya yang rajin berusaha, menguasai kemahiran dan memperolehi kecekapan untuk mencapai kemajuan dan kekayaan dalam batasan syariah. Sesungguhnya, Islam menekankan pembinaan tamadun kehidupan yang hebat atau Islam hadari. Islam juga menganjurkan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan, malahan menentang keganasan, kekerasan dan kezaliman. Masyarakat antarabangsa seharusnya mencari punca sebenar keganasan dan bukan hanya menuding jari kepada umat Islam dan melabelkan mereka sebagai pengganas. 227. Islam sebagai ad-din merangkumi kesemua aspek kehidupan. Sekiranya kita berpegang teguh kepada ajaran asas Islam seperti yang terdapat dalam Al-Quran dan Hadith yang sahih, dan tidak taksub kepada ulama-ulama tertentu dengan tafsiran dan ajaran-ajaran mereka, tidak ada sebab kenapa umat Islam menjadi lemah dan dihina serta ditindas oleh orang lain. Firman Allah dalam surah Ar Ra`d, ayat 11 bermaksud: `Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu mengubah nasibnya sendiri.` Mengubah nasib sendiri memerlukan usaha yang gigih, penguasaan ilmu-ilmu dan kecekapan tertentu. Oleh kerana itu, kita di Malaysia tidak sahaja berdoa kepada Allah Subhanahu wa Taala tetapi kita kejar ilmu dan kecekapan dan kita laksanakan rancangan pembangunan dan pertahanan kita sehingga kita lebih selamat. Sebab itu, ramai pemimpin dan ulama Islam, termasuk Sheikh Al Azhar mendakwa secara terbuka bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam yang patut dicontohi oleh negara-negara Islam yang lain. 228. Pendapat bahawa negara Islam mestilah miskin, tertinggal zaman, mempunyai pentadbiran yang hanya tahu meminta-minta dan lemah seperti yang terdapat di negeri- negeri yang diperintah oleh yang bukan ahli dalam bidang pentadbiran, sesungguhnya menghina Islam. Tidak mungkin negeri-negeri ini dijadikan contoh negara Islam yang mampu mengembalikan kegemilangan tamadun Islam zaman silam. 229. Kerajaan akan terus menekankan kepada usaha untuk menerap asas-asas ajaran Islam yang sebenar bagi mempastikan rakyat disemai dengan nilai mulia dan tidak terkeliru dengan ajaran salah oleh yang berkepentingan politik duniawi. Untuk tujuan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan melaksanakan lebih banyak program penerangan dan penghayatan ajaran Islam. Sebanyak 228 juta ringgit akan diperuntukkan bagi program tersebut. Kerajaan juga menyediakan peruntukan sebanyak 105 juta ringgit bagi melaksanakan pembinaan kompleks latihan, sekolah agama, masjid serta pembangunan sistem maklumat Islam. 230. Sebagai sebuah negara Islam, Kerajaan amat prihatin ke atas kos menunaikan haji yang kian meningkat. Oleh itu, Kerajaan merasa terpanggil untuk mempastikan kos mengerjakan haji dapat dikawal. Jika tidak, kita bimbang di masa akan datang ramai rakyat Malaysia, di luar bandar dan bandar, akan terkeluar daripada golongan yang mampu untuk menunaikan haji. 231. Sebahagian besar kos menunaikan haji ialah bagi menampung kos pengangkutan udara dan penginapan di Mekah dan Madinah. Oleh itu, Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad (PMB) akan membeli dua buah kapal terbang untuk mengurangkan kos sewaan yang tinggi oleh Tabung Haji. Di samping itu, Tabung Haji akan menambah pembinaan dan pembelian tempat tinggal di Mekah dan Madinah supaya kos tempat tinggal dapat dikawal. Sukacita Kerajaan mengumumkan bahawa kos menunaikan haji secara muasasah untuk tahun 2004 dikurangkan sebanyak 5 peratus. PROSPEK EKONOMI 2004 Tuan Yang Dipertua, 232. Persekitaran ekonomi luar dijangka bertambah baik bagi tahun 2004, terutamanya bagi beberapa negara maju. Ini berikutan dari dasar fiskal mengembang, regim kadar faedah yang rendah, kesan kekayaan dari pasaran saham yang lebih cergas, di samping harga petroleum yang lebih rendah. Keyakinan pengguna terus kukuh sementara pelaburan swasta juga telah mula pulih. 233. Prospek ekonomi bagi negara di rantau ini dijangka lebih mantap berikutan berakhirnya wabak SARS serta peningkatan penggunaan swasta dan perdagangan serantau. China dijangka terus mencatat pertumbuhan tertinggi, manakala Korea, Taiwan dan Hong Kong akan mencatatkan pengukuhan dalam pertumbuhan KDNK. 234. Prestasi ekonomi negara pada tahun 2004 dijangka terus berkembang kukuh didorong, terutamanya oleh kegiatan ekonomi domestik yang rancak, di samping ekonomi luar negara yang mula menunjukkan pemulihan. Selaras dengan perkembangan ini dan dengan mengambil kira impak positif Pakej Strategi Baru, KDNK negara dijangka berkembang dengan lebih kukuh antara 5.5 hingga 6 peratus bagi tahun 2004, Insya-Allah. Sektor swasta dijangka menerajui pertumbuhan ekonomi dengan pelaburan swasta berkembang cergas sebanyak 9.9 peratus. Penggunaan swasta juga telah menunjukkan respon positif kepada langkah-langkah rangsangan dan dijangka berkembang lebih pesat pada kadar 7.7 peratus. 235. Sektor pembuatan kekal menjadi penggerak utama pertumbuhan dan dijangka meningkat 7.2 peratus sementara sektor perkhidmatan berkembang kukuh pada kadar 5.5 peratus. Dengan penumpuan dasar dan strategi yang diberikan kepada sektor pertanian serta harga komoditi yang meningkat, sektor ini dijangka berkembang dengan lebih mantap sebanyak 3 peratus. Sektor perlombongan juga dijangka meningkat sebanyak 3.5 peratus, berikutan pertambahan pengeluaran LNG dan gas asli. 236. Selaras dengan dasar konsolidasi fiskal, akaun Kerajaan Persekutuan dijangka bertambah baik dengan defisit bajet berkurangan daripada 5.4 peratus kepada 3.3 peratus daripada KDNK. Sekiranya prospek ekonomi dunia bertambah kukuh dalam tahun-tahun terdekat, matlamat Bajet berimbang dijangka dapat dicapai dalam tahun 2006. Pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih tinggi juga akan memperkukuhkan akaun sektor awam di mana dijangka mencatatkan lebihan sebanyak 0.4 peratus daripada KDNK pada tahun 2004, berbanding dengan defisit sebanyak 1.5 peratus dalam tahun 2003. 237. Selaras dengan peningkatan pertumbuhan KDNK, pendapatan per kapita dijangka meningkat kepada 14,954 ringgit sementara kuasa beli pariti rakyat juga bertambah kepada hampir 10 ribu dolar Amerika. Paras harga dijangka terus kekal di paras yang rendah, dengan Indeks Harga Pengguna dianggarkan 1.3 peratus. PENUTUP Tuan Yang Dipertua, 238. Semenjak negara Merdeka, kita telah mencapai kejayaan yang amat cemerlang dan kemajuan yang gilang gemilang. Dalam tempoh hampir setengah abad ini, kita telah dapat menikmati kemakmuran dalam suasana aman damai dan harmoni serta perpaduan rakyat yang teguh. Kita juga telah berjaya mengekalkan kestabilan politik dalam pentadbiran negara, hasil gandingan padu Barisan Nasional yang berprinsipkan kerjasama adil, keikhlasan dalam perjuangan dan sanggup berkorban demi kepentingan negara. Inilah tradisi perkongsian dalam bidang politik yang telah mengerat dan membentuk perpaduan unik antara semua kaum di bawah satu negara. 239. Sesungguhnya, kejayaan hari ini tidak dapat kita jamin akan berterusan dan kekal selamanya. Dunia luar terus bergolak dengan pelbagai ujian dan tribulasi, ancaman dan ugutan serta penindasan dan kekerasan. Keamanan yang kita harapkan masih kabur, keganasan yang kita tentang belum reda. Sebagai warga kecil dalam masyarakat global, kita tidak dapat mengelak dari kesan pergolakan ini. 240. Kita mesti berani berdepan dengan kesemua cabaran ini dan bersedia melakukan sebarang anjakan strategik yang boleh mempertahan serta mengekalkan kemakmuran dan kejayaan negara. Saya telah pun menggesa agar semua pihak melakukan anjakan ini, semasa membentangkan Bajet 2003 tahun lalu. Kita mesti lebih tangkas, cekap dan gigih dalam melaksanakan perubahan ini. Kita tidak boleh leka. Kita juga tidak boleh bertangguh. Walau apa pun halangan, walau apa pun rintangan yang mendatang, kita mesti hadapinya bersama, dengan penuh ketabahan dan keberanian. Kita juga mesti sanggup berkorban, mengenepikan kepentingan diri dan mengelakkan persengketaan antara kita sendiri. Kita juga mesti mempertingkatkan toleransi, mengeratkan kerjasama serta memperkukuhkan perpaduan demi menjamin rakyat sejahtera dan masyarakat berharmoni. 241. Saya berdoa kepada Allah Subhanahu wa Taala agar negara tercinta ini terus dirahmati dan dianugerahkan dengan nikmat dan kemuliaan yang berkekalan. Insya- Allah, saya penuh yakin dengan izin dan berkat keredhaanNya, negara bertuah ini akan terus berkembang maju, rakyat makmur dan sejahtera serta terus dihormati dan disanjung tinggi oleh masyarakat dunia. Keranamu Malaysia, Tegakkan nusa gagahkan bangsa, Kita susun seribu satu langkah, menuju ke hadapan Bersama mensesah pekat malam, menerjah gelombang Berlari mengejar cahaya, menepati janji di hujung jalan Walau berdepan sejuta rintangan Sekali pun jatuh di medan perjuangan Namun tetap meredah, mencapai wawasan Alangkah damainya negeri ku ini Dilimpahi rahmat, kemakmuran dikurniai Bangsa bersatu berjiwa waja Semangat patriotik kian membara Dunia sudah membuka mata Penghormatan kini menjadi nyata Tiada lagi penindasan Tiada lagi penghinaan Kemerdekaan terus terpelihara Damainya negeri ku. . . . Malaysia. Tuan Yang Dipertua, Saya mohon mencadangkan.